BBK 3410 PENGLAHIRAN BAKAT KREATIF SEMESTER 2 SESI 2018/2019 KUMPULAN KURSUS: 2 PENSYARAH: PROF. MADYA DR. KAMARIAH KAMARUDIN TUGASAN INDIVIDU TAJUK TUGASAN: SAJAK DAN CERPEN NAMA PELAJAR NO. MATRIK SYAIMA’ BINTI MOHD NOOR 196858 1
ISI KANDUNGAN BIL. ISI KANDUNGAN HALAMAN 1. SAJAK 1: BAHAGIA 1 2. SAJAK 2: MISKIN YANG TERMISKIN 2 3. SAJAK 3: SI PEMATAH TULANG 3 4. SAJAK 4: AKU DAN SEBATANG PEN 4 5. SAJAK 5: KOPI HITAM 5 6. CERPEN 1: LUKA, WAJIK DAN BUNGA 6 7. CERPEN 2: CERPEN BUAT IBU 16 2
Bahagia Di pondok kecil itu aku lihat bapa tuaku, Menongkrong duduk melihat aku, Pundakku diusap penuh kasih dan cinta yang hanya tuhan tahu, Katanya, bisiknya, Tiada kehidupan di dunia yang bertahan lama, Cukup saja buatmu memungut amalan dan pahala, Jadi kata bapa tuaku, Hiduplah engkau sesempurna dan sepenuhnya, Sambarlah emas-emas peluangmu, Bapaku minta aku untuk bahagia selalu, Lalu aku yang bersimpuh lama di sisinya membuka bicara, Bapak, adakah kau hidup sesempurna dan sepenuh bisa? Bapak, adakah kau menyambar biji-biji emas peluangmu? Bapak, adakah kau bahagia? Soalanku bapa biarkan angin membawa lalu, Ditenung dan dipandang aku lama sekali, Anakku, mahu aku tahu apa impianmu, tanyanya, Jika kau punya satu, aku berjanji katanya, Aku berjanji padamu, Kau adalah manusia terbahagia. 3
Miskin Yang Termiskin Oh, lihat kaum miskin itu, Sudahlah tidak berada, Bersenang-lenang bagai dunia dia yang punya, Bila tidak punya apa-apa, Kepada tuhan juga jarinya dituding, Takdir dipersalahkan, Nasib menjadi alasan, Oh, lihat kaum miskin itu, Punya sempurna sifat, Akal yang waras, Tetapi kenapa malas, Oh, lihat kaum miskin itu, Meminta-minta dan memaksa, Tidak diberi katanya tidak belas, Tidak dilayan katanya kurang ihsan, Oh, lihat kaum miskin itu, Merekalah yang termiskin antara yang miskin. 4
Si Pematah Tulang Ini alaf 21 katanya, Murid dibahagi kepada dua, Yang ada dan yang tiada, Yang ada dan yang tiada sepatu, Yang ada dan yang tiada baju, Yang tiada gigih mahu menjadi seperti yang ada, Walau keluarga di rumah makan hanya sekali tak sekala, Diminta, diugut, dipaksa ibu dan bapa, Apa semua ini? Hanya kerana paradigma engkau menderhaka, Tulang belakang ibumu terpatah dua, Hanya kerana mahu melunaskan hati engkau yang lara, Hai anak muda, Berhenti menangis seperti bayi, Hanya kerana sepasang sepatu, Dan sehelai baju, Kau tidak mati tidak punya itu, Kau mati apabila itu semua meracuni diri. 5
Aku Dan Sebatang Pen Aku dan sebatang pen, Dipandang biasa tiada apa, Aku dan sebatang pen, Hanyalah impian orang kata, Dimomok dan diketawa, Diperlekeh dan disindir sini sana, Apa saja yang kamu boleh lakukan, Dengan hanya sebatang pen, katanya, Aku diam seribu bahasa, Terus menulis, Dan menulis, Helaian kertas yang nipis menjadi tebal, Mereka yang bising mula menjadi sebal, Lihatlah, kata aku, Aku dan sebatang pen, Mampu menentang dunia, Aku dan sebatang pen, Mampu menghasut jiwa, Kamu dan kata-kata saja, Bisa apa? 6
Kopi Hitam Dalam kekurangan dan keterbatasan aku melihat kalian masih tersenyum, Dalam kebutuhan dan keterpaksaan aku melihat kalian masih tertawa, Mengharung sejuk pagi menggigit isi, Hutan diteroka, Sawah direnggam, Ikan dilautan engkaulah yang punya, Kocek bocor itu kau simpan pemen milikmu, Penuh, padat, mampat dan tepu, Kopi pahit itu kau hirup dan ketawa, Oh, kehidupanku miripnya seperti kopi hitam ini katanya, Pahit dan penuh liku dan pilu, Tetapi jika diberi kehidupan baharu pasti aku tidak mahu, Di celahan pohon kau lihat langit mula membara, Tandanya kaki ini ke rumah haluannya, Rodong disapa benihnya dibawa ke dada, Oh, inilah kehidupanku katanya, Seperti kopi hitam lagi diulangnya, Tapi suatu yang kalian perlu tahu katanya, Aku bahagia. 7
Luka, Wajik dan Bunga Lemparkan... Kalau tidak ia membisa, Kongsikan... Walau hanya pada batu-bata. Bait-bait ayat yang terbuku kemas di dalam diari hitam miliknya itu ditenung lama. Jari-jemarinya bermain menari di atas setiap bicara tersebut, seolah-olah boleh disentuh, bagaikan boleh berbicara dengan hatinya. Lampu kalimantang yang terang menerangi ruangan bilik kosong itu ditenung sepi. Lengan bajunya ditarik sedikit. Jarinya menari di pergelangan tangannya, baris-baris luka yang masih baru itu disentuh dan diusap, sakit. Kesan darah masih lagi boleh dilihat di baju yang dipakainya malam insiden tersebut berlaku. Baju yang menjadi saksi betapa dia penat dengan dunia, betapa dia sudah putus harap dengan kehidupannya. Matanya dipejam, seboleh mungkin mahu melupakan peristiwa yang hampir meragut nyawanya, yang membuatkan dia terlantar lemah di katil rumah sakit tersebut. Safiyya mengeluh berat. Dalam keadaan dia yang sebegini rupa, masih tidak kelihatan batang hidung kedua ibu bapanya. Safiyya sudah tidak kisah, sudah tidak mahu ambil tahu. Yang dia tahu, dia mahu pulang. Selama tiga hari dia terpaksa terbaring di katil, badannya lemah akibat darah yang banyak hilang. Bukan itu sahaja, dia dipaksa mengambil ubat dan dicucuk berkali-kali oleh jururawat. Dia letih. 8
