The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by ayuni09-455, 2022-05-12 12:37:53

PENULISAN AKADEMIK

PENULISAN AKADEMIK

Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu
59990 Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan
(Ambilan Jun 2020)

BUDAYA DAN PEMBELAJARAN
EDUP3073

Nama: Disediakan oleh:
No. Kad Pengenalan:
NURUL AYUNI BINTI AHMAD
Angka Giliran: 010925140566
Kumpulan/ Unit 2020192340175
Nama Pensyarah: F9
Tajuk Tugasan :
Tarikh Penyerahan: DR. SITI HALIMAH BINTI MD YASSIN
PENULISAN AKADEMIK
Tarikh Menerima Maklum 12 MEI 2022
Balas Daripada Pensyarah

1

Isi kandungan 3
Penghargaan 4
1.0 Pengenalan 4
2.0 Bilik Darjah Mesra Budaya 4
3.0 Langkah-langkah Menguruskan Bilik Darjah Mesra Budaya 4
5
3.1 Aspek Fizikal 5
3.2 Aspek Emosi 6
3.3 Aspek Sosial 6
3.4 Aspek Sosiolinguistik 7
4.0 Rumusan
Rujukan

2

Penghargaan
Bismillahirahmanirahim. Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T atas rahmatnya, dengan
mengurniakan kesihatan yang baik, nyawa dan juga cetusan idea kepada saya sehingga saya
dapat menyiapkan kerja kursus ini dengan jayanya.

Selain itu, saya mengucapkan ribuan terima kasih buat Dr. Siti Halimah binti Md
Yassin, selaku pembimbing serta pensyarah kursus Budaya dan Pembelajaran kerana terlalu
banyak bantuan, idea dan penerangan yang telah beliau curahkan kepada saya sepanjang
proses untuk menyiapkan tugasan ini.

Tidak lupa juga, ucapan terima kasih yang tidak terhingga buat kedua ibu bapa yang
saya sayangi kerana mereka sentiasa ada sebagai penguat serta penyokong yang setia
memberi semangat sepanjang proses menyiapkan kerja kursus.

Buat rakan-rakan yang disayangi juga saya ucapkan terima kasih kerana sentiasa ada
di sisi memberi pertolongan dan informasi supaya proses menyiapkan kerja kursus ini berjalan
dengan lancar.

3

1.0 Pengenalan
Malaysia merupakan antara negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai golongan
dan kaum yang mempunyai tradisi, adat, dan cara hidup yang tersendiri. Meskipun berlainan
bangsa, bahasa, mahupun budaya, rakyat Malaysia perlulah hidup bersatu padu dengan cara
menghormati dan menghargai keunikan kepelbagaian yang wujud dalam kalangan
masyarakat di Malaysia. Hal ini demikian supaya, semua rakyat Malaysia dapat merasai
nikmat hidup dengan aman dan harmoni tanpa persengketaan serta perbalahan. Di peringkat
sekolah, rasa kekitaan dan saling hormat-menghormati kepelbagaian budaya bangsa di
Malaysia ini boleh dipupuk sedari awal dalam diri setiap kanak-kanak dengan cara
mewujudkan bilik darjah yang mesra budaya.

2.0 Bilik Darjah Mesra Budaya
Dalam persekitaran sekolah di Malaysia, terdapat murid-murid yang terdiri daripada pelbagai
kaum, latar belakang, dan budaya. Perkara ini menyebabkan wujudnya jurang perbezaan
antara murid yang boleh menggangu proses dan tahap keberkesanan proses pembelajaran
dalam bilik darjah. Oleh sebab itu, telah diwujudkan sistem pengurusan bilik darjah mesra
budaya yang dapat membantu mengatasi permasalahan-permasalahan tersebut. Menurut
Noriati Abd Rashid et al. (2017), bilik darjah mesra budaya merupakan antara inisiatif
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam mendidik dan menerapkan rasa kekitaan dan
nilai perpaduan dalam diri setiap murid. Menerusi pengurusan bilik darjah mesra budaya,
murid dapat dididik untuk menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya yang terdapat
di Malaysia. Dengan cara ini, murid akan dapat menerima setiap perbezaan masing-masing
dan dapat bergaul mesra tanpa mengira bangsa mahupun budaya.

3.0 Langkah-langkah Menguruskan Bilik Darjah Mesra Budaya
Setiap murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan budaya akan memiliki banyak
perbezaan antara satu sama lain. Guru perlulah peka serta prihatin akan setiap perbezaan itu
dan menguruskannya dengan baik menerusi penyusunan dan pengurusan bilik darjah yang
mesra budaya. Hal ini demikian supaya, dapat mewujudkan kesaksamaan peluang
pendidikan dan setiap murid tanpa mengira perbezaan budaya dapat belajar dalam keadaan
yang selamat dan selesa (Syed Ismail Syed Mustapa & Ahmad Subki Miskon, 2018). Bagi
mengurus bilik darjah yang mesra budaya, terdapat beberapa aspek yang perlu guru berikan
tumpuan iaitu dari segi aspek fizikal, emosi, sosial, dan sosiolingusitik.

