DIARI
SEBAGAI SEORANG
PEKERJA
NUR SYAKIRIN BINTI CHE MOHD
SHAHIRAN
BI21110162
SEKSYEN 3
PENGENALAN
Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada
pembaca yang sedang membaca buku saya ini. Buku yang saya tulis
ini akan menceritakan pengalaman saya bekerja di sebuah syarikat
yang mempunyai banyak cawangan di Malaysia iaitu Guardian.
Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada ibu bapa, adik -beradik
dan rakan-rakan saya yang sentiasa menyokong saya daripada awal
hingga akhir, tanpa mereka tidak akan wujudlah buku ini. Saya
berharap buku ini dapat memberi inspirasi kepada semua yang
membacanya. Terima kasih.
BAB
SATU
Mencari kerja selepas belajar
Selepas tamatnya pengajian saya di Kolej Matrikulasi pada bulan Mei 2021
yang lalu, saya telah duduk di rumah selama 2 bulan untuk rehatkan diri
dan meluangkan masa bersama keluarga. Maklumlah sudah 6 bulan
terkurung di kawasan kolej matrikulasi akibat Covid-19, ia menyebabkan
kami tidak dapat keluar dari kawasan kolej.
Ketika berada di rumah, saya sering membeli barang secara atas talian.
Saya telah membeli barang-barang tersebut dengan menggunakan duit
simpanan yang saya simpan ketika berada di matrikulasi. Tidak la banyak
mana duit simpanan saya itu tetapi boleh digunakan untuk membeli barang
yang saya inginkan.
Pada suatu hari, kawan saya yang diberi nama Sarah telah menghantar
mesej untuk mengajak saya mencari kerja. Saya berasa itu merupakan idea
yang menarik disebabkan pada waktu itu, duit yang saya simpan sudah
semakin berkurang dan masih ada masa lagi sementara menunggu tawaran
sambung belajar diumumkan.
Saya telah mencari kerja di kedai yang berdekatan dengan rumah saya
tetapi malangnya, tidak ada kedai yang memerlukan pekerja sambilan pada
waktu tersebut. Kemudian, sedang saya mencari kerja kosong di ‘Facebook’,
lalu saya ternampak satu pautan oleh syarikat Guardian yang sedang
mencari pekerja sambilan. Tanpa melengahkan masa, saya pun terus
mencuba nasib dengan menghantar mesej ke nombor yang diberikan.
BAB
DUA
Pengalaman baharu
Selepas beberapa hari setalah saya menghantar mesej kepada nombor
tersebut, saya telah dipanggil untuk ke kedai Guardian tersebut bagi tujuan
mengisi borang permohonan. Saya telah ditawarkan jawatan sebagai
juruwang di kedai tersebut. Sebelum mula bekerja, saya diminta untuk
membuat ujian RTK untuk memastikan saya bebas dari Covid-19. Daripada
sini, saya dapat melihat bahawa syarikat ini amat mengambil berat tentang
kesihatan pekerjanya.
Pada 6 Julai 2021, saya memulakan hari pertama saya sebagai seorang
pekerja di kedai itu. Kedai tersebut tidaklah terletak di dalam bangunan
pusat membeli belah tetapi terletak di lot kedai yang berada tepi jalan.
Kedai tersebut bukan la kedai yang baru, kerana reka bentuk dalaman kedai
itu masih menggunakan reka bentuk yang lama. Jika di kedai yang baru
mereka akan menggunakan rak yang rendah tetapi di kedai ini masih
menggunakan rak yang tinggi.
Selepas saya memasuki kedai tersebut, saya telah diminta untuk masuk ke
pejabat dan setelah memasukinya, pejabat kedai itu kelihatan sangatlah
kecil. Saya telah duduk di sebuah kerusi dan diberi penerangan tentang
skop kerja, cara pemakaian dan peraturan yang perlu dipatuhi. Saya terkejut
apabila mengetahui saya akan dibayar RM 9 per jam. Gaji tersebut bagi saya
sudah cukup tinggi untuk pekerja separuh masa jika dibandingkan dengan
kedai yang lain. Kemudian, penyelia kedai tersebut telah memperkenalkan
saya kepada beberapa orang pekerja di situ dan dia juga telah membawa
saya mengelilingi kedai tersebut sambil memberitahu tentang perkara-
perkara yang penting.
