The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by nfilzah262, 2023-02-08 08:35:02

KONSEP DAN FUNGSI KESUSASTERAAN MELAYU SERTA MANIFESTASI AKAL BUDI DALAM PANTUN, SYAIR, SELOKA DAN GURINDAM

BMMB1104
KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU

KONSEP DAN FUNGSI KESUSASTERAAN MELAYU SERTA MANIFESTASI AKAL BUDI DALAM PANTUN, SYAIR, SELOKA DAN GURINDAM


Isi kandungan 1.0 Pengenalan 2.0 Konsep Kesusasteraan Melayu 2.1 Takrif Kesusasteraan Melayu 2.2 Jenis dan Bentuk Kesusasteraan Melayu 2.3 Ciri-Ciri Kesusasteraan Melayu 3.0 Fungsi Kesusasteraan Melayu 3.1 Aspek Pendidikan 3.2 Aspek Dakwah 3.3 Aspek Hiburan 3.4 Aspek Kritikan Sosial 4.0 Manifestasi Akal Budi dalam Karya Puisi Tradisional 4.1Akal Budi dalam Pantun 4.2 Akal Budi dalam Syair 4.3 Akal Budi dalam Seloka 4.4 Akal Budi dalam Gurindam 5.0 Rumusan Rujukan


1.0 Pengenalan Sastera merupakan suatu keunikan bagi sesebuah masyarakat yang terdiri daripada bahasa kiasan yang indah. Ia terkandung maksud yang tersirat serta mempunyai fungsi-fungsi yang tertentu. Masyarakat dahulu menjadikan sastera sebagai satu bentuk kesenian bahkan ia diamalkan sehingga ke hari ini. Sastera ialah cara yang sangat berkesan untuk memahami budaya sesuatu bangsa, kaum dan kumpulan masyarakat (Mana Sikana,2022). Sastera pada Ketika dahulu merupakan hak milik bersama namun kini telah berubah menjadi kegiatan yang berkaitan pernyataan diri dan hak cipta.


2.0 Konsep Kesusasteraan Melayu 2.1 Takrif Kesusasteraan Melayu Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, Kesusasteraan bermaksud seni yang menggambarkan keindahan dengan bahasa. Perkataan kesusasteraan terbentuk daripada perkataan Sanskrit, iaitu susastera yang bermaksud huruf atau buku indah. Dalam konteks pendidikan, Kesusasteraan Melayu ialah karya asal yang tertulis dalam Bahasa Melayu berunsurkan keindahan dan kehalusan sama ada berbentuk novel, cerpen, drama, sajak, prosa tradisional atau puisi tradisional bagi mengimbangi intelek, rohani, emosi, dan jasmani di samping memaparkan nilai kemanusiaan dan citra masyarakat (Azman Rahmat et al.,2022)


2.2 Jenis dan Bentuk Kesusasteraan Melayu Terdapat empat jenis dan bentuk Kesusasteraan Melayu iaitu prosa tradisional, prosa moden, puisi tradisional dan puisi moden. Puisi berbeza daripada prosa kerana ia mempunyai ciri-ciri khas seperti mengandungi irama, sukar diterjemah, dan bersifat konkrit (Ismail Yusoff,2008). Prosa tradisional terbahagi kepada dua genre, iaitu sastera rakyat (lisan) dan sastera istana (tulisan). Sastera rakyat merupakan hasil karya yang diinspirasikan dan disampaikan secara lisan. Sastera rakyat terbahagi kepada dua kategori, iaitu naratif dan bukan naratif. Sastera naratif terbahagi kepada mitos, legenda dan cerita rakyat manakala sastera bukan naratif terdiri daripada puisi rakyat. Sastera istana pula terdiri daripada sastera hikayat, sastera undangundang, sastera epic (sastera pahlawan), sastera panji dan sastera agama. Prosa Moden ialah hasil karya sastera selepas tahun 1800 Masihi. Prosa moden terbahagi kepada tiga iaitu cerpen, novel dan drama. Cerpen ialah gabungan dua perkataan, iaitu cerita dan pendek.Cerpen biasanya berkisar mengenai sesuatu kejadian yang menjadi fokus utama. Novel ialah prosan rekaan yang panjang yang didalamnya termuat sebahagian daripada sebuah kehidupan. Drama pula ialah karya sastera yang penulis menyampaikan mesej atau pemikiran melalui lakonan serta dialog.


