CIRI-CIRI KARANGAN YANG CEMERLANG
Hasil penulisan karangan yang baik dan bermutu mestilah berkemampuan untuk melengkapkan diri dengan
kriteria-kriteria sebuah hasil penulisan yang baik dan dapat dinilai dari segi takrif, isi, bahasa dan
pengolahan/pemerengganan.
Karangan yang baik seharusnya memiliki ciri-ciri yang berikut:
1 CIRI-CIRI Sesebuah karangan yang baik dari segi luarannya mestilah mempunyai struktur yang
LUARAN terdiri daripada:
1.1 Pendahuluan
1.2 Isi
1.3 Penutup
1.1 Pendahuluan Pendahuluan yang baik mestilah:
a. Mampu memperkenalkan secara tersurat atau tersirat akan isu atau
persoalan yang menjadi judul karangan.
b. Dipersembahkan dengan gaya yang menarik dan bertenaga untuk menarik
minat dan tumpuan pembaca terhadap tema penulisan.
c. Antara cara memulakan karangan termasuklah:
- memberikan definisi
- mengemukakan pendapat tokoh/penulis ternama
- cerita
- dialog
- peribahasa/kata-kata hikmat/slogan
- pantun/sajak/seni kata lagu
- suasana
- kaedah-kaedah lain yang mempamerkan daya kreativiti
1.2 Isi Isi karangan yang mantap mestilah:
a. Mampu mengembangkan serta membicarakan judul yang menjadi fokus
penulisan secara mendalam.
b. Isi dan contoh berkaitan.
c. Mengandungi sekurang-kurangnya tiga isi.
d. Isi dapat dikembangkan dengan baik.
e. Sekiranya mengandungi dua bahagian, kedua-duanya dapat dikembangkan
secara seimbang.
f. Isi diolah dengan menarik.
1.3 Penutup Penutup karangan yang tepat hendaklah:
2 CIRI-CIRI a. Berjaya merumuskan segala isi yang telah dipersembahkan dalam bahagian
DALAMAN
sebelumnya.
1.2 Kesatuan
b. Berjaya merumuskan sesuatu yang erat pertaliannya dengan tajuk karangan
yang dipilih.
Aspek ciri-ciri dalaman sesebuah karangan amat penting dalam menyampaikan
sesuatu idea
a. Berjaya memberikan tumpuan atau pemusatan keseluruhan penulisan
karangan kepada tajuk yang merupakan fokus perbincangan (tidak terpesong).
1
b. Isi-isi yang dikemukakan tepat dan berfokus kepada tajuk yang dikemukakan.
c. Takrif karangan adalah jelas.
d. Isi-isi berkaitan.
2.2 Pertautan e. Isi-isi yang bukan isi utama dimasukkan ke dalam isi utama dan diberikan fungsi
sebagai pengukuh isi utama.
a. Terdapat pertalian antara satu unsur dengan unsur yang lain dalam karangan
yang dihasilkan.
b. Terdapat hubungan antara satu ayat dengan ayat yang lain, antara satu
perenggan dengan satu perenggan yang lain.
c. Bijak menggunakan penanda wacana.
2.3 Gaya bahasa a. Bahasa yang lancar.
b. Perbendaharaan kata yang luas.
c. Susunan ayat yang menarik dan berkesan.
d. Penanda wacana dan tanda baca digunakan dengan betul.
e. Kepelbagaian bahasa, iaitu menggabungkan istilah dalam pelbagai mata
pelajaran/disiplin ilmu.
f. Pemilihan kata yang menarik dan sesuai.
g. Idea disokong dengan bunga bahasa, pendapat yang berwibawa, ayat al-
Quran atau al-Hadis, fakta dan pegangan umum.
h. Mempelbagaikan jenis ayat seperti ayat aktif, ayat pendek, berlapis, kompleks
dan majmuk.
i. Mengekonomikan perkataan yang menggambarkan penulis seorang yang
cekap dan lancar.
3 CIRI-CIRI Kecemerlangan sesebuah karangan terletak pada beberapa aspek yang penting:
TAMBAHAN
3.1 Pemerengganan a. Perenggan yang ditulis berkaitan dengan perenggan yang sebelumnya.
b. Satu isi sewajarnya ditulis dalam satu perenggan.
c. Perenggan hendaklah kemas dan sesuai.
d. Panjang setiap perenggan hendaklah sekata dan seimbang.
3.2 Format a. Format karangan hendaklah dipatuhi.
b. Pastikan anda benar-benar mengetahui dan memahami format karangan yang
3.3 Fikiran yang
matang ditulis.
a. Kematangan fikiran diperlihatkan menerusi isi yang dipilih.
b. Susunan isi mengikut keutamaan juga menggambarkan kematangan fikiran.
c. Penggunaan bahasa dan pemilihan kata turut menggambarkan kematangan.
d. Pemilihan contoh, bukti atau statistik juga memaparkan kematangan fikiran.
3.4 Panjang a. Panjang karangan bahagian A antara 150 – 200 patah perkataan.
karangan
b. Panjang karangan bahagian B pula hendaklah antara 350 hingga 500 patah
perkataan.
c. Karangan bahagian B yang mengandungi cukup 350 patah perkataan
sebenarnya belum memadai untuk dianggap sebagai karangan yang mantap
dan baik.
3.5 Gabung jalin a. Karangan yang cemerlang hendaklah merentas kurikulum dengan memuatkan
ilmu/mata ilmu pengetahuan daripada mata pelajaran lain.
pelajaran.
b. Bukti yang kukuh dan bernas.
3.6 Kurang a. Karangan yang berpotensi mendapat markah cemerlang perlu bersih daripada
kesalahan kesalahan ejaan.
ejaan/tanda
baca. b. Penggunaan tanda baca seperti noktah dan koma hendaklah tepat.
3.7 Bukti nyata Contoh yang diberikan mestilah berdasarkan peristiwa yang benar-benar berlaku.
Analisis Soalan
Tema Panduan Menggunakan analisis soalan
Tugasan / Fokus
Siapa 1. Maklumat analisis diambil daripada soalan.
Format 2. Murid digalakkan untuk mencari tugasan dahulu.
3. Daripada tugasan itulah, murid dapat mengeluarkan tema dan siapa.
4. Akhir sekali, murid hendaklah meneliti sama ada soalan tersebut berformat atau
tidak.
3
1. Keamanan dunia
Tema Peranan Malaysia mengekalkan keamanan dunia
Tugasan / Fokus kerajaan
Siapa Tiada format
Format
Sedasawarsa ini sering diperkatakan tentang isu memelihara keamanan dan keselamatan.
Pertelingkahan politik dalam sesebuah negara memberikan bayangan bahawa keamanan di dunia
amat goyah. Oleh itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu sebuah badan antarabangsa
yang telah ditubuhkan dan bertanggungjawab dalam hal menjaga keamanan dunia. Walau
bagaimanapun, setiap negara tidak boleh bergantung semata-mata kepada badan dunia itu,
sebaliknya setiap negara perlu mengambil inisiatif untuk mengekalkan keamanan dalam negara
mahupun di persada antarabangsa. Tidak terkecuali negara Malaysia juga mengambil bahagian
secara aktif dalam misi keamanan dunia. Persoalannya kini, apakah peranan pemimpin negara untuk
memastikan keamanan dan keselamatan di peringkat antarabangsa? Oleh hal yang demikian
peranan pemimpin negara dalam memastikan keamanan dan keselamatan di peringkat
antabangasa akan menjadi fokus perbincangan.
Memang tidak dinafikan bahawa perpaduan antara rakyat merupakan kunci keamanan
sesebuah negara terutamanya di negara yang berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia. Oleh
itu, usaha mewujudkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat hendaklah dilaksanakan
secara serius dan berterusan. Peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang pernah mencalar sejarah Malaysia
membuktikan bahawa ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum sangat rapuh. Mainan
sentimen perkauman yang keterlaluan ibarat percikan api telah menyemarakkan gelombang
kebencian antara kaum. Impaknya, peristiwa berkenaan telah meninggalkan parut walaupun lukanya
sudah semakin sembuh. Atas dasar tidak mahu pisang berbuah dua kali, perpaduan haruslah
dijadikan kunci kemakmuran negara. Sikap saling menghormati budaya dan sensitivity masing-masing
harus dijadikan prioriti masyarakat Malaysia. Pergaduhan haruslah dielakkan manakala kesepakatan
mestilah dibudayakan. Tegasnya, pertelingkahan dalam kalangan rakyat hanya akan merugikan
negara kerana pihak yang kalah akan menjadi abu tetapi pihak yang menang menjadi arang.
Pada masa yang sama, keamanan sejagat juga mampu diwujudkan dengan cara
menjalin hubungan kerjasama antara negara serantau. Impak daripada kerjasama antara negara
dapat memupuk persefahaman antara negara serantau ibarat aur dengan tebing Sehubungan
dengan itu, Malaysia telah menganggotai beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan
Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM), dan
Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) di samping menjalin hubungan diplomatik dengan
setiap negara di dunia kecuali Israel. Pelibatan Malaysia dalam pertubuhan-pertubuhan berkenaan
adalah untuk menjalin kerjasama dari aspek politik, ekonomi, dan sosial serta membincangkan usaha
untuk menyelesaikan konflik antara negara anggota. Izharnya, ukhuwah baik antara negara mampu
menjadikan bumi tercinta ini sebagai sebuah petempatan yang sejahtera untuk manusia sejagat.
Marcapada, perbalahan antara negara seakan-akan sukar untuk dielakkan apabila masing-
masing cuba mengeksploitasi sumber kekayaan yang terdapat di muka bumi ini demi kelangsungan
ekonomi negara masing-masing. Apabila keadaan ini terjadi maka, meja rundingan ialah platform
yang paling ampuh untuk menyelesaikan konflik yang timbul dan bukannya dengan
mengangkat senjata. Dalam hal ini, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda
telah banyak berjasa dalam menyelesaikan pertikaian antara negara seperti perebutan Pulau Ligitan
dan Sipadan oleh Malaysia dan Indonesia serta Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura.
Pertubuhan-pertubuhan antarabangsa ini perlu memainkan peranan secara holistik dan menjadi
orang tengah untuk mencari solusi terbaik sekiranya ada isu-isu berbangkit. Tuntasnya, setiap
perumitan yang timbul hendaklah diselesaikan dengan penuh berhemah ibarat menarik rambut di
dalam tepung, rambut tidak putus, manakala tepung pula tidak berselerak.
Akhirulkalam, prakarsa untuk mewujudkan keamanan di dalam negara dan di persada
antarabangsa tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja. Perpaduan dalam kalangan rakyat harus
dipupuk sejak kecil, ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya. Selain itu, hubungan kerjasama
antara negara harus dipererat dan budaya bermusyawarah hendaklah diamalkan untuk
menyelesaikan sesuatu perbalahan. Tambahan lagi, semua pihak harus dilayan secara adil dan
saksama untuk mewujudkan keamanan sejagat. Sesungguhnya, umat manusia harus sedar bahawa
bumi ini adalah untuk semua makhluk ciptaan-Nya dan manusia sebagai khalifah-Nya harus
memastikan dunia terus makmur dan aman tanpa diganggugugat oleh mana-mana anasir negatif.
504 patah perkataan
2.
Analisis Soalan Kerjaya
Tema Persediaan menghadiri temu duga
Tugasan / Fokus
Saya
Siapa Tiada format
Format
“Ramai Gagal Dapat Kerja Sesuai”, tajuk berita yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 20
Disember pada tahun lalu sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran kepada para graduan. Menurut laporan
akhbar tersebut sebanyak 60 peratus daripada 1984 graduan yang menghadiri Karnival Kerjaya yang
dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia tidak berjaya mendapat pekerjaan yang bersesuaian kerana
gagal dalam sesi temu duga. Persoalan yang berlegar-legar dalam benak pemikiran saya ialah adakah dengan
menyediakan resume yang hebat sahaja dapat membantu graduan untuk merealisasikan kerjaya impian
mereka? Oleh itu, sebagai graduan yang bakal menempuh alam pekerjaan, persediaan-persediaan sebelum
saya menghadiri temu duga sesuatu jawatan akan menjadi fokus dominan diskusi seterusnya.
Sudah terang lagi bersuluh, etika pemakaian seseorang semasa menghadiri temu duga boleh
mempengaruhi tanggapan pertama panel penemu duga. Hal ini bertepatan dengan peribahasa hanya jauhari
mengenal manikam kerana majikan sebenarnya boleh menilai personaliti seseorang melalui cara pemakaian
individu tersebut. Maka, saya akan memastikan tatacara pemakaian saya semasa menghadiri temu duga
bersesuaian dengan jawatan yang dipohon. Sebagai contoh, saya akan memastikan saya memakai pakaian
yang formal dan sopan untuk menyerlahkan personaliti diri saya semasa menghadiri temu duga tersebut.
Malah, etika pemakaian seseorang pekerja sangat dititikberatkan oleh majikan kerana pemilihan pakaian yang
sesuai bukan sahaja dapat mempamerkan imej diri yang profesional bahkan juga akan memberikan
pandangan dan perspektif positif pelanggan terhadap organisasi atau syarikat yang diwakilinya. Oleh itu,
jelaslah bahawa pematuhan dalam etika pemakaian semasa menghadiri temu duga akan menggambarkan
tahap disiplin serta keyakinan diri saya sebagai seorang graduan.
