The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by hhusnaazmi, 2022-04-02 04:52:40

TENTANG AMEENA (2)

TENTANG AMEENA (2)

SEBUAH CERPEN OLEH
NURUL HUSNA AZMI

Tentang
Ameena

Raut wajah ayah dengan senyuman manisnya sering
terbayang di benak kepalaku walaupun sudah 5 tahun
berlalu. Ayah tempat Ameena mengadu, tempat
berkongsi suka dan duka. Setiap malam ayah akan
bacakan buku untukku sewaktu aku masih kecil. Kata-
kata ayah sebelum menghembuskan nafas
terakhirnya pada pukul 5.30 pagi masih terngiang-
ngiang di corong telingaku.

“Ameena, jadilah seorang guru yang
bertanggungjawab dan berbakti kepada negara,”
pesan ayah kepadaku.

“Baik ayah. Ameena akan sentiasa ingat pesan ayah
sampai bila-bila,” jawabku dengan penuh tangisan.

Aku tersentak dan lamunanku terhenti apabila ibu
memanggilku. Aku lihat wajahku di cermin sebelum ke
dapur kerana takut ibu curiga dengan mataku yang
berkaca.

“Ibu kenapa panggil Ameena ada apa-apa yang
perlu Ameena tolong?,”tanya diriku.

“Tak ada apa-apa. Ibu cuma rindu masakan anak
ibu yang cantik ni” jawab ibu.

“Oh! Pandai ibu bodek Ameena ya. Ibu nak Ameena
masakkan lauk kegemaran ibu ke ni ? kenapa ibu tak
cakap Ameena tak sibuk pun,” kata aku bersama
tawa. Setelah selesai menyiapkan hidangan
kegemaran ibu, aku terus memanggil ibuku.
“Ibu sambal ikan Sembilan sudah siap,” jerit aku.

Sunyi sepi di meja makan tidak seperti selalu.
Adikku sudah kembali ke asrama dan along pula
sudah berkahwin dan bekerja di Kuala Lumpur. Aku
memecahkan suasana yang keheningan sejak dari
tadi.

“Ibu, Ameena sudah mula mengajar di Sk Seri
Buluh pada minggu hadapan” kataku dengan nada
yang sedih.

“InsyaAllah. Ibu percaya Ameena boleh menjadi
seperti ayah seorang guru yang sangat komited
dengan pekerjaannya,” pesan ibu kepadaku. Air
jernih hampir mengalir di tubir mataku.

Tibanya hari untuk aku berkhidmat sebagai seorang
guru di sekolah yang menyimpan banyak memori pahit
dan juga manis dalam hidupku. Menyelak langsir
ingatanku ke zaman persekolahan. Aku pernah dibuli
dan dicaci. Aku seakan-akan tidak percaya hari ini
permulaan baru dalam sejarah hidupku. Aku bergelar
seorang guru bahasa Melayu. Aku masih ingat
kejadian sewaktu umurku menginjak lapan belas tahun.
Aku menentang habis-habisan keputusan ayahku yang
mahukan aku menjadi seorang pendidik. Sungguh tidak
aku sangka hasrat ayahku telah pun aku tunaikan. Aku
amat bersyukur. Hanya kata syukur mampu aku
ungkapkan dengan rezeki yang Allah kurniakan
kepadaku.

Aku melangkah masuk ke kelas Tahun 3 seperti
yang diarahkan. Suasana kelas riuh rendah dengan
suara murid-murid. Kehadiranku langsung tidak
disedari mereka. Mungkin kerana aku masuk ke
kelas melalui pintu belakang. Ada yang berbual, ada
yang bermain, ada yang membaca, ada yang
berlari-lari dan ada yang bercakap seperti murai
dicabut ekor. Namun, mataku tertarik ke sudut
paling hujung dalam kelas. Aku melihat ada seorang
murid lelaki sedang termenung ke jendela sambil
memangku dagunya. Seperti ada tarikan magnet.
Aku rasa dekat dengan dia. Aku mengatur langkah
mendekati dia dan memulakan bicara. Namun tiada
sebarang respon yang aku terima.

Ayun langkah menuju ke meja guru kelas 3 Al-
Radzi. Aku tersenyum memandang celoteh anak
didikku. Nafasku tarik sedalam-dalamnya.

“Assalamualaikum murid-murid. Selamat pagi,”
ucapku lembut tetapi tegas. Suasana yang tadi
hingar-bingar seperti di pasar malam bertukar sepi.
Semua mata tertumpu ke arahku. Masing- masing
sempat berbisik sesama sendiri.

“Waalaikummusalam cikgu,” jawab mereka
serentak lalu doa belajar dibaca.

“Cikgu adalah guru yang menggantikan Cikgu
Rohana. Boleh panggil Cikgu Ameena,” jelasku kepada
mereka. Senyuman manis ku lemparkan kepada
mereka.

