The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

PENULISAN ARTIKEL BSS3083 (NURUL FARHANA BINTI MT. RIDZUAN D20191087608)

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by d087608, 2022-08-09 21:20:16

PENULISAN ARTIKEL BSS3083 (NURUL FARHANA BINTI MT. RIDZUAN D20191087608)

PENULISAN ARTIKEL BSS3083 (NURUL FARHANA BINTI MT. RIDZUAN D20191087608)

BSS3083: WACANA KESUSASTERAAN MELAYU SEMASA

SEMESTER 1 SESI 2021/2022
TAJUK PENULISAN ARTIKEL 1:
PENDIDIKAN KESUSASTERAAN MELAYU MEMBENTUK
KECEMERLANGAN AKADEMIK DAN SAHSIAH PELAJAR

DISEDIAKAN OLEH:
NURUL FARHANA BINTI MT. RIDZUAN

NO. MATRIKS:
D20191087608
KUMPULAN KULIAH:

A
PENSYARAH:
ENCIK MOHD AMIR BIN MOHD ZAHARI

PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, unggul bermaksud melebihi (mengatasi) yang lain
(baik, bijak, cekap, tinggi, dan lain-lain). Keunggulan seseorang pelajar dapat dibentuk
bersesuaian dengan matlamat pendidikan kesusasteraan Melayu yang diperkenalkan untuk
melahirkan pelajar-pelajar dan membentuk masyarakat Malaysia yang mampu menjiwai unsur
dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan,
kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta akan tanah air. Unsur-unsur positif dan
nilai murni yang diperoleh melalui karya kesusasteraan Melayu dapat memberikan kesedaran
dan pengajaran dalam kehidupan sama ada terhadap diri sendiri ataupun kehidupan
bermasyarakat. Penghayatan karya-karya kesusasteraan Melayu mampu memberikan makna
yang berharga buat seseorang individu kerana gaya penulisannya yang penuh dengan
keindahan, gaya bahasa yang pelbagai dan bersifat menarik minat sesiapa sahaja yang
menghayatinya. Awang Sariyan (2015), menyatakan setiap kata dalam ciptaan sastera itu
merupakan jiwa, nyawa serta nafas dalam penciptaannya. Tegasnya, Kesusasteraan Melayu
dilihat penting sebagai salah satu faktor pembinaan sahsiah yang baik terutamanya dalam
kalangan pelajar kerana kepelbagaian fungsinya terutamanya dalam mendidik.

Selain menekankan aspek unsur positif dan nilai murni yang diperoleh melalui
kesusasteraan Melayu, aspek lain yang dapat dilihat juga ialah kemampuan seseorang pelajar
dalam menghasilkan sesebuah penulisan yang baik. Bertepatan dengan hasrat melahirkan
pelajar-pelajar yang unggul melalui pendidikan kesusasteraan Melayu, seseorang pelajar itu
perlu cemerlang dari segi sahsiah dan akademiknya. Oleh itu, melalui pendidikan sastera para
pelajar cenderung mempunyai buah fikiran yang bernas dan kreatif untuk digunakan dan
diaplikasikan dalam penulisan mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana, pendedahan yang
dilakukan oleh guru tentang karya-karya sastera terhadap para pelajar mereka telah
memberikan satu panduan kepada para pelajar tentang bagaimana menghasilkan penulisan
yang baik dengan menerapkan pelbagai unsur keindahan bagi memantapkan penghasilan ayat.

Hashim Awang (1985) memperincikan sastera sebagai hasil ciptaan seni yang
disampaikan melalui bahasa. Hasil sastera disebarkan melalui bahasa, manakala bahasa mampu
memancarkan keindahan yang terkandung dalam karya sastera. Wahana bahasa mampu
menjadikan karya sastera dapat difahami segala isi dan tujuan yang mahu dilakarkan oleh
pengarang. Oleh yang demikian, pendidikan kesusasteraan Melayu sememangnya harus
dimartabatkan dari hari ke hari agar dapat memberikan impak dalam membentuk pelajar yang

unggul dari segi akademik dan sahsiahnya serta mampu menghargai sumbangan yang telah
dicurahkan oleh para penulis dan pengkarya melalui karya yang dijadikan bahan bacaan
ataupun rujukan. Tuntasnya, pendidikan kesusasteraan Melayu bukan sahaja menekankan
falsafah dan pemikiran manusia. Namun, memperlihatkan perkaitan antara fitrah manusia dan
karya sastera yang masing-masing memiliki keindahan dan keistimewaan tersendiri. Perkaitan
yang ada ini dijadikan sebagai langkah menggiatkan pendidikan kesusasteraan Melayu dalam
membentuk dan memperkukuhkan pembinaan keperibadian unggul khususnya dalam kalangan
pelajar.

PENGGUNAAN TEORI PENGKAEDAHAN MELAYU DALAM MEMBENTUK
KECEMERLANGAN AKADEMIK DAN SAHSIAH PELAJAR

Teori ini dikemukakan oleh Hashim Awang dengan bersandarkan kepada kitab Taj-al-Muluk
(terbitan Muktabah Wamatbaah Wal maari’f, Pulau Pinang). Gagasan teori ini bersandarkan
akar kehidupan dan kebudayaan masyakakat Melayu. Teori ini berasaskan daripada dua unsur
utama, iaitu pendekatan alamiah dan pendekatan keagamaan yang memiliki keilmuan
mengenai islam serta Melayu. Teori ni dibentuk berasaskan cara dan sikap hidup, pandangan
dunia, perspektif alam semesta dan agama (Islam) orang Melayu yang memiliki ciptaan karya
sastera yang tinggi dan unik (Hashim, 1999, pp. 5-6). Teori pengkaedahan Melayu amat sesuai
dalam usaha membentuk sahsiah pelajar melalui pendidikan kesusasteraan Melayu. Hal ini
dikatakan demikian kerana, teori ini memainkan peranan sebagai penggerak ke arah pembinaan
yang berkesan dalam menggilap dan membangunkan aspek intelektual dan emosi malah
spiritual manusia. Pendekataan gunaan, moral dan firasat yang terletak dalam cabang pertama
teori iaitu pendekatan alamiah dan pendekatan dakwah, sosial dan estetika (pendekatan
keagaman) memiliki kaedah dan tatacara tersendiri berdasarkan keilmuan islam dan
ketamadunan Melayu yang kukuh. Dari sudut kebahasaan, Hashim mendapati aspek bahasa
yang menjadi nadi komunikakif masyarakat Melayu sangat tinggi nilai estetikanya dan kaya
dengan didaktismenya. Oleh itu, teori pengkaedahan Melayu amat sesuai untuk dijadikan
panduan bagi menghuraikan perbincangan yang bertajuk ‘Pendidikan Kesusasteraan Melayu
Membentuk Kecemerlangan Akademik dan Sahsiah Pelajar.’