Jika ditinjau dari aspek persediaan yang lain pula, saya juga mesti memiliki kemahiran berkomunikasi
yang baik untuk memastikan temu duga berjalan dengan lancar. Tambahan pula, kemahiran berkomunikasi
amat diperlukan bagi seseorang graduan yang bakal menempuh alam pekerjaan. Sebagai contoh, sekiranya
saya memiliki kemahiran berkomunikasi dengan baik, saya akan dapat menyesuaikan diri dengan suasana
tempat kerja melalui pergaulan yang baik sesama rakan sekerja pada masa yang sama mengelakkan
perasaan hasad dengki sesama rakan sekerja. Malah, kemahiran berkomunikasi dan kemampuan berfikir
secara kreatif sangat penting untuk meningkatkan daya saing dan hala tuju sesebuah organisasi. Selain itu,
kelemahan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris juga sering menjadi punca graduan gagal dalam temu duga
yang dihadiri oleh mereka. Untuk itu, sebelum menghadiri sesuatu temu duga, saya perlu bersedia untuk
menonjolkan kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris agar saya dapat berdiri sama tinggi dan duduk
sama rendah dengan calon lain yang ditemu duga. Justifikasinya, kemahiran berkomunikasi merupakan salah
satu kemahiran insaniah yang perlu ada dalam diri saya sebagai persediaan untuk menempuh alam pekerjaan.
Seterusnya, persediaan lain yang perlu diberikan perhatian ialah saya perlu memiliki pengetahuan
yang cukup tentang pekerjaan yang hendak dipohon. Tambahan pula, bakal majikan memerlukan pekerja
yang mempunyai pengetahuan tentang kerjanya dan mengharapkan pekerja itu dapat melaksanakan tugasan
yang diberikan dengan sempurna dan berkesan. Sebagai contoh, jika saya ingin menghadiri temu duga
sebagai seorang guru tadika, saya mesti mempunyai latar belakang akademik berkaitan pendidikan awal
kanak- kanak. Dengan cara itu, majikan akan lebih mempercayai saya berbanding calon lain yang tiada
pengetahuan tentang pendidikan awal kanak-kanak. Jadi dengan pengetahuan yang ada, saya boleh
memperincikan skop kerja yang ditawarkan untuk menunjukkan kesungguhan saya. Hal ini katakan demikian
kerana saya sedar bahawa setiap kejayaan yang diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala
kadar sahaja ibarat melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya, iltizam dan komitmen saya terhadap kerjaya
akan menjadi faktor penentu kejayaan saya dalam sesi temuduga sesuatu jawatan.
Kesimpulannya, setiap graduan perlulah melakukan persediaan yang mantap sebelum menghadiri
temu duga sesuatu jawatan. Untuk menjadi seorang pekerja yang berwawasan dan berkemahiran secara
holistik, saya perlulah memulakan persediaan awal bagi mengembangkan kemahiran dan potensi
diri sebagai fundamental sebelum melangkah ke alam pekerjaan kerana yang bulat tidak akan datang bergolek,
yang pipih tidak akan datang melayang dan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Oleh itu, graduan
yang bakal menempuh alam pekerjaan perlulah melakukan persediaan yang lengkap dari pelbagai aspek dan
meluaskan horizon pemikiran mereka tentang bidang kerjaya yang ingin diceburi agar mereka dapat menjadi
pekerja yang dapat menyumbangkan kemajuan kepada diri, masyarakat dan negara.
505 patah perkataan
3.
Tema Sejarah dan Warisan
Tugasan / Fokus Kepentingan mempelajari Sejarah di sekolah
Siapa Murid / saya
Format Tiada
Cendekiawan pernah berkata bahawa bangsa yang tidak mempelajari sejarah sudah tentu akan
mengulangi kesilapan mereka yang lalu. Kata-kata ini jelas menunjukkan betapa mata pelajaran Sejarah cukup
penting untuk dipelajari. Sebelum ini, mata pelajaran Sejarah tidak begitu diberi perhatian malah dianggap
membosankan bagi segelintir pelajar. Namun demikian, sejak menjadi mata pelajaran wajib lulus dalam Sijil
Pelajaran Malaysia, subjek ini semakin mendapat perhatian utama. Penggunaan buku teks baharu disertai
koleksi video pengajaran yang menarik dan kreatif telah menjadikan subjek Sejarah semakin diminati. Sebagai
memperkukuh lagi pernyataan tersebut, kepentingan-kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah di
sekolah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.
Kepentingan primer mempelajari subjek Sejarah adalah untuk memupuk semangat patriotik. Hal ini
dikatakan demikian kerana penceritaan dalam subjek Sejarah tentang tokoh kemerdekaan serta perjuangan
mereka sepanjang penjajahan akan menjentik semangat patriotisme dalam diri murid. Dalam hal ini, murid
didedahkan dengan pelbagai fakta sejarah serta kisah pengorbanan pejuang kemerdekaan yang tidak
berputus asa melawan penjajah. Sebagai contohnya, perjuangan Dato Bahaman di Pahang, Dol Said di
Naning dan Rentap di Sarawak menunjukkan bahawa mereka mempunyai semangat patriotik yang tinggi
terhadap negara. Perjuangan dan pengorbanan mereka akan menjadi contoh kepada generasi muda agar
terus berusaha mempertahankan tanah air daripada sebarang ancaman. Sesungguhnya, semangat patriotik
dapat dipupuk melalui pembelajaran Sejarah sejak di bangku sekolah lagi.
Di samping itu, kepentingan mempelajari subjek Sejarah yang seterusnya adalah untuk mengekalkan
perpaduan kaum. Hal ini dikatakan sedemikian kerana perpaduan perlu dibentuk di dalam negara kita yang
berlatarbelakangkan masyarakat majmuk. Dalam situasi ini, pembelajaran mata pelajaran Sejarah akan
memperkenalkan asal-usul kewujudan negara serta cara terbentuknya masyarakat majmuk. Sebagai
contohnya, dalam perjuangan penduduk Tanah Melayu mendapatkan kemerdekaan, mereka yang terdiri
daripada pelbagai kaum tanpa mengira warna kulit sanggup mengetepikan semangat perkauman demi
mendapatkan kemerdekaan bagi tanah air tercinta. Impaknya, murid akan mendapat kesedaran akan
pentingnya menjaga perpaduan agar negara terus harmoni. Jelaslah bahawa mata pelajaran Sejarah menjadi
wahana dalam memupuk perpaduan kaum dalam kalangan murid berbilang bangsa.
Akhir sekali, kepentingan mempelajari mata pelajaran Sejarah adalah untuk dijadikan iktibar daripada
masa lalu. Hakikat sedemikian tidak dapat dielakkan daripada realiti semasa kerana subjek Sejarah
sememangnya menjadi satu panduan hidup kepada masyarakat. Tanpa catatan sejarah, kita tidak akan tahu
sebab-sebab negara kita terbentuk hanya dengan melihat keadaannya pada hari ini. Apabila sejarah dipelajari
secara mendalam, maka kita akan lebih berhati-hati dengan penjajahan minda dari Barat yang berlaku secara
senyap. Kita juga akan menguruskan ekonomi dengan baik di samping memperkukuh tembok pertahanan
negara supaya negara terus merdeka dan kemajuan dapat dikecapi. Tegasnya, peristiwa yang dipelajari
daripada mata pelajaran Sejarah dapat dijadikan teladan agar kita tidak mengulangi kesilapan lampau.
Sebagai penghias bicara akhir, sudah terang lagikan bersuluh bahawa terdapat pelbagai kepentingan
mempelajari subjek Sejarah. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah mendorong anak-anak untuk
berusaha menguasai mata pelajaran Sejarah bukan sekadar untuk lulus atau untuk skor A tetapi mereka
mempelajari sesuatu yang lebih bermakna daripada mata pelajaran tersebut . Pada masa yang sama, guru-
guru wajarlah terus berusaha mengajar subjek Sejarah dengan penuh penghayatan dan kreatif agar pelajar
berasa seronok mempelajari subjek ini. Jika perkara ini dapat direalisasi, warganegara yang mencintai tanah
air dengan sepenuh jiwa dapat dilahirkan.
502 patah perkataan
4. Pelancongan
4.
Tema
Tugasan / Fokus Persediaan-persediaan untuk menempuh alam kerjaya dalm sektor pelancongan
Siapa Individu
Format Tiada
Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu merupakan antara destinasi pelancongan yang
tersohor di Malaysia. Saban tahun, berduyun- duyun pelancong seantero dunia masuk ke Malaysia.
Industri pelancongan merupakan antara penyumbang perdana terhadap sumber ekonomi negara. Namun
begitu, kerjaya ini tidak boleh diceburi secara semberono kerana memerlukan pelbagai persediaan
sebelum melangkah ke bidang pekerjaan tersebut. Kata- kata mutiara Arab ada menyatakan, “man jadda
wa jada,” bermakna jika kita melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh pasti akan ada hasilnya.
Oleh itu, pelbagai persediaan awal perlulah dilakukan untuk menempuh alam kerjaya dalam sektor
pelancongan.
Mari kita capahkan lensa perbincangan di bawah kata kunci pentingnya persediaan dalam
akademik. Sememangnya, ilmu serta maklumat yang bersesuaian perlu dikuasai untuk menjadikan
kerjaya dalam sektor pelancongan sebagai pilihan. Hjalager yang merupakan tokoh pemikir Barat telah
menegaskan peri pentingnya untuk mengambil pekerja yang berkelulusan dalam bidang pelancongan.
Hal ini dikatakan relevan kerana tahap akademik akan menjadi kayu ukur bagi sesuatu bidang pekerjaan.
Disebabkan itu, murid seharusnya menyambung pengajian dengan memilih jurusan pengurusan hotel dan
pelancongan yang terdapat di kolej mahupun universiti. Tegasnya, persediaan akademik menjadi
prasyarat sebelum kita memasuki sektor pelancongan kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih
tidak datang melayang.
Pada masa yang sama, seseorang itu akan lebih sukses dalam alam kerjaya sekiranya mereka
mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Hal ini demikian kerana kemahiran komunikasi yang baik
membolehkan setiap individu mempunyai keupayaan untuk petah berbicara, mampu mempengaruhi
orang lain dan mampu menjaga tutur kata. Dalam bidang pelancongan, individu yang mahir
berkomunikasi mampu mempengaruhi pelancong tempatan atau pelancong asing untuk melancong di
tempatnya. Mereka akan tertarik dengan layanan yang mesra selain pakej istimewa yang ditawarkan.
Kebijaksanaan mengatur kata-kata dapat memujuk pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan terbaik.
Impak jangka panjang ialah pelancong tersebut akan mengajak rakan-rakan untuk melnacong ke sini kelak.
Dalam dunia pekerjaan yang penuh pancaroba, tidak dinafikan bahawa persediaan dari segi
mental dan fizikal juga amat vital untuk menempuh alam pekerjaan dalam sektor pelancongan. Pekerjaan
yang mencabar ini tidak mungkin dapat dilakukan dengan cemerlang jika seseorang itu tidak dapat
mengawal emosi tatkala melayani kerenah pelancong selain perlu kekal bertenaga dalam mengurus
promosi pelancongan. Sebagai contoh, senario budaya dan perwatakan amat berbeza dalam kalangan
pelancong Timur dan pelancong dari Barat. Pelancong Timur lebih terkenal dengan budaya sopan santun
manakala pelancongan barat lebih bersifat terbuka dan berterus terang. Jadi, individu yang menceburi
bidang pelancongan ini haruslah bersedia berhadapan dengan karaktor sedemikian. Alah bisa, tegal biasa,
andai persediaan dari segi fizikal dan mental dapat dilakukan sedari awal, sudah pasti segala cabaran
dalam menempuh alam kerjaya sektor pelancongan akan dapat dilalui dengan penuh berhemah.
Kesimpulannya, jika mendaki menuju ke puncaknya, jika berbicara menuju ke noktahnya, cabaran
dari segi persaingan untuk mendapatkan pekerjaan akan menjadi lebih sengit. Mereka yang mampu
menonjol diri daripada yang lain berpotensi besar untuk mendapatkan pekerjaan tersebut. Lantaran itu,
sebelum berkecimpung dalam sektor pelancongan, individu yang ingin menceburi kerjaya dalam bidang
pelancongan wajarlah memperlengkap diri dengan pelbagai kemahiran dan keterampilan diri serta
kefahaman yang lebih baik ibarat, hilang dicari, terapung direnangi dan tenggelam diselami.
499 patah perkataan
5.
Tema Misi bantuan kemanusiaan
Tugasan / Fokus Laporan misi bantuan kemanusiaan
Siapa Setiausaha
Format Laporan
LAPORAN MISI BANTUAN BENCANA ALAM
Bencana alam yang berlaku tidak dapat dielakkan oleh manusia kerana kejadian itu berlaku di luar
kawalan manusia. Bencana alam boleh berlaku tanpa mengira masa dan tempat. Contohnya, bencana alam
yang sering berlaku ialah banjir, gempa bumi dan tanah runtuh. Bencana alam yang direkodkan di negara ini
ialah hempasan ombak besar Tsunami pada 26 Disember 2004 dan kejadian tanah runtuh di Gombak pada
tahun 2004. Namun, tragedi banjir besar di Kelantan pada tahun 2014 merupakan kejadian yang tidak dapat
kita semua lupakan. Sebagai masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan kerana berat mata
memandang, berat lagi bahu memikul, kita sepatutnya bertanggungjawab dan menghulurkan bantuan
kepada mereka yang memerlukan ibarat hulurkan tangan, ringankan beban. Saya dan ahli pasukan
telah mengikuti misi bantuan tersebut.
Satu program bantuan mangsa-mangsa banjir telah berjaya dilaksanakan hasil inisiatif sukarelawan
bersama-sama pihak badan bukan kerajaan (NGO). Bantuan yang disumbangkan tidaklah hanya
mengutamakan wang ringgit, tetapi bantuan lain seperti ubat- ubatan, pakaian dan makanan juga diperlukan.
