MODUL Keibubapaan Digital (KID) UNIT 4: KAWALAN DAN KESELAMATAN
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Hak cipta terpelihara XXXX Edisi Pertama 2022 Hak cipta terpelihara XXXX. Tiada bahagian dalam dokumen ini boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau ditukar kedalam sebarang bentuk atau sebarang alat juga, sama ada dengan cara elektronik, gambar serta rakaman dan sebagainya tanpa kebenaran dari pihak XXXX. Diterbitkan oleh: XXXX XXXXXX Alamat XXXXX XXX XX XXXX X XXXX XXXXXX XXXXXXX Tel : 603-XXXX XXX Fax: 603-XXX XXXXX Laman Sesawang: http://www.XXX.XXX.XX
Unit 4: Kawalan dan Keselamatan Objektif Unit Memperkenalkan konsep kawalan dan keselamatan digital yang mampan Hasil Pembelajaran 1) Membezakan konsep kawalan dan keselamatan 2) Mengamalkan peraturan dan pemantauan yang realistik 3) Mengenalpasti isu undang-undang dan privasi yang berkaitan Isi Kandungan 1. MEMAHAMI KONSEP PENGGUNAAN YANG SELAMAT a. Kawalan dan keselamatan b. Amalan kawalan dan keselamatan yang sesuai 2. LANGKAH KESELAMATAN DAN KAWALAN a. Jejak Digital b. Tetapan Privasi c. Membuat Laporan 3. HAK INTELEKTUAL DAN UNDANG-UNDANG a. Hak Intelektual b. Kesan undang-undang c. Integriti dan imej kendiri Durasi 90-120 minit Peserta sasaran Peserta pertengahan iaitu ibu bapa yang gemar menggunakan teknologi digital tetapi tidak mempunyai pengetahuan teknikal formal dan memahami konsep keibubapaan digital yang luas. STRUKTUR UNIT 4
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) BAB 1: MEMAHAMI KONSEP PENGGUNAAN YANG SELAMAT BAB 2: LANGKAH KESELAMATAN DAN KAWALAN BAB 3: HAK INTELEKTUAL DAN HAK PRIVASI Kanak-kanak dan remaja selalunya tidak menganggap ibu bapa mereka sebagai sumber rujukan pertama jika mereka mengalami penyalahgunaan dalam talian. Mereka sering merasakan ibu bapa mereka tidak memahami dunia mereka. Namun bukti dari dunia perindustrian menunjukkan bahawa ibu bapa yang bermaklumat, yang melibatkan diri secara aktif dalam pengalaman Internet kanak-kanak adalah faktor pelindung yang paling kuat terhadap ancaman digital. Untuk memastikan pengalaman dalam talian yang lebih selamat, adalah penting untuk kita menyedari implikasi keselamatan dan kawalan penggunaan digital supaya menjadi lebih kendiri. Hal ini berpunca daripada kecanggihan teknologi digital itu sendiri yang boleh dipakai oleh semua individu. Ini bermakna, walaupun pengalaman digital kita bersifat peribadi, tetapi ia juga bersifat sosial dalam menghubungkan kita dengan semua orang. Dalam erti kata lain, penggunaan digital boleh memberi kesan bukan sahaja kepada penggunanya sendiri, tetapi juga pengguna yang lain. Perkara ini membawa kepada isu kawalan dan keselamatan digital yang akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam Unit ini. Unit kawalan dan keselamatan ini terbahagi kepada tiga Bab. PENGENALAN
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Hanis baru-baru ini berminat untuk membeli sejenis tudung berjenama dan pada satu masa, melayari internet untuk membuat carian berkenaan tudung tersebut untuk membuat perbandingan harga. Setelah membuat perbandingan, Hanis memutuskan untuk membeli sehelai tudung selendang yang dipaparkan dalam sebuah laman sesawang kedai berjenama. Pada keesokan harinya, sewaktu melayari internet untuk tujuan lain, Hanis mula perasan akan banyak kemunculan iklan tudung bawal jenama lain. Perkara ini menimbulkan rasa hairan dalam diri Hanis yang mengandaikan jika perbuatannya dalam privasi sendiri sebenarnya terdedah kepada pengguna internet yang lain. Sejauh manakah penggunaan digital peribadi bagi seseorang itu, selamat dan terkawal? Di sinilah pentingnya untuk ibu-bapa dan anak-anak dididik mengenai jejak digital dan kesan penggunaan media digital ke atas privasi serta keselamatan diri. Senario Ibubapa hari ini
BAB 1: MEMAHAMI KONSEP PENGGUNAAN YANG SELAMAT
