AMIRAH SAFWAH BINTI IPAR BAHASA MELAYU 2
AMIRAH SAFWAH BASIKAL IMPIAN
Sastera merujuk kepada hasil seni yang digunakan untuk menyampaikan idea secara kreatif dengan menggunakan bahasa yang indah dalam bentuk tulisan atau lisan. Menurut Tengku Intan et al. (2020), sastera kanak-kanak merupakan karya yang dihasilkan untuk bacaan kanak-kanak. Karya ini menampilkan persoalan tentang dunia kanak-kanak. Kesusasteraan kanak-kanak bukan sahaja berperanan sebagai sumber hiburan tetapi juga berfungsi sebagai medium pendidikan yang memberikan teladan serta membentuk jiwa yang positif dan merangsang imaginasi kanak-kanak. Oleh itu, penghasilan karya kanak-kanak yang berkualiti amat penting untuk menanam minat membaca dan membolehkan mereka menghayati nilai-nilai murni yang terkandung dalam karya tersebut. Penulisan ini membincangkan penghasilan cerita kanak-kanak bertajuk “Basikal Impian” dan sajak bertajuk “Mengejar Impian” yang membawa mesej inspirasi dan nilai-nilai positif kepada kanakkanak. PENGENALAN Cerita kanak-kanak merupakan karya sastera yang ditulis dengan bahasa yang mudah, menarik dan sesuai dengan tahap pemahaman kanak-kanak. Cerita ini mengandungi unsur pengajaran, nilai moral dan ilustrasi yang menjadikan pembacaan lebih bermakna dan menyeronokkan. Sajak pula merujuk kepada puisi moden yang tidak terikat dengan ciriciri puisi tradisional seperti pantun. Berikut merupakan cerita bertajuk “Basikal Impian” dan sajak bertajuk “Mengejar Impian” yang dihasilkan. CERITA KANAK-KANAK DAN SAJAK
Amir, seorang anak yang rajin membantu ibunya menghantar kuih ke warung pada setiap pagi. Dia bercita-cita memiliki sebuah basikal. Demi impiannya, Amir bekerja keras mengumpul wang dengan melakukan pelbagai pekerjaan. Walaupun sering diejek, dia tetap tabah dan percaya bahawa usahanya akan membuahkan hasil. Ketabahannya diuji apabila tabung simpanannya tiba-tiba hilang, membuatkan impiannya hampir musnah. Mampukah Amir bangkit daripada dugaan ini dan mencapai impiannya? SINOPSIS
Di sebuah kampung, tinggal Mak Limah dan anaknya, Amir. Mereka hidup sederhana sejak kematian suaminya dua tahun yang lalu. Setiap pagi, Mak Limah membuat kuih karipap, donut, dan kuih koci. Amir seorang anak yang rajin dan baik hati. Dia membantu ibunya menghantar kuih ke warung sebelum ke sekolah. 1
Pada suatu pagi yang cerah, Amir berjalan ke warung dengan hati yang gembira. Burung berkicau riang, angin bertiup lembut dan suasana terasa tenang. Tiba-tiba, sebuah basikal meluncur laju ke arahnya. Debush! Amir terjatuh dan kuih-muih yang dibawanya bertaburan di atas jalan. “Habis rosak kuih ibu,” bisiknya cemas. 2
"Hei! Tengok apa yang kau dah buat! Habis rosak basikal aku!” bentak seorang budak lelaki. "Maaf, saya tak sempat mengelak," jawab Amir sopan. Budak itu mendengus. “Huh! Dasar budak miskin!” katanya sebelum pergi. Kata-kata itu menusuk hati Amir tetapi dia ingat akan pesan ibunya, "Sabar itu lebih baik daripada marah." Melihat budak itu berlalu, Amir berbisik, "Andai aku punya basikal, pasti lebih mudah ke warung dan sekolah." Namun, dia sedar, memilikinya bukanlah perkara mudah. 3
