The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by shazhalia, 2023-08-18 05:28:46

UNIT 3-RISIKO

UNIT 3-RISIKO

MODUL Panduan Keibubapaan Digital (KID) UNIT 3: RISIKO PENGGUNAAN MEDIA DIGITAL Disediakan oleh: UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA (UIAM)


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Hak cipta terpelihara XXXX Edisi Pertama 2022 Hak cipta terpelihara XXXX. Tiada bahagian dalam dokumen ini boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukar kedalam sebarang bentuk atau sebarang alat juga, sama ada dengan cara elektronik, gambar serta rakaman dan sebagainya tanpa kebenaran dari pihak XXXX. Diterbitkan oleh: XXXX XXXXXX Alamat XXXXX XXX XX XXXX X XXXX XXXXXX XXXXXXX Tel : 603-XXXX XXX Fax: 603-XXX XXXXX Laman Sesawang: http://www.XXX.XXX.XX


Unit 3: Risiko Penggunaan Media Digital Objektif Unit Memberi ibu-bapa pendedahan terhadap risiko dan bahaya penggunaan media digital Hasil Pembelajaran 1) Memahami risiko sebenar teknologi digital 2) Mengenalpasti kesan-kesan risiko kepada anak-anak 3) Membezakan risiko dan ketidakpastian Silibus 1. RISIKO TERHADAP ANAK-ANAK a. Antara risiko dan ketidakpastian b. Jenis-jenis Risiko 2. KESAN PADA DIRI (MIKRO) a. Fizikal b. Mental dan Emosi 3. KESAN PADA MASYARAKAT DAN BUDAYA (MAKRO) a. Kesan terhadap agama dan budaya b. Kesan terhadap ideologi dan persepsi Durasi 90-120 minit Peserta Sasaran Peserta pertengahan iaitu ibu bapa yang gemar menggunakan teknologi digital tetapi tidak mempunyai pengetahuan teknikal formal dan memahami konsep keibubapaan digital yang luas. STRUKTUR UNIT 3


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) BAB 1: RISIKO TERHADAP KANAK-KANAK BAB 2: KESAN PADA DIRI (MIKRO) BAB 3: KESAN PADA MASYARAKAT DAN BUDAYA (MAKRO) Persepsi ibu bapa terhadap teknologi digital masa kini banyak memberi tumpuan pada risiko penggunaannya terhadap anak-anak mereka. Persepsi ini menatijahkan pemilihan kawalan sebagai kaedah utama dalam keibubapaan digital yang selamat, namun ini mungkin menafikan peluang perkembangan anak-anak secara maya. Sebaliknya, keibubapaan digital yang terlalu berlembut dan bebas akan mengabaikan risiko buruk kepada anak-anak. Unit ini bertujuan untuk menerangkan konsep risiko digital yang mencerahkan ibu bapa supaya mengutamakan asuhan digital yang dapat menyeimbangkan risiko dan peluang dengan baik. Unit tentang risiko penggunaan teknologi digital ini terbahagi kepada tiga Bab. PENGENALAN


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Puan Mala ialah seorang usahawan produk kecantikan yang banyak menggunakan teknologi maklumat untuk menjayakan perniagaannya. Di rumah, beliau mengambil pendirian yang lebih bebas dalam penggunaan digital anak-anaknya, kerana berpendapat bahawa teknologi ini lebih banyak membawa manfaat berbanding masalah. Namun begitu, pada suatu hari, beliau telah mendapati bahawa anaknya menonton video berunsur keganasan dan tidak sesuai dengan paras umurnya daripada tahap usia yang disyorkan. Puan Mala mula mempersoalkan kaedah keibubapaan digitalnya yang mungkin terlalu bebas sehingga boleh menyebabkan terlepas pandang akan risiko digital yang boleh menghadapi anaknya, sekaligus menimbulkan kerisauannya mengenai risiko-risiko digital yang ada. Di sinilah pentingnya untuk ibubapa memahami konsep risiko serta kesan penggunaan digital pada diri dan masyarakat. Senario Ibubapa hari ini