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) BAB 1: MEMAHAMI KONSEP PENGGUNAAN YANG SELAMAT Bagi kebanyakan kanak-kanak hari ini, kehadiran Internet, telefon bimbit dan teknologi lain yang berterusan adalah satu kebiasasaan. Untuk mereka, perbezaan antara dunia dalam talian dan dunia luar semakin menjadi tidak bermakna, dan mereka bergerak dengan mudah antara kedua-duanya. Hasilnya, mereka tidak mampu membayangkan hidup tanpa rangkaian media sosial; permainan dalam talian serta berkongsi video dan gambar. Sesungguhnya kanak-kanak hari ini berada di barisan hadapan dalam arus perubahan teknologi. Kematangan mereka dalam era inovasi ini telah meluaskan jurang generasi antara mereka dan generasi sebelumnya seperti ibu bapa, guru-guru. Adalah mustahil untuk ibu-bapa menahan dan mengawal penggunaan teknologi anak-anak sepanjang masa. Bahkan ada masanya, pengetahuan anak-anak melangkaui pengetahuan digital ibu bapa. Oleh itu, untuk melindungi anak-anak ibu bapa seharusnya memahami konsep kawalan dan keselamatan yang mampan. 1a. Kawalan dan Keselamatan Kawalan dan keselamatan pada asasnya bermaksud bebas daripada bahaya, kecederaan atau risiko. Tetapi dalam konteks penggunaan teknologi digital yang berkaitan dengan komputer atau rangkaian komputer seperti internet, keselamatan dan kawalan digital membawa maksud yang berbeza. Pada asasnya, keselamatan siber adalah mengenai manusia dan kawalan siber berkait dengan infrastruktur. Lebih tepat lagi: ✓ Keselamatan Siber – bebas daripada risiko atau bahaya dalam talian, dicapai melalui amalan penggunaan yang selamat ✓ Kawalan Siber – perlindungan sistem maklumat daripada risiko dan ancaman melalui tetapan privasi dan aplikasi teknikal. Kanak-kanak juga boleh terperangkap dengan risiko teknikal seperti memuat turun virus, dan malware, menekan pautan yang berniat jahat, virus dan sebagainya. Pada masa yang sama penjenayah siber juga semakin bijak merapati anak-anak dengan menghasilkan sesawang yang memperdaya dan mengandungi maklumat jahat. Anakanak kecil dan remaja digoda dengan tawaran muzik percuma atau filem atau nada dering atau apa sahaja yang mungkin mereka sukai.
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Terdapat pelbagai jenis aplikasi dan perisian kawalan yang boleh dibeli di pasaran. Malahan ada juga yang percuma yang boleh digunapakai untuk melindungi komputer, peranti serta pelbagai alat digital daripada ancaman virus, penggodam dan pelbagai ancaman lain. Antara bentuk kawalan teknikal yang boleh diambil ialah: ✓ Menggunakan tetapan privasi yang ketat ✓ Menggunakan aplikasi kawalan ibu-bapa ✓ Menapis segala bentuk muat turun ✓ Meletakkan perisian antivirus ✓ Pastikan semua perisisan dan aplikasi sentiasa dikemaskini ✓ Amalkan penggunaan pengesahan katalaluan tambahan ✓ Gunakan geolokasi dengan berhati-hati ✓ Berjaga-jaga apabila memuat turun aplikasi baru Selain alat dan aktiviti teknikal yang boleh anda dan keluarga gunakan, amalan keselamatan adalah lebih berkesan jika ibubapa dapat menerapkan pengetahuan dan kesedaran yang sewajarnya pada anak-anak. Terdapat banyak aktiviti keselamatan yang boleh diamalkan oleh anak-anak (Rujuk Unit 2: Etika Penggunaan). Turut penting adalah keberadaan ibu-bapa dalam pengalaman digital anak-anak. Demi mengamalkan konsep keselamatan yang realistik dan mampan, ibu bapa seharusnya: ✓ Letakkan peraturan sewajarnya. Ibu-bapa masih perlu menjadi autoriti dan pembuat keputusan. Anak-anak masih perlu diajar untuk meletakkan arahan ibu-bapa sebagai peraturan utama ✓ Meluangkan masa Luangkan masa untuk bersama-sama dengan anak-anak agar dapat merasai serta mempelajari tentang aktiviti digital anak-anak. Ini termasuklah bermain permainan atas talian bersama mereka. Anak-anak pula akan lebih menghargai anda dan akan meletakkan kepercayaan yang tinggi. ✓ Tunjukkan minat Jangan terlalu kritikal dengan aktiviti atas talian anak-anak. Tunjukkan minat agar anda juga tahu apa yang mereka lakukan serta risiko keselamatan yang mungkin mereka hadapi
