Perkhidmatan Awam Baru (PeAB) dan Pendekatan Bersih, Muafakat dan Sejahtera:
Kajian Kes di Negeri Sembilan
Mazlan bin Che Soh, PhD
Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi
UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban
Persiaran Tiga/1, 70300 Seremban, Negeri Sembilan
Emel: [email protected]
PENGENALAN
Pentadbiran awam adalah merupakan proses menyusun dan mengurus sumber tenaga
manusia dan lain-lain sumber dengan tujuan untuk mencapai matlamat yang ditetapkan oleh
kerajaan. Idea utamanya adalah tindakan rasional yang dilakukan secara bersama. Ianya
adalah berkait dengan perjalanan urusan awam, pengurusan urusan awam dan pelaksanaan
dasar awam. Menurut Caiden (1982), pentadbiran awam “merujuk kepada pelaksanaan
pernyataan yang dibuat oleh pihak berkuasa awam yang diakui, organisasi jentera
penguatkuasaan untuk memastikan kesesuaian dan hubungan masyarakat antara orang awam
dan pegawai awam yang dilantik untuk kepentingan kolektif yang selanjutnya. Ini termasuk
organisasi bagi urusan awam, tujuan sosial dan pengambilan keputusan kolektif, pengelolaan
institusi awam, pejabat awam dan harta benda awam, dan administrasi masyarakat oleh
pegawai, meliputi sikap dan tingkah laku serta tindakan.”
Pentadbiran awam, sebagai satu proses, terdiri daripada tindakan yang terlibat dalam
melaksanakan niat atau keinginan kerajaan dan dasar awam. Oleh itu, ianya boleh ditafsirkan
sebagai suatu urusan kerajaan yang secara berterusan terlibat dengan menjalankan undang-
undang seperti yang dibuat oleh badan-badan perundangan (atau ejen-ejen lain yang
berwibawa) dan ditafsirkan oleh mahkamah, melalui proses organisasi dan pengurusan.
Dalam erti kata yang lebih luas, pentadbiran awam menandakan kerja yang terlibat dalam
urusan sebenar urusan kerajaan, tanpa mengira cawangan tertentu kerajaan yang berkenaan.
Manakala dalam erti yang lebih sempit, ianya menandakan operasi pentadbiran di peringkat
eksekutif sahaja.
Dalam konteks ini, pentadbiran awam merupakan disiplin yang amat penting terutama
apabila ianya melibatkan aspek penyampaian perkhidmatan, urus tadbir atau governan serta
memastikan fungsi dan peranan kerajaan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan cekap dan
berkesan. Kerajaan sebagai jentera utama pentadbiran awam perlu sentiasa memastikan aspek
penting yang melibatkan kehendak dan permintaan dipenuhi sebaik mungkin, berasaskan
sumber-sumber yang ada. Rakyat mempunyai pengharapan yang amat tinggi terhadap segala
dasar dan tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan. Rakyat akan sentiasa memerhati dan
menilai akan setiap tindakan-tindakan oleh kerajaan. Justeru amatlah mustahak bagi kerajaan
untuk mengambil berat akan perkara ini.
Dalam mendasari hasrat dan harapan ini, Kerajaan Negeri Sembilan di bawah Pakatan
Harapan (PH) yang telah memenangi pilihan raya umum ke-14 serta membentuk kerajaan
telah menggariskan beberapa dasar utama bagi memacu pembangunan negeri. YAB Menteri
Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun sebagai respon kepada hal ini telah mengumumkan
penggunaan slogan ‘Bersih, Muafakat dan Sejahtera’. Pengumuman ini beliau zahirkan
semasa menjawab soalan asal Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamad Hasan pada
persidangan kedua penggal pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-
14. Slogan ini menurut Menteri Besar lagi bakal menjadi asas kepada pembangunan negeri
ini yang meliputi tempoh 2019 hingga 2040 akan membabitkan semua daerah berpandukan
keperluan ekonomi semasa di pelbagai sektor.
Sejak slogan ini digunakan pada tahun 2018 sehingga kini iaitu lebih kurang empat tahun,
tentu sekali ianya telah melalui satu tempoh pelaksanaan dan penilaian terhadap slogan
Bersih, Muafakat dan Sejahtera ini dimanifestasikan bukan sahaja di kalangan pentadbir dan
kakitangan awam, malahan lebih jauh dari itu turut meliputi anggota masyarakat, samada
kumpulan masyarakat sivil/NGO dan rakyat jelata. Mengambil latar dan premis tersebut,
makalah ini akan berusaha untuk mengupas beberapa perkara, terutama melibatkan perspektif
disiplin pentadbiran awam. Usaha ini akan dilakukan dengan mengupas serta mengaitkan
slogan Bersih, Muafakat dan Sejahtera dengan konteks pentadbiran awam, khususnya
penekanan diberi kepada dua pendekatan pentadbiran awam iaitu Pentadbiran Awam Baru
(PeAB) atau juga lebih dikenali sebagai New Public Services (NPS). Ini akan dilakukan
dengan menggunakan beberapa inisiatif serta program yang dilakukan oleh kerajaan sebagai
bentuk kajian kes.
METODOLOGI
Makalah ini menggunakan sepenuhnya analisis kandungan menerusi data sekunder yang
diperolehi dari pelbagai sumber sediada samada dalam bentuk laporan oleh pihak kerajaan
negeri, liputan di media arus perdana serta media sosial, laman web kerajaan negeri dan
agensi berkaitan. Antara sumber utama yang dirujuk adalah portal Negeri Kita yang boleh
dikunjungi di pautan https://negerikita.org. Penulis mendapati pihak kerajaan negeri telah
berjaya menyediakan satu platform yang amat mudah diakses oleh sesiapa sahaja bagi
mendapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan. Analisis kandungan adalah merupakan
suatu kaedah dalam penyelidikan dan ianya didapati banyak disentuh antaranya oleh sarjana
seperti Atkinson dan Coffey (1997), Bowen (2009). Inisiatif yang dilaporkan di laman web
ini kemudian akan dianalisis dan dipetakan kepada prinsip PeAB dan juga slogan oleh
kerajaan Negeri Sembilan.
SEJARAH RINGKAS PERKEMBANGAN PENTADBIRAN AWAM
Andaian utama, konsep dan prinsip Pentadbiran Awam Tradisional (PAT) beroperasi dengan
beberapa andaian iaitu persekitaran adalah statik dan stabil serta boleh dijangka.
Walaubagaimanapun dari segi realiti ianya tidak berlaku sedemikian rupa, bilamana fungsi
dan aktiviti kerajaan yang semakin kompleks serta pengharapan rakyat yang semakin tinggi.
Persekitaran global, samada dari segi politik dan ekonomi juga didapati semakin kompleks
berbanding semasa PAT dilaksanakan. Oleh yang demikian, pendekatan berasaskan model
tradisional ini perlu ditransformasi terutama dalam menangani perubahan geopolitik dan
cabaran ekonomi yang semakin kompleks.
Pengurusan Awam Baru (PAB) atau juga lebih dikenali sebagai New Public Management
(NPM) dalam Bahasa Inggeris lahir ekoran daripada tindakbalas terhadap beberapa faktor
persekitaran yang dihadapi oleh kerajaan sejak beberapa dekad yang lalu (Sarker 2003).