BAB 1:RISIKO DIGITAL MEDIA TERHADAP ANAK-ANAK


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) BAB 1: RISIKO MEDIA DIGITAL TERHADAP ANAK-ANAK Memperkasakan kanak-kanak untuk menjadi warga digital yang aktif dan beretika memerlukan kapasiti untuk mengemudi dunia digital dengan selamat. Persekitaran digital membawa peluang yang besar, beserta dengan risiko. Risiko digital ini boleh menjejaskan kesejahteraan dan juga hak privasi kanak-kanak. 1a. Risiko terhadap kanak-kanak: Terdapat tiga kategori risiko yang mungkin dihadapi oleh anak-anak ketika menggunakkan teknologi digital iaitu 3K- Kandungan (content), Kenalan (contact) dan Kelakuan (conduct). Sebenarnya kebanyakan daripada risiko ini adalah lanjutan daripada ancaman dan masalah sosial yang melanda masyarakat pada hari ini, contohnya isu perkauman dan seksisme,pemangsaan seksual. Sama seperti dalam kehidupan seharian, persekitaran digital yang betul-betul murni daripada semua bentuk ancaman dan risiko sifar tidak dapat dicapai. ✓ Kandungan (Content) Penggunaan digital media boleh membuatkan anak-anak terdedah kepada imej seksual, lucah dan ganas; pengiklanan yang tidak sesuai dengan umur dan laman sesawang yang menyokong aktiviti tidak sehat dan berbahaya seperti mencederakan diri sendiri, membunuh diri dan anoreksia. ✓ Kenalan (Contact) Anak-anak boleh terdedah kepada komunikasi yang berisiko seperti perbualan dengan orang dewasa yang tidak dikenali dan menjurus ke arah seksual atau kenalan yang boleh mempengaruhi anak-anak untuk terlibat dalam tingkah laku yang tidak sehat dan berbahaya. ✓ Kelakuan (Conduct) Anak itu sendiri berkelakuan dan menyumbang kepada kandungan (content) atau menjalinkan hubungan (contact) yang berisiko seperti buli siber kepada rakan-rakan yang lain, menyiarkan atau mengedarkan imej seksual orang lain atau diri mereka sendiri.


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) 1b. Jenis-jenis risiko: Sekarang, semua maklumat yang ingin diakses oleh seseorang amat mudah untuk didapati oleh seseorang dengan hanya satu ‘klik’ di media digital. Keadaan ini ditambah pula dengan situasi sebahagian besar ibu bapa masa kini yang terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan perhatian kepada keluarga. Maka tidak mustahil sekiranya kanak-kanak terdedah secara langsung atau tidak langsung kepada kepada unsur-unsur negatif yang bertebaran di internet. Berikut adalah beberapa risiko utama penggunaan teknologi digital: ✓ Pornografi (Kandungan) Pornografi dapat didefinasikan sebagai segala bentuk perbuatan atau tindakan yang mengandungi kelakuan seksual atau eksploitasi seksual yang melanggar norma moral dalam masyarakat atau perbuatan mendedahkan aurat secara keterlaluan atau melampau. Ia merupakan satu perbuatan yang tidak wajar diterima dalam kehidupan seharian kerana ianya dilarang dari sudut etika moral dan di sisi agama. Sifat ingin tahu dalam diri anak-anak adalah normal. Mereka akan cuba untuk mencari jawapan dengan bertanyakan kepada orang yang lebih tua atau melalui Internet. Namun amatlah berbahaya sekiranya penggunaan media digital ini tidak dikawal oleh ibu bapa kerana semua maklumat sememangnya terkandung di dalam internet/ media digital. Menurut statistik kajian yang dijalankan di Malaysia mendapati seawal usia 13 hingga 18 tahun, remaja di Malaysia telah mula terlibat dengan ketagihan pornografi sehingga menyebabkan mereka berkelakuan tidak sopan atau melampaui batas-batas pergaulan sosial tanpa nikah seperti berpegangan tangan antara lelaki dengan perempuan, bercium, meraba, mendedahkan tubuh di khalayak dan terjebak dengan hubungan seks. Contoh Kes: Sejumlah 408 laman sesawang berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak, sudah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sehingga Ogos tahun ini. Tindakan itu berjaya dilakukan dengan kerjasama Interpol dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana pihak berkuasa itu akan mengenalpasti alamat Protokol Internet (IP) berdasarkan bukti kes. Sebelum ini, data dikongsikan PDRM menunjukkan sebanyak 106,764 alamat IP berdaftar di negara ini membuat perkongsian kandungan lucah terhadap kanak-kanak sejak 2017 hingga Ogos lalu. Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/09/997976/skmm-sekat-408- sesawang-pedofilia-pornografi-kanak-kanak