Setelah berlaku banjir, pastinya mangsa tidak memiliki kelengkapan yang sempurna untuk hidup kerana
semua harta mereka telah musnah dalam bencana yang di luar jangka ini. Beberapa barang keperluan
diperlukan telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan daripada orang ramai yang prihatin terhadap mangsa.
Kita seharusnya bersyukur dengan nikmat yang diberikan dan harus berkongsi nikmat dengan orang lain yang
memerlukan. Jelaslah di sini bahawa kita tidak harus lokek dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit
paha kiri, paha kanan pun sakit juga agar mangsa dapat hidup sempurna seperti kita.
Lokasi pada hari pertama kami adalah di enam buah kampung dalam Daerah Kuala Krai. Misi kami
ini membawa bekalan barangan asas seperti minyak masak, beras dan gula selain pakaian seperti kain pelikat,
telekung dan tuala. Bantuan ini merupakan hasil sumbangan orang awam dan daripada rakan kenalan
terdekat untuk diserahkan kepada penduduk. Beberapa perkara yang kami lihat telah memberi impak yang
sungguh besar khususnya kepada saya dan sukarelawan. Pasukan sukarelawan juga dapat menyelami
kepayahan dan berkongsi rasa Bersama-sama mangsa banjir ketika mereka masih dilanda banjir besar dan
dalam proses untuk bangkit semula untuk meneruskan kehidupan mereka. Kepayahan dan ujian yang telah
berlaku merupakan ujian kita bersama-sama untuk membantu mereka di sana.
Pada hari kedua pasukan sukarelawan menuju ke sekolah kebangsaan yang menjadi penempatan
untuk mangsa banjir. Keadaan di sekolah tersebut dikhabarkan terjejas teruk apabila air naik sehingga
menghampiri tingkat tiga. Sekolah sudah dibersihkan dan dicuci untuk keselesaan murid-murid bagi sesi
pembelajaran. Pengangkutan utama ke sekolah melalui sungai dan jalan raya menghala ke sekolah ini
mengambil jarak sejauh tiga puluh kilometer untuk sampai sekolah. Pada hari pertama persekolahan kami
melihat murid-murid tetap ke sekolah dengan berpakaian biasa. Tiada ungkapan yang mampu dizahirkan
kerana mereka ini terlalu kecil untuk memahami situasi. Murid-murid di sana tetap bersemangat menghadiri
sekolah. Sukarelawan sempat bersama-sama meluangkan masa membantu mengajar di kelas.
Intihanya, semua orang seharusnya melupakan batasan geografi dalam menghulurkan bantuan dan
tidak menjadi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing- masing. Walau di mana-mana jua kita
berada, kita harus sedar bahawa manusia semuanya sama iaitu menginginkan kehidupan yang sempurna.
Semua pihak haruslah bersama-sama menghulurkan bantuan dengan apa-apa cara sekalipun kerana ada
peribahasa Melayu mengatakan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kami pasukan sukarelawan
mendoakan semua mangsa-mangsa banjir terus tabah dan sabar menghadapi dugaan ini. Semoga
sumbangan yang kita salurkan dapat disalurkan menambahkan lagi kekuatan mangsa untuk meneruskan
kehidupan seharian mereka seperti sedia kala. Jutaan terima kasih kami ucapkan kerana kesanggupan
sukarelawan dengan meluangkan masa dan tenaga bersama-sama kami untuk memberikan bantuan kepada
mangsa.
Disediakan oleh, 14 JANUARI 2015
( AHMAD YAZID BIN AZIZI )
Setiausaha Misi Bantuan Bencana Alam.
6.
Tema Makanan Seimbang
Tugasan / Fokus Pemakanan Seimbang Menjamin Kesihatan
Siapa Masyarakat
Format Syarahan
Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang berusaha Tuan Pengetua Sekolah Menengah Agama Sultan
Hisamuddin, Klang, barisan panel hakim yang arif dan bijaksana, yang, yang dihormati guru-guru dan rakan-
rakan seperjuangan sekalian. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Berdirinya saya di sini untuk
menyampaikan satu syarahan yang bertajuk “Pemakanan Seimbang Menjamin Kesihatan”.
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
Setiap individu sudah semestinya menginginkan kehidupan sihat, ceria dan bahagia hingga ke akhir
hayat. Namun, statistik kesihatan rakyat Malaysia yang menghidap kanser menunjukkan peningkatan. Buktinya
pada tahun 2014, penghidap kanser seramai 2,929 telah meningkat kepada 10,767 pada tahun 2019. Hal ini
belum termasuk lagi penyakit berbahaya yang lain seperti jantung, darah tinggi dan kencing manis yang telah
banyak meragut nyawa manusia tanpa mengira usia dan bangsa. Apakah punca hal ini berlaku? Sudah
semestinya amalan pemakanan seimbang sudah tidak jadi prioriti utama masyarakat Malaysia hari ini kerana
Malaysia dilimpahi dengan syurga makanan. Bagi mereka memuaskan nafsu dengan mengikut selera tekak
lebih bermakna daripada memikirkan kesihatan. Hakikatnya, amalan pemakanan sihat amat perlu diterapkan
dalam setiap insan di dunia ini kerana memberikan manfaat dalam kehidupan hari ini dan pada masa akan
datang.
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
Sudah terang lagi bersuluh, manfaat amalan pemakanan seimbang dapat mengurangkan risiko
menghidapi penyakit kronik. Hal ini demikian kerana pemakanan sihat memberikan kita tenaga yang mencukupi
dari aspek karbohidrat, protein dan lemak secara optimum dan kandungan fiber yang mencukupi. Sebagai
contoh, karbohidrat yang diperoleh daripada nasi membekalkan 50-60 peratus tenaga, protein pula membina
sel-sel dalam badan manakala sayur-sayuran dan buah-buahan boleh mencegah tubuh daripada penyakit.
Impaknya, sekiranya amalan pemakanan sihat mengikut piramid makanan dibudayakan dalam kehidupan
membantu kita menghasilkan badan yang sihat, otak yang cerdas. Jelaslah, kita harus mengambil
pendekatan mencegah lebih baik daripada mengubatinya supaya kita boleh menjalani kehidupan yang sihat
sehingga kita bergelar warga emas.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Manfaat kedua memang menjadi impian setiap insan yang ingin kekal langsing dan sihat, iaitu amalan
ini mampu mengawal kadar obesiti. Amalan ini akan mengawal tabiat pemakanan yang tidak sihat individu
tersebut. Mereka akan makan mengikut panduan piramid makanan dan juga mendapat rujukan daripada doktor
atau pakar pemakanan. Misalannya, mereka akan menjauhi makanan berminyak, makanan segera malah
mengambil snek yang sihat seperti gajus, badam, kurma bagi menggantikan gula dan aiskrim. Lantaran itu,
kita dapat mengawal berat badan tanpa perlu berlapar atau mengambil pil pelangsing untuk kelihatan langsing
dan sihat. Jelaslah, amalan pemakanan seimbang ini merupakan jalan terbaik untuk mereka kekal awet muda,
cantik dan langsing secara normal dan ceria.
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
“Anak ialah amanah Tuhan kepada ibu bapa”, kata-kata hikmat ini menggambarkan bahawa ibu
bapa mempunyai tanggungjawab yang sangat besar terhadap anak-anak. Antara tanggungjawab ibu
terutamanya sejak anak itu dalam kandungan lagi telah mengamalkan makanan seimbang semasa hamil,
manakala bapa perlu berusaha memberikan makanan terbaik untuk isteri dan anak-anak mereka. Kesemua ini
semata-mata untuk membantu tumbesaran kanak-kanak. Zat-zat yang diperoleh daripada pemakanan sihat ini
akan memperkuat sistem imuniti badan. Contohnya, ada sesetengah ibu yang sibuk dengan kerjaya tetapi
tidak menghalang mereka untuk menyediakan makanan sendiri di rumah walaupun seharian berhempas pulas
bekerja. Sebagai akibatnya, anak-anak sukar mendapat penyakit kerana antibodi yang kuat. Malah anak-anak
dapat memberi tumpuan secukupnya semasa menelaah buku. Oleh itu, “makanan sihat, otak cerdas”
merupakan satu lagi kata-kata hikmat yang perlu menjadi pegangan untuk setiap ibu bapa sekiranya mereka
mahu anak-anak mereka membesar dengan sihat dan bijak.
Hadirin yang dihormati,
Sebelum saya mengundurkan diri, saya ingin mengajak semua yang hadir pada hari ini agar mengubah
gaya hidup kita ke arah pemakanan yang seimbang sekali gus amalan gaya hidup sihat juga terlaksana seperti
serampang dua mata. Kita sebagai rakyat memainkan peranan yang sangat besar untuk melahirkan
masyarakat yang sihat sejahtera agar kita bersama-sama dapat memulihkan ekonomi negara semula daripada
situasi pandemik pada hari ini. Sekian, terima kasih.
505 patah perkataan
7.
Tema Makanan tradisional
Tugasan / Fokus Usaha-usaha meluaskan pasaran makanan tradisional
Siapa Pengusaha
Format Tidak berformat
Malaysia terkenal dengan nama timangannya ‘syurga makanan’ di Nusantara. Penduduk di Malaysia
mahupun pelancong asing yang berdarmawisata ke Malaysia semestinya akan rambang mata dengan
kepelbagaian juadah khususnya makanan tradisional yang ditawarkan di negara kita seperti sate, mi rebus,
masalode, kuetiau goreng, ketupat dan nasi beriani. Malaysia juga telah mengambil satu lonjakan besar
dalam bidang kulinari dengan menjadi tuan rumah bagi pertandingan WorldChef Battlefield pada peringkat
antarabangsa pada tahun 2019. Pelibatan Malaysia dalam program seperti ini mampu memberikan impak
positif dalam industri makanan di Malaysia terutamanya produk makanan tradisional. Sebenarnya, prospek
produk makanan tradisional untuk diperkenalkan pada peringkat yang lebih tinggi akan tercapai jika pelbagai
usaha yang pragmatik dirangka untuk meluaskan pasaran produk ini.
Pada realitinya, memang tidak dinafikan lagi bahawa inovasi dalam penyediaan makanan secara
kreatif dapat meningkatkan imej makanan tradisional. Bermula daripada proses memasak sehingga cara
penyediaan perlulah menitikberatkan kualiti supaya dapat memberikan imej baharu sekali gus menarik
perhatian masyarakat setempat dan pelancong asing untuk merasainya. Tamsilnya, makanan tradisional
seperti dodol dipelbagaikan perisa serta bentuk agar nampak lebih menarik tanpa mengubah keaslian rasa
produk tersebut. Hal ini dapat meningkatkan minat masyarakat untuk merasai serta menikmati kepelbagaian
makanan tradisional yang masih kekal sehingga ke hari ini kerana makanan tradisi kita tak lapuk dek hujan
dan tak lekang dek panas. Jelaslah bahawa penyediaan makanan yang kreatif merupakan salah satu uslub
berkesan untuk meningkatkan pasaran produk makanan tradisional.
Kita mengakui hakikat bahawa industri yang mengekalkan kualiti sesuatu produk akan menghasilkan
produk yang bersih dan selamat dimakan. Sesuatu produk perlu dipantau dari segi bahan, teknologi dan cara
pembuatan dalam proses pengeluaran. Misalnya, bahan mentah yang digunakan mestilah bebas daripada
bahan kimia manakala teknologi pula perlulah bersesuaian dengan kuantiti produk yang ingin dicapai. Bukan
itu sahaja, pengusaha makanan perlu menyediakan produk makanan mengikut standard yang ditetapkan
untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan. Kesannya, produk yang berkualiti dapat
meraih kepercayaan pelanggan seterusnya dapat meningkatkan hasil jualan. Sebagai pengitlakan, jelaslah
bahawa penghasilan produk yang berkualiti dapat meningkatkan pasaran dan pengeluaran makanan
tradisional
Beralih pula kepada manhaj yang lebih signifikan, iaitu pembungkusan produk juga perlu
dititikberatkan. Hal ini dikatakan demikian kerana pembungkusan yang unik serta berkualiti tinggi dapat
menarik minat pelanggan. Kaedah pembungkusan produk juga mencerminkan nilai sesuatu produk itu sendiri.
Antara aspek pembungkusan yang ideal ialah visual yang menonjolkan elemen pembungkusan seperti
jenama bagi sesuatu produk, kandungan bahan yang digunakan dan logo halal bagi memastikan produk
tersebut boleh dimakan oleh orang Islam. Lebih jauh lagi, pembungkusan yang berkualiti seperti ini dapat
memberikan gambaran yang jelas terhadap identiti sesuatu produk makanan tersebut sama ada
melambangkan asal usul produk tersebut. Natijahnya, pembungkusan produk merupakan strategi yang
penting dalam memperluas pasaran makanan tradisional.
Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, makanan tradisional mempunyai potensi untuk
dikomersialkan sehingga ke peringkat antarabangsa. Setiap usaha yang digembleng pasti akan
membuahkan hasil jika semua pihak berganding bahu seperti kata peribahasa Melayu, berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing untuk meluaskan pasaran makanan tradisional. Oleh itu, industri makanan tradisional
akan terus berkembang sejajar dengan pembangunan negara dan tidak mustahil untuk makanan tradisional
akan duduk sebaris dengan produk makanan antarabangsa yang lain.
506 Patah Perkataan
1. Muzium Negara
Tema Kebaikan berkunjung ke Muzium Negara dan pengalaman berkunjung ke
Tugasan / Muzium Negara
Fokus Aisyah Yahya
Siapa E-mel
Format
Daripada : [email protected]
Kepada : [email protected]
Subjek : Pengalaman melawat ke Muzium Negara
Assalammualaikum Fariha,
Apa khabar saudari di sana? Saya harap saudari berada dalam keadaan sihat. Terima kasih
saya ucapkan kerana sudi mengirimkan e-mel kepada saya.
