The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by muhammadzulhilmizolkefli, 2022-06-09 10:50:01

5_6129485533363046057

5_6129485533363046057

5 PERKARA DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA YANG TIDAK BOLEH DIPERTIKAIKAN
DAN DIBINCANGKAN SECARA TERBUKA
Perlembagaan Persekutuan merupakan udang-undang utama dan tertinggi negara kita.
Kefahaman mendalam terhadap perkara-perkara asas dalam perlembagaan dapat
membentuk rakyat Malaysia menjadi warganegara yang bertanggungjawab terhadap
negara dan masyarakat sekelilingnya. Sekiranya setiap rakyat memahami dan
menghayati beberapa peruntukan utama yang terkandung dalam perlembagaan maka
kita yakin tidak akan berbangkit isu-isu sensitif seperti isu perkauman, keagamaan dan
soal-soal mengenai kebebasan. Setiap rakyat mesti tahu menjaga batas-batas yang
ditetapkan oleh perlembagaan bagi menjaga keharmonian dan perpaduan dalam
kalangan masyarakat.
Hakikatnya, generasi muda harus dididik mengenai Perlembagaan Malaysia. Sekurang-
kurangnya terdapat lima peruntukan asas dalam perlembagaan yang mesti difahami
dan dihayati. Perkara asas terbabit ialah perkara berkaitan bahasa, agama, hak-hak
istimewa Bumiputera, kewarganegaraan dan hak asasi (kebebasan). Sejak dulu lagi
perkara terbabit dianggap sebagai kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh
pemimpin pelbagai kaum di negara ini.
Kedudukan bahasa Melayu
Peruntukan berkaitan dengan bahasa disebutkan di bawah Perkara 152 yang
menegaskan bahawa bahasa kebangsaan bagi negara ini ialah Bahasa Melayu. Akta
Bahasa Kebangsaan 1963(pindaan 197), Perkara 150 Fasal 6A dan Dasar Pelajaran
Kebangsaan turut memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan. Akta Bahasa Kebangsaan 1967 memperuntukkan BM sebagai satu-
satunya bahasa rasmi tunggal. Seksyen 17(1) Akta Pendidikan meletakkan kedudukan
BM sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.
Kedudukan BM sebagai bahasa pengantar ilmu juga diwartakan dalam Akta Pendidikan
1996 (Akta 550) yang memansuhkan Akta Pendidikan 1961. Namun, peruntukan
terbabit tidak menghalang atau mengengkang kaum-kaum lain menggunakan bahasa
ibunda mereka termasuk dalam sistem pendidikan. Pengecualian penggunaan bahasa
Melayu dibenarkan di bawah Seksyen 17(2) Akta Pendidikan bagi institusi pendidikan
yang bahasa pengantar utamanya bukan bahasa kebangsaan tetapi BM hendaklah
diajar sebagai mata pelajaran wajib.
Hakikatnya bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan adalah untuk menjadi
medium penyatuan nasional dan sekali gus menjadi lambang dan identiti bagi negara. Ia
menjadi sebahagian daripada jati diri nasional yang berfungsi sebagai bahasa penyatu
bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Proses pemilihan dan penetapan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah melalui kesepakatan dan tolak
ansur dalam kalangan kesemua kaum di negara ini.

Sultan, Raja ketua agama Islam
Berhubung dengan agama pula, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memaktubkan
agama bagi Persekutuan ialah agama Islam, tetapi agama-agama lain boleh dianuti
secara aman dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan. Institusi yang ada
kaitan langsung dengan kedudukan agama Islam ialah Sultan atau Raja. Perlembagaan
menyatakan bahawa Sultan atau Raja sesebuah negeri ialah ketua agama Islam bagi
negeri tersebut. Bagi negeri-negeri yang tidak diperintah oleh Sultan atau Raja pula akan
diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong.
Peruntukan ini sepatutnya diketahui, difahami dan dihormati oleh setiap rakyat Malaysia
kerana ia bukan sahaja meletakkan kedudukan agama Islam sebagai agama bagi
Persekutuan tetapi juga menjunjung tinggi pengamalan keagamaan yang dilihat selari
dengan prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan.
Pada dasarnya, pemilihan agama Islam sebagai agama Persekutuan dibuat
berdasarkan faktor sejarah dan warisan sosiobudaya di negara ini. Namun, agama lain
di negara bebas diamalkan dan mereka diberi hak untuk membina rumah-rumah ibadat
mereka bagi menjalankan upacara dan peribadatan keagamaan masing-masing.
Pembinaan rumah-rumah ibadat ini mestilah mengikut lunas undang-undang yang
ditetapkan. Kebebasan beragama ini selari dengan Perkara 11 perlembagaan.
Pun begitu, Perkara 11 (4) Perlembagaan memperuntukkan “Undang-undang Negeri dan
mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang
persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau
kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam”.
Hak istimewa orang Melayu
Hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputra dinyatakan di dalam Perkara 153
Perlembagaan Malaysia. Pemberian hak-hak istimewa ini perlu dilihat dan difahami
daripada perspektif sejarah. Takrif Melayu dinyatakan di dalam Perkara 160 (2) yang
menyebut orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya
Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu.
Berdasarkan peruntukan 153 maka dapat difahami bahawa terdapat tiga bidang yang
menjadi keistimewaan bagi orang-orang Melayu dan bumiputra di Sabah dan Sarawak,
iaitu perkhidmatan awam, ekonomi dan pendidikan. Peruntukan hak keistimewaan ini
adalah diletakkan di bawah kuasa Yang Di-Pertuan Agong. Baginda atas nasihat jemaah
menteri berhak untuk menentukan perizaban jawatan di dalam sektor awam bagi orang
Melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak.