BAB
TIGA
Kerja yang dilakukan
Di kedai ini terdapat tiga jawatan iaitu pengurus, penyelia dan juruwang.
Setiap jawatan mempunyai tugasan yang berbeza tetapi kami akan saling
membantu antara satu sama lain untuk menyelesaikan tugas tersebut.
Terdapat tiga syif dimana setiap syif akan terdapat seorang penyelia dan
seorang juruwang yang akan bertugas. Bukan itu sahaja, di kedai tersebut
juga mempunyai enam bahagian dimana setiap seorang daripada kami akan
mempunyai satu bahagian yang kami perlu dijaga.
Sebagai seorang juruwang, tugas utama saya adalah menjaga kaunter dan
melayan pelanggan yang datang ke kedai. Kami perlu mengucapkan
‘Selamat Datang’ kepada pelanggan yang datang dan mengucapkan ‘Terima
Kasih’ ketika pelanggan ingin keluar daripada kedai tersebut. Selain itu, pada
waktu pembukaan kedai, tugas juruwang juga adalah mengelap dan
membersihkan habuk yang ada diatas rak-rak yang berada di dalam kedai
tersebut. Kami juga perlu mencuci tandas setiap dua minggu sekali.
Manakala selepas kedai tutup pula, juruwang perlulah mengemop lantai
untuk memastikan lantai tersebut bersih dari kekotoran.
Bukan itu sahaja, pada setiap minggu juga stok akan sampai ke kedai
sebanyak dua kali (maksimum). Ketika stok sampai ke kedai, kami perlu
menyusun barang-barang tersebut ke rumah mereka. Barang yang sampai
ini akan mengambil masa lebih kurang 2 hari untuk disusun. Hal ini
bergantung kepada jumlah barang yang sampai ketika itu. Kadang kala, stok
ini datang dalam kuantiti yang banyak kerana pada minggu sebelumnya itu
stok tersebut tidak dihantar. Berdasarkan pengalaman saya, 3 minggu
merupakan tempoh paling lama kami tidak menerima sebarang stok dan
menyebabkan ada pelanggan yang bertanya kepada kami sama ada kedai
akan ditutup. Perkara ini telah kami utarakan kepada pihak atasan dan
pihak atasan telah mengambil tindakan dengan memberitahu kami yang di
gudang mempunyai beberapa masalah yang menyebabkan stok sampai
lambat ke kedai. Selepas beberapa minggu, perkara ini telah diselesaikan
dan stok barang sampai ke kedai seperti yang sepatutnya.
Bekerja di kedai yang menjual barang keperluan harian seperti Guardian
ini bukanlah mudah kerana kami sebagai pekerja perlu menyemak tarikh
luput setiap barang yang dijual. Setiap lima bulan, kami akan membuat
penyemakan tarikh luput dimana tujuan penyemakan ini adalah untuk
memastikan kedai kami menjual barangan yang boleh digunakan oleh
pembeli sebelum tarikh luput. Manakala untuk makanan pula, kami akan
membuat penyemakan setiap dua bulan sekali. Hal ini kerana, tempoh
tarikh luput bagi makanan dan minuman adalah singkat jika dibandingkan
dengan barang-barang yang lain. Setelah menulis buku ini, barulah saya
sedar bahawa terdapat banyak juga skop pekerjaan yang perlu saya lakukan
tetapi saya tidak terasa bebanan tersebut kerana semua kerja yang
diberikan sudah diatur dengan sistematik.
BAB
EMPAT
Promosi yang dilakukan
Seperti semua maklum, Guardian merupakan syarikat yang sering
melakukan promosi tidak kira pada musim perayaan ataupun bukan.
Guardian mempunyai tiga jenis promosi iaitu promosi bulanan, mingguan
dan sempena perayaan. Sebelum saya bekerja disini, saya tidak pernah tahu
bahawa kedai ini melakukan banyak promosi, setahu saya mereka hanya
lakukan ketika musim perayaan sahaja.
Apakah perbezaan antara tiga promosi ini? Perbezaan antara ketiga-tiga
promosi adalah diskaun yang diberikan. Diskaun bagi promosi bulanan
selalunya akan lebih rendah daripada promosi mingguan. Manakala diskaun
promosi sempena perayaan akan lebih tinggi jika dibandingkan dengan
promosi yang lain. Contohnya ketika promosi mingguan, syampu hanya
mempunyai 20% diskaun tetapi jika pelanggan membeli syampu ketika
promosi sempena perayaan pelanggan tersebut akan mendapat diskaun
sebanyak 50%.
