The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by nilamskdls, 2022-06-02 08:35:46

Bujang Terboyoi

Bujang Terboyoi

Bujang Terboyoi

Ada sepasang suami isteri yang bekerja di
istana. Si isteri baru sahaja melahirkan
seorang anak lelaki. Mereka menamakannya
Bujang Terboyoi.

Malangnya, ahli nujum menilik bayi itu boleh
mendatangkan bencana. Sultan menitahkan dia
dibuang ke dalam hutan.

Si ibu amat sedih. Dia membawa anaknya
merentas hutan. Mereka mendaki tujuh
gunung. Bujang Terboyoi berlagu memujuk
ibunya.

“Tinggalkanlah saya di sini, mak. Tuhan ada
bersama-sama saya. Pergilah emak pulang.
Doakanlah saya. Maafkanlah saya,” katanya.

Si ibu amat terharu tetapi apalah dayanya.
Anak kecilnya itu terpaksa ditinggalkan.

Bujang Terboyoi membesar di dalam hutan. Dia
menjadi pemuda yang gagah dan tampan.

Pada suatu malam, Bujang Terboyoi bermimpi
bahawa kedua-dua ibu bapanya amat
merindukannya.

Pada pagi esoknya, Bujang Terboyoi keluar
menuju ke istana. Dalam perjalanan, dia
berjumpa bermacam-macam binatang. Singa,
harimau, gajah dan ular menghalang
perjalanannya.

Namun, semuanya kasihan akan Bujang
Terboyoi. Bujang Terboyoi hidup sendiri. Bujang
Terboyoi hendak mencari ibu bapanya.

Singa mengajarnya menjadi tangkas. Harimau
mengajarnya ilmu melawan musuh. Gajah
mengajarnya ilmu untuk menjadi kuat. Ular pula
menghadiahkannya sebentuk cincin sakti.

Tidak lama kemudian, Bujang Terboyoi sampai di
istana. Semua yang melihatnya hairan. Mereka
tertanya-tanya siapakah pemuda kacak itu?
Putera dari manakah gerangannya?

Bujang Terboyoi memohon menghadap Sultan.
Sultan memperkenankan permohonannya .
Baginda bertanya akan hajat Bujang Terboyoi.

“Patik ingin menjaga kedua-dua orang tua ini,
tuanku. Patik kasihan melihat mereka,” kata
Bujang Terboyoi. Dia menunjuk ke arah
sepasang suami isteri, pekerja istana.

“Silakanlah, beta tiada halangan,” titah sultan.

Bujang Terboyoi membawa mereka ke air
terjun. Dia memandikan dan memakaikan
mereka pakaian yang indah-indah. Dia memberi
mereka makan makanan yang lazat-lazat.

Kemudian, bujang Terboyoi menggosok-gosok
cincin saktinya. Tiba-tiba, terdiri sebuah

istana yang amat cantik. Kedua-dua orang tua
itu amat terperanjat. Dengan segera Bujang
Terboyoi melutut di kaki mereka.

“Sayalah anak ayah dan ibu. Sayalah Bujang
Terboyoi. Ampunkanlah saya ibu dan ayah,” kata
Bujang Terboyoi dengan terharu.

Kedua-dua ibu bapanya amat gembira. Mereka
menangis kegembiraan.

Sultan menjodohkan Bujang Terboyoi dengan
puterinya. Apabila sultan mangkat, Bujang
Terboyoi di tabalkan menjadi raja.


Click to View FlipBook Version