Rumusan 11
Tingkatan 5 – Tema 16
Baca petikan dan teliti bahan grafik di bawah, kemudian buat satu rumusan yang
panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya
menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan.
Bahan 1 - Petikan
Rasuah ialah penyakit sosial yang boleh mencemarkan imej sesebuah negara dan
rakyatnya. Sebagaimana pelacuran yang disifatkan sebagai kerjaya tertua sejak
wujudnya peradaban manusia, perbuatan rasuah juga telah wujud sekian lama, malah
semakin menjadi amalan biasa. Rasuah berlaku oleh sebab kesempitan hidup dan
kurangnya didikan agama . Rasuah jika diterima sebagai amalan biasa, akan membawa
kehancuran kepada seluruh masyarakat, bangsa dan negara seperti yang berlaku dalam
sejarah tamadun besar dunia .
Rasuah jika tidak dikawal dan diperangi habis-habisan dari awal lagi akan memberi
kesan buruk terhadap sistem pentadbiran negara. Penyakit ini juga akan turut menggugat
kestabilan sosial negara. Apatah lagi ketika kerajaan sedang merencanakan program
pembangunan perindustrian yang bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Gejala ini akan menjejaskan keyakinan orang ramai terutama pelabur asing terhadap
kecekapan dan keberkesanan sistem perundangan serta birokrasi negara ini. Rasuah juga
tidak boleh dimulakan kerana akan berlarutan dan ketagihan. Setelah sebati dengannya
maka wabak berbahaya ini merebak menjangkiti orang lain pula. Rasuah menyebabkan
seseorang menjual prinsip, maruah dan harga diri. Masyarakat yang mengamalkan
rasuah akan bertindak di luar batasan dan peraturan yang telah ditetapkan.
Sesungguhnya masyarakat yang kehilangan nilai amanah akan ditimpa krisis
kepercayaan. Oleh itu, semua pihak perlu menjauhi sifat tamak yang boleh
menyebabkan perbuatan rasuah serta mengelakkan diri daripada berbelanja
melebihi pendapatan. Berikutan semakin seriusnya usaha menangani gejala ini,
rakyat sangat berharap tiada sesiapa akan terkecuali daripada tindakan undang-
undang. Sehubungan itu, dalam memerangi gejala ini, semua pihak perlulah
bertindak secara menyeluruh dan berterusan . Jika kita sepakat melakukannya,
tiada sebab kita akan gagal.
(Diubahsuaikan daripada Minda Pengarang
Berita Harian 15 Februari 1997 )
Bahan 2 – Grafik