Profil Diri Penulis NAMA : NURUL ATHIRAH BINTI MOHD SUKIMI ANGKA GILIRAN : 2021232340449 KELAS : BAHASA MELAYU G NAMA PENSYARAH : PUAN MASNI BINTI JAMIN
Di Seroja Lisa Athirah Sukimi
Athirah Sukimi Lisa Di Seroja
Di sebuah kampung kecil yang damai, tinggal seorang gadis jelita bernama Lisa. Lisa merupakan seorang yang suka meneroka dan menikmati keindahan taman bunga yang luas di kampungnya, Kampung Seroja. Taman bunga itu dijaga dengan baik oleh penduduk kampung, dan Lisa merupakan salah seorang pekerja di taman tersebut. Setiap pagi, dia akan bangun awal untuk memeriksa keadaan pokok-pokok bunga, menyiramnya dan membersihkan kawasan tersebut agar keindahan dan kebersihan taman itu sentiasa terjaga. 1
Suatu hari, ketika Lisa sedang tekun melakukan kerjanya, tiba-tiba dia menyedari bahawa beberapa pokok bunga di kawasan itu telah hilang. “Eh, kenapa tiada pokok bunga di tempat ini!” seru Lisa dengan terkejut. Tanpa melengahkan masa, dia segera mencari di sepanjang taman. Namun begitu, pokok-pokok tersebut tidak dapat dijumpai di mana- mana. 2
Lisa berasa cemas lalu mula bertanya kepada beberapa pekerja taman yang sedang bekerja di sekitar itu. “Ada sesiapa nampak tak perkara yang mencurigakan pagi tadi?” tanya Lisa kepada mereka. Para pekerja itu menggelengkan kepala, mengaku bahawa mereka juga tidak melihat sesiapa atau apa-apa yang mencurigakan sepanjang pagi itu. “Mungkin pokok-pokok bunga ni telah dicuri. Aku perlu segera beritahu Anis tentang hal ini,” bisik Lisa kepada dirinya sendiri. Lisa kemudiannya berlari dengan tergesa-gesa menuju ke pejabat taman untuk memberitahu rakannya, Anis tentang perkara yang telah terjadi. 3
“Cis, siapa yang berani mencuri ni!” ucap Anis dengan nada yang tinggi setelah mendengar penjelasan Lisa. "Apa kita nak buat sekarang, Lisa?" sambung Anis. "Kita kena bertindak segera untuk cari si pencuri ni. Tapi kita tak boleh ambil tindakan melulu tanpa bukti yang kukuh. Jom kita siasat dengan lebih mendalam,” jawab Lisa. Anis bersetuju dengan cadangan rakannya, “Baiklah, saya akan beritahu hal ni kepada ketua kampung supaya kita dapat bekerjasama dengan penduduk kampung. Melalui cara ini kita dapat selesaikan masalah dengan lebih cepat." 4
Lisa dan Anis memulakan siasatan dengan bantuan daripada penduduk kampung. Mereka memeriksa kawasan di sekitar kampung dan mengumpul petunjuk dengan bertanya kepada orang ramai. Beberapa hari kemudian, ketika mereka sedang berjalan di sekitar taman bunga, mereka terlihat seorang budak kecil sedang melakukan sesuatu di semak samun yang berdekatan. "Lihat, Anis! Itu Malik!" seru Lisa dengan terkejut. Mereka memerhati pergerakan Malik dengan teliti, dan terkejut apabila menyedari bahawa Malik sebenarnya cuba menyembunyikan pokok bunga di sebalik semak yang tebal. 5
"Kenapa Malik buat begitu?" bisik Lisa, tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tanpa membuang masa, Lisa dan Anis mengambil keputusan untuk mendekati Malik. Namun, Malik sedar akan kehadiran mereka. Dia terkejut dan cuba melarikan diri dari situ. Lisa dan Anis segera mengejar Malik untuk menangkapnya. 6
Sewaktu Malik berlari, tiba-tiba dia tersadung lalu terjatuh. Lisa dan Anis segera pergi ke arah Malik dan memintanya untuk mengaku. "Malik, kamu kah yang curi pokok bunga dari taman?" tanya Lisa dengan suara tegas. Malik terdiam seketika, dan akhirnya mengangguk. "Maafkan saya, Kak Lisa dan Kak Anis. Saya... saya yang curi pokok bunga tu," akui Malik dengan suara yang bergetar. Lisa dan Anis sangat terkejut mendengar pengakuan Malik. Mereka tidak menyangka bahawa seorang budak kecil seperti Malik akan melakukan perbuatan mencuri. 7
