Kisah
Anak
Tupai
Pada suatu pagi, seekor anak tupai sedang
mencari jalan pulang. Ia terlalu leka bermain. Ia
tidak menyedari telah berjalan jauh
meninggalkan keluarganya.
Walaupun telah lama berjalan, ia masih belum
menemui jalan pulang. Perutnya mulai terasa
lapar. Tupai kecil itu bercadang mengisi
perutnya terlebih dahulu sebelum mencari
keluarganya. Ia membayangkan betapa
sedapnya jika dapat makan pisang ketika itu.
Anak tupai melompat lincah dari satu pohon
ke pohon yang lain dan kadang kala ia turun ke
tanah menyelusuri semak belukar. Tupai itu
menemui buah nanas tetapi ia tidak dapat
mendekati buah bermahkota yang dikelilingi
daun berduri itu.
Anak tupai terus bergerak mencari makanan.
Ia naik ke atas pohon besar lalu hidungnya
terhidu bau harum. Tupai itu menemui buah
durian namun ia kecewa kerana tidak dapat
mengupas buah yang dipenuhi duri itu.
Tidak lama kemudian, anak tupai menemui
pula buah berwarna hijau. Anak tupai hanya
memandang buah besar itu. Ia ragu-ragu
untuk memakannya. Ia teringat ibunya pernah
berkata bahawa buah-buahan yang selamat
dimakan hanya yang berwarna kuning dan
merah.
Perut tupai semakin lapar, maka ia terus
berusaha mencari makanan. Kali ini, ia menemui
buah belimbing yang telah masak berwarna
kuning. “Pasti buah ini lazat,” fikirnya. Anak
tupai terus memakan buah tersebut. Namun ia
segera memuntahkan kembali kerana rasanya
sangat masam. Anak tupai melompat
meninggalkan pohon belimbing.
Anak tupai semakin pantas bergerak mencari
makanan. Ia baru sahaja menemui pohon limau
yang lebat buahnya tetapi batang pohonnya
berduri. Sang tupai mendapat satu akal. Ia
menggunakan kayu panjang untuk menjatuhkan
limau. Ia berhasil mendapatkan buah limau
tetapi hanya makan sedikit sahaja kerana rasa
buahnya yang masam-masam manis terasa
aneh di lidahnya.
Anak tupai yang tidak berputus asa itu terus
mencari makanan dan akhirnya berhasil. Ia
menemui pohon betik berdekatan dengan
pohon manga dan pohon jambu. Anak tupai
memakan buah betik dengan lahap sehingga
kenyang. Setelah perutnya terisi penuh, anak
tupai duduk santai untuk berehat.
Setelah tenaganya pulih, ia pun bergerak
untuk mencari jalan pulang. Dalam perjalanan,
ia melihat beberapa ekor kura-kura sedang
berkumpul di bawah pohon pisang. “Saya harus
menolong mereka,” kata tupai dalam hatinya.
Anak tupai memanjat pohon pisang dan
menjatuhkan banyak pisang untuk kura-kura.
Setelah itu, ia menyambung perjalanannya.
Setelah lama berjalan, ia menemui tempat
tinggalnya. Ayah dan ibunya menyambut
gembira kepulangan anak kesayangan mereka.
Mereka tidak menyangka tupai kecil boleh
pulang dengan selamat.