The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by PUSAT SUMBER SMK SUNGKAI, 2021-01-09 02:10:01

Kajian Tindakan : Meningkatkan Penguasaan Pelajar Dalam Membezakan Jenis Kata Kerja Tak Transitif Dalam Kalangan Pelajar Tingkatan Enam Atas Semester Dua - Satu Kajian Tindakan Menggunakan Formula ‘Traffic Light’

Kajian Tindakan Panitia Bahasa Melayu

Keywords: Meningkatkan Penguasaan Pelajar Dalam Membezakan Jenis Kata Kerja Tak Transitif Dalam Kalangan Pelajar Tingkatan Enam Atas Semester Dua - Satu Kajian Tindakan Menggunakan Formula ‘Traffic Light’

MENINGKATKAN PENGUASAAN PELAJAR DALAM MEMBEZAKAN JENIS
KATA KERJA TAK TRANSITIF DALAM KALANGAN PELAJAR TINGKATAN

ENAM ATAS SEMESTER DUA - SATU KAJIAN TINDAKAN
MENGGUNAKAN FORMULA ‘TRAFFIC LIGHT’

Rohani binti Mat Tia
Mat Rahim bin Mat Tahir

Abstrak

Kajian tindakan ini dilaksanakan untuk memberi kesedaran pada diri sendiri, iaitu
anjakan paradigma untuk keluar daripada pemikiran yang negatif, dan berikhtiar
mencari jalan penyelesaian terhadap masalah serta rintangan yang dihadapi
dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Jika disebut morfologi, dan
sintaksis, bab ini menimbulkan kerisauan dalam kalangan pelajar tingkatan enam.
Pelaksanaan tinjauan awal saya laksanakan melalui pemerhatian tingkah laku
pelajar, temu bual, soal selidik, praujian, ujian pos dan pelaksanaan pdpc
menggunakan formula ‘Traffic Light’. Hasil tinjauan awal, data-data yang
diperoleh saya gunakan sebagai petunjuk untuk saya mengenal pasti pelajar tidak
mahir atau menghadapi kesukaran untuk membezakan kata kerja tak transitif.
Kata kerja tak trasitif dibahagikan kepada tiga bentuk, iaitu kata kerja tak transitif
berpelengkap, kata kerja tak transitif tanpa berperlengkap, dan kata kerja tak
transitif berpenerang. Pelajar sering keliru dan tidak dapat membezakan ketiga-
tiga kata kerja tak transitif ini. Kemahiran membezakan kata kerja tak transitif ini
penting bagi setiap pelajar untuk menyumbang markah. Untuk mendepani
masalah kesukaran untuk membezakan kata kerja tak transitif ini dalam pelajar
tingkatan enam semester dua, saya menggunakan formula ‘Traffic Light’, iaitu
gabungan tiga konsep warna. Warna berkenaan ialah warna merah, kuning, dan
hijau. Seramai 10 orang pelajar serta dua orang guru terlibat dalam kajian ini.
Tiga aktiviti pengajaran, dan pembelajaran dijalankan dalam tempoh sebulan
bulan. Aktiviti ini dijalankan selama 40 hingga 80 minit. Keputusan praujian, dan
ujian pos oleh 10 orang pelajar sasaran yang semakin meningkat menunjukkan
kekeliruan pelajar dalam membezakan ketiga-tiga kata kerja tak transitif ini
dengan menggunakan formula ‘Traffic Light’ berjaya mengurangkan kekeliruan,
dan seterusnya meningkatkan pemahaman pelajar. Kesimpulannnya, formula ini
telah dapat mengurangkan kekeliruan pelajar dalam membezakan kata kerja tak
transitif, dan seterusnya pemahaman pelajar meningkat. Formula ‘Traffic Light’
telah berjaya mengubah tingkah laku pelajar lebih positif dan berkeyakinan
semasa menjawab soalan-soalan ujian dan peperiksaan. Semoga formula ini dapat
digunakan oleh guru-guru dalam meningkatkan pemahaman pelajar dalam
mengenal pasti, memahami, dan membezakan kata kerja tak transitif tanpa
pelengkap, kata kerja tak transitif berpelengkap dan kata kerja tak transitif
berpenerang.

1.0 PENDAHULUAN

Selepas kajian kami tahun 2018 berkaitan penggunaan warna dalam membezakan
bentuk kata dan golongan kata, kali ini kajian kami masih diteruskan dengan
menggunakan warna. Bidang kajian tindakan yang akan dijalankan ini fokus pada kata
kerja tak tak transitif. Kata kerja tak transitif ini dibahagikan kepada tiga, iaitu kata
kerja transitif berperlengkap, kata kerja tak transitif tak berperlengkap, dan kata kerja
transitif berpenerang. Pecahan kata kerja transitif ini perlu dibuat kajian kerana
sebilangan besar pelajar tidak dapat membezakan ketiga-tiga kata kerja tak transitif ini.
Implikasinya, pelajar akan kerugian kerana soalan berkaitan dengan tajuk ini sering
dikemukakan dalam soalan Bahasa Melayu Kertas Dua STPM. Oleh hal yang
demikian, satu tindakan perlu diambil untuk memastikan pemahaman pelajar sasaran
mampu membezakan ketiga-tiga kata kerja tak transitif ini.

Kajian ini dilaksanakan oleh dua orang penyelidik, iaitu Puan Rohani binti Mat
Tia, dan Tuan Haji Mat Rahim bin Mat Tahir. Kedua-duanya berpengalaman mengajar
mata pelajaran Bahasa Melayu tingkatan enam lebih daripada 12 tahun. Mata Pelajaran
yang diajar oleh kedua-duanya ialah Bahasa Melayu 910/1, 910/2, dan 910/3.
Keseluruhan pelajar yang diajar terdiri daripada mereka yang lulus peringkat kepujian,
dan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun 2017. Walaupun kebanyakan pelajar ini
lulus kepujian, dan cemerlang dalam SPM, hal ini bukan bermakna mereka semua
mampu menguasai ilmu tatabahasa dengan baik pada peringkat prauniversiti. Oleh itu,
tanggungjawab ini perlu digalas oleh guru-guru Bahasa Melayu yang mengajar di
tingkatan enam. Pusat Tingkatan Enam SMK Sungkai mula menerima pelajar tingkatan
enam sejak tahun 1989 hinggalah kini. Kini, Pusat Tingkatan Enam ini mempunyai
lapan kelas, iaitu empat kelas di tingkatan enam semester tiga, dan empat kelas di
tingkatan semester satu. Mata pelajaran Bahasa Melayu diwajibkan kepada pelajar
untuk melengkapkan empat mata pelajaran dalam peperiksaan STPM. Pada semester
dua ini, bilangan pelajar yang akan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu seramai
46 orang.

2.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU

Sepanjang lebih 12 tahun pengalaman saya mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu
910/2, khususnya bab morfologi, dan sintaksis, bab inilah yang amat mencabar saya,
dan pelajar. Cabaran saya adalah untuk memastikan pelajar dapat pemahaman
membezakan setiap elemen tatabahasa yang terdapat dalam sukatan, sementara cabaran
pelajar pula untuk dapat pemahaman membezakan elemen-elemen yang terdapat dalam
morforlogi. Pelajar menghadapi kesukaran untuk menyatakan kata kerja aktif transitif,
dan kata kerja tak transitif apabila diajak berbincang. Kadang-kadang ada pelajar agak
ragu-ragu dalam membezakan kata kerja transitif aktif, dan kata kerja tak transitif.

