ASAP DI BAWAH DAUN
Oleh Zaharah Nawawi
TANGAN kurus dibaluti kulit berkedut seribu itu mengangkat tin bekas minyak tanah lima belas
liter yang sudah dibasuh bersih. Air hujan tadahan dalam bekas tong minyak tar setinggi dada
diceduk, dituang ke dalam tin tadi yang sudah diisi biji-biji jagung kering, diletak di atas tungku
batu bata disusun dalam bentuk tiga penjuru berhadapan. Serpihan kecil papan dan kayu buangan
dipungut dari dalam longgokan sampah di belakang dapur kediaman dan deretan kedai di sekitar
Jalan Melayu di tengah bandar raya Harimaupura tersohor itu. Mata api yang masih merah
sebesar hujung ibu jari tangan pada sebatang beluti separuh hangus sepanjang sehasta yang
disimpan dalam abu dapur setiap kali selesai memasak, ditiup penuh kesabaran sehingga
menyala.
Ketika menyelongkar raga besar beranyam siatan kulit buluh selebar dua inci setiap keping di
luar rumah bertembok tinggi bercat kuning muda itu tadi, tiba-tiba pintu belakang yang hanya
jarak lima kaki dari tempatnya berada dikuak. Seorang wanita tercegat memandangnya. Segera
dia mencampak semula kertas-kertas renyuk basah dikumpul sepanjang pagi tadi ke dalam raga.
Dia tidak mahu disergah apatah pula dimarahi wanita tua kurus ceding itu. Dalam perjalanan
hidupnya yang daif, maki hamun bukan lagi asing namun perasaannya masih belum lali. Setiap
kata-kata kesat terutama sumpah seranah amat menyakitkan. Menjadi daif dan merempat bukan
permintaannya. Dia tidak memilih jalan itu. Pantas dia melangkah meninggalkan bakul sampah
separuh diselongkar tadi. Dia lebih rela membuang hasil cariannya pagi itu, biarpun usus
kosongnya pedih mengerinyut ditoreh asid. asalkan hatinya tidak dicincang lumat dengan maki
hamun orang yang tidak rela sampah buangannya dimanfaatkan.
“Hei, Nek! Mari sekejap!” panggilan itu amat jelas dipendengarannya. Dia mengesat kedua-dua
tapak tangan ke paha berbalut kain batik lusuh kerepot di sana sini kesan jahitan jelujur kasar
pada rentas yang semakin merebak. Kain batik yang dipungut dari longgokan barang terpakai
beberapa bulan lalu.
Dia tidak menjawab panggilan tersebut, sebaliknya menapak perlahan menjauhi kawasan
belakang dapur rumah agam itu. Pada langkah ketiga, dia mendengar lagi suara nyaring wanita
tadi memanggil.
“Nek! Nek! Tunggu!” suara itu semakin hampir. Namun dia pura-pura tidak mendengar. Dia
terus melangkah biarpun kakinya terasa longlai. Hatinya lebih rela membiarkan perutnya
keroncong daripada mengisi ruang sempit telinga dengan kata-kata menyayat. “Aku dilahirkan
bukan untuk dihina,” gumamnya “biarpun aku ditakdirkan hidup dalam kehinaan.”
Dulu dia pernah senang. Pernah dikasihi dan mengasihi. Dia jatuh hati dengan seorang anak
tauke kedai runcit di bandar raya Harimaupura. Aming berbudi bahasa orangnya. Menghormati
orang tua. Aming amat mencintainya. Aming minta izin keluarganya mengahwini dia. Ayah dan
ibu dia memberi syarat besar “kau mesti memeluk Islam. Anak saya tidak akan berkahwin
dengan orang bukan Islam.” Ayah dan ibu Aming juga memberi syarat besar lagi berat. “Kalau
kau kahwin dengan perempuan kacukan yang tidak dapat dipastikan asal keturunannya itu,
hubungan kita putus!”
Aming tinggalkan keluarga. Aming heret dia ke hulu ke hilir. Demi sebuah cinta terbit dalam
ketulusan perasaan dan kemurnian jiwa dia ikut Aming walau merempat tidur menumpang di
rumah kawan yang sudi, di masjid atau surau, malah kerap melabuh kepala berbantalkan
bungkusan kain baju di mana-mana kaki lima kedai, sehingga Aming dapat kerja mengambil
upah mengangkat guni-guni beras dan gula, bawang dan kentang dari lori kontena ke Kedai
Runcit Badraii. Kerajinan Aming dan kegagahan tubuhnya yang masih muda menarik hati tauke
Badraii. Aming dipelawa menjadi pekerja di kedai itu dengan gaji tetap. Namun hanya dua
minggu, Aming meninggal dirempuh sebuah lori baja yang terbabas masuk ke dalam kedai.
