The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by g-07403399, 2022-09-26 21:15:07

KARANGAN B 4 BERLIAN TEMA 14

KARANGAN B 4 BERLIAN TEMA 14

KARANGAN B TEMA 14

CONTOH KARANGAN

Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan. Hal ini
bertepatan dengan maksud peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana
yang tidak bergelora. Bagaimanapun, tekanan yang dihadapi itu berbeza-beza tahapnya.
Tekanan yang dihadapi oleh golongan dewasa mungkin akibat memikirkan masalah keluarga,
kewangan atau kerjaya, manakala bagi remaja pula tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan
dengan pelajaran, hubungan dengan rakan atau masalah yang berkaitan dengan keluarga. Bagi
sesetengah orang, tekanan mungkin membawa kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan,
manakala yang lainnya pula menganggap tekanan sebagai sumber kesengsaraan dan
penderitaan sehingga tekanan yang dihadapi itu membawa kepada pengakhiran kehidupan.
Sebagai pelajar, saya juga tidak terlepas daripada menghadapi tekanan yang berpunca
daripada pelbagai faktor terutamanya faktor pelajaran. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi
menjadi bubur, beberapa langkah telah saya ambil bagi menangani masalah tekanan.

Kehidupan yang terlalu sibuk menyebabkan kita sering melupakan kegiatan yang sangat
berfaedah untuk kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan tersebut ialah riadah, iaitu
aktiviti yang sering dilakukan pada waktu lapang terutamanya pada hujung minggu. Antara
kegiatan riadah yang kerap saya lakukan ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain
badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan. Selepas bermain futsal dan
badminton umpamanya, selain peluh mengalir membasahi tubuh, kepenatan akan dapat
dirasakan. Selepas mandi dan membersihkan diri, saya akan berehat melepaskan lelah.
Keadaan akan menjadi lebih baik apabila saya dapat melelapkan mata. Oleh sebab kepenatan
selepas melakukan riadah, saya akan tidur dengan sangat lena. Hilang sebentar segala
masalah yang membelenggu diri. Tekanan pun menghindar dan akhirnya fikiran menjadi
lapang. Ada waktunya saya melakukan riadah bersama-sama ibu bapa saya. Peluang
keemasan itu saya gunakan sepenuhnya dengan melakukan perbincangan, sama ada yang
berkaitan dengan masalah peribadi, mahupun masalah pelajaran yang sering memberikan
tekanan kepada saya. Lantaran itu, saya menganggap kegiatan riadah sebagai serampang dua
mata yang membantu meningkatkan kesihatan diri di samping menjadi salah satu cara untuk
mengurangkan tekanan.

Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir amat mempengaruhi
kesihatan diri, terutamanya kesihatan mental. Lantas, demi memastikan saya memiliki
kesihatan yang baik tanpa menghadapi tekanan, saya sentiasa berfikiran positif apabila
berhadapan dengan situasi yang kritikal dan sukar. Apabila menerima pujian, saya tidak akan
berbangga dengan pujian tersebut, sebaliknya saya akan memikirkan sama ada pujian tersebut
diberikan secara ikhlas atau diberikan kepada saya kerana ada udang di sebalik batu.
Berkemungkinan pujian itu diberikan secara bersahaja, atau jika tidak pun saya menerimanya
sebagai satu penghargaan. Bagaimanapun, jika kritikan atau teguran pula yang diberikan, saya
akan menerimanya dengan minda terbuka dan menganggapnya sebagai kritikan yang
membina. Ibu sering mengingatkan saya bahawa kritikan yang diberikan oleh seseorang itu
sebenarnya lebih ikhlas dan memiliki nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya
lebih bersifat palsu. Di sebalik kritikan yang diterima itu saya akan melakukan muhasabah diri
lalu membaiki segala kekurangan yang ada agar saya tidak menerima kritikan yang sama pada

waktu yang lain pula. Sekiranya saya tidak dapat menerima kritikan tersebut, fikiran akan
menjadi tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya saya akan terjerat dalam kancah tekanan yang
melampau. Natijahnya, saya sentiasa menghadapi tekanan dengan fikiran yang positif.

Saya ialah penggemar dan pencinta muzik sama ada muzik ciptaan anak tempatan
mahupun muzik antarabangsa. Seandainya muzik tidak didengar menerusi cakera padat, masih
ada muzik di dalam jiwa saya yang membuatkan kaki bergoyang. Bagi saya, muzik pencetus
kegembiraan dan keceriaan, walaupun sesekali muzik mengundang kesedihan dan kedukaan.
Hal ini bertepatan dengan pandangan ahli-ahli psikologi bahawa muzik merupakan salah satu
wahana terapi yang efisien dan sumber ketenangan fikiran yang sering diabaikan. Apabila
muzik bergema, hati akan dibuai oleh alunan melodinya sehingga di luar kesedaran diri, saya
seperti berada di alam yang lain. Muzik yang rancak akan menyebabkan kaki bergoyang,
manakala muzik sentimental pula akan menjadikan diri dibuai perasaan. Seni katanya yang
melankolik akan menyumbang ke arah penghayatan yang tinggi seolah-olah saya turut
merasakan kedukaan yang sedang dialami oleh pelantun lagu tersebut. Jika tekanan
menghimpit perasaan, tanpa disedari saya telah melupakan sebentar tekanan tersebut dengan
bantuan muzik. Hal ini bertepatan dengan kata-kata pujangga yang menukil bahawa muzik tak
mungkin dapat dipisahkan daripada jiwa setiap manusia. Tanpa muzik juga kehidupan akan
menjadi sepi. Oleh itu, muzik bukan sahaja dapat menghiburkan hati, malah muzik seperti
memiliki kuasa magis yang berupaya mengurangkan tekanan yang saya hadapi, bertepatan
dengan maksud peribahasa sambil menyelam minum air.

Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai usaha yang saya lakukan untuk menghadapi
tekanan dalam kehidupan. Walau apa-apa pun yang berlaku, mahu atau tidak, saya terpaksa
menghadapi segala tekanan yang ada demi kelangsungan hidup yang lebih bermakna. Tekanan
merupakan masalah dan tekanan juga merupakan sumber motivasi, justeru tanpa tekanan,
hidup kurang berseri umpama pokok yang tidak berbunga. Dengan tekanan jugalah fikiran saya
menjadi lebih matang dan dewasa. Di sebalik ketabahan saya menghadapi tekanan itu, saya
masih memerlukan insan lain untuk menghadapinya dengan lebih rasional. Dalam hal ini,
kedua-dua ibu bapa akan menjadi sumber rujukan saya di samping rakan-rakan sebaya yang
rapat hubungannya dengan saya. Saya juga tidak melupakan guru yang mendidik dan
mengajar saya menjadi insan berilmu. Sesungguhnya, hanya dengan ketabahan dan keimanan
yang kukuh dapat membantu saya menghadapi semua tekanan dengan tenang.


Click to View FlipBook Version