The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

TEKS PENGARAH UNTUK PERHIMPUNAN RASMI JPN SELANGOR | 29092021

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Ruby Ibrahim, 2021-09-20 23:11:37

AMANAT PENGARAH JPN SELANGOR

TEKS PENGARAH UNTUK PERHIMPUNAN RASMI JPN SELANGOR | 29092021

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera, dan Salam Sehati Sejiwa.

Terima kasih kepada saudara/saudari Pengerusi Majlis;

Yang Berusaha,
Datin Nor Faridah bt A.Bakar
Timbalan Pengarah Pendidikan,
Sektor Pembelajaran, JPN Selangor;
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur program Perhimpunan Bulanan bagi
Bulan September 2021 pada pagi ini,

· Timbalan-Timbalan Pengarah Pendidikan, JPN Selangor;
· Ketua-ketua Penolong Pengarah Kanan, JPN Selangor;
· Barisan Pegawai Pendidikan Daerah Negeri Selangor;
· Pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Pendidikan Selangor;
· dan seterusnya tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

1.0 PENDAHULUAN
1.1 Alhamdulillah, terlebih dahulu, marilah kita panjatkan rasa kesyukuran ke hadrat

Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-
sama dalam majlis perhimpunan bulanan bagi bulan September 2021.
Kesyukuran juga sama-sama kita panjatkan kerana dengan rahmat Allah SWT,
kita masih diberikan kekuatan fizikal dan mental untuk melaksanakan tugas dan
tanggungjawab kita sebagai peneraju dan pelaksana agenda pendidikan dan
wawasan negara di negeri Selangor ini.

1.2 Tahniah dan terima kasih kepada Sektor Pembelajaran yang menjadi tuan rumah
dan mengurus setia perhimpunan pada kali ini. Jelas terzahir kepada saya
kesepaduan kerja yang begitu baik walaupun masing-masing terbatas pergerakan
dan perbincangan bersemuka akibat Pandemik Covid-19.

1.3 Sungguhpun dalam pelbagai cabaran PKP dan BDR, saya dapati semangat
pegawai-pegawai di Sektor Pembelajaran tidak tergugat. Sejak Januari hingga
Ogos 2021, sebanyak 116 siri webinar telah dilaksanakan oleh SPB yang
melibatkan 65,653 penyertaan dalam kalangan guru, Pengetua dan Guru Besar
serta ibu bapa.

1.4 Hasil usaha gigih dan bimbingan para pegawai di SPB juga, saya dapati telah
menghasilkan pelbagai kejayaan yang membanggakan kita semua. Antaranya:

a) Winner of Teacher Chaperone for Space Camp in US Space and Rocket
Center, Huntsville, Alabama oleh Yasmin Binti Noorul Amin dari SMK La Salle
PJ

b) Johan Cikgu Juara Digital MDEC oleh Cikgu Abdul Rahman Bin Ali Bashah dari
SMK Jenjarom

c) Johan Inovasi Peringkat Kebangsaan iaitu Cikgu Kartigesan a/l M.Veloo dari
SK Olak Lempit

d) Anugerah Emas bagi Kit Celik Mengarang Selangor (KCMS) Teknik PPDAKU
dalam Konvensyen Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan oleh CIkgu Abdul
Rani bin Abdul Rahman dari SK Taman Seri Gombak.

e) Anugerah Emas Peringkat Antarabangsa Inovasi Bahasa Arab oleh Cikgu
Norazman bin Ahmat Syafri dari SK Puchong Indah

f) Anugerah Emas ‘Popup Chromatography Box” dalam Persidangan Kemahiran
Berfikir Aras Tinggi (KBAT) oleh Cikgu Tuti Azuraidah Nasir dari SMK Bandar
Rinching.

g) Anugerah Emas Modul CreaPRO2SeS dalam Persidangan Kemahiran Berfikir
Aras Tinggi (KBAT) oleh kumpulan guru (Nor Lelawati, Suzana, Iza Rozwanie,
Masturah dan Norsyahiza) daripada SMK Tun Perak.