Hingga ke hari terakhir dia ditahan di hospital, ibu dan ayahnya langsung tidak memunculkan diri, langsung tidak bertanya khabar. Cik Tina, pembantu di rumahnya yang menjemput dia pulang petang itu hanya memberitahunya ibunya kerap datang melawat ketika dia tidur. Ayah juga sering datang menjenguk dia tetapi kebiasaannya dia sedang diperiksa oleh doktor dan ayah tidak boleh tinggal lama. Dia tersenyum kelat, dia tahu wanita tua yang menjaganya sejak kecil itu hanya mahu menyejukkan hatinya, hanya mahu membuatkan dia berhenti bersedih dan berduka. Safiyya sudah lama berhenti berharap kasih dan sayang ayah dan ibunya. Tiada guna pada hematnya, menagih kasih pada yang tidak mahu dan mampu memberi kasih tersebut. Keretanya meluncur laju di atas jalan raya, melawan arus kesesakan dan kebanjiran kenderaan di bandaraya. Safiyya duduk termenung membuang pandang ke luar tingkap, memerhati setiap kenderaan yang berasak-asak mahu menuju ke destinasi dan motosikal yang berlumba mencelah di keberondohan. Dia akhirnya terlelap, menahan tangis. Tidur lamanya diganggu oleh bunyi desas-desus orang di luar kereta. Matanya digosok dan ditalakan pandangan ke luar. Ada tok dan tok wannya yang sudah tua dimamah usia, berkerut-kerut kening berbual dengan Pak Osman, pemandu yang sudah lama berkhidmat buat keluarganya. Dia hanya memerhati dari dalam kereta. Dia tahu isi perbualan mereka walaupun dia tidak mendengar walau sepatah perkataan pun. Pastinya tentang dia. Safiyya yang bermasalah. Safiyya yang tidak mahu mendengar kata. Safiyya yang keras kepala. Safiyya yang mahu mencabut nyawanya. Dia tahu, ibu dan ayah bersetuju menghantarnya ke sini bukan kerana mahu dia berubah, bukan kerana mereka mahu dia meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna. Tetapi, supaya mereka boleh lepas tangan, supaya mereka boleh berfoya-foya tanpa perlu memikirkan anak di 9
rumah. Bibirnya diketap, dia cuba tahan air matanya daripada keluar. Dia tidak mahu dilihat berlinangan air mata di hadapan tok dan tok wannya. “Safiyya?” Tok wannya membuka pintu hadapan kereta. Safiyya memandang tok wannya kosong, dia tidak mahu meraih simpati, apatah lagi bergantung harap pada sesiapa. Dia tersenyum kelat. Dia keluar daripada kereta dan bersalaman dengan pasangan tua itu. Terhuyung-hayang dia berjalan, badannya masih lemah dan perlukan rehat. Segera tok wan membawanya masuk ke bilik, diberi ubat yang diperskripsi oleh doktor, diselimutkan dan ditidurkan. Safiyya tidak ingat bagaimana dia boleh terlena malam itu, yang dia tahu dia dengar kenderaan Pak Osman keluar daripada perkarangan rumah dan dia menangis sekali lagi malam itu sebelum dunianya menjadi gelap. Safiyya tidak banyak bicara selama dia menetap bersama tok dan tok wannya. Disuruh makan, dia makan. Disuruh tidur, dia tidur. Disuruh solat, walau terpaksa, dia gagahkan juga. Kadangkala dia mendengus marah tok dan tok wannya, terutamanya apabila dia dipaksa memakai tudung ke sekolah. Hampir seminggu dia tidak berbicara dengan tok wannya kerana diminta memakai tudung labuh paras siku. Sudahlah sekolah yang dia pergi bosan sekali! Telefon bimbitnya sudahlah disimpan oleh tok. Kata tok, dia tidak mahu Safiyya leka dengan laman sosial, tok mahu dia belajar dan berusaha memperbaiki dirinya. Safiyya tergelak kecil ketika tok memberitahunya perkara tersebut. Capaian internet pun tidak ada, harus bagaimana dia terleka? Tetapi, Safiyya tahu, tok tegas sebab tok sayang. Tok wan tegas kerana tok wan sayang juga. Walaupun keberadaannya di sini bagai dicampak dan dibuang ibu bapa 10
sendiri, tok dan tok wan dengan senang hati menerimanya, dengan penuh rasa sayang dan sabar mereka melayan kerenahnya. Sudah dua bulan lebih Safiyya menetap di kampung itu, kampung yang melihat perubahannya daripada seorang Safiyya ke seorang Safiyya yang berbeza. Daripada seorang Safiyya yang tidak pandai solat kepada seorang Safiyya yang solat cukup lima waktu. Daripada Safiyya yang tidak pandai mengaji kepada Safiyya yang sudah khatam satu kali. Dia bahagia. Cukup bahagia. Jika diminta untuk pulang ke Kuala Lumpur, pasti dia tidak mahu. Tok dan tok wan adalah ibu dan bapanya yang baharu, tiada ganti. Petang yang hening itu, Safiyya duduk di tepi tangga rumah kayu itu sambil memeluk sebalang kerepek pisang. Dia baru saja selesai menelaah buku dan membaca Ma’thurat bersama tok wan. Tok wan sudah hilang ke belakang rumah, mungkin berbual-bual dengan jirannya. Safiyya membuang pandang ke laman rumah kayu itu. Tok wan memang suka bercucuk-tanam, kalau boleh semua pokok bunga mahu dikahwinkannya. Halaman rumah itu penuh dengan pokok-pokok bunga tok wan, yang menjadikannya berwarna-warni dan udaranya cukup segar dan harum. Safiyya lihat ada kereta yang meluncur laju di simpang jalan rumahnya. Matanya mengecil, memerhati gerak kereta itu. Saat kereta itu mula berhenti di halaman warna-warninya, hatinya meruntun. Tekaknya mula kering dan air liurnya pahit. Jantungnya hampir saja terhenti dan dadanya berombak. Lekas-lekas dia bangun dari duduknya dan berlari ke belakang rumah, tidak mahu menyambut si gerangan yang baru saja keluar daripada kereta. 11
