Panduan Menjawab Rumusan
1. Teliti kehendak soalan.Kemudian kenal pasti idea utama melalui kata kunci yang
terdapat dalam petikan.Kata kunci tidak diberi,jadi pelajar perlu membaca dan
memahami petikan untuk mengetahui kata kunci.Idea utama ini dianggap sebagai
pendahuluan.
2. Idea utama mungkin ada 1 atau mungkin ada 2
3. Kemudian cari dan kenal pasti 6 idea sokongan(isi penting yang ada dalam bahan
petikan setelah memperoleh idea utama.Jika pelajar salah mengemukakan idea utama
maka idea sokongannya juga akan salah.Kemungkinan dalam petikan memang cukup-
cukup 6 sahaja idea sokongan yang diberi.Sekiranya lebih isi diberi mungkin antara 6-
8.(bergantung kepada tahun semasa panjang pendek petikan dan skema jawapan)
4. Akhir sekali pelajar dikehendaki menulis kesimpulan iaitu idea calon sendiri.Tidak
boleh menulis kesimpulan yang diambil daripada bahan petikan.Pelajar kena buat
sendiri.Harus ada sekurang-kurangnya 2 elemen,iaitu harapan&cadangan serta kesan.
5. Dari segi binaan perenggan, murid dicadangkan menulis rumusan dalam satu
perenggan tetapi dalam perenggan rumusan itu pastikan mengandungi idea
Utama(pendahuluan),idea sokongan dan penutup/kesimpulan (kena fikir ...tidak boleh
ambil dalam petikan).Namun tidak menjadi kesalahan jika pelajar menulis rumusan
dalam 3 perenggan.Rumusan pelajar masih disemak seperti biasa.
6. Cara-cara hendak memulakan penulisan ayat bagi rumusan...
i) Jika ada 1 idea utama:-
Petikan membincang tentang punca-punca pencemaran alam sekitar.
ii)Jika ada 2 idea utama:-
Petikan membincangkan punca-punca pencemaran alam sekitar dan langkah-
langkah mengatasinya.
7. Markah rumusan ialah 15 markah,iaitu 10 markah untuk isi dan 5 markah untuk
bahasa.
isi Bilangan markah
isi
Idea utama 1 2m
Idea sokongan(Isi penting) 6 6m
kesimpulan 1 2m
bahasa 2m
Jumlah 8 10 markah
Item Contoh Bahagian C– Rumusan [ masa dicadangkan:15 minit]
Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis
satu rumusan yang panjangnya hendaklah tidak melebihi 100 patah perkataan. Anda
digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Kemalangan jalan raya kerap berlaku di negara kita. Kadar kemalangan meningkat setiap kali
musim perayaan walaupun pelbagai kempen dan tindakan dijalankan oleh pihak berkuasa.
Peningkatan jumlah kematian merupakan suatu kerugian yang melibatkan nyawa, harta benda,
wang, tenaga manusia, dan masa. Memandangkan bilangan kematian terus meningkat, maka
pelbagai usaha perlu diambil untuk mengatasi kemalangan jalan raya. Antara usahanya
ialah pengeluaran lesen memandu diperketat① demi membendung kejadian yang menyayat
hati terutamanya pada musim perayaan.
Para pemandu perlu menjalani ujian kecekapan atau latihan memandu ②yang teliti
sebelum diberi lesen bagi memastikan mereka mengamalkan gaya pemanduan yang positif.
Antara penyebab peningkatan kadar kemalangan jalan raya termasuklah sikap pengguna yang
cuai. Hal ini dibuktikan melalui kajian yang dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
yang menunjukkan bahawa 90 peratus daripada kes kemalangan jalan raya berlaku kerana
kecuaian pemandu. Dalam memastikan kemalangan sifar dicapai, hukuman yang lebih tegas
sebagai pengajaran③ terhadap pemandu perlu dikenakan. Pemandu-pemandu baharu yang
melakukan kesalahan dalam tempoh dua tahun pertama perlu dikenakan tindakan
perlanjutan tempoh percubaan④ sebelum mendapat lesen sepenuhnya.
