Mat
Jenin
Pada suatu pagi Mat Jenin memanjat sepuluh
batang pokok kepala. Dia sudah memetik lebih
daripada lima puluh biji kelapa.
Semasa memanjat pokok yang kesebelas, Mat
Jenin sudah mula berangan-angan dengan
upah memetik kelapa itu nanti akan
dibelikannya dua puluh biji telur ayam kampung.
Setelah memetik lima biji kelapa kering
daripada pokok kelapa itu, Mat Jenin tiba-tiba
terasa letih dan dia ingin berehat di atas
pokok.
Mat Jenin bertenggek di atas pelepah nyiur
yang separuh kering. Dia pun memejamkan
kedua-dua belah matanya dan dia menyambung
semula angan-angannya.
Telur-telur ayam yang dibeli itu akan
dieramkan dan setelah membiak, ayam-ayam
itu akan dijual. Kemudian, wangnya akan
dibelikan beberapa ekor kambing dan setelah
membiak cukup besar, kambing itu juga akan
dijual. Wangnya akan dibelikan juga beberapa
ekor lembu.
Mat Jenin tersenyum gembira kerana lembu-
lembunya sudah membiak dan gemuk-gemuk
belaka. Jika dijual tentu wangnya dapat
dibelikan beberapa ekor kuda dan kuda itu
berguna untuk dijadikan tunggangan
menghalau lembu-lembu di kawasan padang
rumput.
Pada suatu hari, semasa Mat Jenin bersiar-
siar menunggang kuda putihnya, dia ternampak
puteri raja. Memang sudah lama Mat Jenin
berangan-angan hendak berjumpa dengan
tuan puteri. Mat Jenin sungguh gembira
kerana dia dapat membawa tuan puteri
menunggang kuda bersama.
Tuan Puteri gembira dan meminta Mat Jenin
memacu kuda lebih pantas. Mat Jenin terasa
badannya terhenjut-henjut dan barulah dia
merasa bagaimana sebenarnya orang
menunggang kuda.
Mat Jenin tidak sedar yang dia sedang
terhenjut-henjut di atas pelepah nyiur. Akibat
terlalu pantas, kuda Mat Jenin telah tersalah
lompat lalu ia terperosok ke dalam perigi buta.
Pada masa itulah, Mat Jenin membuka matanya
dan dia terkejut kerana dirinya sedang
melayang-layang di udara. Mat Jenin tidak
segera buntu fikiran dan dia cuba mengimbangi
badan dan duduk diam di atas pelepah nyiur
yang melayang itu. Akhirnya Mat Jenin berjaya
mendarat dengan kedua-dua belah kakinya
tercegat.
Jiran-jirannya terlopong menyaksikan
peristiwa itu dan Mat Jenin hanya tersenyum
serta bersyukur kepada Tuhan kerana telah
selamat.
“Usaha tetap jaya, tetapi angan-angan
membawa celaka,” kata jirannya setelah
mendengar cerita Mat Jenin.