Penulis: SYARIFFAH NURADILAH BINTI SYED YAACOB
Pada zaman dahulu, di dalam hutan
semua ungas tidak berwarna.
Mereka semua berwarna putih bersih.
Terdapat dua ekor ungas yang berkawan
baik, iaitu seekor merak dan seekor
gagak.
Mereka bersahabat baik dari kecil.
Mereka sering main bersama-sama.
Pada suatu hari, mereka telah ke taman dan bermain
bersama. Apabila tiba di taman, mereka terpegun
dengan keindahan taman yang penuh dengan bunga-
bunga yang berwarna warni.
Tiba-tiba mereka ternampak
beberapa bekas tertutup.
Mereka menghampiri bekas
tersebut dan cuba membukanya.
Mereka dapati bekas tersebut
mengandungi warna-warna yang
sangat cantik.
Mereka mendapat akal dan bercadang
mewarnakan badan mereka.
Si Merak meminta tolong Si Gagak untuk
mewarnakan badannya dan berjanji akan
mewarnakan badan gagak dengan cantik.
Gagak bersetuju.
Gagak mewarnakan badan merak dengan teliti
dan cantik sekali. Setelah siap, merak melihat
bayang-bayangnya di tepi tasik.
Merak sangat teruja dan seronok. Merak
mula berasa bangga dan bongkak akan dirinya.
Gagak meminta merak mewarnakan badannya.
Dia ingin kelihatan cantik seperti merak.
Namun begitu, timbul perasaan dengki
terhadap gagak. Merak ingin hanya dia seekor
sahaja yang kelihatan paling cantik.
Merak mendapat idea yang sangat jahat.
Dia mengarahkan gagak untuk menutup
matanya.
Dengan sepantas kilat, merak mengambil satu
cat berwarna hitam lalu menuang ke atas
badan gagak. Merak kemudiannya terbang ke
atas pokok lalu mentertawakan gagak.
Gagak terpinga-pinga selepas
mendengar tawa Si Merak. Gagak
menghampiri tasik untuk melihat
dirinya. Alangkah terkejutnya gagak
apabila melihat dirinya serba hitam.
Gagak berasa kesal dengan sikap bongkak
Si Merak. Gagak berjanji kepada dirinya
agar tidak berkawan dengan Si Merak lagi.
Kini, Gagak dan Merak tidak berkawan di
antara satu sama lain. Si Merak berasa
menyesal akan sikap bongkaknya.
Pengajaran yang diperoleh daripada cerita ini ialah:
1. Tidak mudah percaya akan rakan sekeliling.
2. Jangan ada sikap dengki atau iri hati terhadap rakan.
3. Jangan bersikap sombong dan bongkak dengan rakan.