Kefahaman yang jelas tentang teori pengkaedahan Melayu dapat memudahkan
seseorang guru dalam memanfaatkan penggunaannya dan mengaplikasikan semasa aktiviti
pembelajaran berlangsung. Penyampaian karya-karya sastera seperti pantun, syair dan sajak
amat sesuai menggunakan teori ini kerana dapat mendorong para pelajar untuk menghasilkan

karya-karya yang penuh dengan keindahan dari segi bahasa dan gaya bahasanya. Hal ini
dikatakan demikian kerana, teori ini menekankan aspek kehidupan dan kemasyarakatan.
Kemampuan seseorang guru dalam menerapkan teori ini dalam pembelajaran sudah pasti dapat
mempengaruhi sikap positif dan nilai-nilai murni serta menyedarkan para pelajar akan maksud
tersurat dan tersirat yang terdapat dalam sesebuah karya. Kesedaran yang diperoleh para pelajar
akan mendorong mereka dalam menunjukkan tingkah laku yang baik dan menjadikan kisah-
kisah daripada sesebuah karya tersebut sebagai pedoman hidup mereka. Pedoman hidup yang
diharapkan adalah apabila para pelajar dapat mengubah sikap mereka ke arah yang lebih baik
seperti menghormati orang lain, bersungguh-sungguh dalam menimba ilmu pengetahuan dan
mendidik diri menjadi seseorang yang bersopan santun. Selaras dengan hasrat Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM), ke arah melahirkan produk yang berkualiti dan mempunyai jati
diri yang kukuh, berketerampilan, berpengetahuan dan berkeperibadian mulia agar wujud
murid minda kelas pertama, berfikiran kritis dan kreatif.

Dalam teori pengkaedahan Melayu turut menyenaraikan tiga pendekatan, iaitu
pendekatan dakwah, pendekatan kemasyarakatan, dan pendekatan seni. Ketiga-tiga pendekatan
ini haruslah digunakan secara seiring dalam proses pembelajaran. Setiap guru harus sedar
bahawa melalui penyampaian ilmu pendidikan sastera juga dapat menyebarkan dakwah. Hal
ini dikatakan demikian kerana, karya-karya sastera sememangnya tidak akan lari dari unsur-
unsur keagamaan dan kerohanian. (Hashim Awang, 2002), karya sastera juga dikatakan boleh
memaparkan kesucian agama Islam dan menjadi alam mengembang agama Islam. Apabila
karya sastera mampu menyampaikan unsur dakwah dan keagamaan ia pasti menjadik titik tolak
yang amat penting dalam membentuk sahsiah para pelajar. Seterusnya, pendekatan
kemasyarakatan pula menekankan unsur kebaikan dalam karya sastera. Guru-guru dapat
mempengaruhi para pelajar untuk menjadikan unsur kebaikan tersebut sebagai pengajaran
dalam hidup mereka. Tegasnya, teori pengkaedahan Melayu amat sesuai untuk digunakan
dalam aktiviti pembelajaran berbanding dengan teori-teori barat kerana dianggap asing dengan
cara hidup tempatan. Di samping itu, pendekatan seni digunakan untuk menilai aspek dalaman
karya sastera itu, iaitu menjadikan unsur keindahan dalam karya sastera sebagai persoalan
pokok. Perkaitannya dalam aktiviti pembelajaran adalah dapat menyedarkan para pelajar untuk
meningkatkan kecintaan terhadap karya-karya kesusasteraan Melayu kerana ia memaparkan
aspek-aspek keindahan dalam kehidupan dan memanfaatkan alam sebagai penyumbang kepada
idea untuk menghasilkan sesebuah karya serta akan lebih menghargai ciptaan Allah S.W.T di
alam semesta ini.

Tuntasnya, teori pengkaedahan Melayu telah menfokuskan kepada soal inti kehidupan
masyarakat Melayu yang dibina dalam pendekatan alamiah dan pendekatan keagamaan.
Justeru itu dapat dikaitkan dalam menganalisis tentang perkaitan pendidikan kesusasteraan
Melayu dengan sahsiah pelajar. Penggunaan teori yang bersesuaian dengan kaedah
pembelajaran akan memudahkan seseorang guru mencapai objektif pembelajaran di samping
membentuk nilai tambah dalam diri seseorang pelajar yang dicapai melalui penghayatan
sesebuah karya. Kesannya, para pelajar bukan sahaja dapat memahami tentang topik
pembelajaran seperti tema, jalan cerita, persoalan, dan aspek-aspek yang lain, malah dapat
pengajaran hidup yang baru bagi mendidik diri menjadi insan yang jauh lebih baik.

CABARAN UNTUK MEMARTABATKAN PENDIDIKAN KESUSASTERAAN
MELAYU DALAM KALANGAN PELAJAR

Kursus pendidikan kesusasteraan Melayu pada masa kini kurang mendapat perhatian daripada
pelajar malah turut membimbangkan apabila ada sekolah-sekolah yang memberhentikan
pengambilan aliran sastera kerana tidak mendapat sambutan daripada pelajar-pelajar dan guru
bagi mengajar subjek kesusasteraan Melayu juga semakin berkurangan. Hal ini terjadi kerana
banyak persepsi negatif yang bermain di fikiran tentang ketidakrelevanan subjek ini. Subjek
pendidikan sastera dianggap tidak memenuhi permintaan pasaran kerja pada masa kini kerana
skop pekerjaannya amat terbatas. Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka kurang
pendedahan tentang laluan kerjaya kesusasteraan Melayu dan sewenang-wenangnya
menyebarkan perkara yang tidak benar tentang bidang ini. Justeru itu, bidang sains terutamanya
kelihatan lebih menonjol dan sering mendapat permintaan daripada para pelajar. Hal ini berlaku
kerana para pelajar cenderung didedahkan tentang laluan kerjaya bagi bidang ini dan
mempunyai pandangan yang tersendiri tentang subjek sains lebih hebat berbanding subjek
kesusasteraan Melayu. Tidak wajar untuk seseorang murid mempunyai pandangan untuk
membezakan subjek mana yang terbaik dan subjek mana yang tidak sesuai kerana sudah tentu
setiap subjek itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri apabila berjaya mendalami
tentangnya. Pemikiran yang sempit dengan membuat andaian sendiri tentang kelemahan
sesuatu subjek akan mengakibatkan seseorang individu kerugian kerana tidak berpeluang untuk
menerokai kekuatan yang ada pada sesuatu subjek misalnya subjek kesusasteraan Melayu.
Tegasnya, pihak institusi pendidikan terutamanya sekolah, tidak wajar memberhentikan
pengambilan pelajar aliran kesusasteraan Melayu dan menutup kelas bagi subjek ini kerana