Kebaikan yang yang saya peroleh apabila melawat Muzium Negara termasuklah dapat
mengetahui sejarah negara. Muzium Negara telah dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-
Pertuan Agong Malaysia ke-3 iaitu Tuanku Syed Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1963. Muzium ini
dibahagikan kepada empat seksyen iaitu Galeri A : Sejarah Awal, Galeri B: KerajaanKerajaan
Melayu, Galeri C : Era Kolonial dan Galeri D : Malaysia Kini. Saya sangat teruja apabila mengetahui
bahawa galeri ini mempunyai kisah-kisahnya yang tersendiri.
Kebaikan seterusnya ialah Muzium Negara dapat menarik pelancong. Sebagai contoh, artifak
yang dipamerkan seperti senjata yang digunakan pada zaman Neolitik, barang-barang tembaga
pasti dapat menarik kedatangan pelancong. Namun begitu, artifak yang tidak boleh saya lupa ialah
tengkorak “Manusia Jawa” yang dianggarkan berusia 500,000 tahun. Rupanya, banyak fakta
sejarah lama yang boleh saya ketahui sepanjang berkunjung di sana.
Selain itu, apabila melawat Muzium Negara dapat memupuk rasa cinta kepada
negara. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat pelbagai artifak warisan sejarah negara yang
boleh dilihat apabila mengunjungi Muzium Negara. Saya berasa begitu terharu apabila melihat dan
membaca kisah-kisah perjalanan Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman
Putra Al-Haj dalam menuntut kemerdekaan negara sekali gus memupuk semangat patriotisme
dalam diri saya.
Saya berharap agar e-mel ini dapat memberikan gambaran kepada awak tentang Muzium
Negara. Saya doakan semoga awak berpeluang untuk berkunjung ke sana suatu hari nanti. Sekian,
terima kasih.
Sahabatmu,
Aisyah
198 patah perkataan
8.
Tema Bencana alam dan pencemaran alam sekitar
Tugasan / Fokus Usaha memupuk perasaan cinta akan alam sekitar
Siapa Pelbagai pihak
Format Tiada format
Abad ke-21 menyaksikan kehidupan masyarakat yang semakin maju dalam segala aspek. Namun,
secara nyata, kemajuan yang dikecapi tidak seiring dengan keadaan alam sekitar yang semakin uzur akibat
rakusnya sikap manusia. Bencana demi bencana berlaku tanpa diduga sehingga meragut nyawa yang tidak
berdosa. Isu jerebu, tanah runtuh, pencemaran dan banjir, adalah antara bencana yang masih belum ada
noktahnya. Sikap manusia yang mengejar fatamorgana dan mengabaikan isu pencemaran merupakan faktor
vital yang mengundang malapetaka. Keadaan ini tidak seharusnya dibiarkan berlarutan. Pelbagai langkah
drastik harus diambil sebelum nasi menjadi bubur. Persoalannya, apakah langkah yang boleh diambil untuk
membuka mata masyarakat agar menyedari kepentingan penjagaan alam sekitar sekali gus memupuk rasa
cinta akan alam sekitar dalam diri masing- masing? Jawapannya terletak pada diri kita semua, tepuk dada tanya
selera.
Peribahasa Melayu ada mengatakan tiada penyakit yang tiada ubatnya. Kesedaran tentang
pentingnya menjaga alam sekitar ini perlu dimulakan oleh institusi keluarga. Dalam hal ini, ibu bapa
memainkan peranan yang sangat penting. Mereka sebagai orang terdekat dengan anak-anak sepetutnya
mendidik anak-anak menghargai dan mencintai alam sekitar sejak dari kecil lagi. Ibu bapa harus
mendedahkan kepada anak-anak tentang isu pencemaran alam sekitar untuk menyedarkan mereka tentang
kepentingan menjaga alam sekitar. Tindakan mendidik sahaja tidak mencukupi. Ibu bapa harus menjadi
teladan kepada anak- anak mereka. Contohnya, mereka tidak sepatutnya membuang sampah sesuka hati
ataupun melakukan pembakaran terbuka yang boleh mencemarkan udara. Jika ibu bapa memaparkan
teladan yang baik maka anak-anak akan terpengaruh dan terikut-ikut sikap ibu bapa itu. Kesannya anakanak
sudah tertanam rasa cinta akan alam sekitar dan sikap ini akan mempengaruhi tindak tanduknya pada
masa akan datang. Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa tanggungjawab memupuk rasa cinta akan alam
sekitar ini terpikul di atas bahu ibu bapa.
Selain itu, pihak sekolah turut memainkan peranan penting dalam memupuk rasa cinta akan alam
sekitar. Sekolah ibarat rumah kedua kepada murid-murid. Pihak sekolah boleh mengadakan kempen
kesedaran melalui mata pelajaran seperti Pendidikan Sivik dan Kenegaraan, Pendidikan Moral, Pendidikan
Islam dan Pendidikan Alam Sekitar. Guru-guru misalnya boleh memberi tugasan tertentu kepada murid
seperti meminta mereka mencari artikel yang berkaitan alam sekitar. Bukan itu sahaja, aktiviti ceramah serta
aktiviti gotong-royong juga secara tidak langsung memberi kesedaran kepada murid-murid tentang betapa
pentingnya menjaga alam sekitar. Murid-murid juga akan sedar kesan buruk pada masa akan datang jika
mereka tidak cakna terhadap penjagaan alam sekitar. Lantaran itu, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa
pihak sekolah turut memainkan peranan penting dalam memupuk semangat cinta akan alam sekitar ini.
Seterusnya, kerajaan juga memainkan peranan yang sangat penting bagi memupuk rasa cinta akan
alam sekitar ini. Pihak kerajaan yang seolah-olah memegang kemudi pentadbiran negara memikul
tanggungjawab dari segi pelaksanaan undang-undang yang berkaitan dengan alam sekitar. Malah, kerajaan
juga sewajarnya membuat kempen secara besar-besaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar
memandangkan kerajaan mempunyai pelbagai medium yang boleh digunakan. Penguatkuasaan undang-
undang terhadap individu yang rakus tanpa memikirkan akibat yang akan menimpa orang lain seperti
melakukan pembalakan haram, membuang sisa toksik ke dalam sungai atau laut serta individu yang secara
sengaja tidak mempedulikan penjagaan alam sekitar sewajarnya dikenakan tindakan yang keras. Ketegasan
yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan dalam menangani masalah penjagaan alam sekitar ini akan menjadi
satu pengajaran kepada masyarakat. Kempen-kempen secara berterusan sama ada melalui media massa
atau media sosial menambahkan lagi rasa kesedaran masyarakat agar sama-sama menjaga alam sekitar.
Jelas bahawa kelestarian alam sekitar juga menjadi tanggungjawab pihak kerajaan.
Konklusinya, semua pihak memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan semangat
cinta akan sekitar ini tersemai dalam sanubari masyarakat. Usah kita bersikap bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing. Sinergi yang erat wajar dilakukan secara berterusan agar alam sekitar
yang terpelihara dapat dinikmati sehingga ke generasi yang akan datang. Kehidupan masyarakat juga dalam
keadaan yang aman dan sejahtera tanpa berlakunya musibah serta bencana yang tidak diundang.
Sesungguhnya hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan,
terpulang kepada setiap individu untuk berfikir tentang rasionalnya setiap tindakan yang dijalankan oelh
pelbagai pihak ini bagi memastikan alam sekitar kita terjaga selamanya.
505 patah perkataan
9.
Tema Pendidikan secara dalam talian
Tugasan / Fokus Kelebihan pembelajaran secara dalam talian
Siapa Pelajar dan guru
Format Tidak berformat
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19 sememangnya banyak
mengubah cara hidup masyarakat dunia. Sektor pendidikan juga tidak terkecuali daripada menghadapi
perubahan norma baharu kerana sesi persekolahan secara bersemuka tidak dapat dijalankan. Oleh hal yang
demikian, semua guru dan murid harus mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPr) yang
dilaksanakan secara dalam talian agar dapat memastikan murid-murid tidak tercicir untuk mengecapi ilmu.
Walaupun pelbagai cabaran harus dihadapi oleh guru dan murid, namun sesi pengajaran dan pembelajaran
dalam talian sebenarnya mempunyai banyak kelebihan. Oleh hal yang demikian, kelebihan-kelebihan
pembelajaran secara dalam talian yang menjadi tunjang perbincangan karangan ini akan dikupas secara
terperinci dalam perenggan seterusnya.
Kelebihan pembelajaran secara dalam talian ialah guru dan murid boleh mengasah kemahiran
Teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Hal ini dikatakan demikian kerana guru dan murid perlu mahir
menggunakan teknologi seperti komputer riba, telefon pintar mahupun tablet untuk memastikan guru dapat
melaksanakan tugasnya untuk menjalankan PdP dan murid pula dapat mengikuti kelas yang diadakan oleh
guru. Sebagai contoh, untuk menggunakan aplikasi seperti google classroom, guru-guru dan juga murid-
murid hendaklah memastikan mereka mempunyai capaian Internet dan menggunakan akaun pengguna yang
telah diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Malah, untuk menjadikan proses PdP lebih menarik
dan interaktif seperti menghasilkan video, guru juga perlu mahir untuk menggunakan aplikasi seperti video
maker. Walaupun pada awalnya guru dan murid mengalami kesukaran, namun lama-kelamaan, alah bisa
tegal biasa. Intihannya, pembelaran secara dalam talian sememangnya mengasah kemahiran TMK guru dan
murid seperti peribahasa belakang parang jika diasah lagikan tajam.
Bertitik tolak daripada itu, pembelajaran secara dalam talian juga dapat mewujudkan suasana
pembelajaran yang kondusif kepada guru mahupun murid. Apabila PdPr dilaksanakan, murid-murid lebih
bebas untuk membuat ulang kaji pelajaran pada bila-bila masa. Sebagai contoh, murid boleh menonton video
pengajaran yang telah dirakam mahupun dimuat naik oleh guru berulang-ulang kali untuk mengukuhkan
kefahaman mereka dalam sesuatu mata pelajaran. Keadaan ini amat berbeza dengan pembelajaran secara
bersemuka kerana jika murid tidak hadir ke sekolah, mereka sukar untuk mendapatkan maklumat tentang
tajuk pengajaran pada hari tersebut. Malah, murid juga tidak terikat dengan pemakaian yang formal apabila
proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Murid bebas mengenakan pakaian yang selesa dan memilih
suasana pembelaran yang meeka inginkan. Dengan adanya suasana pembelajaran yang kondusif, sudah
pasti proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan. Tegasnya, pengajaran dan
pembelajaran secara dalam talian sememangnya membawa banyak kelebihan dengan mewujudkan suasana
pembelajaran yang kondusif.
Bukan itu sahaja, pembelajaran secara dalam talian juga dapat menjadikan sesi pengajaran dan
pembelajaran lebih menarik dan interaktif. Penggunaan pelbagai aplikasi yang disediakan dalam akaun
Delima Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membolehkan guru menyediakan bahan pengajaran yang
menarik dan interaktif. Sebagai contoh, penggunaan aplikasi seperti kahoot, wordwall, liveworksheet dapat
menjadikan pembelajaran lebih menarik kerana murid dapat belajar sambil bermain. Penggunaan aplikasi
tersebut dapat menjadikan murid lebih berminat untuk mengikuti kelas secara atas talian seterusnya
mencapai objektif pengajaran yang diinginkan oleh para guru. Bukan itu sahaja, penggunaan pelbagai aplikasi
yang menarik juga selaras dengan hasrat KPM yang menginginkan pembelajaran Abad ke21. Situasi ini
sesuai dengan peribahasa sambil menyelam minum air kerana bukan sahaja proses pengajaran yang
menarik dapat diadakan, malah hasrat kerajaan yang menginginkan perubahan dalam bidang pendidikan
juga turut berlaku. Tidak boleh dinafikan lagi pembelajaran secara dalam talian membawa pelbagai kelebihan
iaitu menjadikan pembelajaran lebih menarik.
Tuntasnya, pembelajaran secara atas talian membawa pelbagai kemaslahatan kepada murid dan
juga guru. Walau bagaimanapun, keberkesanan pengajaran dan pembelajaran atas talian ini tidak akan
berjaya jika hanya guru sahaja yang berusaha menajayakannya kerana bertepuk sebeleh tangan tidak akan
akan berbunyi. Sehubungan dengan itu, ibu bapa haruslah mengetahui obligasi yang harus dilakukan oleh
mereka agar anak-anak dapat memiliki ilmu. Besarlah harapan agar masyarakat yang celik TMK dan berilmu
pengetahuan dapat terus dilahirkan
509 patah perkataan
10.
Tema Pertanian
Tugasan/ Peranan pelbagai pihak menarik minat golongan muda menceburi bidang pertanian
Fokus
Siapa Pelbagai pihak (Ibu bapa, sekolah, kerajaan)
Format Tidak berformat
Selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sektor pertanian telah berkembang
dengan pesat. Padi, getah, dan kelapa sawit ditanam secara komersial untuk memenuhi keperluan domestik
dan dieksport ke luar negara. Namun begitu, di sebalik perkembangan sektor pertanian ini, tidak ramai
golongan muda yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian. Jika keadaan ini terus
berlaku, negara mungkin mengalami masalah dari segi kekurangan tenaga mahir pada masa akan datang.
Sesungguhnya, usaha yang pragmatik perlu digembleng bagi menggalakkan golongan muda menceburi
bidang pertanian.
