Skrip Drama Kanak-kanak
RUMAH
MISTERI
Penulis:
NUR AINI JAMILAH
SINOPSIS DRAMA KANAK-KANAK (Rumah Misteri)
Drama ini mengisahkan tentang Mimi dan keluarganya baru berpindah
di sebuah rumah yang besar di Johor. Mimi merupakan seorang yang
suka melakukan eksperimen-eksperimen Sains kerana cita-citanya
ialah menjadi saintis berjaya. Mimi dan adiknya, Hakim sangat teruja
melihat rumah baru mereka. Rumah tersebut merupakan rumah
peninggalan arwah datuk mereka. Apabila mereka sampai di rumah
tersebut, mereka telah disambut oleh seorang wanita yang merupakan
pembantu rumah bernama Mak Jah dan seorang lelaki yang merupakan
pekebun bernama Abang Joe. Semasa mereka tengah mengemas
barang mereka, tiba-tiba ayah, Encik Hassan mendapat satu panggilan
telefon daripada kawannya. Disebabkan panggilan telefon tersebut,
Encik Hassan dan Puan Mira terpaksa ke pejabat di Kuala Lumpur atas
urusan kerja. Mimi dan Hakim tinggal di rumah tersebut kerana mereka
tidak mahu ikut ibu bapanya.
Pada waktu malam, Mimi pergi ke tempat bacaan arwah datuknya.
Tiba-tiba dia ternampak seorang badut duduk di atas kerusi. Dia
menceritakan perkara tersebut kepada adiknya, namun adiknya tidak
mempercayainya. Mak Jah menceritakan tentang badut yang mereka
nampak tersebut dan memberitahu kepada mereka bahawa rumah ini
mempunyai sumpahan di mana akan muncul seorang badut pada setiap
malam. Untuk menghapuskan sumpahan tersebut, mereka perlu
menyelesaikan membuka kotak yang ada di dalam bilik arwah
datuknya.
Setelah menyelesaikan pantun teka-teki tersebut, Mimi dan Hakim
mendapati untuk kotak tersebut mengandungi berlian dan emas. Tanpa
disedari, badut dan Mak Jah berada di belakang mereka membuatkan
mereka terkejut. Mak Jah dan badut merampas kotak tersebut. Mimi
dan Hakim memikirkan cara untuk menangkap mereka. Mimi mendapat
idea dan membuat pasir jerlus. Semasa Mak Jah dan badut hendak
keluar, mereka terperangkap dalam pasir tersebut dan tidak boleh
bergerak. Tidak lama kemudian, ibu bapa mereka sampai di rumah.
Mimi dan Hakim menceritakan perkara yang berlaku kepada ibu bapa
mereka. Encik Hassan menelefon polis dan memberitahu perkara yang
terjadi. Polis tiba di rumah mereka dan memberitahu bahawa Mak Jah
dan Abang Joe merupakan pencuri yang mereka cari dan polis
menangkap kedua-dua pencuri tersebut.
Watak dan perwatakan:
Watak Utama:
Mimi (Kakak):
Berusia 10 tahun.
Suka melakukan eksperimen-eksperimen Sains.
Seorang yang pandai.
Berbadan kurus dan putih.
Bercita-cita menjadi seorang Saintis.
Hakim (Adik):
Anak bongsu yang berusia 9 tahun.
Seorang yang suka akan pengembaraan.
Seorang yang bijak.
Mempunyai badan yang sedikit berisi.
Watak Sampingan:
Mak Jah:
Wanita berusia 50 tahun.
Berpura-pura menjadi seorang pembantu rumah.
Seorang pencuri.
Ibu kepada Abang Joe.
Abang Joe (Badut):
Berusia 28 tahun.
Pendiam.
Mempunyai badan yang kurus dan tinggi.
Berpura-pura menjadi seorang pekebun.
Encik Hassan (Papa)
Bapa kepada Mimi dan Hakim.
Berusia 35 tahun.
Seorang pegawai bank.
Puan Mira (Mama)
Ibu kepada Mimi dan Hakim.