Dia mengurung diri di dalam bilik. Safiyya mengetap bibirnya, menahan tangis dan air mata yang bakal tumpah. Mengapa? Mengapa dia harus kembali di saat aku sudah mula bahagia? Di saat aku mula rasa nikmat dicinta dan disayangi? “Safiyya,” panggil tok wan lembut, mengetuk pintu biliknya. Tiada jawapan. “Safiyya, mari keluar. Ibu kamu mahu berjumpa,” tok wan usaha sekali lagi. Wanita tua itu mengeluh. Dia tahu, bukan mudah untuk Safiyya mahu keluar dari kamar itu. Keluarnya dia dari kamar itu ibarat dia memberi sinar harapan baharu buat dirinya untuk terus mengharapkan kasih dan cinta insan bernama ibu, dan tok wan pasti, Safiyya paling tidak mahu itu. Safiyya terus berkurung di dalam bilik sehingga usai solat isyak. Dia menggagahkan diri menapak keluar dari bilik itu. Ini semua demi tok dan tok wan, bisiknya. Dia tidak mahu ibunya memperlekehkan usaha mereka mengambil alih tanggungjawab ibunya sendiri mendidik dia menjadi manusia semula. Saat Safiyya muncul, ruang tamu itu sunyi sepi. Wajah tok dan tok wan kelihatan sugul. Raut wajah insan yang duduk berhadapan tok dan tok wan dicuri pandang sekilas. Dia rindu akan raut wajah itu, raut wajah lembut insan bernama ibu. Insan yang sejak kecil ditagih kasih dan sayangnya. Insan yang setelah sekian lama, tidak memberi makna apa-apa buat Safiyya. Insan yang meninggalkan bekas garis-garis luka di pergelangan tangannya. Safiyya duduk bersimpuh di lantai kayu itu. Dia memberanikan diri mengangkat muka memandang ke anak mata ibunya. Ibunya kelihatan sugul, wajahnya pucat dan mukanya lesu, tidak bermaya. Wanita itu tersenyum senang melihat Safiyya. Dia membetulkan duduknya dan mengisyaratkan tok untuk membuka bicara. 12
“Safiyya, ibu kamu datang ke mari ini sudah pasti ada hajatnya, bukan?” Tok bersuara lembut, bertanya. Safiyya hanya angguk perlahan. “Ibu datang ke mari mahu mengambil kamu semula. Mahu bawa kamu semula ke Kuala Lumpur menemani ibu. Ibu dan ayah sudah lama bercerai, nak. Ibu disahkan mempunya kanser tulang, ibu mahu kamu semula,” Ibunya bersuara perlahan. Safiyya mengetap bibir, kuat. Matanya ditala ke lantai, tidak tega melihat ibunya sendiri. Hatinya seperti ombak, bergelora dengan perasaan dan berbaur rasa. Dia bangun daripada duduknya. “Ibu, Safiyya minta maaf. Safiyya tidak mampu,” Dia tidak punya jawapan untuk permintaan itu buat masa sekarang. Dia bahagia di sini, untuk apa dia kembali ke Kuala Lumpur? Untuk apa dia pulang semula ke lubuk penderitaan itu? Dia sudah penat. Dan dia pasti, ibunya sendiri mengerti sebab dia tidak mahu kembali ke Kuala Lumpur. Perkara yang membahagiakannya di sana hanyalah Cik Tina dan Pak Osman, tiada apa lagi yang dia hargai di sana, termasuklah ibunya sendiri. Dia lantas berjalan masuk ke ruang kamarnya. Menghempaskan wajahnya ke bantal dan menangis. Dia tahu tindakannya itu pasti disoal tok dan tok wan. Tapi, buat waktu ini sahaja, dia mahu menentukan nasib dan takdirnya sendiri. Dia tidak mahu diarah dan disuruh-suruh lagi. Dia sudah letih. Malam itu, dia termenung panjang. Matanya tidak berat dan minta ditutup sama sekali, dia segar. Dia dengar bunyi enjin kereta milik ibunya keluar daripada perkarangan rumah. Pandangannya ditala ke atas, ke arah lampu kalimantang yang sudah malap. Lamunan lamanya ditemani bunyi cengkerik yang menyanyi cukup bahagia malam itu. Dia leka dibawa arus lamunan sehingga tidak sedar matanya sudah mula layu dan tertutup. 13
Pagi itu, tok wan tidak menjenguknya di bilik seperti hari-hari biasa. Pasti tok wan sangka dia perlukan masa dan ruang. Pasti tok wan tidak mahu mengganggu dirinya. Kedengaran suara tok sayup-sayup membaca Al-Quran di luar. Dia bangun daripada baringannya dan bergegas ke tandas, mengambil wudhu dan solat. Dia berdoa di dalam sujudnya agar diberi petunjuk dan ketenangan di dalam jiwa. Agar diberi pedoman dan dibantu oleh tuhan untuk setiap keputusan. Untuk tidak hanya berlandaskan nafsu manusianya, rasa marah dan sedihnya sahaja. Usai solat, dia menjenguk tok wan yang sedang sibuk menyediakan sarapan di dapur. Tok wan yang berkain batik dan berserkup warna kelabu itu dipandang redup penuh kasih sayang. Dia duduk memerhati tok wan memotong beberapa potong bawang dan cili. Dapur itu sunyi saja dengan Safiyya yang sibuk bermain dengan anak kucing di bawah meja. Sesekala kedengaran bunyi percikan minyak datang dari arah kuali yang diguna tok wan. “Safiyya,” panggil tok wan. Safiyya memandang tok wan sekilas sebelum dia sambung bermain dengan anak kucing itu. Tok wan datang menghampirinya dengan sepinggan wajik di tangan. Diletakkan di atas meja sebelum tok wan melabuhkan punggung duduk di sebelah Safiyya. Safiyya masih leka, langsung tidak menghiraukan tok wan di sisinya. Tangan Safiyya dirangkul lembut tok wan. Pergelangan baju Safiyya diselak, memperlihatkan garis luka yang masih belum sembuh dan baik sepenuhnya. Safiyya tersentak. Sepanjang dia menetap bersama tok dan tok wan, tidak sekali pun dia berani menunjukkan luka di tangannya. Luka yang menyimpan seribu rasa dan duka Safiyya, yang dia mahu simpan kemas dan rapat. 14