Pengalaman saya mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan
pelajar tingkatan enam, ialah kelemahan pelajar menguasai morfologi begitu ketara.
Dalam hal ini saya selaku guru mata pelajaran Bahasa Melayu tingkatan enam begitu
terasa kerana kegagalan saya memahamkan pelajar dalam bab morfologi, amat
merugikan mereka. Bayangkan pelajar yang sudah melalui pembelajaran bahasa
Melayu bermula dari sekolah rendah hingga sekolah menengah, masih gagal menguasai
bidang morfologi dengan betul. Pada tahun lalu, saya telah melaksanakan kajian
berkaitan gologan kata, dan bentuk kata. Alhamdulillah, teknik warna telah berjaya
meningkatkan pemahaman pelajar dalam membezakan golongan kata, dan bentuk kata.
Kajian seterusnya pada tahun ini, saya akan fokuskan pada kata kerja tak transitif. Kata
kerja tak transitif ini terdiri daripada kata kerja tak transitif tak berpelangkap, kata
kerja tak transitif berperlengkap, dan kata kerja tak transitif berpenerang. Kegagalan
pelajar untuk membezakan ketiga-tiga kata kerja tak transitif ini amat merugikan
pelajar. Oleh itu, satu tindakan perlu saya ambil untuk saya kenal pasti punca utama
kegagalan pelajar menghadapi kesukaran untuk membezakan kata kerja tak transitif ini.
Jika tindakan ini lewat diambil akan merugikan pelajar.

Hasil daripada pemerhatian saya, sebahagian besar pelajar berjaya memahami
kata kerja tak transitif, dan pecahannya tetapi menghadapi kesukaran untuk
membezakan kata kerja tak transitif yang mengandungi tiga unsur, iaitu kata kerja tak
transitif tak berperlengkap, kata kerja tak transitif berperlengkap, dan kata kerja tak

transitif berpenerang. Jawapan pelajar pada setiap persoalan yang dikemukakan oleh
guru, jelas menunjukkan pelajar mengalami keliruan.

Kegagalan sesetengah pelajar memahami ketiga-tiga aspek kata kerja tak
transitif perlu ditangani segera. Persoalannya mengapakah perkara ini berlaku, dan
siapa yang harus dipertanggungjawabkan? Dalam hal ini, mungkin ada yang
berpendapat kesalahan itu terletak pada pelajar itu sendiri. Stigma saling menyalahi
perlu dielakkan, tetapi perlu ada jalan penyelesaian. Oleh itu, segala permasalahan
pelajar ini, saya perlu bertanggungjawab. Kegagalan saya memahamkan pelajar
terhadap tiga pecahan kata kerja tak transitif ini perlu saya tangani secara berhemah.
Oleh itu, saya perlu bertanggungjawab untuk mendepani cabaran ini agar pelajar tidak
menjadi mangsa akibat kecuaian saya dalam pengajaran dan pembelajaran (pdpc).

Berdasarkan pengalaman saya beberapa tahun dalam bidang pendidikan ini
melalui pemerhatian, dan pemeriksaan tugasan pelajar, terdapat beberapa punca
perkara ini berlaku. Antaranya sikap pelajar yang tidak bersungguh-sungguh untuk
mengulang kaji pelajaran selepas selesai sesi pdpc di dalam kelas. Selain itu, sikap
saya pula sentiasa hendak habiskan silibus, kerana terikat dengan masa. Tambahan
pula, banyak gangguan yang sering menjejaskan pdpc. Saya optimis bahawa saya
sedang berdepan dengan sekumpulan pelajar yang boleh dibentuk, dan berpotensi
untuk mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir pada penggal ini.

Bertitik tolak daripada isu pelajar ini, saya perlu bertindak segera untuk
mengatasinya. Saya perlu membuat perubahan pada diri. Saya perlu membuat kajian
tindakan untuk menyelesaikan masalah saya ini. Saya perlu melakukan tinjauan awal
dengan meminta 10 orang pelajar tingkatan enam Semester Dua Ibnu-Khaldum untuk
menjawab satu soal selidik yang menjurus ke arah kelemahan penguasaan pelajar
menguasai kata kerja tak transitif.

Selain itu, saya perlu melaksanakan praujian, dan keputusannya akan saya
analisis. Praujian ini hanya fokus pada aspek kata kerja tak transitif. Seterusnya, dalam
melengkapkan kajian, saya perlu membuat pemerhatian, dan temu bual. Tujuan saya

berbuat demikian untuk mendapatkan maklumat berkaitan penguasaan pelajar tentang
kata kerja tak transitif. Saya perlu juga berbincang dengan rakan guru bahasa Melayu
untuk mendapat satu penyelesaian yang konkrit. Hasil daripada perbincangan ini, akan
saya gunakan untuk mencari penyelesaian untuk memastikan penguasaan pelajar
membezakan kata kerja tak transitif tak berperlengkap, kata kerja tak transitif
berperlengakap, dan kata kerja tak transitif berpenerang.

3.0 ISU KEPRIHATINAN / FOKUS KAJIAN

Isu keprihatinan yang menjadi fokus masalah saya ialah pelajar tidak faham hal-hal
yang berkaitan kata kerja tak transitif. Permasalahan ini timbul sewaktu saya
berbincang dengan rakan sekerja. Saya berpendapat permasalahan ini perlu
diselesaikan segera, dan bertitik tolak daripada perbincangan ini, saya masih perlu
mendapatkan maklumat lanjut lagi tentang permasalahan pelajar ini. Rakan sekerja
memberi input yang sangat bermakna buat saya, iaitu pelajar bukan sahaja kurang
faham, malah keliru tidak dapat membezakan antara kata kerja tak transitif.
Perbincangan saya, dan rakan sekerja terus berusaha, dan memikirkan satu solusi
untuk mendepani masalah ini segera.

Sebenarnya masalah pemahaman pelajar dalam bidang morfologi ini banyak,
apatah lagi bidang sintaksis. Saya dan rakan sekerja perlu menyelesaikan satu persatu,
dan masalah ini perlu kami beri keutamaan untuk diselesaikan dahulu. Perbincangan
demi perbincangan, akhirnya saya dan rakan sekerja cuba memikirkan menggunakan
formula Traffic Light, iaitu penggunaan gabungan tiga warna merah, kuning, dan
merah. Saya mencadangkan kaedah ini kepada rakan sekerja saya, dan beliau bersetuju.
Saya juga berpendapat apa-apa yang dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah
pelajar perlu ada evidens. Bermula daripada perbincangan permasalahan, dan kaedah
untuk mendepaninya, maka saya dan rakan sekerja perlu menjalankan kajian tindakan
untuk menyelesaikan masalah ini.

3.0 OBJEKTIF KAJIAN

3.1 Objektif Umum
Objektif kajian adalah untuk meningkatkan pemahaman pelajar terhadap aspek
morfologi.

3.2 Objektif Khusus
3.2.1 Mengenal pasti permasalahan yang dihadapi oleh 10 orang pelajar dalam

memahami aspek morfologi.
3.2.2 Merancang, dan mengambil beberapa tindakan yang perlu bagi mendepani

permasalahan 10 orang pelajar secara holistik dalam memahami kaedah
membezakan kata kerja tak transitif.
3.2.3 Meningkatkan pemahaman 10 orang pelajar dalam membezakan tiga jenis kata
kerja tak transitif melalui formula ‘Traffic Light’.

