The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by afandisksp, 2021-06-10 00:04:38

KARANGAN SPM (KELUARGA)-converted

KARANGAN SPM (KELUARGA)-converted

Tajuk 2 : Keluarga memainkan peranan paling besar dalam membentuk masa depan

remaja menjadi insan yang berguna kepada negara.

Institusi keluarga terdiri daripada ibu bapa, anak-anak dan anggota keluarga yang lebih tua iaitu
iaitu datuk dan nenek. Institusi keluarga penting bagi meneruskan kelangsungan kesejahteraan
masyarakat dan negara. Keluarga yang bahagia mampu melahirkan generasi pemimpin masa depan
negara. Keruntuhan institusi keluarga akan mencerminkan keruntuhan institusi masyarakat. Justeru,
keluarga memainkan peranan yang penting membentuk masa depan generasi bangsa. Konsep keluarga
bahagia asas kesejahteraan perlu menjadi pegangan setiap anggota keluarga dalam usaha mengukuhkan
institusi keluarga masing-masing.

Salah satu peranan keluarga dalam membentuk anak-anak menjadi remaja yang berperanan
sebagai pembina negara bangsa ialah ibu bapa sebagai anggota keluarga yang paling berkuasa perlu
mengutamakan pendidikan, sama ada pendidikan akademik di sekolah mahupun pendidikan keagamaan.
Hal ini demikian kerana pendidikan merupakan aset yang sangat berharga. Melalui pendidikan yang
diterima, anak-anak akan beroleh ilmu pengetahuan yang akan menentukan masa depan mereka kerana
ilmu itu pelita hidup. Bagi mendapatkan pendidikan secara formal, ibu bapa perlu menghantar anak-anak
ke sekolah. Pada peringkat awalnya, anak-anak akan dihantar ke sekolah tadika, sekolah rendah dan
seterusnya ke peringkat lebih tinggi iaitu sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi. Ibu bapa
haruslah mendidik anak-anak menimba ilmu sejak dari awal lagi kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Minat menimba ilmu pengetahuan akan membantu remaja menjadi orang yang pintar dan
seterusnya dapat membangunkan negara. Justeru minat dalam bidang pendidikan dan menuntut ilmu
perlu menjadi keutamaan ibu bapa supaya anak-anak tahu tentang kepentingan ilmu tersebut.

Seterusnya, ahli keluarga terutama ibu bapa, adik-beradik serta keluarga terdekat perlu mengajar
anak-anak cara merancang kehidupan. Ibu bapa sebagai contohnya, merancang keperluan anak-anak,
terutama golongan anak remaja. Pada usia remaja, pelbagai kehendak dan keinginan diimpikan oleh
mereka. Justeru, cara mengenali kecenderungan anak-anak akan dapat membantu keluarga membentuk
anak-anak remaja. Perkara yang paling penting, ibu bapa atau anggota keluarga perlu memastikan
perbelanjaan membesarkan anak-anak mencukupi. Mereka boleh menyediakan tabungan pelajaran
dengan menyimpan wang di bank atau melalui Skim simpanan pendidikan Nasional (SSPN). Tabungan
ini sebagai persediaan untuk membiayai pelajaran anak-anak ke peringkat yang lebih tinggi. Langkah ini
bolehlah dianggap sebagai sediakan payung sebelum hujan . Sekiranya ahli keluarga atau ibu bapa tidak
membuat persediaan awal, sudah tentu pengajian anak-anak akan tergendala dan hasrat untuk melahirkan
generasi berwawasan yang akan membina negara tidak akan tercapai.

Anak-anak juga perlu diberi didikan agama oleh ahli keluarga. Hal ini supaya mereka membesar
menjadi remaja yang patuh dan mengamalkan nilai-nilai keagamaan. Sekiranya remaja menjadikan
agama sebagai landasan hidup, sudah pasti mereka akan menjadi warganegara yang berkualiti. Agama
boleh menjadi pendinding diri, iaitu dapat mengelakkan seseorang terlibat dalam kegiatan yang tidak
bermoral seperti perhubungan bebas lelaki dan perempuan, penyalahgunaan dadah, terlibat dalam
kegiatan jenayah dan sebagainya yang boleh merosakkan masa depan negara dan remaja itu sendiri.
Pendidikan agama boleh didapati dengan cara ibu bapa atau ahli keluarga menghantar anak-anak didikan
mereka ke kelas agama atau kelas fardhu ‘ain ataupun kelas mengaji Al-quran. Selain itu, ahli keluarga
juga boleh menjadi suri teladan yang boleh diikuti oleh anak-anak. Pendek kat, ibu bapa perlu

memantapkan amal ibadah mereka dan sentiasa mengajak anak-anak bersoalat berjemaah. Selain itu,
mereka juga turut sama memberi pendedahan tentang ilmu agama. Jangan pula nanti ibu bapa bersikap
seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Ibu bapa tidak boleh hanya berharap kepada ilmu agama
yang dipelajari oleh anak-anak mereka di sekolah sahaja. Sebaliknya, mereka perlu berusaha memastikan
anak-anak mempraktikkan ilmu agama yang dipelajari dalam kehidupan. Dengan cara ini, sudah pasti
remaja yang berwawasan pembina generasi bangsa dapat dilahirkan.

