NUR ARISSA YANG BERHARGA SAHABAT BUKU CERITA KANAK-KANAK
Di tengah kesibukan bandar, hiduplah seorang kanak-kanak lelaki bernama Haidar. Dia merupakan seorang anak tunggal dan tinggal bersama-sama dengan kedua ibu bapanya di sebuah rumah banglo yang mewah. 1
Pada suatu hari, ketika sedang menyiapkan kerja sekolah di meja belajarnya, Haidar mula termenung dan matanya tajam merenung keluar tingkap yang tepat ke arah hutan lebat berdekatan kawasan perumahannya. Tatkala matanya merenung hutan itu, Haidar mula memikirkan tentang keindahan kisah-kisah kembara di hutan yang pernah didengarnya sebelum ini. 2
Bayangan pokok-pokok tinggi dan suasana alam semula jadi di hutan itu telah membuatkan Haidar semakin teringin untuk mengembara di hutan itu bersama rakan karibnya Irfan. Apabila membayangkan hal itu, Haidar mula berasa teruja dan membuat keputusan untuk meminta izin dengan kedua ibu bapanya untuk pergi ke hutan tersebut. 3
Haidar menghampiri kedua ibu bapanya dengan wajah yang penuh teruja. Haidar mula menyatakan hasratnya. “Ibu, ayah, bolehkah Haidar pergi mengembara ke hutan bersama dengan Irfan?” tanya Haidar dengan penuh semangat. Namun, senyuman di wajah Haidar mula memudar apabila kedua ibu bapanya tidak membenarkan Haidar pergi ke hutan tersebut. “Haidar, kawasan hutan itu terlalu berbahaya untuk kamu kerana berkemungkinan terdapat haiwan-haiwan buas di sana seperti singa atau beruang.” kata ibunya. “Benar kata ibumu. Ayah juga tidak mahu keselamatan kamu terancam ketika berada di sana.” tambah ayahnya lagi. 4
Mendengarkan hal itu, Haidar berasa tidak berpuas hati kerana dia menganggap dirinya sudah pandai menjaga keselamatan diri sendiri. Haidar mula merajuk dan memutuskan untuk tetap pergi ke hutan tersebut bersama Irfan tanpa pengetahuan kedua ibu bapanya sebagai tindakan memberontak terhadap mereka. Irfan bersetuju dengan pelawaan Haidar. Namun, dia mencadangkan untuk mengajak dua orang lagi rakan sekelasnya iaitu Kumar dan Lee. “Aku boleh menemani kamu mengembara di hutan itu, tetapi bagaimana kalau kita ajak Kumar dan Lee ikut bersama kita ke sana? Lagipun, mereka memang hebat dalam aktiviti lasak seperti ini.” ujar Irfan. 5
Pada awalnya, Haidar tidak setuju akan hal itu kerana sejak kecil lagi, Haidar tidak gemar berteman dengan rakanrakan yang berlainan bangsa dengannya kerana dia berpandangan bahawa mereka berperwatakan jahat, suka membuli dan tidak pandai bergaul. Namun, Haidar hanya akur sahaja memandangkan tujuannya sekarang adalah mahu membuktikan kepada ibu dan ayahnya bahawa dia mampu pergi ke hutan itu dengan selamat. Dengan langkah yang penuh semangat, Haidar, Irfan, Kumar dan Lee menuju ke hutan itu dengan ditemani oleh bunyi desiran daun serta kicauan burung di udara. 6
“Wahhh, kan aku sudah kata hutan ini memang menarik. Lihatlah pohon-pohon yang tinggi dan udara yang sejuk ini. Sungguh menyegarkan, bukan?” ujar Haidar dengan rasa kagum. Haidar kemudiannya ternampak seekor burung yang sangat cantik, dia mula meninggalkan kumpulannya dan meluru ke arah burung itu. 7
Tiba-tiba, Haidar terdengar sebuah ngauman yang sangat kuat. Alangkah terkejutnya dia apabila dihadapannya adalah seekor singa yang berupa bengis dan sangat ganas. “Tolong! Tolong aku! Ada singa!” jerit Haidar. Tanpa berfikir panjang, Irfan yang mendengarkan perkara itu terus melarikan diri meninggalkan mereka bertiga. Dalam ketakutan yang melanda, Haidar terdiam dan tidak terdaya. “Kumar, Lee. Tolong aku! Aku takut! Aku tidak tahu apa yang harus kita lakukan!” kata Haidar dengan suara yang penuh cemas. 8
“Jangan risau, Haidar. Kami ada disini dengan kamu.” kata Kumar daripada jarak yang tidak begitu jauh daripada Haidar. “Benar, mari kita cuba mengalihkan perhatian singa itu.” kata Lee pula. Berbekalkan ilmu daripada bapa Kumar yang merupakan seorang pemburu hutan, Kumar dan Lee mula membuat kebisingan yang kuat untuk menghasilkan bunyi yang mengelirukan singa itu. 9
Singa itu mula menggerak-gerakkan kepalanya ke arah yang berbeza kerana ingin mengesan punca bunyi tersebut dan mula berlalu daripada kawasan itu untuk mencari bunyi itu. Sementara Kumar dan Lee masih menghasilkan bunyi bising itu, Haidar berkesempatan menyelinap ke belakang pohon yang besar. “Takut… takut…” bisik Haidar tatkala memerhatikan peristiwa yang menggigilkan itu. 10