Pertama, sektor awam dilihat terlalu besar serta menelan kos yang tinggi dan ini telah
memberi tekanan serta mengakibatkan program tertentu perlu dipotong dengan tujuan untuk
meningkatkan kecekapan dan keberkesanan. Kedua, sejajar dengan perkembangan semasa,
adalah didapati sejak beberapa tahun yang lepas telah meledak inovasi dalam bidang
teknologi. Ketiga, globalisasi dalam bidang ekonomi disertakan dengan peningkatan
persaingan telah menjadi sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Keempat, sesuatu yang tidak
dapat dielakkan oleh kerajaan adalah bagi meliberalisasikan sektor ekonomi ekoran daripada
bebanan kewangan besar yang terpaksa dihadapi lantaran salah pengurusan, rasuah,
ketidakcekapan dalam pengurusan sumber, kerenah birokrasi dan lain-lain. Lebih penting dari
itu, peningkatan kecekapan dalam pengurusan sumber juga diharapkan untuk berlaku akibat
dari kemelesetan ekonomi dan persaingan. Kelima, dalam dunia yang semakin kompetitif ini,
rakyat didapati lebih mendesak dari segi permintaan terhadap barang dan perkhidmatan yang
berkualiti. Pun begitu, Pengurusan Awam Baru juga turut dikritik hebat atas beberapa
kelemahan seperti “inherent contradictions in the movement” (Fox 1996), aspek nilai yang
dipromosikan didalamnya (deLeon dan Denhardt 2000; Frederickson 1996; Schachter 1997).
PENTADBIRAN AWAM BARU (PeAB) : MEMAHAMI KONSEP ASAS
Justeru, setelah mengambilkira kritikan-kritikan ini serta sebagai alternatif kepada
pentadbiran awam agar lebih memberikan penekanan kepada warganegara dan masyarakat,
maka suatu model baru iaitu Perkhidmatan Awam Baru (PeAB) telah diperkenalkan oleh
Dernhardt dan Dernhardt (2000). Matlamat utama PeAB adalah bagi menangani
permasalahan yang tercetus dari PAB khususnya dari segi pendekatan terhadap matlamat
sebenar sebuah kerajaan dan sektor awam. PeAB adalah bertujuan untuk memastikan “core
questions about the nature of public service, the role of administration in governance and the
value tensions surrounding bureaucracy, efficiency, responsiveness and accountability”
(Dernhardt & Dernhardt, 2015: 664).
Selanjutnya, prinsip-prinsip asas Perkhidmatan Awam Baru, sebagaimana yang diperincikan
oleh Denhardt dan Denhardt (2000; 2011; 2015) adalah berpaksikan kepada tujuh prinsip
utama. Perincian ringkas terhadap prinsip-prinsip ini adalah sebagaimana berikut:-
a) Prinsip pertama yang diketengahkan adalah “Berkhidmat, berbanding memandu”. Di sini
penekanan utama adalah melibatkan peranan asas yang dimainkan oleh kakitangan awam
adalah untuk membantu meningkatkan kesedaran dikalangan rakyat terhadap kepentingan
bersama sesuatu perkara. Ianya bermaksud kakitangan awam tidak lagi hanya bertindak
sebagai “pemandu”, sebaliknya memainkan peranan yang lebih ketara dalam memastikan
rakyat lebih sensitif terhadap pengartikulasian terhadap sesuatu isu;
b) “Kepentingan awam adalah matlamat paling utama, dan bukan berkait dengan produk”
merupakan prinsip kedua PeAB. Pentadbiran awam hendaklah mewujudkan ekosistem secara
lebih efektif menerusi penglibatan kolektif dan perkongsian bersama terhadap meletakkan
kepentingan awam sebagai matlamat paling utama. Objektif di sini adalah bukan untuk
mencari penyelesaian segera yang dipacu oleh pilihan individu, sebaliknya adalah
berpaksikan kepada kepentingan dan tanggungjawab yang dikongsi secara bersama;
c) “Berfikir secara strategik, bertindak secara demokratik” merupakan prinsip PeAB yang
ketiga. Kejayaan sesuatu pelaksanaan dasar itu bukan hanya terhad kepada tanggungjawab
yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan semata-mata. Sebaliknya bagi PeAB ianya merupakan
tanggungjawab semua pihak yang berkepentingan, termasuk kumpulan masyarakat madani.
Kerajaan dibantu pemimpin politik mampu memacu kumpulan komuniti untuk bersama-sama
membantu menjayakan program dan dasar bagi memenuhi keperluan awam secara lebih
efektif dan bertanggungjawab menerusi usaha secara bersama dan proses kolaborasi;
d) “Berkhidmat kepada warganegara, dan bukan pelanggan”. Dalam prinsip yang keempat
ini, PeAB mengiktiraf terdapat perbezaan diantara kerajaan dan warganegara serta perniagaan
dengan pelanggan. Merujuk pengguna perkhidmatan awam sebagai seorang “pelanggan”
sebagaimana yang digunakan oleh PAB didapati tidak sesuai, kerana ianya adalah suatu
konsep yang diamalkan oleh entiti komersial atau perniagaan. Sebaliknya bagi PeAB,
konteks pengguna dalam perkhidmatan awam adalah lebih luas skopnya. Justeru, bagi PeAB
kepentingan awam itu adalah merupakan suatu hasil yang tercapai dari sesi dialog tentang
nilai bersama yang dikongsi, berbanding kepentingan agregat individu. Oleh itu, penjawat
awam tidak hanya memberikan fokus untuk memenuhi kehendak “pelanggan” tetapi lebih
menekankan kepada usaha membina perhubungan serta kepercayaan dan kolaborasi dari
rakyat;
e) Prinsip kelima adalah berkait dengan “Akauntabiliti itu bukan mudah”. Penjawat awam
hendaklah patuh kepada kehendak statutori perundangan dan perlembagaan, nilai masyarakat,
norma politik, piawaian profesional dan kepentingan rakyat;
f) “Memberi nilai kepada manusia, bukan sekadar produktiviti” adalah prinsip keenam PeAB.
Pendekatan yang diberikan penekanan oleh PeAB dalam menguruskan organisasi adalah
kepentingan mengurus menerusi manusia. Kakitangan awam hendaklah dilayan dengan
penuh hormat oleh pihak atasan. Mereka tidak sekadar dilayan berdasarkan kawalan dan
struktur rigid (sebagaimana dalam model pentadbiran awam tradisional) atau peserta dalam
pasaran (saranan PAB), tetapi sebaliknya adalah mereka yang penuh dengan motivasi serta
sekelompok manusia yang bercita-cita untuk melakukan kelainan dalam hidup (Dernhardt,
1993; Perry & Wise, 1990; Vinzant, 1998); dan
g) Prinsip terakhir PeAB adalah “Memberi nilai kepada warganegara dan sektor awam
melebihi keusahawanan”. Disini kepentingan awam itu adalah lebih bermakna apabila
kakitangan sektor awam dan warganegara komited untuk memberi sumbangan yang
bermakna kepada masyarakat berbanding tingkah laku pengurus awam yang memberi fokus
kepada aspek keusahawanan awam dalam menguruskan perkhidmatan awam, seolah-olah
wang awam itu milik mereka.
