The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

2022162310035 NURIN ATIQAH BINTI ABD MALEK- KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by yin, 2023-02-07 07:53:34

2022162310035 NURIN ATIQAH BINTI ABD MALEK- KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN

2022162310035 NURIN ATIQAH BINTI ABD MALEK- KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN

JABATAN PENGAJIAN MELAYU Nama Pelajar NURINATIQAH BINTI ABD MALEK Angka Giliran 2022162310035 No Kad Pengenalan 040128010926 Kumpulan/Unit 2PPISMP BM2 Kod & Nama Kursus BMMB1104 KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU Jenis & Tajuk Tugasan PENULISAN ESEI Nama Pensyarah PN. ZAWIAH BINTI BAHROM Tarikh Hantar 8 FEBRUARI 2023 Pengakuan pelajar menerima maklum balas daripada pensyarah Saya mengesahkan bahawa maklum balas yang diberikan oleh pensyarah telah saya rujuki dan fahami. Catatan (jika ada) Tanda tangan Pelajar: Tarikh: 8 FEBRUARI 2023 Markah: KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA _______________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________ Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik, Negeri Sembilan


PENGENALAN KONSEP FUNGSI - PENDIDIKAN - DAKWAH - HIBURAN - KRITIKAN SOSIAL MANIFESTASI AKAL BUDI - PANTUN - SYAIR - SELOKA - GURINDAM ISI KANDUNGAN 3.0 2.0 4.0 1.0 - TAKRIF - JENIS - BENTUK - CIRI-CIRI 5.0 KESIMPULAN 6.0 RUJUKAN


Kesusasteraan Melayu merujuk kepada hasil karya dan ciptaan seni yang terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu. Namun, perkembangan masyarakat yang pesat hari ini telah mengubah dan menjarakkan hubungan sastera dengan kehidupan. Perubahan ini telah menyebabkan sastera menjadi satu bidang kegiatan yang khusus dan tersendiri. Sastera yang dahulunya menjadi hak milik bersama kini telah berubah menjadi kegiatan yang berkaitan pernyataan diri dan hak cipta. Masyarakat Melayu tradisional menggunakan karya sastera sebagai satu medium komunikasi. Karya-karya bertulis ini menjadi wahana penting untuk menyampaikan mesej dan maklumat kepada masyarakat pada ketika itu. Karya sastera merupakan karya yang indah dan berfaedah kerana karya-karya tersebut dibentuk melalui jalinan dan siratan bahasa. Dalam Islam, sastera dikenali sebagai al-adabi iaitu sastera yang datang daripada jiwa yang halus iaitu beradab dan bertujuan mendidik serta mengasuh hati nurani masyarakat dengan nilai-nilai murni sehingga jiwa mereka turut menjadi halus dan lembut. Sehubungan itu, sastera dianggap sebagai medium penjaga peradaban, penghimpun ajaran dan pernyataan yang dapat mendidik manusia dengan adab. Oleh sebab itu, karya-karya kesusasteraan Melayu tradisional ini menjadi perantara komunikasi massa yang amat penting dalam era tersebut (Muhd Norizam Jamian dan Shaiful Bahri Md Radzi, 2015). Kandungan karya-karya tersebut meliputi nilai, norma dan gaya hidup orang Melayu yang harus dikekalkan dan diwarisi oleh generasi akan datang (Samsudin A. Rahim, 2001). 1.0 PENGENALAN


2.0 KONSEP Menurut Hashim Awang (1985), sastera merupakan hasil seni yang disampaikan melalui bahasa. Menurut Ali Ahmad (1988), kesusasteraan Melayu dalam konteks pendidikan ialah karya asal yang tertulis dalam bahasa Melayu berunsurkan keindahan dan kehalusan sama ada berbentuk novel, cerpen, drama, sajak, prosa tradisional atau puisi tradisional bagi mengimbangi perkembangan intelek, rohani, emosi dan jasmani di samping memaparkan nilai kemanusiaan, dan citra masyarakat. Manakala menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011), kesusasteraan boleh dimaksudkan sebagai segala pengucapan yang indah-indah, sama ada tertulis mahupun tidak. Siti Hajar Abdul Aziz (2011) dalam buku Bahasa Melayu I edisi kedua, perkataan kesusasteraan terbentuk daripada perkataan Sanskrit iaitu susastera yang bermaksud huruf atau buku indah. Menurut kamus pula, kesusasteraan bermaksud hasil seni atau karya tulisan dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan tertentu. Daripada definisi tersebut, kesusasteraan Melayu dapat disimpulkan sebagai hasil karya masyarakat Melayu yang mempunyai kata-kata yang indah, memberi mesej dan menggambarkan sesuatu perasaan dan keadaan yang tertentu sama ada mengenai diri sendiri ataupun sekelompok masyarakat. Sastera juga dianggap sebagai gambaran peribadi berupa pengalaman, pemikiran, perasaan, idea, semangat ataupun keyakinan dalam bentuk gambaran konkrit yang membangkitkan keperibadian melalui pengantara bahasa tidak kira sama ada bermutu atau tidak bermutu. 2.1 JENIS, BENTUK DAN CIRI-CIRI Jenis dan bentuk kesusasteraan mempunyai pelbagai ragam kerana masing-masing memiliki unsur-unsur khusus yang membentuk pola secara berbeza untuk tujuan tertentu. Kesusasteraan Melayu dari segi jenis dan bentuknya dapat dibahagikan kepada prosa tradisional, prosa moden, puisi tradisional dan puisi moden.