1.5 Banyak lagi kejayaan yang telah dicapai, jika hendak disenaraikan, memang akan
makan masa yang panjang. Saya berharap, kita semua terus tingkatkan iltizam
dan dedikasi untuk terus mencorak kejayaan kepada semua guru dan anak murid
di negeri Selangor tercinta ini.

Hadirin sekalian,

2.0 UCAPAN SELAMAT HARI MALAYSIA
2.1 Masih belum terlambat rasanya untuk saya ucapkan Selamat Menyambut Hari

Malaysia untuk semua warga pendidikan di negeri Selangor ini. Marilah sama-
sama kita berdoa agar negara kita terus aman damai dan terhindar daripada
segala anasir-anasir yang tidak sihat.

2.2 Terimalah dua rangkap pantun dari saya:
Aman bahagia rakyat sejahtera,
Rakyat sepakat dalam perpaduan:
Pelbagai kaum meraikan Hari Malaysia,
Semoga terus di puncak kejayaan.

Bersyukur menjadi rakyat Malaysia,
Bumi bertuah indah permai,
Enam puluh empat tahun kita merdeka,
Rakyat hidup aman damai.

Hadirin yang saya hormati,

3.0 KPMPerkasaKU
3.1 Untuk makluman semua, pada 30 Ogos 2021, KPM telah melancarkan
Program Pemerkasaan Pelaksanaan Kurikulum yang dikenali secara
ringkasnya sebagai KPMPerkasaKU. Program ini merupakan salah satu
usaha untuk merapatkan jurang pembelajaran yang berlaku dalam kalangan
murid berikutan Pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

3.2 KPMPerkasaKU ini akan mula dilaksanakan bermula dari 1 September 2021
sehingga 28 Februari 2022. Sewajarnya semua warga pendidik di negeri
Selangor memahami dan menjadikan KPMPerkasaKU sebagai tunjang dalam
tugas seharian di JPN/PPD dan juga sekolah.

3.3 Matlamat utama program ini dilaksanakan adalah bagi membantu murid untuk
memperkasakan kemahiran asas dan tahap pembelajaran mereka. Hal
ini penting agar asas kemahiran dapat ditanam dalam diri murid sejak awal
dan mudah dilentur apabila mereka menjejak kaki di sekolah menengah kelak.

3.4 Terdapat empat perkara utama yang perlu diberi fokus oleh kita semua dalam
program ini untuk dilaksanakan iaitu:
a) Pertama, strategi pengukuhan dan pengayaan yang bertujuan untuk
merapatkan jurang pembelajaran yang timbul akibat pelbagai kekangan
semasa melaksanakan PdPR.

Ini merupakan peranan semua guru dari Prasekolah hingga ke Tingkatan
6. Pegawai JPN/PPD perlu membimbing para guru melaksanakan aktiviti
pengukuhan dan pengayaan pembelajaran yang bermakna dan
berkesan, agar kemahiran yang perlu disampaikan dapat diterima oleh
semua murid yang terdiri daripada pelbagai aras.

b) Kedua, Program Pemugaran Literasi dan Numerasi yang merupakan
strategi bagi membantu murid, guru dan ibu bapa/penjaga untuk
mengukuhkan kemahiran literasi dan numerasi sesuai dengan tahap
keupayaan murid. Program ini dilaksanakan khususnya kepada murid
Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) yang belum menguasai tahap minimum 3M
semasa tempoh PdPR.

Perkara ini khusus untuk aktiviti kelas Pemulihan Khas di semua sekolah.
Peranan Penolong PPD Pemulihan Khas yang dilantik seramai 4 orang di
setiap PPD mulai 2020 perlu berperanan secara proaktif dan efisien bagi
memastikan semua guru Pemulihan Khas melaksanakan PdP/PdPR
berkesan dan bermakna, dalam usaha membantu semua murid celik asas
membaca, menulis dan mengira (3M).

c) Ketiga, memastikan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang merupakan
proses berterusan dan komponen penting bagi mendapatkan maklumat
untuk mengenal pasti dan merekod perkembangan, kemajuan, kebolehan
dan pencapaian murid dalam PdP/PdPR tidak diabaikan. Untuk itu, PBD
dilaksanakan dan diteruskan bagi memastikan tahap keupayaan dan
penguasaan pembelajaran murid sentiasa ditaksir, direkod dan dipantau
walaupun dalam tempoh PdPR.

