The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by PUSAT SUMBER SMK SUNGKAI, 2021-01-10 01:22:47

Kajian Tindakan : Kemahiran Mengingat Fakta Khusus Pengajian Perniagaan Menggunakan Teknik ‘Tafsus’ Dalam Kalangan Pelajar Tingkatan Enam Semester Dua

Kajian Tindakan Panitia Pengajian Perniagaan

KEMAHIRAN MENGINGAT FAKTA KHUSUS PENGAJIAN PERNIAGAAN
MENGGUNAKAN TEKNIK ‘TAFSUS’ DALAM KALANGAN
PELAJAR TINGKATAN ENAM SEMESTER DUA

Nurul Aini Ilmiah binti Munzir
Hajah Anisiah binti Yatim

ABSTRAK

Kajian ini dilaksanakan untuk meningkatkan kemahiran mengingat fakta khusus
pengajian perniagaan menggunakan teknik ‘Tafsus’ dalam kalangan pelajar
tingkatan enam semester dua bagi sesi 2019/2020. Kajian dilaksanakan terhadap
tujuh orang pelajar kelas Enam Semester 2 yang terdiri daripada seorang lelaki
dan enam orang perempuan. Tinjauan awal telah dilaksanakan melalui ujian pra,
pemerhatian dan temu bual. Hasil tinjauan mendapati semua pelajar menghadapi
masalah semasa menjawab ujian pra kerana tidak dapat mengingat fakta khusus
dengan baik. Terdapat beberapa soalan yang dibiarkan kosong dan pelajar lebih
banyak membuang masa dengan termenung memikirkan jawapan berbanding
menjawab soalan. Hasil temu bual juga membuatkan pelajar mengakui terdapat
banyak kekangan dalam proses mengingat fakta khusus. Oleh itu, teknik PdPc
yang baru diperkenalkan kepada pelajar untuk diaplikasikan iaitu teknik ‘Tafsus.
Teknik ini dijalankan selama 28 minggu bersama dua orang guru pengajian
perniagaan dan hasil diambil kira berdasarkan siri ujian pos, sesi tasmik dan ujian
fakta khusus yang diberikan guru sepanjang pembelajaran semester dua. Analisis
hasil kajian menunjukkan semua pelajar menunjukkan peningkatan pada setiap
siri ujian pos iaitu memperoleh minima 36 daripada 50 markah pada ujian pos 3,
pelajar berjaya menyelesaikan sesi tasmik maksima empat kali bagi dua sesi
setiap bab dan pelajar berjaya memperoleh minima 80 markah dalam ujian fakta
khusus. Rumusan kajian menunjukkan teknik ‘Tafsus’ dan berkesan akan terus
digunakan dalam PdPc guru sepanjang tempoh pengajian pelajar.

1.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU

Pengajian perniagaan merupakan satu mata pelajaran yang memerlukan pembacaan
yang menyeluruh kerana setiap baris ayat yang terdapat dalam silibus pembelajaran
boleh dibentuk menjadi soalan dalam peperiksaan STPM. Terdapat banyak kaedah
yang dikaji dalam kajian-kajian lepas bagi membantu pelajar mengingat fakta khusus
dalam mata pelajaran ini dan hasilnya agak membanggakan. Saya turut mengambil idea
daripada kaedah yang dijalankan oleh guru-guru pengajian perniagaan tersebut dan
mengaplikasikan dalam pdpc saya namun tidak semuanya berhasil. Antara kajian yang
telah saya lakukan sebelum ini adalah kemahiran menjawab kajian kes menggunakan
teknik ‘magical box’ dan hasilnya menunjukkan berlaku penjimatan masa semasa
menjawab kajian kes dan pelajar dapat menyiapkan peperiksaan dalam tempoh masa
yang diperuntukkan. Namun begitu, tanpa penghafalan fakta khusus, pelajar tidak
mampu untuk menjawab semua soalan yang terdapat dalam kertas soalan peperiksaan.
Pelajar dilihat hanya termangu dan berfikir terlalu lama bagi mendapatkan idea untuk
menjawab soalan peperiksaan. Lebih menyedihkan keadaan ini bukan sahaja berlaku
semasa peperiksaan sebenar tetapi turut berlaku semasa latihan atau ujian yang
diberikan guru di dalam kelas. Keadaan ini menyebabkan saya berfikir adakah cara saya
menyampaikan Pdpc selama ini adalah salah dan tidak menarik atau masalah ini wujud
daripada pelajar? Terlalu banyak persoalan yang bermain di fikiran yang membuatkan
saya mencari di mana puncanya.