Tok wan mengusap tangan Safiyya penuh lembut dan kasih sayang. Wanita tua ini tahu apa yang bergelora di hati gadis itu. Dia tahu betapa sakit dan terlukanya Safiyya, betapa luka-luka itu menjadi simbol lemahnya gadis kecil ini, yang memerlukan pertolongan, yang memerlukan kasih sayang. Yang memerlukan sokongan. Pergelangan baju itu ditarik, menutup semula luka hasil carikan pisau itu. Wajik yang dibawa bersamanya tadi dihidangkan dan disuakan ke Safiyya. Safiyya mengambil dengan tangan dan disuap ke mulut. Manis. Mereka berdua senyap, membiarkan angin sejuk pagi menyelinap masuk di antara mereka, menyejukkan hati yang berduka. “Safiyya tahu tak cara buat wajik?” Suara tok wan memecah kesunyian. Safiyya hanya mengangkat bahu, tanda tidak tahu. Dia gadis Kuala Lumpur, masakan tahu cara-cara membuat wajik. Kata tok wan, wajik diperbuat daripada pulut manis yang dimasak bersama santan dan nisan kelapa. Jelas tok wan lagi, wajik biasanya dihidangkan sebagai pemanis mulut terutamanya ketika sambutan Hari Raya ataupun majlis perkahwinan. Mereka berbual panjang tentang wajik, sehingga tidak sedar wajik yang dihidang tadi sudah habis dijamah. Safiyya bangun menambah wajik di pinggan dan dihidangkan semula ke atas meja. Tok wan mengambil sedikit wajik dan ditarik-ditariknya sedikit. Ia saling melekat antara satu sama lain. Jelas tok wan, ini kerana bahan asasnya iaitu pulut digunakan ketika membuat hidangan pemanis tersebut. “Safiyya cuba lihat wajik ini. Ianya saling melekat antara satu sama lain, bukan?” Tanya tok wan. Safiyya yang masih sibuk menjamah hidangan wajik tersebut hanya melirik sekejap sebelum menganggukkan kepala. 15
“Hubungan kekeluargaan juga ibaratnya seperti wajik ini. Saling melekat-lekat dan sukar dipisahkan. Bagaimana cara sekalipun Safiyya tidak mahu, itu keluarga Safiyya, ibu Safiyya. Sepertimana manisnya wajik ini, seperti itu juga manis jika Safiyya sudi menjalinkan hubungan kekeluargaan semula. Safiyya, faham?” Ujar tok wan lembut, cuba memujuk hati anak kecil itu. “Tok wan mengerti, bukan mudah Safiyya mahu lupakan segala yang telah berlaku kepada Safiyya. Tok wan faham sebab Safiyya tidak mahu bersama mereka semula. Cuma, jika Safiyya menolak mereka, apa bezanya Safiyya dengan mereka? Apa bezanya Safiyya dengan ibu dan ayah yang tidak kisah tentang Safiyya dahulu?” Safiyya terkedu. Tidak menyangka tok wan akan menyentuh perihal semalam. Hatinya yang masih lagi lara dan bernanah, cepat saja tersentuh, cepat saja menjadi hiba. Dia tidak sangka perkara yang diperlukannya selama ini hanyalah kata-kata sokongan dan dorongan seperti ini. Terasa seperti ada yang menghargai, ada yang sudi mendengar isi hati. Tok wan bangkit daripada duduknya dan merangkul bahu gadis itu. Dipeluk erat dan ditarik rapat. Dia tahu gadis ini kuat, lebih kuat daripada apa yang dia sangka sendiri. Dia tahu gadis itu punya hati yang lembut, terutama buat ibunya. Ibu yang sudah bertahun ditagih kasih dan simpati. Di dalam pelukan tok wan, Safiyya menangis. Tok wan turut menangis. Wanita tua itu mahu lihat Safiyya bangkit dan bangun, berkembang mekar bak bunga. Menyebarkan bau yang indah ke seluruh dunia, mengagumkan manusia dengan keanggunannya. *** 16
“Ibu, lekas! Safiyya ada kelas pagi ini,” Safiyya tergopoh-gapah menyarungkan kasut ke kaki. Segera dia berlari masuk ke kereta, menunggu ibunya yang masih lagi berdandan. Sedangkan hanya pergi ke hospital sahaja, tidak tahu apa yang perlu dicantikkan ibunya. Ibu tersenyum-senyum sebelum berlari-lari anak ke kereta. Safiyya ketawa dengan keletah ibunya. Ibu yang dirindui dan ditagih kasih dan sayang sejak kecil, kini miliknya sepenuhnya. Ibunya sudah mula bangkit melawan kansernya. Sudah mula menunjukkan impak positif di dalam perkembangannya. Safiyya bahagia. Cukup bahagia. Walaupun ayah masih lagi jarang boleh dihubungi, sekurang-kurangnya dia punya ibu. Ibu buat bersandar bahu. Dan tidak lupa, tok dan tok wannya, yang sudah pasti tidak mahu tinggal bersama mereka di Kuala Lumpur walaupun sudah diajak berkali-kali. Safiyya kini di Universiti Malaya, menyambungkan pelajaran dalam bidang psikologi. Dia