tindakan sebegini sudah pasti dapat meningkatkan lagi pandangan negatif pelajar tentang
subjek kesusasteraan Melayu akibat daripada pendedahan tentangnya sudah tidak giat
dilakukan oleh pihak bertanggungjawab.

Cabaran dalam penyampaian pembelajaran bagi subjek kesusasteraan Melayu juga
berpunca daripada guru yang mengajar itu sendiri. (Lusianti Salimudin; 2007) mengatakan
bahawa kehadiran puisi-puisi tidak diberi nilai oleh murid. Malah sesetengah murid pula
berhadapan dengan masalah tidak menguasai aspek sastera, sintaksis dan tatabahasa. Salah satu
faktor yang mendorong kepada permasalahan ini adalah guru sendiri yang tidak menguasai
nilai estetik dalam penyampaian kurikulum, apabila gagal menguasai nilai estetik yang terdapat
dalam karya, guru sukar untuk menerangkan kepada para pelajar tentang keindahan makna di
sebalik sesebuah karya. Hal ini dikatakan demikian kerana, guru sendiri tidak menjiwai dalam
melaksanakan aktiviti pembelajaran dan terlampau fokus untuk mencapai objektif
pembelajaran semata-mata. Muhammad Amnan (2016) menjelaskan bahawa sesetengah guru
tidak memberi perhatian terhadap kaedah pengajaran mereka, terutama untuk menarik minat
pelajar. Oleh itu, walaupun objektif pembelajaran tercapai tetapi elemen merentas kurikulum
(EMK) belum tentu dapat diwujudkan dalam diri para pelajar. Guru tidak mampu
menghuraikan nilai kehidupan yang berkaitan langsung dengan pembentukan sahsiah, turut
berperanan dalam penguasaan objektif sesuatu mata pelajaran yang melibatkan domain
kognitif, psikomotor di samping turut mengembangkan sama keperibadian sosial kanak-kanak
(Shamsudin Othman; 2014).

Cabaran yang selanjutnya adalah sikap para pelajar yang tidak meminati subjek
kesusasteraan Melayu. Terdapat pelbagai faktor yang membuatkan mereka tidak meminati
subjek sastera. Antaranya adalah tidak suka membaca. Hal ini dikatakan demikian kerana,
subjek kesusasteraan Melayu sememangnya memerlukan pembacaan yang lebih untuk
memahami jalan ceritanya dan mengkaji aspek-aspek kesusasteraan yang ada. Pelajar
cenderung berasa bosan untuk menumpukan sepenuh perhatian mereka untuk melakukan
pembacaan semata-mata. Selain itu, penggunaan bahasa klasik dan bahasa Melayu lama yang
ada pada karya-karya kesusasteraan Melayu seperti prosa tradisional juga merupakan faktor
pelajar tidak meminati subjek ini. Pelajar akan mengalami masalah untuk memahami
perkataan-perkataan tertentu yang digunakan dalam karya. Kesannya, pelajar menjadi putus
asa dan menganggap subjek ini sebagai subjek yang membebankan. Sekiranya dibiarkan
masalah ini berlarutan, bukan sahaja dapat menjejaskan penerimaan terhadap subjek
kesusasteraan Melayu, malah turut menimbulkan sikap negatif para pelajar seperti malas

berusaha, tidak mampu berfikir di luar kotak, tidak suka mencuba sesuatu yang baru dan tidak
mempunyai rasa cinta akan perjuangan tokoh-tokoh dalam memartabatkan kesusasteraan
Melayu hingga kini.

CADANGAN MEMUPUK MINAT PELAJAR TERHADAP KESUSASTERAAN
MELAYU

Pelbagai cabaran yang dihadapi pasti akan ada jalan penyelesaiannya. Oleh itu, peranan
pelbagai pihak amat diperlukan bagi memastikan hasrat memupuk minat pelajar terhadap
kesusasteraan Melayu tercapai. Institusi pendidikan di Malaysia seharusnya memberikan
perhatian terhadap subjek kesusasteraan Melayu dan menyebarkan maklumat sebanyak
mungkin tentang subjek ini. Hal ini dikatakan demikian kerana, subjek kesusasteraan Melayu
semakin di pandang sepi. Oleh itu, pemansuhan kelas kesusasteraan di peringkat sekolah
menengah terutamanya, haruslah dihentikan dan pengambilan guru kesusasteraan Melayu juga
harus dipergiatkan agar ada yang menjadi penyebar kepada kelebihan subjek kesusasteraan
Melayu ini. Dengan itu, tanggapan negatif para pelajar terhadap subjek kesusasteraan Melayu
dapat dikurangkan dan dijernihkan kembali dengan melihat kepada peluang-peluang yang akan
diperoleh melalui pembelajaran subjek ini. Tegasnya, pihak berwajib seharusnya memainkan
peranan agar proses memupuk minat pelajar terhadap kesusasteraan Melayu dapat dicapai.