2.1.1 PROSA TRADISIONAL Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011), tradisional didefinisikan sebagai serius dan abadi nilainya, tertinggi mutunya dan menjadi standard kepada yang lain, mempunyai gaya yang sederhana, mempunyai ciri-ciri yang lazim dan tidak berubah mengikut masa. Prosa tradisional merupakan sastera yang mempunyai sifat yang diwarisi secara turun-temurun. Istana menjadi pusat perkembangan kesusasteraan Melayu klasik yang utama kerana penulis mengarang karya baharu berdasarkan perintah raja. Hikayat yang dihasilkan tidak terhad kepada bidang kesusateraan sahaja malahan juga meliputi agama, perubatan, sejarah dan sebagainya. Prosa tradisional merupakan hasil karya seni yang disampaikan melalui bahasa dan bertujuan untuk menyatukan falsafah pencipta dan penerima. Prosa tradisonal terbahagi kepada dua genre iaitu sastera rakyat yang disampaikan dengan lisan dan sastera istana yang disampaikan melalui tulisan. Sastera rakyat ditakrifkan sebagai hasil-hasil kreatif yang dalamnya daya ciptaan imaginasi pencipta yang mengandungi atau menggambarkan nilai-nilai world view itu sendiri. Sastera lisan merupakan ungkapan dari mulut ke mulut, hasil kebudayaan lisan dalam masyarakat tradisional yang isinya dapat disejajarkan dengan sastera tulisan dalam masyarakat moden (Zaidan et al, 2000). Sastera yang diwariskan secara lisan ialah pantun, nyanyian rakyat dan cerita rakyat. Antara ciri sastera rakyat ialah wujud dalam variasi yang berbeza-beza serta bersifat anonimi iaitu menggunakan nama samara atau langsung tiada nama pencipta seperti cerita bawang putih bawang merah yang tiada nama pencipta. Selain itu, sastera rakyat mempunyai bentuk berpola dengan plot yang hampir sama, mempunyai fungsi tertentu seperti memberi pengajaran. Akhir sekali, penulisan sastera rakyat bersifat sederhana, spontan dan kadangkala agak kasar. Contoh cerita rakyat


Sastera rakyat terbahagi kepada dua kategori iaitu naratif dan bukan naratif. Sastera naratif terbahagi kepada mitos, lagenda dan cerita rakyat manakala bukan naratif terdiri daripada puisi rakyat. Mitos merupakan cerita yang dianggap benar-benar terjadi dan dianggap suci oleh empunya cerita dan masyarakat yang mendukungnya. Ciri-ciri mitos adalah dianggap benar-benar terjadi, peristiwa yang aneh tetapi penting, dianggap keramat dan memberi kesan kepada masyarakat serta berlaku pada zaman lampau. Mitos dalam sastera Melayu terdiri daripada tiga jenis iaitu mitos asal usul, mitos institusi sosial dan mitos politik. Legenda merupakan cerita yang dipercayai benar-benar berlaku tetapi tidak dianggap suci. Tokoh dalam cerita tersebut terdiri daripada manusia yang mempunyai sifat luar biasa. Ciri-ciri legenda ialah sejenis komunikasi lisan yang bercorak cerita berasaskan kisah-kisah tokoh atau pahlawan. Seterusnya, latar masa dan sejarahnya tidak semestinya masa lampau tetapi masih ada hubung kait dengan masa silam. Kisah tersebut ada kaitan dengan zaman sekarang kerana kepercayaan terhadap keramat. Antara jenis legenda dalam masyarakat Melayu ialah legenda keagamaan, legenda alam ghaib ataupun memorat yang dianggap benar-benar terjadi, legenda perseorangan legenda tempat dan legenda tokoh. Cerita rakyat berbentuk prosa dan tidak dianggap benar-benar terjadi. Cerita rakyat merupakan sumber hiburan, menegakkan kebenaran dan mengandungi moral atau sindiran. Antara jensi cerita rakyat ialah cerita binatang, cerita penglipur lara atau lipur lara, cerita jenaka dan cerita teladan. Contoh cerita


Sastera istana iaitu sastera tulisan diperkenalkan setelah penerimaan Islam. Sastera hikayat terbahagi kepada tiga jenis berdasarkan unsur-unsur yang terdapat di dalamnya iaitu unsur Hindu, Islam dan Hindu-Islam. Sastera undang-undang dijadikan bahan kajian tentang sistem pemerintahan, sistem pentadbiran dan susun lapis masyarakat lama seperti Adat Temenggung dan Adat Pepatih. Contoh sastera undang-undang ialah Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Sastera epik pula merupakan sastera pahlawan dan bersifat sejagat serta mementingkan ciri kepahlawanan dan keperwiraan yang unggul dan tokoh tersebut diberi gambaran secara berlebih-lebihan sehingga menjadi sempurna dan disanjung oleh masyarakat. Sastera panji ialah karya mengenai kisah pengembaraan, pencintaan dan peperangan. Watak utamanya bergelar Panji. Seterusnya, sastera agama yang berfokus pada cerita yang menggambarkan kehebatan Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan agama Islam ke seluruh dunia walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan tentangan. 2.1.2 PROSA MODEN Menurut Annas Hj Ahmad (1988:152), hasil karya sastera selepas tahun 1800 Masihi digolongkan dalam sastera moden. Antara prosa moden ialah cerpen, novel dan drama. Cerpen ialah gabungan dua perkataan iaitu cerita dan pendek. Cerpen membawa satu tema dan beberapa persoalan bagi menghasilkan kesan tertentu yang mendalam kepada pembaca. Cerpen juga memusatkan perkembangan watak kepada beberapa orang tertentu sahaja dan watak-watak lain hanyalah bertujuan untuk memperkukuhkan kewibawaan watak utama. Novel ialah prosa rekaan yang panjang dan di dalamnya termuat sebahagian daripada sebuah kehidupan. Menurut Shahnon Ahmad (1972:4), novel merupakan satu bentuk pentafsiran rencam hidup manusia yang terbina dalam bentuk sastera cereka. Novel merangkumi tiga faktor utama yang saling berkait iaitu pengalaman peribadi, realiti rencam hidup dan imaginasi. Novel yang bercorak kemasyarakatan dan novel yang bercorak semangat kebangsaan. Menurut Erwan Juhara (2014), drama merupakan jenis karya sastera yang dibangunkan oleh unsur instrinsik iaitu satu kesatuan yang membentuk karya secara keseluruhan. Unsur penting dalam melaksanakan pementasan ialah cahaya, bunyi, kostum, tata rias dan penonton.