Saya berharap agar pelaksanaan PBD dapat dilaksanakan secara tepat,
telus dan berintegriti. Pentadbir sekolah memainkan peranan penting bagi
memantau dan memastikan pelaksanaan PBD ini dijalankan mengikut
garis panduan yang telah ditetapkan oleh KPM.

d) Keempat, satu sistem penyimpanan bahan pengajaran (SumberKu)
dan pembelajaran bagi mengurus, menyimpan dan menyediakan akses
kepada bahan dalam bentuk digital telah disediakan. Bahan sumber
khusus untuk sekolah rendah dan menengah telah dimuat naik di pelantar
DELIMa.

Pembudayaan SumberKu perlu diterapkan oleh pegawai-pegawai
SSTP/USTP di JPN dan PPD kepada semua pentadbir dan guru di
sekolah. Para guru di negeri Selangor perlu diberi pendedahan dan
kemahiran mendapatkan bahan-bahan daripada DELIMa ini serta
menggunakan secara efektif dalam PdP/PdPR mereka.

3.5 Saya berharap agar semua warga pendidik di negeri Selangor menyambut
program KPMPerkasaKU ini dan berusaha untuk menjayakan matlamat
pelaksanaannya. Saya juga menyeru semua warga Jabatan Pendidikan
Negeri Selangor agar sama-sama berusaha dan berazam untuk
‘memerdekakan’ anak didik kita dari belenggu ‘learning loss’ dan ‘learning
gap’.

Tuan-puan yang saya muliakan,

4.0 PEMBUKAAN SEKOLAH

4.1 Pada 12 September 2021, KPM juga telah mengumumkan tarikh pembukaan
sekolah yang akan bermula pada 3 Oktober 2021. Pembukaan sekolah
secara berperingkat ini adalah mengikut fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan
Negara (PPN).

4.2 Negeri Selangor pada masa kini masih berada dalam Fasa 2, oleh itu
ketetapan pembukaan sekolah adalah:

a) Bagi sekolah rendah
· semua murid Prasekolah hingga Tahun 6 belajar secara PdPR
· Murid berkeperluan khas (MBK) di SKPK dan PPKI hadir tanpa
penggiliran

b) Bagi sekolah menengah:
· Murid kelas Peralihan hingga Tingkatan 6 Semester 1, belajar secara
PdPR
· Murid Ting. 6 Semester 2, International Baccalaureate Diploma (IBD)
Tahun 2 dan Program PraUniversiti Sem 3 di Sekolah Malaysia hadir
tanpa penggiliran
· Murid Berkeperluan Khas (MBK) di SKPK, SMKPK/SMPKV & PPKI
hadir tanpa penggiliran
· Murid kelas peperiksaan antarabangsa hadir tanpa penggiliran

4.3 Sesi persekolahan bagi tahun ini akan dilanjutkan sehingga Februari 2022. Ini
bermaksud murid-murid akan terus kekal berada dalam kelas masing-masing
sehingga Mac 2022. Peralihan darjah atau tingkatan akan berlaku pada bulan
Mac, sekali gus memberi tempoh dua bulan untuk proses intervensi, sekiranya
ada murid-murid yang tercicir. Pihak sekolah perlu bijak menggunakan
tempoh ini untuk mengukuhkan kefahaman murid dan penguasaan topik-topik
yang ketinggalan.

4.4 Ini merupakan anjakan baharu KPM bagi menangani masalah jika ada murid
yang tidak dapat mencapai tahap sepenuhnya sepanjang tempoh PdPR yang
diamalkan sebelum ini.

4.5 Oleh itu, peranan kita semua di JPN sangat penting bagi memastikan guru-
guru melaksanakan PdPR dengan berkesan dan bermakna supaya golongan
murid yang berada pada tahap penguasaan yang lemah, dapat menguasai
tahap minimum sebelum naik ke tahap selanjutnya, dengan memberikan
pelbagai program intervensi. Kita juga perlu melihat apakah bentuk bantuan
dan sokongan kepada mereka agar benar-benar bersedia untuk ke tahap
pembelajaran seterusnya.

