Cerita HELANG
DAN AYAM
Pada Zaman dahulu, Helang dan ayam bersahabat baik.
Mereka sering bersama-sama setiap hari. Walaupun
begitu, Ayam tidak boleh terbang seperti Helang.
Maka pada suatu hari, apabila Helang mengunjungi
Ayam seperti biasa, Ayam cuba mengorek rahasia
bagaimana Helang boleh terbang.
"Sahabatku, kita sama-sama punya sayap tapi kau
boleh terbang tetapi aku pula tidak. Bolehkah kau
mengajariku cara kau terbang??" soal Ayam berhati-hati.
Dia selalu mencemburui Helang yang sering terbang nun
jauh tinggi di udara.
Helang mengeluh. Dia serba salah untuk memberitahu
Ayam. "Kau boleh terbang juga sahabatku. Cuma kau tidak
berusaha." Dalih Helang.
Ayam pula mengeluh.Dia tahu Helang menyembunyikan
sesuatu dari pengetahuannya.
"Baiklah.. Mulai hari ini aku akan berusaha keras supaya
boleh terbang seperti kau," kata Ayam penuh semangat.
Dia tahu dia tiada pilihan lain selain mencuba sedaya-
upaya dengan harapan Helang akan mengasihaninya.
Helang hanya tersenyum.
Mulai hari itu, Ayam sering mencuba terbang walaupun
berkali-kali jatuh. Dia sengaja mencari tempat yang
tinggi-tinggi untuk mencuba terbang supaya Helang
kasihan melihatnya jatuh kesakitan setiap kali. Hari demi
hari Helang yang baik hati itu, akhirnya memberitahu
rahsianya boleh terbang kepada Ayam.
Ayam berasa sangat gembira dan tidak sabar untuk
terbang seperti Helang. Helang menyerahkan kepadanya
Jarum ajaib yang digunakan untuk menjahit kedua-dua
belah sayapnya yang menjadi punca untuk dia boleh
terbang itu.
"Jarum ini adalah harta warisan turun temurun
ku.Jadi janganlah kau menghilangkannya walau atas sebab
apa sekali pun kerana aku tidak akan pernah
memaafkanmu untuk itu,” Kata Helang tegas sebelum
terbang pergi.
Ayam bersorak gembira. Setelah siap menjahit kedua-
dua belah sayapnya itu nanti dia juga akan menjadi
seperti Helang. Tanpa membuang masa, Ayam menjahit
Sayap kanannya terlebih dahulu. Awan yang mulai mendung
tidak diperdulikan kerana dia begitu teruja untuk terbang
seperti Helang.
Semasa masih belum habis menjahit Sayap Kanannya,
hujan mula turun perlahan-lahan sebelum menjadi lebat.
Walaupun demikian, Ayam masih tidak berganjak dari
tempatnya dan teruskan kerja menjahit sayapnya. Dia
terus lupa amaran Helang agar tidak menghilangkan
Jarum ajaib warisan keluarganya itu.
Tidak lama kemudian, Ayam siap menjahit Sayap
Kanannya. Ketika ingin mula menjahit Sayap Kirinya pula,
guruh berdentum kuat bergema membuatnya terkejut
lantas melepaskan Jarum yang dipegangnya tadi ke
tanah. Disebabkan Hujan yang deras dan cuaca yang
mendung, Ayam tidak dapat mencari Jarum tersebut
sehinggalah ke hari ini.
Apabila Helang datang untuk meminta Jarumnya
keesokkan hari, Ayam memberitahu bahawa dia
terhilangkannya dan memohon maaf kepada Helang.
Namun Helang sangat marah kerana dia telah pun
memberi amaran kepada Ayam agar tidak menghilangkan
Jarumnya itu semalam dan memutuskan persahabatan
mereka.
"Mulai hari ini, kau dan aku bukan lagi Sahabat. Aku akan
memusuhi semua keturunanmu sehinggalah kau menemui
kembali Jarum ajaibku!!" teriak Helang marah sebelum
terbang pergi dengan dendam. Ayam pun berasa sangat
bersalah dan menyesal kerana ketamakkannya untuk
terbang sehingga melupakan amaran Helang agar tidak
menghilangkan jarumnya. Dia boleh sahaja menjahit
sayapnya itu hari ini, namun kerana terlalu gopoh untuk
terbang dia terus menjahitnya dalam keadaan cuaca
yang mendung dan hujan.
0leh sebab itu, sehinggalah keh hari ini Ayam selalu
disambar oleh Helang ketika berkeliaran mencari makanan.
Dan Ayam juga hanya boleh terbang rendah sahaja kerana
tidak sempat menjahit kedua-dua belah sayapnya. Selain
itu, sehingga ke hari ini Ayam sering menunduk mematuk-
matuk tanah untuk mencari Jarum Helang yang telah
hilang dengan harapan untuk menemuinya kembali.