Guru merupakan antara insan yang menjadi suri teladan oleh para pelajar mereka. Gary,
Richard dan Matthew (2009) mendapati bahawa guru memainkan peranan penting dalam
dalam menerapkan nilai-nilai moral dalam kalangan pelajar. Oleh itu, guru haruslah merebut
peluang sebanyak mungkin semasa menyampaikan pembelajaran agar dapat mempengaruhi
dan menarik minat para pelajar mereka. Menurut Tan, Rahimah dan Zuraini (2015), guru harus
mewujudkan satu iklim bilik darjah yang sesuai supaya pelajar dapat mengintegrasikan nilai-
nilai yang dipelajari dalam kehidupan seharian. Berdasarkan pandangan tersebut, dapatlah
disimpulkan bahawa seseorang guru perlu menjiwai aktiviti penyampaian yang disampaikan
dan menggunakan bahan bantu mengajar (BBM) yang terkini dan kreatif agar objektif
pembelajaran tercapai dan dalam waktu yang sama juga dapat menerapkan nilai-nilai yang baik
dalam diri para pelajar. Guru harus menumpukan kepada keberkesanan penyampaian
pembelajaran yang dilakukan agar para pelajar memperoleh elemen merentas kurikulum
(EMK) pada setiap topik pembelajaran. Maka, pelajar yang cemerlang akademik dan sahsiah
melalui pembelajaran subjek kesusasteraan Melayu dapat direalisasikan.

Cadangan yang terakhir adalah berkaitan sikap pelajar itu sendiri. Para pelajar
seharusnya mempunyai disiplin yang baik apabila berada dalam situasi menuntut ilmu agar
dapat melihat kelebihan di sebalik subjek yang dipelajari. Sebagai seorang pelajar, tidak boleh
banyak mencipta alasan apabila subjek yang dipelajari dianggap tidak sesuai dengan diri
sendiri sebelum berusaha terlebih dahulu. Subjek kesusasteraan Melayu merupakan subjek
yang istimewa dan mempunyai keindahan yang tersendiri, subjek ini juga memerlukan
seseorang pelajar untuk membuat pembacaan yang banyak tentang karya-karya kesusasteraan
Melayu yang ada. Pembacaan yang dilakukan akan membawa banyak manfaat dalam diri
seseorang pelajar. Contohnya seperti, menambahkan ilmu pengetahuan, memberi idea-idea
yang menarik untuk menghasilkan karya sendiri, mempelajari berkaitan nilai-nilai kehidupan
melalui karya kesusasteraan melayu, dan banyak lagi. Oleh itu, para pelajar haruslah mendidik
diri untuk rajin membaca agar dapat menguasai subjek ini dengan lebih mudah.

RUMUSAN

Pendidikan kesusasteraan Melayu di Malaysia sememangnya harus dipergiatkan dalam
membentuk generasi muda yang cemerlang dan bersahsiah terpuji. Peranan semua pihak
amatlah penting bagi memastikan kesusasteraan Melayu sentiasa relevan dari semasa ke
semasa kerana generasi kini kurang meminati subjek kesusasteraan Melayu. Tegasnya, subjek
kesusasteraan Melayu bukan sahaja merupakan subjek biasa yang mengajarkan bahan yang ada
pada buku teks semata-mata, malah keistimewaannya mampu membentuk perilaku yang baik
dalam diri seseorang manusia jika mampu memanfaatkan pembelajaran daripada subjek ini
dengan sebaik mungkin. Tuntasnya, untuk melahirkan pelajar yang cemerlang bukan hanya
perlu ditekankan kepada akademiknya tetapi turut perlu ditekankan dari segi kemenjadian
pelajar, di mana subjek kesusasteraan Melayu merupakan antara subjek yang dapat
menyumbang kepada kemenjadian pelajar dari segi akhlak kerana banyak nilai-nilai yang baik
dapat dipelajari daripada sesebuah karya kesusasteraan Melayu.

RUJUKAN
A.Halim Ali. (2019). Inti Sari Teori Sastera: Barat dan Malaysia. Shah Alam: NHA Excell

Resources.
Dayang Rosmuliati Haji Yahya. (2019). Produk Sastera. Cabaran dan Peranan Menyejagatkan

Bahasa Melayu. Diperoleh Daripada
http://lamanweb.dbp.gov.my/index.php/database_stores/attach_download/24/168
Fathin Noor Ain Ramli & Azhar Wahid. (2018). Pendidikan Sastera Melayu Memperkukuhkan
Pembinaan Karakter Pelajar. Jurnal Peradaban Melayu, 13, 1-14. Diperoleh Daripada
https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/JPM/article/view/2356
Nadia Ishak & Kamariah Kamarudin. (2019). Aspek Dakwah dalam Novel Suriati.
Berdasarkan Pendekatan Dakwah Teori Pengkaedahan Melayu. Malay Literiture,
32(1), 116-144. Diperoleh Daripada
http://malayliterature.dbp.my/wordpress/wp- content/uploads/2019/06/6.-Aspek-
dakwah-dalam-Novel-Suriati-Berdasarkan-Pendekatan-Dakwah-Teori-Pengkaedahan-
Melayu.pdf
Ros Anita Kartini Mohamed, A. Halim Ali & Norawi Kata. (2021). Unsur Sastera Melayu
dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Sekolah Rendah Melahirkan Murid Berfikiran
Kritis. Jurnal Pendidikan, 3(2), 540-550. Diperoleh Daripada
https://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd/article/view/14364

Syaidul Azam Kamarudin & Arbai’e Sujud. (2017). Jati Diri Melayu dalam Kumpulan Puisi
Terpilih A. Aziz Deraman: Analisis Teori Pengkaedahan Melayu. International Journal
of Language Education and Applied Linguistics (IJLEAL), 7, 77-63. Diperoleh
Daripada
https://journal.ump.edu.my/ijleal/article/download/513/119/1104

Suppiah Nachiappan, Barathy Sinnasamy & Sandra Suffian. (2017). Masalah dalam
Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Moral di Sekolah Menengah dan
Penyelesaian Masalah Melalui Kaedah Hermeneutik. Journal of Research, Policy &
Practice of Teachers & Teacher Education, 7(2), 58-68. Diperoleh Daripada
https://scholar.google.com/scholar?as_ylo=2017&q=teori+dan+pendekatan+dalam+p
embelajaran+kesusasteraan+melayu&hl=id&as_sdt=0,5#d=gs_qabs&u=%23p%3DG
LNVEHb2dB4J

Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali & Madiawati Mamat. (2017). Program Kesusasteraan
Melayu di Akademi Pengajian Melayu., Universiti Malaya: Pelaksanaan dan cabaran.
Jurnal Melayu, 16 (1), 19-31. Diperoleh Daripada
https://ejournal.ukm.my/jmelayu/article/view/18102

Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali. (2018). Teori dan Kaedah Aplikasi dalam Sastera.
Jurnal Melayu, 17(2), 343-349. Diperoleh Daripada
http://journalarticle.ukm.my/13141/1/28678-87579-1-SM.pdf

Ungku Maimunah Mohd. Tahir & Washima Che Dan. (2019). Pemartabatan ‘Realiti’ dan
‘Realisme’ ke Status Konvensi Sastera dalam Kesusasteraan Melayu. BITARA
International

Journal of Civilizational Studies and Human Sciences, 2(2). Diperoleh Daripada

https://bitarajournal.com/index.php/bitarajournal/article/view/68

BSS3083: WACANA KESUSASTERAAN MELAYU SEMASA

SEMESTER 1 SESI 2021/2022
TAJUK PENULISAN ARTIKEL 2:
KEHEBATAN PANTUN MELAYU, MEMBAWA MANFAAT SEGENAP
ASPEK KEHIDUPAN MANUSIA.