4.6 Selain daripada itu, isu keciciran murid juga perlu dititik beratkan supaya
semua murid dapat belajar dengan baik sama ada secara dalam talian atau
luar talian. Murid perlu sentiasa diperingatkan dan diberi motivasi serta
semangat untuk menjalani PdPR agar momentum untuk terus belajar akan
sentiasa ada dalam diri mereka.

4.7 Bagi murid yang hadir ke sekolah secara bersemuka pula, pematuhan SOP
sangat penting, seperti:

a) Pemakaian pelitup muka diwajibkan, tetapi bagi murid yang kurang
mampu, akan dibekalkan dengan bantuan

b) Waktu rehat adalah di bawah pengawasan guru
c) Aktiviti kokurikulum belum dibolehkan kecuali PJK dengan syarat murid

telah memakai pakaian sukan dari rumah.
d) Murid juga dibenarkan memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta

sopan sekiranya pakaian seragam yang ada tidak lagi sesuai dipakai.

4.8 Saya berharap agar semua pihak sama ada JPN/PPD dapat menggalas
tanggung jawab masing-masing dalam usaha memastikan semua murid
berpeluang menerima pelajaran dengan sempurna sama ada secara
bersemuka atau secara PdPR.

5.0 PENUTUPAN HARI KEMERDEKAAN

5.1 Sempena sambutan Bulan Kebangsaan yang diadakan sepanjang bulan
Ogos hingga September, pelbagai program telah dilaksanakan bagi
menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan setiap warga
Jabatan Pendidikan Selangor.

5.2 Antaranya ialah Pertandingan Pantun, Pertandingan Kereta Berhias,
Pertandingan Pakaian Beragam dan banyak lagi. Kita dapat melihat
pelbagai idea kreatif dizahirkan oleh warga JPN Selangor dalam
mengekspresikan semangat patriotisme mengikut norma baharu.

5.3 Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus
membuat segala perancangan dan pelaksanaan program-program secara
maya bagi mengisi sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

5.4 Saya ingin lihat semangat patriotisme ini sentiasa mekar dalam hati kita.
Setiap tahun semangat ini akan kita perkukuhkan lagi di sepanjang
Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.

5.5 Mudah-mudahan dengan cara ini rasa cinta kita kepada negara tidak akan
kunjung padam sampai bila-bila, dan ianya boleh menjadi tali pengikat
utama kepada perpaduan bangsa di negara ini.

5.6 Sebagai penutup sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat JPN Selangor
bagi tahun 2021 ini, izinkan saya melafazkan sajak kemerdekaan:
Merdeka kita merdeka di minda
Pentingkan ilmu bukannya benda
Tingkatkan usaha berlipat ganda
Kukuhkah iman di dalam dada.

Ingat pesanku anak merdeka
Janganlah alpa janganlah leka
Pertahankan negara sekalipun terluka
Jangan terjajah kali kedua.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

6.0 PENUTUP KATA
6.1 Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada warga
kerja Jabatan Pendidikan Selangor yang mendapat cahaya mata dan yang
menjadi pengantin baharu.

6.2 Manakala kepada yang berpindah masuk ke Jabatan Pendidikan Selangor,
diucapkan selamat datang, dan yang berpindah keluar saya mengucapkan
terima kasih atas khidmat bakti yang diberikan selama berada di Jabatan
Pendidikan Selangor.

6.3 Kepada yang menyambut hari ulang tahun kelahiran pada bulan ini, selamat
panjang umur dan murah rezeki. Kepada rakan-rakan kita yang kehilangan
keluarga terdekat, takziah diucapkan, semoga roh insan tersayang
ditempatkan bersama-sama mereka yang dicintai Ilahi. Aamiin.

6.4 Seterusnya, terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Sektor
Pembelajaran serta semua pegawai dan kakitangan yang terlibat secara
langsung atau tidak langsung bagi menjayakan perhimpunan bulan
September ini.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

Pengarah Pendidikan
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor
29 September 2021


Click to View FlipBook Version