23
PENGHAYATAN ISLAM
2.1 PENGENALAN
Dalam bab yang kedua ini akan dibincangkan tentang hal-hal yang berkaitan dengan
aspek penghayatan Islam yang semesti ada dalam diri setiap individu Muslim dalam
usaha untuk menjadi Islam yang Muslim, mukmin dan muhsin. Dalam bab ini akan
dijelaskan tentang pengertian penghayatan agama serta aspek-aspek yang boleh
dijadikan kriteria dan pengukuran penghayatan agama terhadap individu.
.
2.2 DEFINISI
Menurut Kamus Dewan, ‘penghayatan’ adalah kata terbitan yang berasal dari kata
‘hayat’. Ia menggambarkan perihal atau proses menghayati atau mendalami, menjiwai
sesuatu sama ada melalui penglihatan, pendengaran, pembacaan atau sebagainya.
Melalui penghayatan, seseorang itu dapat merealisasikan sesuatu yang ditanggapinya
dalam kehidupan sama ada secara individu mahupun masyarakat (Kamus Dewan
2005: 447).
Istilah penghayatan agama atau religiositi merujuk kepada gaya hidup
beragama atau kehidupan beragama khususnya kepada agama di Barat. Dalam
konteks agama Islam, kehidupan beragama ini dikaitkan dengan Islam sebagai al-din
atau cara hidup (al-Nahlawi 2002; al-Mawdudi 1981).
Religiositi atau kehidupan beragama amat penting di dalam kehidupan
manusia kerana religiositi memberi pengaruh yang besar terhadap tingkah-laku,
personaliti (Ahmad 2001), ketenangan emosi (Hasnan 2002) keyakinan diri manusia
(al-Qaradawi 1985) serta kebahagiaan hidup (HAMKA 1997).
Muslim yang mengamalkan Islam sebagai al-Din dikatakan menghayati Islam
dalam kehidupan seharian mereka. Hal ini sejajar dengan firman Allah (s.w.t.) dalam
Surah al-Baqarah (2:208):
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam
keseluruhannya, dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan,
sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”.
Istilah-istilah lain yang sesuai bagi menggantikan istilah religositi antara lain
ialah hayyah muttadayyinah atau kehidupan beragama (Zakaria 2002), takwa dan
kesedaran (al-Attas 2002), dan penghayatan Islam (Hashim 2002). Dalam kajian ini
religiositi dari perspektif Islam merujuk kepada penghayatan Islam sebagai satu cara
hidup yang merangkumi aspek-aspek akidah, ibadat dan akhlak yang dilihat dalam
ruang lingkup Islam yang komprehensif dan integratif.
Dari aspek lagi, perkataan ‘hayat’ bermaksud seseorang yang menghayati
Islam dan akan menjadikan Islam itu ‘hidup’ dalam diri dan luarannya dengan
kewujudan roh dan tenangnya. Tanpa segala pergerakan terhenti dan sesuatu itu
menjadi kaku, beku dan mati (Wan Salim 1989: 1-2). Ini selari dengan pandangan
bahawa Islam berperanan sebagai pemangkin kepada segala gerak dan tingkah laku
yang suci (Ibrahim 1982: 28). Dalam makna menghayati agama, kefahaman yang
sahih dan syumul merupakan elemen terpenting (Mashhur 1993: 28-33 & 266-267).
24
Berdasarkan makna yang dinyatakan, penghayatan Islam merupakan perihal
menghayati Islam dengan seluruh cakupan dan dimensinya sehingga ia meresap di
jiwa. Definisi ini selari dengan pandangan al-Qaradawi (1988: 3) yang menyebut
bahawa agama merupakan suatu desakan dalaman untuk memperakui bahawa
mereka dan alam sekeliling mempunyai Tuhan yang Maha Agung, yang mana hati
mereka menghala kepada-Nya dengan penuh penghormatan, harapan, takut dan
berserah serta memohon pertolongan daripada-Nya. Oleh yang demikian, sesiapa
yang memenuhi seruan batinnya akan memperoleh ketenangan dan kemanisan iman.
Dalam hal ini, Muslim yang tidak dicampuri seri cahaya iman dari hatinya, tidak dapat
merasai kemanisan iman dari rohnya (Zaynab 1998: 159).
Asas untuk membina konsep penghayatan Islam adalah isi kandungan
penghayatan itu sendiri kerana apa yang dipegang sebagai akidah dan di amal sebagai
ibadah termasuk segala peraturan dan undang-undang; semuanya adalah Islam itu
sendiri. Islam secara umum dijelaskan sebagai mentauhidkan Allah, tunduk dan patuh
kepada pemerintah dan larangan Allah (s.w.t.) tanpa bantahan (Tabarah 1983: 1;
Mawdudi 1985: 8; al-Bugha 1998: 5) melalui ajaran yang dibawa oleh Rasulullah
(s.a.w.) (al-Bugha 1998: 6; Haron et al. 1987: 26). Dalam konteks ini, keagamaan
bermaksud keislaman (Mahmood Zuhdi 2006: 1).
2.3 PENGGUNAAN ISTILAH
Dari segi penggunaan istilah ‘penghayatan Islam’, Badlisham Mohd Nasir & Hisham
(2003) telah menggunakan istilah ‘penghayatan Islam’ dalam kajiannya, sementara
penyelidik-penyelidik penghayatan agama yang lain menggunakan istilah religiositi
atau ‘internal religiosity’ (Fatin Hazwani 2007: 14-25). Religiositi merupakan istilah
yang dibahasa Melayukan dari istilah Bahasa Inggeris ‘religiosity’. Penggunaan istilah
dalam kebanyakan keadaan barangkali tidak dianggap sesuatu yang begitu penting
kerana ramai beranggapan tidak berbeza secara ketara antara penggunaan
penghayatan Islam dengan religiositi, kerana konteksnya sama iaitu mengkaji tahap
beragama individu. Namun sama ada sesuai atau sebaliknya, penggunaan asal
religiositi di Barat secara khusus dari perspektif agama Kristian, yang banyak
ditumpukan kepada agama, teologi, ritual dan sikap beragama (attitute) (Tilllich 1957).
Cakupan yang agak sempit dari segi dimensi beragama berbanding dengan Islam,
seharusnya ‘dibezakan’ dengan penggunaan istilah yang sesuai atau selayaknya
untuk kajian penghayatan agama dalam Islam.
Bagi Nor Salimah (2008), beliau mencadangkan penggunaan istilah Arab iaitu
al-tadayyun yang bermaksud beragama. Ini kerana al-tadayyun atau beragama yang
dianuti itu tidak sekadar ritual, cara berkeluarga, cara bekerja semata-mata malah
mencakupi segala dimensi ruang lingkup yang ada sehingga ia (Islam) menjaga
penghayatan Islam atau al-din yang wujud dari segi makna dan fizikal. Ini bermaksud
jika seseorang itu dikaji itu menghayati agama Islam dapat dilihat dari kesan fizikal dan
makna serta dapat dilihat secara mata kasar dapat dirasai dengan mata hati.
Meminjam istilah Muhammad (2005: 271): “Islam menjadi suatu penghayatan dengan
segala yang ada padanya”.
Bersesuaian dengan maksud dari segi bahasa yang berakar dari kata hayat
(iaitu perkataan dari Bahasa Arab yang bermakna hidup), seseorang yang menghayati
agama akan menjadikan agama itu ‘hidup’ dalam dirinya dan luarannya. Ini kerana
sesuatu itu dianggap hidup berdasarkan kewujudan roh dan tenaganya. Tanpa roh dan
tenaga segala pergerakan akan terhenti dan sesuatu itu menjadi beku, kaku dan mati
(Wan Salim 1989: 1-2).
25
Ini selari dengan pandangan bahawa agama sebagai pemangkin kepada
segala gerak dan tingkah laku yang suci (Ibrahim 1982: 24). Oleh yang demikian
seseorang boleh dianggap beragama (al-Mutadayyin) jika tutur kata dan gerak laku
perbuatannya dikawal oleh penghayatan terhadap agama.
Berdasarkan makna yang telah diberikan di atas, maka istilah penghayatan
agama ternyata asas yang dinyatakan, makna penghayatan agama ternyata lebih
tepat berbanding dengan religiositi kerana ia merujuk kepada menghayati agama
dalam erti kata melaksana amalan agama dengan seluruh cakupan dan dimensinya
sehingga ia dapat dirasakan dan meresap ke dalam jiwa. Istilah ini selari dengan
pandangan al-Qaradawi (1983: 3) yang menyebut bahawa agama atau al-din
merupakan sesuatu yang dirasai oleh manusia sebagai keperluan atau desakan
dalaman melalui seruan batin yang semula jadi untuk mencakupi bahawa mereka dan
alam sekeliling mereka mempunyai Tuhan yang Maha Agung. Ia merupakan suatu
perasaan sejati dalam lubuk hati mereka yang mana hati mereka menghala kepada-
Nya dengan penuh penghormatan, harapan, takut dan berserah secara memohon
pertolongan daripadaNya. Oleh yang demikian, sesiapa yang memenuhi seruan
batinnya untuk hidup beragama, jiwa dan batinnya akan menyerlah ketenangan. Ini
berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Rum (30:30):
Maksudnya: “Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari
kesesatan; Fitrah Allah yang menciptakan manusia untuk menerimanya;
tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama
yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”.
Demikian juga apa yang telah disebut oleh Rasulullah (s.a.w.) sebagai
kemanisan iman (khalawat al-iman) dan ini disebut dalam hadith (al-Bukhari 2000,
1:24 hadith no. 16):
Maksudnya: “Ada tiga perkara yang sesiapa mendapati dirinya terdapat
ketiga-tiga perkara tersebut, maka ia telah mendapat kemanisan iman, iaitu
kasihkan Allah dan RasulNya melebihi segala-galanya, ia tidak kasihkan orang
melainkan kerana Allah dan ia benci untuk kembali kepada kekufuran setelah
Allah memberikannya hidayah seperti mana ia benci untuk mencampakkan
dirinya ke dalam api”
Oleh yang demikian dalam kajian ini istilah penghayatan Islam dirujuk dari
bahasa Arab sebagai perihal agama atau patuh kepada agama (tadayyun), bertakwa
(taqwa) dan warak (wara’) (Nor Salimah 2008). Bersesuaian dengan makna dan
pengertian yang dinyatakan, ‘penghayatan Islam’ adalah istilah yang tepat dan akan
digunakan dalam kajian ini.
Di Malaysia, kajian berkaitan penghayatan Islam mula diberi perhatian
khususnya selepas dekad-dekad kebangkitan Islam sekitar era 1980-an. Namun,
kebanyakan kajian di peringkat awal hanyalah bersifat konseptual sahaja. Sekitar
penghujung 1990an barulah kajian yang bersifat lapangan mula dilakukan. Kajian-
kajian tersebut adalah seperti kajian oleh Hatta et.al (1996) yang menghasilkan skala
pengukuran Hatta (Hatta Islamic Religiosity scale 1996), Hanafiah et al. (2000),
Badlisham & Mohd Hisham (2003), Jamiah (2004), Jas Laile Suzana (2005), Fatin
Hazwani (2007), Azimi et al. (2007) dan lain-lain. Kebanyakan penyelidik yang
disenaraikan menggunakan metodologi penyelidikan konvensional dalam mengukur
tahap penghayatan agama responden sebagaimana pengukuran yang digunakan oleh
pengkaji religiosity Barat seperti Thouless seawal 1935 dari perspektif agama Kristian.
26
Walau bagaimanapun penyelidik religiositi di Malaysia yang menyelidik takat
beragama menggunakan instrumen yang dibangunkan menerusi kajian kepustakaan
dan temu bual elit dengan pakar-pakar atau sarjana Islam berdasarkan dimensi
beragama menurut perspektif Islam (Nor Salimah 2008).
Istilah penghayatan Islam mendapat perhatian secara mendalam dan praktikal
selari dengan era di mana Islam mula dilihat sebagai satu cara hidup. Ramai pengkaji
kebangkitan semula Islam di Malaysia di sekitar 70-an dan 80-an mengaitkan
penghayatan Islam dengan dekad-dekad tersebut. Namun Islam yang mengakar
sebagai suatu budaya dan cara hidupnya sebenar telah bermula jauh melebihi lima
ratus tahun sebelum wacana mengenai penghayatan Islam giat berlangsung di
Malaysia. Walau bagaimanapun, penterjemahan Islam ke dalam kehidupan secara
amali dan menyeluruh tidak jauh melangkaui batas amalan ritualnya (Mohammad
2005: 271). Muhammad al-Ghazali (1991: 46) mempunyai pendirian yang sama dan
secara sinis mengkritik bahawa lingkungan penghayatan agama di seluruh dunia Islam
bersifat kaku dan beku. Menurut beliau persekitaran umat yang nyata berbeza dengan
roh al-Quran al-Karim menunjukkan Islam tidak memberi makna besar jika tidak
dihidupkan dengan penghayatan oleh para penganutnya.
2.4 LATAR BELAKANG PENGHAYATAN ISLAM DI MALAYSIA
Penghayatan Islam merupakan buah terhasil dari fenomena kebangkitan semula Islam
yang mana masyarakat Islam di negara ini mula mempunyai kecenderungan untuk
menjadikan Islam sebagai suatu cara hidup dengan tidak tertumpu pada amalan ritual
sahaja. Suasana ini mempengaruhi peningkatan kesedaran Islam dalam kalangan
mereka untuk menghayati semula Islam dan berusaha menghapuskan amalan atau
cara tertentu dalam hidup mereka yang didapati bertentangan dengan Islam (Ahmad
2004: 31). Dalam hal ini, Mohammad (2005: 275-276) menyebut bahawa pada tahun-
tahun 70-an dan 80-an, Islam telah ditonjolkan sebagai suatu sistem yang menyeluruhi
cara hidup dengan meliputi segala aspek termasuk sistem ekonomi, sosial dan politik
hingga membangkitkan semangat keislaman dalam kalangan masyarakat Islam di
Malaysia. Kecenderungan ini bertambah apabila kerajaan melaksanakan rancangan
Islamisasi pada tahun 1982 (Chandra 1988: 6-8). Dengan kekuatan arus ini,
masyarakat Islam semakin terdorong menghayati Islam sebagai suatu cara hidup.
2.5 CAKUPAN PENGHAYATAN ISLAM
Suatu perbezaan yang jelas dengan penghayatan dalam mana-mana agama atau
faham beragama yang lain; Islam mengkonsepsikan penghayatan agama secara
menyeluruh, tidak memisahkan keyakinan dan amalan beragama dengan urusan-
urusan lain yang bersifat duniawi (Qutb 1994, 51:83). Dalam hal ini Muhammad al-
Ghazali (1996: 9) dan al-Banna (1974: 8) menyatakan bahawa keseluruhan dunia
kehidupan manusia yang terdiri dari jenis ibadah umum dan khusus, kesemuanya
dikira amal salih jika disertakan niat yang ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hakikat ini,
tokoh-tokoh Islam yang telah disenaraikan memperakui bahawa penghayatan Islam
mesti mencakupi konsep kepercayaan yang menentukan keadaan dan matlamat
kewujudan insan di dunia ini (Qutb 1994 1983: 5). Huraian Qutb (1994) menunjukkan
segala cabang sistem yang dipraktikkan mesti bersumber kepada dimensi tauhid. Oleh
yang demikian, seseorang yang menghayati agama akan memanifestasikan
paradigma tauhid dalam keseluruhan hidupnya. Ia merangkumi semua elemen hidup
seperti akidah dan syariah, akhlak dan politik, ibadah dan perlembagaan, muamalah
serta berjihad di jalan Allah (al-Banna 1992: 7; Qutb 1994: 127-134) segala hal seperti
fikiran, emosi dan tingkah laku; menyeluruhi segala bidang dan sistem seperti
pendidikan, moral, ekonomi, sosial, budaya, falsafah, undang-undang, hubungan
27
antarabangsa dan kenegaraan (al-Qaradawi 1984: 7; Mohd Kamal 2004: 137); di
peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara; dalam hubungan manusia
dengan manusia; manusia dengan alam, termasuk konsepsinya terhadap alam dan
tafakurnya merenung alam ciptaan Allah dan kejadiannya (Qutb 1994: 50; Mashhur
193: 35-47) dan hubungan manusia dengan pencipta, termasuk konsepsinya terhadap
tuhan (al-Attas 2004: 137; Qutb 1994: 50; al-Jubayli 1989: 189-190).
Selain itu, penghayatan turut mencakupi pemikiran. Pemikiran yang betul
tentang Islam dengan tasawur iman yang sihat akan menghasilkan Muslim yang
menggunakan dunia ini sepenuhnya untuk Allah (s.w.t.) (al-Ghazali 1998: 196), Ini
selari dengan pemikiran Shaltut (1966: 35-41) yang menjelaskan bahawa keimanan
kepada Allah (s.w.t.) mesti mencakupi keimanan kepada segala hidayah dan petunjuk-
Nya, yang mesti dilaksnakan dengan kebulatan tanpa memisahkan satu bahagian dari
bahagian yang lain (al-Qaradawi 1984: 8). Pendirian ini dipersetujui oleh Zakaria
(1999), yang menyatakan bahawa tiada ruang kehidupan yang dikosongkan oleh nilai
Islam (Jamiah 2004: 138). Ini bererti penghayatan Islam tidak memisahkan urusan
duniawi dan ukhrawi kerana Islam mengajar manusia bahawa kehidupan ini tidak
terhenti di dunia yang fana ini sahaja, malah berkesudahan di akhirat dengan
perpindahan ke alam barzakh dan seterusnya menuju ke akhirat melalui kehidupan di
dalam mahsyar.
2.6 CIRI ORANG MENGHAYATI ISLAM
Pandangan kesemua tokoh yang telah disebutkan di atas, bersependapat bahawa
terdapat ciri-ciri umum bagi orang yang menghayati Islam. Antara ciri yang disebutkan
oleh mereka adalah ciri asas seorang Muslim iaitu tidak mensyirikkan Allah (s.w.t.)
dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan
Ramadan dan mengerjakan haji. Ciri seterusnya ialah meyakini perkara ghaib,
membelanjakan harta kurniaan Allah ke jalan-Nya, beriman dengan al-Quran dan
kitab-kitab sebelumnya serta yakin sepenuhnya dengan adanya pembalasan di
akhirat, menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran, mendirikan solat,
mengeluarkan zakat dan taat kepada perintah Allah dan rasul-Nya. Apabila
mengerjakan solat, mereka khusyuk dan apabila di luar solat, mereka menjauhkan diri
dari perbuatan dan perkataan sia-sia, berusaha membersihkan harta, menjaga
kehormatan diri, menjaga amanah dan janji dan konsisten memelihara (waktu dan
kualiti) solat. Dalam kaitan ini, Muhammad al-Ghazali (1996: 9) menekankan solat
sebagai asas kerana ia memberi kesan kepada tingkah laku. Ciri-ciri lain ialah
gementar hati, bertambah keyakinan dan keimanan apabila disebut nama Allah dan
dibacakan ayat-ayat Allah, sentiasa berserah kepada Allah dan rajin bersedekah (amal
jariah), berlaku adil dalam kepimpinan, hidup dalam keadaan beribadat walaupun usia
masih muda, hati yang sentiasa terikat dengan masjid, berkasih sayang kerana Allah,
takut kepada (kemurkaan) Allah apabila didesak atau digoda oleh seseorang yang
memiliki rupa dan kedudukan, menyembunyikan sedekah serta kemurahannya dan
mengalirkan air mata ketika mengingati Allah secara bersendirian.