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) ✓ Berita palsu (Kandungan) Dengan informasi di hujung jari, pengguna media digital terdedah dengan pelbagai bentuk berita atau maklumat yang palsu. Sekiranya pengguna media digital/pembaca tidak berhati-hati dalam mengesahkan ketulenan sumber berita atau maklumat tersebut dan kemudiannya berkongsi berita atau maklumat palsu itu, ia akan mengakibatkan berita atau maklumat tersebut menjadi tular. Sedikit sebanyak perkongsian berita atau maklumat tidak sahih itu akan menjejaskan atau memudaratkan mana-mana pihak yang terlibat dengan penularan berita atau maklumat tersebut. Pengguna atau pembaca dewasa juga boleh terjerat dalam kes berita palsu, apatah lagi sekiranya penyebaran ini dibaca oleh golongan muda atau kanak-kanak. Semestinya sukar untuk mereka memilih berita atau maklumat yang perlu dipercayai. ✓ Pergaulan bebas (Kenalan) Pelbagai platform di media digital telah membuka ruang kepada pengguna untuk mengamalkan pergaulan bebas tidak kira jantina (Wechat, WhatsApp, Instagram, Tinder, etc). Remaja, khususnya remaja perempuan, dilihat sebagai mangsa yang mudah untuk diperdaya oleh pemangsa-pemangsa seksual bagi pelbagai tujuan yang tidak bermoral. Perkara ini sememangnya merupakan salah satu cabaran yang nyata bukan sahaja bagi remaja, malah orang dewasa juga terperangkap dalam mainan yang dilakukan oleh pemangsa-pemangsa dalam media digital. Anak-anak juga dikhuatiri termakan dengaan kata-kata manis kenalan mereka. ✓ Buli Siber (Kelakuan) Gejala buli boleh terjadi di mana sahaja, sama ada secara fizikal mahupun di alam maya. Secara amnya, buli bermaksud suatu tindakan agresif yang dilakukan oleh sekumpulan atau seorang individu secara berulang kali terhadap mangsa yang sukar atau tidak mampu untuk mempertahankan diri (Olweus, 1993). Manakala buli di alam maya atau buli siber bermaksud satu amalan komunikasi yang bertujuan untuk mengancam, memberi gangguan atau sebarang penghinaan yang berterusan yang dilakukan melalui media elektronik seperti laman media sosial, telefon pintar, email, mesej teks (SMS), chatting atau permainan di internet melalui individu atau secara berkumpulan. Gejala buli sememangnya meninggalkan kesan yang buruk terhadap mangsa. Malahan, pembuli di alam siber didapati lebih agresif berbanding pembuli secara fizikal kerana mereka dapat merahsiakan identiti sebenar. Menurut artikel berita yang dikeluarkan dalam surat khabar The Star Online yang bertajuk “On the alert for cyberbullying” bertarikh 11 April 2017, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak CyberSecurity Malaysia, sebanyak 300 kes pembulian siber yang direkodkan pada tahun 2012, 512 kes pada tahun 2013, 550 kes pada tahun 2014, 442 kes pada tahun 2015 dan 529 kes pada tahun 2016. Laporan ini menunjukkan trend peningkatan kes dari tahun ke tahun.


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Gejala pembulian siber seperti sindrom ‘tall poppy’ dalam media sosial yang mana ia merujuk kepada situasi yang mana pengguna media sosial akan memberikan komen-komen yang negatif bagi tujuan menjatuhkan maruah pengguna media sosial yang lain kerana mereka tidak senang melihat orang lain berada dalam keadaan yang lebih tinggi daripada diri mereka sendiri Contoh Kes Seperti kejadian buli dalam bentuk lain, mangsa buli siber berkemungkinan cenderung untuk menyembunyikan perihal keadaan yang sedang menimpanya. Maka wajarlah ibu bapa menjadi lebih peka akan hal anak-anak dalam dunia digital. Antara cara untuk mengesan seseorang itu mengalami masalah buli siber ialah seperti yang berikut: ✓ Berasa resah atau marah semasa melayari Internet menggunakan komputer atau telefon bimibit. ✓ Menjadi perahsia sehingga segera mematikan perantian jika ada yang mendekatinya atau tidak mahu bercerita tentang apa yang dilakukan semasa melayari Internet. ✓ Secara tiba-tiba menjauhkan diri dari melayari Internet padahal dahulunya gemar berbuat sedemikian. ✓ Berasa ingin berseorangan dan menjauhkan diri dari bersosial dengan rakan yang lain. Pada tahun 2017, seorang penerima keputusan cemerlang, yang bernama Natasya telah menutup akaun media sosialnya di Twitter kerana menerima kecaman ramai di platform tersebut. Yang menjadi tumpuan kritikan ialah penampilannya yang bersolek sewaktu menghadiri majlis penerimaan keputusan SPM walaupun berjaya mendapatkan keputusan ‘straight A’. Situasi ini menimbulkan tekanan dan mendorongnya untuk menutup terus akaun media sosial tersebut. Ini adalah salah satu contoh buli siber yang dihadapi anak-anak. Sumber: https://www.nst.com.my/news/2017/03/222918/straight-9a-spm-achiever-pelted-sexistlookist-abusive-comments-netizens


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Aktiviti 1: Terangkan kepada anak anda tentang 3 jenis risiko digital iaitu: 3K- Kandungan (content), Kenalan (contact) dan Kelakuan (conduct). Ajak mereka menyenaraikan 2-3 contoh bagi setiap jenis risiko. Tanyakan juga jika anak anda pernah berhadapan dengan sebarang bentuk risiko digital dan apakah tindakan mereka. Sumber maklumat tambahan : 1.Rujukan video: 2. Bahan bacaan tambahan: • Risiko digital untuk anak-anak https://katadata.co.id/dinihariyanti/berita/62ba80fe99cd3/menyiasati-risiko-negatifteknologi-digital-bagi-anak-anak • Tipologi Konsep Risiko Digital untuk anak-anak https://www.oecd.org/digital/children-in-the-digital-environment-9b8f222e-en.htm • Menjaga integriti penggunaan media sosial https://www.bharian.com.my/kolumnis/2015/04/45018/menjaga-integriti-penggunaanmedia-sosial Tajuk: Online Risks For Children Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=E17kZ16VWRs&t =200s Durasi: 5:50 min