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) ✓ Lakukan kajian Dapatkan maklumat yang secukupnya mengenai apa sahaja aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak. Anda akan dapat melindungi anak-anak dengan lebih baik jika anda tahu dengan lebih mendalam tentang sesawang atau aplikasi yang terlibat ✓ Lebih teknikal Ramai ibu-bapa yang mengadu tidak memahami keperluan teknikal yang sering berubah dengan pantas. Namun ini tidak boleh dijadikan alasan. Ibu bapa perlu membekalkan diri dengan asas pengetahuan teknikal seperti penetapan privasi, perkongsian kandungan dan penggunaan antivirus agar tidak terlalu ketinggalan c. 1b. Amalan kawalan dan keselamatan yang sesuai Sebelum bertindak untuk melindungi dan mengawal penggunaan teknologi digital anakanak adalah penting untuk ibu bapa ketahui bahawa tidak ada satu cara yang sesuai buat semua jenis penggunaan. Malah, adalah satu kesilapan untuk berfikir bahawa semua kanak-kanak mempunyai persekitaran, pengetahuan dan penggunaan digital yang sama. Walaupun semua kanak-kanak berdepan dengan risiko digital, terdapat beberapa faktor yang boleh membezakan bagaimana mereka terkesan dengan risiko, ini termasuk: ✓ kerentanan: kanak-kanak yang berisiko tinggi di luar talian (contohnya: kemiskinan, mangsa dera, kecacatan mental) selalunya menghadapi risiko yang lebih tinggi apabila mereka berasa di atas talian ✓ faktor personaliti: mencari sensasi, harga diri yang rendah, kesukaran psikologi, mudah terpengaruh ✓ faktor sosial: kekurangan sokongan ibu bapa, norma rakan sebaya, persekitaran yang kompetitif ✓ faktor digital: amalan digital khusus, tabiat dan kemahiran ✓ faktor sokongan: kurang ilmu agama, moral dan spiritual Anak-anak yang lebih mudah mendekati risiko memerlukan tindakan kawalan dan keselamatan yang lebih ketat. Mereka juga perlu diberi perhatian yang lebih. Pada masa yang sama, faktor umur juga mempengaruhi bagaimana anak-anak memahami konsep keselamatan atas talian. Contohnya:
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) ✓ 2-4 tahun Anak -anak tidak mampu memahami risiko. Ibu-bapa perlu meletakkan tetapan kawalan yang tertinggi dan memantau secara langsung. ✓ 5-8 tahun Mula memahami konsep risiko penggunaan dan dapat merasa bahaya yang mungkin ada namun anak-anak ini belum cekap untuk mengambil sebarang tindakan. Ibu bapa masih perlu melatakkan tahap kawalan tertinggi dan memantau secara langsung. Pada masa yang sama ibu bapa perlu memaklumkan dan mengingatkan bahaya yang ada dengan selalu berbual dan menunjukkan contoh risiko ✓ 9-12 tahun Anak-anak ini sudah boleh menetapkan privasi dan menggunakan kawalan teknikal. Ibubapa perlu menunjukkan bagaimana mereka dapat melindungi penggunaan. Walaubagaimanapun anak-anak di tahap ini lebih mudah dipengaruhi kehendak dan mudah lupa akan peraturan yang telah ditetapkan. Oleh itu ibu-bapa masih perlu memantau dengan dekat ✓ 13-17 tahun Anak yang makin remaja sepatutnya sedar akan risiko dan ancaman atas talian. Mereka sudah mempunyai kemampuan untuk mengesan dan membezakan antara risiko dan peluang. Namun, mereka sering terikut dengan saranan kawan-kawan serta lebih fokus pada faedah jangka pendek apabila membuat keputusan. Maka untuk anak dalam kumpulan umur ini, ibu bapa perlu mengawasi lebih daripada mengawal. Bekalkan anak remaja dengan sifat kendiri yang kuat agar mereka bijak memilih. Pada tahap umur ini, sudah menjadi sukar untuk ibu-bapa meletakkan kawalan teknikal kerana mereka sememangnya sudah cekap untuk mengubah sendiri tetapan yang telah diletakkan.
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Aktiviti 1: Berikut adalah beberapa permainan atas talian serta media sosial yang popular dikalangan kanak kanak dan remaja. Adakah anda mengetahui tentangnya. Jika tidak, inilah masanya untuk anda mengkaji mengenai setiap satu daripadanya: Sumber maklumat tambahan : 1.Rujukan video: Tajuk: Etika Keselamatan Siber Pautan: https://youtu.be/Gh_Ac3gx2Pk Durasi: 1:40 min Tajuk: Cyber Security Pautan: https://youtu.be/8rzzbbPgkf8 Durasi: 4:03 min 2. Bahan bacaan tambahan: Keselamatan Siber anak https://hellodoktor.com/kesihatan-mental/hubungan-yang-sihat/keselamatansiber-kanak-kanak/ Bagaimana Melindungi anak-anak di alam siber https://tvstv.my/2022/07/17/cybersafe-parenting-bagaimana-melindungi-anakanak-di-alam-siber/
BAB 2: LANGKAH KESELAMATAN DAN KAWALAN