Berkaitan ciri-ciri kasih sayang kerana Allah (s.w.t.), Mashhur (1993: 53; 1998:
14) menjelaskan ukhuwah fi Allah penting bagi menyedarkan saudaranya jika
terseleweng dari jalan sebenar, kerana ikatan akidah mampu membina kekuatan
sosio-religious iaitu masyarakat yang menghayati agama (Mashhur 1993: 267).
Kesemua ciri yang dinyatakan terangkum alam pencirian yang dibuat oleh Abdul
Rahman (2005) yang menyebut bahawa orang beragama (mutadiyyin) boleh dikesan
melalui tiga asas. Pertama akidah, ia mentauhidkan Allah dan tidak terlibat dalam
amalan syirik. Kedua dari segi amalan, ia menunaikan perkara fardu dan sunat, serta
28
meninggalkan perkara haram. Ketiga kelakuan, ia mesti berakhlak dengan akhlak yang
mulia.
Shaltut (1966: 36-37) mencirikan orang yang menghayati Islam berdasarkan
tiga prinsip. Pertama, beriman dengan hidayah dan syariat Allah sebagai lanjutan dari
beriman kepada Allah (s.w.t.). Ia menatijahkan seseorang yang meyakini keadilan
Islam (melalui peraturan syarak) dan rela dengannya (al-Qaradawi 1984:10). Kedua,
melaksanakan peraturan syarak dengan mengkhususkan ubudiyyah hanya kepada
Allah (s.w.t.). Ketiga, sedar dan yakin tentang pengawasan Allah terhadap dirinya. Ciri
penghayatan juga melibatkan penterjemahan hukum syarak dari perkara usul (utama)
hingga furuk atau cabang, sehingga sehalus-halusnya atau sekecil-kecilnya (al-
Qaradawi 1984: 7) termasuk bertindak tanduk seperti akhlak Rasulullah (s.a.w.). Ini
selaras dengan Naguib al-Attas yang menekankan bahawa penghayatan Islam mesti
tergambar melalui sifat dan tingkah laku selaras dengan kefahaman itu (Jamiah 2004:
146). Oleh yang demikian pada umumnya, bahawa orang yang menghayati Islam
mestilah seseorang yang mempunyai keseimbangan ilmu Islamiyyat dan amal, antara
berfikih dan bertasawuf. Kepincangan keduanya akan menatijahkan kedangkalan
kepada makna penghayatan Islam.
2.7 TAHAP DAN PENGUKURAN PENGHAYATAN ISLAM
Secara keseluruhan pendapat tokoh-tokoh yang dikaji, sependapat bahawa
penghayatan Islam seseorang itu mengandungi peringkat dan tahap penghayatan
tertentu. Peringkat-peringkat itu ialah keyakinan hati, pengakuan lisan dan amalan
anggota (Mohd Nakhaie 1998: 141-142). Penghayatan pada peringkat penerimaan
lisan atau keyakinan hati sahaja tanpa amal, tidak memadai. Dalam hal ini, Zaynab al-
Ghazali (1998: 155-157) memetik pandangan Ibn Taymiyyah bahawa: “Islam itu
mengumpul tiga peringkat (yang tidak terpisah) iaitu Muslim, kemudian mukmin,
kemudian muhsin”.
Dari segi tahap penghayatan Islam, Zakaria (1999) menyebut bahawa tahap
penghayatan antara orang alim dan orang awam berbeza iaitu berdasarkan latar
belakang ilmu mereka. Menurut Mashhur (1988: 48), tahap penghayatan Islam
sebenar tidak tersebar luas dalam kalangan umat Islam malah ramai yang, menghayati
Islam dalam bentuk yang negatif. Berkait hal ini, Shaltut (1966: 35-41) membezakan
tahap penghayatan Islam kepada tiga iaitu penghayatan sebenar (al-iman bi hidayah
al-sama’), penghayatan Islam secara isyarat atau simbolik (al-tadayyun al-ramzi) dan
penghayatan agama sempit yang berdasarkan bentuk ritual atau formaliti (al-tadayyun
al-su‘ari). Tahap penghayatan Islam sekadar nama (al-tadayyun al-ramzi) turut
disentuh oleh al-Qaradawi (1984: 21) dengan merujuk kepada jenis manusia yang
mengelak dari melihat kebenaran syariat Allah. Mereka mengamalkan ‘Islam’ mengikut
kehendak mereka tanpa membebaskan diri dari pengaruh sekularisme dan segala
pecahannya. Menurut Qutb 1994 1982: 112), golongan ini mereka bentuk ‘Islam’
mengikut untuk diri mereka sendiri dengan memakai nama Islam liberal atau Islam
progresif. Pada tahap ini mereka sebenarnya merosakkan konsep beragama Islam
dengan ‘kalimah khabithah” iaitu keyakinan, fahaman dan aliran yang bertentangan
dengan manhaj Allah (al-Jubayli 1989: 31). Kemuncak bagi manhaj ini pula ialah
menegakkan negara Islam (Mustafa Mashhur 1988: 23-26). Dalam hal ini, al-Banna
membahagikan tahap penghayatan Islam kepada tiga iaitu Muslim yang berdosa,
Muslim yang enggan berjihad dan yang tertinggi Muslim yang berjihad (al-Banna 1987:
426). Zaynab al-Ghazali (1998: 175) pula menyebut bahawa Islam mesti dihayati
sebagai din dan daulah, tabiat dan usul akidah. Ini bererti seseorang yang terbalas
kepada amalan agama secara individu sahaja tanpa usaha menegakkan Islam dalam
seluruh aspek kehidupan, belum mencapai tahap penghayatan yang paling tinggi dan
29
belum sempurna pengakuan (syahadah) sebagai seorang Islam (al-Jubayli 1989: 177-
179). Menurut Mustafa Mashhur, adalah berdosa menyatakan bahawa amalan Islam
setakat ilmu, ibadah zikir dan berbuat baik sahaja, tanpa berusaha menunaikan
tanggungjawab ini. Namun dalam konteks dakwah individu (da‘wah fardiyyah) pula,
Mashhur mengambil pendekatan berbeza. Tahap penghayatan paling tinggi bagi
Muslim biasa (awam) harus dinilai dengan memahami Islam dengan fahaman yang
tepat dan menyeluruh sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w.), kemudian
bergerak dan beramal, serta mempertingkatkan amalan kerohanian hingga mencapai
tahap para ‘amilin dan salihin (Mashhur 1995: 329-338); yang tidak menjadi, kehendak
pilihan dan tindakan menurut hawa nafsu dan syahwat mereka (Shaltut 1966: 38).
Dari segi pengukuran, kebanyakan tokoh bersetuju bahawa penghayatan Islam
boleh diukur dan asas pengukuran adalah aspek zahir kerana iman perlu dibuktikan
dengan amalan. Penghayatan secara keseluruhan boleh dikesan melalui
pengetahuan, kefahaman, pemikiran, amalan, akhlak, keperibadian dan budaya hidup.
2.8 FUNGSI DAN KEPENTINGAN PENGHAYATAN ISLAM
Semua tokoh yang dikaji menekankan penghayatan menjamin kesempurnaan hidup
atau hakikat kehidupan yang lebih baik dan tanpanya, Islam seseorang tidak lengkap
dan sempurna. Dari segi fungsi, penghayatan menjadikan Muslim berterusan dalam
amal salih (Mashhur 1993: 2; al-Jubayli 1989: 204); mencegahnya dari kejahatan,
kesan dari keterikatannya dengan konsep dosa dan pahala (Nik Abdul Aziz 2009: 156-
158); melindunginya dari penyelewengan pemikiran (Mashhur 1993: 266);
memberinya kekuatan untuk membawa hukum syariah sampai ke matlamatnya (al-
Qaradawi 1984: 11). Ini selari dengan pandangan Shaltut (1966: 16) menyatakan jiwa
beragama (al-damir al-dini) akan menghasilkan manusia yang tidak akan membantah
(perintah-Nya), menipu, khianat, mengabaikan kebenaran dan meninggalkan
kewajipan, yang akan menjamin keselamatan dalam keseluruhan hidupnya, Al-damir
al-dini akan membuka mata hati (basirah) manusia, lalu berpindah dari penghayatan
akal (teori) kepada penghayatan jiwa yang akan menggerakkan kegiatan amalinya (al-
Jubayli 1989: 161). Ini akan memandu tingkah laku manusia selaras dengan kehendak
syarak (al-Qaradawi 1984: 16-17).
Kepentingan penghayatan Islam seperti yang telah digambarkan oleh tokoh-
tokoh Islam yang telah disebutkan merupakan asas yang paling penting dalam
kelangsungan kehidupan Muslim yang mempunyai aspirasi mencari keredaan Allah
(mardati Allah), kebersihan hati, kesihatan zahir batin, penyucian jiwa (tazkiyyah al-
nafs), menjadi mukmin sebenar (al-mu’minuna haqqa), orang yang bertaqwa (al-
muttaqun), golongan kanan (ahl al-yamin), berkebajikan (al-abrar), sentiasa berbuat
elok atau memperelok sesuatu (al-muhsinun), memberi kekuatan kepada manusia
untuk terus melakukan kebaikan dan mengubah jiwa hingga mengalami perubahan
sikap dan mendapat kemuliaan hidup bagi individu atau masyarakat, mencapai tahap
jiwa yang tenang (al-nafs al-mutma‘innah) dan memperoleh kemenangan serta
kebahagiaan abadi (al-sa‘adah al-abadiyyah) (al-Ghazali 1996: 11; al-Banna 1992: 41;
al-Qaradawi 1984:5; Qutb 1994 1982: 88; Shaltut 1966: 41) iaitu kebahagiaan di alam
selepas mati yang menggabungkan dua dimensi iaitu kebahagiaan ukhrawi secara
fizikal dengan ganjaran syurga Allah (s.w.t.) dan kebahagiaan ukhrawi secara spiritual
dengan ganjaran redha-Nya.
2.9 PENGUKURAN PENGHAYATAN ISLAM
2.9.1 Kajian di Barat
30
Tidak banyak ditemui instrumen religiositi atau penghayatan Islam digunakan ke atas
populasi Muslim. Antara kajian yang ditemui, kebanyakannya mengadaptasi model
Glock & Stark (1965) bagi membina item untuk mengukur religiositi Muslim. Berikut
dibincangkan kajian-kajian yang telah dibuat.
a. Samandari (1980) telah menjalankan kajian ke atas responden dewasa di
Kabul, Utara Iran di mana 40 item telah dikaji bagi mengukur aspek religiositi.
Mengikut laporan yang dibuat, penyemakan kesahan skala dibuat melalui sesi
perbincangan dan perundingan dengan pemimpin-pemimpin agama dan para
profesor dari universiti di Iran. Namun data mengenai kesahan dalaman dan
kebolehpercayaan skala dan sub skala, tidak dilaporkan. Pada peringkat
pemprosesan data pula beliau hanya menggunakan lima dari 40 item yang
dibina dengan memberi penerangan ringkas seperti berikut,”due to the
extensiveness of the list of items measuring the degree of religiosity, only the
responses to a limited number of item were utilized for analysis” (Samandari
1980: 32). Dengan itu usaha beliau untuk membina skala religiositi Muslim yang
komprehensif tidak membuahkan hasil (Serajzadeh 1998).
b. Pouryousseffi (1984) telah menjalankan kajian ke atas pelajar Muslim yang
berada di kolej-kolej yang terdapat di Amerika Syarikat. Beliau telah membina
31 item berformatkan skala Likert berdasarkan model Glock & Stark (1965)
(kecuali dimensi intelektual). Namun laporan kajiannya juga tidak memberi
maklumat mengenai kesahan dalaman dan kebolehpercayaan skala
(Serajzadeh 1998).
c. Wilde & Joseph (1977) telah membina instrumen ‘Muslim attitudes towards
religion scales (MARS)’ untuk mengukur religiositi pelajar-pelajar Muslim di
Universiti Essex. Item-item dalam instrumen ini telah diadaptasi daripada
Francis attitudes towards Christianity scale (Francis1978; Francis & Stubbs
1987) untuk populasi Muslim, walaupun dikatakan item-item ini dibina dengan
panduan dan penyeliaan Persatuan Muslim Universiti Essex England (Wilde &
Joseph 1997).
d. Serajzadeh (1998) juga telah membina instrumen bagi mengukur religiositi
Muslim berdasarkan pengubahsuaian kepada model Glock & Stark (1965)
(kecuali dimensi intelektual). Sarejzadeh mengandaikan bahawa agama
Judaisme, Kristian dan Islam mempunyai elemen yang serupa dari segi struktur
prinsip atau rukunnya. Oleh itu menurut beliau sesetengah item yang
dibangunkan untuk Judaisme dan Kristian boleh diguna pakai untuk Islam
(Serajzadeh 1998: 138). Beliau mendapati kebanyakan item yang digunakan
dalam kajian Pouryouseffi (1984) relevan untuk kajiannya. Oleh itu beliau telah
membuat sedikit perubahan kepada susunan ayat dan membuat sedikit
perubahan kepada susunannya dan mengambil beberapa item lagi untuk
disesuaikan dengan umur dan mazhab (pelajar sekolah tinggi bermazhab
Syiah). Dalam kajian beliau, soal selidik yang digunakan mengandungi 29 item
dan menggunakan skala Likert -5 mata, terbahagi kepada lima bahagian
berikut:
i. Religous belief (7 item) merangkumi item-item mengenai rukun iman.
ii. Religous practices (8 item) merangkumi item-item mengenai rukun Islam.
iii. Religious feeling (6 item) merangkumi item-item berkaitan pandangan
atau worldview mengenai beberapa perkara isu Islam seperti pimpinan,
peraturan berpakaian, wanita Islam dan lain-lain.
iv. Civil religion (8 item) merangkumi item-item berkaitan dengan aspek
kenegaraan (khususnya di Iran). Serajzadeh (1998) juga melaporkan
aspek-aspek kesahan dan kebolehpercayaan instrumen yang digunakan.
Beliau telah menemukan tiga cara yang digunakan untuk memperoleh
kesahan berikut:
31
i. Kesahan awal diperoleh dengan melantik beberapa orang pelajar Ph.D
Muslim yang mempunyai pengetahuan tentang aspek rukun, amalan dan
peraturan Islam untuk menyemak kesahan item-item.
ii. Kesahan konstruks berdasarkan ‘Differential association’. Sarejzadeh
mendapati dapatannya bercanggah dengan dapatan kajian dengan
masyarakat Barat di mana wanita lebih beragama dari lelaki. Oleh itu
beliau merumuskan bahawa kriteria ini tidak dianggap sebagai ujian
kesahan bagi masyarakat Islam.
iii. Kesahan luaran (extrnal validity) diperoleh dengan meminta responden-
responden menilai komitmen agama masing-masing dengan
menggunakan 10 mata. Pekali Pearson menunjukkan korelasi antara
religiositi kendiri dengan skor keseluruhan religiositi adalah sederhana
tinggi.
e. Selanjutnya Abdullah (2004) telah membina instrumen ‘Sahin-Francis of
attitudes towards of Islam’ bagi mengukur remaja Muslim terhadap Islam.
Instrumen yang dihasilkan menggunakan konstruk yang serupa dengan
‘Francis scale of attitudes towards Christianity’ oleh Francis (1987) tetapi telah
diubahsuai kepada konteks Islam. Sebanyak 23 item telah hasilkan dan dirintis
ke atas 381 remaja Muslim berumur 16-20 tahun di tiga buah kolej di
Birmingham England. Dapatan kajian menunjukkan remaja lelaki mempunyai
sikap yang lebih positif terhadap Islam berbanding dengan remaja perempuan.
Daripada tinjauan di atas dapatlah disimpulkan bahawa kajian-kajian tentang
pembinaan instrumen religiositi bagi pengukuran religiositi (penghayatan agama)
masyarakat Islam secara khusus adalah berkurangan. Keadaan ini menjadi lebih parah
sekiranya pengkaji Muslim menggunakan model pengukuran yang berasaskan model
Kristian. Walaupun model Glock & Stark (1965) kelihatan mempunyai keserupaan
dalam sesetengah aspek, namun usaha mereka untuk menyejagatkan (universalize)
dimensi-dimensi religiositi sudah tentu akan menghilangkan ciri-ciri unik yang terdapat
dalam Islam. Dalam hal ini, Samsuddin (1992) dalam tulisannya telah menegaskan:
“Islam is distinctly different from the Judeo-Christian religious as regards the meaning
scope and nature of worship’. Oleh itu indikator-indikator penghayatan Islam juga
berbeza daripada indikator-indikator religiositi Judeo-Kristian. Dengan ini instrumen
bagi pengukuran religiositi bagi Muslim hendaklah berbeza serta dibina berdasarkan
teori dan model berasaskan Islam.
2.9.2 Kajian di Malaysia
Berdasarkan tinjauan literatur tidak banyak menemukan kajian yang membincangkan
secara khusus mengenai pembinaan instrumen dalam bidang agama Islam. Namun
terdapat kajian-kajian berkaitan dengan agama Islam di mana ada dibina item-item
bagi mendapatkan makluman mengenai aspek pengukuran akan dibuat.
Mohd Arif (1993) telah membincangkan kajian bagi mengesan kemampuan
sekolah agama membina akhlak pelajar-pelajar seperti mana yang dinyatakan dalam
falsafah sekolah agama. Di dalam kajian ini beliau telah membina instrumen bagi
membandingkan amalan tingkatan satu hingga lima ketika di sekolah dan di rumah.
Sebanyak 51 item telah dibina yang terdiri daripada aspek-aspek pelaksanaan wajib,
sunat dan haram ketika di rumah dan di sekolah. Beliau mendapati terdapat perbezaan
yang signifikan antara pelaksanaan amalan pelajar-pelajar di sekolah menengah dan
di rumah, di mana ramai pelajar tidak melaksanakan amalan-amalan yang mereka
biasa lakukan di sekolah seperti solat sunat, membaca al-Qur’an dan berzikir.
32
Zakaria et al. (1994) telah menjalankan kajian terhadap 735 orang pelajar
tingkatan empat di 18 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA). Dalam
soal selidik yang diberikan kepada pelajar terdapat 10 item untuk mengukur
pemahaman pelajar tentang konsep akhlak. Dapatan kajian tersebut menunjukkan
bahawa pelajar lelaki didapati lebih memahami konsep akhlak berbanding dengan
pelajar perempuan.
Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan
kerjasama Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (1994) telah
menjalankan kajian untuk melihat keberkesanan aliran agama di sekolah-sekolah
menengah biasa di Semenanjung Malaysia. Salah satu tujuan kajian ialah untuk
mengesan sejauh mana pelajar-pelajar aliran agama di sekolah menengah biasa dapat
mempraktikkan dan menghayati pendidikan Islam dan Bahasa Arab yang diajar
kepada mereka. Responden terdiri daripada 618 pelajar yang terdiri dari pelajar lelaki
dan perempuan daripada tingkatan dua dan empat di 17 buah sekolah. Dalam soal
selidik yang dikemukakan terdapat 16 item bagi mengukur kefahaman Islam (5 item)
dan penghayatan agama Islam (11 item). Antara aspek-aspek yang disoal adalah
sembahyang, doa dan beberapa perkara tentang Islam dan orang Islam. Data
mengenai kesahan dan kebolehpercayaan instrumen tidak dilaporkan.
Abdul Halim & Zarin (2002) telah menjalankan kajian tentang persepsi dan
kefahaman pelajar terhadap konsep akhlak. Responden kajian terdiri daripada 932
pelajar tingkatan empat di 21 buah sekolah di Selangor. Responden ditanya terhadap
satu soalan terbuka iaitu: “nyatakan dengan ringkas, bagaimana anda menghuraikan
maksud orang yang berakhlak”. Dapatan kajian ini menunjukkan majoriti pelajar
(70.3%) memahami prasyarat bagi orang yang berakhlak dan keperluan
mengimplementasikan nilai-nilai akhlak Islam dalam kehidupan seharian.
Azma (2006) telah membuat kajian dalam pengukuran penghayatan agama
dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah di Malaysia hasil dari mata
pelajaran Pendidikan Islam yang diajar di sekolah-sekolah khususnya untuk melihat
sejauh manakah mata pelajaran pendidikan Islam dalam Kurikulum Baru Sekolah
Menengah (KBSM) yang di gubal dapat memberi kesan positif kepada para pelajar.
Kumpulan penyelidik IRFA yang berhubung dengan religiositi yang diketuai
oleh Azimi et al. (2007) kajiannya yang bertajuk ‘Profil religiositi beliawanis Malaysia’,
telah membuat model pengukuran agama dalam kalangan belia yang dinamakan
‘Muslim religiosity-personality measurumet inventory (MRPI). Model pengukuran
penghayatan agama yang disediakan oleh kumpulan tersebut adalah berteraskan
konsep pemahaman dan tasawur Islam serta sejauh mana pengamalan belia terhadap
agama. Berdasarkan kajian tersebut mendapati bahawa terdapat belia dan beliawanis
Malaysia yang tidak mengamalkan ibadat yang diwajibkan dalam agama Islam sekali
gus terjebak dengan lencongan tingkah laku dalam kehidupan mereka.
Berdasarkan tinjauan awal di atas menunjukkan belum ada kajian untuk melihat
dan mengukur penghayatan Islam dalam kalangan anggota Angkatan Tentera
Malaysia, sekali gus kajian yang akan dilakukan ini juga akan dapat mengukur sejauh
manakah keberkesanan usaha-usaha dakwah yang dilakukan oleh Kor Agama
Angkatan Tentera (KAGAT) dalam membentuk warga tentera yang mempunyai
penghayatan Islam dengan baik ataupun sebaliknya.
2.10 PRINSIP PENGUKURAN PENGHAYATAN ISLAM
33
Pengukuran adalah pemberian nombor-nombor kepada objek atau peristiwa melalui
prosedur tertentu untuk menilai pencapaian individu berasaskan nilai numerikal yang
diperoleh (Sidek 1998). Pengukuran psikologi terbukti lebih sahih dan berkesan untuk
memahami konstruk psikologi dan atribut personaliti individu berbanding kaedah lain
(Sidek 1998). Menyedari hal itu, para sarjana barat telah membangunkan lebih
daripada 523 alat pengukuran religiositi dalam bentuk psikometrik sejak 1935 hingga
1996 (Hill & Hood 1999) daripada perspektif agama Kristian.
Pengukuran religiositi dan personaliti religiositi daripada perspektif Islam boleh
dibuat namun mempunyai prinsip tertentu yang perlu dipatuhi agar pengukuran adalah
tepat dan selaras dengan ajaran Islam. Justeru itu, kajian kualitatif telah dibuat untuk
memahami dan mengenal pasti prinsip-prinsip berkenaan. Berasaskan kajian yang
telah di buat oleh Azimi et al. (2007), telah melakukan sejumlah enam siri temu ramah
dengan pakar-pakar dalam bidang pengajian Islam di Malaysia daripada latar-
belakang yang berbeza untuk mengenal pasti apakah yang dikatakan ‘penghayatan
Islam’. Berdasarkan temu bual tersebut, terdapat tujuh prinsip yang menjelaskan
penghayatan Islam. Prinsip-prinsip yang dimaksudkan ialah:
a. Prinsip Pertama: Hukuman atau penilaian penghayatan agama daripada
perspektif Islam individu atau kelompok adalah berasaskan kepada aspek zahir
sahaja. Ini bermaksud, seseorang individu itu dihukumkan sebagai seorang
Muslim yang baik selagi ia menunaikan tanggungjawab sebagai seorang
Muslim dan bertingkah laku sebagai seorang Muslim walaupun niatnya bukan
semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah. Dalam erti kata lain, urusan
tentang rahsia hati individu berada di luar bidang kuasa manusia. Oleh itu,
individu tidak boleh dihukum sebagai munafik atau fasiq apatah lagi kafir, selagi
individu tersebut tidak menzahirkan perkataan atau perbuatan yang
dikategorikan sebagai perbuatan orang yang munafik atau fasiq atau kafir.
Antara perbuatan yang dikategorikan sebagai fasiq adalah meminum arak,
berjudi (Surah al-Ma’idah: 41), mengamalkan riba (Surah al-Baqarah: 271),
mencuri (al-Ma’idah: 38) dan berzina (Surah al-Nisa’: 15). Ini bermakna,
seseorang itu adalah hanya dikategorikan sebagai orang yang fasiq apabila
melakukan perkara-perkara yang jelas diharamkan oleh Islam. Di dalam
perkara yang melibatkan perundangan pula, hukuman hanya dapat diputuskan
apabila kes tersebut mempunyai saksi yang adil. Perkara ini jelas dalam firman
Allah dalam Surah al-Nisa’ (4:16):
Maksudnya: “Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara
perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu
yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan
saksi itu mengesahkan perbuatan itu, maka kurunglah mereka (perempuan itu)
dalam rumah hingga sampai ajal matinya atau hingga Allah mengadakan untuk
mereka jalan keluar dari hukuman itu”.
b. Prinsip kedua: Pengukuran religiositi daripada perspektif Islam boleh dibuat,
namun nilaian sebenar dan pengukuran yang paling tepat tentang diri
seseorang atau kelompok adalah di sisi Allah. Prinsip kedua juga berkait rapat
dengan prinsip yang pertama. Kesemua pakar yang ditemui telah bersetuju
bahawa religiositi boleh diukur daripada perspektif Islam khususnya melalui
kaedah pemerhatian. Kedudukan manusia adalah bertingkat-tingkat di sisi
Allah sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran dalam Surah Al ‘Imran
(3:163):
34
Maksudnya: “Mereka itu mempunyai tingkatan-tingkatan (pahala atau dosa
yang berlainan) di sisi Allah, dan Allah maha melihat akan segala yang mereka
kerjakan.”.
Bagaimanapun, ukuran nilai mutlak diri seseorang adalah di sisi Allah.
Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah (2:284):
Maksudnya: “Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah
kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu
atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung kepada
kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan
menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang
peraturan-Nya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
Realitinya, terdapat segolongan manusia yang tidak beriman tetapi
berpura-pura beriman. Allah menjelaskan golongan ini di dalam al-Qur’an
dalam Surah al-Anfal (8:56):
Maksudnya: “Dan mereka (yang munafik itu) bersumpah dengan nama Allah
bahawa sesungguhnya mereka dari golongan kamu, padahal mereka bukanlah
dari golongan kamu, tetapi mereka ialah suatu kaum yang pengecut”.
c. Prinsip ketiga: Pengukuran penghayatan agama daripada perspektif Islam
adalah berasaskan manifestasi iman, Islam dan ihsan. Asas pengukuran
penghayatan agama daripada perspektif Islam adalah manifestasi iman, Islam
dan ihsan.
d. Prinsip keempat: Iman perlu dibuktikan dengan amalan. Keimanan
memerlukan bukti. Bukti tersebut adalah amalan yang selaras dengan akidah
yang dipegang. Pengetahuan atau kefahaman seseorang terhadap perkara
yang berkaitan dengan akidah adalah melambangkan pengetahuan dan
kefahaman semata-mata. Pengetahuan dan kefahaman yang tinggi adalah
tidak mencukupi untuk membuktikan ketakwaan seseorang. Keimanan kepada
Allah, para rasul, para malaikat, kitab-kitab-Nya serta hari akhirat mesti
dibuktikan dengan menunaikan segala perintah Allah dan meninggalkan segala
yang ditegah oleh Allah dan rasul-Nya. Keimanan terhadap qada’ dan qadar
Allah pula perlu dibuktikan dengan sifat sabar dan reda dengan ujian yang
menimpa. Allah berfirman dalam Surah Al ‘Imran (3:31):
Maksudnya: “Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku,
nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan
Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani”.
e. Prinsip kelima: Penghayatan syariat Islam yang sempurna melahirkan akhlak
yang mulia. Akhlak yang mulia terhasil daripada akidah dan
pengimplimentasian syariah Islam yang sempurna. Akhlak merupakan sifat diri
batin seseorang yang telah kukuh sebati dan seterusnya mencetuskan
tindakan atau pola perlakuan tertentu secara spontan. Sehubungan itu,
keimanan yang sempurna yang telah sebati dengan diri individu akan
mencetuskan akhlak yang mulia. Oleh yang demikian, individu yang
memaparkan akhlak yang buruk secara tidak langsung menunjukkan
kelemahan aspek akidah dan penghayatan agamanya.
f. Prinsip keenam: Simbol yang mempunyai perkaitan dengan penghayatan Islam
tidak semestinya mempunyai interpretasi yang sama bagi individu yang
berbeza. Terdapat banyak simbol yang berkait dengan religiositi daripada
perspektif Islam. Antara simbol tersebut adalah pakaian, bahasa, material,
bentuk fizikal dan air muka. Contohnya dalam aspek berpakaian. Individu yang
35
berpakaian menutup aurat telah memenuhi tuntutan syariat dalam aspek
pakaian. Bagaimanapun, individu yang berpakaian menutup aurat tidak
semestinya mempunyai akidah yang sempurna atau mengamalkan akhlak
yang mulia. Justeru itu, pakaian yang dipakai dan air muka seseorang belum
cukup untuk membuktikan individu tersebut adalah individu yang bertakwa
kepada Allah. Oleh yang demikian, simbol yang sama tidak semestinya
mempunyai natijah yang sama.
g. Prinsip ketujuh: Tahap piawaian pengukuran penghayatan agama daripada
perspektif Islam adalah al-Qur’an dan sunnah. Sumber utama syariah Islam
adalah al-Qur’an dan sunnah. Firman Allah di dalam al-Qur’an yang
bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah Allah dan taatlah Rasul-Nya),
dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang
sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul
(sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian,
yang demikian itu adalah lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”
Justeru itu, secara automatif tahap piawaian pengukuran religiositi daripada
perspektif Islam adalah al-Qur’an dan sunnah. Oleh yang demikian, ukuran baik
dan buruk bagi sesuatu perkara atau tingkah laku adalah dinilai berasaskan
ukuran baik dan buruk yang termaktub di dalam al-Qur’an dan sunnah.
Kesimpulannya, tujuh prinsip tersebut dikenal pasti sebagai garis panduan di
dalam proses perancangan, pembangunan dan perlaksanaan penilaian atau
pengukuran religiositi dan personaliti religiositi daripada perspektif Islam. Berasaskan
prinsip-prinsip tersebut, religiositi dan personaliti beragama dapat diukur berasaskan
aspek zahir iaitu melalui kefahaman agama, simbol yang berkait dengan penghayatan
Islam, kepatuhan kepada disiplin Islam dan akhlak Islam individu. Bagaimanapun,
kesahihan nilai pengukuran yang dibuat oleh manusia bersifat terbatas kerana nilai
mutlak diri manusia hanya diketahui oleh Allah sahaja.
2.11 TASSAWWUR DAN PENGHAYATAN ISLAM
Menurut Haron Din (1992: 2-3), perkataan ‘tasawwur’ (Bahasa Arab) bermaksud
gambaran rupa bentuk sesuatu. Dengan itu tasawwur Islam bermaksud rupa bentuk
Islam hakiki yang mana akan terjawablah persoalan-persoalan: Sejauh manakah
Islam yang sebenar? Berapakah luas ruang lingkup yang perlu dipenuhi oleh Islam
dalam kehidupan ini? Apakah ada ruang-ruang kehidupan yang terperinci dari Islam?
Disebabkan kecenderungan makna yang luas ini, maka digantikan dengan istilah lain
seperti ‘pandangan hidup Islam’ atau ‘Islamic world view’ atau pun ‘waltenschaung’.
Dalam membincangkan tasawwur Islam, konsep-konsep utama yang
dibincangkan adalah tentang tuhan insan dan matlamat akhirnya dan kerasulan
(1994:16). Asas kepada tasawwur Islam ialah pengertian Islam sebagai agama
rabbani yang bermaksud bahawa Islam itu dicipta oleh Allah dengan segala keunikan
dan kesempurnaan, yang tiada bandingannya dengan lain-lain agama (Haron Din
1992: 24-27). Konsep rabbani pula, menekankan tentang kewujudan Allah yang esa,
yang menunjukkan kesempurnaan melalui 99 nama Allah yang menggambarkan sifat-
sifatnya yang dikenali sebagai al-Asma’ al-Husna. Daripada 99 nama-nama tersebut,
manusia dapat mengenali Allah dengan terperinci, membayangkan kesempurnaannya
dalam hati, malah dapat melihat kewujudannya dengan mata Hati (Haron Din 1992:
31). Oleh itu seseorang yakin dengan reda Allah ini, akan berusaha bersungguh-
sungguh dengan seikhlasnya dalam semua keadaan untuk melakukan kebaikan
menuntut nilai yang telah ditanzilkan (Wan Mohd Nor 1994: 21). Ini adalah kerana
Islam yang diturunkan untuk manusia makhluk ciptaannya, amat serasi dan cocok
untuk menjamin kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat (Haron Din 1992: 34-35).
36
Dalam tasawwur Islam, manusia diciptakan tuhan dalam sebaik-baik kejadian
dan sebagai suatu entiti psiko-fizikal (Shalabi 1968:113). Untuk menjadi hamba (‘abdu)
yang dilantik sebagai khalifah serta diamanahkan untuk mengurus dan membangun
dunia ini mengikut perancangan tuhan (Mohd Kamal 1995:9-11). Bagi mencapai
tujuan ini, Allah (s.w.t.) memberi manusia petunjuk (hidayah, huda) mengenal
kebenaran (al-Haqq) agar manusia sentiasa berada di atas jalan kebenaran (sirat
mustakim) dan tidak disesatkan oleh kebatilan dan syaitan. Manusia juga diberi
petunjuk mengenai akidah yang benar, syariah dan akhlak melalui para nabi dan rasul
yang terpilih. Allah (s.w.t.) juga mengurniakan nikmat yang banyak kepada manusia
agar manusia sentiasa ingat kepada Allah, mematuhi perintahnya, berakhlak mulia
dan bersyukur kepadanya (Mohd Kamal 1995:13). Sehubungan dengan itu manusia
juga diuji oleh Allah (s.w.t.) dan segala perbuatan manusia di dunia ini akan
dipertanggungjawabkan di hari akhirat (Mohd Kamal 1995: 12-15). Namun begitu,
dunia dan akhirat mempunyai keseimbangan dalam tasawwur Islam (Haron Din
1992:16). Walaupun tujuan akhir adalah akhirat, manusia mengimbang kepada
kepentingan duniawi. Malah Islam menolak pandangan hidup kerahiban atau
asetisisme (Che’ Yusuff 1986: 7). Oleh itu objektif kehidupan manusia yang beriman
mestilah untuk memastikan kejayaan dunia dan akhirat.
Dalam Islam, alam ini adalah ciptaan Allah (s.w.t.) dan mengandungi berbagai-
bagai nikmat yang dikurniakan kepada manusia untuk di kecapi dan digunakan
mengikut batas-batas Ilahi (Mohd Kamal 1995: 3-9). Manusia diberi keupayaan untuk
melentur atau menggubal bentuk alam ini melalui aktiviti pertanian, hortikultur,
kejuruteraan, seni bina dan lain-lain bagi membina tamadun. Namun manusia
hendaklah ingat bahawa penggunaan kemudahan yang disediakan dalam alam ini
hendaklah dikekalkan keseimbangan dan keharmoniannya (Mohd Kamal 1995: 18).
Sekiranya disalah gunakan untuk tujuan yang tidak berasas nilai-nilai moral,
manusialah yang patut dipertanggungjawabkan di atas segala kerosakan dan bencana
alam yang berlaku.
Perbincangan di atas adalah sebahagian daripada aspek tasawwur Islam yang
perlu dijelaskan, kepada orang Islam. Ini adalah kerana musuh-musuh Islam telah
berusaha dan terus berusaha untuk merosakkan Islam dengan berbagai-bagai cara
dan teknik yang berubah-ubah (Haron 1992:4). Usaha-usaha yang dibuat termasuklah
menguasai dan meracuni pemikiran orang Islam dengan memutar belitkan hakikat al-
Qur’an dan hadis, menggembar-gemburkan hukum Islam sebagai tidak praktikal,
keras dan kejam, mengulas sejarah Islam secara kabur dan menyimpang dari
kebenaran, menghapuskan bahasa Arab dan hurufnya serta menggambarkan Islam
sebagai sesuatu yang kejam, lapuk dan mundur (Haron 1992: 8). Mereka menyelidiki
rahsia kekuatan umat Islam dan mendapati bahawa umat Islam bergantung kepada
keyakinan terhadap Allah (s.w.t.), kepercayaan kepada Rasul, Kepercayaan kepada
Malaikat Kepercayaan Kitab yang Allah turunkan, Keyakinan kepada hari kiamat serta
Qada’ dan Qadar Allah (Haron 1992: 9).
Permusuhan terhadap Islam masih berlaku hingga ke hari ini. Media-massa
Barat memaparkan Islam sebagai ancaman hebat terhadap Barat. Sukar ditemui
dalam karya-karya sarjana Barat yang tersohor menyebut bahawa mesej Islam yang
disampaikan oleh Nabi Muhammad (s.a.w.) pada asasnya adalah sama dengan mesej
yang disampaikan oleh nabi-nabi yang terdahulu seperti Nabi Ibrahim, Nabi Yahya dan
Nabi ‘Isa. Malah Islam masih disalah tanggap sebagai ekstrem dan kuno (Amir 1998:
91- 92).
37
Sehubungan dengan itu juga, negara-negara Islam turut dilanda faham
sekularisme yang bertolak daripada proses kolonialisme oleh kuasa-kuasa Barat (al-
Attas 1978: 119). Penjajahan yang dilakukan oleh Barat ini disusuli dengan langkah-
langkah yang bertujuan untuk memindahkan corak pemikiran sekular yang dominan
kepada Barat dan pada masa yang sama menghakis peranan dan kepentingan Islam
dalam pemikiran dan tamadun masyarakat Islam yang dijajah (al-Attas 1978: 40-42).