Puisi tradisional terbahagi kepada pantun, syair, gurindam, seloka, talibun, mantera, adat perbilangan, teka-teki, peribahasa, rubai, masnawi dan sebagainya. Bentuk pantun ialah dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat, 12 kerat dan pantun berkait. Bentuk syair mengandungi empat baris serangkapdengan rima akhir ‘a’, ‘a’, ‘a’, ‘a’. Bentuk seloka ialah bebas dan tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris dan irama. Bentuk gurindam adalah terikat dan terdiri daripada dua baris serangkap. Satu-satunya puisi moden ialah sajak. Sajak ialah suara hati atau luahan perasaan penyairnya. Sajak tidak terikat pada peraturan seperti pemilihan kata, pembentukan rangkap, baris serta pematuhan skima rima akhir seperti dalam puisi tradisional. 2.3 Ciri-Ciri Kesusasteraan Melayu Antara ciri terisebut ialah karya sastera yang dihasilkan mempunyai keindahan dari segi gaya dan bahasa yang digunakan di dalamnya. Ia juga indah kerana memenuhi empat syarat iaitu keutuhan, keseimbangan, keselarasan dan fokud kepada sesuatu unsur. Selain itu, sastera Melayu mencerminkan pengalaman atau persekitaran. Hal ini merujuk kepada tindak balas yang utuh dari jiwa manusia yang digambarkan secara realiti. Bukan itu sahaja, pengalaman seseorang juga sering diungkapkan menerusi bahasa dalam karya sastera.


Seterusnya, pembaca dapat memahami dan merasai fikiran dan perasaan pengkarya melalui karya yang dihasilkan. Apabila hasil karya pengkarya diterima oleh pembaca, mereka akan mendapat kepuasan yang tersendiri. Nilai karya sastera terletak pada perkara yang disampaikan, cara dan bentuk penyampaian. Oleh itu, hasil karya sastera dapat memberikan pembaca pengalaman dan nilai-nilai seni. Akhir sekali, karya sastera mempunyai sifat fiksyen, nilainilai estetik dan gaya bahasa yang khusus. Fiksyen bermaksud karya sastera yang dihasilkan melalui imajinasi pengkarya berdasarkan pengalaman mereka dan nilai-nilai estetik pula membolehkan pengkarya mengungkapkan isi hati dengan jelas dan mendalam.


3.0 Fungsi Kesusasteraan Melayu 3.1 Aspek Pendidikan Pengalaman yang dijadikan prosa atau puisi dan diadun dengan unsur-unsur pengajaran, moral atau ilmu pengetahuan yang tinggi nilainya yang mana akan dapat dikutip oleh pembaca maka berlakulah pendidikan secara tidak langsung. Antara fungsinya dalam pendidikan ialah sebagai satu cabang ilmu dan senjata yang dapat berkembang dalam pelbagai disiplin ilmu sejajar dengan konsep bahasa merentas korikulum. Selain itu, pelajar dapat didedahkan dengan Teknik penulisan ilmiah, rencana dan penulisan kreatif serta mendapat pengetahuan tentang dunia penerbitan dan penyiaran selaras dengan matlamat pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan. 3.2 Aspek Dakwah Satera Melayu seperti karya sastera Islam, contohnya syair-syair karangan Hamzah Fanzuri mengajak manusia supaya sentiasa bertakwa kepada Allah SWT. Karya-karya seperti ini mampu membuatkan masyarakat pembaca merenung kembali apakah tindakan atau perlakuan mereka selama ini berlandaskan ajaran Islam yang sebenar. Oleh itu, ia dapat memberi didikan akhlak kepada masyarakat khususnya genersi muda secara tidak langsung. Contohnya, syair-syair karangan Hamzah Fanzuri.