“Nek!” hampir terangkat punggungnya dari bonggol akar angsana diduduki. Dia menoleh ke
kanan. Wanita yang menyuruhnya ‘tunggu kejap’ tadi berdiri di samping. Tangannya menjinjit
sesuatu. Bau enak ayam goreng menyentuh hidung. Dia menelan air liur ketika mata melirik
memandang bungkusan di tangan wanita itu.
“Nah!” Wanita itu menghulur. Jika diikutkan hati mahu saja dia menerkam bungkusan kertas
dalam beg plastik merah di tangan wanita yang begitu hampir dengan tangannya. Namun dia
menahan keinginan. Dia malu kelihatan rakus. Dia memandang anak mata wanita yang masih
merenungnya itu. Terpancar warna ikhlas dari bebola jernih yang tidak berkelip memandangnya.
“Nasi untuk nenek. Makan ya.” Wanita yang memanggilnya nenek itu pada perkiraannya
mungkin sebaya jika tidak lebih tua daripada usianya. Wanita itu meletakkan bungkusan tadi ke
atas ribaannya, lalu berlalu. Dia menoleh dari sebalik pokok angsana tempatnya bersandar.
Wanita itu sudah tidak kelihatan. Pintu dapur yang tadi menganga kini sudah ditutup rapat.
Tanpa berlengah, dia membuka bungkusan yang masih suam itu. Dia menyuap gelojoh nasi putih
berlaukkan sambal tumis kerang dan seketul dada berserta kepak ayam goreng. Sedikit kuah kari
menukar putih nasi jadi kekuningan. Aroma nasi itu membuatkan suapannya bertambah rakus.
Letak punggung yang hampir melurut dari banir angsana tidak dipedulikan.
Terlalu sedikit nasi itu baginya. Sudah tiga hari perutnya tidak diisi nasi. Selama tiga hari dia
hanya mengalas perut dengan sisa roti canai lebihan makan pelanggan yang diletakkan dalam
besen di belakang restoran mamak. Pemilik restoran itu sengaja meninggalkan saki-baki yang
masih elok itu untuknya. Kenyang makan roti canai tidak sama dengan nasi. Sebiji dua nasi
melekat di celah tulang-temulang ayam, dikais dengan jari lalu disuap. Saki baki urat-urat dan
kulit ayam yang masih ada di sana sini diunggisnya sehingga bersih. Malah kepala lutut ayam
yang mengandungi sedikit urat berlemak tidak dibiarkan begitu saja. Dimamahnya juga sampai
lumat sebelum ditelan.
Selama jadi isteri Aming, dia tidak pernah kebulur biarpun hidupnya tidak mewah. Wajah
Aming yang manis sentiasa menyenangkan mata memandang. Suara Aming yang lembut amat
dirinduinya.
Selesai makan dia keronyok kertas bekas bungkusan nasi itu kemas-kemas, lalu dibuang ke
dalam tong sampah majlis bandaran tidak jauh dari situ. Diambilnya beberapa helai daun yang
baru gugur, bersih, cantik berkilat dijadikan pengesat tangan.
“Nah!” Dia terperanjat sakan. Khayalan indahnya bercempera. Dia bingkas berdiri. Matanya
besar memandang datangnya arah suara. Wanita yang tadi memberinya bungkusan nasi kini
menghulur sebotol air mineral bermuatan 500 ml.
Dia malu hendak menyambut. Selepas memandang sekilas, dia tunduk merenung bumi. “Nah,”
suara wanita itu kembali menyentuh gegendang. Dia masih pura-pura tidak mendengar. “Ambil.
Basuh tangan dulu sebelum makan. Di mana pun kita tinggal, kebersihan mesti dijaga.
Kebersihan bermakna kesihatan.” Berdebuk botol air mineral menyentuh sisi pahanya. Dia
menengadah wanita yang tercegat di samping. Mata wanita itu kelihatan seperti mahu bicara. Di
bawah sedar dia menepuk tiga kali tanah di sebelah punggung.
“Sudikah anak duduk dekat mak cik?” Kadang-kadang dia rasakan tarafnya lebih rendah
daripada kucing, ayam dan anjing. Jika ketiga-tiga jenis haiwan tadi yang menyelongkar bakul
sampah sarat kotoran dan bau, tiada sumpah seranah dilontarkan. Setelah menghalau haiwan
penyelongkar, pemilik bakul buluh senyap-senyap mengemas semula, menutup dengan plastik
dan menindih dengan beberapa biji batu bata. ‘Tapi wanita ini pun tidak memarahi aku, jauh
sekali menghalau.’ Ada warna kekaguman di matanya.
“Tidak.” Pantas wanita tersebut menjawab. Dia tidak terkejut. Jawapan itu sudah dijangkakan.
Siapa yang sudi berada di samping orang merempat jika bukan orang merempat juga?
“Sekarang saya tanya: Sudikah mak cik tinggal dengan saya? Saya ada keluarga. Ada ibu, ada
anak-anak seramai enam orang. Suami sudah meninggal. Masih ada ruang jika mak cik sudi
tinggal bersama kami.”
