1.1 PENGENALAN UKUR BAHAN
Ukur Bahan atau Quantity Surverying adalah salah satu bidang
yang penting di dalam industri pembinaan. Ia adalah berdiri
sebaris dengan profesional-profesional lain seperti Arkitek,
Jurutera Awam, Mekanikal dan Elektrikal.
Mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1930an.
Seorang jurukur bahan atau QS berperanan menjadi seorang
penasihat dan berkebolehan untuk menasihat pihak klien dari
segi perancangan serta kawalan kos projek serta pentadbiran
kontrak. Tugas seorang Jurukur Bahan adalah bermula dari
proses Kajian Kemungkinan atau Feasibilty Studies sehinggalah
penyediaan Akaun Muktamad.
Fungsi-fungsi juruukur bahan adalah
i) secara kasar berkaitan dengan kawalan kos di projek-projek
pembinaan, termasuk kos perancangan, kejuruteraan nilai,
kajian kemungkinan, analisis kos faedah dan pengiraan kos.
ii) Juruukur mengawal pembinaan kos dengan melakukan seperti
yang ditetapkan bagi sesebuah projek berdasarkan kepada
kos upah buruh, kos bahan dan logistiknserta implikasi-implikasi
daripada keputusan-keputusan reka bentuk di peringkat awal
untuk memastikan bahawa nilai yang baik diperolehi untuk wang
akan dibelanjakan.
iii) menyediakan pengurusan kewangan dan perkhidmatan
perundingan kos.
1.2 PENGENALAN UKUR KUANTITI
Pengukuran adalah proses dimana ukuran bagi item-item binaan
diambil dari lukisan yang telah disediakan dan dicatatkan ke dalam
kertas khas. Ukuran-ukuran ini kemudian didarabkan dan
dicampurkan untuk mendapat kuantiti dalam unit yang ditetapkan.
Pengukuran kuantiti bangunan dilakukan bertujuan untuk
menghasilkan dokumen Senarai Kuantiti. Kuantiti yang
dimaksudkan adalah anggaran amaun bahan dan buruh yang
diperlukan untuk pelaksanaan sesuatu item kerja bagi sesebuah
bangunan.
Jumlah kos kerja-kerja tersebut menunjukkan keperluan kos untuk
menyiapkan bangunan berkenaan.
1.3 DEFINISI SENARAI KUANTITI
Senarai kuantiti atau Bill of Quantity (BQ) juga dikenali sebagai
senarai bahan.
Merupakan dokumen yang disediakan oleh Juruukur Bahan
melalui pengukuran yang dibuat ke atas lukisan dan spesifikasi
yang disediakan oleh Perunding Arkitek atau Jurutera Awam.
Dokumen ini menyenaraikan kuantiti untuk kerja di dalam urutan
tertentu yang disusun dalam format yang diiktiraf untuk
memudahkan kontraktor menghargakan kerja-kerja yang terlibat.
Semua pengukuran kuantiti dibuat berdasarkan peraturan
pengukuran iaitu Malaysia Standard Method Measurement of
Building Works (SMM)
CONTOH SENARAI KUANTITI
1.4 KANDUNGAN SENARAI KUANTITI
Senarai kuantiti disediakan dengan menggunakan kaedah
tertentu untuk mengukur dan menyenaraikan item-item
binaan. Bagi menyeragamkan dan mengelakkan kekeliruan
pengguna, senarai kuantiti yang disediakan oleh kontraktor,
arkitek, jurutera dan juruukur bahan adalah berdasarkan
Kaedah Pengukuran Setara (Standard Method of
Measurement – SMM).
Senarai kuantiti hendaklah mengandungi maklumat-
maklumat asas yang disampaikan dalam bentuk tertentu
supaya mudah difahami.
a) Kehendak permulaan
Bahagian ini menerangkan jenis dan had kerja, keperluan klien,
kemudahan sementara di tapak dan perkara-perkara lain yang
mempengaruhi pelaksanaan kerja.
Perkara-perkara yang terlibat tidak diukur dan hanya
memerlukan penerangan terperinci.
Kontraktor pula akan menghargakan mana-mana item yang
melibatkan perbelanjaan untuk pelaksanaannya dalam bentuk
harga pukal. Item-item di dalam kehendak permulaan ini tidak
akan menjadi sebahagian daripada produk akhir tetapi
diperlukan untuk melicinkan proses pembinaan.
b) Spesifikasi
Keterangan berkaitan dengan kualiti bahan dan kerja, yang biasanya
tidak sesuai untuk disampaikan melalui lukisan, yang diperlukan
untuk pelaksanaan kerja serta maklumat-maklumat lain yang
diperlukan oleh kontraktor untuk menghargakan senarai kuantiti.
Dengan adanya spesifikasi, penerangan kuantiti yang diukur dapat
diringkaskan dan dapat dihargakan dengan lebih mudah oleh
kontraktor.
c) Kuantiti terukur
• Kuantiti yang diperoleh hasil daripada pengukuran semua
kerja-kerja binaan yang boleh diukur.
• Dibuat berpandukan kepada dokumen Kaedah Pengukuran
Standard yang diluluskan. Kuantiti ini adalah dianggap tetap.
Pengukuran kuantiti hendaklah dibuat dengan tepat supaya
tidak merugikan mana-mana pihak semasa pelaksanaan kerja.
d) Kuantiti sementara
Sama seperti kuantiti terukur tetapi untuk kerja yang mana
tidak boleh diukur dengan tepat semasa penyediaan senarai
kuantiti.