Sejak hari itu, Amir bertekad untuk membeli basikal. Dia mula mengumpul duit dengan menjual barang kitar semula seperti botol plastik dan tin. Kadangkala, Amir mengambil upah membantu Pak Salim menyiram tanaman dan membersihkan daun-daun kering di kebun. 4
Suatu petang, ketika Amir mengutip botol plastik, sekumpulan murid mengejeknya. "Eh, Amir! Kau kutip sampah pulak ke?” ejek Razak, budak yang melanggarnya tempoh hari. “Mestilah! Budak miskin ni kan nak beli basikal," tambah Farhan sambil mencebik. "Ni kalau setahun kumpul pun belum tentu cukup!" ejek seorang lagi rakan mereka sebelum mereka ketawa terbahak-bahak. 5
Amir menggenggam erat botol plastik di tangannya. Hatinya pedih. Melihat mereka berbasikal dengan gembira, dia teringat akan janji arwah ayahnya. "Nanti kalau Amir dah besar, ayah belikan basikal untuk Amir." Namun, janji itu tidak sempat ditunaikan. 6
Setelah tiga bulan, Amir berjaya mengumpul hampir RM200. Namun, pada suatu pagi, dia terkejut apabila mendapati tabungnya hilang! "Mak! Mak! Duit saya hilang!" katanya cemas. "Kamu letak di mana?" "Di atas meja belajar, mak. Saya pasti!" katanya dengan mata berkaca. 7
Mak Limah membantu mencari di setiap sudut rumah tetapi tabung itu tidak ditemui. Amir mula berdebar. Dia teringat malam tadi dia terlupa mengunci tingkap biliknya. Hatinya remuk, impiannya seolaholah musnah sekelip mata. Mak Limah mengusap bahunya. "Ini dugaan kamu, nak. Jangan berputus asa. Kita boleh mula mengumpul semula." Walaupun sedih, Amir tetap mengangguk. Dia bertekad untuk bekerja lebih keras kali ini. 8
Suatu petang, ketika mengutip tin di tepi sungai, Amir melihat seorang lelaki tua berbangsa Cina sedang mengangkat guni berat. "Encik, biar saya tolong," katanya sambil mengambil guni itu. "Terima kasih, nak,” ujar Encik Lim. Selesai membantu, Encik Lim menghulurkan RM100, tetapi Amir menolaknya dengan sopan. "Saya ikhlas membantu." Encik Lim tersenyum. "Anggaplah ini sebagai dorongan untuk kamu sentiasa berbuat baik." Amir menerimanya dan mengucapkan terima kasih. 9
Akhirnya, setelah usaha gigih dan sokongan ibunya, Amir berjaya mengumpul wang. Pada hujung minggu, Mak Limah membawanya ke kedai basikal. "Boleh saya beli basikal ni, mak?” tanya Amir dengan teruja. Mak Limah tersenyum dan mengangguk. Ketika menunggang basikal merah itu, Amir merasakan kegembiraan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. 10
Keesokan harinya, dalam perjalanan ke sekolah, Amir melihat Razak menolak basikalnya yang rosak. Amir menghentikan basikalnya dan bertanya, "Razak, awak nak tumpang saya ke sekolah?” Razak terkejut tetapi tetap mengangguk. Sepanjang perjalanan, Razak kelihatan serba salah. 11
Setibanya di sekolah, Razak menarik nafas panjang. "Amir, sebenarnya... akulah yang curi duit kau dulu. Aku menyesal... Ini duit kau, aku pulangkan semula. Maafkan aku, Amir." Amir terkejut tetapi tetap tersenyum. "Saya maafkan awak, Razak. Yang penting, awak belajar daripada kesilapan." Razak tersenyum lega. Sejak hari itu, mereka menjadi sahabat sejati. 12 TAMAT
13 MORAL Ketabahan dan kecekalan kunci kejayaan. 1. 2.Berbuat baik akan di balas baik. Memaafkan lebih baik daripada berdendam. 3. KOSA KATA 1.menusuk - menyakiti 2.remuk - sedih sekali guni - karung yang dibuat daripada serat pokok 3.