Ketika promosi besar-besaran tipulah kalau saya kata saya tidak penat.
Pada ketika itu, ramai pelanggan yang akan datang ke kedai untuk membeli
barang keperluan seperti syampu, alat penjagaan kulit dan barang yang
paling hangat ketika perayaan adalah barang kosmetik. Ramai yang tidak
tahu akan promosi yang dilakukan tetapi sejak dua menjak ini saya sering
terjumpa video promosi Guardian di media sosial seperti Tiktok dan
Facebook. Bukan setakat video promosi yang dimuat naik oleh pihak kami
sahaja malah video yang dimuat naik oleh pelanggan amatlah membantu
kami dalam mempromosikan diskaun yang ada pada waktu tersebut. Kami
sebagai juruwang juga akan mempromosikan akaun telegram kedai kami
kepada pelanggan supaya mereka dapat mengetahui promosi-promosi
yang diadakan.
Pada setiap bulan, kami akan diberikan sasaran jualan dimana jika kami
dapat mencapai sasaran yang diberikan kami akan memperolehi bonus
mengikut jumlah jam kami bekerja. Ketika bukan musim perayaan juga kami
akan diberikan bonus jika berjaya mencapai sasaran yang diberikan. Bagi
saya, ini merupakan salah satu cara yang bagus untuk majikan menghargai
penat lelah pekerja-pekerjanya.
BAB
LIMA
Latihan yang disediakan
Guardian merupakan syarikat yang besar dan mempunyai banyak
cawangan di seluruh negara. Pekerja-pekerjanya juga bukan sahaja di kedai
tetapi terdapat juga pekerja di pejabat dan di gudang tempat penyimpanan
barang. Pihak Guardian telah mencipta sebuah aplikasi yang dinamakan
‘Axonify’. Aplikasi ini digunakan untuk melatih pekerja-pekerja tentang cara
bekerja yang disarankan oleh mereka. Apabila kami membuat latihan dalam
aplikasi ini, kami akan memperoleh mata ganjaran sekiranya kami melepasi
sasaran yang ditetapkan kami akan memperoleh ganjaran seperti baucar.
Selain itu bagi pekerja baharu, mereka akan menghadiri sesi latihan khas
dimana latihan ini diadakan secara bersemuka tetapi sejak Covid-19
menimpa dunia, latihan ini hanya diadakan secara atas talian. Semua yang
memasuki latihan ini adalah merupakan pekerja baharu. Ketika saya
mengikuti latihan ini saya berasa sangat seronok dan tidak bosan. Hal ini
kerana topik yang mereka bentangkan sangatlah menarik dan mereka juga
ada menyediakan permainan untuk bermain bersama.
Bukan setakat latihan tetapi kami juga mempunyai mesyuarat tahunan
dimana mesyuarat ini sering dilakukan pada awal tahun. Tujuan mesyuarat
ini adalah untuk memberi tahu pencapaian setiap kedai, perubahan yang
telah dilakukan dan memaklumkan barang-barang baru yang akan masuk ke
dalam kedai. Ketika mesyuarat ini berlangsung kami diberikan beg yang diisi
dengan pelbagai barang seperti tisu, barang kecantikan, cawan dan
sebagainya. Walaupun mesyuarat ini diadakan secara atas talian, makanan
untuk kami telah disediakan oleh mereka.
BAB
ENAM
Pelanggan yang hadir ke kedai
Pekerjaan yang saya lakukan ini mestilah tidak boleh lari daripada
berjumpa dengan pelbagai ragam jenis manusia. Ketika saya bekerja di
kedai ini, terdapat ragam manusia yang kadang-kadang membuatkan saya
terkejut. Contohnya, ada pelanggan yang akan datang ke kedai ketika
promosi, ada yang jenis ambil dan terus bayar tanpa melihat harga, ada
yang jenis meluangkan masa dengan mengelilingi kedai selama berjam-jam,
ada yang jenis menyemak tarikh luput dan ada juga yang tidak kisah tentang
tarikh luput barang tersebut. Perkara ini membuatkan saya kagum apabila
saya dapat melihat pelbagai jenis ragam pelanggan. Jenis ragam pelanggan
yang paling membuatkan saya kagum ialah pelanggan yang datang ke kedai
untuk membeli barang demi mendapatkan barang percuma. Mereka
sanggup membeli barang sehingga mencapai jumlah yang telah ditetapkan
demi mendapatkan barang percuma tersebut. Saya terfikir mungkin mereka
akan menjual balik barang yang mereka beli itu kerana tidak mungkin
mereka akan memerlukan tiga jenis gincu yang mempunyai kod yang sama.
