TAJUK 1 : Sistem Pengangkutan merupakan prasarana yang sangat penting kepada sesebuah
negara.
Sebagai seorang wartawan sebuah akhbar, anda diminta menulis tentang kepentingan sistem
pengangkutan moden di Malaysia.
KEPENTINGAN SISTEM PENGANGKUTAN MODEN DI MALAYSIA
Oleh: Muhammad Izzul Faidhi bin Abdul Aziz
Sistem pengangkutan merupakan prasarana yang sangat penting kepada sesebuah negara.
Kemajuan ekonomi sesebuah negara berkait rapat dengan perkembangan sistem pengangkutannya. Hal
ini demikian kerana sistem pengangkutan yang efisien akan dapat menghubungkan satu destinasi ke satu
destinasi yang lain dan menyebabkan berlakunya moboliti penduduk. Sesebuah kawasan yang
mempunyai sistem pengangkutan yang cekap dan moden akan menjadi tumpuan seperti di mana ada
gula, di situ ada semut.
Jalan raya dan lebuh raya merupakan sistem pengangkutan terpenting di Malaysia. Kewujudan
jalan raya dan lebuh raya yang sistematik akan meningkatkan taraf pembangunan negara. Sistem jalan
raya yang sedemikian dapat memberi keselesaan kepada rakyat. Selain daripada dapat menghubungkan
rakyat ke destinasi tertentu, jalan raya atau lebuh raya juga dapat digunakan untuk menghantar barangan
keperluan penduduk pada kadar yang lebih cepat. Hasil pertanian di kawasan pedalaman dapat dibawa ke
bandar untuk dipasarkan dalam masa yang singkat dan dapat mengelakkan barangan ini rosak. Hal ini
akan menyebabkan petani dan nelayan tidak mengalami kerugian. Penjimatan masa yang diambil itu
akan dapat membantu menjimatkan kos, terutama pembiayaan bahan api seperti petroleum.
Dalam era kemajuan ini, kerajaan memberi tumpuan kepada sistem pengangkutan moden,
terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru dan beberapa bandar besar
yang lain. Di kawasan berikut, kerajaan mempelbagaikan pengangkutan awam bukan sahaja tertumpu
kepada pengangkutan darat, tetapi juga kepada pengangkutan udara air. Selain itu, terdapat juga sistem
pengangkutan yang berasaskan trek atau rel seperti Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan
ekspres transit. Sistem trek atau rel ini bukan sahaja dapat mengatasi masalah kesesakan lalu-lintas, tetapi
juga dapat mengurangkan kadar pencemaran udara kerana pengangkutan jenis ini menggunakan tenaga
elektrik dan tidak mengeluarkan asap. Pada masa yang sama, sistem pengangkutan ini dapat
memudahkan dan mempercepatkan perjalanan. Hal ini sudah tentu akan dapat menjimatkan masa
perjalanan. Justeru, sistem pengangkutan rel mendapat sambutan baik daripada orang ramai terutama
yang tinggal di bandaraya Kuala Lumpur.
Sistem pengangkutan air atau maritim juga merupakan salah satu cara pengangkutan moden di
Malaysia. Pengangkutan maritim terdiri daripada perkhidmatan feri, bot laju, kapal-kapal dagang, kapal
penumpang dan sebagainya. Di Sabah dan Sarawak, pengangkutan maritim sangat penting kepada
penduduk untuk ke destinasi pilihan mereka. Penduduk di kawasan pulau pula dihubungkan dengan
tanah besar menggunakan bot laju yang juga dikenali sebagai teksi air. Kapal-kapal dagang juga penting
dalam perkembangan kemajuan negara kerana barangan dan hasil pertanian dapat dieksport ke luar
negara. Hal ini, secara tidak langsung telah membangunkan kawasan-kawasan pelabuhan negara. Bagi
sesetengah individu, mereka merasakan pengangkutan maritim ini agak sukar, tetapi bagi penduduk yang
tinggal di kawasan perairan, perkara ini menjadi perkara biasa kerana alah bisa tegal biasa.
Sebagai sebuah negara yang sedang menuju ke arah pembentukan negara maju, Malaysia tidak
sesekali mengabaikan pengangkutan udara. Sistem pengangkutan udara merupakan gerbang utama yang
menghubungkan Malaysia dengan negara luar. Kebanyakan pelancong asing datang ke Malaysia melalui
pengangkutan udara. Peranan kerajaan bekerjasama dengan pihak swasta seperti syarikat Penerbangan
Malaysia, Air Asia dan Malindo Air telah membuka ruang yang sangat luas kepada penduduk tempatan
dan asing menggunakan pengangkutan udara. Hal ini semakin memperluaskan lagi hubungan Malaysia
dengan negara luar. Sekarang, orang ramai lebih banyak memilih menggunakan pengangkutan udara
kerana tambangnya berpatutan dan selamat. Tambahan pula, masa atau tempoh perjalanan juga singkat.
Kemasukan pelancong asing ke negara Malaysia melalui perkhidmatan udara tepah mengubah sektor
pelancongan menjadi lebih maju. Pengangkutan kargo udara pula dapat melancarkan aktiviti
perdagangan Malaysia dengan negara luar.
Sistem pengangkutan moden dan berteknologi tinggi yang terdapat di Malaysia hari ini telah
berjaya meningkatkan imej negara. Contohnya, bandar raya Kuala Lumpur yang mempunyai sistem
pengangkutan terbaik setanding dengan negara-negara maju yang lain, telah menjadi buah mulut
pelancong asing dan rata-rata mereka berpuas hati dengan sistem pengangkutan yang ada sekarang.
Namun demikian,sistem pengangkutan ini perlu dibuat penambahbaikan dari semasa ke semasa agar
sentiasa dapat memenuhi hasrat dan keperluan pengguna sama ada dalam kalangan penduduk tempatan
mahupun pelancong asing. Dengan cara ini, akan dapat menarik minat orang ramai untuk menggunakan
pengangkutan awam sepenuh masa. Hal ini sudah tentu akan mengurangkan jumlah kenderaan
persendirian di jalan raya dan secara tidak langsung akan dapat mengurangkan kesesakan jalan raya.
Tidak hairanlah jika dalam masa terdekat, Malaysia akan menjadi seperti negara Jepun yang mempunyai
sistem pengangkutan awam yang sangat cekap dan efisien. Pada masa itu, sudah tentu Malaysia boleh
duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju.
Kesimpulannya, sistem pengangkutan di Malaysia telah banyak membantu negara ini
berkembang maju. Tanpa sistem pengangkutan yang cekap, perkembangan ekonomi akan terbantut dan
hubungan dengan masyarakat luar akan tergendala. Jelaslah bahawa sistem pengangkutan telah
meningkatkan taraf hidup rakyat dan menjana pembangunan ekonomi negara. Banyak bandar baharu
dibuka hasil daripada jaringan pengangkutan. Cogan kata membawa dunia kepada Malaysia, Malaysia
kepada dunia sesuai dengan sistem pengangkutan moden yang ada di negara ini Malaysia juga tidak lagi
dianggap seperti katak di bawah tempurung kerana rakyatnya sudah berupaya menjelajah ke serata dunia
menggunakan sistem pengangkutan yang cekap, moden dan sistematik.