4.0 KUMPULAN SASARAN
Kumpulan sasaran kajian ialah pelajar Tingkatan Enam Semester Dua Ibnu-
Khaldum. Kelas ini terdiri daripada sembilan orang pelajar perempuan, dan
seorang pelajar lelaki. Jumlah keseluruhan pelajar yang terlibat dalam kajian ini
seramai 10 orang. Prestasi akademik 10 orang pelajar ini tidak menentu.
Keseluruhan prestasi pelajar belum menunjukkan pencapaian yang
membanggakan guru, dan pihak sekolah. Kajian ini melibatkan dua orang guru
berpengalaman yang mengajar lebih daripada 12 tahun mata pelajaran Bahasa
Melayu tingkatan enam.

5.0 PELAKSANAAN KAJIAN

5.1 Tinjauan awal masalah:

Sebelum langkah-langkah yang seterusnya diambil dalam menjalankan kajian ini,
tinjauan terhadap masalah ini telah dibuat bertujuan untuk saya memahami
dengan lebih mendalam masalah tersebut. Oleh itu dalam melaksanakan kajian
ini, beberapa kaedah digunakan untuk pengumpulan data. Antara kaedah yang
digunakan ialah kaedah pemerhatian, soal selidik, temu duga, praujian, dan ujian
pos. Data-data yang diperoleh dianalisis, dan dipersembahkan dalam bentuk
jadual serta grafik.

1.1.1 Pemerhatian

Pada awalnya saya merancang untuk melakukan pemerhatian kepada rakan
sekerja pada setiap kali pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Namun
demikian, hasrat ini tidak dapat saya lakukan. Saya cuma dapat melakukan
pemerhatian sekali dilihat sebelum kajian, iaitu pada 4 Februari 2019, dan sekali
selepas kajian, iaitu pada 11 Februari 2019. Saya melakukan pemerhatian tidak
berstruktur, iaitu dilakukan tanpa merujuk kepada set aktiviti atau aspek yang
telah dikenal pasti. Saya perlu menentukan fokus pemerhatian. Fokus ini
termasuk tingkah laku murid, body language semasa pengajaran dan
pembelajaran seorang murid atau sekumpulan murid dan pergerakan dalam bilik
darjah. Aspek tingkah laku pelajar dicatat oleh pembantu saya dalam diari kajian,
khususnya berkaitan tingkah laku pelajar semasa guru mengajar. Data-data yang
diperoleh dianalisis untuk saya merancang tindakan-tindakan yang perlu diambil
bagi memastikan pemahaman pelajar terhadap pengajaran guru dapat difahami
dan dihayati secara menyeluruh.

Pemerhatian juga saya lakukan dengan menyemak keputusan Ujian
Diagnostik (UD) dan Peperiksaan Percubaan STPM PPC). Hasil semakan kedua-
dua keputusan peperiksaan berkenaan, kebanyakan pelajar di kelas 6 Atas
Semester 2 Ibnu Khaldum aras pencapaian bahasa Melayu mereka pada tahap
potensi cemerlang, lulus, potensi lulus, dan gagal. Dalam pencapaian pelajar

dalam UD, tiga orang pelajar pada tahap potensi cemerlang, tiga lulus, dua
potensi lulus, dan dua gagal. Bagi PPC, pencapaian pelajar ialah lima potensi
cemerlang, empat lulus dan seorang gagal. Oleh hal yang demikian, kebanyakan
pencapaian pelajar membanggakan, tetapi perlu digilap agar keputusan lebih
cemerlang daripada yang diperoleh pada masa UD dan PPC.

5.1.1.1 Refleksi Pemerhatian Pdpc dalam Kelas

Berdasarkan pemerhatian semasa pdpc berlangsung pada hari Isnin bersamaan 04
Februari 2019 di Kelas 6 Semester 2 2019, sebelum kajian dilaksanakan didapati
masa guru mengajar segelintir tingkah laku pelajar terpingga-pingga, ‘blurr’, diam
seolah-olah faham, apabila ditanya soalan kelihatan gelisah dan mula bertanya
atau menjeling kawan sebelah. Tingkah laku sebegini sering ditunjukkan oleh
pelajar di kelas 6 Atas Semester 2 apabila tidak memahami sesuatu subtajuk
semasa saya mengajar. Hal ini amat saya maklum berdasarkan pemerhatian
selama menjadi guru berbelas-belas tahun.

Selepas pemerhatian pertama, segala maklumat saya kongsi bersama-sama
dengan rakan panitia untuk kami menyelesaikan isu pelajar yang tidak memahami
subtajuk yang saya ajar. Setelah beberapa siri perbincangan, saya dan rakan
berusaha mencipta satu kaedah yang menggunakan warna. Kaedah menggunakan
warna ini pernah saya gunakan pada tahun 2018 untuk menyelesaikan subtajuk
bentuk kata dan golongan kata. Oleh itu, pada tahun ini saya masih menggunakan
subtajuk kata kerja tak transitif dengan menggunakan teknik traffic light.
Penggunaan Teknik ini telah saya mulakan pada Isnin 11 Februari 2019. Semasa
menggunakan teknik ini, tingkah laku pelajar mula menunjukkan aksi positif suka
bertanya dan mencuba, menjawab soalan-soalan yang saya tanya dengan yakin
dan berani. Terpapar pada wajah pelajar-pelajar saya sesuatu yang
menyeronokkan apabila yang diajar dapat difahami oleh mereka. Pemahaman
terhadap subtajuk ini saya uji dengan bertanya soalan di dalam kelas. Soalan-
soalan secara lisan berkaitan tajuk dapat dijawab dengan baik walaupun ada
sesetengah soalan masih mengelirukan mereka.

5.1.2 Sesi Temu Bual

Selain itu, sesi temu bual 18 sampel pelajar telah saya jalankan selama 10 hari
bermula pada 04-15 Februari 2019 bagi mendapatkan input permasalahan yang
dihadapi oleh pelajar dalam memahami aspek morfologi. Pemilihan pelajar untuk
ditemu bual dipilih secara rawak. Hasil daripada temu duga ini saya analisis, dan
data-data yang diperoleh kami gunakan dalam perbincangan PLC (Professional
Learning Community).

5.1.2.1 Refleksi Temu Bual

Sesi temu bual sampel beberapa orang pelajar telah saya jalankan pada 04 dan 15
Februari 2019, di bilik Galeri Sejarah. Tujuan temu bual ini bagi mendapatkan
input permasalahan yang dihadapi oleh pelajar dalam memahami aspek
memahami, mengenal pasti dan membezakan ketiga-tiga kata kerja tak transitif.
Soalan temu duga berbentuk soalan terbuka, dan mudah dijawab.

Hasil daripada temu bual ini rata-rata pelajar menjelaskan 18 orang
bersetuju bahagian morfologi sukar difahami. 18 orang pelajar bersetuju jika
mereka dapat menguasai morfologi memudahkan mereka menguasai tatabahasa
Bahasa Melayu. Antara tajuk dalam golongan kata yang sukar dikuasai, jawapan
agak pelbagai, iaitu 14 orang mengatakan kata kerja, kata tugas seorang, kata
nama seorang, kata adjektif 2 orang dan semua 2 orang. Apa-apa pun apabila
dibuat rumusan, keseluruhan pelajar bersetuju tajuk yang paling sukar ialah kata
kerja. Hal ini dikatakan demikian kerana 10 orang pelajar mengatakan banyak
perkara yang perlu difahami, keliru dan susah mengingatinya, 04 orang
mengatakan tajuk ini terlalu padat dan rumit, lantaran itu sukar hendak
mengingatinya, seorang pelajar pula sukar untuk membezakan kata kerja transitif
dan kata kerja tak transitif, dan 03 orang mengatakan terlalu banyak untuk
dihafal.

