Usaha-usaha meningkatkan semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat di
negara kita.
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada
masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana
masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak
menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam
hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan semata-mata. Oleh itu,
mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak mempedulikan
sambutan hari kebangsaan,contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan
bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan.
Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat
ditingkatkan.
Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk
meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu
daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses
pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan
semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu,
melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Sekiranya semangat patriotik dapat
dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan
dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat
melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan
perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara
besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan
semangat patriotik akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang
kepentingan pemupukan semangat patriotik. Oleh itu, media elektronik seperti
televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan
semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Televisyen dan radio hendaklah
menyiarkan rancangan yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti
menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu,
media elektronik juga perlulah menayangkan filem seperti Bukit Kepong dan
drama-drama tentang semangat cinta akan negara.
Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan
aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik
dalam kalangan masyarakat. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-
kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari
kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan.
Di samping itu, stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat
patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa.
Aktiviti itu bukan sahaja dapatmemupuk semangat patriotik, malah dapat
mengeratkan perpaduan antara kaum dinegara kita.
Semangat patriotik juga dipupuk melalui contoh dan teladan daripada
pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa,
agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan
mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang
tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan
menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan pejuang-pejuang
kemerdekaan yang terdahulu. Hal ini penting kerana ,kemerdekaan yang dinikmati
ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara
ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati
sukar untuk dipertahankan dan tidak akan memberi makna kepada generasi yang
akan datang.
Oleh itu, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah
dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat
patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan
pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya
sendiri. Jika semangat patriotik tidak dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah
mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang
jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan
masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam
kalangan masyarakat.
Sekian Terima Kasih