Proses de Islamisasi (pemasukan konsep-konsep asing ke dalam pemikiran Muslim,
yang kekal dan mempengaruhi pemikiran dan penaklukan) ini, sedang giat berjalan di
negara-negara Islam hari ini dan akibatnya Islam sedikit demi sedikit terungkai dari diri
Muslim (Abdul Ghafar & Zaleha 2008). Usaha memisahkan agama dari urusan
kehidupan ini telah berjaya, malah umat Islam turut dilalikan dari agama mereka
melalui hiburan, media massa, majalah, filem, kebudayaan dan kesenian (Haron 1992:
16). Kini sudah terdapat sejumlah tertentu kalangan umat Islam yang sudah terbentuk
sikap dan pandangan hidup mereka yang amat asing dan tidak selaras sekali dengan
norma serta tradisi ajaran Islam (Zakaria 2002: 53). Menurut Haron (1992: 22-23),
masih terdapat umat Islam yang menghayati idea-idea musuh Islam dengan bersikap
seperti berikut:
a. Islam adalah agama individu dan tidak ada kena mengena dengan
masyarakat dan negara.
b. Islam adalah agama untuk akhirat sahaja.
c. Islam adalah agama ibadat yang terkandung dalam dua kalimah
syahadah.
d. Islam tidak boleh di campur dengan politik.
e. Hukum-hukum Islam tidak sesuai dilaksanakan kerana ia kejam.
f. Hukum-hukum Barat lebih baik daripada Islam.
g. Usaha mengembalikan umat Islam kepada agamanya sebagai satu
cara hidup adalah usaha memutar jarum jam ke belakang.
h. Berdakwah mengikut ajaran yang sebenar mesti ditentang dan
dihapuskan.
i. Iman penting, tetapi boleh bercampur aduk dengan maksiat dan lain-
lain lagi.
Dalam konteks budaya ketenteraan dan amalan adat istiadat ketenteraan yang
diamalkan dalam Angkatan Tentera Malaysia tidak terkecuali kerana pengaruh
penjajah British telah membentuk sebahagian dari amalan ketenteraan di Malaysia,
walaupun sebahagian daripada telah dihapuskan dan digantikan dengan amalan dan
tatacara kebudayaan Melayu dan Islam (Khairul Fauzi 2005).
Dalam aspek pendidikan pula, terdapat fenomena dualisme dalam sistem
pendidikan di Malaysia (Rosnani 1996:8). Antaranya, masyarakat Islam merasakan
pengajaran mata pelajaran Pendidikan Islam kurang berkesan di sekolah-sekolah
kebangsaan di mana terdapat sejumlah besar murid-murid yang tidak tahu membaca
al-Quran dan bersolat. Murid-murid juga dikatakan belajar mata pelajaran pendidikan
Islam hanya untuk keperluan peperiksaan, dan bukannya untuk pembangunan moral
dan penghayatan.
Daripada perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa salah faham
terhadap Islam ini telah menular dalam masyarakat kita dan perlu dihapuskan.
Fahaman terhadap tasawwur Islam perlu diterapkan pada setiap peringkat masyarakat
khususnya anggota tentera. Dengan cara ini umat Islam akan dapat membina kembali
kekuatan seperti kekuatan umat Islam terdahulu.
38
Dalam konteks kajian dakwah Islam dan pengukuran penghayatan Islam
dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia, perbahasan di atas
menyuarakan pentingnya aspek tasawwur Islam diukur sebagai sebahagian daripada
komponen penghayatan Islam kerana ia mempengaruhi pemikiran dan perbuatan
seseorang di mana Muslim yang tinggi terhadap tahap penghayatan Islam semestinya
memiliki tasawwur Islam yang jelas. Perbincangan seterusnya akan meninjau
terhadap konsep Islam sebagai satu cara hidup Muslim bagi melihat keluasan konsep
ruang lingkup ajaran Islam.
2.12 ISLAM SEBAGAI AL-DIN
Di dalam al-Quran Allah (s.w.t.) telah menghubungkan Islam dengan al-din (agama)
seperti firman Allah dalam kitab suci al-Quran dalam Surah Al ‘Imran (3:19 & 85; al-
Ma’idah (5:3):
Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah
Islam dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih
kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki
dalam kalangan mereka, dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-
ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya”.
Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka
tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang yang
rugi” (Surah Al ‘Imran (3:85).
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan
daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari
Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati
ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu
sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan) kamu
mengundi nasib dengan anak panah, yang demikian itu adalah perbuatan fasik.
Pada hari ini, orang kafir telah putus asa dari agama kamu. Sebab itu janganlah
kamu takut kepada mereka, sebaliknya takutlah kepada-Ku. Pada hari ini, Aku
telah sempurnakan bagimu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku
kepadamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agamamu. Maka sesiapa
yang terpaksa kerana lapar sedang ia tidak ingin melakukan dosa, maka
sesungguhnya Allah maha pengampun, lagi maha mengasihani” (al-Ma’idah
5:3).
Maksudnya: “Katakanlah lagi wahai Muhammad: Sesungguhnya aku
diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat
kepada-Nya, dan aku diperintahkan supaya menjadi orang yang awal pertama
berserah diri bulat-bulat” (al-Zumar 39:11-12).
Maksudnya: “Katakanlah lagi: Sesungguhnya aku takut, jika aku menderhakai
tuhanku akan diazab dihari yang besar” (al-Zumar 39:13).
Al-Nahlawi (2002: 24-25), menyebut bahawa daripada penggunaan al-din
dalam ayat-ayat di atas, maka Islam merupakan sistem agama atau sistem Ilahi yang
sempurna dan mencakupi seluruh sistem kehidupan yang didasarkan atas ketundukan
dan penghambaan Allah serta menegang teguh segala hal yang datang dari Rasulullah
(s.a.w). Dengan itu dapat dirumuskan bahawa konsep penghayatan Islam dapat
difahami degan lebih jelas melalui penekanan istilah al-din.
39
Al-Mawdudi (1991: 104-107), telah memberikan kupasan yang mendalam
mengenai penggunaan perkataan al-din dalam al-Quran. Menurut beliau, al-din
digunakan sebagai suatu istilah yang mencakupi seluruh aspek kehidupan umat,
manusia di dunia dan akhirat yang boleh dilihat dalam empat bahagian berikut:
a. Kekuatan yang mutlak. Ini berdasarkan firman Allah dalam al-Quran dalam
Surah al-Mu’minun yang bermaksud,
“Hingga apabila Kami timpakan azab kepada orang yang mewah di antara
mereka, maka dengan serta-merta mereka menjerit-jerit meminta tolong.
Janganlah kamu menjerit-jerit meminta tolong pada hari ini, sesungguhnya
kamu tidak akan beroleh sebarang pertolongan dari Kami”.
“Mereka diberi minum dari mata air yang menggelegak panasnya” (al-
Ghasiyyah 88:5)
b. Pergerakan diri, lahir dan batin disertai dengan ketaatan dan kesetiaan kepada
kekuasaan Allah. Firman Allah (al-Zumar 39:2-3):
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami turunkan Kitab ini kepadamu dengan
membawa kebenaran; maka sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ibadat
kepada-Nya. Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah
segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang
musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan
penolong (sambil berkata): Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan
supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedekat-dekatnya.
Sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang yang
tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya.
Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang tetap
berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan
melakukan syirik)” .
Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah lagi wahai Muhammad:
Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan
mengikhlaskan segala ibadat kepada-Nya, dan aku diperintahkan supaya
menjadi orang yang awal pertama berserah diri bulat-bulat. Katakanlah: Allah
jualah yang aku sembah dengan mengikhlaskan amalan agamaku kepada-
Nya. Maka sembahlah kamu apa yang kamu kehendaki, selain dari Allah.
Katakanlah: Sesungguhnya orang yang rugi ialah orang yang merugikan
dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat. Ingatlah, yang
demikian itulah kerugian yang jelas nyata”(al-Zumar 39:11-15).
c. Iman dan amal (teori dan praktik) di bawah kawalan pihak yang maha mutlak
kekuasaannya. Ini disebutkan dalam firman Allah yang bermaksud,
“Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang
kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah
menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum
hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah
melainkan Dia, yang demikian itulah Agama yang betul, tetapi kebanyakan
manusia tidak mengetahui” (Yusuf 12: 40).
40
Maksud firman Allah: “Orang yang zalim itu tidak berfikir, bahkan menurut hawa
nafsu mereka melakukan syirik dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka
tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah
disesatkan oleh Allah, dan tiada bagi mereka seorang penolong pun. Maka
hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan; Fitrah Allah yang
menciptakan manusia untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang
perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi
kebanyakan manusia tidak mengetahui” (al-Rum 30:29-30).
d. Ganjaran yang diberikan sebagai timbal balik kepada pihak yang berbuat baik
mahupun buruk, kepada yang tunduk kepada peraturan yang ditentukan pihak
yang maha mutlak kekuasaannya atau yang menyeleweng daripadanya.
Firman Allah dalam Surah al-Zariyyat ayat 5 & 6 yang bermaksud:
“Bahawa sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada kamu mengenai hari
akhirat tetap benar”.
Firman Allah (al-Infitar 82:17-19):
Maksudnya: “Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan hari
pembalasan itu?Sekali lagi, apa jalannya engkau dapat mengetahui
kedahsyatan hari pembalasan itu? (Hari itu ialah) hari seseorang tidak dapat
memberikan pertolongan sedikit pun kepada orang lain, dan segala urusan
pada hari itu tertentu bagi Allah”.
Firman Allah (al-Ma‘un 107:1-3):
Maksudnya: “Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi
hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada
anak yatim, dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak
diterima oleh orang miskin”.
Al-Mawdudi (1991), seterusnya menjelaskan berdasarkan kitab suci al-Qur’an
(at-Tawbah 9:29, Al ‘Imran 3: 19 dan 85, at-Tawbah 9:39, al-Anfal 8:39 dan al-Nas
110:1-3) bahawa al-din juga digunakan sebagai satu istilah yang mencakupi seluruh
aspek kehidupan yang sempurna, zahir dan batin, moral dan material, akhlak dan
kepercayaan, sikap mental dan pembangunan. Di sinlah berlaku perbezaan yang
fundamental antara konsep ‘religion’ menurut perspektif Judaeo-Christian dengan
Islam di mana kehidupan agama bagi mereka adalah semata-mata spiritual dan
terpisah daripada kehidupan duniawi. Hal ini berbeza dengan Islam di mana al-din
merujuk kepada menjadikan keseluruhan ajaran Islam sebagai tatacara hidup (hayah
mutadayyinah) yang sempurna dan diredai Allah sejajar dengan firman Allah dalam
Surah al-Baqarah (2:208):
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama
Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu
menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu
yang terang nyata”.
2.13 ISLAM, IMAN DAN IHSAN
Islam dari segi kata dasarnya bererti sejahtera. Dari segi bahasa Islam bermaksud
berserah diri kepada Allah (al-Nahlawi 2002: 24), taat setia serta ikut kata atau
41
penyerahan total dan ketaatan (Syed Ahmad 179: 37) seperti mana yang disebutkan
oleh Allah dalam Surah Al ‘Imran (3:83):
Maksudnya: “Patut sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka
mencari lain dari agama Allah? padahal kepadanyalah tunduk taat sekalian
makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun
terpaksa, dan kepadanya lah mereka dikembalikan”.
Dalam istilah syarak Islam bermaksud: “menjunjung tinggi dan mengikut segala
yang disuruh oleh Rasulullah (s.a.w.) serta mempercayai bahawa apa yang diajarkan
adalah benar dan betul datangnya dari Allah (s.w.t.)”(Syed Ahmad 1979: 37).
Hadis kedua daripada kumpulan Hadis 40 al-Imam Nawawi (Syed Ahmad
1979) telah menyenaraikan lima rukun Islam, iaitu mengucap dua kalimah syahadah,
mendirikan solat mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan
haji di Baitullah (jika berkemampuan) serta menjelaskan maksud ihsan. Hadith yang
diriwayatkan oleh Muslim (2000 No. 93) dari Umar al-Khattab yang bermaksud:
Dari ‘Umar (r.a.) juga katanya: “Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi
Rasulullah (s.a.w.) tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang
bersangatan putih kainnya, bersangatan hitam rambutnya, tidak kelihatan
atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak
seseorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga ia duduk
berdekatan kepada Nabi (s.a.w.), lalu menyandarkan kedua lututnya kepada
dua lutut Nabi (s.a.w.) dan meletakkan kedua tapak tangannya ke atas dua
paha Rasullah (s.a.w.) dan kemudian ia berkata, “Wahai Muhammad,
khabarkan kepadaku tentang Islam. Maka Rasulullah (s.a.w.) pun menjawab:
Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada tuhan melainkan Allah, dan
bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan
sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau berpuasa pada bulan
Ramadan dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi
kepadanya. Ia berkata: Benarlah engkau. Maka kami ampun tercengang
kerana dia yang bertanya, dan dia pula membenarkannya. Katanya lagi; Maka
khabarkan kepadaku dari hal iman. Rasulullah (s.a.w.) menjawab: Iman itu
ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan MalaikatNya dan segala
kitabNya dan para RasulNya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada
takdir baikNya dan jahatNya. Ia berkata: Benarlah engkau! Kemudian ia
bertanya lagi: Maka sekarang khabarkan kepadaku darihal ihsan. Rasulullah
menjawab: Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah
engkau melihatnya, tetapi jika engkau tidak melihatnya maka sesungguhnya ia
melihat engkau. Akhirnya ia berkata (meneruskan pertanyaannya lagi): Maka
khabarkan kepadaku dari hal hari kiamat. Rasulullah menjawab: Tidakkah yang
datang dariNya lebih tahu daripada orang yang bertanya. Kalau begitu katanya,
khabarkan dari tanda-tandanya. Rasulullah menjawab: tanda-tandanya itu
ialah apabila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang
yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, penggembala kambing
(berbangga-bangga) menegakkan dan meninggikan binaan. Kemudian ia pun
pergi, lalu aku terdiam beberapa ketika. Setelah itu Rasulullah bertanya: wahai
‘Umar, adakah engkau tahu siapakah orang yang bertanya itu? Kataku, Allah
dan Rasulnya lebih mengetahui. Rasulullah berkata: Sesungguhnya itulah
Jibrail yang datang kepada kamu untuk mengajar agama kamu”.
42
Iman dalam bahasa Arab bermaksud membenarkan sesuatu lalu
mempercayainya, manakala dalam istilah syarak ia bermaksud, “mengaku dengan
lidah dan membenarkan dalam hati bahawa agama yang dibawa oleh Rasulullah
(s.a.w.) itu adalah benar, tanpa syak dan ragu” (Syed Ahmad 1979: 49-50). Enam
perkara rukun iman yang telah digariskan oleh Hadis yang disebutkan, iaitu beriman
kepada Allah, para Malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari kiamat dan takdir Allah yang
baik dan yang buruk.
Al-Hanbali (1988) menjelaskan bahawa seolah-olah ada pertindihan makna
antara Islam dan iman. Namun menurutnya,
“... When Islam and iman are mentioned together, iman refers exclusively to the
belief of the heart and its knowledge, and Islam refers to a person’s surrender
to Allah, his subservience to Him and his submission to Him”.
Dengan kata lain, perkataan Islam dan iman mempunyai makna yang sama
jika digunakan secara berasingan dan mempunyai makna yang khusus jika digunakan
bersama seperti mana dalam sebahagian dari Hadis Ibn ‘Abbas yang bermaksud al-
Bukhari (2000):
“Nabi bersabda, tahukah anda sekalian, apa ertinya iman kepada Allah satu-
satunya?”, Jawab mereka, “Allah dan Rasulnya lebih mengetahui”, sabda nabi,
“mengakui tidak ada tuhan selain Allah dan Muhammad itu Rasulullah,
kemudian nabi menyuruh mereka mengerjakan solat, membayar zakat,
berpuasa di bulan Ramadan dan memberikan satu perlima harta rampasan
perang kepada Baitul Mal”.
Menurut al-Hanbali (1988) lagi, atas dasar inilah Rasulullah (s.a.w.),
sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, berkata bahawa, “ Islam itu luaran
dan iman itu di dalam hati”. Atas dasar ini juga dikatakan bahawa setiap mukmin adalah
Muslim, tetapi tidak semua Muslim itu mukmin. Hal ini telah diperjelaskan melalui
firman Allah dalam Surah al-Hujurat (49:14):
Maksudnya: “Orang ‘Arab’ berkata: “Kami telah beriman”. Katakanlah (Wahai
Muhammad): “Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi
sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah
sahaja: Kami telah Islam dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya
(zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dari pahala amal-
amal kamu, kerana sesungguhnya Allah maha pengampun, lagi maha
mengasihani”.
Berkaitan dengan ayat di atas al-Hanbali (1988) menjelaskan bahawa penafian
terhadap orang Arab Badwi bukan bermaksud ketiadaan iman tapi iman mereka belum
sempurna. Iman mereka sekadar mencakupi untuk memenuhi syarat-syarat amalan
Islam mereka diterima (syahadah, solat dan lain-lain). Dalam konteks inilah iman
dikatakan mempunyai tahap yang berbeza-beza.
Menurut Ibn Taymiyyah (1999: 5-6), tingkat iman lebih tinggi daripada Islam.
Contohnya dalam sebuah Hadis nabi yang bermaksud, orang Muslim yang paling
utama ialah jika orang Muslim lainnya selamat dari gangguan lisan dan tangannya dan
orang Muslim yang lain utama ialah yang baik akhlaknya kerana ia mencakup sifat
orang pertama (tiada gangguan lisan dan tangan).
43
Ihsan dalam bahasa Arab bermaksud berbuat baik, tetapi maksud berdasarkan
Hadith yang dinyatakan di atas ialah, menyempurnakan ibadah dengan menjaga hak-
hak ketuhanan, memelihara dengan penuh kewajaran, sentiasa merasakan kebesaran
tuhan yang disembah dan yakin akan kehadirannya dari awal ibadah hingga ke akhir
(Syed Ahmad 1979: 66). Bila mana ibadah dilaksanakan sedemikian rupa seolah-olah
melihat Allah) tentu sekali akan menimbulkan rasa takut dan takwa (Syed Ahmad 1979:
67; al-Hanbali 1988). Natijahnya adalah keikhlasan dan secara berhati-hati untuk
melaksanakannya dengan sempurna. Ibadat seperti ini merupakan cara ibadat para
nabi dan rasul, para wali, salihin dan muttaqin (Syed Ahmad 1979: 67).
Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1990), menyatakan bahawa ihsan menghasilkan
sifat muraqabah iaitu “pengetahuan bahawa Allah (s.w.t.) sentiasa melihat hal-hal
dalaman dan luaran”. Ini bermakna seseorang yang memiliki sifat muraqabah akan
sentiasa merasai kebesaran Allah (s.w.t.) dalam hatinya dan keadaan inilah yang akan
menjalin rasa cinta kepada Allah (s.w.t.). Oleh kerana ibadat seperti ini sukar dicapai,
Rasulullah (s.a.w.) menganjurkan kita agar mencapai tahap mengetahui dan
menyedari Allah (s.w.t.) melihat kita (al-Hanbali 1988).