2.1.3 PUISI TRADISIONAL Menurut Harun Mat Piah (1989), genre dalam puisi tradisional ialah pantun, syair, gurindam, seloka, talibun, mantera, adat perbilangan, teka-teki, peribahasa, rubai, masnawi dan sebagainya. Pantun merupakan kaedah rangkapan yang tertua dan kepunyaan masyarakat Melayu. Orang Melayu telah pandai berpantun dan biasa berbalas-balas pantun antara mereka walaupun sebelum mengetahui surat-menyurat (Za’abaa, 1978). Pantun boleh dicipta dalam dua rangkap, empat rangkap, enam rangkap, lapan rangkap, dua belas rangkap dan pantun berkait. Pantun mengandungi unsur pembayang dan maksud dan maksud. Harun Mat Piah (1989), mendefinisikan pantun berdasarkan aspek dalaman dan aspek luaran visualnya. Aspek dalaman pantun meliputi unsur enstetik dan isi iaitu tema serta persoalan . Unsur estetik pantun pula dapat dilihat berdasarkan dua aspek iaitu pertama berkaitan dengan penggunaan lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut tanggapan dan pandangan dunia masyarakat Melayu. Aspek yang kedua ialah hubungan makna antara pasangan pembayang-pembayang sama ada secara konkrit atau abstrak. Ciri-ciri pantun ialah berdasarkan bilangan baris dalam rangkap. Misalnya bagi pantun empat kerat, baris satu dan dua ialah pembayang manakala baris tiga dan empat ialah maksud. Selain itu, bilangan perkataan bagi setiap baris ialah 4 hingga 6 patah perkataan dan bilangan suku kata ialah antara 8 hingga 12. Seterusnya, rima atau bunyi akhir adalah sejajar iaitu bagi pantun dua kerat ‘a’,’a’ manakala bagi pantun empat kerat pula rima akhirnya berbentuk ‘a’, ‘b’, ‘a’. ‘b’. Jenis-jenis pantun dibahagikan bergantung pada fungsi dan kandungan pantun tersebut seperti menghibur, nasihat, menduga akal, meluahkan perasaan, menyampaikan hasrat seni, menyedapkan cakap, menyampaikan hasrat tersembunyi dan sebagainya.


Contoh pantun empat kerat Contoh pantun enam kerat Hendak belayar ke Teluk Betong, Sambil mencuba labuhkan pukat; Bulat air kerana pembetung, Bulat manusia kerana muafakat. Masak sudah si buah pauh, Bawa bekal ke kereta sewa; Lain bahan ada di tangga, Kalau sudah bersungguh-sungguh; Bila gagal jalan kecewa, Barangkali Tuhan hendak menduga. Harimau akar sedang membaham, Di tepi kolah pinggiran jurang, Tempat menjala anak nakhoda, Sambil bermain gelak ketawa; Orang besar berselisih faham, Lepas berbalah terus berperang, Rosak segala harta benda, Rakyat marhain terkorban jiwa. Contoh pantun lapan kerat


Gurindam ialah satu bentuk puisi Melayu tradisional seperti mana yang diperkenalkan oleh Raja Ali haji melalui ‘Gurindam Dua Belas’ yang dikarang pada tahun 1846. Bagi Zaa’baa gurindam ialah sejenis syair yang melarat dan tetap sukatan atau rangkapannya. Isinya mengandungi fikiran yang bernas dengan bahasa yang riang dan suka sebagai nyanyian. Sultan Muhammad Zain pula menyatakan gurindam merupakan sajak yang terjadi dua baris, baris pertama syarat dan baris kedua akibat. Bentuk gurindam adalah terikat iaitu terdiri daripada dua baris serangkap yang mengandungi tiga hingga enam patah perkataan dengan rima akhir ‘a’. ‘a’ manakala suku kata gurindam dalam sebaris ialah antara 8 hingga 12 suku kata. Seuntai gurindam memerlukan beberapa rangkap untuk melengkapkan keseluruhan idea dan bahasanya bernas serta serius manakala isinya mengandungi nasihat, pengajaran, kebenaran serta pernyataan perasaan cinta. Syair merupakan sejenis puisi berlagu yang dikatakan berasal dari Parsi dan telah dibawa masuk ke Nusantara bersama-sama kedatangan Islam dan telah diubahsuai mengikut kesesuaian bahasa Melayu Klasik. A. Teeuw berpendapat bahawa syair merupakan puisi Melayu lama yang telah sedia wujud tetapi namanya telah ditukar. Bentuk konvensional syair Melayu mengandungi empat baris serangkap dengan rima akhir ‘a’, ‘a’, ‘a’, ‘a’ manakala setiap baris mengandungi 4 hingga 5 patah perkataan dan suku kata pula antara 8 hingga 12 bagi setiap baris. Setiap baris mempunyai suatu hentian dan setiap rangkap memerlukan beberapa rangkap yang berurutan untuk memberi idea yang lengkap. Syair juga merupakan suatu pernyataan yang berlarutan untuk mengemukakan sesuatu seperti cerita, kisah, buah fikiran, nasihat dan puji-pujian, Setiap untai syair mempunyai awalan dan akhiran.