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) BAB 2: LANGKAH KESELAMATAN DAN KAWALAN Memaklumkan anak-anak tentang konsep jejak digital dan tetapan privasi merupakan dua langkah utama dalam mendidik anak-anak tentang keselamatan dan kawalan digital. Dengan fahaman mendalam tentang proses serta kesan penggunaan, anak-anak akan lebih mengerti dan akan mampu mengamalkan konsep keselamatan dan kawalan dengan sendiri. Pada masa yang sama, anak-anak juga perlu diajar untuk melaporkan sebarang salah laku yang mereka hadapi di atas talian. 2a. Jejak Digital Semua aktiviti atas talian akan meninggalkan jejak yang kekal selagi ianya tidak dipadam. Jejak digital atau bayangan digital merupakan satu istilah yang cukup umum dikalangan pengguna Internet. Sesiapa yang pernah menggunakan Internet, pasti memiliki Jejak Digital. Jejak Digital merupakan jejak data yang diperoleh ketika seseorang menggunakan Internet. Ia merupakan satu set unik aktiviti digital, tindakan, sumbangan dan komunikasi seseorang yang boleh dikesan di Internet atau peranti digital. Setiap kali anda memuatnaikkan sesuatu dalam talian, lakukan carian, atau menerima kuki (cookies) dari laman web, anda mewujudkan jejak maklumat digital anda. Secara tidak sengaja, anda boleh mendedahkan alamat Protokol Internet (IP) anda, pilihan, gambar, dan maklumat peribadi lain. Jejak digital boleh diklasifikasikan sebagai sama ada pasif atau aktif. Yang pertama terdiri daripada aktiviti penyemakan imbas web pengguna dan maklumat yang disimpan sebagai kuki. Kuki membantu laman web mengingati maklumat tentang lawatan anda, yang boleh memudahkan anda melawati laman itu lagi dan menjadikan laman lebih berguna kepada anda. Yang terakhir ini sering dikeluarkan secara sengaja oleh pengguna untuk berkongsi maklumat di laman web atau media sosial. Terdapat dua jenis Jejak Digital: ✓ Jejak Digital Aktif- (JDA): Pengguna yang menyedari tentang informasi atau data yang ditinggalkan di Internet. Contoh (JDA): Memuat naik gambar di media sosial, berinteraksi bersama pengguna yang lain melalui Direct Message ✓ Jejak Digital Pasif (JDP): Jejak Digital yang dikumpul oleh pengguna lain tanpa disedari oleh pemilik tersebut. Contoh(JDP): Mengunjungi suatu website yang mengumpul informasi pengunjung tanpa disedarinya.
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Jika jejak digital positif yang ditinggalkan, sesiapa yang mengaksesnya akan dapat manfaat darinya. Namun jika sebaliknya, jejak digital yang negatif tersebut akan menghantui anak-anak. Sebagai contoh, anak anda meninggalkan komen yang bersifat perkauman di portal umum. Selagi ianya tidak dipadam, sesiapa sahaja boleh membaca komen tersebut. Mungkin pada masa akan datang, jika terdapat individu ingin mengambil tindakan terhadap anak anda, mereka boleh menjadikan komen tersebut sebagai bukti dan mencari identiti anak anda dalam talian. Terdapat beberapa kes sebegini yang wajar dijadikan teladan. Contoh Kes: Justeru, sentiasa nasihatkan anak-anak agar menggunakan media digital untuk memberi manfaat kepada pengguna lain, berkongsi ilmu, atau membina personaliti yang membanggakan. 2b. Konsep Privasi Tidak semua anak-anak faham apa yang dimaksudkan dengan privasi dan bagaimana ianya boleh mempengaruhi kesejahteraan mereka dalam penggunaan media digital. Mungkin ada dalam kalangan anak-anak telah menggangu privasi orang lain ketika berada atas talian, tetapi tidak menyedarinya. Oleh itu, ajak anak-anak semak perkara berikut. Pada tahun 2020, seorang pempengaruh atau influencer bernama Nooraziera atau Eira telah menghina bentuk fizikal seorang wanita (body shaming) dengan menggelarnya ‘badan gemuk serupa babi’ sewaktu ‘live’ di Facebook. Disebabkan itu, Eira telah disaman dan diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar ganti rugi RM100,000 dan kos guaman RM30,000 kepada mangsa, Suharnizan Md Sidek, yang mengaku terkesan dan malu dengan kata-kata Eira tersebut. Video ‘live’ itulah yang dinamakan jejak digital dan ianya dikongsi serta tular di laman media sosial walaupun rakaman ‘live’ tersebut telah tamat. Perkara ini memberi kesan kepada banyak pihak dan menunjukkan bahawa jejak digital mempunyai pelbagai kesan buruk kepada pengguna. (https://www.hmetro.com.my/utama/2022/06/851423/eira-aziera-kena-bayarganti-rugi-rm100000).