Isteri kepada Encik Hassan.
Berusia 34 tahun.
Seorang suri rumah.
Encik Lee:
Bos kepada Encik Hassan.
Berbangsa Cina.
Polis:
Berbadan tegap.
Berbangsa India.
Babak 1
Mimi dan keluarganya telah tiba di rumah baru mereka yang
merupakan rumah peninggalan arwah datuknya. Mereka telah
disambut oleh Mak Jah dan Abang Joe.
Latar Masa: Waktu tengahari
Latar tempat: Perkarangan rumah baru
Skrip dimula
Mak Jah & Abang Joe: Selamat datang Encik Hassan, Puan Mira,
Mimi dan Hakim.
Encik Hassan: Terima kasih, boleh saya tahu kamu berdua ini
siapa?
Mak Jah: Saya Mak Jah, pembantu rumah baru dekat sini.
Abang Joe: Saya pula Abang Joe, pekebun baru dekat rumah
besar ini.
Mak Jah: Ehh, jemputlah masuk encik, panas dekat luar ini.
(Mereka masuk ke dalam rumah)
Mimi: Wah, besarnya rumah ini!
Hakim: Papa, Hakim nak bilik tingkat dua boleh?
Mimi: Mana boleh, kakak pun nak tingkat dua.
Encik Hassan: Dekat tingkat dua itu banyak bilik. Kamu berdua
pilih saja mahu bilik yang mana satu. Sudah, jangan bergaduh.
Puan Mira: Mimi dan Hakim, mama nak kamu berdua kemas
barang-barang kamu berdua di bilik dengan kemas ya?
Mimi dan Hakim: Baik mama.
Babak 2
Latar Masa: Waktu petang
Latar tempat: ruang tamu
(Tiba-tiba kedengaran telefon Encik Hassan berbunyi. Encik
Hassan ke ruang tamu sambil mengangkat telefon)
Encik Hassan: Assalamualaikum Encik Lee, kenapa Encik Lee
telefon saya?
Encik Lee: Hassan, maaf mengganggu, boleh tak kamu datang ke
pejabat sekejap sebab ada dokumen yang perlu kamu
tandatangan sebelum berhenti.
Encik Hassan: Oh, kalau macam itu, saya akan sampai ke pejabat
pada pukul 5 petang.
Encik Lee: Baik Hassan, terima kasih.
Encik Hassan: Sama-sama Encik Lee.
(Encik Hassan meletakkan panggilan telefon tersebut dan
memanggil isterinya dan anak-anaknya)
Encik Hassan: Mama, Mimi, Hakim...turun sekejap. Papa ada
sesuatu nak beritahu ini.
(Puan Mira, Mimi dan Hakim pergi ke ruang tamu)
Puan Mira: Ada apa itu Pa?
Encik Hassan: Bos Papa telefon tadi, beliau beritahu yang papa
kena tandatangan dokumen. Jadi papa nak pergi ke pejabat papa
sekarang.
Mimi: Alah papa, kalau Mimi tak ikut boleh tak? Mimi tak habis
lagi jalan-jalan dekat rumah ni.
Hakim: Hakim pun papa.
Encik Hassan: Kalau macam itu, Mimi dan Hakim duduk di
rumah ini dengan Mak Jah dan Abang Joe tapi janji dengan papa
yang kamu berdua tidak akan nakal. Malam ini papa balik sini.
Mimi & Hakim: Baik papa!
Encik Hassan: Jom mama, nanti lambat pula sampai.
Puan Mira: Jom. Ingat pesan papa ya anak-anak.
Babak 3
Latar masa: Waktu malam
Setelah selesai makan malam, Mimi pergi ke bilik bacaan arwah
datuknya. Dia sangat teruja kerana ada banyak buku yang
berkaitan dengan sains di bilik tersebut. Sedang dia asyik melihat
buku-buku tersebut, tiba-tiba dia ternampak seorang badut
sedang duduk di kerusi
Mimi: Arghhh!!! Ada badut.