Menurut Harun Mat Piah (1989), istlah ‘seloka’ berasal daripada perkataan Sanskrit ‘shloka’ yang membawa erti berseloroh, berjenaka atau menyindir. Seloka lebih kepada pepatah, bidalan atau perumpamaan yang mengandungi unsur jenaka, gurau senda, olokan, ejekan dan sindiran tetapi isi dan mesejnya sarat dengan sindiran yang berguna untuk menjadi pengajaran serta teladan oleh pendengar mahupun pembaca. Sebahagian besar seloka Melayu ditulis dalam bentuk terikat iaitu empat baris serangkap seperti pantun seloka namun binaannya lebih mirip kepada bentuk pantun atau syair. Namun, terdapat juga seloka yang ditulis dalam bentuk bebas iaitu setiap barisnya menjadi isi puisi berkenaan seperti Seloka Emak Si Randang. Contoh gurindam Contoh syair Contoh seloka Gurindam 12 fasal 2 barang siapa mengenal yang tersebut tahulah ia makna takut barang siapa meninggalkan sembahyang seperti rumah tiada bertiang barang siapa meninggalkan puasa tidaklah mendapat dua termasa barang siapa meninggalkan zakat tiada hartanya beroleh berkat barang siapa meninggalkan haji tiadalah ia menyempurnakan janji Syair bermula dengan kata cinta Tentang Ibunda cantik jelita Indah bagaikan intan permata Kasih sayangnya bagaikan pelita Ibu wanita bagaikan cahaya Pesonanya memancar ibarat surya Tersirat cinta bak indah maya Tergurat doa dalam kasihnya Seloka kasih ibu bapa Ibu bapa sibuk sekali, Mencari rezeki sesuap nasi, Untuk anak-anak dan isteri, Rezeki secubit tetap dikongsi. Sudah menjadi adat duniawi, Termasuk ahli keluarga sendiri, Warga miskin dipandang sepi, Tanpa sijil kasih tak bererti.


2.1.4 PUISI MODEN Menurut Hashim Awang (1984), sajak ialah puisi baharu yang popular lahir sebagai pilihan kepada puisi tradisional. Sajak ialah puisi moden yang lebih bebas dan terikat pada sesuatu pola khusus walaupun ada ketikanya memerikan ciri matra, rima dan rentak. Sajak lebih mementingakan keberkesanan pengucapan perasaan melalui pemilihan dan pemakaian kata-katanya yang saling menumpang dan terjalin menurut erti serta irama. H.B. Jassin (1983) pula berpendapat bahawa sajak adalah pengucapan perasaan dengan perasaan yang di dalamnya mengandungi fikiran dan tanggapan. Sajak lahir daripada jiwa dan perasaan tetapi sajak yang baik perlu membawa gagasan serta pemikiran yang dapat menjadi renungan masyarakat. Sajak tidak terikat pada peraturan seperti pemilihan kata atau diksi, pembentukan rangkap, baris serta pematuhan skima rima akhir seperti puisi tradisional. Ciri yang lain bagi sajak ialah mempunyai nama penulis sebagai pengakuan hak ke atas sesebuah karya walaupun menggunakan nama pena. Sajak ialah karya kreatif yang mempunyai bentuk bebas dan tersendiri mengikut selera penulisnya ataupun penyair. Muhammad Hj Salleh (1991) mengatakan bahawa rentak dan perjalanan baris serta bait puisi Melayu moden lebih mengikut nafas, fikiran dan cara bertutur tidak disekat serta ditentukan panjangnya oleh peraturan lama seperti dalam pantun dan syair. Damai (Tanah airku Dan Dunia) Usman Awang Sisa hidup ini hendak kita pelihara juga tanah, pohon dan buah-buah juga tulang, daging dan darah jangan suara jadi parau di musim kemarau. Tapi tanah kami sudah kerecikan api lama bermula, tidak hilang sampai kini dan meski tawaran damai sudah diberi orang masih tidak peduli! Contoh sajak


This template was created by Slidesgo 3.0 FUNGSI KESUSASTERAAN MELAYU Kewujudan sastera Melayu menunjukkan segala-galanya diterangkan dengan menarik dan keindahan itu terdapat dalam gaya bahasa, struktur naratif, dan peranan didaktik yang disokong oleh sastera. Kesusasteraan Melayu menghasilkan pemikiran yang bijak dan sentiasa membawa manusia kepada kemajuan. Karya sastera yang ditulis oleh pengarang bertujuan untuk dinikmati dan dihayati oleh masyarakat. Oleh itu, pengarang perlu mengetahui jenis karya yang diperlukan oleh masyarakat kerana pengetahuan pengarang menentukan sama ada karya yang dihasilkan akan diterima atau tidak. Dengan kata lain, pengetahuan pengarang merangkumi tujuan masyarakat menikmati dan menilai karyanya dan sejauh mana karya tersebut memenuhi fungsi tertentu kepada masyarakat. 3.1 ALAT PENDIDIKAN Memang tidak dapat dinafikan bahawa karya-karya kesusasteraan sarat dengan unsur pendidikan dan pengajaran. Pengarang-pengarang yang menghasilkan sesuatu karya sastera merupakan orang yang telah banyak menimba ilmu. Pengalaman pengarang tersebut diterjemahkan melalui kisah-kisah yang ditulis oleh mereka yang terangkum di dalamnya pelbagai bidang ilmu seperti sosiologi dan agama. Pengalaman meraka dijadikan prosa atau puisi dan diadun dengan unsur-unsur pengajaran, moral atau ilmu pengetahuan yang tinggi nilainya. Pembaca dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan meraka daripada pembacaan karya tersebut kerana mereka juga dapat menguasasi pelbagai kemahiran yang melibatkan bahasa seperti penggunaan perbendaharaan kata yang tepat.


