PENGENALAN
Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang bangsa, kaum, agama dan kaya
dengan jalinan kebudayaan yang pelbagai. Ini telah mewujudkan beqenis-jenis rekaan
pakaian tradisional mengikut kepercayaan masing-masing. Bersesuaian dengan tamadun
dunia kini yang telah menobadkan pakaian tradisional sebagai pakaian kebangsaan
kebanggaan diri. Pakaian tradisional ini dipakai secara terus menerus ketika majlis dan adat
istiadat, temasya dan keramaian, untuk meraikan sesuatu peristiwa di dalam sesebuah
masyarakat. Terdapat beberapa jenis pakaian tradisional yang dianggap sebagai pakaian
kebangsaan, di dalam erti kata lain pakaian ini dipakai di merata tanah air oleh pelbagai
kaum dan suku kaum. Di dalam masyarakat Melayu terdapat pakaian tradisional utama dan
penting yang masih terus dipakai sehingga ke hari ini. Baju Kurung Teluk Belanga, Baju
Kurung Cekak Musang dan Baju Kebaya Labuh yang mempunyai sifat yang sama iaitu labuh
sekurang-kurangnya bajunya sampai ke paras lutut. Sifat ini bersesuaian dengan kehalusan
dalam budaya Melayu kita iaitu, pakaian yang indah, halus dan santun itu ialah pakaian yang
labuh. Oleh yang demikian, pakaian seperti ini juga sesuai dikenakan bagi menghadiri majlis-
majlis formal. Manakala baju yang pendek dan singkat seperti Baju Kurung Kedah dan
Kebaya Pendek agak kurang sesuai digayakan untuk ke majlis-majlis formal terutamanya ke
istana raja. Pakaian tradisional orang Melayu kini juga bergerak seiring dengan peredaran
dan perkembangan pakaian orang dahulu kala melalui proses ubah ansur. Namun begitu,
pakaian tradisional Melayu masih teguh keutuhan dan ketahanan walaupun dilanda arus
perkembangan fesyen. Rekabentuk Dan Pola Baju Kurung Melayu Di Malaysia gaya barat.
Antara pakaian wanita yang masih popular termasuklah Baju Kurung, Baju Kurung Kedah,
Baju Kebaya, Kebaya Panjang dan Baju Kebaya Pendek. Seiring dengan perkembangan
industri dunia fesyen masa kini, pakaian tradisional turut mengalami perubahan rekabentuk
asal pakaian tersebut. Perubahan ini dapat dilihat dengan jelas daripada pola pakaian bagi
setiap potongan rekabentuk pakaian tersebut. Rekabentuk pakaian ini turut diubahsuai
dengan pelbagai cara dan penggayaannya untuk dikomersialkan mengikut kehendak dan
permintaan pasaran masa kini.
APA ITU BAJU KURUNG
Baju kurung (Jawi: )باجو کوروڠialah pakaian tradisional untuk wanita Melayu. Baju Kurung
terbahagi kepada dua iaitu Baju Kurung Lelaki dan Baju Kurung Perempuan. Baju Kurung
lelaki juga dikenali juga sebagai Baju Melayu. Ia menjadi pakaian rasmi untuk negara Brunei,
Indonesia, Malaysia , Singapura dan Thailand. Terdapat dua jenis baju kurung iaitu Baju
Kurung Teluk Belanga dan Baju Kurung Cekak Musang. Baju ini sesuai dipakai oleh semua
golongan masyarakat tidak mengira usia. Baju Kurung juga digunakan untuk menghadiri
majlis perkahwinan, majlis agama, dan majlis rasmi. Di Malaysia, secara amnya seluruh
wanita melayu memakai baju kurung sebagai pakaian tradisi ini termasuk pakaian rasmi
pelajar sekolah rendah dan menengah. Cuma reka bentuk dan potongan baju kurung agak
berbeza-beza mengikut negeri. Selaras dengan peredaran zaman, kini pelbagai busana
rekaan moden telah muncul dan diterima oleh masyarakat Melayu. Sungguhpun pada
umumnya kita telah menerima pengaruh moden dalam pakaian harian, namun baju kurung
tetap menjadi pilihan kaum wanita untuk digayakan. Bezanya, rekaan baju kurung sekarang
lebih kontemporari tetapi masih mengekalkan ciri-ciri keasliannya.