INISIATIF KERAJAAN NEGERI SEMBILAN: HUBUNGKAIT NPS DENGAN
PENDEKATAN BERSIH, MUAFAKAT DAN SEJAHTERA
Sebagaimana yang telah diterangkan di atas mengenai tujuh (7) prinsip utama dalam PeAB,
didapati ianya mempunyai perkaitan yang rapat jika dibandingkan dengan slogan kerajaan
Negeri Sembilan iaitu Bersih, Muafakat dan Sejahtera. Perbincangan berikut ini akan
menggunakan dapatan yang diperolehi hasil dari tinjauan yang dilakukan terhadap laman web
Negeri Kita, terutama dengan merujuk di ruangan Berita dengan analisis akan dibahagikan
kepada tiga kategori sebagaimana slogan kerajaan Negeri iaitu:-
a) Bersih
Komponen pertama yang akan dibincangkan adalah dengan merujuk kepada slogan pertama
iaitu Bersih. Definisi Bersih sebagaimana dinyatakan didalam Kamus Dewan Edisi Kempat
(Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005) adalah seperti berikut:_
“1. Tidak kotor, pakaiannya sentiasa -; 2. Bebas drpd pencemaran udara
dll, tidak mengandungi unsur-unsur dsb yg boleh (dapat merosakkan atau
mengganggu kesihatan; menyedut udara – di Kawasan pergunungan,
meminum air yg-; 3. Ki jujur dan ikhlas, suci, murni-; 4.bebas drp
amalan yg tidak baik (spt rasuah, penyelewangan, dsb), mewujudkan
sebuah kerajaan yg-, cekap dan Amanah….”
Jika ditafsirkan maka dapat dilihat Bersih itu dari dua sudut pandang utama iaitu pertama
bersih dari segi lahiriah atau fizikal dan Bersih yang kedua pula adalah bersih secara batiniah
atau spiritual. Bagaimana inisiatif dan pencapaian kerajaan negeri sejak tahun 2018 hingga
kini jika diselidiki dari konteks slogan bersih, serta bagaimana ianya apabila dikaitkan
dengan prinsip PeAB. Antara contoh bagaimana elemen Bersih dalam pentadbiran awam di
Negeri Sembilan terbukti apabila Ketua Audit Negara telah mengeluarkan Sijil Audit Negara
tahun 2021 pada hari yang sama dengan sesi Exit Conference. Menurut Menteri Besar Negeri
Sembilan, kebiasaannya kerajaan perlu menunggu beberapa hari atau minggu bagi
mendapatkan Exit Conference ini namun kerajaan negeri Sembilan telah membuktikan
elemen integriti dan Amanah dalam pengurusan kewangan sehingga memungkinkan ianya
berlaku. Ini merupakan pengiktirafan terhadap urustadbir yang berkesan serta ia selaras
dengan prinsip ke lima PeAB iaitu akauntabiliti (Abdullah, 2022).
Bersih juga dapat ditinjau dari sudut ketelusan dan juga urustadbir baik yang diamalkan oleh
pihak kerajaan. Dalam konteks ini, pihak kerajaan Negeri Sembilan telah memberikan
peluang yang sama rata kepada semua kontraktor G1 bagi menjalankan Kerja
Penyelenggaraan Jalan di bawah peruntukan MARRIS. Menurut YAB Menteri Besar Negeri
Sembilan, Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan telah memilih kontraktor melalui proses
cabut undi pada April 2022 dan sebanyak 326 kerja selenggara telah diluluskan dengan
jumlah peruntukan sebanyak RM32.135 juta bagi fasa 1 tahun 2022. Menurut Menteri Besar
lagi kaedah cabutan undi melibatkan projek bernilai tidak lebih dari RM100,000 dan tidak
kurang RM80,000. Lebih penting lagi bagi YAB Menteri Besar kaedah undi ini akan
mengelakkan berlaku monopoli mana-mana pihak dan ianya akan mampu meningkatkan
urustadbir, mengelakkan penyelewangan dan rasuah serta memastikan proses yang bersih
terlaksana (Abdullah, 2022).
b) Muafakat
Muafakat pula adalah merupakan frasa kedua yang ditonjolkan dalam slogan kerajaan Negeri
Sembilan. Sekiranya dirujuk definisi muafakat, berdasarakan Kamus Dewan Edisi Keempat
(Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005), ianya adalah seperti berikut:-
“1. Setuju, seia sekata….2. sesuatu yg dipersetujui, pernyataan
setuju;….3.perundingan…4. berunding..5. seia, sepakat…”
Jika ditinjau dari perspektif prinsip Perkhidmatan Awam Baru didapati elemen Muafakat
bertepatan dengan beberapa darinya, terutama prinsip ke tiga, berfikir secara strategik,
bertindak secara demokratik, prinsip ke enam, memberi nilai kepada manusia, bukan sekadar
produktiviti dan prinsip ke tujuh iaitu memberi nilai kepada warganegara dan sektor awam
melebihi keusahawanan. Bagaimanakah kita dapat kaitkan di antara prinsip dalam PeAB
dengan amalan serta inisiatif yang diambil oleh kerajaan Negeri Sembilan khusus dari
elemen Muafakat. Beberapa contoh inisiatif dibincangkan di sini sebagai repson terhadap
persoalan tersebut.
Sebagai sebuah negeri yang terdiri dari pelbagai kaum, memastikan hubungan yang harmoni
antara satu sama lain adalah merupakan antara keutamaan kerajaan negeri. Menyedari
bahawa perpaduan adalah kunci kepada kestabilan dan keharmonian, maka pelbagai inisiatif
dan program telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri. Di antara inisiatif
yang memenuhi kehendak slogan Muafakat serta memberi nilai kepada masyarakat
sebagaimana dinyatakan menerusi prinsip PeAB adalah ERAT@NS. Inisiatif ERAT@NS
bertujuan untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti dengan matlamat utama bagi
memupuk penyatuan dan perpaduan antara kaum. YAB Menteri Besar ketika berucap
merasmikan pejabat baharu Persekutuan Persatuan Nanyang Yap Si Malaysia di Seremban 2
memaklumkan pada tahun 2022 sebanyak RM1.5 juta telah diperuntukkan berbanding RM1
juta pada tahun 2021. YAB Menteri Besar dalam majlis tersebut dipetik sebagai berkata
bahawa program dianjurkan dibawah ERAT@NS seharusnya berkemampuan menyuburkan
lagi semangat toleransi dan saling bergantung antara satu sama lain. Amalan menyebarkan
dakyah serta momokan buruk terhadap sesuatu kaum atau bangsa lain hendaklah dihentikan,
sebaliknya beliau amat berharap untuk melihat agar rasa bersama dan saling hormat
menghormati antara satu sama lain terus dipupuk dan disuburkan (Abdullah, 2022).
Satu lagi contoh inisiatif yang mengambil kira elemen Muafakat adalah bilamana pihak
kerajaan Negeri tanpa pilih kasih menyalurkan bantuan kepada pelbagai rumah ibadat yang
terdiri dari pelbagai agama. Misalnya YB Ahli Parlimen Seremban, YB Loke Siew Fook
menerusi peruntukan Projek Mesra Rakyat Parlimen Seremban menyumbang RM25,000
kepada Surau Sri Telawi bagi tujuan naik taraf surau berkenaan (Abdullah, 2022).