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) ✓ Sebagai pengguna media digital, anak-anak tidak sepatutnya berhubung atau berkomunikasi dengan individu yang mereka tidak kenali atau merasa tidak selesa. ✓ Ajarkan kepada anak-anak bahawa tetapan yang betul boleh membantu mereka mengawal siapa yang boleh mengakses maklumat diri mereka. ✓ Beritahu kepada anak-anak, walaupun digital media adalah medan maya yang tidak terbatas, tidak semua maklumat peribadi seperti alamat, nombor telefon, kad pengengalan dan sebagainya harus dikongsi dalam talian. ✓ Anak-anak perlu tahu bahawa konsep privasi dapat melindungi diri dari sebarang ancaman penggunaan internet sama seperti penggunaan pelitup muka dari ancaman penyakit berjangkit. ✓ Hormati privasi pengguna atas talian yang lain dengan tidak menghantar mesej tidak sopan atau mengganggu mereka dengan maklumat yang tidak perlu. Ini kerana, kebanyakan pengguna merasa terganggu jika menerima maklumat sedemikian. ✓ Tidak mengadu domba akan aktiviti yang dilakukan oleh orang lain dalam talian bagi menjaga keharmonian hubungan. Tetapan privasi adalah cara yang baik untuk menghentikan kebanyakan kandungan yang tidak sesuai dan berbahaya masuk ke dalam rumah anda. Ia adalah alat untuk membantu anda menetapkan talian sempadan selaras dengan perkembangan anak anda. Terdapat banyak pakej tetapan privasi di luar sana, ada yang percuma dan ada yang berbayar. Pastikan anda mendapatkan yang sesuai dengan anda keperluan dan bajet keluarga. Selain itu, ibubapa juga boleh mengamalkan beberapa aktiviti yang dapat melindungi privasi anak anda. Di antaranya ialah: ✓ Mengemaskini perisian keselamatan akaun individu. ✓ Gunakan kata laluan yang kreatif (gabungan huruf, nombor, dan simbol) dan tidak mendedahkan kata laluan tersebut kepada orang lain. ✓ Penukaran kata laluan secara berkala juga penting bagi mengelakkan daripada privasi akaun individu digodam. ✓ Elakkan daripada meninggalkan komputer dan gajet tanpa sebarang pengawasan. ✓ Putuskan sambungan Internet atau WI-FI sekiranya tidak menggunakannya lagi (ketika berada di restoran atau hotel yang menyediakan WI-FI percuma kepada pelanggan).
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) 2c. Membuat laporan Anak-anak juga perlu diajar dan digalakkan untuk melaporkan kepada ibu-bapa tentang sebarang aktiviti yang mengganggu penggunaan digital mereka. Selain itu, ibu-bapa dan anak-anak juga harus tahu melaporkan sebarang salah laku kepada pihak yang berkenaan, seperti contoh: ✓ Laporkan dengan segera sekiranya menerima berulang kali e-mel atau pautan yang mencurigakan daripada orang yang tidak dikenali ✓ Laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang insiden jenayah siber (penipuan internet, penghinaan, etc). ✓ Sekiranya berlaku kehilangan aset ICT (komputer, komputer riba, etc) jangan panik dan segera melaporkan insiden kehilangan tersebut. Terdapat agensi dan badan berkuasa yang bertanggungjawab ke atas jenayah siber atau kesalahan etika di atas talian. Berikut adalah sebahagian daripadanya: 1. Polis Diraja Malaysia Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan badan berkuasa yang paling utama dalam membanteras segala bentuk jenayah siber. Proses digitalisasi negara yang dipupuk melalui perkembangan Koridor Raya Multimedia (MSC) tiga dekad yang lalu memperlihatkan peningkatan teknologi maklumat dalam pelbagai sektor rasmi secara pesat. Kemunculan risiko berbentuk digital yang boleh mengancam keselamatan negara telah menjadikan ruang siber sebahagian daripada bidang kuasa badan ini. Terdapat enam jenis kes kesalahan siber menurut PDRM: a. Kesalahan berkaitan dengan kandungan buatan pengguna b. Malware c. Penipuan Spoofing d. Skim cepat kaya e. Penipuan E-Dagang f. Pornografi/Judi atas talian
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) 2. Forum Kandungan Komunikasi Dan Multimedia Malaysia Ia merupakan sebuah badan bebas yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Badan ini bertanggungjawab dalam pengawal seliaan industri kandungan elektronik berangkaian (electronic networked content). Fungsi ini dicapai melalui implementasi Kod Kandungan, yang membolehkannya untuk mengenal pasti kandungan yang menyinggung perasaan dan tidak sesuai dengan konteks masyarakat Malaysia. Mana-mana kandungan elektronik berangkaian yang didapati melanggar Kod Kandungan ini boleh dilaporkan pada agensi ini untuk tindakan yang selanjutnya. 3. Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia Forum ini juga merupakan agensi berdaftar di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang bertanggungjawab dalam melindungi hak pengguna dalam sektor industri komunikasi dan multimedia. Badan ini menyelia dan membimbing pembekal perkhidmatan komunikasi dan multimedia melalui Kod Pengguna Am serta Kod Capaian internet. Mana-mana salah laku perkhidmatan yang menyanggahi piawaian dalam dua Kod ini boleh dilaporkan terus untuk tindakan selanjutnya kepada agensi ini. Aktiviti 2 : Berikut adalah beberapa senario keselamatan digital yang melibatkan ibu bapa dan anakanak. Berdasarkan pengetahuan anda, kongsikan cadangan untuk menyelesaikan masalah yang ada dalam senario dibawah. a. Baru-baru ini, teman lelaki Lily telah menyatakan hasratnya untuk saling bertukar kata laluan profil media sosial dengan alasan menggunakan akaun pasangan adalah kebiasaan dalam perhubungan moden zaman sekarang. Namun Lily tidak berasa selesa unutk berbuat sedemikian. Apakah langkah yang patut diambil olehnya? b. Encik Kiritharan mahu membuat akaun media sosial untuk anaknya yang berusia 13 tahun. Bagaimanakah beliau dapat menjamin keselamatan dan privasi akaun tersebut untuk anaknya? c. Siti baru sahaja mendapat tahu bahawa anaknya telah ditipu oleh sebuah organisasi yang menawarkan pekerjaan atas talian. Walaupun sudah dua bulan melakukan kerja tersebut, anak lelakinya tidak menerima apa-apa bayaran walaupun cubaan berhubung dengan organisasi tersebut sudah dibuat. Apakah yang patut Siti lakukan dalam situasi ini?