Selain terdapat perubahan pada potongan dan bentuknya, untuk menghasilkan rekaan yang
lebih moden dan kreatif, baju kurung juga dihiasi dengan sulaman, kerawang, manik
mahupun labuci. Material untuk menghasilkan baju kurung juga turut berubah. Kini,
terdapat pelbagai pilihan material antaranya satin, organza, chiffon, sutera, batik, linen dan
banyak lagi. Perubahan ini dilakukan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa atau majlis
yang hendak dihadiri selain cuba meniru gaya potongan asing yang mungkin bertujuan
untuk kelihatan lebih anggun. Kini terdapat pelbagai variasi baju kurung dan ia dikenali
sebagai Baju Kurung Moden. Walaupun baju kurung telah mengalami evolusi selaras dengan
perubahan masa dan citarasa pemakai, namun rekaannya masih sama. Ia tetap selesa dan
manis dipakai selain menampakkan kesopanan gadis Timur dan keunggulan budaya Melayu.
SEJARAH BAJU KURUNG
Dari segi sejarahnya, baju kurung dikatakan mempunyai kaitan dengan pakaian ‘djallabiyah’
yang berasal dari Mesir di mana ia diertikan sebagai baju longgar.
Tenas Effendy (1989) telah mengumpul ungkapan orang tua di daerah Riau, daerah rumpun
Melayu yang terdekat dengan Malaysia (Semenajung Tanah Melayu) tentang baju kurung.
Baju kurung yang digambarkan oleh beliau ialah baju kurung teluk belanga atau baju kurung
yang dijahit dengan jahitan tulang belut di bahagian leher yang nampak halus dan rapi.
Pakaian ini merupakan pakaian wanita yang bersopan dan juga pakaian setiap ahli dalam
golongan masyarakat untuk pelbagai majlis dan adat.
Mengikut Siti Zainon (2006) pula, baju kurung ialah pakaian yang popular di kalangan orang
Melayu. Pengertian kurung mempunyai persamaan dengan konsep pakaian menutup anggota
tubuh. Ciri ini didapati menepati dengan konsep cara Melayu selepas kedatangan Islam. Beliau
juga telah mendapati pelbagai jenis kurung mendapat inspirasi daripada baju kurung,
antaranya ialah Kurung Pahang, Kurung Kedah, Kurung Cekak Musang dan Kurung Teluk
Belanga. Kini baju kurung yang labuh paras lutut hanya disebut sebagai baju kurung sahaja
dan telah dikhususkan untuk pakaian wanita.
Baju kurung dianggap popular dipakai oleh kaum wanita. Kurung membawa erti
‘mengurung atau menutup’ anggota tubuh. Cara ini menepati konsep pakaian cara Melayu
setelah kedatangan Islam sehinggalah istilah ‘kurung’ diertikan sebagai baju yang selesa dan
longgar, labuh atau panjang.
JENIS BAJU KURUNG
BAJU KURUNG
Sebelum kurun ke-20, wanita Melayu hanya memakai kain kemban sahaja. Setelah
kedatangan Islam, mereka mula memakai baju kurung yang sopan. Baju kurung lazimnya
diketahui sebagai jenis baju longgar yang labuh, kadang kala hingga ke lutut dan dipadankan
dengan kain panjang yang berlipat tepi. Baju tersebut meliputi seluruh tubuh,
memperlihatkan wajah dan tangan sahaja, dilihat sebagai mematuhi peraturan pakaian
Islam. Baju kurung boleh dipadankan dengan kain tradisional seperti songket atau batik.
Digandingkan dengan kain selendang atau tudung kepala. Baju kurung sesuai dipakai dalam
majlis-majlis formal atau urusan seharian.
CIRI-CIRI BAJU KURUNG
Baju yang dipakai oleh lelaki labuhnya adalah separas punggung, alas lehernya lebar
dan mempunyai tiga kocek iaitu di dada kiri, di dada kanan dan di bahagian bawah hadapan
baju, manakala baju kurung yang dipakai oleh kaum wanita pula labuhnya hingga ke lutut
dengan satu kocek di dada kiri atau pun tanpa kocek. Kaum lelaki memakai baju ini dengan
seluar panjang samada seluar Acheh atau Seluar Panjut. Kaum wanita pula memadankannya
bersama kain samada kain dari jenis batik, songket atau sutera. Kain ini pula diikat dengan
ikatan yang bernama ombak mengalun, iaitu dengan lipatan-lipatan yang letaknya di rusuk
kanan atau kiri. Kepala kain sarung lazimnya diletakkan ke belakang apabila dipakai dengan
baju kurung ini.