BAB 2: KESAN PADA DIRI (MIKRO)


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) BAB 2: KESAN PADA DIRI (MIKRO) Ketagihan terhadap penggunaan media digital sememangnya memberi kesan buruk kepada individu. Gaya hidup seseorang boleh terjejas ekoran daripada pengaruh teknologi moden dalam kehidupan mereka. Dalam kepesatan era globalisasi dan teknologi tinggi tanpa sempadan ini, perkembangan kanak-kanak hingga usia remaja amat mudah dipengaruhi oleh agen sosialisasi seperti media. Pengaruh teknologi terhadap perkembangan kanak-kanak boleh berlaku di tahap mikro dan makro. Di tahap mikro, risiko penggunaan bersifat individu dan terkesan pada diri pengguna secara terus dan nyata. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Berita Harian telah membuktikan bahawa gajet tanpa wayar seperti tablet dan telefon bimbit merupakan risiko ejen kanser disebabkan oleh radiasi yang dihasilkan (Berita Harian, 2015). Radiasi yang dihasilkan mampu melumpuhkan sistem imunisasi kanak-kanak sekiranya mereka terdedah kepada radiasi yang tinggi atau erti kata lain terlalu lama terdedah sejak bayi lagi. Menurutnya juga, gajet menyebabkan pengguna yang gemar bermain alat permainan video yang dipegang boleh mendatangkan masalah tulang belakang. Kepesatan teknologi dalam abad ke-21 ini menyebabkan kanak-kanak terpaksa membesar dalam persekitaran yang mempunyai lambakan kemudahan akses kepada maklumat tanpa sempadan (Miftachul et al., 2017).


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) 2a. Masalah Fizikal ✓ Masalah kegemukan atau ‘obesiti epidemik’. Penggunaan media digital telah melenyapkan terus aktiviti fizikal yang sering dilakukan oleh kanak-kanak sebelum era kepesatan teknologi moden. Mereka lebih cenderung untuk menjadi tidak produktif atau digelar sebagai ‘couch potato’ yang mana mereka lebih selesa untuk duduk dan baring berjam-jam lamanya menggunakan media elektronik Secara amnya, masalah obesiti boleh terjadi akibat daripada pelbagai faktor. Namun, dalam konteks penggunaan media digital, masalah obesiti terjadi disebabkan kurangnya aktiviti fizikal dan kardio yang dilakukan oleh anak-anak semasa menggunakan gajet atau media elektronik. Dalam situasi ini, kandungan kalori dalam badan tidak dapat dibakar dan kadar metabolisme menurun. Selain daripada masalah obesiti, kalori yang terkumpul juga boleh menyumbang kepada punca masalah kesihatan yang lain seperti serangan jantung, masalah tekanan darah yang tidak stabil dan diabetes. ✓ Perkembangan saraf motor kanak-kanak Aktiviti menyentuh skrin tablet, telefon bimbit atau gadget yang terlalu kerap boleh menyebabkan kemahiran motor halus, iaitu pergerakan jari mereka kurang berkembang. Menurut Siti Aisyah (2014), satu kajian kesihatan kanak-kanak dari Amerika Syarikat menyatakan bahawa penggunaan gadget seperti ipad dan tablet dalam kalangan kanak-kanak yang berumur dua tahun ke atas adalah tidak sesuai kerana boleh melemahkan otot jari dan tangan mereka yang diperlukan untuk menulis. Bayangkan sekiranya ibu bapa memberikan pendedahan awal terhadap anak-anak dalam penggunaan gajet, semestinya ia akan memberi kesan negatif terhadap perkembangan fizikal anak-anak apabila meningkat usia remaja ✓ Gejala tidur yang tidak mencukupi Kanak-kanak memerlukan sekurang-kurangnya 12 jam waktu tidur setiap hari untuk memastikan mereka dapat membesar dengan sihat manakala remaja pula memerlukan sekurang-kurangnya 8 jam sehari. Kegilaan atau ketagihan melayari internet dan bermain gadget misalnya akan menyebabkan kanak-kanak dan remaja terlalu asyik tanpa mempedulikan waktu tidur mereka. Faktor kekurangan waktu tidur yang cukup boleh mengganggu proses tumbesaran kanak-kanak serta menjejaskan perkembangan fizikal mereka apabila meningkat remaja. Mereka juga akan berasa mengantuk yang melampau apabila berada di dalam kelas atau sedang menimba ilmu. Lambat laun, penggunaan gajet juga dapat mengancam kesihatan mata apabila menggunakannya dalam tempoh yang lama pada jarak yang dekat. Tambah memburukkan keadaan apabila tabiat bermain gajet lazimnya dalam keadaan berbaring, mengiring atau meniarap dalam tempoh masa yang lama juga merupakan faktor utama penyumbang masalah rabun silau.