3.1 Aspek Fizikal
Dalam menguruskan bilik darjah mesra budaya, antara aspek penting yang perlu diuruskan
ialah aspek fizikal bilik darjah. Aspek fizikal dalam bilik darjah perlu dirancang dengan baik

4

dan bersesuaian dengan murid-murid. Hal ini demikian kerana, menurut Marinah Awang et al.
(2018), aspek pengurusan fizikal bilik darjah akan memberikan kesan dalam membentuk iklim
dan persekitaran di dalam bilik darjah. Antara langkah yang perlu guru lakukan untuk
membentuk bilik darjah mesra budaya ialah menyusun atur susunan kerusi dan meja murid
dalam bentuk kumpulan. Hal ini demikian kerana, susun atur dalam bilik darjah dapat
mempengaruhi pergaulan dan penglibatan murid di dalam bilik darjah (Syed Ismail Syed
Mustapa et al., 2021). Murid akan lebih mudah untuk berkomunikasi dan bergaul dengan
rakan-rakannya di dalam bentuk kumpulan lebih-lebih lagi untuk aktiviti berpasukan,
berbanding dengan apabila mereka duduk secara individu dan berasingan. Sebagai contoh,
guru boleh menyusun kerusi dan meja murid dalam bentuk kumpulan berempat, dan jika murid
terdiri daripada pelbagai kaum, guru perlu memastikan setiap kumpulan terdapat kaum dan
jantina yang berbeza. Dengan cara ini, murid akan dapat bergaul dan berkomunikasi dengan
murid daripada pelbagai latar belakang dan budaya, sekaligus dapat memupuk sikap
beramah mesra antara mereka.

3.2 Aspek Emosi
Selain pengurusan fizikal bilik darjah, aspek pengurusan emosi juga perlu diuruskan oleh
guru. Hal ini demikian kerana, pengurusan emosi yang baik dapat menjadi pemangkin dalam
meningkatkan minat murid untuk turut serta dalam sesi pembelajaran (Mohd. Fuad Sam et
al., 2017). Dalam bilik darjah mesra budaya, antara langkah yang boleh guru lakukan untuk
mengurus aspek emosi adalah dengan memastikan setiap murid mendapat layanan yang
sama rata dan adil. Guru tidak boleh membezakan murid-murid, sebaliknya perlu bersikap
profesional dalam melayani murid. Sebagai contoh, jika guru berikan pujian atau ganjaran
kepada murid Melayu yang menjawab betul, murid daripada kaum lain juga berhak untuk
memiliki ganjaran yang serupa jika menjawab betul. Sama seperti dalam situasi pemilihan
murid dalam aktiviti PdP atau wakil pertandingan, guru perlulah adil dalam memilih murid
mengikut kemampuan dan kefahaman mereka dan bukannya berdasarkan kaum, jantina,
mahupun bahasa. Dengan cara ini, murid akan lebih bermotivasi untuk melibatkan diri dalam
sesi pembelajaran dan tidak merasa seperti disisihkan disebabkan oleh perbezaan budaya.

3.3 Aspek Sosial
Aspek sosial pula merupakan pengurusan hubungan sosial dalam kalangan murid. Dalam
mengurus bilik darjah mesra budaya, antara aspek sosial yang boleh guru uruskan ialah
hubungan positif antara murid dan guru di dalam bilik darjah. Antara langkah menguruskan
aspek ini adalah dengan menerapkan strategi berpusatkan murid terutamanya yang
melibatkan aktiviti berkumpulan dalam sesi PdP. Aktiviti berkumpulan dapat menggalakkan
murid-murid untuk membuat perbincangan dan berinteraksi antara satu sama lain untuk

5

menyelesaikan sesuatu permasalahan (Faridah Nazir et al., 2016). Guru perlu memastikan
dalam setiap kumpulan terdapat murid-murid yang berlainan budaya, tahap atau latar
belakang. Hal ini demikian supaya, murid dapat bergaul dan berinteraksi secara terbuka dan
tidak hanya berada dalam kelompok yang sama (Mohd Asnorhisham Adam & Abdul Rahman
Hamdan, 2017). Sebagai contoh, jika di dalam bilik darjah terdapat murid yang berlainan
kaum, guru perlulah membahagikan kumpulan dengan mencampurkan murid-murid tanpa
mengikut kaum atau jantina. Dengan cara ini, murid akan dapat bergaul dan berinteraksi
dengan baik, tanpa mengira budaya dan latar belakang sekaligus dapat melahirkan generasi
yang berfikiran terbuka.