This template was created by Slidesgo Selain itu, sastera dapat membina insaniah dalam kehidupan manusia. Kesusasteraan Melayu memainkan peranan sebagai satu cabang ilmu dan senjata yang dapat meresapi dan berkembang dalam pelbagai disipin ilmu sejajar dengan konsep bahasa merentas kurikulum agar dapat mewujudkan modal insan yang melahirkan pemimpin bermoral, berjati diri dan mempunyai nilai-nilai kemanusiaan dan nilai-nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan dan kewarganegaraan. Tamsilnya, Novel Melunas Rindu yang menunjukkan nilai hormat-menghormati yang ditunjukkan melalui watak Fuad. Nilai hormat-menghormati penting untuk diamalkan kerana dapat menimbulkan persefahaman yang tinggi dalam kalangan masyarakat demi melahirkan sebuah negara yang aman dan makmur. Akhir sekali, sastera juga berfungsi meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis dan imaginatif. Kemahiran berfikir secara kritis dan imaginatif dapat diterapkan dengan guru bercerita kepada murid mengenai cerita rakyat seperti Puteri Santubung Puteri Sejinjang. Cerita tersebut mengisahkan kedua-dua puteri anak dewa dari kayangan yang cantik bagaikan purnama menghias alam. Pelajar dapat berimaginasi untuk membayangkan kecantikan puteri tersebut dengan suara yang merdu. Pelajar juga dapat berfikir secara kritis untuk menghasilkan cerpen sendiri mengikut kreativiti tersendiri.


This template was created by Slidesgo 3.2 HIBURAN Karya sastera yang menghiburkan membawa keseronokan yang indah dan hiburan tersebut terhasil daripada keindahan kata-kata yang diungkapkan, irama atau rentak yang tersusun, kemampuan karya sastera untuk membelai emosi pembaca atau pendengar, unsur kelucuan dan sebagainya. Kepentingan sastera sebagai hiburan menjadikan karya sastera seperti cerita penglipurlara diterima oleh masyarakat sebagai karya yang diminati dan digilai pada suatu ketika dahulu. Pantun merupakan karya sastera yang cukup popular kerana keupayaan membawa keindahan yang menghiburkan. Contoh unsur hiburan dapat dilihat dalam karya sastera rakyat iaitu cerita jenaka. Cerita Lebai Malang antara cerita jenaka untuk menonjolkan unsur hiburan. Cerita ini mengisahkan watak utama Lebai yang tidak dapat membuat keputusan apabila dijemput menghadiri tiga tempat kenduri iaitu tahlil, khatam AlQuran dan Maulud. Lebai terlewat sampai untuk dua kenduri tersebut dan dia diberi lempeng untuk bekalan pulang pada kenduri ketiga. Sewaktu dalam perjalanan pulang, Lebai teringat akan bungkusan air nira yang diikatnya di atas pohon kabung dan meninggalkan bungkus lempeng di bawah pokok lalu terus memanjat pokok tersebut. Malangnya, lempeng tersebut dibawa lari oleh anjing dan bajunya habis hilang sewaktu mengejar anjing sehinggakan terpaksa pulang tanpa pakaian ke rumah. Cerita ini bukan sahaja menghiburkan tetapi penuh dengan mesej dan pengajaran yang ingin disampaikan. Manifestasi akal budi dalam cerita tersebut ialah janganlah bersikap tamak kerana akan merugikan diri sendiri.


This template was created by Slidesgo 3.3 DAKWAH Fungsi kesusasteraan dalam dakwah dapat menyembunyikan pesan-pesan yang hendak dikomunikasikan kepada khalayak pembacanya melalui aneka bentuk dan ragam estetika, metafora, simbol-simbol, subjek dan objek yang ada dalam kehidupan. Karya tersebut dicipta sebagai suatu wadah untuk mempertingkatkan nilai ketakwaan seseorang insan kepada Allah. Sastera memainkan peranan penting dalam dakwah dengan membantu menyampaikan pesan-pesan keagamaan dan moral kepada masyarakat dengan cara yang menarik dan mudah difahami. Sastera juga dapat digunakan untuk membantu memahami isu-isu sosial dan membangkitkan kesedaran dan empati terhadap masalah-masalah tertentu. Dengan kata lain, sastera dapat menjadi alat yang efektif untuk mempengaruhi pandangan dan tingkah laku orang dan memainkan peranan penting dalam usaha dakwah. Sajak Badaruddin H.O yang bertajuk “Istighfar Rejab” (Badaruddin H.O, dlm. Takdir Itu Begini, 2010:19) seperti berikut:


This template was created by Slidesgo Allahumma Tuhan pemilik yang empunnya kuasa diberikan lalu disitanya kepada siapa dan dari siapa dimuliakan lalu dihinakan siapa dan siapa dengan kehendak-Nya namun di tangan-Mu jua ya Allah! kebajikan yang tak terbilang kudrat iradat yang tak terhadang melimpah-ruah dengan hamba-Mu dalam alpa lalainya bangkit bangun memohon meminta sambil mengakas mencarinya Penyair menjelaskan dalam sajaknya bahawa dia menyedari hakikat dirinya yang memang kecil dan lemah serta banyak melakukan dosa. Penyair meletakkan dirinya dalam keadaan yang sentiasa berwaspada atau berjaga-jaga untuk tidak melupakan Allah dan segera memohon keampunan dan bertaubat apabila melakukan kesalahan. Sajak tersebut jelas bersifat peringatan dan pendakwahan. Dalamnya juga tersirat unsur tasawuf yang menggalakkan manusia supaya mendampingi dirinya dengan Tuhan.