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) ✓ Masalah kecelaruan pemakanan dan persepsi imej badan yang negatif Apabila anak-anak didedahkan dengan media yang menggunakan model atau pelakon yang terlalu kurus ia menyumbang kepada peningkatan masalah kecelaruan pemakanan. Kecelaruan pemakanan biasanya terjadi dalam kalangan remaja dan orang dewasa yang muda dan 10 kali lebih kerap dalam kalangan perempuan berbanding lelaki (Pritts & Susman, 2003). Dalam kebanyakan keadaan, persekitaran yang rendah risiko juga rendah dari sudut peluang yang ada. Sebaliknya, usaha yang berisiko tinggi selalunya akan menatijahkan peluang yang banyak. Inilah logik yang sepatutnya mendorong cara ibu bapa mengawal dan membimbing penggunaan digital anak-anak iaitu dengan mengimbangi peluang dan risiko. 2b. Kesan Psikologi Menurut (Helma Hassan, 2018) perbuatan buli siber mampu mengakibatkan tekanan mental serta tekanan emosi terhadap mangsa sehingga mendorong mereka ke tahap untuk membunuh diri. Hasil kajian Safiek Mokhlis (2019), mangsa buli akan mengalami mengalami kesedihan, tekanan perasaan, hilang keyakinan diri sehingga menjejaskan tumpuan terhadap pembelajaran, Beliau berpendapat, hal ini terjadi kerana buli siber boleh melibatkan ramai orang dan dikhuatiri akan berlaku secara berterusan dalam tempoh yang lama. Kesan yang terbentuk akibat dibuli siber berupaya mencetuskan konflik emosi dan tekanan semasa usia remaja. Secara tidak disedari, mangsa yang terdiri dari kalangan murid sekolah berdepan dengan risiko keselamatan kesan dari ancaman emosi yang tergugat setelah mengalami buli siber. Perkara ini boleh memberi kesan tekanan jiwa yang melampau sehingga wujudnya kecendurangan dalam diri mangsa untuk membunuh diri. Contoh Kes Pada tahun 2020, seorang gadis, R. Thivya Navagi dari Bukit Mertajam telah membunuh diri di rumahnya setelah menerima kritikan yang banyak pada salah satu paparan media sosialnya iaitu Tiktok. Kebanyakan pengguna media sosial yang mengecamnya adalah orang asing, termasuklah beberapa akaun palsu yang tidak dapat dikenal pasti identiti sebenar mereka. Antaranya ialah akaun yang menggunakan nama ‘Joker Aruvan’ dan mempunyai pengikut sebanyak 70 ribu orang Sumber: https://theleaders-online.com/girl-found-dead-after-viral-tik-tok-video-by-acyberbully-joker-oruvan/


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) ✓ Kesan Mental Pornografi Risiko digital yang berbentuk konten seperti pornografi boleh menyebabkan golongan muda untuk terpedaya dengan gambaran palsu yang memberi kesan buruk terhadap kesihatan mental. Hal ini kerana pornografi hanya memberi paparan yang memenuhi kepuasan visual seks penonton semata-mata sedangkan realiti fitrah dan keperluan seks manusia amatlah berbeza dari paparan visual tersebut. Ini menyumbang kepada tanggapan berkaitan dengan kehidupan seks manusia yang tidak sihat dalam diri anak-anak, terutamanya, berkenaan dengan imej badan mereka sendiri. Selain daripada itu, menonton pornografi secara kerap mampu melemahkan daya ingatan seseorang pelajar sehingga sukar mengingati apa yang dipelajari di sekolah. Perkara ini disokong dengan hasil kajian kesihatan yang mendapati bahawa pornografi turut menyebabkan kerosakan saraf pada bahagian otak manusia sehingga mampu melemahkan fungsi kawalan badan dan menjejaskan daya ingatan seseorang (Reisman, 2008). Kesan lain pornografi termasuklah juga menyebabkan gangguan terhadap emosi remaja seperti hilangnya rasa malu, merendah diri dan hilang pertimbangan (Norman & Nooraini, 2019). Aktiviti 2: Risiko digital boleh memberi impak yang negatif terhadap diri anak secara fizikal mahupun mental. Bincangkan bersama anak anda dua kesan fizikal dan dua kesan mental yang paling banyak mereka hadapi dalam kegiatan digital yang diceburi. Kesan Fizikal: Kesan Mental: 1. 1. 2. 2.


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Sumber maklumat tambahan : 1.Rujukan video: Tajuk: How Digitalization affects your Physical Health and what to do about it Pautan: hhttps://www.youtube.com/watch?v=yr7WW0QlU9Y&t=242s Durasi: 13:03 min Tajuk: How Technology Can Hurt Our Health Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=GvRYxB5QzUc&t=97s Durasi: 3:34 min 2. Bahan bacaan tambahan: • Kesan Penggunaan Gajet Kepada Perkembangan Kognitif dan Sosial Kanak-Kanak Prasekolah https://spaj.ukm.my/jws/index.php/jws/article/download/195/154/ • Buli siber dan Implikasi Emosi Dalam Kalangan Murid Sekolah Menengah https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/JPB/article/download/5431/3026/ \


BAB 3: KESAN PADA MASYARAKAT DAN BUDAYA (MAKRO)