Sebagai pembuka tirai perbincangan, ibu bapa menggalas tanggungjwab yang besar dalam
memupuk minat anak-anak dalam bidang pertanian sejak anak-anak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Uswah hasanah yang baik mampu memberikan kesan dalam jiwa anak-anak kerana secara
lumrahnya anak-anak akan selalu mencontohi peri laku ibu bapa mereka. Ibu bapa boleh mengajak anak-
anak bersama-sama bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah untuk mengisi masa lapang. Aktiviti bercucuk
tanam pokok lada di sekitar kawasan rumah menggunakan kaedah hidroponik boleh dimulakan. Hasil
daripada tanaman lada tersebut boleh digunakan dalam masakan dan lebihannya dapat diberikan kepada
jiran yang berdekatan. Pendek kata, minat anak-anak dalam bidang pertanian boleh dipupuk oleh ibu bapa
bermula dari rumah.
Selain ibu bapa, pihak sekolah juga boleh menawarkan kursus Sains Pertanian dan menubuhkan
kelab pertanian di sekolah. Kelebihan kursus Sains Pertanian ini perlu diberitahu kepada murid semasa
mereka ingin membuat pilihan subjek elektif di Tingkatan 4. Kelab Petani Muda boleh ditubuhkan untuk
memberikan galakan kepada pelajar-pelajar yang berminat dalam bidang pertanian walaupun mereka tidak
mengambil mata pelajaran tersebut dalam peperiksaan SPM. Subjek Sains Pertanian dan penubuhan kelab
pertanian ini dapat memberikan pendedahan kepada pelajar berkaitan dengan ilmu pertanian secara teori
dan pratikal seperti teknik penanaman, pengolahan tanaman dan penggunaan baja mengikut cara yang betul.
Tapak pertanian di dalam kawasan sekolah juga perlu disediakan untuk memudahkan murid menjalankan
projek amali. Kesannya, pelajar akan berasa seronok dan mendapat pelbagai ilmu baharu berkaitan pertanian.
Jelaslah bahawa pihak sekolah memainkan peranan penting dalam menyuntik minat bertani dalam kalangan
murid.
Kerajaan turut menyediakan bantuan modal dan kewangan kepada golongan muda yang ingin
menceburi bidang pertanian. Bantuan geran dalam bentuk barangan dan pinjaman dengan kadar faedah
yang rendah dapat dimanfaatkan oleh golongan muda untuk memulakan projek pertanian baharu. Bagi petani
yang sudah mempunyai projek pertanian pula dapat menggunakan bantuan ini untuk meluaskan lagi projek
mereka agar hasil pertanian dapat dioptimumkan. Projek pertanian boleh dilaksanakan secara komersial
untuk memenuhi keperluan pasaran di dalam negara dan dieksport ke luar negara. Bantuan kewangan ini
dapat digunakan untuk petani membeli benih pertanian, menggunakan mesin atau jentera pertanian yang
lebih canggih serta melakukan kajian dan penyelidikan untuk meningkatkan kualiti hasil tanaman.
Akhir kalam, bidang pertanian menjadi penyumbang kepada ekonomi negara. Oleh hal yang demikian,
negara perlu menyediakan lebih ramai tenaga kerja yang mahir yang terdiri daripada golongan muda yang
berfikiran optimistik dalam menjanakan idea-idea baharu bagi merancakkan lagi bidang ini agar lebih berdaya
saing. Sesungguhnya, kerjaya dalam bidang pertanian menjanjikan pulangan yang lumayan bukan sahaja
kepada petani itu sendiri malah ke arah kestabilan ekonomi negara. Golongan muda seharusnya menyahut
seruan kerajaan untuk menceburi bidang ini kerana dayung sudah di tangan, perahu sudah di air.
513 patah perkataan
11.
Tema Kitar Semila
Tugasan / Fokus Kepentingan Amalan Kitar Semula
Siapa Masyarakat / alam sekitar
Format Rencana
Kepentingan Amalan Kitar Semula
Oleh: Faiza binti Adeeb
Pernahkah anda terfikir ke manakah perginya sampah yang kita hasilkan? Tahukah anda bahawa di
seluruh negara, 230 tapak pelupusan sampah telah pun mencapai tahap 80 peratus penggunaannya dan kini
mencapai tahap kritikal. Kitar semula ialah satu proses melibatkan 3R, iaitu “Reduce, Reuse dan Recycle”
(kurangkan, guna semula dan kitar semula) ke atas barangan yang boleh dikitar semula seperti kertas,
barangan kaca, aluminium, logam, plastik dan lain-lain. Oleh itu, kitar semula bahan buangan mendatangkan
pelbagai kebaikan kepada masyarakat dan negara.
Sebenarnya, kitar semula bahan buangan dapat menjimatkan kos. Apabila sistem kitar semula
bertambah cekap, sampah yang perlu dilupuskan akan semakin berkurangan.Hal ini seterusnya akan
memanfaatkan masyarakat dan negara kita kerana caj untuk pelupusan sampah akan dikurangkan.
Walaupun aktiviti pengutipan sampah sekarang memberi peluang pekerjaan kepada sesetengah orang,
namun jika program kitar semula dilaksanakan, lima kali lebih banyak peluang pekerjaan akan tersedia untuk
warga Malaysia. Pendek kata, amalan kitar semula lebih menjimatkan berbanding dengan usaha
menyelenggara tapak pelupusan sampah atau sistem yang lain.
Selain menjimatkan kos, faedah lain yang boleh diperoleh melalui program kitar semula ialah
kerajaan berupaya menangani masalah kekurangan kawasan pelupusan sampah. Masalah kekurangan
kawasan pelupusan sampah perlu ditangani oleh pihak kerajaan kerana secara kasarnya, sebanyak 1.5
kilogram sampah dibuang setiap hari oleh pengguna dan 15 000 tan metrik sampah perlu dibuang dan
dilupuskan dengan betul dan sistematik. Lantaran itu, program kitar semula ini juga dapat menjamin
persekitaran yang lebih sihat dan bersih. Oleh itu, tidak syak lagi bahawa program kitar semula dapat
menyelesaikan masalah sampah yang banyak dan mengurangkan kawasan tapak pelupusan.
Faedah yang diperoleh daripada program kitar semula selain menjimatkan tenaga adalah
mengatasi masalah pencemaran alam yang semakin berleluasa di negara kita. Sisa bahan buang yang
terdiri daripada 27% kertas, 36.5% sisa buangan dari rumah, 3.9% besi, 3.7% kaca, 16.4% plastik dan 12.5%
lain-lain ini akan menyebabkan pencemaran alam sekitar. Kini, masyarakat kita hanya perlu membuang
bahan buangan yang boleh dikitar semula ke dalam tong-tong yang telah disediakan oleh pohak kerajaan
iaitu tong yang berwarna biru untuk kertas, coklat untuk kaca dan oren untuk plastik, aluminium dan logam.
Justeru melalui amalan kitar semula, kita dapat menbantu untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar
demi kesejahteraan hidup.
Faedah lain yang boleh diperoleh daripada Pogram Kitar Semula ialah kitar semula dapat
menjimatkan sumber alam. Program Kitar Semula dikatakan dapat menjimatkan sumber alam kerana kita
dapat menjimatkan kos import bahan mentah. Negara kita mengimport lebih daripada 25 000 tan kertas
buangan setiap bulan untuk menghasilkan produk kertas bagi pengeluaran yang lain. Dengan mengitar
semula kertas, bilangan pokok yang perlu ditebang dapat diminimumkan. Oleh itu, bukan sahaja menjimatkan
sumber alam kita, tetapi juga menyelamatkan hutan dan bahan mineral negara kita yang semakin pupus.
Kesimpulannya, ungkapan “fikir dahulu sebelum buang” memberikan mesej yang jelas kepada kita
supaya berfikir terlebih dahulu sebelum sesuatu dibuang. Hal ini dikatakan demikian kerana barang-barang
yang dikitar semula menjentik komitmen dan kerjasama pihak kerajaan dalam menjayakan program kitar
semula. Mudah-mudahan dengan komitmen yang kita berikan bukan sahaja menjimatkan wang rakyat dan
negara, mengindahkan dan membersihkan persekitaran di negara ini.
505 Patah Perkataan
12.
Tema Integriti
Tugasan / Fokus Cara-cara menerapkan nilai integriti dalam diri
Siapa Diri sendiri / individu
Format Tiada Format
Mauduk tentang integriti tidak pernah sunyi daripada menjadi topik perbincangan yang hangat dalam
pelbagai medium komunikasi di Malaysia kini. Integriti dapatlah ditakrifkan bahawa seseorang individu itu
bertingkah laku berdasarkan prinsip moral dan nilai etika, tanpa mengambil kira, sama ada dilihat ataupun
tidak. Integriti juga berkait rapat dengan kejujuran. Persoalan yang telah menerjah dan menerawang dalam
minda kita ialah apakah cara-cara untuk menerapkan integriti? Oleh hal yang demikian, cara-cara untuk
menerapkan integriti dalam kehidupan remaja akan menjadi fokus perbincangan.
Suatu hakikat yang tidak dapat dikesampingkan ialah didikan agama yang teguh amat penting
untuk menerapkan nilai integriti. Hal ini dikatakan demikian kerana hanya dengan didikan agama yang
teguh, seseorang itu dapat membezakan antara kaca dan permata. Sebagai contoh ketika mereka menjawab
peperiksaan, mereka akan bersikap jujur, dan tidak akan meniru. Sememangnya tidak dinafikan lagi didikan
agama merupakan perisai paling ampuh untuk menghindari seseorang daripada melakukan sesuatu
kejahatan. Oleh itu, jelaslah bahawa dengan didikan agama yang teguh dapat menerapkan integriti dalam
sanubari dan kehidupan seseorang insan supaya kita sentiasa berada pada landasan yang betul.
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa, sebagai pelajar, kita perlulah sentiasa
mematuhi peraturan sekolah dan berdisiplin. Hal ini dikatakan demikian kerana, kita tidak boleh
melanggar peraturan sekolah sesuka hati seperti ponteng sekolah, lewat ke sekolah, meniru dalam
peperiksaan, bergaduh dengan rakan. Dalam konteks ini, kita perlu bertanggungjawab dan memegang
amanah ibu bapa. Hal ini dikatakan demikian kerana kita merupakan cerminan kepada ibu bapa kita.
Tegasnya, sentiasa mematuhi peraturan sekolah dan berdisiplin adalah cara dan asas untuk menerapkan
integriti dalam kehidupan.
Seterusnya, perbincangan kita beralih pula pada tugas sebagai pelajar iaitu sentiasa mempelajari,
menghayati nilai-nilai murni yang diterapkan dalam pembelajaran terutamanya dalam subjek
Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Sebagai contoh dalam subjek Pendidikan Islam kita dididik sedari
kecil bahawa Allah itu maha melihat, dan maha mendengar. Oleh itu, sekiranya subjek-subjek ini diberikan
fokus, sudah pasti kita dapat mempraktikkan integriti dalam kehidupan kerana perkara ini telah dipasakkan
dari usia setahun jagung lagi. Izharlah, cara untuk menerapkan integriti adalah dengan mempelajari subjek-
subjek tersebut secara lebih mendalam ketika di dalam kelas.
Perbincangan kita telah sampai ke puncak, cara terakhir adalah dengan sentiasa berketerampilan
positif. Pemimpin tersohor Indonesia Soekarno pernah berkata “ berikan aku sepuluh anak muda nescaya
akan kugoncangkan dunia”. Begitulah kepentingan generasi muda pada mata pemimpin dunia. Sebagai
contoh jika dilantik menjadi pengawas sekolah, remaja perlu amanah,jujur dan telus ketika bertugas. Kita
tidak boleh bersifat berat sebelah kepada rakan-rakan yang baik dengan bersikap membutakan mata dan
memekakkan telinga jika rakan baik melakukan kesalahan. Sudah terang lagi bersuluh bahawa cara untuk
menerapkan integriti dalam kehidupan adalah dengan berketerampilan positif sebagai pemimpin.
Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan jelaslah bahawa integriti sangat penting dan
perlu diterapkan dalam diri setiap individu. Usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak untuk
mengukuhkan kefahaman tentang integriti. Jika semua pihak berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki,
ke lurah sama dituruni, sudah pasti nilai integriti akan dapat diterapkan dengan jayanya. Sewajarnya kita
melakukan anjakan paradigma untuk menerapkan dan memasakkan nilai integriti dalam sanubari tunas-
tunas muda harapan tanah air tercinta.
500 patah perkataan
13.
Tema Bidang pertanian
Tugasan / Fokus Cara-cara memupuk minat remaja dalam bidang pertanian
Siapa Pihak sekolah
Format Tiada format
Pada era globalisasi ini, sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang penting dan mendapat
tumpuan dalam perdagangan dunia kerana sektor ini merupakan pembekal makanan dan sumber bahan
mentah kepada penduduk di dunia. Di Malaysia, sektor pertanian amat penting dan meyumbang lima peratus
kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ramai dalam kalangan masyarakat kita masih tidak peduli
tentang sektor pertanian ini, wahal sektor ini mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan. Oleh itu,
pelbagai langkah awal sewajarnya diambil bermula di alam persekolahan lagi kerana kalua hendak melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Murid-murid perlu diberi pendedahan dan didikan tentang aktiviti pertanian
supaya dapat membuka mata mereka tentang kepentingannya. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang
boleh dilakukan oleh pihak sekolah untuk menggalakkan murid- murid meminati aktiviti pertanian?