DISEDIAKAN OLEH:
NURUL FARHANA BINTI MT. RIDZUAN

NO. MATRIKS:
D20191087608
KUMPULAN KULIAH:

A
PENSYARAH:
ENCIK MOHD AMIR BIN MOHD ZAHARI

PENGENALAN

Pantun merupakan genre yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Melayu zaman
dahulu hingga kini kerana orang Melayu dan puisi tradisional, khususnya pantun sememangnya
tidak dapat dipisahkan. Menurut Harun Mat Piah (1989), definisi pantun adalah berdasarkan
aspek dalaman dan luaran atau strukturnya. Aspek dalaman sesebuah pantun meliputi unsur
estetika dan isi iaitu terdapat tema dan persoalan. Unsur estetika dalam sesebuah pantun pula
dapat dilihat berdasarkan dua aspek. Aspek yang pertama adalah berkaitan dengan penggunaan
lambang-lambang tertentu yang terdapat dalam pantun mengikut pandangan masyarakat dunia
manakala aspek yang kedua adalah berdasarkan hubungan makna antara pasangan pembayang
dengan pembayang maksud sama ada konkrit atau abstrak. Pantun yang juga dikenali sebagai
puisi tradisional Melayu ini sering dimanfaatkan sebagai platform untuk berinteraksi bagi
masyarakat zaman dahulu khususnya. Melalui pantun, masyarakat zaman dahulu berupaya
untuk menyampaikan sesuatu maksud tertentu dengan cara yang indah dan penuh dengan
bahasa kiasan. Seiring dengan peredaran zaman, kegunaan pantun juga telah berubah. Pada
zaman kini, pantun tidak digunakan sebagai alat berkomunikasi secara langsung dalam
kehidupan harian lantaran perkembangan zaman turut mendorong cara berkomunikasi yang
lebih moden dan praktikal. Pantun masih lagi berakar umbi dalam jiwa masyarakat kerana
penggunaannya seringkali dapat ditemui dalam sesuatu upacara seperti majlis dan
pertandingan.

Menurut Za’ba di dalam bukunya bertajuk Ilmu Mengarang Melayu (1965:219)
mengatakan bahawa penciptaan pantun merupakan puisi tertua dan milik asal kepunyaan
masyarakat Melayu. Pantun sememangnya khazanah warisan masyarakat Melayu lama yang
sangat bernilai buat perkembangan kesusasteraan Melayu pada masa kini. Pantun
melambangkan identiti masyarakat Melayu yang penuh dengan kesopanan dan ketinggian adab
pekerti. Dalam pantun Melayu, pelbagai aspek berkaitan nilai dan norma hidup disampaikan
sebagai wadah dalam bentuk nasihat, sindiran, gurauan dan medan meluahkan perasaan. Oleh
itu, genre pantun perlu dimartabatkan dari semasa ke semasa dalam kalangan masyarakat kini
yang kurang mendapat pendedahan tentang genre-genre dalam kesusasteraan Melayu. Seiring
dengan perkembangan zaman, pantun juga perlu terus-menerus berkembang dalam kalangan
masyarakat walaupun cara penggunaannya tidak sama seperti zaman dahulu. Kesedaran untuk
memartabatkan puisi tradisional ini harus dipertingkatkan agar masyarakat sedar akan
kepentingan dan manfaatnya dalam kehidupan seharian yang mampu dijadikan sebagai alat

penyampaian nasihat dan pengajaran. Tegasnya, semua pihak yang bertanggungjawab harus
cakna tentang perkara ini untuk memastikan genre pantun tidak luput ditelan zaman.

PENGGUNAAN TEORI PENGKAEDAHAN MELAYU DALAM MENJADIKAN
PANTUN SEBAGAI WADAH PENYAMPAIAN NASIHAT

Teori ini dikemukakan oleh Hashim Awang dengan bersandarkan kepada kitab Taj-al-Muluk
(terbitan Muktabah Wamatbaah Wal maari’f, Pulau Pinang). Gagasan teori ini bersandarkan
akar kehidupan dan kebudayaan masyakakat Melayu. Teori ini berasaskan daripada dua unsur
utama, iaitu pendekatan alamiah dan pendekatan keagamaan yang memiliki keilmuan
mengenai islam serta Melayu. Teori ni dibentuk berasaskan cara dan sikap hidup, pandangan
dunia, perspektif alam semesta dan agama (Islam) orang Melayu yang memiliki ciptaan karya
sastera yang tinggi dan unik (Hashim, 1999, pp. 5-6). Teori pengkaedahan Melayu amat sesuai
dalam menjadikan pantun sebagai wadah penyampaian nasihat kerana menekankan hal-hal
keagamaan dan pengajaran yang dapat dijadikan pedoman dalam menjalani kehidupan seharian
yang lebih baik. Oleh itu, pengaplikasian teori pengkaedahan Melayu dapat dijadikan rujukan
buat para penggiat pantun bagi menghasilkan karya-karya yang bukan sahaja menitikberatkan
aspek keindahan sesebuah pantun, malah membuat penelitian jalinan kata yang dapat
meninggalkan impak positif dalam kalangan audiens.