Saya mengakui bahawa majoriti pelajar yang mengambil mata pelajaran
pengajian perniagaan ini adalah pelajar yang pernah mempelajari atau mengambil
subjek perniagaan ketika berada di tingkatan empat dan lima. Oleh itu, sebahagian besar
pelajar mempunyai pemahaman asas perniagaan dan boleh dibentuk untuk
menghasilkan keputusan yang cemerlang. Pada pandangan saya berdasarkan
pengalaman setahun jagung iaitu hampir empat tahun mengajar subjek pengajian
perniagaan, melalui pemerhatian dan hasil pemeriksaan tugasan pelajar, saya dapat
mengenal pasti masalah pelajar dalam menjawab semua soalan yang diajukan. Hampir
semua tujuh orang pelajar pengajian perniagaan tidak mengingati fakta khusus
seterusnya tidak mampu membuat huraian berdasarkan fakta khusus. Pelajar lebih

banyak membuang masa untuk mengingati fakta khusus berbanding memperuntukkan
masa untuk menjawab soalan.

Oleh itu, bagi meningkatkan semangat pelajar dan untuk saya mengenal pasti
kaedah pengajaran berkesan dalam mata pelajaran ini, saya telah memberi pelajar satu
tempoh masa selama seminggu untuk membuat hafalan bagi subtopik pertama dalam
bab satu set ujian pra pada pertengahan bulan Januari 2020. Pelajar diberikan masa satu
jam untuk menyiapkan satu set soalan bahagian A. Skema pemarkahan untuk bahagian
A adalah berdasarkan tiga elemen penting iaitu fakta khusus, huraian dan contoh yang
diberikan pelajar. Jawapan yang diterima adalah sekiranya fakta khusus adalah tepat
dan huraian serta contoh turut mendapat markah jika pelajar boleh menghurai. Namun
begitu, pelajar tidak akan memperoleh sebarang markah jika fakta khusus adalah salah
atau tidak tepat walaupun huraian dan contoh yang diberikan adalah betul. Hasil
daripada pemeriksaan kertas ujian pelajar didapati majoriti pelajar masih tidak dapat
menyiapkan soalan yang diberikan dan kesemua pelajar tidak memperoleh markah
penuh iaitu 50 markah. Lebih menduka citakan, semua pelajar tidak mencapai tahap
yang disasarkan iaitu mendapat 30 markah dan ke atas.

Berdasarkan keputusan ujian, saya dapat merumuskan bahawa pelajar tidak
dapat menguasai fakta khusus dengan baik sehingga menyebabkan pelajar kehilangan
banyak markah di bahagian A. Oleh itu, saya meletakkan masalah yang dihadapi di
bahu sendiri dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah
yang dihadapi pelajar. Hasil perbincangan bersama ketua panitia pengajian perniagaan
menemui satu teknik yang dapat membantu pelajar mengingat fakta khusus pengajian
perniagaan. Teknik yang diberi nama teknik ‘Tafsus’ adalah bersesuaian digunakan
terhadap pelajar kami. Teknik ini memberikan satu keyakinan kepada guru-guru
bahawa pelajar lebih bersemangat untuk menghafal, menghurai, dan menterjemah
semula fakta khusus melalui lisan bersama guru.