Langkah kecil mengejar impian, Walau ada cabaran menghalang, Namun semangat tetap membara, Terus melangkah tanpa berputus asa, Kerana usaha gigih takkan sia-sia. Hinaan ibarat angin berlalu, Takkan lemah hati yang tabah, Kebaikan dibuat bukan untuk pujian, Tetapi lahir dari hati yang ikhlas, Membantu tanpa mengharapkan balasan. Kesilapan lalu bukan selamanya, Menjadi pengajaran yang tak terlupa, Maaf diucap, dendam dilupakan, Membina persahabatan yang erat, Memberi kedamaian dan kebahagiaan. MENGEJAR IMPIAN 13
HURAIAN CERITA ASPEK GAYA PENULISAN HURAIAN CERITA KANAKKANAK Cerita ini mengandungi beberapa nilai murni yang boleh dijadikan teladan. Nilai ketabahan dan kecekalan ditunjukkan oleh Amir yang tidak berputus asa mengumpul wang walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Nilai kesabaran terlihat jelas apabila dia tidak membalas hinaan rakan-rakan. Selain itu, nilai baik hati terlihat apabila Amir membantu Encik Lim tanpa mengharapkan ganjaran dan memaafkan Razak. Nilai kasih sayang dan sokongan keluarga juga ditonjolkan melalui dorongan Mak Limah. Akhirnya, nilai keinsafan dan kejujuran tergambar apabila Razak menyesali perbuatannya dan memulangkan wang Amir. Cerita “Basikal Impian” sesuai untuk kanak-kanak kerana gaya penulisan yang mudah dan jelas. Gaya penulisan merujuk kepada cara seorang penulis menyampaikan idea atau cerita melalui penggunaan bahasa, struktur ayat dan teknik penulisan tertentu. Dalam cerita ini, penulis menggunakan bahasa yang ringkas dan mudah difahami bagi meningkatkan pemahaman kanak-kanak. Penulis menggunakan perkataan yang terus kepada maksudnya untuk mengelakkan kekeliruan dalam memahami jalan cerita. Misalnya, perkataan sabar dan menyesal digunakan tanpa maksud tersirat. Menurut Rosly Kayar et al. (2023), Piaget menyatakan bahawa kanak-kanak dalam peringkat operasi konkrit lebih mudah memahami
konsep apabila disampaikan dalam bahasa yang ringkas dan jelas. Oleh itu, pemilihan kata dalam cerita ini bersifat sederhana dan sesuai dengan tahap kognitif kanak-kanak. Selain itu, penggunaan ilustrasi dalam penulisan cerita “Basikal Impian” juga menjadikannya sesuai untuk kanakkanak. Ilustrasi sangat penting bagi meningkatkan pemahaman kanak-kanak terhadap bahan bacaan terutama bagi mereka yang belum mahir membaca. Gambar yang dipaparkan membantu mereka menghubungkan visual dengan kandungan teks. Contohnya, gambar Amir yang terjatuh selepas dilanggar basikal memberikan gambaran lebih jelas tentang situasi yang dialaminya dan membangkitkan emosi simpati dalam diri pembaca. Baldinger (1986) dalam Arba’ie Sujud et al. (2014) menyatakan bahawa ilustrasi adalah seni membuat gambar yang berfungsi untuk memperjelas dan menerangkan naskhah. Oleh itu, penggunaan ilustrasi bukan sahaja menarik minat kanak-kanak tetapi juga membantu mereka memahami jalan cerita dengan lebih berkesan. HURAIAN CERITA ASPEK TEKNIK PENCERITAAN Cerita “Basikal Impian” juga sesuai untuk kanak-kanak kerana menggunakan pelbagai teknik penceritaan yang menarik. Menurut Fatimah dalam Nurhasma et al. (2022), teknik penceritaan dalam prosa sastera penting bagi memastikan penyampaian mesej lebih halus dan berkesan. Salah satu teknik yang digunakan ialah teknik pemerian. Pemerian merujuk kepada penjelasan, penerangan dan penghuraian
(Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Ini bermaksud teknik pemerian digunakan untuk menjelaskan sesuatu perkara secara deskriptif dan informatif. Teknik ini dapat membantu kanak-kanak memahami cerita dengan lebih mudah melalui gambaran yang jelas tentang suasana latar, watak dan peristiwa. Ini membolehkan mereka membayangkan situasi dalam cerita dan meningkatkan daya imaginasi mereka. Misalnya, suasana damai digambarkan dalam ayat "Pada suatu pagi yang cerah, Amir berjalan ke warung dengan hati yang gembira. Burung berkicau riang, angin bertiup lembut dan suasana terasa tenang.” Gambaran ini membolehkan kanak-kanak membayangkan suasana cerita dan menghayati emosi watak dengan lebih mendalam. Seterusnya, teknik tuturan turut digunakan dalam cerita “Basikal Impian”. Tuturan merangkumi dialog, monolog dan monolog dalaman yang memainkan peranan penting dalam membentuk naratif dan menyampaikan emosi watak dengan lebih mendalam. Dialog merujuk kepada perbualan antara dua atau lebih individu dalam situasi komunikasi. Penggunaan dialog dalam cerita “Basikal Impian” membolehkan kanakkanak memahami struktur ayat, intonasi dan ekspresi bahasa dengan lebih berkesan. Contohnya, "Hei! Tengok apa yang kau dah buat! Habis rosak basikal aku!” dan "Maaf, saya tak sempat mengelak." Melalui dialog ini, kanak-kanak dapat melihat bagaimana ayat dibina secara gramatis dan emosi seperti kemarahan dan kesopanan disampaikan dalam pertuturan. Ini membantu mereka meningkatkan kemahiran bahasa dan memahami penggunaan bahasa dalam konteks sosial. Selain itu, monolog dalaman, iaitu watak berbicara dalam hati atau memikirkan sesuatu tanpa mengucapkannya secara lantang membantu perkembangan emosi dan kognitif kanak-kanak serta membentuk keperibadian mereka. Ini
selaras dengan pandangan Azuraida Shahadan dalam Muhamaad Razis (2020), iaitu perkataan yang terdetik dalam hati akan membentuk emosi dan diproses oleh otak untuk menjadikannya sebagai kenyataan. Contohnya, "Andai aku punya basikal, pasti lebih mudah ke warung dan sekolah." Ungkapan ini mencerminkan impian watak dan mengajarkan kanak-kanak tentang usaha dan cita-cita. Dari perspektif pemerolehan bahasa, teknik ini berkait rapat dengan konsep Language Acquisition Device (LAD) oleh Chomsky yang menjelaskan keupayaan semula jadi manusia dalam menyerap, menganalisis dan memahami struktur bahasa (Meilan Arsanti, 2014). Oleh itu, dialog dan monolog dalaman bukan sahaja membantu kanak-kanak menguasai tatabahasa dan sintaksis tetapi juga memahami penggunaan bahasa dalam komunikasi harian dan pemikiran dalaman. Di samping itu, penulis “Basikal Impian” menggunakan teknik imbasan untuk menarik minat kanak-kanak. Teknik ini membawa pembaca keluar dari garis masa utama untuk menggambarkan peristiwa lampau atau akan datang. Dalam cerita ini, kilas balik digunakan untuk memperjelas latar belakang watak. Contohnya, peristiwa di mana Amir mengingat akan janji arwah ayahnya yang ingin membelikannya basikal. Peristiwa ini mencipta ironi dramatik kepada kanak-kanak yang membolehkan mereka menghayati kisah Amir secara mendalam. Mereka memahami kesedihan dan kerinduan Amir terhadap ayahnya. Mereka juga dapat melihat bagaimana pengalaman masa lalu membentuk perasaan dan tindakan watak masa kini, iaitu kegigihan Amir untuk memiliki basikal. Hal ini selari dengan pendapat Febfi Setyawati (2023) yang menyatakan bahawa kilas balik mengukuhkan hubungan sebab dan akibat dalam perilaku watak.