Turut dikemukakan soalan kepada pelajar ialah pilihan tajuk kata kerja
transitif dan kata kerja tak transitif dari aspek aras kesukaran. 02 orang pelajar
memaklumkan bahawa subtajuk kata kerja transitif adalah sukar, manakala 16
orang mengatakan kata kerja tak transitif. Hal ini dikatakan demikian kerana
keseluruhan pelajar engatakan keliru hendak membezakan kedua-dua kata kerja
ini. Pelajar keliru hendak membezakan kata kerja tak transitif kerana kata kerja
ini mempunyai 03 pecahan, iaitu kata kerja tak transitif tanpa pelengkap, kata
kerja tak transitif berpelengkap, dan kata kerja tak transitif berpenerang. 03 orang
pelajar menghadapi kesukaran pada kata kerja tak transitif tanpa pelengkap, 07
orang pada kata kerja tak transitif berpelengkap dan 13 orang pelajar pada kata
kerja tak transitif berpenerang. Rumusannya ketiga-tiga aspek kata kerja tak
transitif ini sukar difahami pelajar.

Oleh itu, kebanyakan pelajar mempunyai cara untuk menyelesaikannya.
Apa-apa pun cara penyelesaiannya, saya terima sebagaimana adanya walaupun
saya tahu jawapannya masih dalam dilema. Antara jawapan pelajar ialah tulis
nota ringkas berserta contoh ayat, memperbanyak buat latihan, membuat kata
kunci, ulang kaji dan fahamkan tajuk, membuat istilah singkatan, berbincang
bersama rakan, fokus waktu belajar di kelas, ulang kaji dan bertanya guru serta
rakan. Sebagai guru, saya meraikan jawapan pelajar yang pelbagai. Hakikatnya,
pelajar perlu ada satu formula khusus untuk memahami pecahan tiga kata kerja
tak transitif dengan lebih berkesan.

Memandangkan permasalahan pelajar telah saya kenal pasti, maka saya dan
rakan-rakan dalam Panitia Bahasa Melayu Tingkatan Enam telah mengadakan
PLC beberapa kali untuk memudahkan isu ini ditangani. Kekal pemahaman
terhadap isu ini dalam ingatan pelajar tidak lama. Semasa di bilik darjah, mereka
dapat memahaminya tetapi keesokan harinya segala-galanya berlalu begitu
sahaja. Permasalahan ialah pelajar tidak dapat mengenal pasti dan membezakan
kata kerja tak transitif tanpa pelengkap, kata kerja tak transitif berpelengkap, dan
kata kerja tak transitif berpenerang. Semasa saya mengajar, mereka seolah-olah
faham tetapi hakikatnya sebenarnya mereka masih keliru. Keesokan harinya
apabila ditanya, jawapan pelajar tidak konsisten. Oleh itu, saya berusaha untuk

menangani masalah ini sebaik mungkin. Hasil daripada maklumat yang
diperoleh, saya dan rakan sekerja berbincang untuk membetulkan keadaan. Oleh
itu, saya perlu memikirkan teknik yang berkesan untuk memastikan subtajuk ini
mudah difahami, dan diaplikasi serta diingati oleh semua pelajar saya.

5.1.3 Soal Selidik

Selain temu bual dengan pelajar, saya juga telah melaksanakan sesi soal selidik
kepada beberapa orang pelajar Tingkatan Enam Semester Dua secara rawak.
Kumpulan pelajar ini diambil daripada kumpulan yang tidak menjalani temu
bual. Soal selidik ini diberi kepada 10 orang pelajar yang mengandungi 10
soalan. Soalan berusaha untuk mendapatkan maklumat permasalahan yang
dihadapi oleh pelajar dalam memahami bidang morforlogi.

5.1.3.1 Refleksi Soal Selidik

Hasil daripada dapatan soal selidik berkaitan permasalahan pelajar tentang isu
tatabahasa dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada penggal dua ini ialah 09
orang pelajar menganggap tatabahasa lebih penting daripada aspek lain seperti
penulisan dan pemahaman, manakala seorang menganggap sebaliknya. 10 orang
pelajar bersetuju yang guru bahasa Melayu pada penggal ini banyak menekankan
aspek tatabahasa. 10 orang pelajar bersetuju dalam silibus penggal dua ini, rumus-
rumus tatabahasa perlu difahami dan diingati oleh pelajar. Seterusnya, 10 orang
pelajar bersetuju pembelajaran tatabahasa dapat membantu mereka dalam
penulisan, justeru mereka bersetuju bahawa mereka perlu sering bertanya guru
hal-hal yang berkait rapat dengan tatabahasa demi meningkatkan pengetahuan
tentang tatabahasa dan memperbaik penulisan mereka dari semasa ke semasa.
Pelajar saya sering menghadapi kemusykilan mengenai tatabahasa, dan 10 orang
bersetuju cara menanganinya dengan bertanyakan guru. Selain itu, 10 orang
pelajar bersetuju untuk menguasai tatabahasa, mereka perlu menyiapkan tugasan
kerja-kerja rumah yang diberi oleh guru. Pada penggal dua ini, 9 daripada 10

orang pelajar menganggap tatabahasa pada penggal ini mampu menghalang
mereka daripada mendapat markah yang baik. Hal ini dikatakan demikian kerana
peperiksaan STPM mengikut pengalaman saya tahun-tahun sebelumnya, jika
mereka gagal untuk menguasai rumus-rumus tatabahasa peratus untuk gagal
adalah tinggi. Hal ini dibuktikan oleh 10 orang pelajar, apabila soalan tatabahasa
dikemukakan secara teori, mereka tidak yakin untuk menjawabnya secara baik.
Oleh itu, 8 orang pelajar daripada 10 orang pelajar bersetuju untuk memberi
tumpuan kepada tatabahasa berbanding penulisan pada penggal dua ini.

5.1.4 Praujian

Dalam melaksanakan kajian ini, saya melaksanakan praujian sebanyak dua kali.
Praujian pertama ini mengandungi 08 soalan dan praujian kedua mengandungi 07
soalan. Soalan tertumpu kepada pelbagai kata kerja tak transitif. Pelajar perlu
memahami dan membezakan yang mana kata kerja tak transitif tanpa pelengkap,
kata kerja tak transitif berpelengkap, dan kata kerja tak transitif berpenerang.
Hasil daripada praujian ini, saya analisis, dan dapatan ini saya gunakan untuk
mengatur strategi bagi mengatasi masalah pengajaran saya ini. Soalan praujian
ini boleh dirujuk dalam Lampiran 4 dan Lampiran 5

5.1.4.1 Refleksi Praujian

Praujian saya laksanakan pada 05 Februari 2019 untuk menguji sejauh mana
pemahaman pelajar dapat mengenal pasti dan membezakan tiga jenis kata kerja
tak transitif. Sebanyak 08 soalan pelbagai jenis kata kerja transitif diberi kepada
10 orang pelajar untuk mejawabnya. Hasilnya daripada praujian itu seperti
berikut:-

Praujian 1

Nama Pelajar Markah

Pelajar A 1/8

Pelajar B 1/8

Pelajar C 2/8

Pelajar D 2/8

Pelajar E 2/8

Pelajar F 1/8

Pelajar G 3/8

Pelajar H 4/8

Pelajar I 5/8

Pelajar J 6/8

Jadual 1

Jadual 1 menunjukkan pencapaian kadar markah pelajar ialah 01 hingga 06
daripada 10 markah penuh. Jelas menunjukkan pelajar tidak faham dan keliru
dengan tajuk yang dipelajari.