Kebijaksanaan para pengkarya dalam mengaplikasikan teori yang sesuai dapat
mendorong mereka menghasilkan sesebuah karya pantun yang berkualiti dalam menekankan
aspek-aspek penggunaan bahasa yang sesuai dan mudah menyampaikan informasi berguna
kepada masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana, pengkarya yang hebat adalah seseorang
yang mampu memberi manfaat kepada orang lain. Kekreatifan yang ada pada diri digunakn
dengan sebaik mungkin bagi menarik minat audiens untuk mengenali pantun dengan lebih
mendalam dan melazimi penggunaan pantun dalam kehidupan harian. Bertepatan dengan
pendapat Nik Safiah Karim (2006:136), orang Melayu terkenal dengan dengan cara tersendiri
dalam menyampaikan mesej, ditambah dengan mesej yang halus tetapi tajam. Mesej yang ingin
ditekankan tetapi tidak dengan cara memberi malu atau melukakan hati pelbagai pihak yang
dituju. Keadaan ini jelas menunjukkan, pengarang sememangya mempunyai fungsi terpenting
dalam menghasilkan pantun yang penuh dengan nilai, pengajaran dan nasihat yang lembut
supaya dapat diterima dalam kalangan masyarakat.

Dalam teori pengkaedahan Melayu turut menyenaraikan tiga pendekatan, iaitu
pendekatan dakwah, pendekatan kemasyarakatan, dan pendekatan seni. Ketiga-tiga pendekatan

ini haruslah digunakan secara seiring dalam menghasilkan karya pantun. Para pengkarya harus
sedar bahawa melalui pantun juga dapat menyebarkan dakwah. Hal ini dikatakan demikian
kerana, karya-karya sastera sememangnya tidak akan lari dari unsur-unsur keagamaan dan
kerohanian. (Hashim Awang, 2002), karya sastera juga dikatakan boleh memaparkan kesucian
agama Islam dan menjadi alam mengembang agama Islam. Apabila karya sastera mampu
menyampaikan unsur dakwah dan keagamaan ia pasti menjadik titik tolak yang amat berguna
dalam membentuk sahsiah masyarakat yang penuh dengan nilai-nilai positif.

Teori pengkaedahan Melayu yang dikemukakan oleh Hashim Awang ini turut
kembali ke dasar masyarakat dengan menyingkap aspek keindahan, kehalusan, ketinggian daya
cipta masyarakat Melayu yang sangat tinggi kekreatifannya dalam menghasilkan sesuatu hasil
seni. Dari sudut kebahasaan, Hashim mendapati aspek bahasa yang menjadi nadi komunikatif
masyarakat Melayu sangat tinggi nilai estetikanya dan kaya dengan didaktismenya. Di sini
jelas menunjukkan bahawa, kehebatan sesebuah karya pantun yang dapat dijadikan wadah
penyampaian nasihat adalah kerana ketinggian daya cipta masyarakat Melayu yang sangat
mementingkan penerapan nilai kehidupan dalam sesebuah karya yang dihasilkan. Masyarakat
Melayu yang bergiat dalam seni sastera tidak hanya melontarkan kata-kata indah dalam
penulisan mereka, malah menghidupkan sesebuah penulisan dengan susunan kata,
menyampaikan isi hati, teguran, saranan kebaikan dan sebagainya dengan penuh tertib dan
adab. Patah kata yang digunakan dalam pantun bersifat melankolik dan indah susunannya
supaya hasrat menjadikan pantun sebagai wadah penyampaian nasihat diterima dengan baik
dalam kalangan masyarakat. Buktinya dapat dilihat melalui pantun yang dinyatakan seperti
berikut:

Kalau hendak menjerat rusa,
Siapkan tali disimpul erat;
Kalau hendak berbuat jasa,
Tetapkan hati betulkan niat.

Pantun yang telah dinyatakan adalah berkaitan tentang niat dalam menghulurkan
bantuan kepada seseorang. Pengarang, ingin menyampaikan mesej dan nasihat kepada
pembaca agar membetulkan niat semasa menghulurkan bantuan kepada orang lain dengan
mengikhlaskan setiap bantuan yang diberikan tanpa mengharapkan sebarang ganjaran dan
pujian oleh orang lain. Tegasnya jika teguran ini dilakukan secara kasar dan tidak beradab,
sudah pasti sukar untuk membetulkan perkara salah yang dilakukan oleh segelintir masyarakat.

Oleh itu, pengarang harus berjiwa rakyat dengan memanfaatkan pantun sebagai wadah
membetulkan perkara yang tidak sepatutnya terjadi dalam diri seorang insan. Penggunaan teori
pengkaedahan Melayu dapat menyedarkan pengkarya bahawa dirinya bertanggungjawab
sebagai khalifah Allah S.W.T yang diamanahkan untuk mendaulatkan dan meninggikan syiar
dan syariat Islam di muka bumi ini apabila menekankan kaedah dakwah di samping
penyampaian karya kreatif mereka.

CABARAN MEMARTABATKAN PENGGUNAAN PANTUN DALAM KALANGAN
MASYARAKAT

Pantun merupakan genre puisi tradisional yang paling dekat dengan jiwa masyarakat Melayu,
namun penggunaannya tidak lagi sehebat zaman dahulu. Masyarakat kini, kurang melazimi
penggunaan pantun dalam kehidupan harian. Hal ini dikatakan demikian kerana, pantun tidak
lagi dijadikan sebagai alat berkomunikasi. Masyarakat kini tidak lagi melihat pantun sebagai
perkara penting terutama untuk berkomunikasi kerana wujudnya pelbagai medium sosial yang
lebih canggih dan menepati perkembangan teknologi semasa. Justeru pantun kini dijadikan
pelengkap bagi upacara-upacara tertentu sahaja. Fungsi pantun pada persepsi masyarakat kini
hanya melihat pantun sebagai alat hiburan bagi merancakkan pembuka bicara mereka dalam
majlis-majlis yang dianjurkan. Kesannya, menampakkan penggunaan pantun pada masa kini
terhad dan tidak meluas ke arah yang semakin memberikan manfaat.