2.0 ISU KEPRIHATINAN / FOKUS KAJIAN

Pengajian perniagaan 946/2 merupakan salah satu mata pelajaran yang menarik.
Namun begitu, kegagalan pelajar untuk menguasai fakta khusus menyebabkan pelajar
tidak dapat menguasai semua bahagian dalam peperiksaan pengajian perniagaan dan
menganggap mata pelajaran ini adalah sukar dipelajari. Merujuk kepada isu
keprihatinan, saya tekankan bahawa kajian saya kali ini adalah untuk mengatasi satu
masalah yang kecil iaitu kegagalan pelajar mengingati fakta khusus khususnya di
bahagian A bagi mata pelajaran pengajian perniagaan. Idea ini juga terhasil daripada
cetusan penerangan tentang teknik menjawab soalan pengajian perniagaan yang
disampaikan oleh salah seorang guru cemerlang mata pelajaran ini iaitu En. Azly pada
awal semester pertama pelajar. Teknik yang disampaikan memberikan idea kepada saya
untuk mengolah satu teknik yang dirasakan berkesan untuk pelajar-pelajar saya. Tujuan
utama saya adalah untuk membantu pelajar memperoleh sekurang-kurangnya lulus
penuh dalam mata pelajaran ini dan sekiranya berhasil ia menunjukkan objektif yang
dibentuk berjaya dan jika pelajar mendapat gred yang lebih tinggi ia merupakan satu
bonus bagi panitia pengajian perniagaan.

3.0 OBJEKTIF KAJIAN

1.1 Objektif Am

Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran mengingat fakta khusus pengajian
perniagaan menggunakan teknik ‘tafsus’ dalam kalangan pelajar tingkatan enam
semester dua sesi 2019/2020.

3.2 Objektif Khusus

3.1 Mengenalpasti kesukaran pelajar untuk mengingat fakta khusus pengajian
perniagaan.

3.2. Mengenalpasti satu teknik berkesan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc)
untuk membantu pelajar menguasai kemahiran mengingat fakta khusus
pengajian perniagaan.

3.3 Membaiki beberapa amalan kerja guru dalam proses pengajaran dan
pemudahcaraan (PdPc).

4.0 KUMPULAN SASARAN

Kajian ini melibatkan tujuh orang pelajar tingkatan Enam semester 2 Al Farabi dan
Ibnu Sina yang terdiri daripada enam orang perempuan dan seorang lelaki. Kajian ini
juga melibatkan dua orang guru mata pelajaran pengajian perniagaan.

5.0 PELAKSANAAN KAJIAN

5.1 Tinjauan Masalah

Dalam pelaksanaan kajian ini, tinjauan masalah dibuat berdasarkan ujian pra dan temu
bual bersama pelajar.

5.1.1 Ujian Pra

Pada peringkat permulaan, saya telah memberikan satu set ujian pra kepada
pelajar untuk dilaksanakan semasa sesi PdPc. Pelajar diuji berdasarkan satu set
soalan bahagian A yang terdapat dalam format sebenar peperiksaan pengajian
perniagaan. Jumlah markah bagi set soalan ini adalah 50 dan saya telah
menetapkan sasaran minima 25 markah perlu dicapai oleh setiap pelajar
pengajian perniagaan. Hal ini adalah kerana semua pelajar telah diberikan
pendedahan tentang teknik menjawab soalan peperiksaan sebenar.

5.1.3 temu bual

Menurut Patton (1980) dalam Normala, Mohamed Sharif dan Roslee (2005)
terdapat tiga teknik temu bual iaitu temu bual formal, temu bual tidak formal dan
temu bual terbuka. Dalam kajian ini saya menggunakan teknik temu bual tidak
formal iaitu hanya melibatkan pelajar di luar waktu pembelajaran dan saya hanya
mengambil masa kurang daripada 10 minit untuk bertanya soalan - soalan
berkaitan kesukaran pelajar mengingat fakta khusus.

5.2 Analisis Tinjauan Masalah

Berdasarkan tinjauan yang telah dilakukan iaitu ujian pra dan kaedah temu bual, saya
telah membuat analisis dan membuat rumusan terhadap hasil yang diperoleh. Saya
turut membuat pemerhatian terhadap pelaksanaan tinjauan masalah yang telah
dilakukan.

