KOLEKSI PUISI PERIBADI
SEPANJANG PKP COVID-19
18 MAC 2020 – 5 MEI 2020
KARYA
UMMI HASNI
PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH MACHANG
ummiHasni
SALAM NGERI (COVID-19)
Terkesima
perkhabaran apakah ini
rehat diberi tanpa isyarat
tiba-tiba cuti diberi bersyarat
tidak pernah tersenarai dalam impi
tidai pernah tercatat dalam diari
Keliru juga seketika
dahsyat sangatkah virus ini
jika hadirnya begitu serabut
hebat sungguhkah tentera halus ini
jika datangnya mengundang kalut
Noktah
memang benar cuti disedekah
bukan untuk berehat beriadah
tapi kerja dan tanggungjawab tetap amanah
walau hanya dari rumah
sambil-sambil menyusun ibadah
Noktah !
Mac, 18. 2020
ummiHasni
AKAD SALAM TANPA SEDAR (COVID-19)
Selamat berkenalan wahai corono
satu satu berita dikhabar
satu satu cerita terpapar
ngeri dan ngilu
curiga dan keliru
Jika insan, dia siapa yang bertamu
dan jika benda, apakah itu…
Selamat datang wahai corono
tiba-tiba
hadirmu antara tahu tanpa sedar
minta jua tidak dihantar
hasrat tidak pernah dihampar
Jika dulunya namamu hanya kudengar jauh di sana
tapi hari ini kau bersimpuh sempurna
di depan mata
Masuklah wahai corono
Tanpa jemput tanpa salam
seketika sudah di ambang pintu
menegur dan menunggu
tidak pergi jika tidak diusir
tidak berlalu jika tidak dipinggir
Doa terus berlabuh menjadi hijab
mengharap untuk diangkat
Mac, 23. 2020
ummiHasni
KAU MASIH DI SITU (COVID-19)
Mentari sudah beralih halaman
buka pintu,
hajat ingin menyapu lantai
buka jendela,
hasrat ingin mengelap kelarai
Tapi kau masih di situ
terus mengintai
terus bersantai
Mencari ruang jika berkemampuan
bermain di taman
Mencuri peluang jika berkesempatan
menari dii laman
Tetapi
Hati digigit takut dan seram
Perasaan terus dihimpit marah dan geram
kerna
kau,
terus di situ
Aku juga yang harus menutup pintu
Mac, 27. 2020
ummiHasni
TERUS BERMUNAJAT (COVID-19)
Aduh !!
Hebat kau wahai virus
kau bukan teman, kau bukan kawan
datangmu tidak diundang
namun namamu terus-terusan didendang
popularmu memuncak
racun kautabur semakin rancak
manusia hilang hala tujuan
manusia hilang tanda jalan
kau yang hebat menumpang
atau
kami yang membuka ruang
Wahai corona,
kaukah yang sesat
kau sangat hebat
ihsan sirna
kasihan entah ke mana
saban hari doa dipanjat
setiap detik hasrat diucap
hati bermunajat
kami lawan dalam sepi dalam hening
kami lawan dalam sunyi dalam bening
Mac, 31. 2020
ummiHasni
PERINGATAN ATAU AMARAN (COVID -19)
Peringatan atau amaran
tiba-tiba saja helaian baru bermula
dijentik sedih dan pilu
sendiri
berlagu rindu sebuah damai
lagu sepi..
Siapa pernah menduga
dalam rumah sendiri akan terpenjara
terikat dengan undang-undang negara
menyanyi sendiri tanpa suara
tapi masih bisa berbicara
Peringatan atau amaran
Tiba-tiba saja cerita aneh terbuka
Diketuk pedih dan sayu
Sendiri
berlagu sepi sebuah bahagia
lagu pilu…
Siapa pernah menyangka
kiranya Tuhan sudah menyusun takdir
indah dan hikmah di balik tabir
siapa kita menafikan
ujian dan dugaan
yang di dalamnya tersimpan
sebuah peringatan atau amaran
dan amaran dalam peirngatan ?