Loceng berbunyi. Tanda waktu persekolahan
telahpun tamat. Aku menarik nafas lega. Kelas pada
hari pertama aku berjaya kendalikan dengan baik
sekali. Kakiku atur menuju ke Honda Jazz
kepunyaanku. Kereta itu sudah 2 tahun aku
membelinya. Hasil titik peluh aku menjadi duta
Shopee.

Bukan senang untuk aku milikinya. Semua benda di
dalam dunia ini memerlukan usaha. Usaha tangga
kejayaan. Putus asa bukan suatu keputusan yang bijak.
Sebak apabila teringatkan ayah. Ayah tidak sempat
melihat aku berjaya.
Puas aku memaksa mataku. Tidak juga mahu terlelap.
Fikiranku menerawang jauh seketika. Sesuatu
mengganggu mindaku. Sejak seminggu aku mula
mengajar di sekolah itu, ingatanku sering terbayang
wajah seorang murid yang selalu termenung. Namanya
Haziq. Memandangkan aku guru kelas 3 Al-Radzi, aku
sentiasa menjaga kebajikan mereka. Kehadiran Haziq
tidak penuh pada minggu lepas. Aku mulai curiga.
Namun begitu, surat kebenaran cuti telah diserahkan
kepadaku atas sebab sakit. Lama aku memikirkannya.
Akhirnya, aku terlelap di atas tilam empuk di rumah
sewaku. Aku perlukan tidur yang cukup kerana
keesokan harinya aku akan pulang ke kampung
halaman ibuku.



“Ibu, Ameena sudah sampai,” jerit aku dari taman
bunga mawar milik ibuku. Ibu aku merupakan mantan
pengetua Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan di
Terengganu. Ibuku bersara awal kerana ingin
mengusahakan tanaman bunga mawar. Minatnya
terhadap bunga mawar sangat mendalam. Pelbagai
jenis bunga mawar yang ditanam. Aku duduk di atas
bangku kayu. Hanya senja malam menemaniku dengan
langit yang cukup indah untuk ditatap. Azan maghrib
akan berkumandang sebentar lagi. Aku mengatur
langkah pantas ke dalam rumah sebelum ibu
memarahiku. Pantang bagi ibu anak-anak berada di
luar rumah pada waktu maghrib.

“Nasib baik kamu masuk sebelum azan. Baru sahaja
ibu hendak memanggil kamu di luar. Kenapa muka kamu
nampak penat sangat ?,” kata ibuku.
“Biasalah ibu. Ameena baru mula bekerja. Penat sikit
rasanya,” luahku kepada ibu.

“Jaga kesihatan Ameena. Kesihatan pun penting,”
pesan ibu. Aku terus memeluk ibu.

Hari berlalu sangat pantas. Tibanya hari
persekolahan. Aku bergegas ke kelas setelah selesai
mesyuarat dengan pengetua dan juga guru-guru tahap
satu. Hampir selesai kelasku pada hari ini. Bayang
Haziq langsung tidak kelihatan. Musykil aku dibuatnya.

Aku telah membuat keputusan. Lama aku
memikirkannya. Alamat rumah Haziq ditenung lama.
Aku terus memandu keretaku ke alamat yang tertera
di skrin telefon pintar kepunyaanku.

Aku tiba di perkarangan rumah Haziq setelah 30
minit memandu. Alangkah terkejutnya aku melihat
keadaan rumah Haziq. Sebak hatiku melihatnya. Haziq
berdiri pegun apabila melihat kelibatku.

“Haziq, kenapa tidak hadir ke sekolah hari ini?.
Minggu lepas pun kehadiran kamu tidak penuh”. Soalku
kepadanya.

“Maaf cikgu”. Jawabnya dengan tergagap-gagap
sambil menundukkan kepalanya.

“Kalau kamu ada masalah, jangan segan untuk
bagitahu cikgu. Insya-Allah cikgu akan bantu selagi
cikgu mampu,” kataku lagi.
“Jemputlah masuk cikgu,” jemput Haziq.

Air mata menemani diriku apabila melihat sekujur
tubuh yang terbaring di atas tilam. Air hangat yang
keluar dari tubir mataku diseka. Aku pejam mata
menahan sebak. Memori silam kembali terlayar di saat
ayahku yang sedang menahan perit penyakitnya dan
terlantar di katil hospital. Sempat juga ayah bergurau
denganku. Berbalas pantun walaupun sedang melawan
penyakit radang paru-paru. Masih segar di ingatanku
pantun terakhir oleh ayah. Maksud tersirat dalam
pantun yang disampaikan masih aku ingat hingga
sekarang.

Ikan haruan di celah batu,
Sembunyi diri mengelak parang;

Jika kita rajin membantu,
Kelak budi dijunjung orang.

Aku duduk di sebelah ibu Haziq. Haziq berbisik ke
telinga ibunya tetapi aku masih dapat mendengar
kata-katanya. Dia memberitahu ibunya bahawa
guru kelasnya datang melawat. Namun, hanya
bebola mata ibunya sahaja yang bergerak. Kini,
aku tahu ibu Haziq lumpuh dan juga tidak boleh
bercakap. Mataku mulai berkaca kembali.