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) BAB 3: KESAN PADA MASYARAKAT DAN BUDAYA (MAKRO) Teknologi Digital telah mengubah pelbagai aspek kehidupan sosial seperti perniagaan, pendidikan, kerajaan, penjagaan kesihatan, dan juga cara kita berinteraksi dengan orang tersayang—ia telah menjadi salah satu pemacu utama evolusi sosial. Akibatnya, risiko penggunaan digital menjangkau kesan yang bersifat peribadi, bahkan meliputi struktur budaya, sosial dan politik masyarakat. Perubahan makro ini juga memberi kesan kepada anak-anak dan cara mereka memahami dunia sekeliling. Kerana itu ibu-bapa juga perlu cakna tentang kesan makro dan menyediakan anak-anak dengan pengetahuan, integriti dan prinsip sewajarnya. 3a. Kesan Terhadap Agama dan Budaya Terdapat pandangan dalam bidang sosiologi yang menyatakan bahawa perkembangan teknologi bergerak lebih pesat berbanding perkembangan budaya. Ini bermakna, dunia digital sentiasa berkembang maju tanpa diiringi perkembangan intipati nilai dan budaya yang seiring. Maka banyak pengguna digital yang mudah terjerumus dalam perbuatan maya yang melanggar prinsip-prinsip keagaaman dan moral kemasyarakatan kerana tiada panduan atas talian yang bersepadu untuk membimbing interaksi mereka. Situasi ini sesuai dipernamakan dengan anomi digital, dimana terdapat ketandusan panduan moral dalam suatu komuniti digital. Teknologi umumnya berfungsi untuk memenuhi kehendak manusia. Namun disebabkan manusia itu mempunyai kecenderungan yang pelbagai, penggunaan teknologi adakalanya digunakan oleh pihak tertentu untuk menyampaikan pelbagai ideologi dan fahaman yang mungkin bercanggah dengan fahaman setempat. Keadaan inilah yang membawa kepada situasi anomi digital, yang akan menyebabkan kecelaruan di kalangan pengguna digital mengenai persoalan nilai etika. Maka, akan timbul satu kencederungan moraliti yang melampau iaitu relativisme dimana individu tiada ketetapan pendirian dan toleran terhadap semua pandangan moral walaupun ia bertentangan dengan agama dan budaya sendiri. Keadaan yang sebegini bukan sahaja akan melemahkan pegangan agama dan falsafah moral anak-anak. Akibatnya, isu-isu kemasyarakatan yang berkaitan dengan nilai sejagat ini tidak akan jumpa jalan penyelesaian dan akan menghambat kemajuan sosial.


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Contoh Kes: Dalam masa yang sama, ibu bapa juga perlu mewaspadai risiko fundamentalisme melampau. Ia merujuk kepada sikap yang mengangkat keabsahan pegangan diri sehingga merendahkan pegangan orang walaupun tanpa mengira nilai sejagat yang ada di dalamnya. Bukan sahaja ibu bapa perlu memberi perhatian ke atas pegangan anakanak terhadap nilai budaya masyarakat, mereka juga perlu mengambil peduli akan manifestasi nilai kemanusiaan yang universal dalam diri anak-anak. Ancaman seperti radikalisme agama dan sentimen perkauman yang berlaku dalam talian hendaklah ditangani. Hal ini tersangat penting kerana masyarakat negara Malaysia kaya dalam kepelbagaian agama dan budaya. Tanpa panduan nilai kemanusiaan yang universal, konflik dan eksploitasi jahat antara dan sesama kaum akan tercetus. Kajian yang bertajuk Health And Security: An Analysis Of Vaccine Hesitancy In Malaysia menerangkan tentang fenomena keraguan atau keenganan terhadap vaksin (i.e. vaccine hestitation) dalam kalangan rakyat Malaysia. Keengganan boleh mendatangkan risiko penyakit berjangkit yang merbahaya dalam masyarakat. Sepanjang tahun 2013 sehingga 2017, sebanyak 6103 kes keengganan vaksin dicatatkan dan ini menyumbang kepada 27, 619 kes penyakit yang boleh di elakkan melalui vaksinasi, dan 266 telah berakhir dengan kematian. Kajian mendapati faktor utama yang mempengaruhi sikap keraguan vaksin ialah gerakan aktivis anti-vaksin yang giat menyebarkan maklumat palsu dan sentimen keagaaman untuk menimbulkan keraguan khalayak ramai mengenai vaksin. Refleksi terhadap dapatan kajian ini menunjukkan bahaya relitivisme nilai dalam wacana polemik yang digiatkan oleh aktivitis anti-vaksin melalui teknologi digital. Polemik sebegini yang boleh diselesaikan dengan prinsip kebenaran yang objektif membawa implikasi yang besar terhadap kesejahteraan masyarakat dan situasi anomi digital hanya akan menjadi penghalang jika tidak disantuni dengan bijak. Sumber: bin Alias, C. D. M. F. (2020). Health And Security: An Analysis Of Vaccine Hesitancy In Malaysia. The Journal of Defence and Security, 12(1), 1-I.