5.2.1 Analisis Pemerhatian

Sepanjang pemerhatian saya, atas tingkah laku pelajar semasa proses pengajaran
dan pemudahcaraan (PdPc) berlangsung iaitu sebelum dan selepas kajian,
beberapa rumusan awal telah dapat saya buat. Sebelum kajian dijalankan guru
telah memberikan satu arahan yang jelas bahawa setiap pelajar harus membuat
bacaan modul pengajian perniagaan yang disediakan guru bagi persediaan
sebelum bermula sesi PdPc. Pelajar juga diingatkan untuk bersedia dengan soalan
yang akan diajukan guru sepanjang PdPc berlangsung bagi melihat sejauh mana
kefahaman pelajar terhadap pembelajaran. Namun, setelah seminggu berlangsung
sesi PdPc pelajar tetap tidak mampu menjawab pertanyaan guru dan hanya
memberikan asalan tidak mengingati fakta khusus beserta huraian. Kertas latihan
yang diberikan guru tidak mampu disiapkan tanpa membuka modul atau buku
rujukan. Pelajar hanya boleh menjawab dengan berbantukan buku rujukan sahaja.
Hal ini menyebabkan saya semakin risau akan kemungkinan mereka tidak

mampu menjawab soalan-soalan yang diajukan dalam peperiksaan sebenar.
Perkara pertama yang saya lakukan adalah membuat refleksi, mengatur strategi,
dan memikirkan kaedah penyelesaiannya.

5.2.3 Analisis Ujian Pra

Berdasarkan ujian pra yang telah dijalankan terhadap pelajar, hanya dua orang
pelajar yang memperoleh sebanyak 20 dan 22 markah dalam ujian pra dan lima
orang lagi memperoleh bawah daripada 20 markah. Dapatan menunjukkan semua
pelajar tidak mencapai sasaran guru iaitu memperoleh minima 25 markah. Oleh
itu, saya perlu menguji lagi pelajar dalam beberapa siri ujian pos selepas teknik
baru diaplikasikan.

5.3 Tindakan Yang Dijalankan

5.3.1 Selepas pelajar menjalani ujian pra, saya telah menilai penguasaan pelajar
dalam menjawab latihan bahagian A mengikut format peperiksaan sebenar.
Memandangkan pencapaian yang begitu mengecewakan, saya mula
memikirkan teknik yang berkesan untuk mengatasi masalah ini. Hasil
perbincangan dengan ketua panitia pengajian perniagaan, saya mendapati
pelajar tidak dapat menyiapkan beberapa soalan dalam bahagian A atas
faktor masa tidak mencukupi kerana tidak mengingati fakta khusus. Pelajar
lebih banyak membuang masa untuk mengingat fakta khusus berbanding
masa untuk menjawab latihan yang diberikan. Oleh itu, saya bertekad
untuk memperkenalkan satu teknik dalam PdPc yang dapat membantu
mereka mendapat keputusan yang lebih baik.

5.3.2 Sebelum saya menyediakan latihan dan beberapa aktiviti kepada pelajar,
saya terlebih dahulu memberi panduan kepada pelajar teknik terbaru dalam
PdPC untuk dipraktikkan sepanjang satu semester sebagai percubaan.
Panduan tersebut adalah:

i. Pelajar diberikan fakta khusus keseluruhan bab sebagai persediaan untuk
hafalan.

ii. Pelajar diberikan masa selama dua hari untuk menghafal fakta khusus satu
bab.

iii. Pelajar membuat sesi tasmik fakta khusus ‘Tafsus’ di hadapan guru.
iv. Setelah sesi tasmik fakta khusus ‘Tafsus’ selesai dilaksanakan oleh semua

pelajar, guru akan memulakan sesi pengajaran di dalam kelas.
v. Selepas sesi pengajaran guru tamat untuk satu bab, pelajar akan diminta

untuk bersedia selama 2 hari bagi persediaan tasmik fakta khusus beserta
huraian bagi keseluruhan satu bab yang telah dipelajari.
vi. Setelah semua pelajar selesai membuat sesi tasmik, pelajar akan diberikan
latihan untuk satu bab berbentuk struktur, ujian bahagian A dan ujian fakta
khusus.