(Mimi menjerit sambil berlari ke arah bilik adiknya)
Hakim: Kakak, kenapa masuk bilik adik ini?
Mimi: (Termengah-mengah) Kakak ternampak ada seorang badut
di bilik bacaan datuk.
Hakim: Hahaha…kakak ingat ini cerita kartun ke ada badut-badut
ni. Badut mana ada kakak. Merepeklah kakak. Hahaha.
Mimi: Ikut suka adiklah percaya atau tak. Apa yang penting kakak
betul-betul nampak ada badut.
(Tiba-tiba kedengaran ada orang mengetuk pintu bilik Hakim.
Dengan beraninya, Hakim membuka pintu tersebut)
Hakim: Arghhh!!! (Hakim menjerit dan menutup kembali pintu
tersebut)
Mimi: Haa…macam mana? Masih tak percaya kakak?
Hakim: Percaya…apa kata kita pergi ke bilik Mak Jah. Tapi kita nak
keluar dekat mana?
Mimi: Dekat sini. (sambil menunjukkan arah balkoni)
Hakim: Haa…jom!
Babak 4:
Latar Masa: Malam
Latar Tempat: Bilik Mak Jah
Mimi & Hakim: Mak Jah…Mak Jah buka tingkap.
(Mak Jah terkejut dengan kehadiran Mimi dan Hakim di balkoni.)
Mak Jah: Kamu berdua ini kenapa? Mari masuk dahulu.
Mimi: Kami ternampak ada seorang badut.
(Mak Jah menunjukkan muka yang gelisah.)
Hakim: Kenapa Mak Jah?
Mak Jah: Ada sesuatu yang Mak Jah lupa nak beritahu kepada
kamu berdua. Sebenarnya rumah ini ada sumpahan di mana setiap
malam akan muncul seorang badut.
Mimi: Apa dia? (Muka terkejut)
Mak Jah: Kalau kamu nak hapuskan sumpahan tersebut, kamu
berdua kena pergi ke bilik arwah datuk kamu dan buka kotak yang
ada dalam almari.
(Semasa Mak Jah memberitahu jalan penyelesaian sumpahan
tersebut, tiba-tiba ketukan pintu terdengar. Mak Jah membuka dan
terkejut melihat ada seorang badut. Mak Jah cuba menutup pintu
namun badut tersebut sempat menangkap Mak Jah keluar dari
biliknya.)
Mimi: Alamak, Mak Jah sudah kena culik oleh badut itu. Apa yang
patut kita lakukan ini adik?
Hakim: Hmmm…adik rasa kita kena pergi ke bilik arwah datuk dan
hapuskan sumpahan ini.
(Mereka menuju ke bilik arwah datuk melalui balkoni.)
Babak 5
Latar masa: waktu malam
Latar tempat: Bilik arwah datuk
(Mereka sedang mencari kotak yang dimaksudkan oleh Mak Jah)
Hakim: Kakak, mari sini. Adik rasa ini kotak yang Mak Jah katakan.
Mimi: Apa yang tertulis dekat kertas itu adik?
Hakim: Macam pantun teka teki saja.
Pergi ke kedai membeli ikan salai,
Terjumpa pula nasi goreng pattaya,
Kalau kamu seorang bijak pandai,
Cuba teka hari apa hari bahagia saya.
Hakim: Hari bahagia datuk? Kakak tahu ke?
Mimi: Hari bahagia? Hmm
(Mereka berdua memikirkan hari apa yang membahagiakan
datuknya.)
Mimi: Aha! Kakak rasa kakak tahu apa hari bahagia datuk. Hari
perkahwinan datuk dan nenek.
Hakim: Kakak tahu ke bila tarikh perkahwinan datuk dan nenek?
Mimi: Kalau tak silap kakak, papa ada beritahu yang hari
perkahwinan datuk ialah 9 Jun 1968. Cuba tekan nombor 961968.
Hakim: (menekan nombor yang disebut oleh kakaknya). Dapatlah
kak. (Hakim membuka kotak tersebut dan terkejut melihat terdapat
banyak berlian dan emas.)