Di setiap kedai akan terdapat pelanggan tetap. Pelanggan tetap ini adalah
selalunya merupakan orang yang bekerja atau tinggal di kawasan
berdekatan dengan kedai tersebut. Berdasarkan pemerhatian saya,
pelanggan tetap lebih mengetahui bila waktu yang sesuai untuk membeli
barang. Buktinya di kedai saya bekerja, terdapat ramai yang saya boleh
katakan merupakan pelanggan tetap. Hal ini kerana, mereka akan datang ke
kedai pada setiap minggu atau setiap bulan. Kehadiran mereka boleh
dikatakan kerap kerana saya boleh mengenali dan mengingati mereka
sehingga ada yang apabila berjumpa boleh berborak bersama sampai satu
tahap jika saya tidak bekerja mereka akan bertanya kepada rakan sekerja
saya dimana saya. Kadang-kadang ada pelanggan yang akan membuatkan
kami sebagai pekerja gembira dan juga semestinya ada juga pelanggan yang
membuatkan kami berasa ingin marah.
BAB
TUJUH
Refleksi diri
Setelah hampir setahun saya bekerja, terdapat banyak perkara yang saya
belajar. Hal ini memberikan kesedaran dan membuka mata saya tentang
kehidupan di dunia ini. Antara perkara yang saya pelajari adalah cara
membeli barang dengan jimat. Dahulunya, saya merupakan seorang yang
akan membeli barang tanpa melihat harga, tetapi sejak saya bekerja disini
saya dapat melihat pelanggan dan rakan sekerja saya sanggup menunggu
promosi diadakan untuk membeli barang. Oleh itu, saya juga akan
menunggu promosi diadakan untuk membeli barang dan saya juga akan
membandingkan harga di setiap kedai.
Pada usia 20-an ini merupakan usia dimana kita akan menggunakan duit
yang kita perolehi untuk keseronakkan sendiri tetapi apabila saya melihat
rakan sekerja saya yang perlu hidup secara minima untuk menyara diri, dan
ada pelanggan yang tidak jadi membeli barang keperluan tersebut kerana
tidak mempunyai wang yang mencukupi, saya mendapat kesedaran bahawa
saya perlulah bijak dalam menguruskan wang saya. Setelah bekerja, saya
mula membuat simpanan untuk masa depan saya. Bukan itu sahaja, saya
juga belajar cara menyimpan duit dengan menggunakan formula 50 30 20.
Ketika bekerja saya juga belajar bahawa kita perlulah mempunyai sifat
saling memahami antara satu sama lain. Hal ini kerana, apabila kita
memahami situasi orang lain, mereka juga akan memahami situasi kita
apabila kita menghadapi masalah. Selain itu, saya juga belajar bahawa
komunikasi di antara pekerja dan majikan amatlah penting untuk
menyelesaikan segala masalah yang kita hadapi. Dengan berkomunikasi ia
dapat mengelakkan pergaduhan daripada terjadi. Bekerja secara
berkumpulan memerlukan kepercayaan, kefahaman dan sifat tolong-
menolong yang kuat. Jika tiada semua ini, pergaduhan dan salah faham
berkemungkinan akan berlaku.
PENUTUP
Kesimpulannya, menjadi juruwang bukan lah mudah seperti mana
yang kita lihat selama ni. Setiap pekerjaan mempunyai kebaikan dan
keburukan yang tersendiri. Kita sebagai manusia haruslah sentiasa
berusaha untuk menjadi yang lebih baik. Tidak mengapa jika kita
ketinggalan daripada orang lain kerana apa yang penting adalah apa
yang kita belajar semasa proses dalam mencapai kejayaan. Bagi
anak muda yang tidak sabar ingin bekerja, percayalah alam
pekerjaan tidaklah indah seperti yang anda dengari.