Sajak “Mengejar Impian” sesuai untuk pembacaan kanakkanak Tahap 2 kerana penggunaan bahasanya yang sederhana dan mudah difahami. Perkataan yang tidak terlalu kompleks membantu mereka mempelajari maksud tersirat. Menurut Shamsuddin Abu Bakar et al. (2024), bahasa yang digunakan dalam sajak perlu disesuaikan dengan tahap dan kebolehan kanak-kanak agar mereka dapat memahami serta menghayati karya dengan baik. Namun, terdapat juga penggunaan konsep abstrak seperti “hinaan ibarat angin berlalu” yang sukar difahami tanpa bimbingan guru. Ini digunakan untuk menggalakkan pemikiran kritis kanak-kanak dalam meningkatkan perkembangan kognitif mereka. Dari segi tema, sajak ini membawa nilai-nilai positif seperti kegigihan mengejar impian, ketabahan, keikhlasan dalam berbuat baik dan nilai kemaafan. Nilai-nilai ini amat penting dalam pembentukan sahsiah kanak-kanak kerana dapat mendidik mereka tentang kepentingan nilai moral dalam kehidupan seharian. Menurut Noor Sara (2024), pengajaran nilai-nilai moral dapat mendidik dan membentuk peribadi murid secara menyeluruh. Hal ini menjadikan mereka seorang yang sopan dan berakhlak mulia. HURAIAN SAJAK KANAKKANAK
Kesimpulannya, sastera kanak-kanak memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai sumber hiburan tetapi juga sebagai medium pendidikan yang membentuk nilai-nilai murni dan merangsang imaginasi kanak-kanak. Cerita dan sajak kanak-kanak mestilah ditulis sesuai dengan tahap kognitif kanak-kanak supaya mereka dapat menghayatinya dengan lebih mendalam. Oleh itu, penghasilan karya sastera kanakkanak yang berkualiti amat penting dalam memupuk minat membaca dan membentuk perkembangan emosi serta kognitif kanak-kanak secara berkesan. KESIMPULAN
Arba’ie Sujud, Nurul Azimah, Nik Rafidah dan Intan Zahariah. (2014). Ekspresi Emosi melalui Bahan Bacaan Sastera Kanak-kanak. Jurnal Melayu, 13, 72-84. Febfi Setyawati. (2023). Analisis Alur Kilas Balik dalam Mendukung Tangga Dramatik pada Filem “Removed”. Art and Design Journal, 6(1), 92-100. Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Dewan Bahasa dan Pustaka. Meilan Arsanti. (2014). Pemerolehan Bahasa Pada Anak (kajian Psikolinguistik). Jurnal PBSI, 3, 24-47. Muhamaad Razis Ismail. (2020). Monolog dalam diri. Harian Metro. https://www.hmetro.com.my/WM/2020/08/614750/monologdalam-diri Noor Sara. (2024). Bakal guru bantu didik, bentuk peribadi anak-anak. Harakahdaily. https://harakahdaily.net/index.php/2024/09/24/bakal- gurubantu-didik-bentuk-peribadi-anak-anak/ Nurhasma Muhamad Saadi, Yuslina Mohamed, Wan Moharani Mohammad, Muhammad Marwan Ismail dan Zulkipli Md Isa. (2022). Teknik Penceritaan Hadis Naratif dalam Sahih Al Bukhari. International Journal of Islamic Studies, 26(2), 1-10. Rosly Kayar, Kamisah Buang dan Faridah Mohd Sopan. (2023). Psikologi Pembelajaran. Local Publication Sdn. Bhd. RUJUKAN
Shamsuddin Abu Bakar, Arfah Ahamad, Fadzilah Abdul Rahim, Azman Rahmat dan Hasnah Awang. (2024). Kesusasteraan Kanak-kanak dalam Pendidikan Bahasa Melayu. Sri Saujana Marketing. Tengku Intan, Madiawati Mamat dan Rohayati Junaidi. (2020). Kearifan Tempatan dalam Kulit Buku Sastera Kanak-kanak Terpilih Terbitan PTS. Jurnal Peradaban Melayu, 15, 22-37.