Cabaran bagi memartabatkan penggunaan pantun juga wujud kerana masyarakat yang
tidak gemar membaca. Tidak dapat dinafikan lagi, setiap genre sastera sememangnya
memerlukan usaha yang lebih dari segi pembacaan. Tiada cara lain untuk memahami sastera
selain daripada membacanya dengan penuh penghayatan. Hal ini tidak mampu dilakukan oleh
semua individu kerana sikap diri sendiri yang malas dan cepat bosan sewaktu melakukan
pembacaan. Masalah ini cenderung terjadi dalam kalangan remaja yang lebih sanggup
menghabiskan masa bersama telefon pintar mereka bagi mendapatkan hiburan daripada
pelbagai platform sosial. Kesannya, pemikiran mereka menjadi cetek dan tidak mampu
menghasilkan pemikiran yang kreatif akibat kurang pembacaan yang mengehadkan
penguasaan perbendaharaan kata. Remaja zaman kini lebih sanggup menghabiskan masa
berjam-jam lamanya dengan perkara yang hanya memberikan keseronokan berbanding
meluangkan lebih masa bagi mendapatkan ilmu pengetahuan baru yang mampu meningkatkan
kemahiran berfikir dan memperkayakan pemikiran dengan input-input yang bermanfaat.
Tegasnya, permasalahan ini akan menjadi penghalang bagi pemartabatan genre pantun jika

dibiarkan berterusan dalam kalangan remaja. Hal ini dikatakan demikian kerana, remaja
merupakan aset penting bagi memastikan khazanah masyarakat Melayu zaman dahulu terus
berkembang dan rancak digunakan bagi membentuk perilaku yang penuh dengan kesopanan
dan kesusilaan.

Cabaran yang selanjutnya adalah wujudnya pengkarya yang tidak berkualiti dengan tidak
mementingkan hasil nilai tambah dalam diri seseorang individu melalui pantun. Sayekti
(2012), menjelaskan bahawa di antara perkembangan pantun moden pada masa kini dapat
dilihat pada sebahagian pantun yang menyimpang bahkan tidak menitikberatkan ciri-ciri
pantun yang asli. Pantun pada zaman kini banyak dihasilkan tanpa mengikut bentuk yang
sepatutnya dari segi baris, rima akhir, jumlah perkataan bagi setiap baris dan lain-lain lagi.
Perkara ini akan menjejaskan struktur sesebuah pantun dan keindahannya. Penggunaan pantun
pada zaman kini cenderung dijadikan sebagai bahan gurauan tanpa nilai estetika yang
membentuk kesopanan dan kesantunan. Kewujudan pengkarya yang tidak berkualiti dapat
menyebabkan penyimpangan tujuan sesebuah pantun dihasilkan. Hasrat untuk menjadikan
pantun sebagai alat penyampaian nasihat juga akan menjadi sukar kerana pengarang tidak
menerapkan nilai yang sepatutnya terhadap penghasilan karya mereka. Kesannya, puisi Melayu
tradisional iaitu pantun tidak lagi mampu menjadi agen membanteras kepincangan yang
berlaku dalam kalangan masyarakat.

Cabaran terakhir yang dapat dinyatakan dalam penulisan ini adalah kurangnya aktiviti-
aktiviti yang melibatkan karya kesusasteraan Melayu. Pihak yang bertanggungjawab
memandang enteng tentang pemartabatan karya kesusasteraan Melayu dalam kalangan
masyarakat, situasi ini tercetus disebabkan pelbagai faktor. Antaranya, aktiviti-aktiviti yang
dianjurkan kurang mendapat sambutan. Selain itu, aktiviti yang dianjurkan juga tidak
mempunyai daya tarikan terutamanya bagi kalangan remaja. Walaupun begitu, ini tidak
seharusnya dijadikan alasan untuk memberhentikan perjuangan memartabatkan kesusasteraan
Melayu dalam kalangan masyarakat. Kurangnya pendedahan yang dilakukan terhadap
masyarakat akan menyebabkan karya kesusasteraan Melayu semakin dipinggirkan. Hal ini
dikatakan demikian kerana, untuk mendalami sesuatu perkara memerlukan seseorang itu untuk
mengenalinya terlebih dahulu. Sama seperti karya kesusasteraan Melayu juga, bagi
memastikan masyarakat cintakan karyanya terutamanya puisi tradisional yang kian tenggelam
dek arus kemodenan, pelbagai pembaharuan yang sesuai mengikut peringkat umur harus
dilaksanakan agar setiap daripada mereka memperoleh manfaat daripada karya kesusasteraan
Melayu.

CADANGAN MEMUPUK MINAT MASYARAKAT BAGI MENCINTAI GENRE
PANTUN

Pantun merupakan genre puisi tradisional yang melambangkan keindahan masyarakat Melayu.
Melalui pantun masyarakat dapat menuturkan bahasa dan kata-kata kiasan yang indah untuk
didengarkan. Oleh itu walaupun kecanggihan teknologi semakin hebat pada masa kini, genre
pantun tidak boleh dibiarkan hanyut dalam arus kemodenan. Sepatutnya, pelbagai pihak
memanfaatkan teknologi kini bagi menyerlahkan lagi bidang kesusasteraan Melayu
terutamanya pantun yang semakin hari semakin dipinggirkan. Media massa dilihat berpotensi
besar bagi menyampaikan maklumat-maklumat tentang puisi tradisional ini. Media massa
terbahagi kepada dua iaitu media cetak dan media elektronik. Buku, majalah dan surat khabar
merupakan bahan media cetak yang menjadi tumpuan masyarakat bagi mendapatkan sebarang
informasi terkini. Sewajarnya, media berkenaan menjadi saluran penting untuk memartabatkan
pantun dalam kehidupan seharian masyarakat. Misalnya, ruangan khas pantun dapat disediakan
dalam penulisan majalah dan akhbar dengan menyenaraikan pantun untuk dibaca dan aktiviti-
aktiviti penulisan pantun serta teka teki dengan menawarkan hadiah istimewa kepada
pemenang. Melalui cara ini, bukan sahaja dapat menambah pengetahuan masyarakat tentang
genre pantun malah turut berupaya menarik minat mereka dengan hadiah yang ditawarkan.
Peranan media elektronik juga tidak kurang hebatnya dalam memastikan informasi berkaitan
pantun sampai kepada masyarakat. Pihak media elektronik perlu sedar akan tanggungjawab
dalam menyampaikan kepentingan nilai bahasa seperti pantun melayu selain mengaut
keuntungan semata-mata. Program khas berkaitan kesusasteraan Melayu dapat diwujudkan
dengan mendedahkan penggunaan pantun dan keindahannya untuk diamalkan dalam
kehidupan harian.Tegasnya kepekaan media massa terhadap usaha bagi memartabatkan
penggunaan pantun dalam kehidupan seharian akan meningkatkan kesedaran masyarakat untuk
mendalami keindahan karya kesusasteraan Melayu.