“Cikgu, saya tidak boleh tinggalkan ibu saya
dalam keadaan begini. Saya akan bergilir dengan
kakak saya untuk ke sekolah supaya ada
seseorang yang boleh menjaga ibu. Maaf cikgu,”
luah Haziq menahan sebak.

“Tidak mengapa. Cikgu faham,” kata aku
kepada Haziq dengan perasaan sebak di dada.

Keputusan aku muktamad. Aku akan cuba
menghulurkan pertolongan kepada Haziq. Aku telah
memberitahu ibuku tentang keluarga anak didikku
itu. Ibuku memberi cadangan untuk membawa
Haziq sekeluarga tinggal di rumah sewa
kepunyaannya. Rumah sewa itu sudah lama kosong
dan tiada siapa yang tinggal di sana. Jaraknya
hanya beberapa kilometer dari rumah keluargaku.
Aku bersyukur dan gembira kerana Haziq dan
kakaknya bersetuju dengan pelawaanku. Haziq pula
akan tinggal denganku kerana lebih mudah untuk ke
sekolah sebelum aku menguruskan perpindahan dia
ke sekolah yang berdekatan dengan ibunya. Urusan
kakak Haziq pula telah aku selesaikan.

Pada hujung minggu, aku akan sentiasa pulang ke
kampung dan membawa Haziq melawat ibunya. Bibir
Haziq tidak pernah lekang bercerita tentang ibunya
kepadaku. Aku juga telah mengambil pembantu rumah
untuk ibu Haziq supaya dapat meringankan beban
kakaknya. Benar kata orang. Indahnya apabila dapat
membantu orang lain dengan ikhlas. Ingatlah kata-kata
Sally Koch iaitu peluang besar untuk membantu orang
lain jarang datang, tetapi kesempatan kecil mengelilingi
kita setiap hari. Haziq banyak mengajar aku erti
kehidupan. Setiap kesusahan dan cabaran dalam hidup
menjanjikan kehidupan yang lebih bermakna.

Dua tahun berlalu dengan sangat pantas. Keadaan ibu
Haziq juga semakin baik setelah mendapatkan rawatan
fisioterapi dan nasihat daripada doktor pakar. Hidup
aku dan keluarga Haziq begitu bahagia. Ibu juga tidak
bosan kerana mempunyai teman untuk berbual.

Aku pejam mata dan menghirup udara segar di
kawasan taman bunga mawar milik ibuku. Tenang
melihat bunga yang mekar. Aku tersentak apabila
mendengar namaku dipanggil beberapa kali. Suara
itu tidak asing bagi aku. Aku amat mengenali suara
yang selalu menceriakan hari-hari aku semasa
zaman universiti dahulu. Tidak pernah aku lupa
gerangan yang banyak berjasa kepadaku. Dia
adalah sahabat yang paling rapat denganku.

“Assalamualaikum Ameena,” ujar pemuda
tersebut.

“Awak haris bukan?”. Tanya diriku tanpa
menjawab salam pemuda tersebut. Tekaanku betul
pemuda itu sememangnya Haris apabila soalannya
dibalas dengan anggukan. Kedatangan Haris ke
rumah aku secara mendadak amat mengejutkan
diriku. Tanpa khabar dan berita.

Namun begitu, sesuatu yang tidak disangka-
sangka berlaku. Hampir gugur air mataku
mendengar berita bahawa Haris adalah abang
kepada Haziq. Betapa kecilnya dunia ini.
Pertemuan yang tidak dirancang dan Allah telah
tetapkan segalanya. Sedikit hampa dan pilu. Aku
tidak menyangka Haris sanggup meninggalkan
keluarganya yang berada dalam kesusahan. Bak
kata pepatah seperti kacang lupakan kulit. Aku
amat kecewa dengan Haris. Gugur air mata
seorang lelaki bernama Haris apabila Ameena
berkongsi keadaan ibunya yang sedang lumpuh
akibat kemalangan jalan raya. Haris begitu
menyesal mengambil keputusan untuk
mengetepikan keluarganya semata-mata ingin
menyambung pelajaran ke luar negara.

Haris terus mencari ibu dan adik-adiknya lalu
memeluk mereka. Dia tunduk dan meminta maaf
kepada ibunya di atas kesilapannya. Walaupun
begitu, menyesal kemudian tiada gunanya kerana
ayahnya telah pergi meninggalkan dirinya buat
selama-lamanya. Perasaan bersalah menghantui
dirinya. Aku cuba untuk menenangkannya. Haziq
juga memeluk abangnya erat. Penyesalan tidak
akan dapat mengubah masa lalu kita. Aku amat
gembira apabila melihat keluarga mereka telah
lengkap. Terima kasih Ya Allah. Aturan Allah adalah
yang terbaik. Kita hanya merancang tetapi Allah
yang tentukan.

-TAMAT-


Click to View FlipBook Version