"Kenapa kamu mencuri, Malik?" tanya Anis dengan lembut. "Ibu saya sakit, dan kami tiada duit untuk beli ubat. Saya rasa sangat terdesak, jadi saya terfikir untuk jual pokok bunga bagi dapatkan duit," jelas Malik dengan sedih. Lisa dan Anis berasa simpati terhadap Malik, tetapi mereka tahu bahawa tindakannya itu adalah salah. "Kami faham situasi kamu, Malik. Tapi perbuatan mencuri bukanlah cara yang betul untuk selesaikan masalah, “ ujar Lisa. “Ya, betul kata Kak Lisa, kita boleh cari jalan penyelesaian yang lebih baik untuk bantu keluargamu Malik,” tambah Anis. 8
Lisa dan Anis kemudiannya berbincang dengan ketua kampung untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Malik. Mereka telah mengambil keputusan untuk mengutip derma daripada penduduk Kampung Seroja bagi membantu keluarganya. 9
Ramai penduduk kampung secara sukarela menyumbang wang, makanan dan ubat-ubatan untuk membantu Malik dan ibunya. Berkat kerjasama orang ramai, mereka akhirnya berjaya mengumpul dana untuk membantu ibu Malik mendapatkan rawatan yang diperlukan. 10
Lisa dan Anis lalu pergi ke rumah Malik dengan membawa sumbangan yang telah dikumpulkan dari penduduk kampung. Sesampainya mereka di rumah Malik, Lisa mengetuk pintu dan memberikan salam. "Assalamualaikum, Malik. Kami datang nak bagi sedikit sumbangan dari penduduk kampung untuk bantu keluarga kamu. Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban kalian,” ucap Lisa. "Waalaikumusalam. Terima kasih, Kak Lisa dan Kak Anis. Saya sangat terharu dengan kebaikan semua orang,” jawab Malik dengan sebak. 11
Lisa dan Anis tersenyum dengan gembira melihat reaksi Malik. "Tak perlu berterima kasih, Malik," kata Anis. " Kita semua tinggal di kampung yang sama, jadi kita kena saling membantu antara satu sama lain. Dan jika kamu perlukan apa-apa bantuan, jangan segan silu untuk beritahu kami. Kami akan sentiasa berusaha untuk membantu." Malik tersenyum dengan penuh rasa terharu. Dia pun berjanji untuk tidak mengulangi kesilapannya lagi dan berazam untuk menjadi budak yang baik. 12
Lisa dan Anis berjalan pulang dari rumah Malik dengan perasaan gembira kerana dapat membantu orang yang dalam kesusahan. Ketika dalam perjalanan untuk pulang ke rumah masing-masing, Lisa berkata, “Anis, terima kasih sebab sudi bantu saya selesaikan masalah kehilangan pokok bunga ni." Anis tersenyum lebar "Sama-sama, Lisa. Tiada masalah bagi saya, kita kan kawan, dan kawan akan saling bantu satu sama lain." Lisa bersyukur mempunyai kawan baik seperti Anis. Mereka berdua pun meneruskan perjalanan pulang sambil menyanyikan lagu kegemaran mereka. 13
Di Kampung Seroja bahagia sentiasa, Kita bangun pagi siram pokok bunga. Bunga tumbuh mekar, kita gembira, Mari buat baik kepada semua. Di Kampung Seroja bahagia sentiasa, Kita bangun pagi siar sini sana. Lisa jumpa Anis, jalan sama-sama, Sentiasa menolong, hidup pun ceria. Di Kampung Seroja bahagia sentiasa, kita bangun pagi siram pokok bunga. Bunga tumbuh mekar, kita gembira Mari buat baik kepada semua. Di Kampung Seroja bahagia sentiasa, Kita bangun pagi siar sini sana. Lisa jumpa Anis, jalan sama-sama Sentiasa menolong, hidup pun ceria. Melodi: Air Pasang Dalam 14
Buku ini berkisah tentang seorang gadis jelita bernama Lisa yang tinggal di Kampung Seroja. Dia seorang pekerja di taman bunga. Pada suatu hari, pokok bunga di taman itu hilang. Jadi, dia bersama kawannya membuat siasatan untuk mencari punca kehilangan pokok bunga tersebut.