mahu membantu anak-anak remaja seperti dirinya, yang dipinggir keluarga dan terasa asing di dalam kelompok masyarakat. Dia mahu menghulurkan tangan memberi galakan dan dorongan yang Safiyya pasti, tidak ramai yang sudi berbuat begitu pada mereka. Luka-luka di pergelangan tangannya hanya tinggal parut sahaja. Safiyya usap luka-luka itu setiap kali dia terasa mahu mengalah, setiap kali dia terasa mahu menyerah. Dan setiap kali itu juga, semangat barunya disuntik. Bagaikan memberi harapan dan visi baru untuk Safiyya, untuk terus berusaha berbakti kepada setiap insan di dunia. Bekal wajik di tangan diperkemaskan pegangannya. Dia sudah sendiri menuntut dengan tok wan cara memasak wajik. Bak kata tok wan, dia mahu Safiyya mekar seperti bunga. Dan dia mahu bauannya dihirup semerbak seluruh manusia. 17
18
Buku Buat Ibu Lelaki itu tersandar ke dinding keletihan. Cermin matanya dikeluarkan daripada dalam beg dan diletakkan di pangkal hidung. Peluh masih merintik-rintik turun daripada rambutnya, baju tidak berlengannya lencun. Telefon bimbit disambar, laju jarinya menekan skrin telefon pintar tersebut, membuka emel dan mencari-cari emel yang dia kehendaki, yang dia ingini. Hampa. Tiada sebarang emel yang masuk. Yang ada sekalipun hanyalah pesanan-pesanan ringkas daripada laman sesawang yang dia langgan. Tuala kecil dibawa ke kepala, dikeringkan rambutnya yang basah dengan peluh dan air botol dibawa keluar daripada beg dan diteguk laju. Panas. “Zaid, good game!” Jerit salah seorang pemain yang bermain bersamanya tadi. Zaid hanya mengangguk kecil dan menyambut lambaian pemain tersebut. Gelanggang bola keranjang itu sudah mula ditinggalkan manusia yang tadinya ligat bermain. Kosong dan sepi. Tinggal hanya beberapa orang petugas yang mengemas kawasan di sekitar gelanggang dan mengunci bilik-bilik sukan di situ. Hari sudah mulai senja. Zaid segera bangun daripada duduk dan melangkah ke arah motosikal cabuknya. Enjin dihidupkan dan dibawa meluncur laju melawan arus kesesakan bandaraya. Muzik di telinga dibiarkan berdentum, mengganti kebisingan kenderaan dan manusia di sekelilingnya. Sampai saja Zaid ke rumah, kedengaran suara ibunya berleter dari dalam. Tidak tahu apa lagi yang dimarahkan, tidak tahu apa lagi yang tidak puas hati untuknya. Melangkah setapak demi setapak menghampiri pintu masuk rumah, makin jelas kedengaran isi leteran dan bebelannya itu. 19
“Saya tak tahulah apa mahu jadi dengan anak lelaki abang yang seorang itu. Tidak habis-habis dengan buku lakarannya. Tidak habis-habis dengan buku ceritanya. Letih saya lihat! Mahu dinasihatkan pun, bukan dia mahu kisah. Pandangan kita pun tidak mahu lagi dia ambil kira. Tak tahulah masa hadapan anak bertuah yang seorang itu,” ibunya mengomel sambil membasuh pinggan mangkuk yang menggunung di dalam sinki. Abahnya kelihatan bersahaja saja, endah tidak endah dengan sungutan sang ibu. Zaid pekakkan telinga. Segera dia melangkah menapak ke atas masuk ke kamar tidurnya. Skrip leteran dan aduan ibunya itu sudah dihafal olehnya, manakan tidak, setiap hari ayat yang sama bertubi-tubi masuk mendera deria telinganya. Dia diamkan saja, memikirkan yang mengomel dan berleter itu ibunya sendiri. Ibu yang dia cintai. Salahkah dia meminati bidang lukisan dan penulisan? Bidang yang dia minati dan cukup ghairah sejak kecil lagi. Bukan dia menyusahkan sesiapa. Tidak sesen pun dia minta daripada ibu dan bapanya untuk membeli alat-alat peralatan, yang Zaid sendiri tahu ibu tidak akan hulur walau sesen pun kepadanya. Dia sanggup bekerja separuh masa bagi mendapatkan sedikit wang saku untuk dilaburkan dalam minatnya itu. Zaid faham dan mengerti, faktor kejayaan abang dan adiknya yang membuat ibunya tidak senang duduk. Siapa sahaja yang tidak, abang sulungnya sekarang sudah berjaya menjadi jurutera. Adiknya pula tidak mahu kalah, kini sedang menyambung pelajaran dalam bidang perubatan dan jika ada rezeki, pasti menjadi doktor suatu hari nanti. Dan dia pula? Masih sibuk melakar di atas kertas lakarannya. Masih sibuk menulis dan menghantar karya ke tempat merata. Dia ikutkan saja hasrat ibunya mahu dia menyambung pelajaran dalam bidang perniagaan. Zaid mendafar ke pengajian tersebut dan sudah berjaya merangkul sijil ijazah untuk 20