Seterusnya, anak remaja perlulah sentiasa dipantau oleh keluarga mereka. Hal ini kerana usia
remaja merupakan satu tempoh masa yang sangat kompleks. Pada usia begini, remaja ingin meneroka
pelbagai perkara dan pengalaman baharu sesuai dengan perubahan dari segi mental dan fizikal mereka.
Justeru, pemantauan daripada orang yang lebih tua seperti ibu bapa, abang, kakak, datuk dan nenek amat
diperlukan. Konsep orang tua lebih dahulu makan garam perlu diamalkan dalam kehidupan berkeluarga.
Ahli keluarga yang lebih tua boleh memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada anak remaja agar mereka
boleh memilih mana yang baik dan mana yang buruk. Dalam hal ini, ibu bapa atau ahli keluarga boleh
menghabiskan masa bersama-sama dengan anak-anak untuk bertanya khabar, berbincang tentang masalah
mereka dan cuba untuk membantu mereka menyelesaikannya. Sekiranya didapati mereka tersalah jalan
atau tersalah memilih kawan, keluarga boleh segera bertindak menarik mereka ke pangkal jalan dengan
cara yang lebih berhemah dan dapat diterima oleh mereka. Cara ini juga turut mengajar remaja tentang
erti kasih sayang dan ikatan kekeluargaan yang sebenarnya. Perhatian daripada ibu bapa dan anggota
keluarga yang lain akan memberi gambaran kepada remaja bahawa mereka disayangi dan dihargai.
Dengan itu, sudah tentu proses mendewasakan mereka menjadi generasi berilmu dan pembina negara
bangsa menjadi lebih mudah.

Pada masa yang sama ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak terlibat dalam pelbagai kegiatan
yang dapat memberi manfaat kepada mereka. Sebagai contohnya, ibu bapa, abang dan kakak boleh
menggalakkan seseorang remaja itu menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah. Sesetengah remaja
beranggapan kegiatan itu memenatkan. Namun, dengan adanya dorongan daripada anggota keluarga
bahawa banyak ilmu dan pengalaman yang boleh dtimba dengan menyertai kegiatan kokurikulum atau
kerja-kerja kemasyarakatan sudah tentu mereka akan bersedia menyertainya pada bila-bila masa sahaja.
Kegiatan kokurikulum atau kegiatan kemasyarakatan boleh melatih remaja dalam pelbagai aspek seperti
kepimpinan, ketrampilan, semangat bekerjasama dan pelbagai kemahiran insaniah (softskills).
Kemahiran-kemahiran ini amat berguna kepada generasi pembina negara. Justeru, sebagai ahli keluarga
yang tahu dan arif tentang minat dan kecenderungan anak-anak, mereka perlulah memberi sokongan dan
dorongan agar anak-anak mereka menyertai pelbagai kegiatan yang bermanfaat.

Sebagai bakal pemimpin masa depan negara, anak-anak perlu diterapkan dengan nilai-nilai
semangat cintakan tanah air atau nilai patriotisme. Hal ini penting agar remaja sedar akan tanggungjawab
mereka terhadap negara. Ibu bapa dan anggota keluarga yang lain perlu memastikan anak-anak mereka
terdidik dengan nilai patriotisme. Mereka boleh bercerita tentang sejarah negara kepada anak-anak.
Begitu juga dengan kisah perjuangan wira-wira negara yang berjuang mempertahankan dan
memerdekakan negara. Remaja perlu diberitahu dengan jelas bahawa kini merupakan masa mereka untuk
menjaga dan mendaulatkan negara. Penerangan dan pendedahan tentang tanggungjawab terhadap negara
yang disampaikan oleh anggota keluarga akan mudah diterima dan menjadi darah daging perjuangan
mereka. Dalam hal ini, ahli keluarga perlu memastikan perasaan cintakan tanah air dipupuk dan disemai
sejak dari kecil. Pada hari sambutan ulangtahun kemerdekaan, ibu bapa boleh membawa anak-anak

menyaksikan sambutan tersebut. Datuk dan nenek boleh menceritakan pengalaman mereka pada zaman
penjajahan. Dengan cara ini, anak-anak akan dapat membesar dengan sifat-sifat cintakan tanah air. Nilai
patriotisme ini amat penting dan harus ada dalam jiwa remaja yang menjadi asas pembina negara bangsa.
Remaja akan dapat menentukan hala tuju negara suatu ketika nanti dengan semangat yang dimiliki
mereka kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Pengakhirannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa keluarga berperanan penting membentuk
masa depan anak-anak menjadi pembina generasi masa depan. Tanpa didikan dan dorongan ibu bapa,
terdapat begitu ramai remaja yang hilang arah tuju dan hidup gelandangan kerana terlibat dengan kegiatan
yang tidak bermoral. Justeru, keluraga seharusnya sentiasa sedar akan tanggungjawab mereka kerana di
tangan mereka terletak jatuh bangunnya sesebuah generasi masa depan. Jangan sesekali mengabaikan
tanggungjawab dan peranan tersebut agar nasi tidak menjadi bubur dan Wawasan 2020 tidak tercapai dek
kerana kelalaian anggota keluarga memainkan peranan mereka!


Click to View FlipBook Version