Selanjutnya, pada 7 Jun 2022, Penyelaras DUN Gemencheh, Tuan Abd Latif Tambi telah
menyerahkan sumbangan kewangan kepada Kuil Sri Mahariamman di Kampung Baru
Gedok. Sumbangan ini diharap dapat digunakan untuk membantu pihak kuil melakukan
aktiviti keagamaan. Tuan Abd Latif menambah bahawa sumbangan ini membuktikan bahawa
kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan pelbagai rumah ibadat di negeri ini (Abdullah,
2022).
Program Power House Wanita Geming (PH GEM) merupakan salah satu tawaran manifesto
Pakatan Harapan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Dalam hal ini,
sebagaimana dijanjikan, Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah melaksanakan
program ini sejak mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri pada 9 Mei 2018. Menurut
Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Negeri Sembilan, YB Nicole Tan Lee Koon seramai
26,170 peserta telah mendapat manfaat daripada program Power House Wanita Gemilang
(PH GEM) sejak tahun 2018. Menurut YB Nicole lagi PH GEM merupakan salah satu
tawaran yang signifikan mensasarkan golongan wanita dalam lima sektor iaitu sosio ekonomi
yang meningkatkan taraf ekonomi dan kemahiran diri; kesihatan; pendidikan; alam sekitar
dan hak asasi (Abdullah, 2022).
c) Sejahtera
Slogan terakhir digunakan oleh kerajaan Negeri Sembilan adalah Sejahtera. Dari sudut
definisi sebagaimana jika dirujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat,
Sejahtera membawa maksud “aman dan makmur, senang dan tenteram, terpelihara….”
(Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005). Dalam hal ini berikut dikemukakan sebahagian dari
contoh inisiatif di bawah slogan Sejahtera. Jika diteliti dan dikaitkan dengan PeAB, Sejahtera
dilihat amat sinonim dengan beberapa prinsip konsep pentadbiran ini iaitu prinsip pertama,
Berkhidmat, berbanding memandu”, prinsip kedua, Kepentingan awam adalah matlamat
paling utama, dan bukan berkait dengan produk dan prinsip keempat, Berkhidmat kepada
warganegara, dan bukan pelanggan
Di antara inisiatif kerajaan negeri bagi mencapai Hasrat di sebalik slogan dapat dilihat
menerusi pelbagai program dan aktiviti yang telah dirancang dan dilaksanakan. Makalah ini
tidak berhasrat untuk menyebut kesemuanya, namun sekadar memberikan beberapa sahaja
contoh. Pertama, perumahan adalah kemudahan paling asas bagi manusia. Menyedari
kepentingannya, skim Rumah Harapan Rakyat (RHR) telah dilancarkan dengan matlamat
utama yang digariskan adalah bagi membantu golongan berpendatan rendah untuk
mempunyai rumah sendiri. Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin
Harun berkata, pembiayaan pembinaan RHR adalah RM78,000 seunit dan pemohon hanya
perlu membuat bayaran balik sebanyak RM60,000 selama 30 tahun dengan amaun
serendah RM200 sebulan. Semasa dipetik dalam Majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci
Rumah Harapan Rakyat di Rembau pada 2 Jun 2022, beliau berkata sebanyak 120 buah
rumah sedang masih dalam pembangunan dan terbahagi kepada dua fasa iaitu 60 buah bagi
setiap fasa dengan sebanyak RM10 juta diperuntukkan (Abdullah, 2022).
Menyedari bahawa tidak semua rakyat terdiri dari mereka yang berkemampuan serta untuk
memastikan mobility dikalangan rakyat berlaku pada tahap optima, Kerajaan Pakatan
Harapan Negeri Sembilan melalui Mara Liner Sdn Bhd iaitu anak syarikat Majlis Amanah
Rakyat (MARA) telah memperkenalkan Projek Perkhidmatan Bas Luar Bandar Negeri
Sembilan (RENTAS NS) yang melibatkan daerah Rembau dan Tampin. Inisiatif ini
merupakan lanjutan kepada perkhidmatan yang sama di Seremban dan Jempol. Menteri Besar
Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, RENTAS NS dijangka
memanfaatkan 70,000 penduduk sekitar yang merangkumi 25 institusi pengajian dan sekolah
serta 47 kawasan perkampungan, taman perumahan dan fasiliti kesihatan. Inisiatif ini antara
inisiatif baru semasa pembentangan Belanjawan 2022. Ianya melibatkan inisiatif di bawah
bidang Pemerkasaan Komuniti membabitkan peruntukan sebanyak RM1 juta di bawah
inisiatif Bas Luar Bandar. Ianya telah mula beroperasi pada 16 Mei 2022 dan sejak beroperasi
ia telah memberikan manfaat kepada lebih kurang 7,000 pengguna (Abdullah, 2022).
Salah satu indikator kesejahteraan rakyat, selain memiliki rumah adalah juga melibatkan
pemilikan tanah. Antara kejayaan terbesar kerajaan Negeri Sembilan apabila berkeupayaan
menyelesaikan kemelut peneroka GATCO yang telah berlanjutan selama 40 tahun.
Kemuncak kepada penantian peneroka GATCO apabila seramai 211 peneroka telah
menerima hak milik tanah (geran) dari kerajaan negeri dengan setiap dari mereka menerima
hak milik seluas empat ekar dan dua ekar mengikut kelayakan masing-masing. Beberapa
inisiatif bagi menjaga kesejahteraan dan kebajikan peneroka Gatco juga turut dilaksanakan
iaitu (Abdullah, 2022):
1. Pengecualian bayaran cukai tanah yang tertangguh sekian lama.
2. Mengecualikan bayaran premium tanah.
3. Tempoh masa pajakan dilanjutkan sehingga 99 tahun.
4. Penanaman semula melalui Risda.
Satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri Sembilan yang kini sedang ditadbir oleh Pakatan Harapan
sejak 9 Mei 2018 serta salah satu daripada 71 tawaran manifesto Pakatan Harapan Negeri
Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah mewujudkan Tabung
Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS). Objektif utama TUNS adalah bagi
melahirkan dan memperkasakan lebih ramai usahawan kecil di negeri ini. Menurut Exco
Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, YB
Dato’ Dr. Mohamad Rafie Abd Malek berkata sehingga tahun 2022, seramai 5,147 usahawan
kecil telah dibantu melalui program TUNS dengan seramai 4,147 usahawan kecil dari tahun
2018 hingga 2021 telah dibantu melibatkan RM12 juta dana telah disalurkan. Setiap
usahawan kecil yang memenuhi syarat menerima dana kewangan RM3,000 yang tidak perlu
dibayar semula. Bagi tahun 2022 sahaja, seramai 1,000 lagi usahawan kecil akan mendapat
manfaat dan sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan untuk tujuan ini (Abdullah, 2022).
KESIMPULAN
Slogan “Bersih, Muafakat dan Sejahtera” yang telah menjadi dasar dan panduan dalam
mentadbir negeri sejak tahun 2018 oleh kerajaan Negeri Sembilan ternyata mempunyai
perkaitan yang amat rapat apabila dibandingkan dengan konsep dan prinsip yang disarankan
oleh Perkhidmatan Awam Baru (PeAB). Sebagaimana saranan PeAB, aspek paling penting
bagi sesebuah kerajaan adalah untuk memberikan nilai tambah kepada para warganya.