bidang yang ibunya inginkan. Apa lagi ibu mahukan? Tidak bolehkah dia teruskan minat dan cintanya kepada kertas dan pena. Berdosakah dia? Pagi itu, sejurus saja Zaid bangun daripada tidur, dia segera membuka telefon bimbitnya. Terdapat emel baharu yang masuk. Cepat-cepat dia tekan pesanan tersebut. Senyumannya melebar. Hatinya bagai mahu tercabut, dia diterima masuk sebagai kartunis di Garis Sinar! Dia bakal bekerja sebagai pelukis? Matanya tidak berkedip memandang skrin telefonnya. Dia berlari-lari anak menuruni anak tangga, dia dengar bunyi desiran dan percikan ibunya yang sedang memasak di dapur. Dia duduk di kerusi meja makan dan memandang ibunya penuh ceria. Penuh senyuman lebar hingga ke telinga! Ibunya melirik pandang ke arahnya dan mengangkat kening, tanda bertanya. “Ibu, Zaid sudah diterima masuk bekerja,” perlahan Zaid mengutarakan isi hatinya. Ibunya segera mengalih pandangannya ke Zaid, meninggalkan sayur-sayur dan nasi yang masih belum ditanak. Wajah ibunya turut bercahaya, turut merasai, turut berkongsi keseronokan anak keduanya itu. “Betulkah, Zaid? Di mana?” Ujar ibunya. “Di Garis Sinar, ibu. Ibu tahu, bukan?” Jawab Zaid, hampir berbisik. Matanya cuba dielak bertentang pandangan dengan ibunya sendiri. Wajah wanita separuh umur yang tadinya bercahaya, mula sugul kembali. Segera dia bangun daripada duduknya dan kembali menyambung membasuh sayur-sayuran di sinki. Dapur itu sunyi. Zaid tahu ibunya tidak suka dan tidak ingin dia bekerja di situ. Tetapi, apa salahnya? Bukakah itu juga rezeki yang halal? Rezeki yang dia terima berkat hasil dan usahanya sendiri. 21
Zaid sudah lama menganggur, semuanya kerana tawaran kerja yang diterima tidak diminatinya. Untuk apa bekerja tetapi tidak gembira? Untuk apa berpenat-lelah tetapi hati berduka? Ah, ibu! Sampai bila kau mahu keras begitu. Hari Isnin itu, dia gagahkan juga meninggalkan rumah dan keluar ke tempat kerja. Walaupun ibunya penuh dingin, langsung tidak mahu berbicara dengannya. Sepanjang hari minggu tersebut, ibu lebih banyak berleter daripada biasa. Dan abah semestinya, hanya duduk mendengar dan mengiyakan saja. Kehadiran adiknya di rumah langsung tidak membantu. Lagi menambahkan isi-isi leteran ibu. Dibanding dan dibezakan mereka berdua. Adik yang pandai. Adik yang penuh cita-cita. Adik yang bakal menjadi doktor. Apa Zaid ada? Hanya sebatang pen dan buku lakaran yang melekap di dada. Di tempat kerja, tentu saja Zaid lebih bahagia. Dia terlampau bahagia. Jika ibu dan abah melihatnya di tempat kerja, pasti mereka hairan dan bungkam. Walaupun dikejar oleh 1001 deadline, tidak sekali pun Zaid bermuram durja. Pensil itu adalah impiannya. Berus-berus lakaran itu adalah cita-citanya. Zaid lebih banyak belajar dengan kartunis-kartunis lama di tempatnya. Menimba ilmu baharu dan mengasah bakat yang lama terpendam tidak dipandang dan dihargai. Sesekali, jika Zaid mampu dan punya masa lebih, dia akan mencuri masa menulis buku dan sajaknya. Itu semua kehendaknya daripada dahulu lagi, tidak sekali Zaid merungut dibebankan dengan tugasan kerja yang menimbun. Zaid curi pandang ke arah Imran, ketua kartunis merangkap insan yang bertanggungjawab mengeluarkan setiap karyanya. Imran sedang berbual-bual dengan beberapa orang kartunis lain di biliknya. Zaid kembali menala pandangan ke arah lakarannya di atas meja. Berus-berus di atas meja silih berganti diambil dan diletakkan semula. Zaid mahu siapkan segera, 22
mahu segera dihantar dan diperiksa. Dia mahu fokus pada lakaran kartun yang lain pula, yang minta dilakar dan diwarnakan sejak dua hari lepas. Sudah tiga hari Zaid tidak menjejakkan kaki ke rumah. Bukan dia tidak mahu, masanya tidak mengizinkan. Kalau boleh, hari itu juga dia mahu pulang dan membaringkan badannya ke katil. Tetapi, apakan daya, dia hanyalah kartunis baru, yang baru mahu mula menapak dan mencipta nama. Zaid lebih banyak menjadi pelukis pembantu. Imran tidak membenarkan kartunis baharu sepertinya menggalas tugas besar memegang slot dan segmen sendiri. Itu semua perlu tenaga yang besar dan idea yang mecurah-curah seperti air terjun. Zaid tahu dia tidak mampu. Oleh sebab itu, dia berusaha keras. Dia mahu membuktikan kepada semua, terutamanya ibunya yang dia juga mampu seperti orang lain. Mahu dibuktikannya menjadi pelukis juga boleh menjana duit, boleh membantu ibu dan abah suatu hari nanti. Lakaran-lakaran yang tadinya kosong tidak berwarna, kini diisi dengan warna-warna baharu. Mindanya terbang ke ibu, ibu yang masih lagi dingin tidak mahu berbicara dengannya. Dia pernah saja dengar ibunya berleter panjang kepada abangnya, minta abangnya menasihati dirinya. Kata ibu, pulangan bekerja sebagai pelukis ini tidak lumayan sama sekali, hanya membazir tenaga dan memenatkan jiwa. Gaji yang diperoleh tidaklah sebesar mana. Zaid tidak sedikit pun membantah mahupun menikdakkan, memang itu hakikatnya. Dia, sebagai pelukis hanya menerima sedikit saja pulangan daripada hasil kerja. Tambahan lagi, insan sepertinya yang masih lagi terkial-kial dan merangkak dalam dunia seni lukis ini. Tetapi, dia tidak kisah semua itu. Yang dia tahu, dia sudah punya kerja impiannya. Dia mahu berjaya 23