Saya mahukan pelajar lebih jelas dan mengikut langkah yang telah diatur. Saya
menegaskan kepada pelajar bahawa sepanjang semester ini, pelajar perlu
mempraktikkan teknik ‘Tafsus’ setiap kali waktu pengajian perniagaan.

5.4 Pelaksanaan Tindakan Dan Pemerhatian / Penilaian.

Pelaksanaan kajian tindakan saya ini telah dilaksanakan dalam tempoh 28 minggu.
Bermula daripada peringkat awal iaitu menjelaskan teknik ‘Tafsus’, sehingga kajian ini
dilengkapkan. Pada awalnya, teknik ini dianggap tidak berkesan dan pelajar berasa
mereka tetap tidak akan mendapat keputusan yang baik walau apa kaedah pon
diperkenalkan. Namun begitu, saya mengambil pendekatan memotivasikan pelajar dan
menaikkan semangat mereka bagi memperoleh keputusan yang baik dalam
peperiksaan. Saya turut menjanjikan ganjaran kepada pelajar yang berjaya memperoleh
A dalam peperiksaan nanti. Alhamdulillah, akhirnya mereka faham, lebih bersemangat
dan memberi kerjasama yang baik. Pelaksanaan teknik ‘Tafsus’ adalah bermula
daripada penghafalan fakta khusus keseluruhan bab seperti dalam rajah 5.1 dan
diterjemah dalam bentuk lisan seperti dalam rajah 5.2

Rajah 5.1 : Senarai Fakta Khusus Bab Satu Iaitu Pengurusan

Rajah 5.2 : Sesi Tasmik Fakta Khusus (Tafsus) Dijalankan
5.4.1 Analisis tasmik fakta khusus ‘Tafsus’
Menurut Mohd Izzuddin Mohd Pisol, Azmil Hashim dan Kamarulzaman Abd.
Ghani (2015), tasmik merupakan satu program membimbing dan merekod
perkembangan bacaan Al-Quran murid secara individu berdasarkan program
yang diatur bagi membolehkan murid khatam semasa berada di Sekolah

Kebangsaan dan dilaksanakan di luar jadual waktu. Orang yang
dipertanggungjawabkan untuk memastikan murid menguasai bacaan ialah guru
pembimbing iaitu guru pembimbing perlu membantu dan membimbing murid
sehingga khatam Al-Quran. Guru perlu mencatat setiap kali bacaan murid dalam
buku rekod bacaan, mengenalpasti kelemahan dan membuat pemulihan serta
memaklumkan kepada guru penilai sebarang masalah yang timbul.

Daripada model ini, saya mendapat idea untuk mengadaptasi dan mengolah
dan menggabungkan model yang dijalankan bersama dengan idea yang saya
peroleh semasa menghadiri ceramah teknik menjawab pengajian perniagaan yang
disampaikan oleh guru cemerlang, En. Azly. Teknik baru ini saya saya
aplikasikan dalam PdPc saya bagi membantu pelajar saya mendapat keputusan
yang baik dalam peperiksaan. Saya memberikan nama teknik ini sebagai teknik
‘Tafsus’ iaitu gabungan singkatan perkataan iaitu ‘Ta’ untuk Tasmik, ‘F’ untuk
fakta dan ‘Sus’ untuk khusus. Idea ini tercetus daripada hasil perbincangan
bersama ketua panitia pengajian perniagaan. Setelah pelajar membuat teknik
‘Tafsus’ di hadapan guru, pencapaian bacaan mereka akan direkod di dalam buku.

Setiap pelajar akan ditasmik sehingga benar-benar menepati objektif guru
iaitu menguasai tiga per empat fakta khusus dan minima enam kali sesi tasmik
daripada keseluruhan setiap bab iaitu minima tiga kali tasmik fakta khusus dan
minima tiga kali tasmik fakta khusus berserta huraian.