3.3 Aspek Hiburan Hiburan terhasil melalui keindahan kata-kata yang diucapkan, irama atau rentak istimewa, kemampuan karya sastera untuk membelai emosi pembaca atau pendengar, unsur kelucuan dan sebagainya. Kebanyakannya hiburan ini dapat dilihat pada penyampaian pantun dengan menggunakan bahasabahasa yang mencuit hati pembaca. Selain itu, Cerita Penglipur Lara juga diterima dan diminati pada suatu Ketika. 3.4 Aspek Kritikan Sosial Dalam konteks masyarakat yang pelbagai susun lapis menjadikan wujudnya jurang dalam kalangan mereka. Hal ini akan mempengaruhi tindakan dan susila adab sama ada untuk tujuan menegur, mengkritik mahupun menyampaikan mesej. Sebagai contoh, berdasarkan tafsiran dua buah karya berhubung konsep perjuangan iaitu “Harga Sebuah Maruah” oleh Azizi Abdullah dan “ Titis Darah Terakhir” oleh Adhyat Helmy. Pengarangpengarang menggunakan landasan yang sama walaupun terdapat perbezaan dari aspek cara perjuangan.


4.0 Manifestasi Akal Budi dalam Karya Puisi Tradisional 4.1Akal Budi dalam Pantun Pisang Emas dibawa berlayar, Masak sebijik di atas peti; Hutang emas boleh dibayar, Hutang budi dibawa mati. Manifestasi akal budi bagi pembayang pentun tersebut ialah pemantun memilih pisang emas untuk dibawa berlayar kerana pisang boleh dijadikan makanan yang membekalkan tenaga dengan cepat. Sifat pisang emas yang akan masak sebiji demi sebiji menyebabkan pisang boleh disimpan dan walaupun diberi nama pisang emas tetapi pisang tidak perlu disimpan di dalam peti seperti emas yang berharga. Maksud pantun pula iaitu frasa “hutang emas boleh dibayar” menunjukkan kita perlu melangsaikan semua hutang-hutang jika kita berhutang. “Hutang emas” merujuk kepada material yang dimiliki seseorang di dunia ini. Frasa “Hutang budi dibawa mati” merujuk kepada kebaikan yang kita hulurkan kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan dan hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.


4.2 Akal Budi dalam Syair Syair Burung Nuri Bermula warkah surat rencana, Ikatan fakir yang sangat hina, Sajak dan nazam banyak tak kena, Daripada pendapat kurang sempurna. Gerangan sungguh amatlah leta, Perinya akal gelap-gelita, Hemat pun rendah daif berserta, Tambahan badan miskin dan nista. Beribu ampun kiranya tuan, Atasnya hulu fakir nistawan, Daripada masyghul gundah merawan, Terperilah madah patik nin tuan. Dituliskan sahifah supaya nyata, Barang yang ghairah di dalam cinta, Terfikir-fikir bukan menderita, Dakwat dan kertas tempat berkata.


Sudahlah nasib untung yang malang, Mengambah lautan berulang-ulang, Mudaratnya bukan lagi kepalang Senantiasa di dalam nasib dan walang. Hanyutlah badan ke sana ke mari, Segenap pesisir desa negeri, Bertambahlah pula sopan dan negeri, Santap nan tidak minum pun kari. Bangun terjunun badan suatu, Gundahlah fikir tiada tertentu, Laksana cermin jatuh ke batu, Remuk dan redam hancur di situ. Remuk dan redam rasanya hati, Lenyaplah fikir budi pekerti, Jikalau kiranya hamba turuti, Daripada hidup sebaiknya mati.


Manifestasi akal budi syair ini ialah kita hendaklah sentiasa merendah diri seperti penyair meminta maaf terlebih dahulu sebelum meneruskan bicara dalam lembarannya. Selain itu, kita mestilah mempunyai nilai kesedaran dalam diri contohnya penyair sedar kan kesilapan yang dilakukannya akibat terlalu menurut perasaan, Di samping itu, syair ini mengajar tentang nilai rasional iaitu penyair menyarankan agar seseorang itu bertindak secara rasional. Seterusnya, kita mestilah berhemah tinggi seperti penyair menasihati agar setiap pasangan yang bercinta menjaga adab masing-masing. Selain itu, kita mestilah bijaksana seperti penyair menyarankan agar setiap pasangan bijak menguruskan percintaan mereka.