This template was created by Slidesgo 3.4 KRITIKAN SOSIAL Sastera adalah rakaman kehidupan yang menyelongkar kehidupan manusia daripada pelbagai sudut pandang dan sesuatu yang dipaparkan dalam sastera adalah sesuatu yang berlaku dan terjadi dalam realiti kehidupan manusia. Perkara ini dikatakan sedemikian kerana sastera adalah gambaran kehidupan manusia sebagaimana ditegaskan oleh Usman Awang, A. Samad Said dan Dharmawijaya. Sastera bertujuan menegur, mengkritik mahupun menyampaikan mesej. Sastera memainkan peranan penting dalam kritikan sosial dengan membantu memperlihatkan dan mengekspresikan kebimbangan serta keresahan terhadap isu-isu sosial. Melalui sastera, penulis dapat menyampaikan pandangan dan pendapat mereka mengenai hal-hal yang salah atau tidak adil dalam masyarakat, membantu membangkitkan kesedaran dan perubahan sikap masyarakat terhadap masalah-masalah tersebut. Contoh kritikan sosial dalam novel Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain ialah kritikan terhadap sikap masyarakat yang memandang rendah atas keupayaan orang lain atas sebabsebab tertentu. Sikap tersebut dapat ditunjukkan melalui watak Datuk Johari yang tidak menghargai kebolehan Hilmi yang sudah berjaya menjadi seniman agung kerana Hilmi hanya lulus setakat darjah empat di sekolah.


Puisi tradisional merupakan satu elemen yang penting bagi mengungkapkan pemikiran dan akal budi orang Melayu semasa berkomunikasi. Puisi tradisional dapat dikatakan sebagai cerminan kehalusan budi, ketinggian ilmu serta pemikiran masyarakat Melayu dahulu ketika berbahasa kerana penggunaannya terhasil daripada pengamatan yang cukup tinggi terhadap kejadian alam sekeliling, tingkah laku, norma hidup, adat dan budaya (Azman Rahmat et al, 2022). Akal budi mencerminkan perbuatan, pemikiran dan sikap seseorang manusia yang mendorong kebijaksanaan, kehalusan jiwa serta keindahan. Perbuatan, pemikiran dan sikap seseorang diterjemahkan dalam pelbagai rupa namun yang paling lazim ialah dalam bentuk penghasilan karya seni seperti seni sastera. Budi mewakili tempat perasaan, kesedaran, keyakinan dan dorongan serta dapat dilihat dalam pertuturan, perlakuan, kehalusan berbahasa dan gaya hidup. Akal atau pemikiran pula merupakan proses menggunakan minda untuk mencari makna dan pemahaman terhadap sesuatu, menerokai pelbagai kemungkinan idea dan membuat pertimbangan yang wajar bagi membuat keputusan, menyelesaikan masalah lalu membuat refleksi terhadap proses yang dilalui. Manifestasi akal budi ini boleh dilihat dalam empat aspek utama iaitu pemikiran, pertuturan, perlakuan dan gaya hidup. 4.0 MANIFESTASI AKAL BUDI MASYARAKAT MELAYU DALAM KARYA PUISI TRADISIONAL


Pertuturan dapat dilihat melalui sifat kesantunan masyarakat Melayu. Menurut Kamus Dewan, santun membawa maksud halus budi bahasa atau “berbudi pekerti” dan berusaha menghindari konflik antara penutur dengan pendengar dalam proses komunikasi. Awang Sariyan (2007), mentakrifkan kesantunan sebagai menggunakan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicara. Seterusnya, akal budi masyarakat Melayu juga dapat dilihat melalui perlakuan seharian dan masyarakat Melayu dapat dikategorikan sebagai masyarakat yang kaya dengan tingkah laku yang baik. Masyarakat Melayu juga menjaga perlakuan agar tidak menyinggung perasaan seseorang. Akhir sekali, Kamus Dewan mendefinisikan gaya hidup sebagai cara tertentu seseorang individu atau kumpulan menjalani kehidupan kemampuan seperti mewah dan sederhana. Dalam konteks gaya hidup ini, akal budi dapat dilihat dalam kehidupan seharian iaitu agama serta kepercayaan, adat istiadat, kesenian, sistem kekeluargaan dan pengamalan nilai-nilai murni.


4.1 AKAL BUDI DALAM PANTUN Tingkap papan kayu persegi, Sampan sakat di Pulau Angsa, Indah tampan kerana budi, Tinggi bangsa kerana bahasa. Rangkap pantun tersebut membawa maksud masyarakat yang mengamalkan sikap berbudi bahasa akan dipandang mulia oleh orang sekeliling kerana bahasa menunjukkan identiti sesuatu bangsa mahupun individu itu sendiri. Masyarakat Melayu zaman dahulu menilai darjat sesuatu bangsa atau individu melalui bahasa yang dituturkan kerana budi bahasa lebih penting berbanding kekayaan harta yang dimiliki. Budi bahasa dapat menunjukkan keperibadian seseorang dalam sesuatu bangsa dan secara tidak langsung dapat mengukuhkan perpaduan kaum dalam negara. Kebijaksanaan dan kesopanan sesuatu bangsa atau individu akan lebih menonjol jika dia mengamalkan amalan berbudi bahasa. Ketinggian budi bahasa dapat melahirkan masyarakat yang lebih bertamadun dan sentiasa hormat-menghormati. Dengan ini, negara akan sentiasa aman damai kerana saling bertoleransi antara satu sama lain. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berbudi bahasa tidak kira di mana kita berada dan dengan siapa kita berbual bagi menjaga perasaan orang lain agar tidak menyakiti perasaan mereka bagi mewujudkan suasana yang positif dan harmoni.


Kalau bertanak dengan menggulai, Mengacau gulai pecah isinya; Kalau gelak nak jangan mengilai, Kalau mengilai rendah budinya. Rangkap pantun tersebut menekankan adab dan perilaku seseorang supaya tidak ketawa dengan kuat sehingga mejadi gangguan kepada orang lain . Hal ini memberi gambaran tentang perilaku yang wajar dihindari. Sikap mengilai yang digambarkan boleh menyebabkan seseorang itu dianggap tidak sopan dan menganggu ketenteraman orang sekeliling. Oleh itu, setiap individu perlu menjaga tingkah laku sepanjang masa tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan supaya dapat menunjukkan bahawa kita seorang yang berketerampilan berbahasa. Kita juga perlulah bercakap dengan sopan santun dan menggunakan suara yang lemah-lembut ketika bercakap.


