E-PORTFOLIO PENILAIAN INSTRUMEN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH
KANDUNGAN 1.0 PENGENALAN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD) 2.0 PENILAIAN INSTRUMEN PBD 2.1 Lembaran Kerja 2.2 Senarai Semak 2.3 Pentaksiran Secara Lisan antara Murid dan guru 3.0 PENUTUP 4.0 RUJUKAN
1.0 PENGENALAN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD) Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan proses berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan dan penguasaan murid terhadap matlamat kurikulum yang dihasratkan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2019). PBD juga melibatkan proses mengumpul dan menganalisis maklumat serta membuat refleksi yang berterusan terhadap PdP dalam membuat pertimbangan secara konsisten ke arah menambah baik PdP tersebut yang berlaku secara formatif dan sumatif (McMillan, 2017). Oleh itu, guru hendaklah membina dan menggunakan instrumen yang bersesuaian dengan kaedah pentaksiran serta keupayaan murid, contohnya guru menggunakan senarai semak apabila melaksanakan pentaksiran secara pemerhatian. Dalam e-portfolio ini saya telah membuat penilaian terhadap tiga instrumen yang digunakan bagi Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Tahun 3. Instrumen yang dipilih adalah berdasarkan Standard Kandungan (SK) 4.3 Menghasilkan bahan sastera dengan menyerapkan keindahan dan kesantunan bahasa serta mempersembahkan secara kreatif dan Standard Pembelajaran (4.3.1) Mencipta bahan sastera secara berpandu dan mempersembahkan secara kreatif.
2.0 PENILAIAN INSTRUMEN PBD Instrumen pentaksiran yang diaplikasikan oleh guru dapat dikaitkan dengan jenis pentaksiran alternatif dan kaedah pentaksiran. Menurut Haziyah Hussin et, al. (2021), pelaksanaan pentaksiran alternatif merupakan ciri penting dalam Pendidikan 4.0. Hal tersebut seiring dengan elemen PBD yang menekankan kepada perkembangan dan kemenjadian murid secara holistik (Abdul Halim Abdullah & Zuriani Marion, 2021, Januari 24). Terdapat tiga jenis kaedah pentaksiran dalam PBD iaitu pemerhatian, lisan dan bertulis. Hasil pencarian saya telah menemukan tiga instrumen yang berbeza iaitu lembaran kerja, senarai semak dan pentaksiran secara lisan antara guru dan murid. Setiap instrumen adalah untuk murid yang berbeza tahap kognitif. Setiap instrumen ini digunakan untuk menilai murid Tahun 3 di dalam kelas masing-masing di bawah tajuk pengajaran yang sama iaitu Pantun. 2.1 Lembaran Kerja Lembaran kerja merupakan satu alat yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).Ia bertujuan untuk menilai keupayaan murid dalam penguasaan dan pemahaman sesuatu pengetahuan atau kemahiran dalam sesuatu mata pelajaran. Hal ini kerana lembaran kerja mampu mengukuhkan lagi pemahaman murid terhadap topik yang dipelajari (Lee, 2012). Lembaran kerja boleh dijadikan instrumen bagi kaedah pentaksiran secara bertulis. Guru menggunakan lembaran kerja ini selepas proses PdP dijalankan. Aktivitinya ialah murid dikehendaki memilih jawapan yang tersedia bagi melengkapi pantun yang terdapat dalam lembaran kerja tersebut.
Lembaran kerja yang disediakan oleh guru merupakan instrumen yang mempunyai kesahan kandungan yang tinggi kerana kandungannya yang selaras dengan kandungan yang diajarkan oleh guru sewaktu PdP. Kesahan bermaksud kesesuaian, ketetapan, interpretasi dan kegunaan keputusan pentaksiran sesuatu prosedur pentaksiran untuk sekumpulan individu, bukan proses semata-mata (Fauzi Hassan et al., 2021). Hal ini dapat dibuktikan apabila kita melihat pada rajah 1 di Lembaran A dan fokus pada tujuan atau objektif lembaran kerja tersebut. Tujuan lembaran kerja tersebut adalah murid perlu memilih jawapan yang mempunyai rima akhir yang selari dengan pembayang pantun. Hal tersebut merupakan ciri-ciri pantun yang telah dipelajari. Selain itu, instrumen ini sesuai dengan tahap kognitif murid-murid. Hal ini kerana guru menyediakan lembaran kerja ini untuk kelas yang mempunyai murid-murid yang mempunyai tahap kognitif yang rendah berbanding kelas lain. Dengan ini, murid akan dapat dinilai dengan lebih adil dan saksama. Namun, instrumen ini mempunyai kekurangan iaitu tidak menepati dengan SK dan SP yang dipilih. Hal ini jelas dapat dilihat pada Lampiran 1 di mana lembaran kerja yang disediakan hanya dapat menilai murid pada tahap memahami tetapi SK dan SP yang dipilih berada pada tahap mencipta berdasarkan Taksonomi Bloom. Guru membuat instrumen pada tahap ini kerana beliau ingin menyesuaikan tahap kognitif murid dengan lembaran kerja yang diberikan kepada murid dan beliau telah menetapkan Tahap Penguasaan (TP) 3 iaitu menulis jawapan pemahaman pada tahap memuaskan. Seterusnya, lembaran kerja ini juga tidak dapat menilai murid dari segi kemahiran mereka dalam melafazkan pantun. Hal ini kerana pantun merupakan satu bahan sastera yang mempunyai ciri-ciri atau cara yang khusus untuk disampaikan kepada pendengar.