Akhirnya, Haidar terselamat daripada cengkaman singa yang ganas itu. Haidar terus berlari dan memeluk Kumar dan Lee kerana mereka telah menyelamatkan nyawanya dengan pengorbanan diri yang sangat besar. “Terima kasih Kumar dan Lee. Aku sangat kagum dengan keberanian kamu walaupun perbuatan kamu membuat bising itu juga boleh membahayakan diri kamu berdua.” puji Haidar. 11
“Kita kan kawan, apa yang aku lakukan tadi hanyalah perkara yang wajar. Kita perlulah saling membantu dalam masa susah, kan?” ujar Kumar. “Betul, yang penting kita bertiga selamat sekarang. Lagipun, sahabat sejati perlulah membantu tanpa mengira perbezaan atau risiko.” tambah Lee pula. Mereka pun mula berlalu meninggalkan hutan itu dengan perasaan yang sangat lega. 12
Setibanya di rumah Haidar, terlihat kedua ibu bapa Haidar di luar rumah sedang berbincang dengan jiran-jirannya. Haidar meluru ke arah mereka lalu meminta maaf kepada kedua ibu bapanya dengan bersungguh-sungguh. “Ibu, ayah… Haidar minta maaf. Haidar tidak patut melawan cakap ibu dan ayah. Haidar sudah mendapat pengajaran tadi.” ucap Haidar dengan penuh kesal. 13
“Maafkan Haidar, ibu. Haidar ingin membuktikan kepada ibu dan ayah yang Haidar mampu pergi ke hutan itu sendiri. Tetapi Haidar salah, Haidar telah bertemu dengan seekor singa yang sangat ganas. Mujurlah ada Kumar dan Lee yang telah menyelamatkan Haidar.” Mendengarkan perkara itu, ayah Haidar mula bersuara. “Yang penting kamu selamat. Kami terima maafmu. Tetapi kamu perlu berjanji dengan kami untuk mendengar nasihat kami dan tidak mengulangi kesalahan seperti ini lagi. “Baik ibu, ayah. Haidar berjanji tidak akan mengulangi kesilapan ini lagi.” kata Haidar. 14
Ibu dan ayah Haidar turut berterima kasih kepada Kumar dan Lee kerana telah menyelamatkan anaknya dan mempelawa mereka untuk masuk berehat ke dalam rumah dan minum petang bersama-sama. Semasa minum petang, Haidar mula terkenangkan sikap Irfan yang bertindak menyelamatkan diri sendiri dan pergi meninggalkan dia begitu sahaja. Hatinya dipenuhi dengan perasaan kecewa. “Sampai hati kamu, Irfan. Aku sangat mempercayai kamu sebagai sahabat yang akan kekal disisi aku ketika aku benar-benar memerlukan kamu. Tetapi kamu meninggalkan aku begitu sahaja.” bisik Haidar di dalam hati. Namun dalam kesedihannya, matanya memandang Kumar dan Lee, rakan-rakannya yang berbeza bangsa, tetapi tetap tinggal bersamanya dan menolongnya disaat dia memerlukan bantuan. 15
Haidar mula sedar bahawa selama ini pandangannya terhadap rakan berlainan bangsa adalah salah sama sekali. “Kumar, Lee. Aku ingin meminta maaf kerana selama ini aku tidak gemar berteman dengan rakan berlainan bangsa. Sekarang aku sedar, kamu berdua adalah sahabat sejati yang sentiasa ada untuk aku walaupun dalam keadaan yang sukar. Aku sangat malu kerana tidak melihat kebaikan dan keikhlasan kamu berdua sebelum ini.” ucap Haidar dengan penuh sesal. 16
“Haidar, kita semua membuat kesilapan. Baguslah kalau kamu sudah belajar daripada kesilapan ini. Jangan risau, aku sudah lama memaafkanmu.” ucap Kumar dengan senyuman yang tulus. “Aku pun sudah maafkan kamu, Haidar. Selepas ini, kita berkawan tanpa perlu mengira latar belakang atau bangsa kita ya? Kita belajar dan membesar bersama-sama. Bercakap tentang hal ini, aku teringat sajak yang pernah di ajar oleh Cikgu Arissa di dalam kelas tempoh hari. Kamu berdua masih ingatkah? Sajaknya adalah tentang rakan yang berlainan bangsa tetapi tetap bersatu padu. Sekejap aku cuba ingatkan semula kerana aku sudah hafal sajak itu. Hahaha!” ujar Lee. Lee kemudiannya mula membacakan sajak itu kepada Haidar dan Kumar. 17
“Meniti keduniaan yang penuh kepelbagaian, Teguh bersatu dalam ikatan kasih sayang, Meskipun berbeza warna kulit dan budaya, Namun tetap utuh bersatu dalam persahabatan. Menerusi kepelbagaian, kekayaan ditemui. Menerusi persahabatan, kekuatan dimiliki. Meskipun berbilang bangsa dan agama, Masih tetap bersama saling menghargai. Asal usul berlainan tidak menjadi halangan, Adat budaya berbeza tidak menjadi rintangan, Persahabatan luhur menjadi dambaan, Mengajar erti menghormati perbezaan. Menerusi perpaduan, keharmonian ditemui. Menerusi persahabatan, kebahagiaan dikecapi. Biar kebersamaan mengukuhkan ikatan, Membina dunia yang aman dan damai.” 18
RUJUKAN 19