Berkaitan aspek ekonomi, orang-orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak
digalakkan untuk menyertai sektor ekonomi, industri dan perniagaan. Ini bagi
mengimbangi kedudukan ekonomi kaum lain yang jauh lebih maju berbanding mereka
kesan daripada amalan penjajah. Justeru, mereka perlu dibantu melalui dasar
affirmative termasuk mempermudah kelulusan permit atau bantuan kepada mereka
dalam hal-hal berkaitan ekonomi. Manakala di dalam bidang pendidikan pula,
keistimewaan harus diberi kepada mereka dalam soal pemberian biasiswa.
Kedudukan istimewa orang Melayu yang lain termasuklah Perkara 89 dan 90 yang
memberikan kuat kuasa undang-undang perlembagaan kepada undang-undang sedia
ada melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan
Melayu.
Hak Kewarganegaraan
Satu lagi perkara asas yang wajar diketahui oleh kita selaku warganegara Malaysia ialah
perkara berkaitan dengan hak-hak kewrganegaraan. Perkara mengenai
Kewarganegaraan ini terkandung di dalam Bahagian 3 Perlembagaan Malaysia. Dalam
konteks ini, Perkara 14 hingga 22 menyatakan mengenai hak serta cara-cara
mendapatkan kewarganegaraan Malaysia. Manakala Perkara 23 hingga 28 pula adalah
berkaitan cara bagaimana seseorang wargannegara boleh terlucut dan dilucutkan hak
kewarganegaraanya.
Secara umumnya kewarganegaraan seseorang itu boleh didapatkan melalui kuat kuasa
Undang-Undang, secara pendaftaran atau permohonan melalui cara kemasukan dan
melalui percantuman wilayah. Kewarganegaraan Malaysia melalui cara Kemasukan
terbuka bagi individu atau warga asing yang berumur lebih daripada 21 tahun dan
berminat untuk menjadi warganegara Malaysia.
Antara syarat-syaratnya ialah individu terbabit telah menetap di Persekutuan Malaysia
selama sepuluh daripada dua belas tahun sebelum tarikh permohonan, berniat menjadi
pemastautin tetap di Malaysia, mempunyai tingkah laku yang terpuji dan mempunyai
pengetahuan Bahasa Malaysia.
Di sisi yang lain, hak-hak kewarganegara Malaysia boleh terlucut atau dilucutkan oleh
Perlembagaan Malaysia jika melakukan sesuatu tindakan yang bertentangan dengan
kehendak perlembagaan. Antaranya individu itu tidak lagi berminat untuk mengekalkan
kewarganegaraan dengan menjadi warganegara asing. Kewarganegaraan juga boleh
dilucutkan jika individu itu tidak lagi setia kepada negara melalui tindakan atau
percakapannya. Ini termasuk menjalankan perhubungan atau perniagaan dengan
negara atau musuh negara seperti Israel.

Begitu juga dengan individu yang telah bermastautin di negara asing selama lebih
daripada lima tahun secara berterusan dan tidak pernah melapor atau mendaftardi
Pejabat Konsul Persekutuan boleh dilucutkan kewarganegaraannya. Proses pelucutan
kewarganegaraan ini boleh dilakukan oleh pihak kerajaan melalui proses kehakiman.
Hak asasi
Satu lagi isu yang sering mengundang kontroversi ialah perkara berkaitan dengan hak
asasi. Hak Asasi adalah perkara asas yang perlu dinikmati oleh rakyat. Terdapat
sembilan peruntukan hak asasi di dalam perlembagaan (perkara 5 hingga Perkara 13).
Jelaslah bahawa Perlembagaan Persekutuan memperakui dan mengiktiraf hak setiap
individu seperti hak untuk beragama, hak untuk mengumpul harta, hak untuk mendapat
peluang pendidikan, kebebasan bergerak, kebebasan bersuara, berhimpun dan
menubuhkan persatuan. Selain itu, setiap warganegara Malaysia tidak boleh dijadikan
abdi atau menjadi buruh paksa oleh mana-mana pihak.
Semua rakyat mendapat perlindungan dan kesamarataan di sisi undang-undang dan
seseorang yang didakwa perlu mendapat perbicaraan yang adil. Malah, tertuduh juga
tidak boleh dituduh dengan tuduhan yang sama buat kali kedua, sekiranya telah dilepas
dan dibebas oleh mahkamah atas tuduhan yang sama.
Hakikatnya, perlembagaan tidak menyekat kebebasan dan pergerakan seseorang
kecuali atas sebab-sebab keselamatan, kesihatan awam dan hukuman seperti hukuman
kediaman terhad. Bagaimanapun, pergerakan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak
adalah tertakluk kepada undang-undang imigresen negeri terbabit seperti yang telah
dipersetujui ketika pembentukan Persekutuan Malaysia 1963.
Sayugia diingat bahawa kebebasan yang diberi oleh perlembagaan itu tidak bermakna
semua perkara boleh dibincangkan secara terbuka kerana isu-isu sensitif seperti isu
berkaitan agama, bahasa kebangsaan, hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Raja-
raja adalah dilarang dibicarakan secara terbuka. Isu terbabit perlu difahami dan tidak
disentuh sewenang-wenangnya demi menjadi perpaduan dan keharmonian hidup
masyarakat Malaysia.
Hayatilah sebahagian daripada petikan Pemasyuran Kemerdekaan 1957: “ Dan bahawa
sanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan
syarat untuk menjaga keselamatan dan keutamaan hak-hak Duli-Duli Yang Maha Mulia
Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan
Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah
kerajaan yang mempunyai Raja yang Berpelembagaan yang berdasarkan demokrasi
cara Parlimen”.


Click to View FlipBook Version