Praujian 2 Markah
Nama Pelajar 1/7
1/7
Pelajar A 1/7
Pelajar B 1/7
Pelajar C 2/7
Pelajar D
Pelajar E

Pelajar F 2/7

Pelajar G 3/7

Pelajar H 4/7

Pelajar I 6/7

Pelajar J 7/7

Jadual 2

Jadual 2 juga menujukkan markah pencapaian dalam praujian masih rendah, iaitu
antara 01 hingga 04 markah daripada 07 markah. Hanya dua orang pelajar yang
mendapat markah cemerlang, iaitu 06 hingga 07. Rumusannnya, kedua-dua
praujian menunjukkan markah pencapaian 08 orang pelajar daripada 10 orang
pelajar tidak memuaskan. Jelas di sini menunjukkan pemahaman pelajar terhadap
ketiga-tiga aspek kata kerja tak transitif belum mencapai tahap sebenar, kecuali
dua orang murid tetap konsisten dengan jawapannya.

5.1.5 Ujian Pos

Selepas sesi pdpc menggunakan formula ‘Traffic Light’ menggunakan
pembelajaran abad ke-21, saya menjalankan ujian pos selepas sesi pdpc tamat
pada hari berkenaan. Saya telah melaksanakan tiga kali pdpc menggunakan
formula ‘Traffic Light’, dan tiga kali ujian pos. Ketiga-tiga ujian pos ini
mengandungi 10 soalan setiap ujian. Ketiga-tiga ujian ini perlu saya semak
sebagai evidens sama ada pemahaman pelajar semakin meningkat atau
sebaliknya. Keputusan ujian pos yang meningkat atau sebaliknya boleh dijadikan
asas sama ada formula ini berjaya atau sebaliknya. Apa-apa pun keputusannya,
tindakan susulan perlu saya ambil untuk melalui kajian gelung kedua atau
mengubah suai atau beralih kepada teknik yang lain.

5.1.5.1 Refleksi Ujian Pos

Hasil daripada ketiga-tiga ujian pos yang dilaksanakan pada hari yang berlainan,
didapati pemahaman pelajar terhadap ketiga-tiga aspek kata kerja tak tarnsitif
semakin hari semakin meningkat. Ujian Pos 01, 02 dan 03 membuktikan bahawa
pencapaian, dan pemahaman pelajar terhadap ketiga-tiga aspek kata kerja tak
transitif ini dengan menggunakan formula ‘Traffic Light’ dengan gabungan tiga
warna, iaitu warna merah, kuning dan hijau semakin hari semakin bertambah.
Berikut ialah keputusan Ujian Pos 1, 2 dan 3.

Ujian Pos 1

Nama Pelajar Markah

Pelajar A 06/10

Pelajar B 09/10

Pelajar C 09/10

Pelajar D 10/10

Pelajar E 9/10

Pelajar F 10/10

Pelajar G 09/10

Pelajar H 09/10

Pelajar I 10/10

Pelajar J 10/10

Jadual 3

Jadual 3 dalam Ujian Pos 1 menunjukkan terdapat peningkatan markah bagi
semua pelajar bermula daripada markah 6/10 hingga 10/10 berbanding praujian
sebelum ini yang menunjukkan markah rendah agak setara bagi 08 pelajar
daripada 10 orang pelajar. Jelas, trend pemahaman pelajar semakin meningkat,
dan kekeliruan semakin berkurangan.

Ujian Pos 2

Nama Pelajar Markah

Pelajar A 08/10

Pelajar B 08/10

Pelajar C 10/10

Pelajar D 09/10

Pelajar E 09/10

Pelajar F 09/10

Pelajar G 10/10

Pelajar H 10/10

Pelajar I 10/10

Pelajar J 10/10

Jadual 4

Jadual 4 jelas menunjukkan pencapaian pelajar dalam memahamkan kata kerja
tak transitif semakin hari semakin meningkat. Hal ini dibuktikan dengan markah
pencapaian pelajar paling rendah 08/10 dan paling tinggi 10/10.

Ujian Pos 3 Markah
Nama Pelajar 10/10
10/10
Pelajar A 09/10
Pelajar B 10/10
Pelajar C 09/10
Pelajar D
Pelajar E

Pelajar F 10/10

Pelajar G 10/10

Pelajar H 10/10

Pelajar I 10/10

Pelajar J 10/10

Jadual 5

Jadual 5 dalam Ujian Pos 3 semakin ketara. Pencapaian markah pelajar antara
09 hingga 10 daripada 10 markah. Dalam hal ini jelas menunjukkan pemahaman
pelajar terhadap tajuk kata kerja tak transitif semakin hari semakin mantap
dengan menggunakan formula ‘Traffic Light’.

5.1.6 Sesi Pdpc Menggunakan Formula ‘Traffic Light’

Sesi pdpc menggunakan formula ‘Traffic Light’ saya laksanakan selama tiga kali.
Sesi menggunakan formula ini diseiringkan dengan teknik pembelajaran
Adragogi, iatu kaedah kuliah. Dalam pdpc pelajar diajar satu persatu mengenal
pasti kata kerja tak transitif tanpa pelengkap, kata kerja tak transitif berpelengkap,
dan kata kerja berpenerang menggunakan formula atau teknik ‘Traffic Light’.

Selepas itu, setiap pelajar diberi tiga penanda berwarna, iaitu warna merah,
kuning, dan hijau. Pelajar diberi penerangan tentang kegunaan tiga penanda
warna, ibarat ‘Traffic Light”. Warna ‘merah’ menunjukkan ayat itu mengandungi
kata kerja yang lengkap. Maksudnya ayat tersebut mempunyai makna dan boleh
berdiri sendiri. Warna ‘kuning’ menunjukkan kata kerja tak transitif itu lengkap
dan boleh berdiri sendiri. Pelajar boleh meneruskan kata kerja dengan syarat kata
kerja tak transitif itu perlu diikuti dengan kata nama. Hal ini menunjukkan
berlakunya proses kata kerja tak transitif berpenerang. Akhir sekali, warna hijau
bermakna ayat tersebut tidak lengakap atau tergantung dan perlu pelengkap untuk
menjadikan kata kerja itu bermakna dan boleh berdiri sendiri. Hal ini bermakna
kata kerja tak transitif berpelengkap.

Apabila saya membacakan ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif,
pelajar perlu mengangkat salah satu warna ‘Traffic Light’. Penilaian terhadap
pemahaman pelajar dalam subtajuk ini dilihat dengan penanda warna. Di sini,
saya dapat melihat secara mudah, berdasarkan soalan, pelajar perlu menjawab
dengan mengangkat penanda salah satu daripada tiga warna. Tiga kali saya
menggunakan formula ‘Traffic Light’, jelas menunjukkan pemahaman pelajar
semakin meningkat dengan setiap pelajar begitu yakin mengangkat penanda tiga
warna ‘Traffic Light’ apabila saya meminta mereka menunjukkan penanda warna
dan menjelaskan sebab musabab mereka memilih jawapan pada soalan yang
dikemukakan secara lisan atau bertulis.