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Contoh Kes: 3b. Kesan terhadap Ideologi dan Persepsi Konsep ideologi mempunyai sisi yang positif dan negatif. Ideologi yang negatif, iaitu ideologi sempit merujuk kepada pemikiran berkepentingan kepada suatu kumpulan yang bercanggah dengan realiti sosial secara objektif. Manakala, ideologi positif, atau ideologi luas merujuk kepada pandangan alam suatu kumpulan yang menyeluruh, memperihalkan corak pemikiran mereka. Media digital berisiko untuk dijadikan sebagai sebagai wadah penyebaran ideologi sempit yang selalunya menjaga kepentingan pihak tertentu, dan dalam masa yang sama menindas orang lain. Ibu-bapa harus mewaspadai bahaya ideologi sempit yang bersifat propaganda ini. Menurut Azhar Ibrahim (2020) media yang propaganda hanya akan menyebarkan maklumat dengan tujuan menakutkan pengguna media untuk kepentingan mereka. Akibat dikaburi perasaan takut yang dipupuk pihak media sosial yang tertentu, orang awam tersebut akan berasa bahawa mereka tidak mempunyai pilihan dan solusi kepada isu sosial. Ini akan membawa kepada masalah ketidakpedulian sosial. Selain daripada itu, penyalahgunaan media disebabkan ideologi sempit juga boleh membawa kepada radikalisme, pandangan yang membenarkan kekerasan dan ketakutan sebagai alat untuk mengubah realiti politik suatu masyarakat. Pusat Komas, sebuah organisasi bukan kerajaan yang komited dalam menangani isu diskriminasi antara kaum telah mengeluarkan laporan yang mengkaji dan mengklasifikasi kejadian diskriminasi antara kaum yang berlaku di negara Malaysia. Menurut laporan tersebut 11% daripada kejadian diskriminasi berlaku dalam bentuk rasisme atas talian(melalui media dan internet). Dalam situasi ini, media dan internet menjadi alat dalam menyebarkan imej perkauman bersifat stereotipikal yang negatif. Contoh perbuatan rasisme atas talian boleh dilihat pada perbuatan pengguna media sosial bernama Borhan Che’ Rahim yang menggelar seorang pemain Badminton negara berbangsa India, Kisona Selvaduray sebagai ‘Keling’, sebuah gelaran negatif terhadap mereka yang berkulit gelap. Perbuatan ini dikecam keras Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berikrar untuk membanteras rasisme dalam arena sukan tersebut. Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2021/10/03/bersatu-man-quitsafter-racial-slur-against-kisona/


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Penyebaran ideologi sempit dalam konteks ini akan menambahkan rasa putus asa dalam diri orang ramai, terutamanya individu yang terpinggir dari sudut kedudukan sosial dalam lapisan masyarakat. Golongan yang terkesan ini akan menjadi lebih cenderung kepada ideaidea radikal yang terdedah kepada mereka, yang tersebar luas di internet. Aktiviti 3: Bagi memastikan anak-anak tidak mudah dipengaruhi ideologi atau persepsi yang sempit dan merbahaya, mereka perlu diterapkan dengan konsep kendiri serta konsep budaya, moral dan agama yang kuat. Adalah tanggungjawab ibu-bapa untuk mendidik anak-anak tentang pentingnya untuk berpegang teguh kepada budaya dan agama sendiri. Ambil satu contoh perkongsian di media sosial yang tidak anda senangi dan anda rasakan bercanggahan dengan prinsip budaya dan agama keluarga anda. Ajak anak anda memahami kenapa perkongsian itu tidak sesuai dengan prinsip keluarga anda. Sumber maklumat tambahan : 1.Rujukan video: Tajuk: Usah Nak Ajar Moral, Biar Internet Bebas Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=IGAL39BgBiI Durasi: 5:45 min Tajuk: How technology changes our sense of right and wrong Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=7YoLMG2qja4 Durasi: 7:28 min 2. Bahan bacaan tambahan: • Media Sosial dan Kecanduan Penggunaan Menurut Islam https://core.ac.uk/download/pdf/287744186.pdf


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) TERMA PENTING : ✓ Risiko digital ✓ Risiko Kandungan ✓ Risiko Kenalan ✓ Risiko Kelakuan ✓ Anomi Digital ✓ Ideologi Sempit ✓ Ideologi Luas Aktiviti 4 : Cuba untuk ingat kembali maklumat yang telah di kongsi di dalam Unit ini dengan menjawab soalan-soalan dibawah: 1. Apakah 3 kategori risiko digital yang boleh dihadapi anak-anak sewaktu berada di atas talian. 2. Bagaimanakah teknologi digital dapat mempengaruhi persepsi imej badan anakanak? 3. Apakah 3 impak buli siber? 4. Nyatakan 3 kesan buruk pornografi terhadap anak-anak 5. Berikan 1 contoh bagi penyalahgunaan teknologi digital dari sudut ideologi.