Mimi: Banyaknya berlian dan emas dik.
(Tanpa Mimi dan Hakim sedar, rupa-rupanya Mak Jah dan badut
tersebut berada di belakang mereka.)
Mak Jah: Wah, banyaknya berlian dan emas! Bagi Mak Jahlah.
Mimi: Mana boleh!
(Mak Jah terus merampas kotak tersebut daripada mereka dan
berlari menuju ke ruang tamu.)
Hakim: Kakak, macam mana ni?
Mimi: Hmmm…Kakak ada satu idea. Jom ke bilik kakak.
Babak 6
Latar Masa: waktu malam
Latar Tempat: Bilik Mimi
(Mimi mencari tepung jagung, air, gam dan sabun.)
Hakim: Kakak, kita nak buat apa dengan semua barang-barang
ini?
Mimi: Kakak nak buat eksperimen pasir jerlus yang melekat.
(Mimi mencampurkan tepung jagung, air dan garam dalam satu
bekas yang besar. Setelah siap, mereka menuju ke luar rumah
dan meletakkan menuangkan sabun di hadapan pintu dan
meletakkan bekas yang pasir jerlus yang melekat di luar pintu
rumah.)
Latar tempat: ruang tamu.
(Mak Jah dan badut tersebut bernyanyi di ruang tamu kerana
gembira mendapat berlian dan emas tersebut.)
Mak Jah & Badut: Senangnya dalam hati dapat berlian dan
emas. (Melodi lagu P.Ramlee “madu tiga”)
Mak Jah: Sudahlah, mari kita keluar sebelum papa dan mama
mereka pulang.
Babak 7
Latar masa: 11.30 malam
Latar tempat: Luar rumah
(Mak Jah dan badut tersebut berjalan keluar dari rumah tersebut.
Apabila mereka berjalan di pintu rumah, mereka tergelincir dan
termasuk ke dalam bekas pasir jerlus melekat tersebut
menyebabkan mereka tidak dapat bergerak. Mimi dan Hakim
menghampiri mereka.)
Mimi: Hurayy! Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke
tanah juga. (Gembira)
Hakim: Baguslah idea kakak, mereka masuk perangkap kakak.
Mimi: Eh, badut ini Abang Joe rupanya. Oh, maksudnya Mak Jah
dan Abang Joe ini berpakatlah nak curi kotak tersebut.
(Tiba-tiba terdapat kedengaran enjin sebuah kereta memasuki
rumah tersebut.)
Encik Hassan: Apa yang sudah jadi ini?
Puan Mira: Ya Allah, apa yang sudah jadi Mimi, Hakim?
(Mimi memberitahu semua perkara yang berlaku kepada kedua
ibu bapanya)
Encik Hassan: Kalau macam itu, papa akan buat laporan polis.
(Encik Hassan menelefon polis dan memberitahu polis bahawa
ada pencuri di rumah mereka.
Tidak lama kemudian, polis sampai di rumah mereka)
Polis: Akhirnya, saya dapat tangkap kamu berdua. Sebenarnya
mereka berdua ini pencuri yang menyamar menjadi orang gaji di
rumah. Terima kasih kepada Encik Hassan dan keluarga kerana
membantu kami untuk menangkap dua orang pencuri ini.
Encik Hassan: Sama-sama encik. Sebenarnya anak-anak saya
yang membuat perangkap ini dan menangkap mereka.
(Polis tersebut memberikan senyuman kepada mereka)
Polis: Saya pergi dululah ya Encik Hassan. Terima kasih sekali lagi.
(Polis tersebut membawa Mak Jah dan Abang Joe masuk ke dalam
kereta dan beredar dari rumah besar tersebut.)
Puan Mira: Baguslah anak-anak mama ini. Sudah jadi perwira.
Encik Hassan: Marilah kita masuk ke dalam rumah. Sudah lewat
malam ini.
Mimi & Hakim: Baik papa.
-Tamat-