Ternyata ini telah diterjemahkan sebaik mungkin oleh pentadbiran kerajaan negeri menerusi
pelbagai inisiatif dan program yang telah dirancang dan dilaksanakan. Pentadbiran awam
sebagai suatu disiplin yang dinamik seharusnya responsif terhadap kehendak dan keperluan
rakyat. Elemen partisipati awam (public participation) dan libat urus sivik (civic engagement)
adalah antara budaya dan pendekatan yang wajar diteruskan oleh kerajaan Negeri.
Dalam hal ini, mewujudkan suatu pentadbiran yang Bersih, bukan hanya dari segi fizikal,
tetapi dari sudut integriti dan sifar rasuah serta penyelewangan, diikuti dengan Muafakat yang
erat di kalangan rakyat pelbagai kaum serta memastikan program dan inisiatif yang mampu
mensejahterakan rakyat sebagaimana dilaksanakan kerajaan Negeri wajar diteruskan. Pun
begitu, kerajaan juga hendaklah sentiasa bersikap terbuka serta bersedia mendengar
pandangan rakyat untuk penambahbaikan. Usaha bagi melakukan penyelidikan serta kajian
secara sistematikuntuk menilai impak sesuatu inisiatif wajar dilakukan dari semasa ke semasa
demi untuk meningkatkan profil pentadbiran kerajaan di mata rakyat.
RUJUKAN
Abdullah, F. (2022, Julai xx). Sijil Ketua Audit Negara bukti Kerajaan Negeri Sembilan
bersih dan saksama. https://negerikita.org/sijil-ketua-audit-negara-bukti-kerajaan-negeri-
sembilan-bersih-dan-saksama/
Abdullah, F. (2022, Jun 24). Kerajaan Negeri telus agih projek selenggara jalan raya.
https://negerikita.org/kerajaan-negeri-telus-agih-projek-selenggara-jalan-raya/.
Abdullah, F. (2022, Julai 25). ERAT@NS pupuk semangat perpaduan nasional:
AMIRUDDIN. https://negerikita.org/eratns-pupuk-semangat-perpaduan-nasional-aminuddin/
Abdullah, F. (2022, Jun 8). Loke sumbang RM25,000 kepada Surau Taman Sri Telawi.
https://negerikita.org/loke-sumbang-rm25000-kepada-surau-taman-sri-telawi/.
Abdullah, F. (2022, Jun 8). Latif beri sumbangan kewangan kepada Kuil Sri Maha
Mariamman. https://negerikita.org/latif-beri-sumbangan-kewangan-kepada-kuil-sri-maha-
mariamman/.
Abdullah, F. (2022, Mei, 10). PENCAPAIAN PH NS: 26,170 peserta PH GEM mendapat
manfaat sejak 2018. https://negerikita.org/pencapaian-ph-ns-26170-peserta-ph-gem-
mendapat-manfaat-sejak-2018/.
Abdullah, F. (2022, Jun 2). Negeri Sembilan belanja RM10 juta bina Rumah Harapan Rakyat
Bantu golongan berpendatan rendah memiliki rumah sendiri. https://negerikita.org/negeri-
sembilan-belanja-rm10-juta-bina-rumah-harapan-rakyat/
Abdullah, F. (2022, Jun 2). Kerajaan Negeri Sembilan lancar perkhidmatan bas luar bandar
Beri manfaat kepada 70,000 penduduk sekitar Rembau dan Tampin.
https://negerikita.org/kerajaan-negeri-sembilan-lancar-perkhidmatan-bas-luar-bandar/
Abdullah, F. (2022, Mei 27). PENCAPAIAN PH NS: Kemelut 40 tahun GATCO selesai 211
peneroka GATCO telah menerima geran tanah. https://negerikita.org/pencapaian-ph-ns-
kemelut-40-tahun-gatco-selesai/
Abdullah, F. (2022, Mei 11). PENCAPAIAN PH NS: Kerajaan Negeri bantu 5,147 usahawan
kecil. https://negerikita.org/pencapaian-ph-ns-kerajaan-negeri-bantu-5147-usahawan-kecil/
Atkinson, P. A. & Coffey, A. (1997). Analysing documentary realities. In D. Silverman (Ed.),
Qualitative research: Theory, method and practice, London: Sage, 45–62.
Bowen, G.A. (2009). Document Analysis as a Qualitative Research Method. Qualitative
Research Journal, 9(2), pp 27-40.
Caiden, G. E. (1982). Reform or Revitalization. Strategies for Administrative Reform.
Lexington, MA: Heath, 85-92.
DeLeon, L., & Denhardt, R. B. (2000). The political theory of reinvention. Public
Administration Review, 60(2), 89-97.
Denhardt, R. B. (1993). The pursuit of significance: Strategies for managerial success in
public organizations. Wadsworth Publishing Company.
Denhardt, R. B., & Denhardt, J. V. (2000). The new public service: Serving rather than
steering. Public Administration Review, 60(6), 549-559.
Denhardt, J. V., & Denhardt, R. B. (2015). The new public service revisited. Public
Administration Review, 75(5), 664-672.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2005). Kamus Dewan (edisi keempat). Kuala Lumpur.
Fox, C. J. (1996). Reinventing government as postmodern symbolic politics. Public
Administration Review, 56(3), 256-262.
Frederickson, H. G. (1996). Comparing the reinventing government movement with the new
public administration. Public administration review, 56(3), 263-270
Perry, J. L., & Wise, L. R. (1990). The motivational bases of public service. Public
administration review, 50 (3), 367-373.
Sarker, A. E. (2006). New public management in developing countries: An analysis of
success and failure with particular reference to Singapore and Bangladesh. International
Journal of Public Sector Management.
Schachter, H. L. (1997). Reinventing government or reinventing ourselves: The role of
citizen owners in making a better government. SUNY press.
Vinzant, J. C. (1998). Where values collide: Motivation and role conflict in child and adult
protective services. The American Review of Public Administration, 28(4), 347-366.
PENDEKATAN ‘BERSIH, MUAFAKAT DAN SEJAHTERA’ DALAM INTERAKSI
SOSIAL MASYARAKAT MAJMUK DI NEGERI SEMBILAN
Khairul Azhar Meerangani
Akademi Pengajian Islam Kontemporari,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka
[email protected]
ABSTRAK
Keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama merupakan identiti unik yang dimiliki oleh
Malaysia sejak kemerdekaan. Namun begitu, usaha mengekalkan keharmonian ini sudah pastinya
berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya pada era ledakan teknologi maklumat dan
komunikasi. Kemudahan yang ditawarkan teknologi kini telah disalahgunakan, terutamanya dalam
media sosial. Kebebasan bersuara telah disalahtafsirkan hingga mengundang penghinaan terhadap
agama dan kaum, juga ujaran kebencian yang semakin menjadi-jadi. Cambahan bibit-bibit ketegangan
yang jika tidak diuruskan dengan baik, berpotensi membawa Malaysia ke arah perpecahan dan
permusuhan. Atas dasar ini, Negeri Sembilan menerusi dasar ‘Bersih, Muafakat dan Sejahtera’ telah
menjadikan agenda keharmonian dan perpaduan masyarakat sebagai teras utama yang diberikan
perhatian. Hal ini bagi mewujudkan masyarakat majmuk yang saling menghormati dan bertolak ansur,
seterusnya menyumbangkan kepada kesejahteraan sosial, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi
di Negeri Sembilan. Justeru, kajian ini bertujuan menganalisis pencapaian dasar ‘Bersih, Muafakat dan
Sejahtera’ yang dilaksanakan, seterusnya merumuskan satu pendekatan inklusif berteraskan Islam
dalam memandu interaksi sosial masyarakat majmuk di Negeri Sembilan. Pendekatan ini dibina
berdasarkan panduan nas al-Quran, teks al-hadis serta pandangan para sarjana Muslim dengan
mengambil kira realiti semasa yang wujud di Malaysia pada hari ini. Pendekatan yang seimbang ini
mampu mengukuhkan dan mengharmonikan interaksi sosial sesama masyarakat dalam rangka
mengekalkan kerukunan dan perpaduan hidup bermasyarakat yang telah terbina sejak sekian lama.