Menurut Ibn Taymiyyah (1988:8), ihsan mencakupi iman dan iman mencakupi
Islam. Ini menunjukkan bahawa ihsan, iman dan Islam melambangkan tiga tahap
penghayatan Islam berdasarkan ketinggian keimanan dalam urutan seperti berikut:
i IHSAN
a IMAN
ISLAM
i
Rajah 2.1 Tiga tahap penghayatan Islam
Sumber: Abdul Rahman 2002
Daripada perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa penghayatan
agama daripada perspektif Islam merujuk kepada menjadikan keseluruhan ajaran
Islam sebagai al-din atau tatacara hidup. Sejauh mana ajaran Islam dihayati dalam
kehidupan seseorang bergantung pada setinggi mana keimanan seseorang itu yang
boleh dibahagikan kepada tiga tahap iaitu Islam, iman dan ihsan. Bahagian seterusnya
akan melihat konsep penghayatan agama dan penghayatan Islam dengan lebih
terperinci lagi.
2.14 TAKWA SEBAGAI TERAS PENGHAYATAN ISLAM
2.14.1 Pengertian Takwa Menurut Bahasa
Menurut Kamus bahasa Arab, al-Munjid perkataan (taqwa) adalah kata nama atau
‘ism’ yang diambil dari takwa’. Ia diambil dari akar kata kerja, ’iqta” ’ittaqa’. Perkataan
44
ini berasal dari akar kata ’waqa’. Ia diberi makna sebagai “ Takutkan Allah serta
beramal mentaatinya”. Dalam al-Qur’an perkataan takwa digunakan dalam pelbagai
konteks yang merangkumi. Firman Allah (al-Hujurat 49: 13):
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan
kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai
bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah
mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di
sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha
mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu)”.
Firman Allah (al-Baqarah 2: 198):
Maksudnya: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan
yang termaklum. oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya
(dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri,
dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa
mengerjakan ibadat haji. dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah
diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya
kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban
meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaku wahai orang yang berakal
(yang dapat memikir dan memahaminya)”.
Firman Allah (ali- Imran 3: 133):
Maksudnya, “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik
untuk mendapat) keampunan dari tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang
bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang
bertaqwa”.
2.14.2 Pengertian Takwa Menurut Istilah Syarak
Para sarjana Islam seperti al-Ghazali (450-505 H), al-Qasimi, al-Tabarrah serta
beberapa orang ahli tafsir al-Qur’an seperti al-Tabari, al-Qurtubi dan beberapa orang
ahli tafsir moden seperti Yusuf ‘Ali, Said Hawwa, Muhammad Assad, HAMKA dan lain-
lain tidak ketinggalan turut memberi pandangan tentang pengertian dan konsep takwa.
al-Ghazali membuat kesimpulan tentang pengertian takwa sebagai
menghimpun segala kebaikan dunia dan akhirat yang merangkumi segala kepentingan
sampai kepada darjat yang paling tinggi atau kepentingan yang kecil-kecilannya ke
darjah yang paling rendah (Abdul Aziz @ Ahmad 1994).
Bagi al-Tabari pula memberi pengertian takwa dan orang yang bertakwa ialah
orang yang menjaga dan melindungi dirinya dari melakukan apa yang ditegah oleh
Allah dan menjauhi maksiat. Mereka melakukan apa yang Allah perintah dari perkara-
perkara wajib. Bagi al-Tabari, gelar dan sifat takwa adalah siapa pun yang boleh
membatas makna takwa kepada sifat tertentu dan menafikan sifat-sifat yang lain (al-
Tabari 1969).
al-Qurtubi (1952) pula telah menukilkan beberapa pendapat dari ulama yang
membuat huraian mengenai pengertian takwa. Antaranya adalah dari pendapat Abu
Yazid al-Bistami yang berpendapat bahawa orang yang bertakwa itu ialah seseorang
yang apabila ia beramal, dia beramal kerana Allah. Manakala al-Darrani pula
45
dilaporkan pernah berkata, bahawa orang yang bertakwa ialah orang yang telah
dicabut oleh Allah dari hati mereka (sifat) kasih kepada syahwat keinginan nafsu.
Seterusnya pada pandangan al-Qurtubi, takwa adalah perkataan yang
mengandungi kebaikan seluruhnya. Ia adalah pesanan Allah Taala kepada golongan
terdahulu dan kemudian. Satu pendapat lain pula menyatakan bahawa perkataan ‘al-
Birr’ dan ‘at-taqwa’ adalah dua perkataan yang mempunyai satu makna sahaja. Tiap-
tiap ‘al-Bir’ atau kebajikan adalah takwa dan sebaliknya iaitu tiap-tiap takwa adalah al-
Birr atau kebajikan. Al-Mawardi pula menambah bahawa kalimah takwa dalam konteks
keredaan Allah, manakala perkataan al-Bir atau kebaikan adalah dalam konteks
keredaan manusia. Barang siapa yang dapat menghimpun keredaan Allah dengan
manusia, maka sesungguhnya sempurnalah kebahagiaannya dan lengkaplah
nikmatnya (al-Qurtubi 1952).
Abdul Aziz @ Ahmad (1994) telah memetik pendapat al-Jurjani di dalam al-
Ta’rifat, yang telah memberikan berbagai-bagai pengertian takwa dari segi syariat dan
hakikat. Antaranya, takwa adalah memelihara diri daripada balasan seksa Allah
dengan mentaatinya iaitu memelihara diri daripada perkara yang membawa kepada
tindakan atau balasan, baik dari segi melakukan perbuatan atau meninggalkannya.
Takwa dari segi ketaatan bermaksud ikhlas, manakala takwa dalam konteks maksiat,
bermaksud meninggalkan atau mengelakkan. Pendapat lain pula menyatakan bahawa
takwa ialah mengikut Nabi (s.a.w.) baik perkataan mahupun amalan.
Bagi HAMKA dalam kitab tafsirnya al-Azhar telah menjelaskan definisi takwa
yang berasal dari rumpun kata ‘wiqayah’ yang bererti memelihara. Memelihara
hubungan baik dengan tuhan iaitu memelihara diri supaya diri tidak terjerumus kepada
perbuatan yang tidak diredai tuhan, memelihara segala perintahnya supaya dapat
dilaksanakan serta memelihara kaki supaya kaki tidak terperosok ke tempat yang
berlumpur atau berduri (HAMKA 1994).
Seterusnya, al-Maraghi (1969) pernah mengutip pandangan dua orang ahli
tafsir al-Qur’an yang terkenal dalam kalangan para sahabat iaitu Ibn Mas‘ud dan Ibn
‘Abbas. Ibn Mas‘ud berkata, “takwa kepada Allah bermaksud seseorang itu hendaklah
patuh, jangan derhaka, hendaklah ia bersyukur, jangan kufur nikmat dan hendaklah
sentiasa ingat kepada Allah Maha pencipta”. Bagi Ibn ‘Abbas pula berkata, “takwa itu
ialah seseorang itu hendaklah berjuang (mujahadah) kepada jalan Allah dengan
sebenar-benar perjuangan. Di dalam perjuangan itu jangan dipedulikannya sebarang
umpat cela para pengumpat, hendaklah ia tegakkan keadilan kerana Allah sekalipun
ke atas dirinya dan ibu bapanya”
Menurut Said Hawa (1980) pula, takwa adalah satu ‘malakah’ atau sifat
peribadi yang abstrak yang akan melahirkan beberapa tindak-tanduk, perjalanan
hidup. Ia suatu sifat yang boleh berkembang dengan beberapa sebab. Bagi pendapat
Sulaiman (1992), takwa didefinisikan sebagai usaha menjaga diri dari sesuatu yang
merosakkan atau yang membawa kepada celaan, kemurkaan atau seksaan. Ini
termasuklah juga faktor-faktor yang membawa kepada perkara-perkara tersebut, di
samping melaksanakan sebab musabab atau jalan-jalan yang membawa kepada
kenikmatan, kebahagiaan, kesayangan dan kesejahteraan. Bagi Sulaiman (1992),
takwa tersebut mengandungi tiga unsur iaitu:
a. Mengandungi makna kekuatan (al-quwwah).
b. Mengandungi usaha keselamatan, pengawalan atau pertahanan (al-wiqayah).
c. Mengandungi makna rasa takut lalu berusaha untuk mengawal atau
menyelamatkan diri dari sesuatu yang ditakuti seperti mana yang dibayangkan
dalam ayat-ayat al-Quran.
46
Dengan kata lain, ajaran-ajaran Islam hendaklah diyakini bagi mencetuskan
keimanan dan diamalkan melalui ibadat. Pemahaman terhadap ajaran Islam akan
menghasilkan buah-buah amal, budi yang mulia, cinta dan kasih sayang kepada
sesama manusia (HAMKA 1993: 3809). Di sebalik ilmu-ilmu yang tidak dihayati adalah
keimanan umpama keimanan yang dijangkiti penyakit, ibarat pokok yang tidak
menghasilkan buah ataupun tidak mengeluarkan daun yang rimbun (Sabiq 1978: 131-
132).
2.15 ASPEK-ASPEK PENGHAYATAN ISLAM
Menurut al-Qaradawi (1982) menekankan kepentingan aspek penghayatan Islam
dalam bentuk amalan kerana dalam al-Quran dan sunnah telah menjelaskan kepada
pentingnya amalan dalam segala sesuatu sehingga amal itu merupakan saudara
kembar kepada iman. Hakikat keutamaan amal bersama dengan iman telah dikupas
dalam al-Quran dan Sunnah dengan jelas seperti yang telah difirmankan oleh Allah
(s.w.t.) dalam Surah al-Hujurat 49: 15:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah
orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus
percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta
benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar
(pengakuan imannya”.
Firman Allah lagi dalam surah al-Nur (24: 55):
Maksudnya: “Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh dari
kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka
khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana
ia telah menjadikan orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang
berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka
(agama Islam) yang telah diredainya untuk mereka; dan ia juga akan
menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan
(dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak
mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa yang
kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang yang derhaka”.
Selanjutnya Sabda Nabi (s.a.w.) yang bermaksud:
“Bukanlah iman dengan angal-angan dan bukan berhias tetapi apa yang
menetap dalam hati dan dibuktikan dengan amal”
Oleh itu dalam buku Manhaj ‘aqidah imam al-Shafi‘i ditegaskan bahawa ahlu
sunnah wal jamaah sependapat bahawa iman adalah akidah (keyakinan) dalam hati,
ucapan pada lidah, perbuatan oleh anggota badan, bertambah dengan ketaatan dan
berkurang dengan kemaksiatan. Sebagaimana Imam al-Bayhaqi Rahimullah berkata,
“para sahabat, para tabiin dan para ulama sunnah sesudah mereka bersependapat
bahawa amal soleh adalah sebahagian daripada iman. Mereka berpendapat bahawa
iman terdiri dari ucapan, perbuatan serta keyakinan. Ia bertambah kerana ketaatan
dan berkurang kerana kemaksiatan” (al-‘Aqil 2002: 121-122).
Dalam konteks penghayatan Islam menurut al-Quran ianya menekankan
bagaimana seseorang Muslim dapat menjiwai dan menyelami setiap ajaran dan
47
pedoman al-Quran sehingga nur al-Quran (cahaya al-Quran) terpancar pada
pemikiran, perkataan, perbuatan dan tindakannya (Zakaria 1999).
Menurut al-Ghazali (2009) dalam The mysteries of workship in Islam,
menegaskan risalah al-din al-Islam yang diserukan oleh Junjungan Besar Nabi
Muhammad menekankan aspek iman dan amal. Hakikat ini berdasarkan firman Allah
(s.w.t.) dalam surah al-Baqarah (2: 82):
Maksudnya: “Dan orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli
syurga, mereka kekal di dalamnya.” .
Sementara Hassan Langgulung (1997: 398) menjelaskan bahawa al-Qur’an
dan hadis nabi menekankan aspek penghayatan Islam dari segi ilmu Islam. Ini
berdasarkan ayat-ayat al-Quran dalam surah al-Anfal (8: 2 & 14):
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna
imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya)
gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-
ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada tuhan mereka
jualah mereka berserah. iaitu orang yang mendirikan sembahyang dan yang
mendermakan sebahagian dari apa yang kami kurniakan kepada mereka.
Merekalah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan
mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi tuhan mereka dan keampunan
serta limpah kurnia yang mulia (di syurga)’.
Bagi Ab. Aziz (2006), penghayatan Islam dapat dibina melalui perkara-perkara
berikut:
a. Penghayatan akidah: Akidah yang dapat membentuk ketahanan dan jati diri;
akidah yang membina motivasi, akidah yang membersihkan diri dari tahayul,
khurafat, mistik dan akidah yang dapat melahirkan kekuatan diri.
b. Penghayatan ilmu: Usaha mencari ilmu, menyebarkan ilmu dan menghayati
ilmu yang diperoleh.
c. Penghayatan ibadah khusus: Melaksanakan ibadah khusus dengan
sepenuhnya dan kesannya dapat meningkatkan kerohanian dan kekuatan diri.
d. Penghayatan akhlak: Dapat mempertingkatkan keperibadian hidup dan dapat
hidup secara bersama dengan orang lain.
e. Penghayatan perundangan Islam. Menghayati hukum-hukum Islam serta dapat
melaksanakan hukum serta mampu menampakkan keistimewaan hukum-
hukum Islam.
f. Penghayatan semangat jihad. Memahami, membina dan menghayati
semangat jihad melalui harta benda, jiwa raga dan lisan.
2.15.1 Penghayatan Akidah Tauhid
Aspek ketuhanan yang paling penting dalam al-Quran ialah keesaannya di mana
mempersaksikan keesaannya (tauhid) adalah aspek pengajaran Islam yang paling
asas (Wan Mohd Noor 1994:19). Bagi Said (Bekas Mufti Sabah) menyatakan:
“Akidah tauhid mempunyai pengertian yang sama, iaitu ilmu-ilmu yang
mengehendaki dan memaksa kepercayaan seseorang berkaitan dengan
ketuhanan, kerasulan dan samiyyat dengan dalil-dalil yaqiniah yang aqliah dan
naqliah yang boleh menghilangkan semua keraguan yang ada di dalam hati
seseorang”.
48
Bagi Yakan (1992), akidah yang benar dan sah adalah menjadi syarat pertama
pada pengakuan seseorang yang telah menerima Islam sebagai agama yang
mengatur kehidupannya. Malah akidah menjadi asas sesuatu amalan diterima Allah
(s.w.t.), serta membentuk diri manusia menjadi mukmin dan Muslim (Said 1996: 21).
Akidah inilah yang merungkaikan teka-teki kehidupan serta mentafsirkan kepada
manusia rahsia kehidupan dan kematian serta menjauhkan persoalan-persoalan
manusia: Dari mana? Hendak ke mana? Kenapa? (al-Qaradawi 2000:53). Akidah ini
tidak akan berubah kerana pergantian zaman atau tempat atau kerana perbezaan
golongan atau masyarakat (Sabiq 1978: 17). Ini jelas seperti mana firman Allah dalam
kitab suci al-Quran dalam Surah Shura’ (42:13):
Maksudnya: “Allah telah menerangkan kepada kamu daripada agama, apa
yang telah diperintahkan-Nya kepada Nuh, dan yang telah Kami wahyukan
kepadamu, dan yang telah Kami perintahkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa,
iaitu: Tegakkanlah agama, dan janganlah kamu berpecah-belah pada
dasarnya. Berat bagi orang musyrik menerima agama yang kamu seru mereka
kepadanya. Allah memilih kepadanya sesiapa yang dikehendaki-Nya dan
memberi petunjuk kepada agama-Nya itu sesiapa yang rujuk kembali kepada-
Nya”.
Akidah yang sahih ialah iktikad kepercayaan yang jazam (pasti dan tetap)
dalam hati seseorang yang tertakluk di bawah penghayatan rukun Islam dan rukun
iman (Zakaria 1999: 5). Menurut Said (1996) akidah yang sahih menjadi asas agama
Islam (berlandaskan dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah) di mana amal ibadat
seseorang itu hanya sah dan diterima Allah jika terbit dari yang sahih. Penekanan yang
kuat terhadap kedudukan tauhid ini bertujuan memegang intelek dan keupayaan fizikal
manusia dan menekannya supaya ia boleh menemui kebenaran serta
menggunakannya menurut maksud kejadian asalnya (Wan Mohd Nor 1994:21-23).
Sehubungan dengan itu, Sabiq (1978:16-19) telah mengupas secara terperinci
tentang setiap aspek rukun Islam ini dan kesannya terhadap kehidupan orang yang
beriman dengan diringkaskan seperti berikut:
a. Makrifat kepada Allah. Orang yang beriman bermakrifat (mengetahui dan
mengenali) dengan nama-nama Allah yang mulai dan sifat-sifatnya yang tinggi,
juga dengan bukti-bukti yang wujud atau adanya serta kenyataan sifat
keagungannya dalam alam semesta atau di dunia ini. Melalui iktikad ini akan
terpancar sebagai perasaan yang baik dapat dibina di atasnya semangat untuk
menuju ke arah kebaikan. Ia juga memberi didikan kepada hati untuk sentiasa
menyelidik dan meneliti mana-mana yang salah dan tercela, malah dapat
menundukkan kemahuan untuk mencari keluhuran, kemuliaan serta ketinggian
budi dan akhlak. Dengan itu menghindarkan diri mukmin dari amal perbuatan
yang hina, rendah dan tidak berharga.
b. Makrifat kepada Malaikat. Orang yang beriman wajib percaya bahawa terdapat
alam yang tidak dapat dilihat di sebalik alam semesta ini. Di dalamnya
terkandung kekuasaan-kekuasaan kebaikan yang berbentuk malaikat dan
kekuasaan-kekuasaan kejahatan yang berbentuk iblis dan bala tenteranya
syaitan. Makrifat kepada Malaikat dapat mengajak hati cinta dan mencontohi
dan meniru perilaku mereka yang baik dan terpuji. Dengan itu kita dapat
menyaksikan tindakan kita adalah untuk tujuan yang mulia sahaja.
c. Makrifat kepada kitab-kitab suci Allah. Allah (s.w.t.) telah menurunkan kitab suci
kepada para rasul agar dijadikan petunjuk untuk mengetahui perkara yang baik
dan batil, halal dan haram serta baik dan buruk. Makrifat ini memberi cara untuk
49
menempuh jalan yang lurus, bijaksana dan diredai Allah (s.w.t.). Melalui jalan
inilah seseorang dapat sampai kepada kesempurnaan hakiki baik dari segi
kebendaan, kerohanian dan akhlak.
d. Makrifat kepada Rasul-rasul Allah. Orang beriman wajib percaya bahawa nabi-
nabi dan rasul adalah manusia yang dipilih oleh Allah untuk menjadi
pembimbing dan pemimpin seluruh makhluk menuju jalan kebenaran. Dengan
itu setiap manusia perlu mengikuti jejak langkah serta menghiasi diri dengan
meniru akhlak para rasul. Tingkah laku para rasul merupakan teladan yang
tinggi nilainya dalam menjalani kehidupan yang bersih dan suci. Inilah yang
dikehendaki oleh Allah (s.w.t.) agar dimiliki oleh seluruh umat manusia.
e. Makrifat kepada hari Akhirat. Orang yang beriman yakin dengan hari akhirat
dan peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengannya seperti kebangkitan dari
kubur, penerimaan balasan, syurga dan juga neraka. Iktikad ini akan menjadi
pendorong yang kuat untuk mengajak manusia berbuat kebaikan dan
meninggalkan keburukan.
f. Makrifat kepada takdir (qadak dan qadar). Kita wajib percaya bahawa di atas
landasan Allah (s.w.t.) itu berjalannya segala peraturan yang ada di alam
semesta ini, baik dalam penciptaan atau cara mengaturnya. Iktikad ini akan
membekalkan kekuatan dan kesanggupan kepada seseorang untuk
menanggung segala rintangan, seksaan, kesengsaraan dan kesukaran.