4.2 AKAL BUDI DALAM SYAIR Inilah gerangan suatu madah, mengarangkan syair terlalu indah, membetulkan jalan tempat berpindah, di sanalah I’ktikaf diperbetul sesudah. (Syair Perahu, rangkap 1, Hamzah Fansuri) Berdasarkan rangkap satu tersebut, penyair ingin menceritakan berkaitan perjalanan hidup yang perlu diperbetulkan demi kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Malahan, penyair mengajak manusia untuk sentiasa berfikiran terbuka dalam usaha memantapkan keimanan kepada Allah SWT. Hal ini demikian kerana hanya memalui iman yang mantap sahaja boleh mendorong manusia ke arah kejayaan hakiki. Akal budi mengenai pemikiran agama akan menyebabkan ketakwaan seseorang individu itu bertambah disebabkan oleh kesedaran untuk sentiasa beribadah demi mendapatkan keredaan Allah SWT. Syair tersebut merupakan dakwah yang hendak disampaikan kepada masyarakat yang berunsurkan keagamaan.


Hanyutlah badan ke sana ke mari, Segenap pesisir desa negeri, Bertambahlah pula sopan dan negeri, Santap nan tidak minum pun kari. Bangun terjunun badan suatu, Gundahlah fikir tiada tertentu, Laksana cermin jatuh ke batu, Remuk dan redam hancur di situ. (Syair Burung Nuri) Berdasarkan rangkap pertama tersebut, penyair mengisahkan kehidupannya terumbang-ambing tanpa arah tuju dan tidak terurus sehinggakan dia lupa untuk makan dan minum. Rangkap kedua pula menceritakan bahawa penyair tersedar bahawa tiada guna hidup dalam kekecewaan sehingga boleh menyebabkan kehidupannya menjadi hancur. Penyair ingin menceritakan bahawa masalah kekecewaan dalam perhubungan dan kegagalan berfikir dengan rasional akan memusnahkan kehidupan. Kita tidak boleh berputus asa dan bertindak mengikut kata hati tanpa berfikir dengan panjang kerana keputusan yang dibuat mungkin tidak tepat terlalu mengikut emosi. Oleh itu, kita hendaklah menenangkan fikiran terlebih dahulu dan mengambil masa dengan berfikir secara kritis serta berpandangan jauh agar keputusan yang dibuat tepat. Penyair juga berpesan agar setiap pasangan bijak menguruskan masalah percintaan.


4.3 AKAL BUDI DALAM SELOKA Baik budi Emak Si Randang, Dagang lalu ditanakkan, Tiada kayu rumah diruntukan, Anak pulang kelaparan, Anak dipangku diletakkan, Kera di hutan disusui, Dagang pergi awak berhutang, Beras habis padi tak jadi. (Seloka Emak Si Randang, Dewan Bahasa dan Pustaka) Seloka tersebut berbentuk sindiran kepada sesetengah masyarakat yang terlalu melebihkan orang lain dalam setiap urusan. Tamsilnya, Emak Si Randang yang mengabaikan anaknya malah membiarkannya dalam keadaan kelaparan sebagaimana dalam frasa “anak pulang kelaparan”. Namun, beliau memberi perhatian dan layanan baik kepada orang yang langsung tiada pertalian darah dengannya. Oleh itu, kita hendaklah mendahulukan ahli keluarga melebihi orang lain dalam setiap perkara. Seloka ini juga memberi sindiran kepada golongan yang terlalu murah hati tidak bertempat. Misalnya, Emak Si Randang bersikap baik hati walaupun dengan orang yang tidak dikenali dan kebaikannya merugikan diri dan keluarganya. Maka, kita hendaklah sentiasa berwaspada dalam setiap tindakan yang hendak dilakukan.


Jual itik nak beli kambing, Jual kambing nak beli lembu, Mat Jenin mula tersenyum sumbing, Duit disimpan beribu-ribu, Jual lembu nak beli bahtera, Pergi berniaga keluar negeri, Akhirnya Jenin dah kaya-raya, Ingin berkahwin Tuan Puteri. Jenin hanyut dalam angan-angan, Dia lupa buat seketika, Sambil mengangkat kedua tangan, Mengenggam kuat tanda gembira. (Seloka Mat Jenin, Himpunan Puisi Klasik:40) Seloka tersebut menunjukkan bahawa angan-agan Mat Jenin itu hanya mimpi yang belum tertunai kerana Mat Jenin suka berangan-angan di siang hari dan angan-angannya tidak pernah menjadi kenyataan seperti yang digambarkan dalam seloka tersebut. Angan-angan yang ada pada Mat Jenin membuatkan dirinya digelar sebagai Mat Jenin yang suka berangan-angan. Oleh itu, kita sebagai masyarakat sepatutnya membuang angan-angan yang belum pasti kesudahannya dengan yakin benda yang diangankan itu akan tertunai dengan mudah sekiranya usaha yang dilakukan selari dengan keinginan tersebut. Kita mestilah mempunyai matlamat yang ingin dicapai agar kita akan sentiasa berusaha keras demi mencapai impian yang dihajati. Usaha keras tidak akan menghianati hasil yang akan diperoleh malah akan memberikan kepuasan kerana kerja keras tersebut bebaloi.