Terasa berpinar matanya apabila diserbu genang gembira yang berebut-rebut menerjah keluar
dari kelopak layunya. “Betulkah?” Dia menengadah langit yang mengintai di celah-celah rimbun
daun lebat angsana. “Betulkah apa yang saya dengar ini?”
“Betul. Tidak salah sedikit pun.”
“Tapi kenapa anak begitu baik? Mak cik tidak ada apa yang boleh dibalaskan. Mak cik
kekurangan segala-galanya.”
Waktu itu kedengaran bunyi keriau anak kucing jatuh ke dalam longkang. Sejak semalam dia
mendengar jeritan cemas tersebut. Dia ingin membantu namun longkang itu terlalu dalam.
Menyamai ketinggian dua lelaki. Jika dia turun, pasti tidak mampu naik. Dinding longkang itu
licin berturap simen. Dia sedih apabila kucing itu tidak berbunyi. Dia mengandaikan mungkin
sudah mati lemas atau mati kelaparan.
Wanita tadi berpaling, lalu berjalan ke tepi longkang. Dia melihat wanita tersebut berlari-lari
pulang, masuk ke dalam pintu belakang yang masih menganga. Bunyi kerentang kerentung besi
berlaga dengan batu jalan menarik perhatiannya. Dia menoleh. Wanita tadi dengan segala susah
payah membawa sebatang penyauk ikan di tangan kiri dan tangga aluminium putih biru setinggi
lima kaki di tangan kanan. Hujung tangga yang terjuntai ke belakang terlantun-lantun tatkala
menyentuh aspal.
Melihat kesungguhan wanita itu, hatinya ringan saja membantu. Dia bangun. Tangga tadi
diambilnya dari pegangan wanita tersebut. “Terima kasih,” wanita itu melemparkan senyum.
Manis. Bersama-sama wanita itu dia menurunkan tangga ke dalam longkang. Semasa turun,
wanita itu nyaris tergelincir apabila tersilap pijak anak mata tangga kedua. “Cik naik. Biar saya
ambilkan anak kucing itu,” dia menarik tangan wanita itu agar kembali ke atas.
Wanita itu segera membawa pulang anak kucing comot tadi ke rumah. Dia ikut di belakang
dengan mengangkat sauk ikan dan tangga. Sampai di dapur, dia sandarkan tangga dan sauk di
dinding bilik air. Wanita tadi mengambil tuala kering lalu masuk ke bilik air memandikan si
comot. Jerit pekik si kecil bertompok putih hitam di sambut gelak ketawa dan pujukan lunak
wanita itu. “Diam sayang. Kita mandi dulu. Dah bersih nanti boleh makan. Ayam ada, ikan pun
ada.”
“Mak cik juga mandi. Busuk bau longkang kotor tadi.” Wanita itu menyerahkan sepemeluk
pakaian terpakai yang berlipat kemas ke tangannya. Dia bagaikan dipukau. Ikut saja arahan
wanita itu. Selepas mandi dia ditunjukkan sebuah bilik bersebelahan ruang makan. Dalam bilik
itu ada kipas angin, bantal, katil dan tilam bersalut cadar bersih. “Ini bilik mak cik.” Wanita itu
menutup pintu bilik dari luar. Semasa memandang keliling dia melihat ada sejadah dan telekung
bersangkut di penyidai ayan berwarna biru putih di sebelah almari pakaian.
Di rumah besar itu dia dilayan seperti keluarga sendiri. Dia bebas menikmati kehidupan. Namun
dia tidak biasa bersenang-senang sepanjang hari. Dengan simpuh sopan dan bahasa santun dia
minta izin mencari duit sendiri. “Mak cik hendak jual jagung rebus. Badan makc ik rasa sakit-
sakit jika duduk diam saja di rumah.” Tanpa menunggu jawapan wanita yang masih bungkam
itu, dia pantas mencari semua keperluan bagi melaksanakan impiannya.
Selepas solat Subuh dia mulai merebus jagung yang sudah direndam semalaman dalam besen
besar, berhampiran rimbunan sekelompok pisang abu berdaun lebar dan subur. Liuk lintuk lidah
api semakin mala.
Sewaktu menyorong puntung kayu di bawah buntut tin dia memandang ke tingkat atas dapur.
Seperti biasa pagi itu wanita berwajah mulus membuka tingkap. Dia senyum dan melambai ke
arahnya apabila melihat asap nipis bermain angin di bawah daun.
INFO Penulis
ZAHARAH Nawawi yang berpengalaman luas dalam kewartawanan sejak 1950-an,
menghasilkan karya sastera dalam pelbagai genre termasuk cerpen, novel, puisi dan esei.
Pengasas Kelab Penulis Zaharah Nawawi (Kepezi) yang bermatlamat memberi bimbingan
kepada penulis muda, menerima Anugerah Penulisan Sea pada 1996. Penulis boleh dihubungi di
http://www.kepezi.blogsopt.com/