KATA ALU-ALUAN TUAN GURU BESAR Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera dan salam Malaysia Madani. Alhamdulilah, saya menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya maka kita dapat melaksanakan satu lagi agenda pendidikan yang diatur oleh pihak pengurusan sekolah. Ucapan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola Majlis ini yang tentunya telah berusaha dengan gigih supaya majlis ini berjalan dengan lancar dan teratur. Sebenarnya, kejayaan seorang murid tidak hanya terletak pada usaha dan kesungguhan yang dimainkan oleh guru semata-mata. Selain insan yang diibaratkan seperti lilin yang membakar diri , ibu bapa juga perlu sentiasa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan anak-anak mereka. Pada saya, yang paling utama kejayaan adalah terletak pada diri para murid itu sendiri agar sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri yang tinggi sekiranya ingin mengecapi kecemerlangan. Sesungguhnya kita harus sedar bahawa dalam usaha menuju ke puncak, banyak laluan sukar yang perlu ditempuhi. Pepatah Melayu selalu mengingatkan kita, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". "Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih". "Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya." Pada saya juga, kejayaan para murid merupakan satu anugerah kepada pihak sekolah dan ganjaran buat ibu bapa murid itu sendiri. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan pada hari ini. Saya sangat berharap agar kecemerlangan yang ditunjukkan oleh para penerima akan menjadi pemangkin semangat untuk para murid terus mempertingkatkan mutu pencapaian mereka dalam bidang akademik dan bukan akademik pada masa hadapan. Anugerah yang diberikan pada hari ini merupakan penghargaan pihak sekolah kepada para murid yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pembelajaran pada sesi 2023/2024. Tahap pencapaian yang ditunjukkan sudah tentu boleh menjadi contoh serta ikutan kepada para murid lain untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka pada masa akan datang. Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah dan juga syabas kepada semua warga kerja yang bertungkus-lumus menjayakan Hari Anugerah Kecemerlangan Pendidikan pada hari ini. Sekian, terima kasih. En. Mohd Sabri B. Othman Guru Besar SK Sultan Ahmad