Semua kekurangan pasti ada jalan penyelesaian. Jadi untuk mengatasi semua kelemahan pada lembaran kerja ini, saya telah membuat beberapa penambahbaikan. Antaranya ialah mengubah lembaran kerja dengan membuang pilihan jawapan. Murid perlu mencipta sendiri maksud pantun tersebut mengikut rima akhir pembayang. Seterusnya ialah guru perlu menambah langkah dalam aktiviti tersebut iaitu murid perlu melafazkan pantun yang telah diciptakan dalam lembaran kerja. Dengan ini, semua kekurangan akan dapat diatasi. 2.2 Senarai Semak Senarai semak merupakan senarai item yang disediakan untuk mengenal pasti perkembangan murid dari segi pengetahuan, kemahiran, sikap dan kebolehan serta instrumen ini merupakan kaedah pentaksiran secara pemerhatian. Senarai semak yang disediakan adalah bertujuan untuk menentukan sama ada sesuatu tingkah laku atau ciri-ciri yang dapat diperhatikan. Hal ini selari dengan pendapat Mariana Md Noor (2011), iaitu guru dapat memahami kanak-kanak dari sudut nilai perkembangan melalui kaedah pemerhatian. Senarai semak yang digunakan oleh guru mempunyai pelbagai kebaikan atau kekuatan. Antaranya ialah instrumen ini telah menepati SK dan SP yang dipilih dan telah mencapai TP yang hendak dicapai iaitu TP 5 daripada kemahiran membaca iaitu menjelaskan kandungan bahan bukan sastera dan bahan sastera serta mempersembahkannya pada tahap terperinci. Hal ini dapat dibuktikan dengan aktiviti yang dijalankan di dalam kelas. Aktivitinya ialah murid akan dibahagikan kepada 5 kumpulan dan guru memberikan tema pantun yang berbeza kepada setiap kumpulan.
Selepas itu, setiap kumpulan perlu membina satu rangkap pantun serta menghantar dua orang wakil untuk melafazkan pantun di hadapan kelas. Kekuatan yang seterusnya ialah instrumen ini dapat memupuk semangat kerjasama kerana aktiviti yang dijalankan adalah secara berkumpulan. Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa kelemahan yang boleh dilihat pada rajah 2 di Lampiran B iaitu senarai semak yang dibuat oleh guru. Antaranya ialah memiliki kebolehpercayaan yang rendah. Kebolehpercayaan merujuk kepada ketekalan sesuatu instrumen atau alat pengukuran sehingga mencapai keputusan yang hampir sama apabila digunakan pada masa yang berlainan (Ruhaidi Amin et al., 2020). Sebagai contohnya, berlakunya ralat luaran seperti bias dalam kalangan guru. Seterusnya ialah senarai semak yang dibina tidak dapat menunjukkan nilai yang tepat bagi setiap kumpulan. Hal ini kerana aktiviti yang dijalankan hanya memerlukan dua orang murid sahaja melafazkan sajak dan menganggap ahli kumpulan yang lain juga dapat melafazkan pantun dengan betul. Untuk mengatasi semua kelemahan tersebut, guru perlu membuat instrumen senarai semak bersama dengan video aktiviti yang dijalankan. Dengan ini, video aktiviti akan menjadi bukti kepada penilaian yang guru pada senarai semak. Selain itu, guru juga perlu mengubah senarai semak daripada dua wakil murid kepada semua murid perlu melafazkan pantun di hadapan kelas. Tetapi penilaian ini bukan disiapkan secara serta merta tetapi guru perlu mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu bagi mendapatkan masa yang cukup untuk membuat penilaian kepada semua ahli kumpulan. Jelaslah telah terbukti semua kekurangan pasti dapat diatasi dengan cara yang berlainan.