5.4.2 Penilaian pelajar

Setelah teknik ‘Tafsus’ dilaksanakan banyak perubahan yang dapat dilihat
terhadap pencapaian pelajar. Antara penilaian yang dilakukan adalah berdasarkan
hasil siri ujian pos, hasil sesi tasmik dan hasil ujian fakta khusus.

5.4.2.1 Perbandingan pencapaian pelajar dalam Ujian Pra dan Pos

BIL NAMA PRAU UPOS1 UPOS2 UPOS3

PELAJAR

1. Pelajar A 10/50 20/50 32/50 40/50

2. Pelajar B 9/50 18/50 28/50 42/50

3. Pelajar C 7/50 25/50 30/50 36/50

4. Pelajar D 16/50 33/50 33/50 39/50

5. Pelajar E 14/50 29/50 35/50 40/50

6. Pelajar F 22/50 34/50 38/50 44/50

7. Pelajar G 20/50 26/50 25/50 38/50

Jadual 5.1: Analisis Pencapaian Pelajar (Ujian Pra dan Ujian Pos)

Berdasarkan jadual 5.1, dapatan ujian pra dan ujian pos menunjukkan berlaku
peningkatan pencapaian pelajar. Keseluruhan pencapaian pelajar amat
membanggakan. Pencapaian yang meningkat ini, membuktikan bahawa teknik
‘Tafsus’ ini dapat meningkatkan daya ingatan pelajar seterusnya membuatkan
pelajar menguasai setiap fakta khusus dalam pengajian perniagaan semester dua.
Saya telah berjaya mengatur strategi yang terbaik bagi membantu pelajar
mendapatkan markah yang banyak, mengurangkan tabiat pelajar yang tidak
menjawab soalan yang mereka tidak ingat fakta khusus. Pelajar lebih
bersemangat apabila setiap kali diminta membuat sesi tasmik di hadapan guru
kerana mereka telah membuat hafalan di rumah setelah diberikan masa yang
mencukupi. Hasilnya membuktikan bahawa pelajar pengajian perniagaan bukan
lemah seperti yang sering mereka akui tetapi mampu menonjolkan diri melalui
semangat mereka yang ingin berubah. Rumusannnya, dapat saya katakan bahawa
teknik ‘Tafsus’ banyak membantu pelajar dalam meningkatkan pencapaian
mereka dalam peperiksaan.

5.4.2.2 Penilaian Sesi Tasmik

Berikut merupakan hasil sesi tasmik pelajar bersama guru sepanjang kajian ini

berlangsung.

BIL NAMA BAB 6 BAB 6 BAB 7 BAB 7 BAB 8 BAB 8 BAB 9 BAB 9

PELAJAR (FAKTA (FAKTA (FAKTA (FAKTA (FAKTA (FAKTA (FAKTA (FAKTA

KHUSUS) KHUSUS + KHUSUS) KHUSUS + KHUSUS) KHUSUS + KHUSUS) KHUSUS +

HURAIAN) HURAIAN) HURAIAN) HURAIAN)

SESI 1 SESI 2 SESI 1 SESI 2 SESI 1 SESI 2 SESI 1 SESI 2

1 PELAJAR A F1-F15 F1-F15 F1-F6 F1-F3 F1-F15 F1-F7 F1-F5 F1-F5

6/1/2020 10/2/2020 17/2/2020 25/2/2020 2/3/2020 25/6/2020 23/3/2020 6/7/2020

F16-F26 F16-F26 F4-F6 F8-F15
8/1/2020 12/2/2020 27/2/2020 29/6/2020

2 PELAJAR B F1-F15 F1-F15 F1-F6 F1-F3 F1-F15 F1-F7 F1-F5 F1-F5
6/7/2020
6/1/2020 10/2/2020 17/2/2020 25/2/2020 2/3/2020 25/6/2020 23/3/2020