Kata kunci: Kepelbagaian, keharmonian, kesejahteraan, perpaduan, muafakat.
PENDAHULUAN
Interaksi sosial yang berlaku antara masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia,
biasanya berada dalam keadaan pasang surut. Sifat manusia sebagai makhluk konflik (homo
conflictus) menyebabkan elemen perbezaan, persaingan dan pertentangan sesama mereka sentiasa
wujud (Novri, 2014). Ciri antagonisme atau perbezaan yang merupakan antara asas dalam
pembentukan sesebuah masyarakat menyebabkan gejala konflik ini akan sentiasa berlaku
(Syarifuddin, 2014). Dalam konteks masyarakat majmuk yang ada di Malaysia pada hari ini, gejala
konflik sudah pastinya tidak dapat dielakkan. Namun, pengurusan konflik secara efektif mampu
menatijahkan kesan yang positif menerusi mobilisasi idea dan tindakan bagi mencapai kehidupan yang
lebih baik. Hal ini secara tidak langsung dapat mengelakkan kesan konflik yang negatif seperti
permusuhan, kebencian, stereotaip negatif, pergaduhan dan keganasan (Mohd Anuar et al., 2018).
Pengalaman perhubungan masyarakat majmuk di Malaysia memperlihatkan bahawa elemen etnik dan
agama bukanlah faktor utama tercetusnya konflik antara masyarakat. Sebaliknya, faktor
ketidakseimbangan sosioekonomi dan kelemahan pihak kerajaan menawarkan polisi yang
komprehensif dalam menangani isu tersebut menyebabkan sebahagian pihak bertindak memanipulasi
faktor etnik dan agama untuk mencetuskan konflik dan ketegangan dalam masyarakat (Chamil Wariya,
2007).
Kebebasan bersuara yang diberikan pasca PRU-14 memperlihatkan tahap kesedaran dan
penyertaan politik yang semakin tinggi dalam kalangan masyarakat awam. Segala dasar dan polisi
yang direncanakan oleh pihak kerajaan begitu rancak dibincangkan di pelbagai lapangan termasuk di
media sosial. Dalam satu aspek, hal ini merupakan petanda kecaknaan rakyat kepada tindakan dan
aktiviti kerajaan agar tidak terkeluar dari landasan kepimpinan dan urus tadbir yang baik. Namun begitu,
kelemahan pihak kerajaan dalam menangani sebahagian isu secara efektif atau sekurang-kurangnya
membetulkan persepsi yang berlegar dalam kalangan masyarakat dilihat telah memberikan ruang buat
sebahagian pihak untuk memancing emosi yang negatif daripada masyarakat (Abdul Jamil, 2014).
Menurut Mansor (2006), faktor ketegangan antara kaum di Malaysia dapat dibahagikan kepada tiga
fasa, iaitu fasa 1 (1950–1970) yang disebabkan oleh isu kewarganegaraan, kontrak sosial dan bahasa,
fasa 2 (1970–1990) yang disebabkan isu ketidakseimbangan sosioekonomi sehingga membawa
kepada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru serta fasa 3 (1990-milenium) yang menyaksikan eksploitasi
isu agama dan kaum sehingga membawa kepada impak yang kritikal terhadap keharmonian antara
masyarakat. Nazri (2012) menyatakan eksploitasi faktor kaum dan agama ini tidak boleh dipandang
ringan kerana ia umpama bom jangka yang berisiko mencetuskan kesan luar jangka sehingga
menimbulkan ketegangan antara masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia. Kedua-dua
faktor ini sering dilihat sebagai modal provokasi terbaik oleh sebahagian pihak yang berselindung di
sebalik agenda dan tuntutan tertentu bagi membakar api sensitiviti dan konflik.
Menyedari kepentingan agenda perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk di
Malaysia, pihak kerajaan menerusi Kementerian Pepaduan Negara pada Februari 2021 telah
mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Dasar Perpaduan Negara yang bersifat inklusif, jelas
dan kohesif, bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang kukuh teras perpaduannya.
Dasar yang berkonsepkan 'Perpaduan Dalam Kepelbagaian' ini berpaksikan tiga objektif utama, iaitu
mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun
Negara, membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling
hormat menghormati dan bertanggungjawab, serta melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan
mengamalkan perpaduan. Inisiatif ini selaras penerimaan masyarakat Malaysia terhadap latar
kemajmukan yang wujud dengan kepelbagaian latar belakang pegangan agama, bangsa serta budaya
di negara ini. Di samping itu, ia juga berperanan sebagai pemacu interaksi sosial masyarakat
mendepani era digitalisasi yang lebih mencabar dalam memastikan ekosistem perpaduan yang menjadi
identiti unik Malaysia selama ini mampu dipertahankan.
Di Negeri Sembilan pula, inisiatif yang sama telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri menerusi
pelancaran dasar ‘Bersih, Muafakat dan Sejahtera dengan 10 teras agenda yang diberikan perhatian
utama. Agenda ke-7, iaitu Pengukuhan Keselamatan, Perpaduan dan Kebajikan Masyarakat dilihat
mampu menyumbang kepada kewujudan masyarakat majmuk yang saling menghormati, bertoleransi
dan meraikan kepelbagaian secara positif. Bagi memastikan kestabilan pentadbiran di peringkat negeri,
agenda permuafakatan dan kesejahteraan masyarakat majmuk di Negeri Sembilan perlu terus dipupuk
dan disemai. Justeru, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk menyubur permuafakatan dan
perpaduan masyarakat menerusi peruntukan geran aktiviti ERAT@NS sebanyak RM1.2 juta pada
Belanjawan Negeri 2022. Usaha ini mencerminkan komitmen jitu setiap lapisan pentadbiran dalam
memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat majmuk di Negeri Sembilan mampu
dipertahankan, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan sosial, kestabilan politik dan
kemakmuran ekonomi di Negeri Sembilan. Justeru, kajian ini berperanan sebagai nilai tambah secara
teoritikal dalam merumuskan suatu pendekatan yang inklusif bagi memacu hasrat Kerajaan Negeri
mewujudkan permuafakatan dan kesejahteraan dalam masyarakat.
