MEROKOK?...
jangan mulakan!
Merokok?...
jangan mulakan!
Saya Ajib. Saya seorang pengawas sekolah. Saya
membantu guru disiplin untuk mengawal murid-murid.
Saya gembira menjalankan tanggungjawab
sebagai seorang pengawas. Kawan-kawan saya
juga memberikan kerjasama dalam menjaga disiplin
masing-masing.
Rakan baik saya Nasri juga seorang pengawas. Kami
mempunyai ramai kawan-kawan namun ada juga yang
tidak menyukai kami kerana sering melaporkan kepada
guru disiplin akan kesalahan mereka.
Salah seorang yang sering mendatangkan masalah
ialah Umar. Kami tidak membenci Umar tetapi oleh
kerana dia sering melanggar disiplin sekolah, kami sering
melaporkan perbuatannya kepada guru disiplin.
Saya dan Nasri sering disalah sangka oleh Umar dan
rakan-rakannya sebagai seorang yang gemar menarik
perhatian guru displin dengan sengaja melaporkan
perbuatan salah mereka. Kami sebenarnya sayang
kepada rakan-rakan kami dan mahu mereka sama-sama
menjaga disiplin sekolah.
Sebagai seorang pengawas, kami tidak akan melaporkan
sesuatu yang tidak betul. Jika rakan-rakan kami mematuhi
peraturan, kami akan berterima kasih kepada mereka
kerana sama-sama menjaga disiplin sekolah.
Pada suatu hari, kami didatangi oleh Musa dalam
keadaan yang cemas. Musa pada mulanya merasa
takut untuk memberitahu kami sesuatu yang dilihatnya
sendiri.
Setelah ditenangkan, Musa pun berkata, “Umar dan tiga
orang yang lain sedang ... marilah ikut saya ke belakang
tandas”.
Saya segera mengikuti Musa ke belakang tandas. Saya
merasa amat kecewa dan marah apabila melihat Umar
dan rakan-rakannya sedang menghisap rokok.
Melihat kedatangan kami, Umar dan rakan-rakannya
segera mencampak puntung rokok yang sedang mereka
hisap. Kami meminta Umar dan rakan-rakan mengikut
kami ke bilik guru disiplin.
“Kamu, Ajib dan Nasri memang selalu mencari kesalahan
kami kan?” kata Umar. “Kami bukan sengaja nak cari
kesalahan tetapi perbuatan menghisap rokok ini memang
suatu kesalahan yang besar Umar. Kami perlu melaporkan
kepada guru disiplin,” saya berkata.
“Umar dan kamu bertiga, mari kita ke bilik disiplin,” ujar
saya. Mereka pada mulanya berdegil namun setelah
saya memujuk mereka, mereka akhirnya mengikut saya
dan Nasri ke bilik cikgu Hamdan, guru disiplin kami.
Setibanya kami di bilik disiplin, cikgu Hamdan berkata,
“Umar, kesalahan apa pulak yang kamu dan rakan-rakan
kamu buat kali ini? Saya menjawab, “Mereka menghisap
rokok cikgu”. Cikgu Hamdan terkejut besar mendengar
kata-kata saya itu.
“Jangan memulakan suatu tabiat yang lama kelamaan
akan menyebabkan kamu ketagih dan merosakkan
tubuh badan kamu. Kamu mempunyai masa depan
yang masih jauh dan memulakan sesuatu tabiat seperti
ini akan merosakkan masa depan kamu”, nasihat cikgu
Hamdan kepada Umar dan rakan-rakannya.
“Saya minta maaf cikgu, juga kepada Ajib dan Nasri.
Saya hanya ingin mencuba namun saya sedar sekarang
ini bahawa jika saya mencuba sesuatu yang boleh
menyebabkan saya ketagih, ia akan menjejaskan
kesihatan saya. Saya tidak sepatut memulakannya,”
ujar Umar sambil berjanji tidak akan mengulangi lagi
perbuatan menghisap rokok.