Orang ramai masih belum belajar daripada kesilapan-kesilapan masa lalu, malah
pengalaman pihak lain juga dipandang rendah. Sejajar dengan itu, sudah tiba masanya pihak
berkuasa mengkaji secara mendalam aspek-aspek yang sesuai dalam sistem
pembelajaran dan pendidikan pemanduan⑤ di negara kita. Sistem pemanduan yang
dikendalikan oleh pihak JPJ umpama sistem peperiksaan akademik yang diduduki oleh para
pelajar. Sewajarnya, elemen sivik dipupuk pada jiwa seseorang pelajar ⑥ sehingga amalan
tersebut tersemai dengan mendalam dan menjadi amalan apabila dewasa nanti.
Di samping itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa, sekolah, dan masyarakat menyemai
nilai-nilai murni⑦ dalam usaha melahirkan generasi pemandu yang
berhemah. Penguatkuasaan undang-undang dan denda⑧ yang dikenakan perlu diketatkan
supaya mereka yang bersalah dihukum sewajarnya. Selain itu, penetapan had laju di lebuh
raya dan di jalan-jalan biasa ⑨ perlu dikekalkan kerana banyak kemalangan yang berlaku
berpunca daripada kenderaan yang tidak dapat dikawal sebagai akibat dipandu terlalu laju. Para
pengguna perlu disedarkan bahawa jalan raya bukanlah tempat untuk berlumba dan mereka
perlulah memandu secara berhemah supaya tidak mengakibatkan nahas yang membabitkan
orang lain.
Jelaslah bahawa banyak langkah yang boleh diambil oleh individu, masyarakat mahupun
negara pelbagai pihak dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Semua pihak perlu
menggemblengkan tenaga secara lebih efektif untuk mengatasi kemelut ini, janganlah sudah
terhantuk baru hendak tengadah kerana apabila sesuatu kecelakaan sudah berlaku, tiada guna
menyesalinya lagi, kerana nasi sudah menjadi bubur. Tragedi kemalangan boleh berlaku kepada
sesiapa sahaja dan bila-bila masa kerana malang tidak berbau.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Budayakan Hargai Nyawa”
oleh G. Manimaran, Utusan Malaysia, Disember 2003)
* untuk tujuan pencontohan, latihan rumusan ini ada 9 idea sokongan.Namun
begitu,diingatkan dalam peperiksaan hanya 6 idea sokongan sahaja perlu di kenal pasti oleh calon.
Panduan Menulis Perenggan Lengkap Rumusan
Petikan membincangkan ( idea utama ). Antaranya ialah / adalah/termasuklah ( idea sokongan
1 ). Selain itu, ( idea sokongan 2 ). Seterusnya, ( idea sokongan 3 ). Tambahan pula, ( idea
sokongan 4 ). Selanjutnya, ( idea sokongan 5 ). Akhir sekali, ( idea sokongan 6 ).
Kesimpulannya, ( kesimpulan ) supaya / agar / untuk ( penjelasan ).
Contoh Jawapan
Petikan membincangkan usaha-usaha mengatasi kemalangan jalan
raya. Antaranya termasuklah pengeluaran lesen memandu diperketatkan. Selain
itu, para pemandu perlu menjalani ujian kecekapan atau latihan memandu sebelum
diberi lesen. Tambahan pula, hukuman tegas sebagai pengajaran terhadap
pemandu perlu dikenakan. Selanjutnya, pemandu-pemandu baharu yang
melakukan kesalahan dalam tempoh dua tahun pertama dikenakan hukuman
tempoh percubaan. Seterusnya, sistem ujian pemanduan yang dikenakan oleh
Jabatan Pengangkutan Jalan perlu dikaji semula. Akhir sekali, elemen sivik dipupuk
dalam jiwa pemandu. Kesimpulannya, kadar kemalangan yang tinggi di jalan raya
perlu dibendung supaya jalan raya menjadi tempat yang selamat untuk semua
pengguna.