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Rujukan: 1. Impak Media Baharu Terhadap Sistem Nilai Masyarakat Melayu di Malaysia https://core.ac.uk/download/77967567.pdf 2. Impak Media Sosial Terhadap Keruntuhan Akhlak Dalam Kalangan Pelajar: Satu Tinjauan Awal 3. https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/45207/1/45207.pdf 4. Pengaruh Media Sosial Terhadap Penampilan Akhlak http://www.ijepc.com/PDF/IJEPC-2021-42-09-07.pdf 5. Bersosial Era Baharu: Kewajaran Trend Tanpa Sebar Aib https://myref.org.my/2022/07/30/bersosial-era-baharu-kewajaran-trend-tanpa-sebaraib/ 6. Kemelut Ketagihan Pornografi di Usia Kanak-Kanak https://myref.org.my/2022/03/21/kemelut-ketagihan-pornografi-di-usia-kanak-kanak/ 7. Impak Negatif Teknologi Moden Dalam Kehidupan Dan Perkembangan Kanak-Kanak Hingga Usia Remaja (Negative Impact of Modern Technology to the Children's Life and their Development)- https://www.researchgate.net/publication/324412912_Impak_Negatif_Teknologi_Mod en_Dalam_Kehidupan_Dan_Perkembangan_KanakKanak_Hingga_Usia_Remaja_Negative_Impact_of_Modern_Technology_to_the_Chil dren's_Life_and_their_Development 8. Media dalam Kehidupan dan Perkembangan Kanak-Kanak https://jpmm.um.edu.my/index.php/JPMM/article/download/9016/6365/18442 9. Impak Pengetahuan Dan Kesedaran Ibubapa Terhadap Gaya Hidup Digital Dalam Kalangan Remaja https://core.ac.uk/download/pdf/154353091.pdf 10. Media Sosial Beri lebih Kesan Negatif kepada nak perempuan berbanding anak lelaki https://my.theasianparent.com/kesan-media-sosial-kepada-kanak-kanak?utm_source=articletop&utm_medium=copy&utm_campaign=article-share


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) SKEMA JAWAPAN Aktiviti 1: 3 jenis risiko digital iaitu: 3KKandungan (content)- terdedah kepada imej seksual, lucah dan ganas; pengiklanan yang tidak sesuai dengan umur dan laman sesawang yang mempunyai aktiviti tidak sehat dan berbahaya seperti mencederakan diri sendiri Kenalan (contact)- berisiko berkenalan dengan orang dewasi yang tidak dikenali dan terlibat dalam tingkah laku yang tidak sehat dan berbahaya. Kelakuan (conduct)- berisiko seperti buli siber kepada rakan-rakan yang lain, menyiarkan atau mengedarkan imej seksual orang lain atau diri mereka sendiri. Aktiviti 2: Kesan Fizikal a) Obesiti b) Tidur tidak mencukupi Kesan Mental a) Siber buli b) Pornografi Aktiviti 3: Contoh perkongsian negatif di media sosial: Salah satu aktiviti di sosial media yang merbahaya dan bercanggahan dengan budaya masyarakat Malaysia ialah ‘internet challenge’ atau aktiviti cabaran internet di mana pengguna internet, terutamanya golongan muda dan kanak-kanak dicabar untuk menjalankan aktiviti yang pelik dan merbahaya demi mendapatkan perhatian dan menjadi viral. Antara contoh cabaran internet yang pernah viral dan akhirnya membunuh beberapa pengguna yang menjalankannya ialah ‘momo challenge’ ‘bendryl challenge’ ‘break your back challenge’ dan banyak lagi. Anda boleh menggunakan contoh aktiviti-aktiviti yang tidak bermanfaat dan merbahaya ini sebagai contoh aktiviti yang tidak sepatutnya anak-anak anda melibatkan diri. Aktiviti 4: 1. Apakah 3 kategori risiko digital yang boleh dihadapi anak-anak sewaktu berada di atas talian. a) Dari segi kandungan b) Dari segi kelakuan c) Dari aspek kenalan


BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) 2. Bagaimanakah teknologi digital dapat mempengaruhi persepsi imej badan anak- anak? - Boleh berlaku obesityikerana banyak masa digunakan untuk media elektronik dan kurangnya melakukan aktiviti fizikal. 3. Apakah 3 impak buli siber? a) Menjauhkan diri dari bersosial dengaan orang lain b) Kesan kepada jati diri (self-esteem) c) depresi and kemurungan 4. Nyatakan 3 kesan buruk pornografi terhadap anak-anak a) merosakkan saraf otak dan boleh menjejeaskan ingatan b) berkelakuan tidak sopan c) terjebak dengan hubungan seks 5. Berikan 1 contoh bagi penyalahgunaan teknologi digital dari sudut ideologi. - menghasut untuk memupuk rasa benci terhadap kerajaan, menyebarkan maklumat palsu yang boleh menggugat keselamatan negara, menghina agama, mengapi-apikan sentimen perkauman.


Unit seterusnya: Kawalan dan Keselamatan


Click to View FlipBook Version