Pada masa dahulu, wanita Johor memadankan baju kurung dengan kain dagang luar,
iaitu sehelai kain sarung yang pada asalnya digunakan sebagai kain kelubung untuk
menudung kepala dan berlindung dari cahaya matahari apabila keluar berjalan. Kain dagang
luar ini dikenakan di pinggang seperti kain samping lelaki dengan ombak-ombaknya di bawa
ke rusuk kiri dan disaukkan pada lengan atau dipegang dengan tangan. Kain mantul, iaitu
sehelai selendang pendek yang bertekat dengan kelingkan emas biasanya akan
disangkutkan ke bahu apabila si pemakai mengenakan baju kurung dengan kain dagang luar
ini. Walaubagaimanapun, baju kurung pada hari ini tidak lagi dipakai dengan kain-kain
tradisional sebegini yang lazimnya hanya digunakan oleh masyarakat Melayu zaman dahulu.
CARA PEMBUATANNYA
Cara pembuatannya dengan menyambungkan pesak, kekek dan lengan baju dengan
badan baju menggunakan mesin jahitan. Kemudian ianya dikelim dan dijahit sembat pula
menggunakan tangan secara manual tetapi dengan jahitan yang halus. Tepi lengan dan kaki
baju dilipat dan dijahit sembat juga secara manual. Leher Baju Kurung Teluk Belanga dibuat
bulat seperti bulan ( ia dipanggil bulan-bulan) dan dibelah menurun di bahagian depan. Tepi
lubang leher dijahit menggunakan sulaman halus yang diberi nama ’’Tulang Belut’’. Leher
baju dibuat sedemikian untuk menguatkan jahitan agar tidak mudah koyak dan kelihatan
lebih menarik.
Pada leher baju pula, dikenakan sebutir kancing berlengkang. Kancing ini biasanya
berbentuk bulat dan diperbuat dari emas atau perak dan bertatahkan permata. Seterusnya,
di bahagian sebelah kiri baju ini di bahagian pinggang atau rusuk baju disediakan poket kecil.
Kegunaannya untuk menyimpan sapu tangan kecil atau barangan yang halus sahaja. Pada
kebiasaannya, baju kurung ini dipakai dengan kain sarung yang diikat berombak-ombak di
rusuk sebelah kiri atau kanan yang juga dikenali sebagai ’’ombak mengalun’’. Manakala
kepala kain diletak di sebelah belakang. Cara memakai baju juga terdapat perbezaan dimana
bagi baju Melayu Teluk Belanga biasanya sampin dipakai diluar baju. Inilah kesenian yang
kekal dan masih digunakan hingga sekarang. Namun perubahan zaman telah merubah
sedikit bentuk klasikal yang terdapat pada pakaian ini.
Baju Kurung Teluk Belanga
Menurut Dato’ Haji Muhammad Said Haji Sulaiman, dalam bukunya Pakaian Patut Melayu,
pakaian baju kurung yang dipakai sehingga sekarang berasal dari negeri Johor. Menurut
beliau, pakaian tradisional ini dipakai di negeri Johor sejak zaman pemerintahan Almarhum
Sultan Abu Bakar; iaitu pada tahun 1800 di Teluk Belanga, Singapura.
Pada masa itu Teluk Belanga di bawah pemerintahan negeri Johor. Orang Johor telah
mengubah suai pakaian Melayu di bahagian leher dengan menjahit “tulang belut” dan
“sembat halus” pada seluruh baju kurung itu; supaya kelihatan lebih kemas dan menarik.
Baju kurung Teluk Belanga mempunyai leher berbentuk bulat dan belahan di hadapan. Pada
bahagian pangkal belahan dibuat tempat pengancing baju iaitu ‘rumah kancing’ dengan
menggunakan jahitan benang. Rumah kancing dibuat dengan jahitan ‘insang pari’.
Baju kurung Teluk Belanga memerlukan bahagian lehernya dikancing dengan sebutir butang
yang berwarna emas atau perak. Bagi kaum lelaki, baju ini dipadankan dengan seluar serta
kain samping dagang.Ciri-ciri ini telah memperlihatkan keunikan identiti baju kurung orang
Johor. Bagi kaum wanita, mereka biasanya memakai butang berbatu berlian atau batu lain
yang bernilai. Kini, kaum wanita gemar menggunakan keronsang kecil sebagai pengganti
butang baju kurung. Baju kurung ini dipakai dengan kain sarung ikatan ‘ombak mengalun’.
