Tajuk 3 : Terdapat beberapa jenis sukan di negara kita yang telah mencapai kecemrlangan di
peringkat antarabangsa. Namun masih lagi ada acara sukan yang berada di takuk
lama.
Bincangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan mutu sukan
negara.
Kini pembangunan sukan di Malaysia mula mendapat perhatian umum. Sebut sahaja tentang
sukan badminton, semua tahu siapa jaguhnya. Sebut sahaja sukan skuasy, tentu sahaja nama Datuk Nicol
Ann David menjadi sebutan. Namun hanyabeberapa jenis sukan sahaja yang berkembang dan
menampakkan kemajuan, sedangkan banyak lagi acara-acara sukan yang masih berada pada takuk lama,
contohnya sukan sepak takraw, bola sepak, bola keranjang ataupun acara padang balapan. Kekalahan
demi kekalahan yang diterima oleh beberapa jenis sukan negara telah menimbulkan kerisauan dalam
kalangan pihak atasan yang mengendalikan sukan tersebut. Demi mengembalikan maruah negara,
langkah-langkah untuk meningkatkan mutu sukan perlu segera diambil kerana sesal dahulu pendapatan;
sesal kemudian tidak berguna.
Salah satu langkah yang perlu diambil ialah semua pihak perlu bergabung tenaga untuk
mengangkat semula martabat sukan negara. Sekiranya misi ini dihayati, sudah tentu semua pihak perlu
bergerak ke arah itu. Dalam hal ini, semua pihak perlu mengkaji kelemahan-kelemahan yang ada dalam
setiap organisasi sukan dari peringkat pengurusan, kejurulatihan, dan juga atlet. Hal ini penting kerana
setiap langkah yang diambil perlu mengenal pasti terlebih dahulu punca kemerosotan mutu sukan
tersebut. Bidang sukan di negara ini bukan lagi sebagai satu bidang suka-suka dan dijalankan secara
sambil lewa sahaja, sebaliknya sudah menjadi satu sektor industri dan menjadi sumber pendapatan kepada
atlet dan juga negara. Oleh itu, sukan perlu dijadikan satu budaya. Konsep yang diperkenalkan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia, 1 Murid 1 sukan memang bertepatan dengan usaha memartabatkan
bidang sukan. Melalui program ini setiap murid akan terlibat dalam sekurang-kurangnya satu jenis
permainan. Kegiatan bersukan menjadi amalan murid di peringkat awal lagi. Lama-kelamaan, bakat
mereka dalam bidang sukan yang diceburi akan dapat dikesan dan digilap. Tumpuan dan latihan yang
berterusan kepada murid yang berbakat dalam bidang sukan akan dapat membantu mereka muncul
sebagai atlet negara suatu ketika kelak. Dalam hal ini, guru berperanan penting untuk mengenal pasti
bakat murid dan melatih mereka menjadi atlet yang berjaya. Diharapkan kelahiran bakat-bakat baharu
dalam bidang sukan akan menyelesaikan masalah kemerosotan mutu sukan negara.
Masyarakat juga sudah semakin sedar dan memandang tinggi terhadap bidang sukan. Ini turut
merupakan langkah untuk meningkatkan mutu sukan negara. Kini sudah ramai ibu bapa yang mulai sedar
akan kepentingan sukan kepada individu dan juga negara. Perkembangan sukan tanah air terutama dalam
bidang sukan bola sepak telah membuka mata ibu bapa agar memberi peluang kepada anak-anak untuk
melibatkan diri dalam sukan bola sepak. Sekiranya ada pemilihan dalam sesuatu acara sukan, ibu bapa
bersedia menghantar anak-anak mereka menyertai pemilihan tersebut. Di Malaysia kini, terdapat
pelbagai program mencari bakat-bakat muda dalam bidang sukan seperti 1MCC, Soccerkid, dan akademi
badminton. Program-program ini memainkan peranan serampang dua mata iaitu mencari bakat muda dan
pada masa yang sama membantu kanak-kanak dan remaja melibatkan diri dalam kegiatan yang sihat. Ini
akan membantu mereka terhindar daripada kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral. Diharapkan
penglibatan kanak-kanak dan remaja dalam bidang sukan ini akan dapat meningkatkan mutu sukan negara
pada suatu masa nanti, seterusnya dapat melahirkan atlet berkaliber di persada sukan antarabangsa.
Kemerosotan sukan negara dikatakan berpunca daripada atlet yang kurang berpengalaman beraksi
di arena antarabangsa. Oleh itu, pihak pengurusan dan unit pembangunan sukan perlu melakukan sesuatu
agar atlet negara dapat menimba ilmu di peringkat antarabangsa. Cara yang boleh dilakukan ialah atlet
negara dihantar berlatih ke luar negara di bawah seliaan jurulatih yang berpengalaman. Latihan ini
penting bagi memantapkan lagi stamina dan kemahiran atlet dalam bidang sukan yang diceburinya.
Penghantaran atlet ke luar negara untuk menjalani latihan dilihat jelas membuahkan hasil apabila Datuk
Nicol Ann David yang berlatih diluar negara telah berjaya muncul sebagai juara dunia dalam sukan
skuasy beberapa kali. Jelaslah bahawa mutu sukan negara boleh ditingkatkan sekiranya atlet
menggunakan peluang berlatih di luar negara itu dengan sebaik-baiknya untuk memperbaiki pencapaian
masing-masing.
