The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Karangan Domain Pendidikan - Peranan sekolah dalam memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan remaja

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by g-07403399, 2021-07-26 09:18:53

Karangan Domain Pendidikan - Peranan sekolah dalam memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan remaja

Karangan Domain Pendidikan - Peranan sekolah dalam memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan remaja

Karangan Lengkap:

Remaja perlu dipupuk dengan nilai-nilai murni seperti semangat kesukarelawan
sejak awal lagi. Pemupukan sifat ini mampu menjadi batu asas ke arah melahirkan
warganegara yang prihatin, bertanggungjawab, saling membantu tidak kira agama,
kaum dan warna kulit. Selain anggota keluarga dan masyarakat, pihak sekolah turut
berperanan penting untuk mendidik golongan remaja tentang kepentingan semangat
kesukarelawanan. Terdapat beberapa inisiatif yang boleh dilaksanakan oleh pihak
sekolah bagi menanam semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar yang
masih pada usia remaja ini.

Pihak sekolah boleh menganjurkan aktiviti yang boleh meningkatkan kesedaran
tentang kepentingan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar. Aktiviti
seperti bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah dan melukis mural boleh
dijadikan sebagai acara tahunan bagi merealisasikan hasrat ini. Dengan melibatkan
penyertaan semua warga sekolah seperti murid, guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa
dalam aktiviti sedemikian, mampu mendedahkan semangat kesukarelawanan secara
langsung kepada pelajar. Suasana seperti amalan bekerjasama dan tolong-menolong
dalam melaksanakan tugasan akan berlaku dengan lebih efektif melui aktiviti seperti
ini. Tegasnya, pihak sekolah mampu melaksanakan aktiviti seperti ini demi memupuk
semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.

Pihak sekolah juga berperanan memberi pengiktirafan kepada pelajar yang aktif
dalam aktiviti kesukarelawanan. Tidak dinafikan, terdapat ramai pelajar yang ringan
tulang dalam aktiviti kesukarelawanan sama ada di sekolah atau di luar sekolah.
Golongan seperti ini boleh diberi pengiktirafan sama ada dalam bentuk hadiah atau sijil
penghargaan atas khidmat bakti yang dilaksanakan oleh mereka. Pengiktirafan
sedemikian boleh dijadikan sebagai serampang dua mata kerana di samping

menghargai mereka, pelajar-pelajar tersebut boleh dijadikan teladan kepada pelajar
yang lain dalam memupuk semangat kesukarelawanan ini. Jelaslah bahawa, pemberian
pengiktirafan kepada pelajar yang aktif dalam aktiviti kesukarelawanan boleh
dilaksanakan oleh pihak sekolah dalam memupuk semangat kesukarelawan yang tinggi
dalam kalangan pelajar.

Di samping itu, pihak sekolah boleh memastikan kelab dan persatuan berbentuk
kesukarelawanan yang sedia ada bergiat lebih aktif. Persatuan Bulan Sabit Merah,
Pengakap dan pasukan beruniform merupakan antara unit kokurikulum berbentuk
kesukarelawanan yang telah wujud sejak sekian laman di sekolah. Ahli-ahli persatuan
seperti ini boleh dilibatkan secara aktif dalam membantu pihak sekolah menjayakan
pelbagai program di dalam dan di luar sekolah. Sebagai contoh mereka boleh
membantu melaksanakan program penyampaian bantuan kepada mangsa bencana
alam di kawasan yang berdekatan dengan menjadikan mereka sebagai anggota
pasukan bertugas. Kesannya, mereka akan melalui pengalaman memberikan bantuan
secara langsung kepada golongan yang memerlukan. Ternyata, dengan peranan pihak
sekolah mengaktifkan persatuan berbentuk kesukarelawanan sebaik yang mungkin,
mampu mendidik pelajar-pelajar tentang kepentinga semangat kesukarelwanan.

Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai inisiatif yang boleh dilaksanakan oleh
pihak sekolah untuk membentuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar
yang berusia remaja ini. Namun ibu bapa, masyarakat dan penguasa negara juga
perlulah turut sama-sama bertanggungjawab dalam mencorakkan golongan remaja ini
agar kain yang putih yang suci bersih ini dapat dicorakkan dengan ‘sentuhan’ yang
sewajarnya. Semoga golongan remaja yang merupakan pewaris sejati tanah air ini
mempu mengukuhkan semangat kesukarelawanan dalam diri demi pembangunan dan
kesejahteraan negara pada masa hadapan.


Click to View FlipBook Version