Kesemuanya akan dianggap kecil meskipun dahsyat dan menakutkan.
Orang yang beriman hendaklah meyakini keenam-enam rukun iman ini dengan
sepenuhnya. Allah (s.w.t.) memberi amaran terhadap individu Muslim yang
menghayati sebahagian sahaja rukun ini melalui firmannya dalam Surah al-Nisa’
(4:150-151):
Maksudnya: “ Sesungguhnya orang yang kufur ingkar kepada Allah dan Rasul-
rasul-Nya, dan (orang yang) hendak membeza-bezakan iman mereka di antara
Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang yang) berkata: “Kami beriman kepada
setengah Rasul-rasul itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain”, serta
bertujuan hendak mengambil jalan lain antara iman dan kufur itu. Mereka itulah
orang yang kafir dengan sebenar-benarnya dan Kami telah menyediakan bagi
orang kafir itu azab seksa yang menghina”.
Dalam Surah al-An’am mengibaratkan akidah itu sebagai cahaya terang yang
menyuluh jelas kehidupan manusia. Ini jelas seperti mana yang telah difirmankan
dalam Surah al-An‘am (6:122):
Maksudnya: “Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian
Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan
baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan
antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluh
cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian
keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur),
yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana
iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang yang beriman), diperlihatkan
pula pada pandangan orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka
telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat)”.
Berdasarkan ayat-ayat di atas Sabiq (1978: 21) menyatakan bahawa akidah ini
merupakan roh bagi setiap orang yang mana dengan berpegang teguh kepadanya ia
akan hidup dalam keadaan yang baik dan menggembirakan. Sebaliknya jika
ditinggalkan akan mematikan semangat kerohanian manusia malah dengan itu barulah
50
mereka mampu menampilkan contoh teladan yang sempurna kepada umat-umat lain,
sesuai dijadikan pedoman dan ikutan (al-Qaradawi 1996: 66).
Daripada penjelasan di atas, dapat disimpulkan bahawa keimanan itu bukanlah
semata-mata ucapan lidah dan keyakinan dalam hati tetapi suatu kepercayaan yang
memenuhi seluruh isi hati nurani dan dari itu muncul kesan-kesannya sebagaimana
munculnya kesan cahaya yang di sorot oleh cahaya matahari, bau harum yang
disemarakkan oleh setangkai mawar (Sabiq 1978: 21).
Orang yang menghayati Islam mesti berpegang teguh kepada perkara-perkara
yang disebutkan dalam rukun iman serta menjadikan perbuatan lahiriah dan batiniah
berteraskan Islam. Dengan beriktikad cara demikian barulah terhasil buah-buah
keimanan seperti berikut (Sabiq 1978: 133-141):
a. Kemerdekaan jiwa dari kekuasaan orang lain.
b. Jiwa keberanian dan ingin terus maju kerana mutlak kebenaran.
c. Keyakinan yang bersungguh-sungguh, bahawa Allah yang maha kuasa dan
pemberi rezeki.
d. Ketenangan jiwa dan ketenteraman jiwa .
e. Mengangkat seseorang dari kekuatan maknawi (melepaskan diri dari
kebendaan) kemudian menghubung dengan sifat Allah.
f. Kehidupan yang baik, adil dan makmur.
Daripada perbincangan ini dapat disimpulkan bahawa penghayatan akidah
akan menghasilkan perlakuan yang dapat dirasi oleh orang lain. Indakator-indikator
atau petunjuk yang boleh menunjukkan seseorang itu dapat di menghayati akidah
adalah seperti tingkah laku luaran yang dipamerkan seperti perlakuan dan tingkah lalu.
Sebahagian dari tanda-tanda orang yang berakidah dapat dilihat daripada ayat-ayat
al-Quran seperti yang telah disenaraikan oleh al-Fazlur (1996). Senarai adalah seperti
di Lampiran F. Selain dari itu kandungan sukatan pelajaran akidah dalam Sukatan
Pendidikan Islam ATM adalah seperti di Lampiran B. Perlu dijelaskan bahawa
pengajaran pendidikan dalam aspek akidah memang diajar kepada anggota tentera di
kem-kem oleh anggota KAGAT yang terdapat dipasukan. Antara tajuk-tajuk subjek
akidah yang terdapat dalam sukatan Pendidikan Islam ATM adalah seperti berikut:
a. Siapa manusia.
b. Manusia sebagai hamba Allah.
c. Manusia dan kepercayaan.
d. Beriman kepada Allah.
e. Sifat-sifat Allah.
f. Hakikat keimanan dan kesannya.
g. Pemeliharaan Islam, iman dan ihsan.
h. Beriman kepada malaikat.
i. Beriman kepada kitab-kitab Allah.
j. Beriman kepada Rasul.
k. Beriman kepada hari Akhirat.
l. Beriman dengan Qadak dan Qadar
m. Membina sikap hidup berdasarkan keimanan.
2.15.2 Penghayatan Ibadah
Manusia mempunyai tugas besar dalam hidup yang tertumpu kepada mengagungkan
Allah dan beribadat kepadanya. Ini seperti yang telah dijelaskan oleh Allah melalui
firman-Nya dalam Surah al-Dhariyyat (51:50):
51
Maksudnya: (Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): “Maka
segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat),
Sesungguhnya Aku diutus Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang
nyata”
Ibadat dalam perspektif Islam bukan tertakluk kepada ‘prescribe ritual’ atau
ibadat khusus seperti mendekatkan diri pada Allah dengan melaksanakan syiar-
syiarnya, berzikir serta bersyukur sahaja (al-Qaradawi 1980:20), malah mencakupi
segala perbuatan yang baik yang dilakukan secara ikhlas dan mengikut syariat Islam
(Mohd Kamal 1995: 27).
Dalam kitabnya yang lain, al-Qaradawi (2000: 104), mengemukakan
pandangan seperti yang telah diberikan oleh Ibn Taymiyyah (1983: 6-7) mengenai
keluasan skop ibadah seperti berikut,
“...’ibadah’ adalah kata yang menyeluruh, meliputi apa sahaja yang dicintai dan
diredai Allah, menyangkut seluruh ucapan dan perbuatan yang tidak nampak
ataupun yang nampak seperti solat, zakat, puasa, haji, berkata benar,
menunaikan amanah, berbuat baik kepada ibu bapa, bersilaturahim,
menunaikan janji, menyuruh berbuat baik, melarang dari perbuatan mungkar,
berperang melawan kekufuran dan kemunafikan, berlemah lembut terhadap
tetangga dan anak yatim, menyantuni orang miskin, ibnu sabil, hamba sahaya
dan bintang serta berdoa, zikir, membaca al-Quran dan sebagainya”.
Al-Mawdudi (1985:101) menyatakan bahawa dari konteks al-Quran mencakupi
tiga makna fundamental iaitu ubudiyyah (perhambaan), ketaatan dan taalluh
(kerinduan). Di antara ayat-ayat al-Quran yang dapat membuktikan penerangan
ketiga-tiga makna tersebut menurut al-Mawdudi ialah, al-An‘am 6:102, Yunus 10:104,
Yusuf 12: 40, Hud 11:123, al-Kahfi 18:110, Maryam 19:64-65, dan Taha 20:14.
Mustaffa (1995:3-7), telah meninjau definisi ibadat dari segi bahasa dan istilah.
Beliau membuat kesimpulan bahawa ibadat dari segi bahasa dapat diringkaskan
sebagai patuh, taat dan menyerah diri kepada pihak lain dan tidak akan
mengingkarinya. Manakala dari segi istilah pula, beliau merumuskan ibadat sebagai
sebarang tindakan yang melambangkan perasaan merendah diri, patuh dan
menyembah Allah (s.w.t.) dengan penuh keimanan, ketakwaan dan keikhlasan sama
ada ibadat khusus iaitu rukun iman yang enam dan rukun Islam yang lima atau ibadat
khusus iaitu dalam segala aspek kehidupan manusia seperti ekonomi, politik, sosial,
pendidikan dan sebagainya.
Abu ‘Urwah (1988) pula dalam bukunya ‘Risalah usrah’ menyatakan bahawa
ibadat Islam merangkumi seluruh kejadian manusia. Seseorang Muslim beribadat
kepada Allah bukan sahaja dengan lisannya, atau badannya sahaja atau hatinya tanpa
yang lain, ataupun fikirannya semata-mata atau pancaindera secara sendirian, tetapi
ia beribadat kepada Allah dengan secara keseluruhan iaitu lisan yang berzikir, berdoa
dan membaca melalui hati yang ikhlas, takut, mengharap, cinta dan tawakal melalui
badan yang solat, berpuasa dan berjihad dengan hati yang ikhlas dan dengan seluruh
pancaindera yang digunakan untuk mentaati seluruh perintah Allah. Beliau seterusnya
menyatakan bahawa ibadat ini ialah,
a. Bertitik tolak dari akidah yang bersih.
b. Berteraskan kepada empat tiang amali yang kukuh iaitu solat, zakat, puasa dan
haji.
c. Berkembang kepada seluruh wang lingkup kehidupan manusia.
52
Daripada huraian di atas dapat disimpulkan bahawa konsep ibadat yang harus
difahami oleh seseorang Muslim ialah ibadah dalam konteks yang luas iaitu mencakupi
seluruh kehidupan manusia dan merangkumi tingkah laku lahiriah (yang melibatkan
anggota badan seperti tangan, kaki, mata, mulut, lidah dan lain-lain) serta tingkah laku
batiniah (yang melibatkan hati dan pemikiran). Ini bermakna seseorang Muslim boleh
beribadat kepada Allah melalui apa sahaja asalkan memenuhi syarat kepatuhan
kepada perintah Allah yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan. Menyempitkan
ruang lingkup ibadah dengan mengehadkan kepada pengertian ‘taalluh’ sahaja seperti
solat, puasa,zakat, haji dan ibadat khusus yang lain akan merugikan umat Islam (al-
Mawdudi 1981: 103).
Berdasarkan Hadis Nabi yang Mashhur, yang telah dihuraikan oleh al-Iman
Nawawi dan diulas oleh Syed Ahmad (1979), Nabi Muhammad (s.a.w.) telah
menekankan enam perkara rukun iman dan juga lima perkara rukun Islam iaitu:
a. Mengucap dua kalimah syahadah. Setiap orang mesti tahu kandungan rukun
iman serta melafazkannya dengan penuh kefahaman kalimah iktikad ‘tiada
tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah’.
Ucapan ini diulangi beberapa kali dalam solat fardu.
b. Solat fardu lima waktu. Orang Islam yang baligh diwajibkan menunaikan solat
fardu lima kali sehari iaitu subuh, zuhur, asar, maghrib dam isyak. Sebelum
solat seseorang Muslim mestilah suci daripada hadas dan mengambil wuduk.
Solat juga dilaksanakan di tempat yang bersih dengan menghadap kiblat
(Kaabah di Makkah). Dalam solat ayat-ayat al-Quran dibaca di serta lafaz-lafaz
lain di samping gerakan amali. Tanggungjawab menunaikan solat lima waktu
ini juga dituntut apabila musafir ataupun dalam keadaan sakit atau uzur
berdasarkan kemampuan.
c. Mengeluarkan zakat. Setiap individu Muslim diwajibkan membayar zakat fitrah
manakala zakat harta perlu dikeluarkan apabila mencukupi nisab. Kutipan
zakat digunakan untuk tujuan keagamaan terutamanya membantu golongan
miskin dan memerlukan. Zakat melatih orang Islam supaya sanggup berkorban
kerana Allah demi membantu golongan berpendapatan rendah.
d. Berpuasa di bulan Ramadan. Berpuasa di bulan Ramadan juga merupakan
kewajipan setiap individu Muslim yang akil baligh.
e. Melaksanakan ibadah haji. Setiap individu Muslim diwajibkan untuk
menunaikan haji sekiranya berkemampuan serta mencukupi syarat-syarat
yang telah ditetapkan sebagi lambang sanggup mengorbankan jiwa dan harta
kerana Allah.
Menjadikan Islam sebagai satu cara hidup bermakna melaksanakan seluruh
ajaran Islam dalam kehidupan. Menurut Mustaffa (1995:155-156) ajaran Islam yang
dilaksanakan akan dianggap sebagai ibadat sekiranya memenuhi ciri-ciri tertentu
seperti berikut:
a. Niat: Dari segi syarak niat bermaksud daya kekuatan yang menggerakkan hati
dan mengakibatkan kelahiran tingkah laku semata-mata untuk beribadat
kepada Allah (s.w.t.). Niat dapat membezakan sama ada sesuatu tingkah laku
itu dianggap ibadat atau adat kebiasaan. Jika diniatkan semata-mata kerana
patuh dan beribadat kepada Allah, maka tingkah laku seseorang itu dipandang
tinggi oleh Allah dan meningkatkan iman dan takwanya.
b. Ikhlas: Ikhlas dari segi al-Quran ialah perbezaan dan penyucian niat dari
sebarang kekotoran dan penyakit. Perbuatan yang dilaksanakan dengan niat
53
ikhlas merupakan perbuatan yang bersih, jernih, suci dan murni dari sebarang
kecacatan dan kekotoran dalam bentuk kebendaan atau kerohanian.
Menurut al-Qaradawi (2000: 104) ibadat yang disyarakkan mestilah
mempunyai dua perkara berikut:
a. Komitmen: Ketundukan dengan mengakui ketuhanan semata-mata belum
mencukupi untuk membuktikan ketaatan dan ketundukan kepada Allah. Ia
mestilah diikuti dengan penyerahan diri kepada perintahnya, mengikut
sistemnya dan mematuhi syariatnya.
b. Hati yang cintakan Allah: Dasar kecintaan kepada Allah ialah merasakan jasa
dan nikmatnya, kasih sayang dan rahmatnya serta merasakan kerinduan dan
kesempurnaannya kerana Allah yang memberi kebaikan serta pemilik
kebaikan. Allah. Allah sumber keindahan dan Allah mempunyai kesempurnaan
hakiki.
Ini bermakna, pertama, seseorang yang tidak tunduk kepada perintah Allah dan
enggan mengerjakan suruhan tidak boleh dikatakan beribadat kepada Allah, sekalipun
berikrar mengakui bahawa Allah tuhannya. Tunduk kepada Allah pula mestilah
berasaskan kepada kesedaran terhadap keesaan Allah dan kekuasaannya, kesedaran
diri tentang perlunya diri kepada Allah serta kesedaran tentang kedaifan dirinya di
hadapan Allah (al-Qaradawi 1984:20). Kedua, kepatuhan diri kepada segala yang
disyarakkan Allah itu hendaklah lahir dari hati yang cinta kepada Allah (al-Qaradawi
1984: 22).
Di atas asas inilah Rasulullah (s.a.w.) merupakan orang yang paling banyak
cintanya kepada Allah kerana Baginda merasa tenang dan sekali gus apabila beribadat
kepada Allah ia menjadi alat perhubungan secara langsung antara hatinya dengan
Allah (s.w.t.) (al-Qaradawi 1984: 22).
Memandangkan bahawa ibadat dalam Islam meliputi seluruh aspek kehidupan
manusia (al-Qaradawi 1984: 40, Afzalur 1995: 64-74, Yakan 1992: 36), terdapat
syarat-syarat tertentu agar setiap amalan hidup menjadi ibadat (al-Qaradawi 1984: 51),
antaranya:
a. Diakui Islam.
b. Dikerjakan dengan niat yang baik.
c. Dibuat dengan seelok-eloknya.
d. Proses pelaksanaan sentiasa menurut hukum syariat dan batasnya.
e. Tidak menyebabkan kelalaian dan kecuaian dari menjalankan kewajipan ibadat
khusus.
Yakan (1992: 36) dalam bukunya, ‘Apa erti saya menganut Islam’ telah
menyenaraikan perkara-perkara yang harus dilakukan bagi menjadikan seseorang
Muslim secara keseluruhannya. Antaranya ialah:
a. Menjadikan seluruh ibadah hidup (ihsan) dan berhubung terus dengan Allah
sebagai tempat mengabdikan diri.
b. Ibadat yang dilakukan mestilah khusyuk.
c. Menghadirkan diri dan hati sewaktu melakukan ibadat serta membebaskan diri
dari urusan kepentingan dunia.
d. Merasa tamak dan tidak merasa cukup dalam melakukan ibadat.
e. Mengambil berat untuk melaksanakan qiamullail dan mengasuh diri melakukan
qiamullail sehingga menjadi kebiasaan.
54
f. Menentukan masa tertentu untuk membaca dan menghayati al-Quran terutama
di waktu fajar.
g. Menjadikan doa sebagai mikraj kepada Allah dalam semua urusan dengan
memilih doa-doa yang diterima dari Rasulullahlah (Ma’thur, contohnya doa
ketika hendak tidur, makan, bangun dari tidur, bermusafir dan lain-lain).
Dari perbincangan ini dapat disimpulkan bahawa seseorang yang menghayati
Islam mestilah menjadikan seluruh aspek kehidupannya sebagai ibadat. Ini termasuk
mengerjakan suruhan-suruhan wajib (ibadat khusus), amalan sunat serta kegiatan-
kegiatan harian. Penghayatan ibadat mestilah berasaskan ilmu, kecintaan dan niat
yang ikhlas serta kesempurnaan pelaksanaannya. Dalam konteks pengukuran ia
menunjukkan bahawa penghayatan ibadat seseorang itu boleh diukur melalui
pandangan akal, perasaan dan amalannya terhadap aspek ibadat yang khusus
(sembahyang, puasa, zakat, haji) serta ibadah umum (makan, tidur, bekerja, belajar
dan lain-lain). Dalam konteks pembinaan dan pengukuhan ibadah dalam kalangan
anggota Angkatan Tentera Malaysia sukatan pendidikan Islam yang mencakupi
pengajaran dan pendidikan Islam adalah seperti yang terdapat di Lampiran B.
Berdasarkan kandungan topik ibadat dalam sukatan Pendidikan Islam ATM
telah memberi tumpuan terhadap ibadat asas atau fardu ain dan juga terhadap ibadat-
ibadat fardu kifayah. Ini bermakna anggota telah diberi pendedahan dan pengetahuan
yang berkaitan dengan ibadah dalam Islam
2.15.3 Penghayatan Akhlak
Perkataan akhlak berasal dari perkataan Arab jamak ‘khuluq’ yang diertikan sebagai
budi pekerti, perangai, tingkah laku atau tabiat (Hamzah 1933: 11). Menurut al-Ghazali
(1980:143) dua perkataan yang berkaitan langsung dengan akhlak ialah al-Khuluq dan
al-khalqi, di mana kedua-dua perkataan tersebut hendaklah diguna secara bersama.