F16-F26 F16-F26 F4-F6 F8-F15

9/1/2020 12/2/2020 27/2/2020 29/6/2020

3 PELAJAR C F1-F15 F1-F15 F1-F6 F1-F3 F1-F15 F1-F7 F1-F5 F1-F5
6/7/2020
6/1/2020 10/2/2020 17/2/2020 25/2/2020 2/3/2020 25/6/2020 23/3/2020

F16-F26 F16-F26 F4-F6 F8-F15
8/1/2020 12/2/2020 27/2/2020 29/6/2020

4 PELAJAR D F1-F15 F1-F15 F1-F6 F1-F3 F1-F15 F1-F7 F1-F5 F1-F5
10/2/2020 17/2/2020 25/2/2020 2/3/2020 25/6/2020 23/3/2020 6/7/2020
7/1/2020

F16-F26 F16-F26 F4-F6 F8-F15
9/1/2020 12/2/2020 27/2/2020 29/6/2020

5 PELAJAR E F1-F15 F1-F15 F1-F6 F1-F3 F1-F15 F1-F7 F1-F5 F1-F5
6/7/2020
6/1/2020 10/2/2020 17/2/2020 25/2/2020 2/3/2020 25/6/2020 23/3/2020

F16-F26 F16-F26 F4-F6 F8-F15
8/1/2020 12/2/2020 27/2/2020 29/6/2020

6 PELAJAR F F1-F15 F1-F15 F1-F6 F1-F3 F1-F15 F1-F7 F1-F5 F1-F5
6/7/2020
6/1/2020 10/2/2020 17/2/2020 25/2/2020 2/3/2020 25/6/2020 23/3/2020

F16-F26 F16-F26 F4-F6 F8-F15
8/1/2020 12/2/2020 27/2/2020 29/6/2020

7 PELAJAR G F1-F15 F1-F15 F1-F6 F1-F3 F1-F15 F1-F7 F1-F5 F1-F5
10/2/2020 17/2/2020 25/2/2020 2/3/2020 25/6/2020 23/3/2020 6/7/2020
6/1/2020

F16-F26 F16-F26 F4-F6 F8-F15
8/1/2020 12/2/2020 27/2/2020 29/6/2020

Jadual 5.4 Analisis Sesi Tasmik Pelajar Setiap Bab

Berdasarkan jadual 5.4, perkataan berwarna biru merujuk kepada sesi tasmik
fakta khusus kali pertama manakala perkataan berwarna merah pula merujuk
kepada sesi tasmik fakta khusus kali kedua. Saya dapat simpulkan bahawa setiap
pelajar dapat menguasai fakta khusus dengan baik kerana hanya perlu tasmik
maksima empat kali bagi setiap bab iaitu dua kali bagi sebahagian fakta khusus
sesi satu dan dua kali bagi sebahagian fakta khusus beserta huraian bagi sesi dua.
Pelajar lebih bersedia dan bersemangat apabila sesi tasmik dilaksanakan kerana
lumrah remaja suka akan cabaran dan bersaing antara rakan-rakan. Walau
bagaimanapun, saya sangat berpuas hati dengan pencapaian yang ditunjukkan
pelajar pada setiap sesi tasmik fakta khusus. Sesi kedua pula dimurnikan dengan
huraian iaitu pelajar diminta mengeluarkan kata kunci bagi setiap ayat yang
terkandung dalam modul yang mereka rujuk. Hasilnya sangat membanggakan
dan akan dipraktikkan bagi setiap semester selepas ini.

5.4.2.3 Dapatan Ujian Fakta Khusus

Beberapa ujian fakta khusus turut diberikan untuk menilai tahap mengingat
pelajar terhadap fakta khusus. Hasil yang diperoleh sangat membanggakan
kerana semua pelajar dilihat semakin bagus mengaplikasikan teknik ‘Tafsus’ dan
menterjemahkan ke dalam ujian fakta khusus yang sebenar. Hasil dapatan
daripada ujian menunjukkan semua pelajar memperoleh 80 markah ke atas dan
dapatan wakil pelajar dipamerkan pada rajah 5.3.

