The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by nilamskdls, 2022-06-19 09:27:23

Si Kedekut dengan Jin

Si Kedekut dengan Jin

Si Kedekut

dengan Jin

(Legenda dari INDIA)

Pada suatu masa dahulu, seorang tuan
tanah yang hartawan tinggal di sebuah
perkampungan di selatan India. Tanahnya
terbentang beratus-ratus ekar dan dia
perlu menunggang seekor keldai selama dua
hari untuk melihat semua tanahnya.
Walaupun kaya, dia sangat berjimat-
cermat. Keluarganya Cuma mendapat
keperluan asas; sebuah rumah batu dan
tiga kali makan setiap hari. Namun,
isterinya tidak pernah mengeluh dan
membuat kerja-kerja rumah dengan senang
hati.

Orang kaya ini amat kerja terhadap
pekerjanya. Walaupun mereka bekerja kuat
mengusahakan tanahnya, upah yang

mereka terima sangat sedikit. Dia pula
merungut bahawa mereka tidak bekerja
dengan bersungguh-sungguh. Apabila
isterinya ingin membawa makanan yang
telah dimasak untuk pekerjanya, dia
berkata, “Jika mereka berhenti untuk
makan, masaku akan terbuang.”

Seorang demi seorang pekerjanya
berhenti. Lama-kelamaan tidak ada seorang
pun yang mahu bekerja untuknya.
Tanamannya layu dan akhirnya mati
kerana tiada orang menuainya. Tanahnya
tidak lagi mengeluarkan hasil. Terusan
menjadi kering. Walaupun dia ke pekan
untuk mencari pekerja, dia tidak dapat
mengupah sesiapapun.

“Si kedekut datang,” orang-orang pekan
berbisik sesama sendiri.

“Engkau bekerja separuh mati tapi
upahnya sedikit sahaja.”

Dia bersungut kepada isterinya, tetapi
isterinya cuma tersenyum. “Tawarkan upah
yang mencukupi dan mereka akan datang
bekerja.”

Tuan tanah tidak mahu mendengar
nasihat isterinya. “Hanya orang yang
dungu akan berbuat demikian,” dia
memarahi isterinya.

Pada suatu hari, seorang yogi singgah di

rumahnya. Tuan tanah itu memberitahu

yogi itu, “Saya akan menjamu kamu, tetapi

tidak lama lagi tiada apa yang dapat saya

berikan.” Yogi itu bertanya akan sebabnya

dan tuan tanah yang telah berputus asa
itupun menceritakan masalahnya.

Selepas makan, yogi itu memberikan

senyuman yang aneh dan berkata, “Saya
mungkin dapat membantu. Jika kamu
berulang-ulang menyebut dikir tertentu
siang dan malam selama tiga bulan, pada
hari pertama bulan yang keempat, seekor
jin akan muncul. Jin itu akan menurut
segala kehendak kamu.”

Tuan tanah itu berasa sangat gembira.

Dia merayu kepada yogi itu agar

mengajarnya kalimah sakti itu. Pada hari

yang berikutnya, dia mula membaca dikir
itu sebaik sahaja bangun dari tidur.

“Jangan harapkan keuntungan daripada
sesuatu yang percuma. Janganlah menyeru
jin itu,” nasihat isterinya. Akan tetapi, dia
tidak mengendahkannya.

Pada hari pertama bulan yang keempat,
tuan tanah itu terjaga daripada tidur
pada awal pagi. Dia duduk di atas katilnya
dan menguap. Dia baru hendak bangun
apabila angin yang kuat meniup rumahnya
hingga bergegar. Tiba-tiba langit menjadi
gelap. Tuan tanah itu berlari ke tingkap.
Satu lembaga yang besar di hadapan
rumahnya menghalang sinaran matahari.

Lembaga itu ialah jin yang diserunya.
Dia berdiri tegak. Kulitnya gelap dan
badannya berbulu. Tanduknya berkilauan di
bawah sinar matahari. Matanya bak piring,
merenung tuan tanah itu. Apabila jin itu
membuka mulutnya, tuan tanah itu
memejamkan mata kerana ketakutan. Oh!
Apa yang telah dia lakukan?

“Dikir engkau telah mengganggu
tidurku,” suara jin itu bergemuruh.

Tuan tanah itu menggigil.

“Apa yang engkau mahu?” tanya jin itu.

“Aku ada banyak kerja yang harus
diselesaikan,” jawab tuan tanah itu dengan
suara yang terketar-ketar. “tetapi, er...

aku... tidak bayar... maksudku, jangan
harapkan upah...”