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Sumber maklumat tambahan : 1.Rujukan video: Tajuk: 5 Tips for Cybersecurity Safety brought to you by Mayim Bialik Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=ZOtQ21hXJ7k Durasi: 5:45 min 2. Bahan bacaan tambahan: Langkah mudah kesedaran keselamatan siber https://www.mkn.gov.my/web/wp-content/uploads/sites/3/2019/08/10-Langkah-MudahKKS_compressed.pdf
BAB 3: HAK INTELEKTUAL DAN UNDANGUNDANG
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) BAB 3: HAK INTELEKTUAL DAN HAK PRIVASI Terlalu mudah bagi anak-anak hari ini untuk berkomunikasi dan menghasilkan kandungan digital. Namun ramai yang kurang peka dengan konsep hak intelektual serta kesan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan internet dan teknologi digital. Jika tidak berhati-hati, anak-anak mungkin terlibat dengan aktiviti mencuri kandungan serta penipuan maklumat tanpa disedari. Oleh itu ibu-bapa juga perlu memahami konsep hak intelektual serta undang-undang berkaitan penggunaan internet agar dapat melindungi diri dari salah guna internet. 1. 3a. Hak Intelektual Harta intelek (IP) merujuk kepada pemilikan idea atau reka bentuk oleh orang yang menciptanya. Ia adalah istilah yang digunakan dalam undang-undang harta. Ia memberi seseorang hak eksklusif tertentu kepada jenis reka bentuk kreatif yang berbeza, bermakna tiada orang lain yang boleh menyalin atau menggunakan semula ciptaan tersebut tanpa kebenaran pemilik. Jika seseorang mengambil sesuatu yang anda miliki - seperti rantai leher atau sepasang kasut kegemaran anda - tanpa kebenaran anda, mereka telah melanggar hak anda. Dengan mencuri sesuatu yang bukan milik mereka, mereka telah melakukan jenayah curi. Peraturan yang sama ini dikenakan kepada orang yang memiliki harta intelek: sama seperti pemilik harta fizikal, mereka boleh memutuskan masa dan cara menggunakannya, sama ada membenarkan orang lain menggunakannya dan sama ada menjualnya. Pencipta – novel, puisi, buku teks, filem, rancangan TV, lukisan, arca, muzik, lirik, tapak web, rakaman bunyi, nama produk, logo syarikat dan sebagainya mempunyai hak harta intelek terhadap perkara tersebut. Orang lain memerlukan kebenaran mereka sebelum mereka boleh menggunakannya. Jenis umum hak harta intelek termasuklah: hak cipta, tanda dagangan, paten, hak reka bentuk perindustrian dan rahsia perdagangan. Dengan adanya isi kandungan yang amat mudah diambil dan dikongsi, ramai orang mengambil mudah konsep hak intelek. Namun demi keselamatan anak-anak ibu bapa harus mendidik mereka untuk tidak mengambil atau berkongsi kandungan secara sembarangan kerana jika tidak berhati-hati, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mereka.
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Pada masa yang sama, jika anak anda bijak menghasilkan kandungan asal antaranya muzik, video, aplikasi, novel dan sebagainya, anda juga boleh melindung hasil kerja mereka dengan mendaftarkannya di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Ini membolehkan anak anda mempunyai hak sepenuhnya ke atas produk yang dihasilkan. Ia juga dapat memastikan tidak ada salah guna ke atas produk tersebut. Jika ada pihak yang berminat untuk menggunakan atau berkongsi produk anak anda, mereka harus meminta kebenaran dahulu. 3b. Kesan undang-undang Segala salah guna hak intelektual terletak dibawah Akta Hakcipta 1987. Manakala terdapat beberapa perundangan dalam Malaysia yang digunakan untuk mengawal selia penggunaan media sosial yang telah digubal oleh Parlimen Malaysia seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563], Akta Hasutan 1948 [Akta 15], Akta Fitnah 1957 [Akta 286] serta Kanun Keseksaan [Akta 574]. Di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jenis-jenis kesalahan yang dikawal selia oleh Akta tersebut secara amnya diperuntukkan dalam Bab 2, Bahagian X Akta dari seksyen 231 hingga 244 yang meliputi pelbagai kesalahan. Antara kesalahan yang diperuntukkan di bawah Bab 2 tersebut adalah kesalahan penggunaan radas atau peranti tanpa kebenaran, penggunaan rangkaian untuk melakukan penipuan, penggunaan tidak wajar rangkaian seperti mengeluarkan kenyataan yang jelik atau lucah dan sebagainya sehinggalah kesalahan yang dilakukan oleh pertubuhan perbadanan. Menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia, semua tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah berteraskan prosedur undang-undang yang ditetapkan, di mana tindakan boleh diambil di bawah seksyen 233 Akta 588 terhadap individu yang menyalahgunakan internet atau perkhidmatan aplikasi sebagai platform bagi menyebarkan kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau yang jelik. Dilaporkan bahawa kes-kes jenayah siber semakin meningkat pada setiap tahun. Kesedaran tentang undang-undang terhadap jenayah siber masih tidak disedari dan tidak berleluasa. Faktor kurangnya ilmu kefahaman tentang undang-undang siber turut menyumbang kepada peningkatan statistik jenayah siber di Malaysia.