sebagai kartunis dan penulis. Dan perkara terakhir yang dia perlu lakukan untuk itu, pastilah bukan dengan berhenti kerja. Imran, yang tadinya sibuk berbincang di dalam pejabat melangkah mendekati Zaid, yang masih tunduk sibuk mewarna lakaran-lakaran di atas meja. Bahunya ditepuk lembut, segera Zaid mengangkat pandangan ke arah Imran yang berdiri tegap di sisinya. Dia bangun daripada duduknya, menghormati insan yang memberi peluang mengambilnya kerja itu. “Zaid, kamu sibuk sangatkah?” Tanya Imran, tidak mahu dia menganggu konsentrasi dan fokus anak muda yang dikaguminya itu. “Eh, tidaklah. Ada sedikit saja lagi ini perlu diwarnakan. Selepas itu, saya boleh hantar ke Sofia untuk diperiksa. Mengapa, ya?” Zaid balas. Berus-berus warna itu ditinggalkan, kertas-kertas itu dibiar bergelimpangan, diberi sepenuh perhatian kepada Imran. Imran mula membuka bicara dan menerangkan kepada Zaid hasrat hatinya. Menurut Imran, syarikat Garis Sinar mahu melebarkan sayapnya ke Indonesia. Beberapa buah genre buku komik sudah dibincang dan sama-sama dipersetujui. Beberapa orang pelukis dari negara jiran itu sudah pun dihubungi dan mereka sudah sama-sama bersetuju untuk berkolaborasi dengan syarikat kecil miliknya. Imran, dengan penuh berharap, memilih Zaid dan ingin menghantarnya ke sana untuk berkolaborasi dengan pelukis-pelukis hebat di sana. Ujar Imran lagi, dia tahu Zaid mampu dan dia mahu Zaid menyerlahkan bakat yang sudah dia pendam sekian lama di sana nanti. Zaid bungkam. Imran sudah lama pergi meninggalkan dia berfikir di kerusi. Berus-berus itu sudah tidak menarik perhatiannya lagi. Jika ditanya bahagiakah dia, ya sudah pastilah dia bahagia. Bakatnya dipuji dan dipandang tinggi oleh majikannya sendiri. 24
Tetapi, amatlah mustahil buat ibu mahu membenarkannya terbang ke Indonesia, menyambung dan menyambar peluang keemasan dalam bidang seninya. Ah, ibu tidak faham. Ibu tidak akan mampu mengerti. Yang ibu tahu, dia mahu anaknya berkerja tetap. Bangun pagi, berkerja, pulang dari kerja dan terus tidur. Dan putaran itu berulang setiap hari. Itu semua impian dan angan-angan ibu, bukan Zaid! Malam itu, dia gagahkan kaki pulang ke rumahnya. Rumah itu kelihatan gelap, malap. Lampu-lampu sudah dimatikan dan pintu-pintu sudah terkunci rapat, tanda ibu dan abahnya sudah masuk tidur. Dia duduk meregangkan urat sendi dan otot di sofa, merenung ikan yang masih berkejar-kejaran sesama sendiri di dalam akuarium. Sesakali, dia menjentik cermin akuariuam tersebut, bagaikan berkomunikasi dengan makhluk tuhan yang bersisik itu. Pagi itu, Zaid menyuarakan hasrat dan hajat hatinya. Diberitahu segala yang Imran ujarkan padanya. Minta ibu mengerti dan faham, itu cita-citanya. Ibu, seperti biasa, langsung tidak lembut hati. Masih juga berkeras, masih juga tetap dengan keputusannya. Ibu tidak suka akan pekerjaannya. Malah, ibu mengungkit-ungkit segala pemberiannya membesarkan Zaid, memberi susu dan makan kepadanya. Zaid hanya mampu melepaskan keluh yang panjang. Dia sudah tidak kisah, dia tetap akan pergi juga, kata Zaid. Kakinya pantas saja berjalan ke arah pintu, meninggalkankan ibunya yang masih marah, yang masih kesal dengan sikapnya. Pemergian Zaid ke bumi Indonesia itu tidak ditemani ibunya, hanya abah, abang dan adik datang menunjukkan muka, saling bersalaman dan melambai-lambai. Zaid hiba yang pastinya, pemergiannya lama. Dia tidak tahu saat kepulangannya kembali ke tanah air. Dia perlu berkampumg di sana, melunaskan hal-hal yang perlu, menyiapkan kerja yang tidak putus datang bertamu. Zaid hanya mampu menitipkan salam kasih dan cinta buat ibu melalui adik. Dia berharap ibu akan mengerti suatu hari nanti. 25
Di Indonesia, Zaid lebih banyak berkurung di pejabat. Melunaskan hal-hal kerja yang tidak pernah habis. Memandangkan ini adalah projek pertamanya, pastinya dia mahu beri yang terbaik. Dia mahu beri sehabis mungkin. Rakan-rakan kartunisnya yang lain banyak membantu dan mengajarkan dia banyak perkara. Sepanjang keberadaan Zaid di sini, tidak sekali pun ibunya bertanya khabar, mahupun menitipkan salam buatnya. Setiap bulan, dia tidak lupa mengirim duit buat keluarganya di Malaysia. Cuba menzahirkan pada ibunya, dia sudah mula menempah nama di dunia seni ini. Dia sudah punya pendapatannya sendiri, hasil titil peluh usahanya sendiri juga. Zaid tahu ibu masih kecewa, masih lagi kesal dengan sikapnya. Zaid hanya mampu berdoa agar ibu akan membuka mata dan melihat dirinya sebagai anak lelakinya yang berjaya juga, sama seperti abang dan adik. Zaid terbaring lesu di atas katil, kertas-kertas lakaran berselerak di sekelilingnya. Bilik itu persis tongkang pecah, tidak diselia dan dijaga rapi. Komputernya masih menyala, meminta Zaid duduk di kerusi dan menggunakannya, minta Zaid melunaskan kerja-kerja yang minta disiapkan segera. Zaid termenung lama, dia memerhati siling biliknya. Kipas perlahan berpusing membentuk putaran. Buku pertamanya sudah keluar, sudah diletakkan di toko-toko buku sekitar Indonesia. Dan tidak lama lagi akan turut dilancarkan di Malaysia. Dia telah kirimkan senaskah buat ibunya di tanah air. Dengan harapan, ibunya sudi membuka dan membaca komik hasil lukisannya itu. Komik yang diinspirasikan daripada kisah hidupnya sendiri. Yang dia lukis dan rangka cerita sepenuhnya daripada hati. Di dalam komik itu, dia garap watak ibunya sebagai ibu yang 26