Bagi menjelaskan pemahaman dan mengurangkan kekeliruan pelajar, saya
uji pelajar dengan beberapa siri ujian. Jelas menunjukkan, penggunaan formula
‘Traffic Light’ dapat meningkatkan pemahaman dalam subtajuk berkenaan dan
kekeliruan dalam kalangan pelajar Tingkatan 6 Atas Semester Dua Ibnu Khaldum
seramai 10 orang dapat dikurangkan.

5.1.7 Refleksi Sesi Pdpc Menggunakan Formula ‘Traffic Light’

Sesi pdpc menggunakan formula ‘Traffic Light” saya laksanakan sebanyak tiga
kali, iaitu pada 11, 18 dan 25 Februari 2019 di Kelas 6 Semester 2 Ibnu Khaldum.
Formula ‘traffic light’ ialah satu teknik pdpc yang menggunakan konsep tiga
warna. Warna-warna itu ialah warna merah, kuning, dan hijau.

Dalam hal ini warna merah menunjukkan kata kerja tak transitif tanpa
pelengkap. Hal ini menunjukkan kata kerja tak transitif tanpa pelangkap itu tidak
memerlukan perkataan lain kerana ayatnya difahami dan bermakna serta boleh
berdiri sendiri. Warna kuning pula menunjukkan kata kerja tak transitif
berpenerang. Hal ini bermakna kata kerja tak transitif itu boleh berhenti setakat
itu, atau jika diteruskan perlu diikuti dengan kata nama. Bagi warna hijau
menjelaskan kata kerja tak transitif berpelengakap. Hal ini bermakna kata kerja
itu tidak lengkap tetapi memerlukan perkataan lain untuk melengkapkannya.
Dengan perkataan lain, kata kerja tak transitif ini tergantung dan tidak lengkap.

Kata kerja ini perlu diteruskan dengan melengkapkan perkataan lain agar ayat ini
tidak tergantung dan ayat ini bermakna, dan difahami.

Rumusan daripada pdpc sebanyak tiga kali, telah membuktikan
pemahaman pelajar semakin hari semakin mantap. Formula ‘Traffic Light’
berjaya mengurangkan kekeliruan pelajar Tingkatan 6 Atas Semester 2 Ibnu
Khaldum dalam membezakan ketiga-tiga aspek kata kerja tak transitif berjaya
dikurangkan, justeru pemahaman pelajar terhadap kata kerja ini semakin
meningkat.

5.1.7 Refleksi Selepas Kajian

Selepas selesai melaksanakan semua tindakan, saya melakukan sesi refleksi diri
terhadap setiap tindakan yang telah saya ambil. Jelas menunjukkan hasil kajian
tindakan yang telah saya laksanakan membuktikan banyak membantu
meningkatkan pemahaman pelajar, dan mengurangkan kekeliruan menggunakan
pendekatan konsep warna. Selama ini saya hanya bergantung kepada buku
rujukan yang jelas merunsingkan semua pihak kerana kandungannya yang padat
dan sukar difahami. Saya telah mengambil inisiatif memudahkan subtajuk ini
dengan menggunakan tiga warna, iaitu warna merah, kuning, dan hijau.
InsyaAllah dengan kajian ini, saya akan berusaha untuk mengaplikasikannya
pada kelas-kelas lain. Pengetahuan dan pengalaman ini saya akan kongsikan
dengan rakan-rakan agar formula ini dapat dimanfaatkan oleh semua guru. Segala
kemaslahatan daripada formula ini diharap dapat membantu guru-guru
menangani subtajuk yang mengelirukan, dan kesukaran pelajar dalam
membezakan sesuatu subtajuk yang diajar kepada pelajar. Semoga dengan
refleksi ini, saya dapat meningkatkan setiap tindakan yang saya ambil untuk
membaiki amalan pdpc saya yang akan datang. Saya perlu sering melihat cermin
untuk melihat kelemahan diri, dan tidak melihat kanta membesarkan kelemahan
pelajar. Insya-Allah dengan koloboratif guru-guru mata pelajaran Bahasa Melayu
tingkatan enam, dan pelajarnya, saya pasti setiap permasalahan ada jalan
penyelesaiannnya.

2.0 RUMUSAN KAJIAN

Berdasarkan kajian tindakan yang saya laksanakan dalam menangani kekeliruan pelajar
membezakan subtajuk kata kerja tak transitif, iaitu kata kerja tak transitif tanpa
pelengkap, kata kerja tak transitif berpelengkap, dan kata kerja tak transitif
berpenerang, alhamdulillah isu ini telah dapat diselesaikan hasil daripada koloboratif
dalam kalangan guru bahasa Melayu tingkatan enam, Pengurusan Tingkatan Enam
SMK Sungkai. Pelaksanaan kajian bermula dengan kaedah pemerhatian, temu bual,
soal selidik, pra ujian, ujian pos dan pelaksanaan pdpc dalam kelas menggunakan
formula ‘Traffic Light’ berjaya meningkatkan pemahaman 10 orang pelajar tingkatan
6 Atas Semester 2 Ibnu Khaldum terhadap subtajuk kata kerja tak transitif.
Sesungguhnya, kajian telah membuktikan pemahaman pelajar semakin hari semakin
meningkat dan pelajar terus mencipta keyakinan untuk menjawab soalan ini tanpa ragu-
ragu. Hasil keputusan praujian dan ujian pos membuktikan peningkatan markah pelajar.
Peningkatan markah pelajar yang begitu ketara dan konsisten, jelas menunjukkan
formula ‘Traffic Light’ banyak membantu guru dan pelajar dalam memahami subtajuk
mengenal pasti dan membezakan tiga aspek kata kerja tak transitif. Pelajar semakin
berkeyakinan, dan dari sini pihak kami dapat melahirkan guru-guru muda.

3.0 PENUTUP

Kajian Tindakan merupakan satu elemen yang perlu dipraktikkan oleh semua guru
dalam rutin kehidupannya sebagai pendidik. Hal ini dikatakan demikian kerana guru-
guru mempunyai banyak isu yang berkait rapat dengan pendidikan. Isu-isu ini perlu
diambil untuk diselesaikan secara ilmiah melalui kajian. Tambahan pula, respondens
atau sampel kajian ada di hadapan guru-guru. Profesion selain profesion perguruan,
penyelidik terpaksa mencari sampel di sekolah tetapi bagi guru-guru, sampel telah
berada di hadapan mata, dan tidak perlu dicari. Oleh itu, guru-guru ambillah peluang
ini dengan melakukan penyelidikan. Guru yang melakukan penyelidikan merupakan
guru yang kreatif dan inovatif. Hal inilah yang dituntut oleh KPM dalam melahirkan
guru yang berilmu, dan berwawasan. Kajian tindakan adalah untuk melahirkan guru
sebagai penyelidik. Budaya guru sebagai penyelidk amat perlu pada alaf baru ini. Insya-