Baju Kurung Cekak Musang
Baju kurung telah mengalami pelbagai perubahan sejak dari mula baju ini dicipta. Baju
kurung yang ditambah dengan leher berdiri; dinamakan baju kurung cekak musang atau
baju wan. Baju ini telah dipengaruhi oleh baju gamis atau kamis (jubah jemaah haji yang
pulang dari Makkah). Jubah ini telah dipendekkan ke paras punggung supaya selesa
dipakai.Poketnya dijahit serupa dengan baju kurung Teluk Belanga. Bahagian leher baju
kurung cekak musang ini dikancing dengan tiga, lima, tujuh atau sembilan butir butang.
Bahagian leher ini tidak dijahit tulang belut halus. Bagi kaum lelaki, baju ini dipadankan
dengan seluar potong Melayu dengan kain samping dagang luar.Bagi kaum wanita pula, baju
kurung cekak musang juga dipakai dengan kain sarung ikatan ‘ombak mengalun’.
Baju Kurung Moden
Ia adalah pakaian wanita yang terbaru di Malaysia. Potongan baju kurung moden berbeza
daripada potongan yang tradisional. Aksesori seperti butang dan paiping biasanya
disediakan kepada pengguna. Ini jenis pakaian sesuai untuk wanita yang tinggi dan
mempunyai badan yang slim. Baju kurung moden mempunyai ciri-ciri yang berlainan
dengan baju kurung tradisional. Baju kurung moden digubah supaya kelihatan kemas dan
menarik. Ia tidak gelobor seperti baju kurung tradisional. Ini kerana baju kurung moden
mempunyai jahitan kekek dan pesak pada bahagian sisi baju. Namun, ciri-ciri utama masih
dipelihara. Sebagai contoh, pakaian ini masih berlengan panjang dan masih digunakan
dengan kain sarung.
Baju Kurung Sarawak
Keindahan pakaian jenis baju kurung dari Sarawak terserlah dengan hiasan kreatif yang
mempamerkan kemahiran menghiaskan corak menggunakan tangan. Corak hiasan pada
baju kurung ini membentuk motif-motif etnik sama ada daripada tenunan, jalinan manik dan
labuci. Paling penting sekali, ia seringkali menggunakan kain songket.
2. Baju Kurung Negeri Sembilan
Negeri Sembilan amat kaya dengan budaya kesenian dari segi pertukangan sehinggalah
kepada pakaian yang cantik-cantik. Biasanya kaum wanita di sana gemar mengenakan baju
Kurung Negeri Sembilan. Jenis Baju Kurung ini sama seperti Baju Kurung Teluk Belanga dan
Kebaya labuh yang dipadankan pula dengan kain sarung.
Bagi wanita bangsawan yang berketurunan Minangkabau, pakaian baju kurungnya
diperbuat daripada kain baldu bersulam benang emas yang bertatahkan labuci. Kain
sarungnya pula diperbuat dari kain songket penuh yang ditenun khas dari Pandai Sikek atau
dari Batu Bara di Sumatera.
3. Baju Kurung Kedah
Baju Kurung Kedah dipercayai berasal dari Selatan Thailand. Jenis baju kurung ini
menyerupai baju blaus pendek yang dibuat singkat sampai ke paras punggung. Jika anda
lihat sendiri, jenis baju kurung ini amat menyerupai baju blaus di selatan Thailand
bukan? Baju Kurung Kedah merupakan jenis baju kurung yang longgar dan diperbuat
daripada kain kapas (cotton) yang berbunga kecil atau kain kasa tebal atau nipis yang jarang.
Namun, bergantung kepada corak yang dipilih. Di bahagian leher pula, dibuat bentuk
potongan bujur sireh. Baju Kurung Kedah biasanya dipakai bersama kain sarung. Kain
sarung tersebut diikat secara ambak mengalur dan di masuk sebelah kiri atau kanan kain.
Baju Kurung Kedah boleh disifatkan sebagai pakaian seharian ataupun sebagai pakaian
basahan.
4. Baju Kurung Perak
Jenis baju kurung ini sukar untuk dilihat pada masa kini. Biasanya baju kurung ini dipakai
oleh puteri di perak pada zaman dahulu. Reka bentuk baju kurung ini juga amat berbeza
daripada baju kurung yang lain kerana ia perlu dipakai dengan seluar dan sampin. Rekaan
baju kurung ini juga mempunyai persamaan dengan baju kurung cekak musang kerana
memiliki kolar di bahagian leher.
