Kelas PK 5
Bahasa Melayu
Tema 7: Alam Sekitar
2.1.2 Membaca untuk memahami maksud perkataan,
rangkai kata,istilah,ungkapan dan ayat.
Pencemaran 'bunuh' Selat Johor
PASIR GUDANG: Hidupan laut di Selat Johor kini diancam kepupusan,
menyebabkan punca rezeki ratusan nelayan terjejas apabila pencemaran
toksik didakwa sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.
Insiden pencemaran sungai di sekitar selat yang turut dikenali sebagai
Selat Tebrau, menambah derita nelayan apabila sisa toksik didakwa dibuang
dan dialirkan secara haram sejak sekian lama sehingga meracuni hidupan
laut.
Tinjauan BH di beberapa sungai termasuk Sungai Kim Kim, mendapati
aliran seakan-akan minyak hitam pekat mengalir dari hilir sungai dan
lapisannya mencemari Sungai Kim Kim yang bersambung dengan Selat
Johor.
Sungai lain yang didakwa tercemar dengan toksik sehingga
menjejaskan pendapatan nelayan termasuk Sungai Masai, Sungai Masai
Kecil, Sungai Perempi, Sungai Latoh serta Sungai Perigi Acheh, semuanya
bersambung dengan Selat Johor.
Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Madya Dr Radin Maya Saphira
Radin Mohamed, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu segera
menangani masalah pencemaran yang disebabkan sisa efluen loji kumbahan
yang mengalir dari sungai ke kawasan laut.
Ini kerana katanya, ia mampu mendatangkan risiko kesihatan yang
tinggi kepada penduduk sekitar terutama nelayan, selain mencemarkan alam
sekitar.
Katanya, loji kumbahan yang lama perlu diperbaharui sistemnya bagi
memastikan ia dapat memproses sisa kumbahan secara sistematik manakala
yang sudah tidak dapat menampung pertambahan sisa perlu
dipertingkatkan kapasitinya supaya tidak mengalir ke sungai.
“Pendedahan terlalu lama kepada bakteria E Coli dan ammonia
sebenarnya amat berbahaya kerana kuman dapat memasuki bahagian
badan melalui udara dan yang paling terdedah adalah bayi, kanak-kanak,
warga emas dan pesakit saluran pernafasan serta kronik.
“Tahap pencemaran tinggi juga bukan sahaja menyebabkan
kepupusan hidupan air, malah boleh jadi keracunan menerusi makanan dan
minuman,” katanya.
Beliau pernah membuat kajian di Sungai Benut, Simpang Renggam
yang dicemari ammonia dari tapak pelupusan sampah, kilang penternakan
ayam dan ladang sawit, tahun lalu dan menurutnya fenomena hampir sama
berlaku di Selat Johor.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Johor Selatan, Azli Mohd
Aziz, 53, mendakwa hampir 400 nelayan pantai di Pasir Gudang terjejas
selepas pencemaran di sungai yang mengalir ke Selat Johor menyebabkan
mereka hilang mata pencarian.
Sejak 10 tahun lalu, katanya, pencemaran sungai terutama Sungai Kim
Kim sudah beberapa kali dilaporkan media apabila air sungai berubah hitam
dan berbau busuk sehingga hidupan air termasuk ikan mati di permukaan
sungai.
“Sebelum ini, isu pencemaran itu memang mendapat perhatian, tetapi
hangatnya hanya sekejap. Sebelum ini juga, pelbagai ujian juga dibuat ke
atas sampel air sungai oleh agensi kerajaan berkaitan, namun hasilnya ia
disahkan bersih dan tidak tercemar.
“Yang peliknya, hidupan sungai dan perairan berhampiran, terutama
ikan, udang dan ketam perlahan-lahan pupus. Tiada sesiapa pun
mengendahkan isu ini sehinggalah sisa kimia berbahaya dikesan di Sungai Kim
Kim,” katanya.
Azli berkata, kawasan perairan Pasir Gudang dulu adalah lubuk
hidupan laut dan terkenal dengan udang serta ikan sembilang yang besar,
namun ia semakin berkurangan.
“Kini ikan di sini dipercayai dicemari toksik. Kami pernah memasak ikan
sembilang yang ditangkap di sini, namun ia kemudian terpaksa dibuang
kerana berbau seakan-akan bau minyak.
“Sejak itu nelayan tidak berani menaikkan hidupan sungai dan laut di
sesetengah kawasan di sini termasuk berhampiran kawasan perindustrian,”
katanya.
Air hitam, berbau busuk
Fenomena perubahan beberapa sungai di sini, yang bertukar menjadi hitam
dan berbau busuk, disahkan dicemari sisa efluen dari loji kumbahan, selain sisa
industri dan tapak pelupusan haram.
Pemantauan yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan
Jabatan Laut Malaysia Wilayah Selatan di bahagian tengah Sungai Kim Kim
kelmarin, mendapati air sungai berkenaan kehitam-hitaman serta
mengeluarkan bau busuk.
Wartawan BH bersama jurugambar mengikuti tinjauan empat jam
bermula 9 pagi itu terpaksa menggunakan penutup mulut dan hidung ketika
berada di kawasan sekitar sungai berkenaan.
Jabatan Laut Malaysia juga menggunakan bantuan dron bagi
mengambil video di beberapa bahagian sungai sehingga ke kawasan
perairan di Selat Johor bagi mengesan punca air menjadi kehitaman.
Mengulas penemuan berkenaan, Pengarah JAS Johor, Wan Abdul Latiff
Wan Jaafar, berkata berdasarkan keadaan fizikal air sungai bertukar hitam
dan berbau busuk sejak dahulu disyaki berpunca daripada pelepasan
kumbahan dari loji dan kawasan perumahan yang terletak di hulu dan
sepanjang Sungai Kim Kim.
Katanya, pelepasan sisa industri juga turut menyumbang kepada
masalah pencemaran di sungai berkenaan ditambah aktiviti kawasan
pelupusan sampah haram yang berlaku di situ.
“Tidak dinafikan pelepasan kumbahan yang gagal mematuhi standard
pelepasan boleh menjejaskan kualiti air sungai termasuk Sungai Kim Kim
disebabkan oleh faktor beban pencemaran organik (BOD Loading) yang
akhirnya boleh menjejaskan hidupan akuatik di kawasan sungai dan juga di
sepanjang Selat Johor sekiranya tidak dikawal.
“JAS akan memberikan tumpuan kepada punca pencemaran yang
tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan peraturan di
bawahnya bagi menangani pencemaran di sepanjang kawasan sungai
sehingga Selat Johor,” katanya.
(Dipetik daripada “Pencemaran ‘bunuh’ Selat Johor”, Mohamed Farid Noh, Berita
Harian,15 Julai 2019)