Usaha yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah ialah pihak sekolah boleh mewujudkan Kelab Sains
Pertanian sebagai salah satu persatuan dalam unit kokurikulum. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui
kewujudan persatuan ini dapat membuka peluang murid-murid mengenali bidang pertanian dengan lebih
dekat. Bukan itu sahaja, mereka berpeluang melakukan sendiri pelbagai aktiviti yang berkaitan bidang
pertanian ini. Misalnya, melakukan proses penanaman secara hidroponik, berpeluang membersihkan kolam
ikan di kawasan sekolah, dan menguruskan taman pertanian di kawasan sekolah. Hal ini sudah pasti akan
meningkatkan minat mereka dalam bidang pertanian. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kewujudan Kelab
Sains Pertanian di sekolah merupakan inisiatif yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah untuk menarik minat
murid dalam bidang pertanian.
Selain itu, pihak sekolah juga perlu mewujudkan subjek Sains Pertanian sebagai subjek elektif di
sekolah. Hal ini dapat menyemai minat generasi muda dalam bidang pertanian. Subjek ini bukan sahaja
memberi pendedahan tentang pertanian moden secara teori malahan memberi peluang murid-murid
melaksanakan latihan amali. Pemupukan minat yang bermula dari sekolah secara tidak langsung menarik
minat murid untuk menjadikan bidang pertanian sebagai kerjaya mereka pada masa akan datang. Bidang
pertanian pada hari ini dilihat sebagai satu kerjaya yang sangat penting dan diperlukan oleh negara bagi
mengurangkan kebergantungan negara kepada pengimportan sumber makanan dari negara luar.
Berdasarkan penerangan di atas, jelaslah bahawa subjek Sains Pertanian wajar diwujudkan di sekolah
sebagai langkah menarik minat murid meminati bidang pertanian.
Di samping itu, usaha lain yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah adalah dengan mengadakan
lawatan ke tempat yang berkaitan dengan bidang pertanian. Pihak sekolah boleh menjalinkan kerjasama
dengan pihak yang berkaitan dengan bidang pertanian seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke tempat mereka.
Antara aktiviti yang boleh dijalankan sepanjang lawatan ialah simulasi penanaman organik yang tidak
menggunakan baja dan racun kimia, lawatan ke kolam ikan, kebun sayur dan sebagainya. Lawatan ini secara
tidak langsung dapat mengubah persepsi mereka bahawa pertanian itu bukanlah hanya kerja orang kampung
atau golongan bawahan tetapi pertanian itu telah dikomersialkan. Situasi ini sudah pasti dapat menerbitkan
minat murid dengan lebih mendalam terhadap bidang pertanian seperti peribahasa tak kenal maka tak cinta.
Tuntasnya, pelbagai usaha perlu dilakukan sejak dari awal lagi untuk memupuk minat murid-murid
terhadap bidang pertanian. Murid-murid inilah yang akan menjadi penerus kepada perkembangan sektor
pertanian negara pada masa hadapan. Kita hendaklah mengambil cakna tentang isu ini dan bekerjasama
bagai aur dengan tebing agar bidang pertanian terus menjadi pilihan generasi muda pada masa hadapan.
Sekiranya usaha-usaha ini dilaksanakan, saya yakin hasrat kerajaan untuk meningkatkan sumber pertanian
negara akan tercapai.
517 patah perkataan
14. Sukan
Tema Persediaan untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi
Tugasan / Fokus Pelbagai pihak (atlet, kerajaan)
Siapa Tiada format
Format
Peribahasa ada menyatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan yang bermaksud
bahawa jika seseorang memiliki azam dan kesungguhan untuk melakukan sesuatu, dia pasti boleh
melakukannya dengan cemerlang. Demikian juga dengan isu atlet bertaraf dunia. Atlet bertaraf dunia
dianggap sebagai atlet yang telah mengharungi perlawanan peringkat antarabangsa dan mencatatkan nama
antara atlet pilihan dalam pertandingan berprestij. Antara contoh atlet bertaraf dunia ialah Datuk Lee Chong
Wei dalam sukan badminton, Datuk Azizulhasni Awang dalam sukan lumba basikal dan Pandalela Rinong
dalam sukan akuatik. Mereka bukan sahaja cemerlang membawa pingat untuk negara malah terkenal dalam
saingan antarabangsa. Persoalannya, apakah persediaan yang perlu dilakukan oleh seseorang untuk
menjadi atlet bertaraf dunia?
Sebagai lontaran idea saya yang pertama, persediaan yang perlu dilakukan untuk menjadi atlet
bertaraf dunia adalah dengan menjalani latihan secara intensif dan konsisten. Hal ini dikatakan demikian
kerana latihan yang bersungguh-sungguh sudah tentu akan menjadikan atlet bertambah mantap serta
berkualiti tinggi. Dalam hal ini, atlet biasa perlu menjalani pelbagai bentuk latihan secara konsisten melalui
jurulatih yang telah dipilih. Antara contoh latihan intensif termasuklah tempoh latihan yang perlu dipanjangkan
di samping mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan yang setanding atau lebih kuat.
Impaknya, kualiti atlet akan dapat dipertingkat di samping atlet lebih bersedia untuk menghadapi cabaran
peringkat antarabangsa.
Dilihat dari perspektif berbeza, persediaan seterusnya bagi menjadi atlet bertaraf dunia adalah
dengan persediaan infrastruktur sukan bertaraf dunia. Hal ini dianggap demikian kerana latihan yang
dijalankan dengan infrastruktur terkini serta peralatan yang maju akan mampu membentuk atlet yang boleh
bersaing di peringkat dunia. Dalam situasi ini, pihak kerajaan hendaklah menyediakan peralatan sukan yang
terkini di samping kemudahan sukan yang diiktiraf oleh dunia. Sebagai contoh, gelanggang velodrome di Nilai
dan Kompleks Sukan Bukit Jalil. Bukan sahaja lokasi latihan ini dianggap bertaraf dunia, malah peralatan
yang disediakan juga tidak kurang hebatnya dengan negara-negara lain. Atlet yang menggunakan
kemudahan sedemikian pastilah dapat melonjakkan nama negara.
Ditinjau dari sudut yang lain, persediaan berikutnya yang perlu dilakukan untuk menjadi atlet bertaraf
dunia adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Hal ini dikatakan demikian kerana gaya hidup sihat
bakal menjadi penentu prestasi atlet di persada antarabangsa. Bagi mencapai matlamat ini, seseorang atlet
perlu konsisten mengamalkan gaya hidup sihat agar dapat mengekalkan momentum dan prestasi pada tahap
terbaik. Sebagai contoh, atlet hendaklah mengamalkan pemakanan seimbang di samping menjalani
pemeriksaan kesihatan secara berkala dan bersenam setiap hari sama ada pagi atau petang. Natijahnya,
atlet tersebut akan dapat mempamerkan persembahan terbaik sekali gus mampu menandingi atlet luar
negara dan mencapai status atlet bertaraf dunia.
Sebagai konklusinya, sudah terang lagikan bersuluh terdapat pelbagai persediaan yang perlu
dilakukan oleh atlet agar dapat dinobatkan sebagai atlet bertaraf dunia. Oleh hal yang demikian, atlet negara
hendaklah berusaha gigih tanpa mengenal erti lelah dalam mencapai tahap terbaik dalam kerjaya mereka
agar dapat bersaing dengan atlet luar negara. Pada masa yang sama, pihak kerajaan wajarlah menyokong
atlet negara dengan menyediakan infrastruktur serta prasarana sukan yang berupaya melonjakkan prestasi
mereka di pentas antarabangsa. Jika perkara ini dapat dijayakan dengan sebaik-baiknya, sudah tentu hasrat
negara melahirkan barisan atlet sukan bertaraf dunia dan digeruni akan menjadi realiti, bukan sekadar
hangat-hangat tahi ayam.
496 patah perkataan
15.
Tema Amalan Membaca
Tugasan / Fokus Peranan Pelbagai Pihak Untuk Memupuk Amalan Membaca
Siapa Pelbagai Pihak (Ibu bapa, sekolah, media massa)
Format Tidak berformat
Abad ke-21 telah menyaksikan negara Malaysia berjaya duduk sama rendah, berdiri sama
tinggi dengan negara-negara maju di serata dunia. Pada realitinya, tabiat atau budaya membaca dalam
kalangan masyarakat masih berada pada takuk lama. Oleh hal yang demikian, seluruh strata
masyarakat harus memerah otak dan keringat untuk merungkai kemelut ini. Memang tidak disangkal
bahawa pelbagai pihak berperanan vital untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup seseorang.
Persoalannya, apakah peranan yang harus digalas oleh pelbagai pihak untuk memupuk amalan membaca?
Norman Vince Pale pernah mengatakan bahawa masalah itu tanda kehidupan. Kata- kata hikmat
tersebut menunjukkan bahawa setiap kemelut tentu mempunyai jalan penyelesaiannya. Kupasan
dominan akan ditinjau dari kaca mata penyertaan dalam Program NILAM. Pihak Kerajaan menerusi
Kementerian Pendidikan Malaysia telah berusaha untuk menanam minat membaca dalam kalangan
pelajar melalui Program nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM). Sejajar dengan itu, untu mencapai
kecemerlangan dalam program NILAM, setiap individu perlu menyemai minat membaca untuk mendalami
ilmu dan meluaskan horizon pemikiran.
Sebelum retak menanti belah, sebelum bisul menjadi nanah, jika kita bersedia memerah
minda dan keringat tentu ada formula penyelesaian. Huraian di atas akan dibugarkan dari perspektif
penyediaan sudut bacaan di rumah atau bilik sendiri. Demi memupuk budaya membaca dalam sanubari
seseorang, ibu bapa perlu menyediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di rumah.
Sementelahan itu, ibu bapa perlu membeli pelbagai buku yang mempunyai judul bervariasi dan sesuai
untuk dibaca di samping mengamalkan budaya “bed story”. Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa perlu
memupuk amalan membaca dalam diri setiap anak sekali gus menjadi uswah hasanah kepada anak-
anak mereka.
“Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka”, memetik kata-kata mutiara Andelucia Longbotton,
seorang ahli sains dan matematik Barat, terdapat pelbagai cara yang berkesan dan ampuh dalam
mengatasi kemelut kekurangan minat membaca dalam kalangan masyarakat. Sebagai kesinambungan
perbincangan segenap masyarakat seharusnya memanfaatkan setiap detik dengan amalan membaca
bahan ilmiah. Membaca bahan- bahan ilmiah perlu dijadikan satu hobi tanpa ada batas masa dan lokasi.
Secara tidak langsung, budaya membaca akan sebati dalam diri setiap masyarakat. Deduksinya,
mengamalkan pembacaan bahan ilmiah setiap hari merupakan cara yang terbaik untuk menyemai subur
amalan membaca dalam kalangan masyarakat.
Memang tidak dapat disangkalkan bahawa negara kita sedang menongkah arus globalisasi yang
melanda seantero dunia. Oleh hal yang demikian, untuk merealisasikan hasrat membentuk ‘negara
pembaca teras negara maju’, media massa juga berperanan penting dalam menyahut cabaran
negara supaya menjadi wahana merangsang minat membaca. Pada dasarnya, media massa sebagai
medium dominan sama ada media cetak atau media elektronik mengadakan pertandingan atau aktiviti
malahan kempen kesedaran. Oleh hal yang demikian, media massa perlu merencanakan aktiviti seperti
sayembara, menulis esei, dan syarahan untuk menanam tabiat membaca. Hal ini dapat mewujudkan
situasi serampang dua mata kerana dapat menjalinkan hubungan silaturahim serta mendapat info terkini.
Perbincangan saya tentang mauduk di atas sudah meniti ke puncaknya maka sebagai akhir kalam,
amalan membaca mendatangkan pelbagai faedah dan kemaslahatan kepada seseorang. Sekiranya
usaha-usaha yang pragmatik dilakukan oleh semua pihak untuk menjadikan membaca sebagai amalan
hidup, pasti Malaysia terus terbilang di persada dunia. Deduksinya, segenap lapisan masyarakat perlu
menjayakan dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengamalkan budaya membaca kerana golongan
intelektual merupakan tulang belakang sesebuah negara.
507 patah perkataan
16. Peranan belia
Peranan belia untuk memajukan dan membangunkan negara
Tema Saya / kita
Tugasan / Fokus Tidak berformat
Siapa
Format
Dasar Pembangunan Belia Negara mentakrifkan bahawa belia ialah orang yang berumur
dalam lingkungan 15 tahun hingga 40 tahun. Hal ini membuktikan bahawa golongan belia merupakan
penduduk majoriti yang menjadi aset negara untuk menggalas cabaran yang bakal dipikul oleh negara
pada masa akan datang. Persoalan yang berlegar-legar dalam benak pemikiran saya ialah apakah
peranan golongan belia untuk membangunkan dan memajukan negara kita? Oleh itu, sumbangan
saya untuk membentuk sebuah negara bangsa yang utuh dalam menghadapi cabaran globalisasi
akan menjadi fokus dominan perbincangan ini.
Sebagai cetusan minda yang pertama, peranan signifikan sebagai seorang belia ialah saya
perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan akademik. Kecemerlangan
intektual merupakan salah satu elemen yang penting untuk melahirkan pemimpin negara yang
berkualiti demi menjamin masa hadapan negara yang cerah. Sehubungan dengan itu, saya perlu
proaktif menimba ilmu melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku dan melayari maklumat di
dunia maya. Peribahasa ikut hati mati, ikut rasa binasa akan sentiasa tersemat di sanubari saya
untuk mengekang anasir negatif. Selain itu, saya juga akan melengkapkan diri dengan kemahiran
yang diperlukan serta bersiap siaga menghadapi cabaran globalisasi. Lantaran itu Malaysia akan
menjadi sebuah negara yang tersohor di dunia kerana keterlibatan belia dalam penyelidikan.