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) 1. 3b. Integriti dan Imej Kendiri Dalam mengorak langkah ke arah kemodenan negara, Malaysia harus akur akan peralihan zaman menuju ke arah kehidupan yang berunsurkan maklumat tanpa batasan dan sempadan. Mendukung prinsip integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing perlu disemat di dalam jiwa setiap individu agar sentiasa berintegriti bukan sahaja dalam menggalas tugas tetapi juga di dalam setiap perkara dalam kehidupan selari dengan era globalisasi yang membawa kepada banyak perubahan kepada negara. Dengan penggunaan media sosial yang kian popular pada masa kini, sikap integriti serta akauntabiliti adalah antara prinsip yang harus diterapkan dalam diri anak-anak dalam memastikan setiap perkara yang dimuatnaik ke dalam media sosial adalah benar. Mementingkan nilai integriti dapat mengelakkan daripada timbulnya perkara negatif seperti tidak menipu, menyeleweng, memfitnah, menghina, dan menyusahkan orang lain. Dalam meletakkan media sebagai salah satu saluran utama dalam penyampaian maklumat, nilai integriti haruslah dipupuk dengan memastikan maklumat yang dikongsi adalah tepat dan benar. Aktiviti 3: Berikut merupakan situasi yang mungkin anda atau anak anda boleh hadapi ketika melakukan suatu aktiviti digital. Bincang dan cadangkan solusi mengenai situasi tersebut berdasarkan prinsip integriti digital. Lakukan aktiviti ini bersama anak anda. a. Kamal telah mendapati dirinya tidak bersefahaman dengan salah seorang rakannya mengenai suatu topik sehingga tercetusnya pertengkaran sesama mereka. Oleh kerana tidak berpuas hati dan buntu akan jalan keluar daripada perbezaan pendapat ini, beliau mahu mengulas tentang masalah ini di akaun peribadi media sosialnya. b. Kim menonton sebuah video di platform media, Youtube mengenai personaliti berdasarkan petanda zodiak bintang. Pembuat video tersebut mendakwa bahawa intipati videonya adalah berasaskan ilmu psikologi walaupun dia sendiri tiada latar belakang pendidikan dalam bidang ini. Kim yang berasa bahawa video tersebut sangat berkaitan dengan dirinya mahu menyebarkan ia kepada orang lain c. Chandra baru-baru ini telah memuat naik sebuah gambar bersama rakan sekelasnya di akaun peribadi media sosial miliknya. Namun, Chandra tidak memberitahu tentang perkara ini kepada salah seorang rakannya yang berada dalam gambar tersebut sedangkan beliau tidak suka berkongsi maklumat peribadi secara terbuka.
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Sumber maklumat tambahan : 1.Rujukan Video: Tajuk: SPKS Undang undang Siber Malaysia Pautan: https://www.youtube.com/watch?v=93uJXDKZ4_w Durasi: 2:51 min 2. Bahan bacaan tambahan: • Tata-etika penggunaan Media Sosial http://jknperak.moh.gov.my/v4/images/pdf/WEB-Tata-Etika-Media-Sosial.pdf
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Apakah yang dimaksudkan dengan jejak digital? Apakah dua klasifikasi jejak digital? Apakah 3 langkah keselamatan dan kawalan digital bagi seseorang? Nyatakan 3 peruntukan undangundang negara yang berkaitan dengan penggunaan digital individu. Apakah 3 kepentingan integriti dalam urusan digital seseorang? Terma Penting: ✓ Jejak Digital ✓ Jejak Digital Aktif Pasif ✓ Kepekaan Sosial ✓ Integriti ✓ Imej Kendiri ✓ Hak Intelektual ✓ Tetapan Privasi Aktiviti 4: Cuba untuk ingat kembali maklumat yang telah di kongsi di dalam Unit ini dengan menjawab soalan-soalan dibawah:
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Rujukan: 1. Kanak-kanak dan Keselamatan Siber https://mypositiveparenting.org/ms/2019/07/08/kanak-kanak-dan-keselamatan-siber/ 2. Kearah Kesejahteraan Siber https://www.cybersafe.my/en/download/CyberSAFE%20Parenting_Booklet-BMonline.pdf 3. Keibubapaan Siber https://portal.emaik.my/images/Dokumen/Buku_Panduan_Keibubapaan_Sib er.pdf 4. Pentingnya Didikan Keselamatan Internet https://www.mcmc.gov.my/ms/media/pressclippings/pentingnya-didikan-keselamatan-internet 5. Bagaimana untuk mendidik kanak-kanak mengenai penggunaan Internet: 10 tips https://ms.yestherapyhelps.com/how-to-educate-children-on-the-use-of-the-internet-10- tips-14336 6. Cybersafe di Sekolah https://safeinternet.my/wpcontent/uploads/2021/02/CyberSAFE_Survey_Report_2014_BM.pdf 7. Privasi keamanan di Internet https://www.kemudi.xyz/kemudi/media/uploads/modul/[lores]%20modul%204%20EBook ModulKEMUDI.pdf 8. Buli Siber http://www.myhealth.gov.my/cyberbullying/ 9. Keselamatan Siber Kanak-kanak https://hellodoktor.com/kesihatan-mental/hubunganyang-sihat/keselamatan-siber-kanak-kanak/ 10. Gangguan buli siber kepada keselamatan kanak-kanak https://www.konsumerkini.net.my/v2/index.php/berita-terkini/hak-asasi-manusia/153- gangguan-buli-siber-kepada-keselamatan-kanak-kanak