Jin itu ketawa. Tuan tanah yang
kedekut itu dapat merasakan tanah
bergegar. “Apa gunanya duit pada aku?
Tetapi, aku ada satu syarat.”

Tuan tanah itu menganggukkan
kepalanya. “Apa-apa sahaja, apa-apa
sahaja, asalkan bukan duit.”

“Engkau kata engkau ada banyak kerja
yang harus diselesaikan,” kata jin itu. “Aku
akan melakukannya untuk engkau. Tetapi,
engkau mesti memastikan aku sibuk
sepanjang masa. Jika tidak bekerja...”
matanya mengamati tuan tanah itu, “aku

akan lapar. Jika aku lapar, aku akan makan
engkau. Aku gemar makan tuan tanah yang
gemuk.”

Tuan tanah itu meilhat tanahnya yang
gersang dan tidak ditanam apa-apa, serta
tangki air yang kosong. Sudah tentu kerja-
kerja itu akan membuat jin itu sibuk
selama-lamanya.

Kini aku ada hamba yang sanggup
bekerja untukku seumur hidup, fikirnya

sendirian.

“Baiklah,” katanya. “Aku bersetuju
dengan syarat engkau. Jika engkau dapat
memulakan kerja sekarang, lebih baik.
Lihatlah sekelilingmu. Tanahku tidak

diusahakan. Pekerjaku menggunakan cangkul
tetapi, memandangkan saiz engkau yang
besar, aku tiada cangkul yangs esuai untuk
engkau. Jadi, er... engkau terpaksa
menggali dengan kuku. Selepas memabajak
tanah, engkau harus menyenai biji jagung
mengikut batas-batas. Lakukan perkara
yang serupa dengan benih padi. Aku telah
menganggarkan masa yang engkau
perlukan. Dua puluh orang pekerjaku
memerlukan masa tiga bulan untuk
menyelesaikannya. Oleh sebab engkau
mengusahakannya berseorangan, engkau
mempunyai masa empat bulan sahaja dan
tidak lebih daripada itu kerana aku ingin
mengejar musim hujan. Jadi, aku cadangkan

engkau terus mula bekerja. Lebih cepat
engkau mula, lebih cepat kerja-kerja itu
selesai. Aku masih ada banyak kerja lagi.”

“Baiklah,” jawab jin itu dan dia terus
mula bekerja.

Tuan tanah itu masuk ke dalam rumah.
Dia menghabiskan sepanjang hari
memikirkan kerja-kerja seterusnya untuk
jin itu. Kemudian, dia makan malam dengan
berselera sekali. Selepas makan malam, dia
berjalan di beranda rumahnya dan baru
hendak duduk di kerusi apabila jin itu
muncul.

“Mengapa? Sudah letih?” tanya tuan
tanah itu.

“Aku telah selesaikan semua tugas yang
engkau arahkan itu,” jawab jin itu.

Tuan tanah itu terlalu terkeut dan tidak
terkata apa-apa. Dia hanya mampu
menganggukkan kepalanya. Kemudian, dia
menyuruh jin itu mengangkut air dari
sebatang sungai yang beribu batu jauhnya
untuk mengairi tanamannya. Jin itu
menyelesaikannya dalam masa dua hari.

“Jika hal ini berterusan, tiada lagi kerja
untuknya,” kata tuan tanah itu kepada
isterinya. “Tentu aku akan dimakannya.”

“Jangan risau,” jawab isterinya.
“Biarkan dia buat apa sahaja kerja yang
ada. Jika kerja-kerja abang telah

diselesaikan, saya akan memberikan kerja-
kerja saya pula.”

Tuan tanah yang kedekut itu
menundukkan kepalanya kerana berasa
malu.

Selama ini dia tidak pernah bersungut
walau sepatah pun kepadaku, fikirnya. Aku
tidak pernah menghargainya sehinggalah
dah terlambat,

“Bina sebuah rumah yang lebih besar
untukku,” dia mengarahkan jin itu.
“Kemudian penuhkan tangki air dan bina
terusan yang menghala ke sini supaya
isteriku tidak perlu berjalan ke sungai
untuk mengambil air.”

Keesokannya, apabila isteri tuan tanah
itu bangun dari tidur dan melihat ke luar
tingkap, dia terkejut melihat sebuah rumah
yang serupa dengan rumah mereka, tetapi
dua kali ganda besarnya, di atas sebidang
tanah yang kosong.

“Bangun,” dia mengejutkan suaminya.
“Nampaknya dalam satu malam sahaja kita
sudah ada jiran.”

Tuan tanah itu bergegas bangun dari
katil dan berlari ke tingkap.