4.4 AKAL BUDI DALAM GURINDAM Gurindam Berkasih (Mohd Efandi Yusop) Barang siapa ingin bercinta Pastikan diri mesti setia Barang siapa ingin berkasih Pastikan diri itu bersih Barang siapa berkasih sayang Jangan sampai jiwa melayang Gurindam tersebut memberikan nasihat mengenai percintaan agar menjadi seorang yang setia sebelum berada dalam hubungan kelak tidak akan mempunyai isu sewaktu bercinta. Penulis juga menasihati agar tidak terlalu mencintai dan menyanyangi pasangan kerana cinta yang melampau akan menyakitkan diri sendiri dan menyebabkan seseorang itu susah untuk melupakan dan merelakan pemergian seseorang. Oleh itu, kita hendaklah menyayangi diri sendiri lebih daripada kita mencintai orang lain agar kita tidak mudah kecewa apabila dilukai dan ditinggalkan. Cinta yang berlebihan akan menyebabkan kita sentiasa takut untuk kehilangan mereka sehinggakan kita sanggup membiarkan diri sendiri terluka demi berada di samping orang tercinta walaupun kehadiran kita tidak dihargai.


Barang siapa meninggalkan yang lima Pasti hidup tidak sempurna Barang siapa melawan kata ibu dan bapa Kelak hidup akan binasa Barang siapa ikhlas bersahabat Pasti persahabatan terjalin hebat Barang siapa berpegang kepada Al-Quran Pasti jiwa tenang tiada keresahan Gurindam tersebut mempunyai unsur dakwah agar sentiasa mengingati Allah. Penulis mengingatkan agar sentiasa menunaikan solat lima waktu agar hidup menjadi tenteram kerana mendapat keredaan Allah sekali gus dipermudahkan urusan seharian. Selain itu, penulis juga mengingatkan agar sentiasa mendengar kata ibu bapa kerana keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berbuat baik dan mendengar kata kedua ibu bapa kita setiap masa. Doa ibu bapa boleh membantu kita dalam kehidupan seharian kerana doa ibu bapa sentiasa dimakbulkan oleh Allah. Kita hendaklah berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-sunnah dalam kehidupan kita agar hati menjadi tenang dan tidak terpesong daripada landasan yang benar. Kita hendaklah sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan dan membaca Al-Quran dengan maksudnya agar lebih menghayati makna ayat tersebut.


Kesimpulannya, sasterawan dan kesusasteraan adalah entiti penting yang bertembung dalam kesatuan lingkungan akal dan budi. Kedua-dua entiti ini adalah perakam zaman yang menyimpan sejarah jatuh dan bangunnya sesuatu bangsa. Sasterawan bukan sekadar menjadi penulis tetapi memainkan peranan yang lebih penting kerana meraka melontarkan idealisme, visi dan gagasan yang mewakili lingkungan hidupnya (Shamsudin Othman et. al, 2015). Shahnon Ahmad (1991) berpandangan bahawa sastera adalah hati nurani bangsa dan lingkungan hidup sesebuah masyarakat yang terakam di dalam sastera. Karya-karya kesusasteraan Melayu memainkan peranan penting dalam menyampaikan sesuatu mesej dan seterusnya menjana kebijaksanaan. Elemen kebijaksanaan disampaikan melalui pelbagai bentuk ilmu yang terkandung dalam teks kesusasteraan Melayu untuk dicerap dan dicerna oleh masyarakat. Perkara ini menjelaskan peranan yang dimainkan oleh kesusasteraan Melayu sebagai alat komunikasi massa sejajar dengan model komunikasi Wilbur Schramm (Muhd Norizam Jamian dan Shaiful Bahri Md Radzi, 2015). 5.0 KESIMPULAN


6.0 RUJUKAN Abdul Halim Ali. (n.d). Konsep Keindahan dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional. Jurnal Bahasa dan Sastera Melayu. 100-116 A.Teeuw. (1995). Sastera dan Ilmu Sastera: Pengantar Teori Sastera. Dewan Bahasa dan Pustaka. Awang Sariyan. (2007). Santun Berbahasa. Dewan Bahasa dan Pustaka. Azman Rahmat et al. (2022). Pengenalan Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu. Pustaka Al-Ehsan. Badaruddin H.O. (2010). Takdir itu begini. Dewan Bahasa dan Pustaka. Harun Mat Piah. (1989). Puisi Melayu Tradisional. Dewan Bahasa dan Pustaka. Hashim Awang. (1985). Mendekati Kesusasteraan Melayu. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Mohamad Mokhtar Abu Hassan dan Pg. Haji Yakup Pg. Ahmad. (2018). Sajak-sajak Badaruddin H.O. Bertemakan Ketuhanan: Analisis Pendekatan Dakwah. Jurnal Pengajian Melayu. 156-180 Muhd Norizam Jamian dan Shaiful Bahri Md Radzi. (2015). Kesusasteraan Melayu Tradisional Sebagai Wadah Komunikasi Massa: Suatu Analisis. Jurnal Komunikasi, 31(2), 183-194 Nordiana Ab Jabar. (2019). Keunggulan ikon Membawa Teladan Dalam Seloka Melayu. Jurnal Antarabangsa Persuratan Melayu. 172-191 Ros Anita Kartini Mohamed. (2021). Unsur Sastera Melayu dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Sekolah Rendah Melahirkan Murid Berfikiran Kritis. Jurnal Dunia Pendidikan. 540-550 (PDF) Unsur Sastera Melayu dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Sekolah Rendah Melahirkan Murid Berfikiran Kritis (Malay Literature


Elements in Teaching and Learning Process in Producing Critical Thinking Pupils in Primary Schools) (researchgate.net) Samsudin (2001). Media dan identiti budaya: membangunkan industri kandungan tempatan yang berdaya tahan. Jurnal Komunikasi: Malaysian Journal of Communication 17: 67-80. Shahnon Ahmad (1991). Sastera Sebagai Seimograf Kehidupan. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Siti Hajar Abd. Aziz. (2011). Bahasa Melayu 1. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn.Bhd. Shamsudin Othman et al. (2015). Pemikiran Akal Budi dan Sosiobudaya Melayu dalam Pendidikan Kesusasteraan Melayu. International Journal of Education and Training, 1(2), 1-10 Za'ba. (1965). Ilmu Mengarang Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka.


Click to View FlipBook Version