REALITI SOSIAL MASYARAKAT MAJMUK DI NEGERI SEMBILAN
Perkembangan teknologi semasa menyaksikan peningkatan akses terhadap penggunaan media digital
dalam kalangan masyarakat. Meskipun dari satu sudut memberikan impak yang positif, namun
penyalahgunaan kebebasan ini oleh pihak tertentu dengan menyentuh isu-isu sensitif dan provokatif
melibatkan kaum dan agama telah menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat di samping
mencetuskan konflik digital. Jika dilihat statistik penganut agama di Malaysia pada tahun 2020, tiga
daripada empat agama utama di Malaysia memperlihatkan dominasi kaum tertentu melebihi 90% iaitu
agama Islam (Melayu : 90.1%), agama Buddha (Cina : 97.8% dan agama Hindu (India : 98.7%). Agama
Kristian pula lebih menonjol di Sabah dan Sarawak dengan memperlihatkan dominasi kaum
Bumiputera Lain seperti Iban dan Kadasan-Dusun menyumbang kepada 64.7% daripada jumlah
penganut Kristian di Malaysia (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2021). Kesalingan hubungan ini
menyebabkan isu-isu sensitif melibatkan kaum dan agama mudah dimanipulasi dan disemarakkan oleh
pihak-pihak tertentu dalam menjayakan agenda mereka tanpa mengambil kira risiko konflik dan
ketegangan yang boleh tercetus.
Berdasarkan Laporan Indeks Keamanan Global 2022, Malaysia secara keseluruhannya berada
pada kedudukan ke-18 daripada 163 negara, naik 4 anak tangga daripada kedudukan tahun
sebelumnya, iaitu ke-22. Dari sudut kolektif, Malaysia berada pada kedudukan ke-5 di rantau Asia
Pasifik dan ke-2 di rantau Asia Tenggara, di belakang Singapura. Sekiranya disorot pencapaian
Malaysia dari 2015-2022, ternyata kedudukan terbaik Malaysia hanyalah pada kedudukan ke-16 iaitu
pada tahun 2019, sebelum jatuh kepada kedudukan ke-26 pada tahun 2020. Daripada tiga domain
yang ditetapkan, pencapaian Malaysia dipengaruhi oleh faktor konflik dalaman dan ketidakstabilan
politik. Faktor keunikan Malaysia yang beridentitikan kemajmukan masyarakat sudah pastinya
menyukarkan usaha tersebut, terutamanya berhadapan dengan cabaran Revolusi Industri 4.0, yang
menyaksikan peralihan daripada interaksi sosial kepada interaksi digital. Namun sesuai dengan
pengalaman kemerdekaan melebihi 6 dekad, inisiatif yang sewajarnya perlu digerakkan bagi
menangani konflik digital antara kaum dan agama di Malaysia, bagi memastikan pencapaian yang lebih
baik dapat diraih dalam indeks ini. Sekaligus, mewujudkan masyarakat yang lebih aman, harmoni dan
stabil mendepani cabaran global.
Negeri Sembilan, sebagai antara negeri yang mempunyai taburan penduduk yang bersifat
majmuk, dilihat telah menyumbang kepada peningkat skor keamanan dan kesejahteraan global ini.
Dengan penduduk berjumlah hampir 1.16 juta orang, Negeri Sembilan mencatatkan komposisi kaum
yang agak seimbang, dengan kaum Bumiputera seramai 663,400 orang (57.2%), kaum Cina seramai
244,600 orang (21.1%), kaum India seramai 162,400 orang (14.0%) dan lain-lain kaum seramai 6,100
orang (0.5%). Penubuhan empat jawatankuasa utama, iaitu Jawatankuasa Bertindak Agama Islam,
Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu, Jawatankuasa Bertindak
Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam serta Jawatankuasa Bertindak
Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional merupakan suatu pendekatan yang inklusif dalam
merangkumkan elemen-elemen asas yang menyumbang kepada kestabilan dan keharmonian
masyarakat. Justeru, segala isu dan permasalahan berkaitan elemen asas seperti agama, kaum dan
adat istiadat mampu dibincangkan secara harmoni dan berfokus berdasarkan bidang kuasa yang
ditetapkan. Atas dasar itulah, Kajian Indeks Kebahagiaan 2021 yang dijalankan oleh Jabatan
Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) merumuskan Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis
merupakan antara bandar paling bahagia dan gembira di Malaysia dengan skor melebihi 80 peratus.
NILAI MUAFAKAT DALAM INTERAKSI SOSIAL MASYARAKAT MAJMUK
Kepelbagaian (plurality) merupakan aturan (sunnatullah) yang perlu ditangani dan diuruskan secara
berhikmah supaya ia menjadi pemangkin kepada kerukunan dan keharmonian hidup bermasyarakat.
Islam mementingkan pendekatan harmoni bagi mengimbangi kewujudan dua kelompok yang
bertentangan, iaitu kelompok fundamentalis dan literalis yang terlalu sempit serta kelompok liberalis
yang terlalu longgar. Pendekatan yang dilakukan oleh kedua-dua kelompok ini boleh memberikan
implikasi negatif terhadap hubungan sosial antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
Kelompok fundamentalis dan literalis dengan ideologi sempit yang melihat segala yang berlaku
menerusi perspektif sempit perkauman dan keagamaan semata-mata tanpa cuba memperhalusi punca
kepada setiap permasalahan tersebut (Mohd Anuar et al., 2018). Kelompok liberalis pula terlalu rapuh
dengan melihat jalan keluar kepada setiap isu dan permasalahan adalah dengan menggadaikan prinsip
sehingga dilihat terlalu bersifat apologetik dan toleransi di luar batasan. Justeru, satu pendekatan
inklusif dan harmonis perlu diketengahkan bagi mencapai matlamat pembinaan sebuah negara yang
aman, damai dan sejahtera.
a) Pelarasan Medium Komunikasi
Interaksi memerlukan kepada komunikasi yang berlaku sesama manusia sama ada secara verbal
mahupun tidak verbal. Komunikasi sama ada berbentuk perbualan seharian, perbincangan mahupun
dialog harmoni ini perlu mengambil kira latar belakang dan kedudukan semua pihak yang terlibat dalam
memastikan komunikasi tersebut tidak tersasar daripada objektif yang telah ditetapkan. Menurut Sayyid
Quṭb (1996), komunikasi secara berhikmah memerlukan kepada pemerhatian dan penelitian terhadap
situasi dan realiti semasa golongan sasar menggunakan teknik komunikasi yang bersesuaian dan
berkesan. Kaedah nasihat pula diaplikasikan melalui komunikasi secara lemah-lembut yang mampu
meresap ke dalam hati manusia dan bukannya melalui ancaman dan tegahan yang boleh mengaibkan
mereka atas segala tindakan yang dilakukan. Al-Razi (1981) menyatakan bahawa ketiga-tiga teknik
yang dinyatakan merupakan satu garis panduan yang penting dalam membina komunikasi yang baik
dan berkesan. Hal ini demikian kerana sesuatu komunikasi itu perlu diselaraskan mengikut latar
belakang serta kesesuaian pihak pendengar. Beliau membahagikan golongan penerima maklumat ini
kepada tiga kategori iaitu:
a) Golongan intelektual yang perlu diberikan hujah dan fakta yang benar serta mampu menjentik
akal mereka untuk berfikir tentang kebenaran hujah tersebut kerana mereka memiliki tahap
pemikiran dan analisis yang tinggi. Kaedah ini dinamakan komunikasi secara teliti dan
bijaksana ()الحكمة.
b) Golongan awam yang kadar pemikirannya bersifat sederhana di mana golongan ini perlu
didedahkan dengan pelaksanaan nilai-nilai agama berkaitan akhlak dan moral secara umum
sama ada menerusi perkataan mahupun kelakuan. Hal ini demikian kerana golongan ini lebih
mudah terpengaruh dan terkesan dengan perkongsian prinsip-prinsip umum kehidupan yang
dikongsi bersama. Kaedah ini dinamakan komunikasi secara teladan ()الموعظة الحسنة.
c) Golongan antagonis yang mana kebanyakan hujah mereka lebih bersifat sebagai cubaan untuk
mencabar sesuatu doktrin tanpa menginginkan kepada sebarang nilai kebenaran dan
kesepakatan. Golongan ini perlu dilayani menerusi perdebatan yang mampu mematahkan
argumentasi mereka serta mengukuhkan lagi kedudukan hujah sendiri menggunakan cara
yang yang paling tepat, sesuai dan berasas. Kaedah ini dinamakan komunikasi secara
berhujah ()الجدال.