April, 4. 2020
ummiHasni
BUKAN SEKADAR SATU GURAUAN (COVID-19)
Tidak terasa aku bahawa ini satu hiburan
jika temasyanya menghitamkan rasa
tika arahan demi arahan disebar
kau kulihat makin berlegar
di mana-mana namamu tersebar
dan kau terus tawa dan gelak
tari dan lagumu semakin galak
Tidak terasa aku bahawa ini satu gurauan
jika pestanya merantai jiwa
permintaan demi permintaan dirayu
cadangan demi cadangan dipalu
gegendang telinga mendengar sayu dan pilu
dan kau terus menebar citra
membina empayar
yang rahsianya
hanya Tuhan Maha mengetahui
April, 13. 2020
ummiHasni
GUNDAH YANG TERSITA (COVID-19)
Bagai dijentik gelisah
enggan aku percaya pada jalan cerita
persis diinjak resah
yang gelojaknya bercampur baur
antara secangkir duka dan suka
tidak mampu aku mengadap fikir
yang bisa terzahir
tidak bisa terlafaz dek bicara
yang bertapa di lorong-lorong masa
berbungkus gundah yang tersita
bergumpal syarat yang tersisa
menyusun amanah yang dibayar
entah ini rezeki siapa
membilang nikmat begini
sambil jari menghitung mimpi
kernamu corona
aku sudah bisa membuka lembar sejadah
seawal azan menitip waktu
aku sudah mampu membuka surat cinta Allah
sekerap mana berbanding dulu
Nikmat apa lagi yang bisa aku nafikan?
April, 16. 2020
ummiHasni
TARIAN MENGGILA (COVID-19)
Corona terus tersenyum manis
terus-terusan menari langkah sinis
gah dan hebat di puncak akhbar
nama menjadi terkenal
dengan pelbagai gelar
Ini bukan lagi satu senda
tika manusia diberi rehat
gurauan menjadi ujian
hiburan menjadi dugaan
hikmah tersembunyi
hanya iman berdrama di dada
Siapa pernah menduga
dalam rumah sendiri akan terpenjara
undang-undang negara
bicara tanpa suara
langkah tanpa gaya
hilang kata-kata
sabar dan reda
syukur
pada sebuah rahsia
April, 21. 2020
ummiHasni
RAMADAN HADIR, HAKIKAT ! (COVID-19)
Tersenyum Ramadan berkunjung
siapa aku menolak hukum
kehadiran yang dinanti
keranamu, Corona… terungkap sejuta misteri
Suatu nikmat, bukan?
Hakikat !
Tersenyum Ramadan melangkah
siapa aku menolak barokah
kedatangan yang ditunggu
keranamu, Corona… tersingkap sejuta rahsia
Suatu nikmat, bukan ?
Hakikat
Tanpa alunan azan memecah dinihari
tanpa alunan azan menghantar mentari
sepi
sunyi
tapi Ramadan tetap berseri
Hakikat !
Tiba-tiba aku rasa bahagia
kerana Ramadan kali ini sungguh berbeza
syukur dan sabar sangat hebat
kugenggam Ramadan ketat-ketat
kupegang Ramadan erat-erat
kerna belum pernah kurasa begini nikmat
Hakikat !
April, 26. 2020
ummiHasni
LAGU SEPI, LAGU RINDU (COVID-19)
Entah
aku sendiri tidak faham
akan lagu yang yang berkumandang
irama persis sedih melodi indah
namun hati terus diburu gundah
Berbaris wira mengisi saat-saat luka
merintih sepi melagukan rindu duka
pada suami, isteri, anak-anak dan keluarga
lagu itu lagu mereka
lagu itu lagu lara
Nyanyian pilu wira yang tidak didendang
merdunya kabur dan sumbang
tapi indah dan manis menjentik perasaan
kerna berhati emas sungguh kalian
rindu dan pilu kemas disimpan
bulan bintang mentari menari silih berganti
namun tak lupa mengingat nama kalian dalam sanubari
bukan untuk dicatat dalam khazanah
memadai disebut dalam doa dalam rahmah
terlakar bertakhta dalam hati
sebagai insan berbudi
Entahlah
payah juga untuk dimengerti
aku yang berkhalwat di rumah sendiri
masih rindu, masih sunyi, masih sepi
bagaimana pula mereka di sana saban hari
sabar, reda, tabah dan mensyukuri
walau berjanji dengan maut tanpa kompromi
Mei, 4. 2020
ummiHasni