Allah dengan kajian yang bertajuk ‘Meningkatkan Penguasaan Pelajar Dalam
Membezakan Jenis Kata Kerja Tak Transitif dalam Kalangan Pelajar Tingkatan Enam
Atas Semester Dua – Satu Kajian Tindakan Menggunakan Formula ‘Traffic Light’ akan
saya teruskan dengan membuat kajian-kajian lain dalam menyelesaikan kekeliruan
pelajar dalam memahami dan membezakan subtajuk yang lain. Saya berusaha untuk
menangani isu pelajar dalam ‘Analisis Kesalahan Bahasa’, khususnya dalam aspek
mengenal pasti kesalahan bahasa, memberi sebab kesalahan, dan membetulkan
kesalahan Bahasa. Selain itu, saya berusaha untuk meningkatkan aspek penulisan isi
karangan menggunakan teknik air terjun. Seterusnya jika diberi kesempatan dan ruang
waktu, saya ingin membuat kajian dalam menyelesaikan aspek morfologi, dan
sintaksis. Banyak kajian tentang aspek ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa
kerana silibusnya terlalu luas dan padat. Semakin banyak dipelajari, semakin
mengelirukan pelajar. Oleh itu, saya perlu bertindak memudahkan silibus Bahasa
Melayu di tingkatan enam agar aspek morfologfi dan sintaksis dapat dikuasai oleh
pelajar di tingkatan enam dengan baik. Kesimpulannya, kajian tindakan menggunakan
kaedah ini dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, saya membuat kesimpulan bahawa
kebanyakan pelajar akan faham, dan memanfaatkan teknik ini sepenuhnya dalam
pembelajaran mereka. Pencapaian pelajar dalam praujian dan beberapa siri ujian pos
mampu menunjukkan peningkatan yang agak ketara. Kemahiran pelajar tingkatan enam
atas Ibnu Khaldum mengaplikasikan formula ‘traffic light’, mampu memantapkan
penguasaan mereka dalam membezakan kata kerja tak transitif dengan mudah. Semoga
segala usaha murni saya dan rakan mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah
s.w.t.

BIBLIOGRAFI
Ahmad Jazimin Jusuh (2007). “Hubungan Personaliti Warna dengan Minat

Kerjaya dalam Kalangan Pelajar UPM”. Latihan Ilmiah Master Sains
(Bimbingan dan Kaunseling). Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM.

Atan Long (1976). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Adabi Sdn.Bhd. Hassan
Mohd Ghazali. “Warna dan Personaliti”. Diakses pada 05 Februari 2019,
daripada http://psikotube.blogspot.com/2011/09/warna-personaliti.html

Cikgu Suhaimin. “47 Aktiviti Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) dalam Pembelajaran
dan Pemudahcaraan (PdPc)”. Diakses pada 10 Mac 2019, daripada
http://www.cikgusuhaimin.com/2017/10/47-aktiviti-pembelajaran-abad-ke-21-
pak.html

Hanizah Hassan (2016). Aplikasi I-Pandora Ke arah Meningkatkan Kefahaman dan
Penguasaan Aspek Tatabahasa. Penulisan Kajian Tindakan, SMK Sultan
Abdul Aziz, Kajang.

Majlis Peperiksaan Malaysia (2012). Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan
Enam. Selangor Darul Ehsan: MPM.

Mat Rahim Mat Tahir dan Rohani Mat Tia (2018). Mengingkatkan Penguasaan Pelajar
Membezakan Golongan Kata dan Bentuk Kata. Penulisan Kajian Tindakan,
SMK Sungkai, Sungkai.

Mr. Ujang. “Peranan warna dalam kehidupan”. Diakses pada 08 Mac 2019, daripada
http://greenpolen.blogspot.com/2010/02/peranan-warna-dalam-
kehidupan.html.

Lampiran 1
910

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN UD PPC STPM STPM Bahasa Melayu
PEP UD PPC2 STPMP2 2019 2

Bil Nama KLS UD PPC

1 AMIR ZULHILMI BIN AZMAN 6AIK F FF
2 NOOR FITRIYYAH BINTI ZULKAPLI 6AIK B- B- B
3 NOR FATIHAH ATIKAH BINTI MOHD SHAFEI 6AIK D B- D+
4 NUR AISYAH HUMAIRA BINTI ABU BAKAR 6AIK B+ B+ A
5 NUR HANIS BINTI KAMARUL REDZUAN 6AIK C C C+
6 NUR HIDAYATUN DINI BINTI MOHD NAZRI 6AIK D+ CF
7 NURUL SABRINA BINTI JAMALI 6AIK B- C B+
8 NURUL TASHA BINTI ZURAIMI 6AIK C+ B B-

9 NURUL SYAFIKA BINTI ABDULLAH 6AIK F C+ B-
10 RABIATUL ADAWIYAH BINTI SAZALI B C+
6AIK C

Lampiran 2

Kajian Permasalahan Pelajar tentang Isu Tatabahasa dalam Mata Pelajaran
Bahasa Melayu 910/2

Bil. Perkara Ya Tidak

1 Adakah anda menganggap tatabahasa lebih penting daripada
aspek lain seperti penulisan dan pemahaman?

2 Adakah guru bahasa Melayu menekankan aspek tatabahasa
dalam pengajaran mereka?

3 Adakah anda menganggap anda perlu mengingati rumus-rumus
tatabahasa?

4 Adakah anda menganggap pembelajaran tatabahasa dapat
membantu anda dalam penulisan?

5 Adakah anda berasa perlu untuk menanyakan perkara yang
berkait tatabahasa dalam penulisan kepada guru anda?

6 Pernahkah anda menanyakan guru anda tentang kemusykilan
tatabahasa?

7 Adakah anda berasa perlu membuat kerja rumah tentang
tatabahasa?

8 Adakah tatabahasa menghalang anda untuk mendapat markah
yang baik dalam peperiksaan?

9 Jika soalan tatabahasa dikemukakan secara teori, adakah anda
yakin boleh menjawab dengan baik?

10 Adakah anda berasa anda perlu lebih memberi tumpuan kepada
aspek tatabahasa berbanding aspek lain dalam pembelajaran
bahasa Melayu?

Lampiran 3

Kajian Berkaitan Formula ‘Traffic Light’ dalam Pdpc

Bil Perkara Ya Tidak

1 Selepas guru memperkenalkan formula ‘Traffic Light”, aspek
tatabahasa masih membebankan pelajar dalam membezakan kata
kerja tak transitif.

2 Selepas guru memperkenalkan formula ‘Traffic Light”, tajuk kata
kerja tak transitif ini senang difahami

3 Selepas guru memperkenalkan formula ‘Traffic Light’, aspek
tatabahasa kata kerja tak transitif mudah dikuasai.

4 Teknik pengajaran yang digunakan oleh guru menarik, dan berkesan

5 Guru berjaya menerangkan tajuk kata kerja tak transitif dengan
berkesan

6 Personaliti guru, gaya pengajaran dan pemudah cara meyakinkan
pelajar

7 Pelajar berjaya menguasai topik yang disampaikan oleh guru
dengan baik

8 Formula “Traffic Light” berjaya meningkatkan pemahaman saya
dalam membezakan kata kerja tak transitif.

9 Formula “Traffic Light” satu teknik yang praktikal, dan sangat sesuai
untuk disebarluaskan kepada kelas-kelas lain

10 Formula “Traffic Light” membantu pelajar menguasai rumus
tatabahasa kata kerja tak transitif dengan lebih mudah dan sangat
efektif.