Kementerian Belia dan Sukan, badan-badan sukan seperti MSN, KOAM, FAM dan sebagainya
perlu mengadakan pertandingan sukan secara persahabatan dengan kelab-kelab sukan ternama sebagai
persediaan menghadapi temasya sukan di peringkat antarabangsa. Pendedahan terhadap kemahiran
taktikal kelab-kelab ternama atau atlet luar negara akan memberi dorongan kepad atlet Malaysia agar
meningkatkan prestasi mereka dan seterusnya belajar daripada atlet yang lebih berpengalaman. Semakin
banyak pendedahan diberikan kepada mereka, semakin mantap prestasi mereka. Hal ini akan dapat
membantu atlet melakar kejayaan dan sekali gus mengingkatkan mutu sukan negara. Pada masa yang
sama, atlet negara akan dapat membiasakan diri bertanding di peringkat antarabangsa dan mengurangkan
rasa gentar atau takut menghadapi saingan daripada atlet yang ternyata lebih hebat.
Langkah seterusnya, Kementerian Belia dan Sukan perlu memajukan kompleks sukan. Caranya,
pihak pengurusan sukan perlu meningkatkan infrastruktur dan kemudahan asas yang terdapat di
kompleks sukan agar dapat memenuhi keperluan atlet-atlet yang menggunakan kompleks sukan tersebut.
Di Malaysia terdapat beberapa buah kompleks sukan. Antara kompleks sukan yang utama ialah
Kompleks Sukan Bukit Jalil. Di kompleks sukan ini juga terdapat sekolah sukan yang telah banyak
melahirkan bintang-bintang sukan ternama iaitu Sekolah Sukan Bukit Jalil. Infrastruktur dan prasarana di
kompleks sukan perlu sentiasa dibuat penambahbaikan agar bersesuaian dengan perkembangan dunia
sukan. Lebih baik lagi sekiranya mempunyai arena atau gelanggang yang boleh digunakan bagi
pertandingan sukan di peringkat antarabangsa. Justeru, peluang untuk menjadi tuan rumah dalam
pertandingan sukan peringkat antarabangsa perlu direbut oleh Malaysia kerana penganjuran sukan
sedemikian akan dapat membantu negara membina dan membaik pulih gelanggang atau arena dan padang
menjadi lebih baik lagi. Hal ini akan memberi peluang kepada negara memajukan mutu sukan negara
apabila mempunyai gelanggang-gelanggang sukan yang baik dan bersesuaian. Pendek kata, sambil
menyelam minum air.
Pelajar atau remaja turut disarankan mengambil kursus dalam bidang sains sukan dan
kejurulatihan di peringkat pengajian tinggi. Hal ini bertujuan supaya pegawai-pgawai sukan yang
berpengetahuan tinggi dalam bidang sukan dapat dilahirkan untuk menerajui organisasi sukan. Cara ini
akan meningkatkan mutu sukan negara kerana pengurusan sukan diurus oleh individu-individu yang
betul-betul mahir dalam bidang sukan. Bagi tujuan tersebut, Institusi Pengajian Tinggi perlu membuat
tawaran kepada mana-mana pelajar yang berminat dalam bidang sains sukan. Pihak kerajaan atau swasta
juga boleh membantu dengan cara menyediakan geran biaya pendidikan atau biasiswa kepada pelajar-
pelajar yang berminat mengikuti pengajian sains sukan di IPT. Graduan-graduan yang telah menamatkan
pengajian boleh dihantar bertugas di sekolah sebagai guru pendidikan Jasmani dan Kesihatan ataupun
sebagai pegawai yang bertugas dalam bidang kokurikulum sukan. Melalui cara yang dilakukan sejak dari
awal dan berterusan untuk melatih pelajar dalam bidang sukan, sudah tentulah mutu sukan negara akan
terus meningkat. Perkara ini kelihatan agak rumit dan memakan masa yang panjang, namun berakit-rakit
ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Akhir sekali, mutu sukan negara boleh merudum dek kerana angkara rasuah dan penyalahgunaan
dadah dalam sukan. Sekiranya hal yang berkaitan dengan rasuah dan penyalahgunaan dadah tidak
dibendung, nescaya kecemerlangan sukan tidak dapat direalisasikan. Hal ini sama juga dengan isu
‘doping’ atau pengambilan bahan terlarang semasa kejohanan berlangsung. Ramai atlet Malaysia yang
terjerat dengan isu rasuah dan isu peeengambilan dadah. Dalam kedua-dua hal ini pihak Kementerian
Belia dan Sukan serta organisasi sukan perlu lebih peka dan menanganinya dari akar umbi. Petualang
yang melakukan kegiatan ini perlu dibanteras dan dikenakan hukuman yang setimpal. Badan induk sukan
Malaysia tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengamalkan rasuah, menjual
perlawanan dan juga membiarkan diri menggunakan bahan terlarang dalam sebarang perlawanan.
Sekiranya dua perkara ini dapat diatasi, sudah tentu mutu sukan negara dapat ditingkatkan. Mana-mana
pihak yang terlibat dalam kegiatan rasuah dan isu ‘doping’ ini sebenarnya tidak memiliki jati diri dan
semangat patriotik kerana mereka sedia maklum perkara tersebut boleh menjatuhkan imej negara.
Walaupun hanya segelintir yang terlibat, namun imej atlet lain turut tercalar. Negara juga akan mendapat
nama buruk kerana seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit.
Kesimpulannya, mutu sukan negara perlu ditingkatkan agar tidak terus berada di takuk lama.
Usaha-usaha memartabatkan mutu sukan negara perlu dilakukan secara berterusan dan tidak sekadar
hangat-hangat tahi ayam sahaja. Segala kontroversi yang timbul dalam organisasi sukan perlu ditangani
segera demi kemaslahatan semua pihak. Bidang sukan merupakan satu bidang penting yang mampu
menjana pendapatan negara. Justeru, seluruh rakyat Malaysia perlu bersatu-padu dan sama-sama
memartabatkan mutu sukan negara agar malaysia boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan
negara lain di dunia.