penuh rasa cinta dan sokongan buat anaknya. Dan, betapa sokongan dan dukungan daripada ibunya itu membentuk seorang anak, seorang insan yang berjaya. Seorang insan yang penuh wawasan dan cita-cita. Dia mahu ibu tahu itu saja harapannya daripada ibu. Tidak banyak, hanya sokongan dan restu. Dia bangun daripada perbaringannya dan pantas menyarungkan baju. Kameranya digapai dan dipeluk, beg sandangnya digalas di bahu. Dia mahu keluar mencari udara segar, mencari ketenangan, mencari idea baharu buat komik-komiknya yang lain. Jalan-jalan di sekitar Indonesia di susurnya perlahan. Kameranya tidak berhenti berbunyi, penuh gambar-gambar indah di bumi Hamka ini ditangkap dan disimpan. Zaid mahu abadikan kenangan ini sebagai kenangan yang terindah buatnya. Sesekali, dia berhenti melepaskan lelah di tepi jalan sambil menghirup air teh botol yang manis, yang terkenal di sini. Setelah dirasakan perjalannya itu cukup lama, Zaid melangkah menapak pulang ke rumahnya. Rumah kecil yang hanya sekali-sekala saja diduduki. Masanya lebih banyak tertumpu di pejabat, terutamanya apabila deadline datang mendekat. Dia melabuhkan punggung ke atas katil. Belum sempat dia menukar baju dan melepaskan penat, pintu biliknya diketuk beberapa kali. Tombol pintu itu dipusing dan dibuka pintunya. Huzaifah, rakan kartunisnya di situ menyergah, menyapa dia di muka pintu. Di dalam dakapannya terdapat kotak segi tiga berwarna coklat, yang sepertinya dipos dari Malaysia. “Zaid, ini ada bungkusan dari Malaysia untuk kau. Tadi aku singgah di pejabat sebentar dan mereka suruh kirimkan pada kau,” ujar Huzaifah sambil meleret senyumannya. Zaid hanya mengangguk tanda mengerti. Kotak coklat itu disambut dan didakapnya. 27
“Terima kasih, Huzaifah,” kata Zaid sebelum Huzaifah pergi meninggalkan dia di muka pintu. Pintu itu ditutup kembali dan kotak itu dibelek Zaid penuh tanda tanya. Tidak pernah ada bungkusan buatnya datang daripada Malaysia. Kalau ada sekalipun, pastinya daripada Imran dan beliau kebiasaannya akan memberitahunya terlebih dahulu. Keningnya bertaut, tanda memikirkan keberangkalian insan-insan yang mengirimkannya pesanan ini. Abahkah? Mahu dihantar apa abah, surat khabarnya di Malaysia? Tidak mungkin abang. Abangnya sudah cukup sibuk dengan kerjanya. Duduk di atas laut meninggalkan isteri dan anak di rumah, masakan mampu menghantar bungkusan buatnya. Adikkah? Oh, tidak mungkin. Adiknya mahu menghantar bungkusan pun tidak tahu. Kepalanya digaru, pening. Gunting di atas meja dicapai dan kotak bungkusan itu dibuka penuh hati-hati. Dalam kotak itu, dia lihat buku komiknya, elok terletak kemas seperti tidak diusik. Hati Zaid meruntun sedih. Ini adalah buku yang dia hantar buat ibunya di Malaysia. Benci sangatkah ibu padanya, sehingga buku itu pun tidak mahu ibu tatap dan sentuh, apatah lagi mahu dibaca. Tangannya perlahan mencapai buku itu. Dibawanya keluar daripada kotak, diletakkan kotak itu ditepi. Zaid cuba memujuk dirinya sendiri. Tidak mengapa, kata hati Zaid. Mungkin bukan ini waktunya. Zaid pasti, suatu hari nanti, jika dia berusaha lebih dan lebih lagi, pasti hati ibu akan dibuka luas untuknya. Zaid ketap bibirnya, cuba menahan air matanya daripada tumpah. Mahal sungguh sebuah redha dan restumu, ibu. Buku komiknya itu dibawa ke riba, dibelek satu persatu helaian buku itu. Jantung Zaid terhenti, dia membetulkan letak duduk cermin matanya. Mahu memastikan matanya jelas, tidak 28
kabur. Air mata Zaid yang tadinya ditahan-tahan, akhirnya keluar juga, bagaikan empangan air yang pecah. Laju turun ke pipi. “Zaid, ibu restui Zaid. Ibu sayang kamu.” Itu tulisan ibu. Zaid kenal sangat dengan tulisan ibu. Hati Zaid bagaikan bunga yang layu disiram dan dijaga rapi semula, mekar kembang. Sudah lama dia tidak mengecapi kebahagiaan sebesar dan sebahagia ini. Zaid terasa seperti manusia paling bahagia yang berjalan di atas dunia. Ibunya, ibu yang dia cinta dan sayang. Ibu yang sudah lama tidak mahu berbicara dengannya, ibu yang sudah lama menarik muka. Air mata Zaid seperti tidak mahu berhenti mengalir. Ini adalah antara nikmat terbesar dia pernah kecapi. Zaid seperti mahu sujud syukur di situ, merafakkan kesyukuran kepada yang esa, kerana mendengar dan sudi memakbulkan rintihan hatinya. Terima kasih, Allah. Terima kasih atas peluang mengecapi nikmat yang satu ini. Dan, terima kasih. Kerana mengembalikan ibunya semula. Lekas-lekas Zaid bangun daripada duduknya. Dicapai telefon bimbit, dicari dan didail nombor insan yang sangat dirinduinya itu. Beberapa deringan, sebelum panggilan itu diangkat. “Zaid!” Ah, itu suara ibunya. Suara yang ku rindu setelah sekian lama. 29
30