Kertas 1 : Bahagian B
Karangan Lengkap (salin dalam buku karangan)
Tajuk : Kelebihan E-Dompet
Penggunaan e-dompet semakin meluas dalam kalangan masyarakat kita dewasa ini.
Apatah lagi kempen perbelanjaan tanpa tunai begitu kerap diadakan oleh pihak kerajaan.
Banyak pusat jualan menyediakan kemudahan untuk menerima transaksi e-dompet dalam
urusan jual beli. Menyedari hakikat ini, terdapat banyak jenama e-dompet mula wujud untuk
kemudahan pengguna seperti Touch N Go E-Wallet, Boost, dan GrabPay. Hasilnya,
masyarakat mula mendapat lebih banyak pilihan untuk menggunakan e-dompet yang
menawarkan pelbagai faedah sampingan ini. Namun, sejauh manakah penggunaan e-
dompet ini mampu mendatangkan kebaikan kepada masyarakat? Mari kita sama-sama
mendalaminya.
Antara manfaat penggunaan e-dompet ialah mampu membantu mengawal
perbelanjaan seseorang. Hal ini dikatakan sedemikian kerana apabila setiap transaksi
direkod, lebih mudah untuk kita mengawal perbelanjaan. Kita boleh menyemak perincian
setiap transaksi yang berlaku apabila kita membeli belah dengan menggunakan e-dompet.
Impaknya, kita akan lebih berhati-hati ketika berbelanja agar tidak membeli barangan dan
perkhidmatan yang tidak mendatangkan manfaat yang besar kepada diri. Amalan ingat
1
sebelum kena, jimat sebelum habis akan sentiasa menjadi kebiasaan apabila selalu
menggunakan e-dompet ketika berbelanja. Jelaslah bahawa, melalui penggunaan e-dompet,
mampu membantu seseorang itu mengawal perbelanjaan dengan lebih baik.
Manfaat e-dompet yang seterusnya ialah penggunaannya lebih selamat berbanding
menggunakan wang tunai. Perkara ini jelas terbukti kerana proses transaksi secara digital
dapat mengurangkan risiko penipuan dan kecurian. Sebagai contoh, ada e-dompet yang
secara automatik dapat mengesan status cap jari dan imbasan muka pengguna untuk
diselaraskan dengan sistem pengesahan yang ada sewaktu urusan transaksi hendak
dilaksanakan. Kesannya, penjenayah akan dikesan oleh pihak berkuasa dengan lebih mudah
melalui sistem pengesanan yang tersedia dalam aplikasi telefon pintar. Oleh hal yang
sedemikian, kita dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penjenayah yang sentiasa
menunggu bagaikan harimau lapar itu. Secara umumnya, penggunaan e-dompet turut
membantu meningkatkan aspek keselamatan wang sewaktu berurusan.
Setiap syarikat e-Wallet mempunyai daya saing yang tinggi membuatkan mereka
kerap menawarkan pelbagai jenis ganjaran untuk memastikan anda terus menggunakan
perkhidmatan mereka. Antara ganjaran menarik yang disediakan termasuklah pulangan
wang, mata ganjaran dan juga apabila anda berjaya menyelesaikan cabaran harian atau
mingguan. Sudah tentu perkara ini mampu menjimatkan kos perbelanjaan pengguna dalam
jangka masa panjang. Masyarakat seharusnya tidak melepaskan peluang sedemikian selama
mana ganjaran seperti ini berterusan ditawarkan seperti kata peribahasa bagai orang
mengantuk disorongkan bantal. Sememangnya, dengan pelbagai ganjaran yang ditawarkan,
ternyata penggunaan e-dompet mampu mendatangkan manfaat yang besar kepada
pengguna.
Sebagai kesimpulannya, dalam mengejar kemajuan material dan spiritual kehidupan,
semua pihak wajarlah memanfaatkan kemudahan e-dompet dengan sebaik-baiknya. Pihak
syarikat pengeluar e-dompet disarankan sentiasa menaik taraf aplikasi e-dompet ini, agar
lebih mesra pengguna, apatah lagi dalam situasi mendesak seperti pandemik Covid-19 ini.
Penggunaan e-dompet dilihat sebagai kaedah yang agak praktikal kerana melibatkan urusan
transaksi tanpa sentuhan. Harapan kita sebagai pengguna juga mengimpikan pelbagai
ganjaran yang lebih menarik pada masa akan datang. Apabila semua pihak bersatu dalam
memanfaatkan e-dompet untuk kebaikan sejagat, sudah tentu harapan negara untuk terus
membangun dengan pesat seiring dengan kemajuan teknologi semasa. Sudah tentu kita akan
mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Hasrat negara
untuk melahirkan pengguna dan pengusaha yang bijak juga tidak mustahil akan terlaksana
dengan lebih pantas.
2