Keadaan ini boleh terjadi disebabkan maklumat kerja tidak
lengkap atau had kerja tidak mungkin diketahui sehingga
kerja disiapkan. Pengukuran semula akan dibuat apabila
kerja tersebut telah dilaksanakan untuk mendapat kuantiti
sebenar.
e) Wang kos prima
• Suatu peruntukan yang disediakan untuk kerja-kerja yang
akan dilaksanakan oleh kontraktor kecil yang dilantik.
• Biasanya untuk kerja-kerja yang memerlukan kemahiran
tertentu atau oleh badan kerajaan dan juga untuk barang
yang akan dibekalkan oleh pembekal yang dilantik.
f) Wang sementara
Suatu peruntukan yang disediakan untuk kerja-kerja yang
tidak dapat ditentukan jenis dan hadnya semasa penyediaan
senarai kuantiti.
Anggaran peruntukan tersebut hendaklah mencukupi untuk
membiayai kerja berkenaan apabila maklumat kerja
disediakan dan arahan pelaksanaannya dikeluarkan oleh
Arkitek.
g) Wang luar jangka
• Suatu peruntukan yang disediakan untuk kerja-kerja
yang tidak dapat dijangkakan semasa penyediaan
senarai kuantiti.
• Sekiranya peruntukan ini tidak dibelanjakan kerana
tidak timbul perkara-perkara di luar jangkaan, amaun
ini merupakan penjimatan kepada klien
1.5 KEGUNAAN SENARAI KUANTITI
a)Sebagai dokumen tender
Dokumen ini mengandungi senarai lengkap tentang kuantiti
dan penerangan semua item buruh, bahan dan perkhidmatan.
Disediakan menggunakan kaedah Pengukuran Standard.
b)Sebagai dokumen kontrak
Dokumen ini mengandungi maklumat lengkap yang
menerangkan dengan jelas tanggungjawab semua pihak yang
terlibat di dalam kontrak.
Dokumen ini akan menjadi panduan untuk pentadbiran
kontrak sepanjang pelaksanaan kerja.
c) Menjadi asas kepada perakuan interim
Semasa pelaksanaan kontrak, kontraktor akan dibayar untuk
kerja-kerja yang telah siap dari semasa ke semasa. Pengiraan
kuantiti kerja siap dibuat berdasarkan peratusan ke atas
kuantiti di dalam senarai kuantiti dan penilaiannya
menggunakan kadar harga kontrak.
d)Menjadi asas penilaian kerja perubahan
Penilaian perubahan kerja, sama ada pertambahan,
pengurangan atau penggantian, dikira berdasarkan kadar
harga kontrak atau kadar harga kontrak yang dilaraskan atau
butiran kerja harian yang terdapat di dalam dokumen kontrak.
e)Menjadi asas maklum balas kepada kontraktor
Kontraktor dengan mudah dapat menyemak kerja-kerja yang
telah siap dan perbelanjaan yang telah dibuat untuk setiap
bahagian kerja.
f)Membantu pengurusan kerja kontraktor
Pihak kontraktor tidak perlu mengukur kuantiti sendiri dalam
dalam tender dengan masa yang amat terhad dan
membebankannya.
Kontraktor juga dapat manfaat daripada kuantiti yang diberi
dalam perancangan dan pengurusan bahan, buruh dan jentera di
tapak binaan.
Berpandukan senarai kuantiti, kontraktor boleh merancang
amaun dan masa sumber-sumber tertentu diperlukan.
g)Menjadi punca data kos kepada Juruukur Bahan
Maklumat yang ada pada senarai kuantiti berguna kepada
Juruukur Bahan untuk tujuan membuat anggaran kos projek
yang akan datang
Kadar harga kontrak pula boleh dijadikan asas untuk
menetapkan harga sesuatu projek yang lain.
1.6 CESMM dan SMM
Senarai Kuantiti (BQ) yang disediakan oleh Juruukur
Bahan (QS) adalah bersandarkan kepada Malaysia
Standard Method Measurement of Building Works (SMM)
keluaran Pertubuhan Juruukur Malaysia (ISM) bagi kerja-
kerja Bangunan atau berasaskan kepada Malaysia
Standard Method of Measurement for Civil Engineering
Works (CESMM) yang dikeluarkan oleh Lembaga
Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)
untuk kerja-kerja kejuruteraan sivil.
Apa itu SMM???
SMM adalah dokumen yang mengandungi butir-butir dan
penerangan mengenai cara mengambil ukuran, menulis
huraian dan menyenaraikan item-item binaan.
SMM juga dijadikan sebagai panduan dan bahan rujukan bagi
kerja-kerja penyukatan dalam binaan bangunan.
Bagi kerja bangunan, SMM untuk bangunan digunakan
manakala bagi kerja-kerja kejuruteraan awam penggunaan
SMM untuk kerja kejuruteraan digunakan.
Salah satu bahagian dalam Prinsip-Prinsip Am menyebut
bahawa senarai kuantiti hendaklah dihuraikan secara terperinci
dan tepat mengenai kerja-kerja yang akan dijalankan. Mana-
mana bahagian kerja yang tidak boleh diukur dengan tepat
hendaklah dimasukkan ke dalam bahagian Provisional serta
diberi nilai anggaran kasar.
Apa itu CESMM???
Kerja-kerja pengukuran dirujuk kepada satu dokumen yang
dinamakan CESMM disediakan bertujuan untuk memudahkan
semua pihak terlibat memahami kandungan dan skop sesuatu
projek tersebut.
Dengan bentuk jadual serta rujukan-rujukan yang boleh
dikenalpasti, kerja pengukuran menjadi lebih mudah dan
kemungkinan item-item yang tertinggal dari diukur adalah
minimum. Ini bersesuaian dengan sifat kerja kejuruteraan awam
yang melibatkan skala dan kos yang besar dan memerlukan
kaedah pengukuran yang sistematik, mudah difahami oleh
kedua-dua pihak iaitu kontraktor dan klien.