5. Baju Kurung Pahang
Jenis Baju Kurung ini dikenali sabagai Baju Kurung Riau Pahang. Baju kurung ini dikatakan
sebagai simbolik menyingkap sejarah pertalian antara kedua negeri Riau dan Pahang.
Walaupun dua negeri ini adalah berjauhan, hubungan politik dan sosial budaya yang terjalin
sewaktu zaman kerajaan Melayu Melaka terserlah. Dengan keutuhan tersebut, maka
terciptalah jenis baju kurung ini yang juga dikenal sebagai Baju Belah atau Baju Kebaya
Turki. Berbeza dengan pesak jenis baju kurung, kedua-dua bahagian tepi Baju Kurung Riau
Pahang adalah jenis berpesak bunga yang disambungkan dengan kekek gantung. Baju ini
amat sangat menarik sekali dipakai dengan butang yang ganjil bilangannya iaitu tujuh atau
sembilan biji butang.
6. Baju Kurung Melaka
Pakaian tradisional wanita Melayu Melaka pula selesa mengenakan jenis baju kurung teluk
belanga. Uniknya, baju kurung ini diubah dengan gayanya yang tersendiri. Baju kurung ini
diubah dengan mempunyai hiasan dada dihiasi dengan sibar layang dari baldu beserta
manik dan labuci.
7. Baju Kurung Cekak Musang
Baju kurung Cekak Musang ini lebih kurang seperti jenis baju kurung teluk belanga. Namun
ianya berbeza pada struktur gaya lehernya, tengkuk cekak tinggi atau leher tegak. Jenis baju
kurung ini dipercayai menerima potongan daripada pengaruh gaya India dan China.
8. Baju Kurung Teluk Belanga
Baju kurung ini juga dikenali sebagai salah satu jenis baju kurung Johor. Baju kurung ini mula
diperkenalkan semasa zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar. Baginda
menetapkan supaya baju perempuan labuhnya sampai ke bawah lutut, alas lehernya dijahit
halus dan tidak mempunyai kocek atau poket. Kini, perbagai jenis modifikasi dan
pengubahsuaian telah dilakukan oleh para pereka fesyen yang selari dengan perubahan
fesyen masa kini.
9. Baju Kurung Johor
Walaupun wanita Johor terkenal dengan baju kurung, tetapi dalam acara majlis, mereka
muncul juga dengan memakai kebaya, sebagai warisan daripada Kerajaan Johor-Riau. Pola
baju belah panjang ini masih bersifat ‘mengurungkan’ anggota badan. Secara tradisi
potongannya labuh sehingga buku lali. Cuma bezanya ia berbelah dan berpesak di hadapan
baju ini, umumnya dipakai sebagai pakaian di luar rumah atau upacara rasmi. Baju belah
panjang ini terkenal di Melaka, Perak, Selangor dan Kedah-Perlis. Baju kurung belah ini
kemudiannya dikenali sebagai ‘baju panjang’ dan ‘kebaya panjang’. Tradisi ini berkembang
menjadi kebaya dan bertangan panjang berpesak lurus di hadapan, berkekek dan berbelah
dada yang ditutup dengan kancing atau kerongsang tiga. Jenis baju kurung ini mula
diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar juga. Ianya terjadi ketika
baginda bersemayam di Teluk Belanga sebelum berpindah ke Tanjung Puteri. Terdapat
pelbagai bentuk sulaman baju kurung Johor iaitu mata lalat, tulang belut dan insang pari.
Sewaktu pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, baginda
telah mengubah rekaan baju kurung tersebut seperti Allahyarham Jaafar bin Haji
Muhammad. Antara yang digubah oleh baginda pada baju kurung tersebut adalah ditambah
kocek dan mengenakan kain bersusun di sebelah kiri. Baju kurung ini amat popular dalam
kalangan masyarakat Johor dan dipakai pada hari perayaan dan apabila menghadiri pelbagai
majlis tertentu.
Baju Kurung Pesak
Baju kurung pesak merupakan jenis baju kurung tradisional Johor. Baju kurung ini
mengenakan potongan klasik yang mula-mula dipakai oleh semua wanita Melayu. Apa yang
membezakan rekaan baju kurung ini dengan rekaan yang lain adalah baju kurung ini
mempunyai potongan pesak di bahagian kiri dan kanan baju.