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) SKEMA JAWAPAN Aktiviti 1: 1. Roblox 2. Snapchat 3. Twitter 4. Among us 5. TikTok 6. Minecraft 7. Instagram 8. Wechat Aktiviti 2: a. • Katakan TIDAK dengan hasraat menukar kata laluan media sosial kepada teman lelakinya. • Nyatakan ia merupakan sesuatu yang privasi dan teman lelakinya harus menghormati keputusannya untuk tidak berkongsi maklumat kata laluan b. • Setkan tetapan privasi untuk akaun media sosial anak beliau • Ajarkan kepada anak beliau bahawa tetapan yang betul boleh membantu mereka mengawal siapa yang boleh mengakses maklumat diri mereka. • Beritahu anak beliau, walaupun digital media adalah medan maya yang tidak terbatas, tidak semua maklumat peribadi seperti alamat, nombor telefon, kad pengengalan dan sebagainya harus dikongsi dalam talian. c. • Laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang insiden jenayah siber seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Aktiviti 3: a. Kamal harus mementingkan nilai integriti dapat mengelakkan daripada timbulnya perkara negatif seperti memfitnah dan menghina dengan melahirkan ketidapuasan hati terhadap rakannya di media sosial. Adalah lebih baik Kamal berbincang dengan rakannya tentang topik tersebut daripada menulisnyaa di media sosial. b. Kim tidak sepatutnya berbuat demikian kerana pembuat video itu sendiri bukan dari pakar dalam bidang psikologi. Malah menyebarkannya dan berkongsi boleh diambil tindakan undang-undang diatas kesalahan Harta intelek (IP) .
BUKU PANDUAN KEIBUBAPAAN DIGITAL (KID) Chandra tidak sepatutnya berbuat demikian kerana melanggar hak privasi rakan beliau. Seharusnya Chandra memaklumkan kepada rakannya dahulu bahawa dia ingin memuaat naik gambar mereka di media sosial. Jika rakannya tidak membenarkan, Chandra tidak harus melakukannya Aktiviti 4: 1. Apakah yang dimaksudkan dengan jejak digital? Jejak digital merupakan jejak data yang diperoleh ketika seseorang menggunakan Internet. Ia merupakan satu set unik aktiviti digital, tindakan, sumbangan dan komunikasi seseorang yang boleh dikesan di Internet atau peranti digital. Setiap kali anda memuatnaikkan sesuatu dalam talian, lakukan carian, atau menerima kuki (cookies) dari laman web, anda mewujudkan jejak maklumat digital anda 2. Apakah dua klasifikasi jejak digital? a) Jejak Digital Aktif- (JDA): Pengguna yang menyedari tentang informasi atau data yang ditinggalkan di Internet. Contoh (JDA): Memuat naik gambar di media sosial, berinteraksi bersama pengguna yang lain melalui Direct Message b) Jejak Digital Pasif (JDP): Jejak Digital yang dikumpul oleh pengguna lain tanpa disedari oleh pemilik tersebut. Contoh(JDP): Mengunjungi suatu website yang mengumpul informasi pengunjung tanpa disedarinya. 3. Apakah 3 langkah keselamatan dan kawalan digital bagi seseorang? a) Menggunakan tetapan privasi yang ketat b) Pastikan semua perisisan dan aplikasi sentiasa dikemaskini. Amalkan penggunaan pengesahan katalaluan tambahan c) Pastikan semua perisisan dan aplikasi sentiasa dikemaskini. Amalkan penggunaan pengesahan katalaluan tambahan 4. Nyatakan 3 peruntukan undang-undang negara yang berkaitan dengan penggunaan digital individu. a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], b) Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563] c) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] 5. Apakah 3 kepentingan integriti dalam urusan digital seseorang? a) mengelakkan mengambil hakcipta orang lain- IP b) tidak menipu dan memfitnah orang lain c) tidak mengaagnggu privasi orang lain
Unit seterusnya: Penggunaan Bijak Digital buat Keluarga