Al-Khuluq merujuk kepada gambaran zahir manusia manakala al-khalqi pula merujuk
kepada gambaran batinnya. Menurut al-Ghazali lagi, akhlak menerangkan keadaan
yang terdapat dalam jiwa seseorang dan daripadanya terbit semua perbuatan tanpa
memerlukan fikiran dan penelitian. Oleh itu dari segi teknikal akhlak merupakan
gambaran atau pemerihalan mengenai keadaan atau suasana dalam jiwa manusia
yang sudah berada pada tahap kukuh dan sebati (Zakaria 1992: 21).
Selanjutnya daripada keadaan atau suasana jiwa tersebut akan muncul
perbuatan atau perlakuan secara spontan (tidak memerlukan pelakunya berfikir atau
membuat apa-apa pertimbangan lagi) yang boleh dikategorikan kepada akhlak baik
atau akhlak buruk. Perbuatan yang elok dan terpuji dari sudut pandangan akal dan
syarak dikatakan akhlak baik manakala yang sebaliknya adalah akhlak buruk (Zakaria
1992: 30).
Akhlak yang mulia adalah matlamat asasi bagi risalah Islam (Yakan 1992: 60).
Rasulullah (s.a.w.) membuat kesimpulan terhadap misi pengutusannya sebagai
menyempurnakan akhlak (Zakaria 2002a: 65). Rasulullah (s.a.w.) menegaskan
kepentingan akhlak yang baik dalam Hadisnya yang bermaksud (al-Turmudhi 2000):
“Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seseorang mukmin di
hari kiamat daripada perangai yang baik, kerana sesungguhnya Allah Taala
sangat membenci pang yang keji lagi kotor perangainya”.
Memang terdapat banyak ayat al-Quran dan Hadis yang menyebut
kepentingan akhlak yang mulia. Dalam Islam akhlak yang mulia juga adalah inti pati
55
bagi segala ibadat di mana tanpa akhlak ibadat hanya adat resam dan gerak laku yang
tidak mempunyai nilai dan faedah (Yakan 1962: 63). Contohnya Allah berfirman dalam
Surah al-Ankabut (29:45):
Maksudnya: “Bacalah serta Ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang
diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan
tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan
mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya
dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu
kerjakan”.
Menurut Zakaria (2002a; 56) lagi, akhlak yang mulia ialah sesuatu yang
terkandung dalam istilah al-birr yang merujuk kepada himpunan segala perbuatan
yang baik (al-af’al al-khair). Menurut perspektif Islam, perbuatan yang baik (al-af’al al-
khair) merujuk kepada setiap perbuatan dan perlakuan yang boleh menghasilkan
kemaslahatan atau kebaikan kepada individu atau kumpulan atau setiap kumpulan
yang boleh menghalang berlakunya kemudaratan kepada individu atau kumpulan yang
wajib dilaksanakan oleh setiap mukmin demi mencari keredaan Allah (Fayyad t.th
dalam Zakaria 2002a: 57). Namun begitu untuk melengkapkan perspektif Islam
mengenai kebaikan, pandangan syarak mesti diambil kira untuk menjadi ukuran atau
penentu kebaikan sesuatu perbuatan atau perlakuan (Zakaria 2002a: 57).
Syarat-syarat bagi terhasilnya akhlak yang baik telah diperincikan oleh al-
Ghazali (1980:144-145) dan Zakaria (1995: 25-26), yang telah meringkaskan sebagai
berikut:
a. Mempunyai kekuatan atau daya ilmu yang memudahkan seseorang faham
serta dapat membezakan kebenaran dan dusta dalam kata-kata, akidah dan
perbuatan.
b. Mengawal kekuatan atau daya marah seseorang (dalam keadaan tertekan dan
tegang) pada had dan kadar yang diperlukan oleh berhikmah (hasil daripada
daya kekuatan ilmu).
c. Kekuatan atau daya syahwat yang berada di bawah panduan hikmah.
d. Mempunyai kekuatan atau daya keadilan atau pertengahan dan
kesederhanaan.
Di antara sifat-sifat akhlak yang baik yang terhasil daripada memenuhi syarat-
syarat di atas adalah hikmah, berani (al-saja’ah), mulia (iffah), dan adil. Sebaliknya
akhlak yang buruk yang terhasil akibat daripada terlebih, terkurang atau kehilangan
mana-mana elemen di atas adalah jahil, gopoh atau terburu-buru, pengecut, tidak
semangat, tamak, jumud dan zalim (Zakaria 1999: 27). Oleh itu Fathi Yakan (1992: 65-
80) dalam bukunya, Apa erti saya menganut Islam, menyarankan agar orang Islam
mempunyai ciri-ciri berikut:
a. Menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang haram dan berjaga-jaga
daripada melakukan perkara yang syubhah.
b. Menutup pandangan daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah.
c. Memelihara lidah daripada perkataan yang tidak memberi faedah, kalimah
yang keji, bercakap kosong, mengumpat dan mengadu domba.
d. Bersifat malu dalam semua keadaan, di mana sifat ini mendorong seseorang
meninggalkan perkara buruk dan menghalang beliau dari mencuaikan hak
orang lain.
e. Lemah lembut dan sabar.
56
f. Bersifat benar dan jujur dan tidak merasa takut kepada celaan manusia demi
kepatuhan kepada Allah.
g. Tawaduk terutamanya dalam kalangan saudara Islam.
h. Menjauhi sangka buruk, mengumpat dan mencari keburukan orang lain.
i. Pemurah, mengorbankan diri dan harta ada jalan Allah.
j. Qudwah hasanah dalam segala tidak tanduk.
Sememangnya aspek-aspek akhlak dalam Islam cukup luas di mana
perbatasannya disempadani ‘penghasilan kebaikan’ dan garis penamatnya
‘penghalang kemudaratan’ di mana kedua-duanya dilaksanakan demi mencari
keredaan Allah (Zakaria 2002: 57). Ia meliputi hubungan manusia dengan Allah,
hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan makhluk-
makhluk lain (al-Qaradawi 2000: 178, Abdul Halim & Zarin 2002: 126).
Menurut Hassan Langgulung (1997: 20) dan Darraz (1987) menunjukkan
bahawa segala nilai yang diperlukan oleh manusia untuk keselamatan di dunia dan
akhirat adalah terkandung dalam al-Quran. Beliau telah mengklasifikasikan nilai-nilai
akhlak ini kepada lima jenis iaitu perseorangan, keluarga, masyarakat, negara dan
keagamaan. Lampiran F menyenaraikan secara ringkas perincian aspek-aspek akhlak
Islam yang perlu dihayati oleh orang Islam sebagai hamba Allah, individu, ahli
keluarga, ahli masyarakat dan warganegara sebagaimana yang disenaraikan.
Memandangkan bahawa perbuatan atau perlakuan zahir seseorang itu adalah
hasil kepada keadaan jiwa atau akhlak seseorang, maka dalam konteks pengukuran
untuk mengukur akhlak seseorang adalah sukar. Namun pengukuran akhlak boleh
dibuat secara tidak langsung dengan lihat tanda kepada akhlak tersebut iaitu
perbuatan atau perlakuan zahir seseorang itu. al-Ghazali meletakkan peranan syahwat
dan akal sebagai piawai pengukur kebaikan dan keburukan akhlak seseorang (Zakaria
1999: 28). Ini bermakna apa jua perbuatan atau perlakuan yang dipamerkan oleh
seseorang itu sesuai dengan kehendak syarak dan akal manusia dianggap akhlak
yang baik. Dapatlah disimpulkan bahawa seseorang yang menghayati Islam akan
menonjol pada dirinya aspek-aspek akhlak yang disenaraikan.
2.16 KEPERLUAN PENGHAYATAN ISLAM DALAM ORGANISASI
KETENTERAAN
Perlu ditegaskan bahawa sesebuah negara itu perlu menyediakan angkatan tentera
yang kuat, profesional dan berwibawa. Ini adalah bukan kerana disebabkan adanya
musuh atau terdapatnya ancaman ke atas sesebuah negara menyebabkan sesebuah
negara itu membentuk angkatan tentera tetapi ia adalah sesuatu yang diperintahkan
oleh Allah (s.w.t.). Ini jelas seperti yang telah difirmankan oleh Allah dalam al-Quran
dalam Surah al-Anfal (8:60):
Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang
menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari
pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan
persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain
dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya.
Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan
balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”.
Berdasarkan ayat di atas, musuh Islam tetap ada sama ada musuh itu dalam
pengetahuan kita atau di luar pengetahuan kita. Sebab itu Allah mengarahkan agar
umat Islam sentiasa bersiap sedia dan berwaspada bagi menghadapi sebarang
57
kemungkinan agar mereka tidak akan dikejutkan oleh musuh yang mereka tidak
menduga akan menyerang .
Selain dari itu setiap individu atau negara umat Islam perlu menyedari tentang
konsep pertahanan dan institusi ketenteraan sebagai sesuatu yang penting demi
menjaga kemaslahatan ummah dan kesucian agama Islam. Dalam hal ini Allah (s.w.t.)
telah berfirman dalam Surah al-Nisa’ (4:74):
Maksudnya: “Oleh itu, orang (yang beriman) yang mengutamakan
kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah
mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan sesiapa yang
berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh
kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar”.
Berdasarkan tafsiran Ibn Khathir (1988) telah menjelaskan ayat di atas
menyarankan umat Islam bersedia untuk menghadapi musuh dengan persiapan
peralatan yang cukup serta menyediakan sumber tenaga manusia yang berkualiti,
beriman, bertakwa, ikhlas dalam perjuangan dan tidak menjadi seperti Abdullah bin
Ubai yang bersifat munafik telah melemahkan orang lain untuk berjuang bahkan beliau
sendiri tidak pergi berperang. Contoh terbaik untuk mengaplikasikan pertahanan ialah
dengan melihat apa yang dilaksanakan dan diamalkan oleh Rasulullah (s.a.w.) dalam
membina kekuatan yang merangkumi dan mencakupi keseluruhan elemen-elemen
kehidupan pada zaman tersebut.
Proses pendidikan yang dilaksanakan oleh Rasulullah (s.a.w.) telah
menghasilkan para sahabat yang mempunyai kekuatan akidah yang teguh, kekuatan
ikatan persaudaraan yang kukuh dan mempunyai azam dan cita-cita yang jauh.
Pendidikan yang dilaksanakan oleh Rasulullah (s.a.w.) adalah dengan
mempersiapkan individu Muslim dengan melaksanakan pentarbiyyahan (pendidikan),
menyelesaikan kehidupan manusia melalui metode tarbiyyah secara komprehensif
dan tidak mengabaikan sedikit pun sama ada aspek fizikal, intelektual, spiritual,
kehidupan material, kehidupan batin dan seluruh aktiviti manusia di dunia ini (Qutb
1994). Hasil yang diperoleh melalui proses tersebut amatlah mengagumkan kerana
lahir para sahabat yang mempunyai teladan yang patut ditiru oleh generasi kemudian.
Hakikatnya para sahabat yang dididik oleh Rasulullah (s.a.w.) bukan sahaja menjadi
pendakwah tapi pada masa yang sama menjadi tentera-tentera yang mengibarkan
bendera al-din Islam ke seluruh alam.
Dari sudut ketenteraan secara khusus, Rasulullah (s.a.w.) telah
membahagikan penyusunan operasi angkatan tenteranya kepada beberapa jabatan
(Shaltut 1989) iaitu:
a. Jabatan barisan hadapan yang meliputi:
i. Bahagian strategi dan taktik peperangan.
ii. Bahagian syura.
iii. Bahagian memperkuatkan kekuatan tempur.
iv. Bahagian operasi, latihan dan persenjataan.
b. Jabatan tadbir dan logistik yang meliputi:
i. Bahagian pengurusan harta rampasan.
ii. Bahagian perkhidmatan perubatan
Kedua-dua jabatan ini tidak dipisahkan dan tidak dibezakan dari sudut
tanggungjawab untuk berperang. Ini bermakna di bahagian mana pun seseorang itu
58
berada, kewajipan mengangkat senjata untuk berperang adalah sama. Rasulullah
(s.a.w.) telah membuktikan kepada dunia, betapa kekuatan persenjataan sahaja tidak
mencukupi jika sekiranya anggota tentera terdiri daripada mereka yang lemah dari
sudut spiritual, mental dan juga fizikal. Pembinaan yang telah dilaksanakan oleh
Rasulullah (s.a.w.) untuk mewujudkan roh jihad yang membara dalam kalangan para
sahabat apabila keluar berjihad adalah dimulakan dengan pembinaan diri anggota
tentera itu terlebih dahulu dan disertai dengan kemahiran peperangan. Inilah kaedah
yang dilaksanakan oleh Rasulullah (s.a.w.) sehingga baginda dan para sahabat
(tentera-tentera Islam) mampu memenangi peperangan penting walaupun mempunyai
kekuatan persenjataan yang terbatas (Shaltut 1989).
Walau bagaimanapun, apa yang dinyatakan di sini bukanlah Rasulullah (s.a.w.)
menolak sama sekali keperluan pertahanan dari sudut persenjataan. Apa yang
dilakukan oleh Rasulullah (s.a.w.) ialah keselarasan dan keperluan kedua-duanya
untuk digabungkan bagi menghasilkan natijah yang maksimum. Malah Rasulullah
(s.a.w.) mengarahkan para sahabat untuk membuat peralatan perang seperti pedang
dan perisai agar dapat digunakan oleh tentera Islam apabila berlakunya peperangan
(Najmi 2008). Gambaran dijelaskan melalui firman Allah (surah al-Hadid 57: 25):
Maksudnya: “Sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan
membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah
menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi
neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah
menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal
serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (dijadikan besi dengan keadaan yang
demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan
mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang
yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan
mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal
balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); Sesungguhnya Allah maha kuat,
lagi maha kuasa”.
Justeru itu mempertahankan Malaysia secara umumnya adalah
tanggungjawab semua masyarakat dan pengkhususan diberikan kepada anggota
tentera yang dibayar gaji untuk mempertahankan negara. Sebenarnya apa yang
dilakukan oleh Rasulullah (s.a.w.) ialah mewujudkan kebersamaan semua individu
dalam sesebuah negara tidak kira kedudukannya mempertahankan negara daripada
ancaman musuh dengan berjihad mengorbankan apa sahaja yang dimiliki sama ada
harta mahupun nyawa untuk mempertahankan Islam dan negara Madinah dari
ancaman musuh.
Sejarah telah membuktikan bahawa ramai dalam kalangan para sahabat
menyumbangkan apa sahaja yang mereka miliki kepada tentera-tentera Islam yang
berjuang di medan peperangan. Sayidina Abu Bakar, Abdul Rahman bin Auf, Ali bin
Abi Thalib adalah segelintir sahabat bukan sahaja mempertaruhkan nyawa mereka
untuk mempertahankan dan mengembangkan Islam tetapi menyerahkan apa sahaja
yang mereka miliki demi kedaulatan Islam dan negara Madinah pada waktu tersebut.
Kekalahan negara Arab dengan Rejim Zionis Israel telah menyebabkan
pemimpin-pemimpin negara-negara Arab mencari satu alternatif untuk
membangkitkan semangat jihad untuk melawan ancaman musuh terutamanya Zionis
yang sentiasa bersiap sedia menghancurkan mereka. Justeru itu satu muktamar telah
diadakan yang dihadiri oleh para menteri pendidikan negara-negara Arab dan mereka
bersepakat bahawa pentarbiyyahan yang menekankan aspek spiritual, moral dan
59
ketenteraan akan lebih memantapkan keimanan, semangat jihad, pengorbanan dan
menjadikan mati syahid diterapkan untuk membela tanah air dan bangsa sebagai cita-
cita tertinggi perlu diterapkan dalam sistem pendidikan negara-negara Arab (Farghan
t.th.) Di dalam muktamar tersebut beberapa resolusi telah diluluskan iaitu:
a. Pendidikan dan pengajaran di negara Arab mestilah berdasarkan keimaman
kepada Allah kerana keimanan merupakan sumber etika secara umum dan
khusus bagi individu dan masyarakat.
b. Mengembangkan metodologi dan buku-buku pendidikan agama dan nasionalis
secara menyeluruh sehinggalah nilai-nilai ini tertanam dalam jiwa generasi
muda.
c. Pendidikan ketenteraan perlu didedahkan kepada pelajar-pelajar di peringkat
menengah lagi.
d. Tenaga pendidik mestilah mempunyai ciri-ciri yang baik dan menjadi teladan
kepada masyarakat.
e. Penggemblengan tenaga dan institusi dalam menjayakan resolusi yang
diputuskan. Koordinasi yang mantap dari semua elemen dan institusi dalam
sesebuah negara akan berjaya mendidik generasi yang menyedari tentang
tanggungjawab yang perlu dilaksanakan khususnya untuk mempertahankan
sesebuah negara.
Kenyataannya di sini ialah keperluan membina tenaga manusia yang hebat
bagi mempertahankan negara merupakan agenda penting dalam sesebuah negara.
Salah satu aspek penting dalam usaha membina penghayatan agama adalah
menerusi pendidikan. Penekanan utama pendidikan adalah untuk membangunkan
keperibadian manusia berlandaskan etika, moral dan agama. Menurut perspektif
Islam, pendidikan merupakan asas yang penting kepada keseluruhan hidup manusia
bagi mencapai objektif pengabdian yang menyeluruh terhadap Allah (Adnan
2002).Pendidikan juga merupakan proses menjaga dan memelihara sifat-sifat semula
jadi seseorang individu yang diberi latihan atau pendidikan untuk memupuk bakat dan
kebolehan yang wujud dalam diri mereka dengan dorongan secara beransur-ansur
supaya bakat, personaliti dan nilai-nilai luhur dapat dikembangkan dengan baik (Fathi
Yakan 1984), fokus utama dan terpenting dalam pendidikan ialah seseorang individu
itu perlu dididik sepanjang masa secara seimbang ialah jasmani, rohani, emosi dan
intelek yang dijuruskan dalam konteks pengabdian diri kepada Allah dan memperoleh
keredaanNya. Sebagaimana diungkapkannya “manusia yang penuh keimanan dan
takwa berhubung dengan Allah, memelihara dan menghadapkan segala perbuatan
dan tingkah laku yang dilakukan” (Hassan Langgulung 1997:137).
Selain dari itu matlamat pendidikan dalam Islam juga bertujuan untuk
melahirkan hamba Allah yang mempunyai perkembangan diri yang seimbang dalam
kehidupan insan, merangkumi aspek, emosi, intelek dan rohani. Dalam Islam,
keseimbangan pembangunan manusia perlu berasaskan kepada kerohanian agar
manusia yang dididik tersebut berakhlak mulia, bertakwa, patuh dan taat kepada
hukum-hukum yang telah disyariatkan oleh Allah (s.w.t.) sebagaimana yang telah
dibincangkan oleh al-Attas (2001) dan Ab. Halim (2000) bahawa pendidikan adalah
sebagai proses ta’dib yang dihubungkaitkan dengan istilah adab.