Namun demikian, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin
pembangunan negara jika generasi muda seperti saya tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental
yang seimbang. Generasi muda yang ingin membangunkan negara perlu memiliki kekuatan fizikal
dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh dengan kompetitif,
muda-mudi negara perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri. Untuk mencapai
kesihatan fizikal dan mental, saya patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan
diri dan persekitaran, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak,
merokok, kegiatan maksiat, najis dadah kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk
padahnya. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan rakyat sihat, negara maju. Jadi, muda-mudi yang
sihat dari segi mental dan fizikal sangat penting untuk menjayakan misi dan visi negara.
Jika ditinjau dari perspektif yang lain pula, etika dan keluhuran personaliti sebagai belia yang
berkualiti juga menjadi asas kemajuan sesebuah negara. Golongan muda harus disuntik ajaran
agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini dikatakan
demikian kerana pemimpin yang baik wajar bersikap terbuka dan dapat menerima teguran demi
kemaslahatan negara. Sebagai contohnya, saya mestilah sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan
taat setia kepada negara tercinta agar semua rakyat hidup bersatu padu di bawah satu bumbung.
Sifat keterbukaan golongan muda yang belum keras ubun-ubunnya dapat memudahkan mereka
menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negaranya. Dengan kata lain, golongan belia
haruslah bersahsiah mulia dan berbudi bahasa supaya negara bangsa yang utuh dapat dibentuk.
Sebagai penutup wacana, semua belia termasuklah saya perlu memikul obligasi masing-
masing untuk membangunkan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Hanya
remaja dan belia yang berkualiti akan berupaya memangkinkan kecemerlangan negara. Jika mereka
tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan didikan yang sempurna, tidak mustahil segala aspirasi
negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, sebagai belia
tunggak negara, sumbanglah walau sebesar zarah sekalipun asalkan sumbangan itu dapat memberi
manfaat kepada pembangunan ibu pertiwi yang disayangi kerana di mana ada kemahuan, di situ pasti
ada jalannya.
505 patah perkataan
17.
Tema Bidang teknik dan vokasional
Tugasan / Fokus Kelebihan mempelajari bidang teknik dan vokasional
Siapa Murid
Format Tidak berformat
Peribahasa ada menyatakan bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat
sagunya yang bermaksud bahawa usaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti penat dan
lelah akhirnya akan membuahkan hasil yang berharga dalam kehidupan. Demikian juga dengan
ilmu dalam bidang Pendidikan Teknik dan Vokasional atau dikenali sebagai TVET. Bidang
yang sering kali dipandang enteng dan dianggap kelas kedua ini hakikatnya mempunyai pelbagai
kelebihan standing dengan ilmu akademik yang lain. Antara contoh ilmu dalam bidang TVET
termasuklah Reka Bentuk Teknologi, Perakaunan dan Sains Pertanian. Dahulu, bidang TVET
sering dianggap sebagai kurang popular berbanding bidang Sains dan Matematik. Namun kini,
bidang TVET semakin digemari seiring dengan Revolusi Industri 4.0 yang sedang mendominasi
dunia. Persoalannya, apakah kelebihan mempelajari bidang Teknik dan Vokasional?
Sebagai lontaran idea saya yang pertama, kelebihan mempelajari bidang Teknik dan Vokasional ialah
mewujudkan budaya berfikiran inovatif serta kreatif. Hal ini dikatakan demikian kerana bidang TVET
dipenuhi pelbagai topik dan aktiviti yang memerlukan kebolehan berfikir secara kreatif di samping
keupayaan mencipta produk. Sebagai contoh, mata pelajaran RBT menekankan aspek menghasilkan
produk inovatif yang mampu menyelesaikan masalah dengan kos yang rendah manakala subjek seperti
Sains Rumah Tangga menggalakkan pelajar untuk berfikir secara kreatif dalam urusan hidup seharian.
Pelajar yang mempelajari bidang ini sudah tentu akan membudayakan pemikiran kreatif dan inovatif di
samping cekap menyelesaikan masalah. Tegasnya, mempelajari bidang TVET membantu usaha
mewujudkan budaya berfikiran inovatif serta kreatif.
Dilihat dari perspektif berbeza, bidang TVET juga membantu seseorang untuk menjana pendapatan
melalui perkhidmatan kemahiran. Umum mengetahui bahawa aliran pendidikan yang lain seperti Sains dan
Matematik atau bidang Bahasa menjanjikan laluan kerjaya yang berbeza dan berada dalam kelas tertentu.
Namun, individu yang mempelajari bidang TVET bukan sahaja boleh bekerja dengan menerima gaji
daripada orang lain malah mereka juga boleh menjana pendapatan sendiri melalui perkhidmatan yang
ditawarkan. Sebagai contoh, seseorang pelajar yang menguasai bidang kemahiran Elektrik dan Elektronik
boleh menawarkan perkhidmatan memasang wayar di rumah kediaman atau premis perniagaan. Hal ini
sudah tentu boleh menjana pendapatan tambahan kerana kemahiran tersebut tidak dimiliki oleh orang lain.
Jelaslah bahawa menjana pendapatan tambahan merupakan salah satu kelebihan bidang TVET.
Peribahasa ada menyatakan bahawa ‘di mana ada gula, di situ ada semut’ yang bermaksud ramai
pekerja akan datang dan bekerja di lokasi-lokasi yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan. Demikian
juga dengan pekerja asing yang datang ke negara kita untuk bekerja dalam pelbagai sektor seperti
pembuatan dan perindustrian. Sekiranya Pendidikan TVET dijadikan keutamaan pelajar, sudah tentu
pergantungan terhadap pekerja asing boleh dikurangkan. Hal ini kerana Pendidikan TVET mampu
membantu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh negara. Contohnya, sektor
pembuatan yang didominasi oleh pekerja asing boleh dipenuhi oleh warga kerja tempatan yang mempunyai
tahap kemahiran yang sama hasil daripada Pendidikan TVET. Bukankah hal ini lebih menguntungkan
negara?
Sebagai konklusinya, sudah terang lagikan bersuluh terdapat pelbagai kelebihan mempelajari bidang
Teknik dan Vokasional. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan wajar terus memperkasa bidang TVET
seiring dengan bidang-bidang akademik yang lain agar dipandang tinggi oleh masyarakat. Pada masa yang
sama, para pelajar dan ibu bapa seharusnya membuang tanggapan negatif terhadap bidang TVET dengan
melihat potensinya pada masa hadapan . Sekiranya perkara ini dapat dijayakan dengan baik, sudah tentu
hasrat melahirkan warganegara yang menguasai pelbagai kemahiran dan berinovasi tinggi akan dapat
direalisasi, bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.
496 patah perkataan
18. Hari Bumi
Tema Permohonan untuk kelulusan sambutan program Hari Bumi peringkat
Tugasan / Fokus sekolah daripada pengetua
Siapa Setiausaha kelab
Format Surat Kiriman Rasmi
Kelab Alam Sekitar,
SMK Dato Darwis,
Jalan Abdul Samad,
80100 Johor Bahru.
Pengetua, 1 APRIL 2021
SMK Dato Darwis,
Jalan Abdul Samad,
80100 Johor Bahru.
Tuan,
Permohonan Kebenaran Penganjuran Program Sambutan Hari Bumi
Merujuk perkara di atas, Kelab Alam Sekitar SMK Dato Darwis berhasrat untuk mengadakan Program
Sambutan Hari Bumi peringkat SMK Dato Darwis pada 22 April 2021. Program ini telah diterima
sebulat suara dalam mesyuarat ahli jawatankuasa Kelab Alam Sekitar.
2. Untuk makluman pihak tuan, program ini dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran dalam
kalangan warga sekolah untuk melindungi bumi. Hal ini dikatakan demikian kerana masalah
pencemaran alam sekitar seakan-akan tidak menemukan titik noktah. Oleh itu, Kelab Alam Sekitar
berharap agar usaha kecil ini mampu menyemai semangat cinta akan alam sekitar dalam kalangan
warga SMK Dato Darwis pada peringkat awal.
3. Berdasarkan keputusan mesyuarat, kami telah sebulat suara untuk melaksanakan program 10
minit tanpa elektrik serentak di 193 buah negara tepat jam 10.00 pagi. Aktiviti ini sebagai tanda
sokongan kepada penggunaan teknologi hijau. Selain itu, pertandingan kraf tangan daripada bahan
terbuang dan pertandingan video bertemakan alam sekitar turut diadakan. Usaha ini dapat
meningkatkan kesedaran terhadap amalan kitar semula dan mengasah kreativiti murid.
Akhir kata, kami berharap agar permohonan ini mendapat pertimbangan yang sewajarnya daripada
pihak tuan. Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Harun
(Harun Bin Hassan)
Setiausaha Kelab Alam Sekitar
SMK Dato Darwis Johor Bahru
172 patah perkataan
18.
Kementerian Perpaduan Negara telah menggubal dasar perpaduan negara untuk memperkukuh
perpaduan dan integrasi nasional di negara ini. Dasar ini telah menetapkan tiga objektif utama iaitu
mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan serta
Rukun Negara, membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi,
saling menghormati dan bertanggungjawab serta melahirkan rakyat menghargai dan mengamalkan
perpaduan.
Dipetik dan diubah suai daripada
Berita Harian Online, 10 Mac 2021
Keratan akhbar di atas menerangkan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan
perpaduan rakyat berbilang kaum di Malaysia terus terpelihara. Pelbagai pihak haruslah berganding
bahu untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Sehubungan dengan itu,
anda dikehendaki menulis sebuah rencana tentang “Usaha-usaha memupuk perpaduan kaum”.
Tulis rencana tersebut selengkapnya.
Analisis Soalan
Tema Perpaduan
Tugasan / Fokus Usaha-usaha mempupuk perpaduan
Siapa Pelbagai pihak (Ibu bapa, sekolah, kerajaan)
Format Rencana
Usaha-usaha memupuk perpaduan kaum
Oleh: Zaleha bt Amin
Dalam mengharungi arus globalisasi, kita seyogia memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia
bagi mengelakkan berlakunya rusuhan kaum. Variasi kaum haruslah bergerak sederap bagai aur
dengan tebing sebagai satu sinergi menuju negara maju. Sinergi daripada semua pihak perlu
berganding bahu melakukan usaha-usaha yang proaktif dan efektif amat diharapkan dalam
merealisasikan aspirasi rakyat seantero Malaysia. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang boleh
dilaksanakan bagi mempererat perpaduan rakyat di Malaysia?
Usaha yang efisien dilaksanakan kerajaan dalam merealisasikan perpaduan kaum adalah
mengadakan majlis rumah terbuka peringkat kebangsaan. Hal ini bertujuan untuk menyambut
perayaan kaum utama Malaysia. Menurut Perdana Menteri, konsep Satu Malaysia dapat dijayakan
melalui majlis sebegini. Semasa kerajaan mengadakan majlis rumah terbuka, sarwajagat negara kita
yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Iban, Bidayuh dan sebagainya memberi
komitmen yang tinggi. Mereka menghadirkan diri dan dapat memperkasakan hubungan antara kaum di
Malaysia. Tuntasnya, konsep yang diterapkan dalam rumah terbuka dapat menzahirkan hasrat
mengeratkan perpaduan kaum kerana ‘bersatu teguh, bercerai roboh’.
Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong
yang memerlukan setiap kaum mengambil bahagian. Cara ini dapat memupuk semangat saling
membantu antara satu sama lain dengan menghapuskan sikap individualistik dan materialistik yang
tertanam di dalam jiwa masyarakat kini. Impaknya, hubungan erat dalam kalangan masyarakat secara
maksimum dapat dilahirkan. Pendek kata, gotong-royong dapat menjadi wadah yang terbaik bagi
memupuk semangat perpaduan yang perlu ada dalam diri setiap rakyat seiring dengan hasrat negara
untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu walaupun berlainan bangsa mahupun agama.
Sekiranya isu ini diperinci secara mendalam, pihak sekolah telah mewajibkan
semua murid menyertai aktiviti kokurikulum. Melalui aktiviti kokurikulum setiap murid perlu
melibatkan diri dalam aktiviti kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta unit beruniform. Secara
tidak langsung aktiviti kokurikulum mampu menyemai semangat kerjasama dalam kalangan murid-murid
dari peringkat sekolah rendah lagi. Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum ini sejajar dengan program
yang diperkenalkan iaitu Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan (RIMUP) yang sememangnya
bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam sanubari murid. Sebagai contoh, murid
berbilang kaum berpeluang untuk bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam aktiviti perkhemahan
tahunan. Sesungguhnya, tidak dapat disangkal bahawa aktiviti kokurikulum dapat membentuk
perpaduan kaum di peringkat akar umbi lagi..
Sejajar dengan konteks perbincangan seterusnya, nilai murni menjadi tunjang dalam
mempererat perpaduan rakyat Malaysia. Sikap saling menghormati sesama masyarakat mewujudkan
suasana yang aman dan tenang dalam jiwa warga Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana sikap
hormat-menghormati melahirkan individu yang bersopan santun, baik hati dan berhemah tinggi. Dalam
hal ini kita akan menghormati budaya, adat, dan agama kaum lain terutamanya. Rentetan itu
persefahaman akan wujud sehingga membawa kepada kerjasama yang erat antara kaum sesuai
dengan peribahasa Melayu sepakat membawa berkat.
Kesimpulannya, dapatlah disimpulkan bahawa keamanan dan kemakmuran sesebuah negara
perlulah bergantung kepada perpaduan kaum di Malaysia. Perpaduan kaum merupakan medium agar
Malaysia dapat mengorak langkah menuju ke arah pembentukan negara bangsa dan menjadi sebuah
negara yang mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Rakyat ialah
aset negara yang paling bernilai dalam pembinaan negara demi kelangsungan sebuah negara bangsa.