“Tidak! Sekarang, sudah tentu dia akan
makan aku.” Dia berlutut di lantai dan
menutup kepala dengan tangannya. “Oh!
Malangnya nasibku! Kenapa aku tak

mendengar nasihat engkau?” dia merintih
kepada isterinya.

Isterinya menggelengkan kepala dan
melangkah ke arah suaminya lalu
menariknya supaya berdiri.

“Suamiku, berlutut di sini tidak akan
dapat menyelesaikan masalahmu,” katanya.
“Berikan kerja yang lain kepada jin itu.”

Semasa dia bercakap, suara jin yang
bergemuruh itu menyebabkan bumbung
rumah mereka bergegar. Tuan tanah itu
menggigil ketakutan.

“Aku lapar.... sangat lapar,” katanya.
“Apa lagi kerja untukku?”

Tuan tanah itu menggigil dan berlari
mencari tempat untuk bersembunyi.
Isterinya duduk di atas katil sambil
memperhatikan gelagat suaminya yang
berlari ke sana dan ke sini. Setelah
suaminya letih, dia berkata, “Jin ialah
sejenis makhluk yang tiada sifat sabar. Jika
abang tidak keluar sekarang, mungkin dia
akan makan seluruh rumah ini bersama
abang. Keluar dan beritahu dia, saya ada
kerja untuknya.”

Tuan tanah itu berjalan keluar dengan
berhati-hati. Jin itu merenungnya.

“Aku tiada kerja lagi untuk engkau...,”
katanya. Jin itu menyeringaikan giginya.

“... tapi...,” tambah tuan tanah itu, “tapi
isteriku ada kerja untuk engkau lakukan.
Selepas itu, engkau boleh makan aku.”

Dia berpaling dan berjalan ke ladangnya.

“Masih hidupkah aku esok pagi?” dia
bertanya sendirian. “Jika aku terpaksa
mengusahakan tanahku dengan tanganku
sendiri pun, akan aku lakukan. Namun, sifat
tamakku telah memakan diriku sendiri.”

Sementara itu, jin itu mengasah kukunya
sebagai persediaan untuk makan tuan
tanah itu. Dia tidak sabar menunggu isteri
tuan tanah itu keluar rumah.

“Aku ada satu kerja yang mudah,”
katanya apabila dia keluar. Dia mencabut

sehelai rambutnya yang panjang dan
kerinting.

“Jumpa aku setelah engkau luruskan
rambut ini.”

Jin itu mengambil rambut itu. Dia
membeleknya dan ketawa dengan kuat.
Isteri tuan tanah itu tersenyum sedikit.

“Aku akan menunggu di sini,” katanya.

Jin itu duduk di bawah sebatang pokok
yang besar. Pada mulanya, dia cuba
menarik rambut itu dan duduk di atasnya
tetapi tidak berjaya. Kemudian, dia
menghabiskan waktu tengah hari dengan
menyelitkan rambut itu di antara pahanya.

Tetapi, sebaik sahaja dia menariknya
keluar, rambut tadi masih kerinting.

Kemudian, dia teringat yang tukang
emas membakar seutas dawai untuk
meluruskannya. Dia menghidupkan api dan
dengan perlahan-lahan meletakkan rambut
tadi di atas api. Rambut itu bergulung-
gulung, kering dan hilang dalam satu
kepulan asap.

Jin itu tidak tahu apa yang harus
dilakukannya. Dia tidak sanggup berdepan
dengan isteri tuan tanah itu. Apalah
anggapan isteri tuan tanah itu; seekor jin
yang gagah tidak mampu meluruskan
sehelai rambut. Dia pun bangun dan berlari

sejauh yang boleh dari situ untuk
memastikan isteri tuan tanah itu tidak
akan dapat mencarinya.

Tuan tanah itu terus menunggu jin itu.
Apabila senja tiba dan jin itu tidak muncul,
dia pun pulang ke rumah. Isteri tuan tanah
itu menyambutnya di depan pintu dengan
berita yang menggembirakan itu. Dia
sungguh gembira dan berjanji bahawa
mulai hari itu dia akan mendengar nasihat
isterinya.

Sejak hari itu, tuan tanah yang kedekut
itu berubah. Pekerjanya dibayar upah yang
lumayan. Dia turut menderma untuk
membina kuil di kampungnya.

Dia tidak pernah menjejakkan kaki ke dalam
rumah yang dibina oleh kom itu. Rumah itu
masih ada sebagai kenangan masa silamnya.

Hingga ke hari ini, orang-orang tu masih
bercerita kepada anak cucu masing-masing
tentang seekor jin yang membina rumah
untuk seorang tuan tanah yang kedekut.


Click to View FlipBook Version