Rajah 5.3 : Hasil Dapatan Ujian Fakta Khusus Pelajar

5.5 Refleksi Kajian

Setelah menggunakan teknik ini dalam sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc),
saya membuat kesimpulan bahawa kebanyakan pelajar faham dan memanfaatkan
teknik ini sepenuhnya dalam PdPc dan diterjemahkan dalam ujian yang mereka jalani.
Refleksi kajian dilihat berdasarkan dua bahagian iaitu perubahan sikap dan perubahan
dalam pembelajaran.

5.5.1 Perubahan Sikap

Perubahan sikap yang dapat dilihat adalah pelajar semakin bersemangat setiap
kali kelas bermula. Pelajar turut menggunakan pelbagai teknik untuk mengingat
fakta khusus sebelum sesi tasmik dilakukan iaitu antaranya kaedah mengingat
berdasarkan akronim, menulis semula fakta di atas nota kecil dan mengulang
perkataan berulang kali sehingga hafal. Pelajar juga tidak lagi memberikan
pelbagai alasan iaitu kekangan yang dialami dalam proses mengingat fakta
khusus. Pelajar lebih bersedia dan rajin membuat latihan di dalam buku modul.
Perubahan sikap pelajar ini membuatkan semua guru pengajian perniagaan
bangga dan bersemangat untuk menjalankan sesi PdPc.

5.5.2 perubahan dalam pembelajaran

Selepas teknik baru diperkenalkan, saya mendapati sesi pembelajaran saya
menjadi lebih mudah dan teratur. Pelajar mula bersedia, memahami dan dapat
mempraktikkan teknik yang diperkenalkan guru. Pelajar juga dapat menyiapkan
semua latihan yang diberi mengikut masa yang diperuntukkan. Antara latihan
yang diberikan guru adalah berbentuk struktur, isi tempat kosong dan esei
pendek. Ada kalanya saya memberikan peluang pelajar membuat latihan dalam
bentuk perbincangan dalam kumpulan kerana pelajar dapat berbincang tentang
huraian kepada fakta khusus yang bersesuaian. Suasana pembelajaran di dalam
kelas akan lebih hidup dan tidak lagi membosankan kerana pelajar sentiasa
berlumba-lumba ingin menjawab pertanyaan yang diutarakan guru. Hal ini adalah
kerana mereka telah mengingati fakta khusus dengan baik dan setiap kali kelas
bermula mereka akan berebut untuk membuat sesi tasmik atau penghafalan fakta
khusus bersama guru.

6.0 CADANGAN UNTUK KAJIAN SETERUSNYA

Hasil daripada penyelidikan yang dijalankan, saya dapati terdapat perubahan yang
positif dari aspek amalan pengajaran guru dan amalan pembelajaran pelajar. Semoga
hasil kajian saya ini dapat dimanfaatkan, dan menjadikan proses PdPc lebih menarik,
berkesan dan menyeronokkan. Saya juga menyimpan hasrat agar amalan kaedah ini
dapat dipraktikkan oleh semua guru mata pelajaran selain pengajian perniagaan. Untuk
rangka kajian yang seterusnya, saya berhasrat untuk menjalankan kajian terhadap
penguasaan pelajar dalam menjawab esei pilihan di Bahagian B dalam subjek pengajian
perniagaan. Semoga usaha yang kecil ini mudah-mudahan diberkati Allah S.W.T, dan
memberi manfaat kepada pelajar dan rakan-rakan sealiran. Insya-Allah.

BIBLIOGRAFI

Mohd Izzuddin Mohd Pisol, Azmil Hashim & Kamarulzaman Abd. Ghani (2015).
Kesediaan Guru Dalam Pengajaran Model Tasmik Program J-Qaf. Tinta
Artikulasi Membina Ummah 1(1), 2015 1-13, e-ISSN: 2289-960X.

Zahari Mahamad (2020), Modul Terapi Minda Semester 2 Edisi 2020, Perak.


Click to View FlipBook Version