Ibu bapa juga dilihat berperanan penting bagi memupuk perasaan cinta terhadap karya
kesusasteraan Melayu terutamanya pantun. Ibu bapa mempunyai pengaruh yang besar dalam
mencorak perilaku anak-anak mereka. Ibu bapa haruslah menjadi suri teladan dan
menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak terutamanya berkaitan ilmu kesusasteraan
Melayu yang sememangnya harus diterapkan dalam jiwa anak-anak agar mereka tidak terlalu
hanyut dengan arus kemodenan sehingga melupakan peninggalan berharga daripada nenek
moyang kita. Ibu bapa boleh memainkan peranan dengan menerapkan pantun dalam aktiviti
harian bersama anak-anak. Misalnya, ibu bapa menggunakan pantun dalam perbualan seharian.

Tindakan sebegini mampu mendedahkan kepada anak-anak tentang pantun dan secara tidak
langsung mendedahkan mereka untuk menuturkan perkataan-perkataan yang baik. selain itu,
ibu bapa juga boleh memberikan pendedahan kepada anak-anak dengan membelikan mereka
buku-buku berkaitan pantun. Apabila anak-anak meningkat dewasa, mereka pasti akan terbiasa
dengan bacaan pantun dan mampu melihat makna disebalik karya-karya pantun yang
sebenarnya bukan sahaja bertindak sebagai karya kreatif, malah memberi pengajaran dan
nasihat disetiap bait-bait ayat yang terselit pada pantun.

Cadangan selanjutnya dapat ditujukan kepada pihak sekolah. Di samping guru
menyampaikan pengajaran berkaitan subjek kesusasteraan Melayu di dalam kelas, pihak
sekolah juga dapat merancang pelbagai aktiviti menarik bagi meningkatkan kecintaan para
pelajar terhadap karya kesusasteraan Melayu agar mereka bukan sahaja mempelajari subjek ini
untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang semasa peperiksaan malah mempunyai hasrat
untuk sentiasa mempertahankan karya kesusasteraan Melayu terutamanya pantun. Oleh itu,
pihak sekolah harus memainkan peranan bagi memastikan para pelajar mempunyai hasrat
seperti yang dinyatakan. Pelbagai aktiviti menarik dapat dilakukan bagi memantapkan
perasaan cintakan karya kesusasteraan Melayu. Misalnya, mengadakan bulan kesusasteraan
Melayu di sekolah. Bagi merancakkan perjalanan program bulan kesusasteraan Melayu, pihak
sekolah dapat menganjurkan pertandingan-pertandingan bagi menggalakkan penyertaan para
pelajar. Di samping itu, pihak sekolah juga boleh menyediakan hadiah-hadiah yang menarik
kepada para pelajar yang memenangi aktiviti yang dipertandingankan. Kesannya, para pelajar
akan mencintai karya kesusasteraan Melayu dan sentiasa menghidupkan penggunaannya dalam
kehidupan harian.

RUMUSAN

Pantun sememangnya sebuah puisi tradisional yang perlu terus dimanfaatkan dalam kehidupan
masyarakat kini. Hal ini dikatakan demikian kerana, kehidupan masyarakat Melayu lama telah
membuktikan betapa pantun memberikan impak yang besar terhadap kehidupan mereka.
Daripada fungsinya sebagai alat berkomunikasi sehingga kepada wadah penyampaian mesej
dan nasihat yang dapat diterima oleh masyarakat kerana kelembutan bahasa dan kata-kata
kiasannya. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu bagi memastikan puisi tradisional
ini tidak tenggelam dek arus kemodenan agar dapat menjadikan pantun sebagai tonggak kepada
masyarakat yang penuh adab dan berbudi pekerti dalam menjalani kehidupan bermasyarakat
yang penuh harmoni.

RUJUKAN
A.Halim Ali. (2019). Inti Sari Teori Sastera: Barat dan Malaysia. Shah Alam: NHA Excell

Resources.
Faezah Kassim & Norazlan Hadi Yaacob. (2018). Tradisi “Merantau” Masyarakat Melayu

Berdasarkan Puisi Tradisional (Pantun). Perspektif Jurnal Sains Sosial dan
Kemanusiaan, 10 (3), 123-135. Diperoleh daripada
https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/PERS/article/view/1799
Johari Yahaya. (2015). Pantun Peribahasa Melayu: Analisis daripada Perspektif Teori
Pengkaedahan Melayu. Diperoleh daripada
https://scholar.google.com/scholar?q=teori+pengkaedahan+melayu+dalam+pantun&h
l=id&as_sdt=0,5#d=gs_qabs&u=%23p%3Dr2Sv0O4zqx8J
Liliy Salwani Razali & Shaiful Bahri Radzi. (2019). Puisi Lisan: Pemerkasaan Warisan
Bangsa Melayu. Jurnal Melayu Sedunia, 2 (1). Diperoleh daripada
https://mjs.um.edu.my/index.php/jurnalmelayusedunia/article/view/21797
Mohd Rosli Saludin. (2021). Pendidikan Jimat Cermat dalam Pantun: Analisis Pantun
Empat Kerat (Berjimat Cermat). Jurnal Penyelidikan Dedikasi 19 (2), 209-225.
Diperoleh daripada
https://myjms.mohe.gov.my/index.php/jd/article/view/16584
Nazri Atoh, Saipolbarin Ramli, Zamri Arifin & Zubir Idris. (2020). Konsep Puisi Tradisional
Antara Kesusasteraan Arab dengan Kesusasteraan Melayu. SIBAWAYH Arabic
Language and Education, 1 (1), 1-15. Diperoleh daripada
https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/SIBAWAYH/article/view/3762

Noraini Mohamad & Mariam Abdul Majid. (2019). Dakwah Melalui Penulisan Puisi Melayu:

Analisis Terhadap Karya ABHAM T.R. Jurnal Melayu, 18 (2). Diperoleh daripada

https://ejournal.ukm.my/jmelayu/article/view/35433

Rendra Setyadiharja. (2020). Khazanah Negeri Pantun. Diperoleh daripada

https://books.google.com.my/books?hl=id&lr=&id=fhz-
DwAAQBAJ&oi=fnd&pg=PP1&dq=info:EUVupLtN0LAJ:scholar.google.com/&ots
=A4gMNioc5E&sig=FoWe-G2VJw6CwWSeCg-
4gsImR9I&redir_esc=y#v=onepage&q&f=false


Click to View FlipBook Version