502 Patah Perkataan
19.
Tema Patriotik
Tugasan / Fokus Cara mempamerkan semangat patriotik
Siapa Saya / diri sendiri
Format Tiada format
Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup,
Bersatu dan maju,
Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita,
Selamat bertakhta.
Lirik lagu "Negaraku" di atas mempunyai maksud yang jelas bahawa rakyat Malaysia perlu
membuktikan perasaan cinta akan negara. Malaysia pernah dijajah oleh penjajah namun sebab
kebijaksanaan dan semangat cinta akan negara serta berbekalkan jiwa yang kental akhirnya negara
kita bebas daripada belenggu penjajahan. Nama-nama pejuang negara terdahulu seperti Tok
Janggut , Mat Kilau, Mat Salleh, Rentap, Dato’ Maharaja Lela dan Dol Said amat saya sanjungi.
Mereka telah mengorbankan jiwa raga atas dasar sayang akan negara dan bersinergi untuk melihat
negara Malaysia merdeka. Oleh sebab itu, sebagai warganegara Malaysia, saya perlu menunjukkan
rasa bangga akan negara tercinta. Persoalannya, apakah cara yang boleh saya lakukan untuk
menunjukkan rasa bangga akan negara tercinta?
Sebagaimana yang kita sedia maklum pada tanggal 31 Ogos setiap tahun, ketibaan tarikh
berkenaan dengan mengadakan sambutan hari kemerdekaan negara. Situasi ini menuntut diri saya
untuk turut serta memeriahkan dan menyambut hari istimewa ini. Contohnya, setiap tahun warga
sekolah diwajibkan mengadakan program hari kemerdekaan negara dan saya tidak akan
ketinggalan untuk memeriahkan sambutan hari kemerdekaan berkenaan walaupun kini
menerusi medium dalam talian. Saya boleh membantu menceriakan kelas dengan mengibarkan
bendera Malaysia, melukis poster bertemakan hari kemerdekaan dan terlibat dengan pertandingan
mendeklamasi sajak kemerdekaan. Saya akan membantu pihak sekolah menjayakan program hari
kemerdekaan. Sudah terang lagi bersuluh bahawa sebagai seorang warganegara, saya akan turut
serta memeriahkan sambutan tersebut.
Secara realiti, saya perlu menunjukkan perasaan cinta terhadap negara dengan menuntut
ilmu yang bermanfaat untuk memacu kemajuan negara tercinta. Saya akan memastikan diri saya
mempunyai ilmu yang cukup untuk meneruskan kepemimpinan negara. Oleh sebab itu, saya
bertekad agar negara yang saya cintai ini mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi seperti
negara-negara maju. Saya akan belajar bersungguh-sungguh dan berjaya dengan cemerlang dalam
peperiksaan seterusnya dapat melanjutkan pengajian ke menara gading. Tiada yang mustahil jika
saya berusaha bersungguh-sungguh kerana berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,
bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Tegasnya, saya akan sentiasa menuntut ilmu
dan menjadi pelajar berminda kelas pertama sebagai wahana untuk memacu kemajuan negara
tercinta.
Seterusnya, sebagai seorang warganegara yang bersahsiah terpuji, saya perlu akur dan
mematuhi undang-undang negara. Sebagai contoh, di negara kita terdapat pelbagai undang-undang
yang perlu saya patuhi seperti undang-undang jalan raya, undang- undang beragama, undang-
undang berkait dengan tanah, undang-undang berpolitik, dan sebagainya. Sebagai seorang
warganegara yang tinggal di negara yang menjalankan sistem perundangan demokrasi dan raja
berperlembagaan saya perlu akur dengan sistem perundangan kerajaan semasa. Sudah terang lagi
bersuluh bahawa sebagai seorang warganegara yang bersahsiah terpuji saya perlu akur dan
mengikuti undang-undang negara yang digubal oleh pemimpin kerajaan semasa untuk menunjukkan
saya cinta akan negara.
Kesimpulannya, sebagai anak watan yang akan menerajui pucuk kepemimpinan negara
pada masa hadapan, saya perlu sehati sejiwa dan sederap melangkah dengan semangat patriotik
yang tinggi. Kini tibalah masanya untuk saya berbakti kepada negara tercinta bagi memastikan
kemerdekaan negara terus berkekalan dan kedaulatan negara tidak terjejas. Saya tidak akan sama
sekali menanyakan sumbangan negara kepada saya sebaliknya saya akan memikirkan sumbangan
saya terhadap tanah air tercinta iaitu Malaysia.
502 patah perkataan
20. Pendidikan Jasmani dan kesihatan
Kepentingan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan
Tema Murid
Tugasan / Fokus Tiada format
Siapa
Format
Peribahasa ada menyatakan bahawa berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersusah-susah
dahulu, bersenang-senang kemudian yang bermaksud bahawa usaha menuntut ilmu bersungguh-sungguh
akhirnya akan membuahkan hasil yang bernilai pada masa depan. Demikian juga dengan ilmu Pendidikan
Jasmani dan Kesihatan. Ilmu ini amat penting dalam kehidupan seseorang murid lantaran pelbagai manfaat
yang bakal diperoleh. Antara contoh aktiviti PJPK ialah bermain bola sepak, olahraga dan mempelajari amalan
pemakanan seimbang. Dahulu, mata pelajaran PJPK tidak begitu diberi perhatian kecuali sebagai aktiviti
bermain-main di padang. Namun kini, PJPK diberi nafas baharu dengan tambahan pelbagai aktiviti yang
kreatif dan penekanan terhadap kesihatan. Persoalannya, apakah kepentingan mata pelajaran PJK kepada
murid?
Kepentingan prima mata pelajaran PJK ialah meningkatkan kesihatan fizikal dan mental. Hal ini dikatakan
demikian kerana wujud pelbagai aktiviti berbentuk fizikal yang menggalakkan kesihatan dan kecergasan
dalam mata pelajaran PJK. Realiti ini boleh dilihat dengan cara guru-guru PJPK menjalankan aktiviti berunsur
fizikal serta berfokuskan kecergasan dan senaman. Sebagai contoh, guru PJPK membawa pelajar untuk
bermain sepak takraw, badminton serta permainan hoki yang memerlukan kecergasan mental serta fizikal.
Impaknya, keupayaan mental dan fizikal murid dalam menghadapi pelbagai cabaran akan dapat dipupuk serta
diperkukuh seperti kata peribahasa alah bisa tegal biasa. Jelaslah bahawa, meningkatkan kesihatan fizikal
dan mental merupakan salah satu kepentingan mempelajari ilmu PJPK.
Dilihat dari perspektif berbeza, PJPK juga membantu para pelajar memahami aspek fisiologi tubuh badan
dengan lebih baik. Dalam hal ini, topik khusus berkaitan aspek fisiologi dimuatkan dalam silibus PJPK sebagai
cara mendedahkan mereka tentang fungsi-fungsi organ penting dan cara penjagaannya melalui pelbagai
pendekatan. Sebagai contoh, murid didedahkan dengan aliran darah, kekuatan jantung serta fungsi sendi-
sendi dalam tubuh di samping cara menjaganya agar kekal dalam keadaan terbaik sepanjang masa. Ilmu
sedemikian ini sudah tentu menyedarkan murid betapa pentingnya aspek kesihatan luaran dan dalaman dijaga
dengan cara bersenam dan pengambilan makanan yang seimbang. Secara tidak langsung, murid akan lebih
menghargai kurniaan Tuhan serta berusaha menjaganya sepanjang usia mereka.
Selain kedua-dua kepentingan di atas, mata pelajaran PJPK turut berupaya membantu menarik minat
pelajar untuk bersukan. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat pelbagai teknik bersukan dalam subjek ini
yang akan didedahkan kepada murid sepanjang masa. Dalam hal ini, murid diajar untuk mengenali sesuatu
sukan secara mendalam, bukan setakat teknik permainan malah aspek pengurusan gelanggang dan undang-
undang yang mendukung sesuatu permainan sukan. Sebagai contoh, murid diberi pendedahan tentang sukan
bola sepak, ukuran gelanggang dan peraturan yang mendasarinya. Murid bukan sekadar diberi teori, malah
diikuti oleh praktikal di padang. Implikasinya, murid akan lebih mengenali aspek khusus sukan tersebut sekali
gus menarik minat mereka untuk bersukan. Izharnya, mempelajari PJPK penting untuk menarik minat murid
bersukan.
Sebagai konklusinya, sudah terang lagikan bersuluh terdapat pelbagai kepentingan mempelajari PJPK.
Oleh hal yang demikian, pihak sekolah dan guru-guru wajar meneruskan agenda mendidik murid dengan
elemen PJPK secara bersungguh-sungguh dan konsisten tanpa diketepikan sebagai subjek tambahan
semata-mata. Pada masa yang sama, murid- murid dan ibu bapa seharusnya menguasai ilmu PJPK ini
sebagai satu aspek yang dibawa langsung dalam kehidupan sepanjang hayat. Sekiranya perkara ini dapat
dijayakan dengan baik, sudah tentu hasrat melahirkan murid-murid yang cergas fizikal serta cerdas mentalnya
akan dapat direalisasi, bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.
(493 patah perkataan)
21. Pertanian
Usaha menarik minat golongan belia
Tema Pelbagai pihak
Tugasan / Fokus Tiada format
Siapa
Format
Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang penting yang mendapat tumpuan dalam
perdagangan dunia kerana sektor ini merupakan pembekal makanan dan sumber bahan mentah kepada
penduduk di dunia. Di Malaysia, sektor pertanian amat penting dan meyumbang lima peratus kapada
pendapatan kasar negara. Hal ini dapat membantu meningkatkan pendapatan negara dan secara tidak
langsung dapat membantu ekonomi negara kita. Namun begitu, dalam kalangan masyarakat kita terutama
kalangan belia masih tidak peduli tentang sektor pertanian ini, padahal sektor ini mempunyai potensi yang
besar untuk dimajukan.Pelbagai langkah boleh diusahakan untuk menarik minat golongan belia.
Salah satu langkah bagi menarik perhatian para remaja menceburkan diri dalam bidang tersebut ialah
ibu bapa perlulah mendedahkan anak-anak dengan bidang pertanian sejak mereka di usia dini lagi kerana
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlulah menunjukkan suri teladan dengan melakukan aktiviti
pertanian bersama-sama di halaman rumah masing-masing. Sikap cinta akan pertanian dalam diri anak-anak
juga dapat disemai dengan memberi pendedahan dengan tanaman dari rumah seperti tanaman hidroponik.
Tanaman ini mudah diaplikasikan di kawasan rumah yang sempit mahupun luas.Teknologi fetigasi mampu
dikendalikan oleh anak kecil dengan menanam sayur-sayuran yang mudah disemai seperti sawi, salad dan
kangkung. Konsekuensinya, anak-anak akan sedar betapa menariknya bidang pertanian dan mereka akan
berazam untuk menceburi bidang ini apabila mereka dewasa kelak. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan
yang amat ampuh bagi melahirkan belia yang meneruskan legasi bidang pertanian di negara kita.
Dalam nada yang lain, pihak bank pertanian perlulah memberi pinjaman dan modal kepada para belia
yang baru memulakan projek pertanian mereka. Golongan belia pada umumnya tidak mempunyai simpanan
wang yang banyak kerana tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap yang menjadi batu penghalang
bagi mereka memulakan usaha pertanian. Skim pinjaman berkadar faedah rendah perlulah ditawarkan kepada
para siswazah. Tamsilnya, bank Agrobank telah menawarkan Modal Usahawan 1 Malaysia kepada para
petani baru untuk mengusahakan industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan pertanian. Natijahnya, ramai
belia yang boleh mengusahakan bidang pertanian tanpa perlu rungsing memikirkan jalan penyelesaian bagi
membekalkan dana yang cukup untuk memulakan usaha pertanian. Sesungguhnya, peranan pihak bank
pertanian amat ampuh dalam membolehkan generasi belia memulakan usaha pertanian sendiri.
Selain itu, pihak kerajaan perlulah membuat reformasi terhadap sektor pertanian agar golongan belia
tertarik untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian dengan mengadakan kempen kepentingan sektor
pertanian. Input mengenai maslahat-maslahat sektor pertanian perlulah disebarkan melalui media massa dan
media sosial. Rata-rata para belia mempunyai akaun peribadi dalam aplikasi sosial seperti ‘Instagram’,
‘Whatsapp’ dan ‘Facebook’. Oleh itu, maklumat-maklumat ini mudah untuk disebarkan ke seluruh negara
hanya dengan mengklik tombol perkongsian tanpa perlu mengeluarkan kos bagi mencetak edaran
kempen .Antara kempen yang diadakan Karnival Kerjaya Agrikomoditi yang memberi ruang majikan mencari
pekerja tempatan dan belia. Golongan belia akhirnya celik dengan peluang luas dalam bidang pertanian dan
boleh mengaplikasikan ilmu kemahiran mereka dengan sektor pertanian. Sesungguhnya, kempen
kepentingan sektor pertanian dapat mengubah persepsi golongan belia untuk menceburi bidang pertanian ini.
Kesimpulannya, semua golongan mempunyai peranan masing-masing dalam memupuk minat para
belia menceburkan diri dalam bidang pertanian. Kita haruslah meluaskan horizon pemikiran kita dengan
mengubah persepsi masyarakat terhadap pekerjaan dalam sektor pertanian yang sebenarnya mempunya
seribu satu maslahat kepada masyarakat kita. Golongan belia perlu memulakan langkah pertama menginjak
fasa kehidupan yang seterusnya perlulah diberi peluang untuk meneruskan legasi sektor pertanian di negara
kita supaya terus berkembang maju.
500 patah perkataan