Berdasarkan arahan Pentadbiran No. 5 Kor Agama Angkatan Tentera,
matlamat yang digariskan dalam sukatan Pendidikan Islam ATM tersebut ialah untuk
melahirkan anggota tentera Muslim yang berilmu, beriman, kepada Allah (s.w.t.)
melalui kefahaman, penghayatan, keselarasan dan pengenalan ajaran Islam. Selain
dari itu matlamat Sukatan pendidikan ini juga agar dapat membentuk anggota tentera
yang bertakwa dan mendapat keredaan dari Allah (s.w.t.) (Sukatan Pendidikan Islam
60
Angkatan Tentera Malaysia:1998). Turut digariskan sebagai objektif pendidikan Islam
ATM ialah:
a. Membentuk fahaman akidah yang sihat berlandaskan hakikat ketuhanan yang
sebenar.
b. Menolak kefahaman-kefahaman yang tidak bertuhan, fahaman syirik dan
fahaman-fahaman yang bertentangan dengan fikrah Islam.
c. Memberi kefahaman kepada anggota-anggota tentera dalam melaksanakan
ibadah harian.
d. Menghindar gejala-gejala keruntuhan rumah tangga seterusnya membentuk
keluarga sejahtera.
e. Membimbing anggota agar sentiasa jujur, dedikasi dan ikhlas dalam
melaksanakan tugas harian.
f. Membentuk satu kekuatan diri di jiwa para anggota dalam mengawal diri dari
godaan nafsu syaitan serta berusaha membersihkan diri dari segala bentuk
dosa.
g. Menimbulkan minat dalam kalangan anggota untuk membaca al-Quran,
memperbaiki mutu bacaan dan seterusnya memahami dan menghayati isi
kandungan al-Quran.
h. Membangkit semangat perjuangan suci berlandaskan al-Quran dan Sunnah
serta berlatarbelakangkan sejarah perjuangan Rasulullah (s.a.w.) serta para
sahabat dan pejuang-pejuang Islam.
i. Melahirkan anggota tentera yang mampu mengamalkan ajaran Islam di
samping menjauhkan diri dari terjerumus ke dalam jenayah yang ditegah Islam.
Menurut Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Jamil Khir (2008), pada
tahun 2006, KAGAT telah membuat semakan terhadap Sukatan Pendidikan ini dan
matlamat semakan ini ialah agar pendidikan Islam yang diajar kepada anggota ATM
lebih berkesan dari segi penghayatan dan fungsi sebagai benteng keagamaan dan
amalan seharian. Contohnya anggota ditekankan supaya dapat menghayati konsep
keesaan tuhan sehingga dapat merasai bahawa Allah (s.w.t.) sentiasa memerhati
gerak-geri, mengetahui isi hati dan pemikiran. Oleh itu setiap anggota perlu dan
sentiasa memperhatikan bahawa perbuatan-perbuatan lahiriah dan batiniah mengikut
lunas-lunas Islam agar hidup mendapat keredaan Allah. Amalan sikap ini secara
berterusan akan menjadikan seseorang itu seorang yang bertakwa. Jika demikian
akan tampil generasi Muslim yang mempunyai kekuatan keimanan, menguasai ilmu
fardu kifayah, fardu ain, sentiasa berbakti kepada agama, bangsa dan negara serta
berakhlak mulia.
Selain dari itu menurut Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Jamil Khir
(2008), menjelaskan bahawa aspek penghayatan Islam adalah amat penting kepada
setiap anggota tentera dan ia perlu dijadikan sifat keperibadian setiap anggota tentera
khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia. Ciri-ciri tersebut ialah keimanan yang
teguh, pelaksanaan ibadat dan akhlak mulia. Bagi mencapai matlamat tersebut,
menurut beliau lagi, KAGAT telah mengatur banyak aktiviti dan program dakwah dalam
usaha membina penghayatan Islam yang tinggi dalam kalangan anggota ATM
seluruhnya. Dalam hal ini beliau telah merujuk kepada buku Panduan kehidupan
tentera (2008: 56-60) yang diterbitkan khusus sebagai panduan untuk anggota
Angkatan Tentera Malaysia. Ciri-ciri tersebut adalah:
a. Keimanan yang teguh. Keimanan kepada Allah (s.w.t.) adalah paksi
pembinaan negara dan ummah. Dengan keimanan itu akan lahirlah individu
yang unggul dan masyarakat yang berbudi luhur, berdisiplin dan beramanah
61
demi kebaikan dunia dan akhirat. Ini berdasarkan firman Alah (s.w.t.) dalam
Surah al-‘Asr (103: 1-3):
Maksudnya: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali
orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan
dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.
Dalam ayat ini Allah (s.w.t.) menjelaskan bahawa manusia yang
beruntung ialah mereka yang beriman dan beramal soleh. Beriman kepada
Allah adalah proses peralihan jiwa manusia daripada menganggap dirinya
bebas daripada sebarang kuasa dan ikatan serta tanggungjawab kepada
ketundukan mengaku tanpa syarat bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan
Muhammad itu pesuruh Allah. Konsep iman merangkumi tiga unsur utama iaitu
pengetahuan yang mendalam, kepercayaan yang jitu dan keyakinan yang
teguh. Ketiga-tiga unsur ini, akan membentuk iman yang kukuh yang menjadi
tonggak kekuatan rohaniah yang cukup kental bagi membina jiwa dan jasmani
manusia. Keteguhan iman juga merupakan penghalang daripada melakukan
kejahatan dan maksiat.
b. Pelaksanaan amal ibadat. Keimanan tanpa ketaatan melalui amal ibadat
adalah sia-sia. Seseorang yang berperibadi unggul akan tergambar jelas
keimanannya melalui amal perbuatan dalam kehidupan sehariannya. Bahkan
jika dikaji tujuan Allah menjadikan manusia itu adalah supaya manusia atau
makhluk itu beribadat kepadaNya. Firman Allah (s.w.t.) dalam Surah al-
Dhariyyat (51:56):
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan
untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu”.
Ibadat adalah bukti ketundukan seseorang hamba setelah mengaku
beriman kepada tuhannya. Ibadat yang dimaksudkan di sini termasuklah ibadat
khusus yang menyentuh fardu ain dan juga fardu kifayah yang merangkumi
hubungan manusia sesama manusia. Justeru itu, bagi individu yang
berperibadi unggul seluruh hidupnya baik hubungannya dengan pencipta atau
masyarakat adalah dianggap ibadat sebagaimana firman Allah (s.w.t.) dalam
Surah al-Mu’minun (23:1-6):
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, Iaitu mereka
yang khusyuk dalam sembahyangnya; dan mereka yang menjauhkan diri dari
perbuatan dan perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha
membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka
yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba
sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela”.
c. Akhlak mulia. Akhlak mulia dan peribadi unggul boleh dihasilkan daripada
keimanan yang kental. Ini disebabkan tali ikatan yang menjalinkan hubungan
antara individu dengan masyarakat terbentuk melalui nilai-nilai dan disiplin
yang diamalkan oleh anggota masyarakat tersebut. Sekiranya nilai-nilai yang
diamalkan itu positif maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang aman, damai,
harmoni dan diselubungi roh Islam. Rasulullah (s.a.w.) adalah contoh utama
pembentukan akhlak sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”
(Hanbal 2000).
62
Antara nilai yang baik dalam akhlak Islam yang menjadi tonggak amalan bagi
melahirkan individu unggul ialah:
a. Amanah. Amanah adalah sifat mulia yang mesti diamalkan oleh setiap orang.
Ia adalah asas ketahanan umat, kestabilan negara, kekuasaan, kehormatan
dan roh keadilan. Firman Allah (s.w.t.) dalam Surah al-Baqarah (2:283):
Maksudnya: “Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau
memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis,
maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang
memberi hutang). kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang
berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka
hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan
bayaran hutang yang diamanahkan kepadaNya, dan hendaklah ia bertakwa
kepada Allah Tuhannya. dan janganlah kamu (Wahai orang yang menjadi
saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. dan sesiapa Yang
menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa
hatinya. dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan apa yang kamu
kerjakan”.
b. Ikhlas. Ikhlas adalah inti pati setiap ibadat dan perbuatan. Firman Allah (s.w.t.)
dalam Surah al-Bayyinah (98:5):
Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya
menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh
di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi
zakat dan yang demikian itulah agama yang benar”.
Ikhlas akan menghasilkan kemenangan dan kejayaan. Masyarakat
yang menampakkan sifat ikhlas akan mencapai kebaikan dunia dan akhirat,
bersih daripada sifat kerendahan dan mencapai perpaduan, persaudaraan,
perdamaian dan kesejahteraan. Sabda Rasulullah yang bermaksud (Bayhaqi
t.th.):
“Bahagialah dengan limpahan kebaikan bagi orang yang bila dihadiri (berada
dalam kumpulan) tidak dikenali, tetapi apabila tidak hadir tidak pula kehilangan.
Mereka itulah pelita hidayat. Tersisih daripada mereka segala fitnah dan
angkara orang yang zalim”.
c. Tekun. Islam menggalakkan umatnya supaya tekun dalam melakukan sesuatu
pekerjaan sehingga selesai dan berjaya. Sifat tekun akan meningkatkan
produktiviti ummah, melahirkan suasana kerja yang aman dan memberi kesan
yang baik kepada masyarakat. Sabda Rasulullah (s.a.w.) yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah (s.w.t.) menyukai apabila seseorang kamu bekerja dia
melakukan dengan tekun” (Abu Dawud 2000).
d. Berdisiplin. Berdisiplin dalam menjalankan sesuatu pekerjaan akan dapat
menghasilkan mutu kerja yang cemerlang. Hasrat negara untuk maju dan
cemerlang akan dapat dicapai dengan lebih cepat lagi kerana dengan
berdisiplin seseorang itu akan dapat menguatkan pegangannya terhadap
ajaran agama dan menghasilkan mutu kerja yang cemerlang.
63
e. Bersyukur. Bersyukur dalam konteks peribadi unggul berlaku dalam dua
keadaan: Pertama, sebagai tanda kerendahan hati terhadap segala nikmat
yang diberikan oleh pencipta sama ada sedikit ataupun banyak. Kedua,
bersyukur sesama makhluk sebagai ketetapan daripada Allah (s.w.t.) supaya
kebajikan sentiasa di balas dengan kebajikan. Firman Allah (s.w.t.) dalam
Surah Ibrahim (14:7):
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi
sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu
kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya
azabKu amatlah keras”.
f. Sabar. Di dalam menghadapi cabaran hidup, kesabaran amat penting untuk
membentuk peribadi unggul seperti yang dihendaki Allah melalui firman-Nya
dalam Surah Al ‘Imran (3:200):
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi
segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan),
dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan
perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah
sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya
mencapai kemenangan”.
g. Adil. Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Para ulama
membahagikan adil kepada beberapa peringkat iaitu adil terhadap diri sendiri,
orang bawahan, pemimpin atasan dan juga sesama saudara. Sabda
Rasulullah (s.a.w.) yang bermaksud,
“Tiga perkara yang menyelamatkan seseorang itu daripada kemurkaan Allah
iaitu takut kepada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil
pada ketika suka dan marah dan berjimat cermat ketika susah dan senang dan
tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut nafsu, terlampau bakhil dan
kagum seseorang dengan dirinya sendiri” (Muslim 2000; al-Bukhari 2000).
h. Patuh dan Taat. Setiap pengikut mesti taat kepada pemimpinnya. Walau
bagaimanapun patuh dan taat ini hendaklah dilaksanakan selama mana
seseorang pemimpin itu berada di landasan Islam yang betul dari segi
matlamat, tindakan dan pengurusan peribadinya. Prinsip ini boleh dirumuskan
dari pelaksanaan solat berjemaah, di mana makmum (pengikut) tidak perlu
mengikuti imam (pemimpin) yang tidak mengikut rukun-rukun solat. Rasulullah
(s.a.w.) bersabda yang bermaksud,
“Wajib ke atas setiap orang Islam mendengar dan mematuhi (perintah
ketua/pemimpin) di dalam perkara-perkara yang disukai atau dibencinya, selagi
tidak disuruh mengerjakan maksiat. Apabila disuruh mengerjakan maksiat tidak
lagi ia diwajibkan mendengar dan taat”.
Ulama menggariskan tiga keadaan mewajibkan pengikut patuh dan taat
kepada pemimpinnya iaitu:
i. Pemimpin yang melaksanakan ajaran Islam.
ii. Pemimpin yang adil dalam pengurusan dan tindakan terhadap semua
orang.
64
iii. Pemimpin yang tidak menyuruh melakukan perkara jahat atau maksiat.
Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda yang bermaksud: “Kamu tidak ada
hak untuk mentaati orang yang tidak taat kepada Allah (s.w.t.)”(Hanbal
2000).
Sebagai tanda kepatuhan dan ketaatan, menghormati pemimpin yang
akan membawa pada kehebatan dan keagungan yang sepatutnya. Sifat ini
akan membawa kepada kecemerlangan sesebuah organisasi dan keamanan
serta kedamaian sesebuah negara. Firman Allah (s.w.t.) dalam Surah al-Nisa’
(4:59):
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan
taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang yang berkuasa)
dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan)
dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada
(Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman
kepada Allah dan hari akhirat, yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu),
dan lebih elok pula kesudahannya”.
i. Sanggup berkorban. Pengikut haruslah memberikan sesuatu komitmen sama
ada kepada penghasilan, organisasi, cetusan idea dan sebagainya. Komitmen
merupakan suatu yang berkesinambungan, pengikut yang mempunyai
komitmen akan mempengaruhi pengikut-pengikut yang lain di sekitarnya dalam
melaksanakan sesuatu misi atau kerja yang diarahkan oleh seseorang
pemimpin dengan jaya dan efektif. Ini kerana, pengikut merupakan satu
rantaian individu dalam organisasi atau masyarakat. Jika rantaian individu
mempunyai komitmen, ia akan mempengaruhi motivasi individu di sekitarnya,
Seterusnya akan memberi dorongan kepada pemimpin dalam melaksanakan
urusannya dengan lancar dan cemerlang. Dalam masa yang sama, komitmen
ini adalah peluang untuk seseorang pengikut mempertingkatkan lagi kerjaya
dan taraf hidupnya.
Berkorban ialah menyumbang jiwa dan harta, masa dan nyawa serta
segala-galanya demi mencapai matlamat. Di dunia ini tiada jihad yang tidak
menuntut pengorbanan. Segala pengorbanan yang disumbangkan demi
gagasan ini tidak akan disia-siakan, sebaliknya akan dibalas dengan ganjaran
yang lebih besar dan pahala yang lebih baik. Antara firman Allah yang
mengaitkan aspek tersebut adalah seperti dalam surah al-Tawbah (9:24):
Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan
anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-
suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu
usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-
rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-
perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada)
berjihad untuk agamanya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk
kepada orang yang fasik (derhaka)”.
Firman Allah lagi, (al-Tawbah 9:120):
Maksudnya: “Tidaklah patut bagi penduduk Madinah dan orang yang di
sekeliling mereka dari orang “A'raab” ketinggalan daripada (turut berperang
bersama) Rasulullah; dan tidaklah patut mereka mengasihi diri mereka sendiri
65
dengan tidak menghiraukan Rasulullah, yang demikian kerana sesungguhnya
(tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga
merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka
menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang kafir; dan juga
(tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak
musuh - melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh.
Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang yang berusaha
memperbaiki amalannya”
Selanjutnya Allah berfirman, (al-Tawbah 9:111):
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang yang beriman akan
jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan
beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di
antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang
demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam
(Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih
menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan
jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli
(yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”
j. Thiqah (Boleh dipercayai): Setiap pengikut perlu mampu berdikari dan berfikir
secara kritikal dalam sesuatu perkara atau penilaian demi kebaikan kumpulan
atau organisasi. Ini akan membolehkan pemimpin dan kumpulannya menanam
rasa kebolehpercayaan terhadap dirinya. Dia boleh dipercayai bila-bila masa
sahaja dan sama-sama berkongsi kejayaan dengan pemimpin dan masyarakat
sekitar.
k. Tajarrud (Jati diri): Tajarrud ialah memberikan tumpuan sepenuhnya kepada
fikrah atau gagasan kepimpinan organisasi yang disertai dan mengetepikan
semua prinsip yang lain. Yakin dengan prinsip perjuangan yang dipegang
bahawa tulah yang paling mulia,paling lengkap dan paling tinggi. Firman Allah
dalam Surah al-Baqarah (2:138):
Maksudnya: “(Katakanlah Wahai orang Yang beriman: “Agama Islam, yang
Kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh
kehidupan Kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik
celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah
Kami beribadat”.
Firman Allah lagi dalam Surah Al-Mumtahanah (60:4):
Maksudnya: “Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim
(a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka
berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): “Sesungguhnya Kami berlepas
diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah;
Kami kufur ingkar (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah
perasaan permusuhan dan kebencian di antara Kami Dengan kamu selama-
lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata”, tetapi janganlah
dicontohi perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya (katanya): “Aku akan
memohon kepada Tuhanku mengampunkan dosamu, dan Aku tidak berkuasa
menahan (azab seksa) dari Allah sedikit jua pun daripada menimpamu”.
(Berdoalah Wahai orang Yang beriman sebagaimana Nabi Ibrahim dan
pengikut-pengikutnya berdoa ketika mereka memusuhi kaumnya Yang kafir,
66
Dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! kepada Engkaulah sahaja Kami
berserah diri, dan kepada Engkaulah Kami rujuk bertaubat, serta kepada
Engkaulah jua tempat kembali
2.17 KESIMPULAN
Berdasarkan penjelasan yang telah diberikan dalam bab ini iaitu penghuraian dan
penjelasan mengenai penghayatan Islam dapatlah disimpulkan bahawa penghayatan
Islam itu mencakupi pelbagai dimensi yang luas dan juga merangkumi aspek akidah,
ibadah dan akhlak seseorang Muslim itu. Bagi menjelaskan lagi kajian ini khususnya
dalam aspek penghayatan Islam dalam kalangan anggota tentera, bab berikutnya akan
menghuraikan beberapa aspek yang berkaitan dengan ketenteraan Islam, sejarah
ketenteraan pada zaman Rasulullah dan para sahabat dengan tujuan kajian ini benar-
benar dapat menjelaskan bagaimanakah institusi ketenteraan itu unggul berdasarkan
sirah Rasulullah dan sejarah Islam, yang menghayati Islam dan mengamalkannya
dalam kehidupan sekali gus menjadi benteng pertahanan ummah yang mampu
menepati ciri-ciri maqasid al-syariyyah yang menepati kehendak Islam serta mampu
memenuhi lima kriteria dalam Islam yang disebut sebagai al-Daruriyyat al-Khams atau
kepentingan yang lima iaitu menjaga Agama (hifz al-din), menjaga akal (Hifz al-‘aql),
menjaga nyawa (Hifz al-Nafs, menjaga harta (Hifz al-Mal) dan menjaga keturunan (Hifz
al-nasab.)