Kisah
Anak
Beruang
Seekor anak beruang tinggal di hutan bersama
ibu bapanya. Keluarga beruang tinggal di dalam
hutan yang banyak pohon merimbun.
Setiap hari, ibu dan bapanya akan keluar
mencari makanan. Tetapi, anak beruang hanya
tahu bermain-main. Ia tidak berusaha mencari
makanan seperti anak-anak beruang yang lain.
Sebelum keluar mencari makanan, ibu
bapanya berpesan supaya anak beruang tidak
ke mana-mana.
“Marilah ikut kami mencari makanan, ajak
kawan-kawan anak beruang.
“Tidak mahu. Ayah dan ibuku akan membawa
makanan untukku," kata anak beruang.
“Jangan terlalu berharap kepada ayah dan
ibumu sahaja. Kita hendaklah belajar hidup
berdikari,” nasihat kawannya.
“Aku tidak mahu berdikari,” jawab anak
beruang dengan sombong. Kawan-kawannya
saling berpandangan.
Seekor anak beruang lain berkata, “Beginilah
jadinya jika terlalu dimanjakan. Nanti sampai
besar tidak tahu mencari makanan sendiri.”
Anak beruang tidak peduli dengan kata-kata
itu.
Pada suatu hari, bapa beruang mengajak
anak beruang mencari makanan di sungai. Anak
beruang kehairanan.
“Selalunya ayah dan ibu mencari makanan
untuk saya. Mengapa pula kali ini mengajak saya
mencari makanan?” Tanya anak beruang.
“Ayah dan ibu semakin tua. Apabila kami
sudah tiada nanti, kamu hendaklah mencari
makanan sendiri.”
Anak beruang tidak mahu mendengar nasihat
bapanya. Ia mahu ibu bapanya mencari makanan
selagi masih hidup.
Bapa beruang tidak berputus asa. Ia memujuk
anaknya supaya mengikutnya.
Mereka pun pergi ke sungai. Bapa beruang
menunjukkan cara menangkap ikan dengan
mulut kepada anaknya.
“Tengok ini cara menangkap ikan,” kata bapa
beruang.
Anak beruang hanya melihat sahaja.
Akhirnya, bapa beruang memberi ikan tersebut
kepada anak beruang.
Pada suatu hari, ibu bapa beruang pulang
lewat. Anak beruang berasa lapar. Anak
beruang mahu mengajak kawan-kawannya
keluar mencari makanan. Ia mendapati mereka
telah pun pergi mencari makanan.
Anak beruang terpaksa pergi sendirian
mencari makanan. Ia terjumpa sebuah sarang
lebah di atas sebatang pokok. Anak beruang
ingin makan madu lebah namun ia tidak tahu
cara mendapatkan madu lebah itu.
“Aku akan goncang pokok ini supaya sarang
lebah jatuh ke tanah. Mudahlah untuk aku
makan madunya,” kata anak beruang.
Beberapa ekor anak lebah terbang keluar
apabila sarang mereka bergoncang. Anak
beruang tidak takut kepada sengatan anak-
anak lebah itu kerana kulitnya tebal.
Kemudian, beribu-ribu lebah dewasa keluar
dari sarang. Mereka berasa sangat marah lalu
menyerang anak beruang.
Anak beruang berlari menuju ke sungai.
Beberapa ekor lebah sempat menyengatnya.
“Susahnya mencari makanan. Aku patut
belajar daripada ibu bapaku,” kata anak
beruang sambil mengaduh kesakitan. Lalu, dia
pun berjalan pulang dengan kecewa.
Pengajaran: Kita perlu belajar berdikari dan
tidak bergantung kepada sesiapa.