2.3 Pentaksiran Secara Lisan antara Guru dan Murid Lisan membawa maksud sesuatu yang diucapkan iaitu tidak ditulis, diberitahu dengan mulut, menyebut dengan mulut, menuturkan kelisanan hal yang berkaitan dengan lisan dan gagasan yang dipakai untuk membicarakan (Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, 2012). Kaedah lisan juga amat sinonim dengan kemahiran bertutur, komunikasi dan acap kali digunakan dalam kehidupan harian (Saniah Abu Bakar, 2013). Hal ini jelas telah terbukti apabila guru yang menetapkan TP untuk instrumen ini ialah TP 6 dari kemahiran mendengar bertutur iaitu mendengar dan menyampaikan maklumat menggunakan idea yang kritis dan kreatif dengan sebutan dan intonasi yang betul secara bertatasusila pada tahap sangat terperinci, konsisten dan menjadi model teladan. Instrumen yang digunakan oleh guru adalah selari dengan SK dan SP yang telah dipilih iaitu pada tahap mencipta seperti di Lampiran 3. Instrumen ini telah melakukan penilaian dengan murid perlu mencipta satu rangkap pantun secara spontan dan selari dengan tema yang diberikan apabila guru bertanya. Hal ini telah mencapai tahap kognitif murid yang tertinggi menurut Taksonomi Bloom iaitu mencipta. Kekuatan yang seterusnya ialah guru dapat mengenal pasti secara serta merta murid yang tidak menguasai kemahiran mencipta dan cuba untuk memberi panduan atau petunjuk untuk mencipta pantun berdasarkan tema yang ditetapkan. Dengan ini, semua murid akan dapat mencapai TP yang telah ditetapkan. Walaupun begitu, instrumen yang dibina mempunyai kelemahan iaitu dari aspek aktiviti yang dijalankan. Hal ini kerana guru hanya memilih segelintir murid untuk bertanya soalan tersebut di dalam kelas seperti yang telah dinyatakan pada rajah 3 di Lampiran C. Hal ini akan menyebabkan maklumat yang diperolehi oleh guru tidak menyeluruh.
Selain itu, tempoh masa yang digunakan untuk menilai murid tidak tetap. Hal ini akan menyebabkan wujudnya kekangan masa untuk siapkan penilaian untuk satu kelas. Walaupun KPM (2019), ada menyatakan tempoh menyempurnakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) terhadap para murid adalah sepanjang tahun tetapi disebabkan jumlah murid yang terlampau ramai serta masa untuk murid menjawab soalan daripada pertanyaan guru adalah fleksibel, ia telah menyebabkan murid mengambil masa terlalu lama. Untuk atasi segala kelemahan yang terdapat pada instrumen yang dibina, guru boleh mengubah instrumen tersebut kepada semua murid bukan beberapa orang murid. Hal ini adalah bertujuan untuk menjadikan instrumen tersebut lebih spesifik atau terperinci dalam membuat penilaian murid dalam sesebuah kelas. Selain itu, guru juga boleh menetapkan masa untuk murid menjawab soalan yang ditanya. Hal ini bagi mengelakkan berlaku pembaziran masa sekali gus guru juga dapat mengenal pasti tahap kognitif murid. Dengan ini guru akan dapat menguruskan segala pentaksiran dengan lebih sistematik.
3.0 PENUTUP Kesimpulannya, pelaksanaan PBD yang sesuai dan mempunyai keberkesanan yang tinggi dalam menilai keupayaan murid akan memberikan kesan yang positif kepada guru dan murid. Hal ini dikatakan sedemikian kerana guru dapat mengesan sejauh mana pemahaman dan penguasaan murid terhadap apa yang diajarkan oleh guru kepada murid. Di samping itu, murid dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan masingmasing melalui pelaksanaan PBD sebagai contohnya melalui komen guru. Bagi merealisasikan hasrat pendidikan negara, guru mestilah bijak dalam memilih jenis pentaksiran yang ingin dijalankan dan menetapkan instrumen pentaksiran yang bersesuaian dengan keupayaan setiap murid. Oleh itu, peranan guru dalam melaksanakan pentaksiran amatlah penting agar PdP yang dilaksanakan lebih efektif.
4.0 RUJUKAN Fauzi Hassan, Aiba Tok, Nor Asiah Ismail, & Mohd Nor Mohamed. (2021). Kemahiran dan sikap pelajar PISMP terhadap pelaksanaan KBAT dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, International Journal of Education and Training (InjET), 7, 1-18. Haziyah Hussin, Najah Nadiah Amran, Farhana Abdul Rahman, Adawiyah Ismail, Zamzuri Zakaria. (2021). Amalan pentaksiran alternatif dalam program pengajian islam di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19 Islamiyyat, 43(1), 3-14. Kamus Dewan Bahasa. (2012). 4th ed. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Kementerian Pendidikan Malaysia. (2019). Panduan pelaksanaan pentaksiran bilik darjah edisi ke-2. Lee, C. W. (2012). Pembelajaran visual dalam usaha meningkatkan tahap kefahaman murid prasekolah. Seminar Penyelidikan Tindakan IPG KBL, 85-97. Mahaya Salleh, Suzana Mutalib, Hashiroh Hussein & Zakirah Abdullah. (2024). Pentaksiran Dalam Pendidikan. Local Publications (M) Sdn. Bhd. Mariana Md Nor. (2011). Pemerhatian dan Penilaian. Pearson Malaysia Sdn. Bhd: Selangor.
Ruhaidi Amin, Nasihah Ashar Ahamed, Zalina Mohd Ali, & Nur Riza Mohd Suradi. (2020). Kebolehpercayaan dan kesahan instrumen inovasi organisasi: suatu pendekatan model Rasch. Journal of Quality Measurement and Analysis, 16(2), 253-269. Siti Saniah, A. B. (2013). Kekangan Pelajar Asing dalam Menggunakan Kemahiran Bertutur Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu (JPBM). Vol. 3, Bil. 1, 56-62. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
LAMPIRAN A Rajah 1
LAMPIRAN B Rajah 2
LAMPIRAN C Rajah 3