Lampiran 4

Soalan temu bual

1. Adakah bahagian morfologi sukar untuk difahami? Ya Tidak
2. Adakah dengan menguasai bahagian morfologi akan memudahkan anda utuk

menguasai bahasa Melayu? Ya Tidak
3. Apakah tajuk yang paling sukar untuk dikuasai dalam golongan kata?
4. Mengapakah tajuk tersebut sukar bagi anda?
5. Antara kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif, yang manakah memberi

masalah kepada anda?
Mengapa?

6. Ada tiga jenis kata kerja tak transitif, jenis yang manakah paling sukar untuk
difahami?

7. Bagaimanakah cara yang anda lalukan untuk menguasai tajuk ini?

Lampiran 5
Ujian Pos 1
Baca dan fahami 08 soalan yang mengandungi kata kerja tak transitif berikut.
Nyatakan jenis kata kerja tak transitif berdasarkan soalan:-

i) Kata Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengkap
ii) Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap
iii) Kata Kerja Tak Transitif Berpenerang

1. Mereka berjalan kaki ke sekolah.
__________________________________________________________

2. Mak Timah bermenantukan orang Sarawak.
__________________________________________________________

3. Kanak-kanak juga ada perasaan.
__________________________________________________________

4. Petani itu sedang berehat di bawah pokok.
__________________________________________________________

5. Kita mesti bersangka baik pada semua orang.
__________________________________________________________

6. Amran berbaju Melayu merah jambu.
__________________________________________________________

7. Dia masih tidur di bilik itu.
________________________________________________________

8. Mimi ingin menjadi guru prasekolah.
__________________________________________________________

Lampiran 6
Ujian Pos 2
Baca dan fahami 07 soalan yang mengandungi kata kerja tak transitif berikut.
Nyatakan jenis kata kerja tak transitif berdasarkan soalan:-

i) Kata Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengkap
ii) Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap
iii) Kata Kerja Tak Transitif Berpenerang

1. Dia tidak tidur semalam.

___________________________________________________

2. Cita-citanya menjadi usahawan.
___________________________________________________

3. Dalam majlis itu, ayah berbaju batik.
___________________________________________________

4. Pandangan beliau menyamai idea saya.
___________________________________________________

5. Wanita separuh umur itu berniaga barang kemas.
___________________________________________________

6. Beberapa ekor buaya menyelam di dasar sungai itu.
___________________________________________________

7. Kesemua pekerja tempatan sedang belajar di bengkel itu.
___________________________________________________

Lampiran 7

Kata Kerja Tak Transitif ( Ujian Pos 1 )

Tandakan Kata Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengakap (KKTTP), Kata Kerja
Tak Transitif Berperlengkap (KKTTPL), dan Kata Kerja Tak Transitif
Berpenerang (KKTTBP).

1. Kereta api menuju ke selatan pada awal pagi.
2. Adik menangis teresak-esak .
3. Syafiqah berkebun sayur di belakang rumah.
4. Sekumpulan anjing berkeliaran di taman permainan.
5. Tiga orang remaja sedang berehat di bawah pokok.
6. Beberapa orang pengemis berada di atas jejantas.
7. Para pelancong sedang bersantai di tepi pantai.
8. Negara China menjadi pengeksport alat ganti kereta terbesar di dunia.
9. Dia sentiasa berada dalam kesedihan.
10. Penduduk kampung tersebut berniaga kecil-kecilan sahaja.

Kata Kerja Tak Transitif (Ujian Pos 2)

Tandakan Kata Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengakap (KKTTP), Kata Kerja
Tak Transitif Berperlengkap (KKTTPL), dan Kata Kerja Tak Transitif
Berpenerang (KKTTBP).

1. Kakak saya masih menjadi doktor di hospital itu.
2. Rombongan pengantin itu masih belum tiba hingga kini.
3. Semua pemimpin hendaklah berlaku adil.
4. Kanak-kanak itu berbaju Melayu.
5. Hafiz tersenyum ssendiri apabila teringat jenaka abangnya.
6. Hajar dan kumpulannya sedang menari di atas pentas yang besar itu.
7. Padi huma sedang menguning di sawah.
8. Lebai Malang berdayung sampan ke hulu sungai.
9. Kedua-dua pasangan kembar itu suka bersembunyi di belakang almari.
10. Pokok padi Wan Empuk berbuahkan emas dan berbatangkan perak.

Kata Kerja Tak Transitif ( Ujian Pos 3)

Tandakan Kata Kerja Tak Transitif Tanpa Pelengakap (KKTTP), Kata Kerja
Tak Transitif Berperlengkap (KKTTPL), dan Kata Kerja Tak Transitif
Berpenerang (KKTTBP).

1. Beberapa orang pengunjung masih bersiar-siar pada waktu senja
2. Kebanyakan pengganggur tinggal di rumah setinggan.
3. Saya berasa sungguh yakin dengan hujah pemuda itu.
4. Sesetengah belia berniaga di pasar malam.

5. Pengembara itu berselimutkan embun.
6. Mereka asyik berbual di kedai kopi Pak Samad.
7. Petani itu mula berkebun kelapa.
8. Mereka masih bermesyuarat tentang hal itu.
9. Hartanya berjumlah jutaan ringgit.
10. Kami bermain bola sepak di padang sekolah itu.

Lampiran 8

Jadual Pelaksanaan Kajian Tindakan

Bil Aktiviti Tarikh

Pelaksanaan

1. Menulis proposal Kajian Januari 2019

2. Merancang Tindakan Jan-Feb 2019

3. Melaksanakan Tindakan Pemerhatian - aktiviti 1 Jan 2019

4. Membincangkan tindakan susulan daripada aktiviti 1 Feb 2019
5. Melaksanakan tindakan Temu bual – aktiviti 2 Jan-Feb 2019

6. Membincangkan tindakan susulan daripada aktiviti 2 Feb 2019
7. Melaksanakan tindakan Soal Selidik – aktiviti 3 Feb 2019

8. Membincangkan tindakan susulan daripada aktiviti 3 Feb 2019
Feb 2019
9. Melaksanakan tindakan Pdpc– aktiviti 4
Praujian 1 dan Praujian 2 Feb 2019
Feb-Mac 2019
10. Membincangkan tindakan susulan daripada aktiviti 4
Mac 2019
11. Melaksanakan tindakan Pdpc – aktiviti 5
Ujian Pos 1, Ujian Pos 2 dan Ujian Pos 3

12. Membincangkan tindakan susulan daripada aktiviti 5

13. Pengumpulan, penyusunan data, dan penulisan refleksi kajian April-Jun 2019

11. Menulis laporan Kajian Jun-Julai 2019

12. Laporan penulisan dibawa untuk perbincangan dan Ogos 2019
penambahbaikan

13. Penyerahan laporan kajian tindakan kepada Penyelaras dan September
Pengetua 2019

14. Pembentangan Kolokium Kajian Tindakan Ting. 6 Peringkat Oktober 2019
Sekolah

15. Pembentangan Kolokium Kajian Tindakan Daerah Batang Padang

Lampiran 9

Profesionl Learning Community (PLC)

Lampiran 10

PDPC ‘TRAFFIC LIGHT’

Lampiran 11
PRAUJIAN 1 dan PRAUJIAN 2

Lampiran 12

UJIAN POS 1



Lampiran 13

UJIAN POS 2

Lampiran 14

UJIAN POS 3

Lampiran 15

SESI TEMU BUAL


Click to View FlipBook Version