Lebai Malang
Di sebuah desa, terdapat seorang lebai yang
diberi gelaran Lebai Malang. Beliau tinggal di
sebuah dusun.
Pada suatu hari, datang seorang lelaki ke
rumahnya untuk mengajaknya pergi menziarahi
jenazah. Kemudian, datang pula seorang
kanak-kanak menjemput Pak Lebai untuk
menghadiri kenduri berkhatam pengajian.
Kemudian, datang seorang lagi mempersilakan
Pak Lebai untuk datang ke rumahnya untuk
berbincang tentang kenduri sempena Maulidur
Rasul. Maka ketiga-tiga mereka itu pun
pulanglah ke rumah masing-masing setelah
mendapat persetujuan daripada Pak Lebai.
Pada petang itu, ketiga-tiga orang tetamu
yang mengajak Pak Lebai sebentar tadi
menunggu ketibaan Pak Lebai. Namun begitu,
Pak Lebai tidak juga datang dan mereka
terpaksa menjalankan urusan majlis mereka.
Pada masa yang sama, setelah selesai solat
Zohor, Pak Lebai pun duduk memikirkan
jemputan yang diterimanya pagi tadi. Dia
berfikir majlis manakah yang sepatutnya dia
pergi pada petang itu. Jika dia pergi menziarahi
jenazah, dia akan menerima sedekah kain putih
dan segulung tikar. Kedua, jika dia pergi ke
majlis khatam pengajian dan kenduri Maulidur
Rasul, dia akan menikmati jamuan makan dan
dapat membawa pulang bekalan makanan.
Akhirnya, Pak Lebai membuat keputusan untuk
menziarahi jenazah terlebih dahulu.
Ketika dalam perjalanan, Pak Lebai terjumpa
dengan penduduk kampung yang menghadiri
pengebumian jenazah itu. Mereka bertanyakan
sebab Pak Lebai tidak hadir semasa upacara
pengebumian. Pak Lebai hanya menjawab,
"Sudahlah, apa boleh buat? Tiada hendak
menjadi rezeki saya".
Kemudian, Pak Lebai pun pergi ke majlis khatam
pengajian. Setibanya Pak Lebai di sana, semua
tetamu sudah hendak pulang. Mereka
bertanyakan sebab Pak Lebai tidak hadir
semasa majlis berkhatam sebentar tadi. Pak
Lebai hanya menunduk dan menjawab, "Tiada
mengapa, asalkan sudah selamat, sudahlah".
Kemudian, Pak Lebai pun berjalan ke majlis
kenduri Maulidur Rasul. Setibanya Pak Lebai di
sana, semua tetamu juga sudah hendak pulang
ke rumah. Mereka bertanyakan kepada Pak
Lebai sebab dia tidak hadir ke kenduri tengah
ari tadi. Pak Lebai bernasib baik kerana tuan
rumah kenduri telah menyimpan sebungkus
lempeng untuk Pak Lebai. Pak Lebai pun
mengambil bungkusan itu lalu pulang ke rumah.
Ketika dalam perjalanan pulang, tiba-tiba Pak
Lebai teringat akan bungkusan air nira yang
diikatnya di atas pohon kabung. Pak Lebai terus
menuju ke pokok kabung itu. Pak Lebai terus
memanjat pokok kabung dan mengikat
bungkusan lempeng pada dahan pokok. Tanpa
disedari Pak Lebai, seekor anjing telah
menggonggong bungkusan lempengnya. Pak
Lebai pun terus membaling bungkusan air nira
ke arah anjing tetapi gagal. Pak Lebai pun
turun dari pokok kabung lalu mengejar anjing
itu.
Semasa mengejar anjing itu, hari sudah
beransur malam. Pak Lebai ternampak anjing
itu sedang bersembunyi di dalam sebuah lubang
kayu. Pak Lebai terus membuka pakaiannya lalu
disumbat ke dalam lubang tersebut. Tanpa
disedarinya, anjing itu telah melarikan diri
melalui lubang kayu kedua. Pak Lebai hanya
mampu melihat anjing tersebut melarikan diri
bersama-sama dengan bungkusan
lempengnya.
Pak Lebai terus menjejaki angjing itu tetapi
gagal. Apabila Pak Lebai pulang ke tempat
lubang kayu tadi untuk mengambil pakaiannya,
Pak Lebai sangat terkejut apabila pakaiannya
telah hilang. Pak Lebai pun pergi ke pokok
kabung untuk mengambil bungkusan air niranya
tetapi dia mendapati bungkusan air nira itu
telah pecah. Pak Lebai berasa sangat menyesal
dengan perbuatannya yang cuai. Pak Lebai pun
pulang ke rumah dengan keadaannya yang
tanpa berpakaian itu.