Wanita
yang
Berani
Pada suatu hari, seekor harimau
datang ke sawah. Pada ketika
itu, petani sedang membajak
dengan dua ekor lembu.
"Hai sahabat," kata harimau
kepada petani. "Aku
diperintahkan oleh Tuhan untuk
makan lembu-lembu kamu."
Petani terkejut melihat harimau.
Oleh sebab harimau hendak
makan lembu-lembunya sahaja,
dia tidaklah begitu takut.
"Kamu tersilap, Harimau," kata
petani. "Tuhan menghantar aku
supaya membajak sawah ini.
Bagaimanakah aku hendak
membajak jika tiada lembu?"
Harimau menegaskan bahawa
petani harus menyerahkan
kedua-dua ekor lembu itu
kepadanya.
"Lembu-lembu itu kurus," kata
petani. "Biarlah aku bawakan
kamu lembu susu yang lebih
gemuk."
Harimau bersetuju dengan
cadangan tersebut.
Petani pun pulang lalu
memberitahu isterinya tentang
harimau itu.
"Mengapakah kamu hendak
menyerahkan lembu susu?" kata
isterinya dengan marahnya.
"Bagaimanakah aku hendak
membajak sawah jika lembu-
lembu pembajak diberikan
kepada harimau itu," kata petani
pula.
Isteri petani berdiam diri. Dia
mencari-cari helah untuk
menangani masalah ini.
"Biarlah saya selesaikan
perkara ini," katanya.
Isteri petani memakai pakaian
suaminya. Dia menunggang
kuda ke sawah. Dia berpura-
pura berani.
"Aku bernasib baik hari ini,"
katanya dengan suara yang
kuat.
"Aku dapat harimau lagi.
Semalam aku sudah makan tiga
ekor harimau. Sungguh lazat
daging harimau."
Harimau yang sedang
menunggu petani itu terkejut
mendengar kata-kata tersebut.
Ia berfikir, "Aku tidak boleh
tunggu lagi. Tentu aku dalam
bahaya." Ia pun melarikan diri.
Isteri petani tertawa apabila
melihat harimau yang pengecut
itu.
Harimau yang melarikan diri ke
dalam hutan terserempak
dengan serigala.
"Hai, sahabatku! Mengapakah
kamu seperti dalam ketakutan?"
"Cepat lari," kata harimau.
"Nanti kamu akan dimakan oleh
raksasa. Raksasa itu
menunggang kuda dan
mengatakan bahawa dia sudah
makan tiga ekor harimau
semalam."
"Ha, ha, ha! Kamu terpedaya,"
kata serigala. "Itu isteri petani.
Marilah kita pergi makan lembu-
lembunya."
Harimau mencadangkan
supaya mengikat ekor mereka
bersama supaya tiada di antara
mereka yang akan melarikan
diri. Kemudian, mereka pergi ke
rumah petani.
Apabila melihat harimau
datang bersama serigala, isteri
petani berkata dengan suara
yang kuat, "Kamu sungguh baik,
Serigala. Kamu sentiasa
menepati janji. Terima kasih
kerana membawa harimau ini
kepada kami. Aku akan
memberikan tulang harimau
kepada kamu selepas aku makan
dagingnya."
Harimau terkejut mendengar
kata-kata tersebut lalu
melarikan diri dengan pantas.
Serigala yang ekornya terikat
bersama ekor harimau, turut
ditarik sekali. Serigala diseret
sehingga terhantuk pada batu
lalu mati.