4.3 Akal Budi dalam Seloka Seloka Emak Si Randang Baik budi Emak Si Randang, Dagang lalu ditanakkan Tiada kayu rumah diruntuhkan, Anak pulang kelaparan, Anak di pangku diletakkan, Kera di hutan disusui, Dagang pergi awak berhutang, Beras habis padi tak jadi. Md. Ali Bachik (Penyelenggara) Khazanah Puisi Klasik Melayu, 2003 Seloka ini mengisahkan Emak Si Randang yang baik hati. Dia rela memasakkan makanan untuk membantu orang dagang yang tidak dikenalinya. Emak Si Randang sanggup berhabishabisan bagi melayan tetamunya sehingga sanggup meruntuhkan rumah jika tidak berkayu. Namun demikian, Emak Si Randang mengabaikan anaknya sendiri. Setelah orang dagang itu pergi, Emak Si Randang terpaksa menanggung hutang kerana kehabisan beras sedangkan padi yang ditanamnya tidak menjadi. Manifestasi akal budi yang terdapat dalam seloka ini ialah kita janganlah melebih-lebihkan orang luar dan sebaliknya mengabaikan ahli keluarga sendiri agar kehidupan lebih harmoni. Selain itu, kita mestilah menggunakan akal fikiran yang rasional dalam sebarang tindakan agar tidak mendapatkan kesan yang buruk. Akhir sekali, Kita hendaklah melayan tetamu dengan berpada-pada agar tidak berlakunya pembaziran.


4.4 Akal Budi dalam Gurindam Gurindam Dua Belas Fasal Ketiga (Gurindam Hemat Diri) karya Raja Ali Haji. Apabila terpelihara mata, Sedikitlah cita-cita. Apabila terpelihara kuping, Khabar yang jahat tiadalah damping. Apabila terpelihara lidah, Nescaya dapat daripadanya faedah. Bersungguh-sungguh engkau memelihara tangan, Daripada segala berat dan ringan. Apabila perut terlalu penuh, Keluarlah fiil yang tiada senonoh. Anggota tengah hendaklah diingat, Di situlah banyak orang yang hilang semangat. Hendaklah peliharakan kaki, Daripada berjalan yang membawa rugi.


Manifestasi akal budi dalam gurindam ini ialah kita hendaklah menjaga penglihatan kita agar tidak menimbulkan keinginan yang tidak baik. Selain itu, kita mestilah memelihara pendengaran kita agar tidak mendengar berita yang tidak sahih. Seterusnya, kita haruslah menjaga anggota kaki agar tidak menjejaki tempat yang tidak berfaedah. Disamping itu, kita hendaklah bijak menggunakan anggota pancaindera untuk melakukan kebaikan dan perkara-perkara yang positif. Selepas itu, kita hendaklah tidak terlalu menurut kehendak nafsu dan hati yang berkemungkinan mendorong kita untuk melakukan perkara yang buruk. Akir sekali, kita haruslah bijak mengawal anggota tubuh badan agar terhindar daripada perkara yang tidak baik. 5.0 Rumusan Karya sastera dihasilkan untuk dinikmati oleh pembaca (Khairuddin Mohammad et al., 2014). Tidak dapat dinafikan bahawa sastera ini banyak mendalami berkaitan dengan kehidupan masyarakat. Sebagai contoh, kesusasteraan Melayu berperanan penting dalam membina akhlak serta pekerti mulia dalam diri manusia. Sesungguhnya pendidikan sastera memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam usaha membina negara-bangsa Malaysia yang bersatupadu kerana sastera adalah mekanisme yang membina insan dari segi rohaniah dan spiritualnya ( Chew Fong Peng,2006)


Rujukan Azman Rahmat et al (2022). Pengenalan Kesusasteraan Dan Kebudayaan Melayu. Firdaus Press Sdn. Bhd. Chew Fong Peng (2006). Pembentukan Negara Bangsa Melalui Pendidikan Sastera. Jurnal Pengajian Melayu, Ji/id 17, 2006. https://myjurnal.mohe.gov.my/filebank/published_arti cle/24071/Article_6.PDF Ismail Yusoff (2008). Kesusasteran Melayu Lama Dan Baru. Penerbit Universiti Utara Malaysia. Kairuddin Mohamad et al. (2014). Genre Kesusasteraan Melayu Dalam Bahasa Melayu. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Kesusasteraan. Dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). Dirujuk pada 1 Februari 2023, di di https://prpm.dbp.gov.my/ Mana Sikana (2022). Sastera Dalam Pandangan Budaya. SinarHarian.com.my. https://www.sinarharian.com.my/article/211665/KHAS /Pendapat/Sastera-dalam-pandangan-budaya


Click to View FlipBook Version