3.4 Aspek Sosiolinguistik
Dari segi pengurusan bilik darjah mesra budaya pula, aspek pengurusan sosiolinguistik
adalah berkaitan tentang pengurusan aspek penggunaan bahasa murid. Penggunaan bahasa
merupakan antara aspek penting dalam komunikasi. Menurut Nor Zulaiqha Rosli et al. (2021),
jika terdapat perbezaan bahasa pertuturan pasti akan menyukarkan proses komunikasi.
Antara langkah untuk guru menguruskan aspek sosiolingusitik bagi mewujudkan bilik darjah
mesra budaya adalah dengan memastikan setiap murid berkomunikasi dan berinteraksi
menggunakan bahasa Melayu di dalam kelas. Selaku rakyat Malaysia sudah pasti tidak kira
apa jua kaum, pasti dapat bertutur dan faham dengan bahasa Melayu. Jadi, adalah lebih baik
jika setiap murid bertutur dengan bahasa Melayu supaya dapat memudahkan urusan
komunikasi. Hal ini demikian kerana, kadangkala murid tidak dapat bergaul dengan kaum
yang lain atas sebab perbezaan bahasa pertuturan yang menyukarkan mereka untuk
berinteraksi (Chew Fong Peng, 2016). Dengan cara bertutur dengan bahasa Melayu, semua
murid tanpa mengira bangsa pasti akan dapat berkomunikasi dan beramah mesra dengan
lebih baik.

4.0 Rumusan
Secara keseluruhannya, dapat dirumuskan bahawa meskipun terdapat jurang perbezaan dan
kepelbagaian dari segi latar belakang dan budaya, setiap murid berhak untuk mendapatkan
peluang pendidikan sama rata yang adil dan saksama kerana pendidikan adalah hak asasi
setiap manusia. Bagi memastikan perkara ini dapat dicapai dengan baik dalam sistem
persekolahan di Malaysia, guru-guru perlulah memainkan peranan masing-masing dengan
cara memupuk sikap menghargai dan menghormati kepelbagaian budaya setiap golongan
dan kaum dalam bilik darjah. Hal ini demikian supaya, setiap murid dapat belajar dalam
keadaan yang selamat, selesa, dan menyeronokkan tanpa mengira perbezaan latar belakang
dan budaya mereka. Perkara ini akan dapat dicapai dengan cara guru mewujudkan iklim dan
persekitaran bilik darjah yang mesra budaya.

6

Rujukan

Faridah Nazir, Faiziah Shamsudin, & Amran Bakar. (2016). Kaedah pengajaran bahasa
Melayu sekolah rendah. Sasbadi Sdn. Bhd.

Marinah Awang, Mohd Ezrizal Zakaria, & Ramlee Ismail. (2018). Hubungan persekitaran

fizikal bilik darjah dan kesejahteraan dan keselesaan pembelajaran dan pengajaran.

Management Research Journal, 7(1), 86-99.

http://ojs.upsi.edu.my/index.php/MRJ/article/view/1487/1071

Mohd Asnorhisham Adam, & Abdul Rahman Hamdan. (2017). Pendekatan pengajaran secara
berkumpulan dalam program pemulihan khas Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan
Bahasa Melayu, 7(1), 66-73. http://journalarticle.ukm.my/10414/1/134-258-1-SM.pdf

Mohd. Fuad Sam, Marina Hj. A. Majid, Rosnah A. Rajak, & Nordin Mohd Yusof. (2017). Murid
dan pembelajaran. Sasbadi Sdn. Bhd.

Noriati Abd Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, & Zuraidah A. Majid.
(2017). Budaya dan pembelajaran: Edisi Kedua. Oxford Fajar.

Nor Zulaiqha Rosli, Nur farahkhanna Mohd Rusli, Norfaizah Abdul Johar, & Norazimah
Zakaria. (2021). Kemahiran bertutur bahasa Melayu oleh murid Cina: Teori analisis
kontrastif. LSP International Journal, 8(1), 35-55.
https://journals.utm.my/lsp/article/view/16906/7703

Peng C.F. (2016). Masalah pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan murid Cina sekolah
rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 6(2), 10-22.
http://journalarticle.ukm.my/10190/1/113-222-1-SM.pdf

Syed Ismail Syed Mustapa, & Ahmad Subki Miskon. (2018). Budaya dan Pembelajaran.
Sasbadi Sdn. Bhd.

Syed Ismail Syed Mustapa, Chin Mei Keong, Ahmad Subki Miskon, & Noor Fitriyati Abdul
Samad. (2021). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Pustaka Nadwa Sdn. Bhd.

7


Click to View FlipBook Version