Penguasaan kaedah komunikasi yang bersesuaian ini penting dalam rangka membina
hubungan yang harmoni serta mampu menghindarkan sebarang bentuk kekeliruan yang bakal timbul
hasil daripada kesilapan penggunaan kaedah komunikasi semasa berinteraksi. Dalam usaha
menjayakan proses interaksi ini, Rasulullah SAW telah mempertautkan masyarakat majmuk di Madinah
ketika itu dengan penggunaan bahasa yang sama iaitu bahasa Arab. Hal ini bagi memudahkan
komunikasi yang berlaku serta mewujudkan rasa kebersamaan terhadap bahasa yang digunakan.
Sebahagian sahabat Rasulullah SAW adalah bukan berbangsa Arab seperti Bilal yang berbangsa
Habsyah, Salman yang berbangsa Parsi serta Suhayb yang berbangsa Rom. Namun, Baginda telah
menjadikan bahasa sebagai alat yang mengikat mereka dalam usaha mewujudkan perpaduan yang
jitu, seterusnya mengurangkan prasangka dan prejudis yang mungkin timbul disebabkan
ketidakseragaman komunikasi yang berlaku.
Hal yang sama juga telah dilakukan oleh Kerajaan Malaysia menerusi Perkara 152,
Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan
rasmi negara. Hal ini bagi memudahkan komunikasi yang berlaku di samping mengelakkan kewujudan
prasangka sesama kaum sekiranya bahasa yang berlainan digunakan dalam sesuatu perjumpaan atau
perhimpunan. Selain itu, elemen itu juga penting dalam membina rasa kecintaan terhadap tanah air
sendiri tanpa mengira status asal mereka dan seterusnya mengukuhkan lagi hubungan harmoni yang
telah terjalin sejak sekian lama. Namun begitu, realiti semasa memaparkan kepentingan bahasa
Melayu sebagai alat penyatuan setiap rakyat ternyata kurang diberi perhatian yang sewajarnya bahkan
ada kalanya dipinggirkan pula dalam arus semasa sedangkan penyatuan medium bahasa telah terbukti
berkesan dalam memupuk perpaduan. Penguasaan bahasa Melayu yang semakin lemah khususnya
dalam kalangan masyarakat selain Melayu sepatutnya tidak berlaku setelah hampir 60 tahun
kemerdekaan negara kita kerana ia merupakan antara syarat utama pemerolehan kewarganegaraan.
Maka, usaha yang sewajarnya perlu dilaksanakan untuk mengangkat kembali kedudukan bahasa
Melayu ini supaya dapat memainkan peranan yang berkesan sebagai medium pembinaan perpaduan
dalam kalangan rakyat Malaysia.
b) Pembinaan Persefahaman
Pembinaan persefahaman berkaitan latar belakang budaya dan agama yang berbeza ini sangat
penting dalam menghasilkan asas hubungan yang lebih harmoni dan bertoleransi. Sifat saling
memahami yang wujud dalam setiap diri individu bakal mewujudkan masyarakat yang saling
menghormati antara satu sama lain. Bagi merealisasikan hasrat membina asas kefahaman yang baik
ini, komitmen daripada semua pihak untuk memulakan langkah saling berkenalan dan berkongsi
maklumat dan pengetahuan berhubung latar belakang kaum dan bangsa sendiri. Kepelbagaian kaum
dan agama bukanlah modal untuk menyuburkan perpecahan dan permusuhan, sebaliknya sebagai
satu bentuk penyaluran ruang bagi membina interaksi yang harmoni. Usaha ini perlu dimulakan oleh
kedua-dua belah pihak menerusi proses pertukaran maklumat berkaitan asas agama dan kaum bagi
membina proses kefahaman yang baik, seterusnya mewujudkan hubungan yang lebih erat dan padu.
Sekaligus, tidak dibayangi sebarang prasangka dan persepsi negatif yang tidak berasas yang boleh
merencatkan pembinaan hubungan tersebut.
Kefahaman ini boleh dibina sama ada dengan meminimumkan sindrom kosmopolitanisme
(Anuar, 2003) menerusi pergaulan yang mesra dan baik sesama penganut berlainan agama mahupun
menerusi kaedah berdialog. Hal ini dapat dilihat sewaktu pemerintah Khalifah Mu´āwiyah bin Abū
Sufyān yang menjadi pemimpin Dinasti Umaiyah sekitar tahun 661-769M. Beliau sering menjemput
pimpinan Kristian Jacobite dan Maronite ke istana untuk berdialog berkaitan isu-isu asas yang
melingkari hubungan antara kedua-dua agama dan majlis ini dihadiri sendiri oleh beliau selaku
pimpinan utama umat Islam ketika itu (Philip, 1970). Namun begitu, pelaksanaan proses dialog ini perlu
diatur berpandukan kaedah-kaedah tertentu bagi memastikan hasrat murni semua pihak mampu
diterjemahkan secara berkesan. Al-Ghazali (2003) telah menggariskan beberapa panduan yang
dirasakan sesuai dalam menganjurkan dialog yang berkesan iaitu:
a) Setiap individu yang terlibat mempunyai objektif yang sama, iaitu bagi mencari kebenaran dan
mencapai kesepakatan serta bukannya bertujuan memperlekehkan dan melakukan provokasi
terhadap mana-mana pihak.
b) Tiada halangan dan ancaman kepada mana-mana pihak dalam menyampaikan hujah
mahupun mengemukakan sebarang kemusykilan yang mempunyai kaitan dengan isu-isu yang
dibincangkan.
c) Perlu melibatkan individu yang sememangnya berkelayakan dan diiktiraf dalam bidang tersebut
bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan fakta dan penyebaran maklumat yang salah
yang boleh menimbulkan masalah yang lebih besar sama ada semasa mahupun selepas dialog
tersebut.
Proses penyuburan pemahaman ini penting bagi membolehkan mereka merungkaikan kekeliruan
berkaitan doktrin sesebuah agama serta perlakuan para penganutnya supaya tidak timbul
kecenderungan menyalahkan mana-mana agama sebagai tindak balas atas pemerhatian yang silap
berhubung reaksi penganut agama tersebut. Hal ini demikian kerana pengaruh yang kuat antara agama
dan etnisiti di Malaysia menyaksikan budaya dan pengamalan sesuatu kaum itu yang bersifat negatif
sering disandarkan dengan ajaran agama yang mendominasi kaum tersebut (Mohd Nor, 2011).
Sebagai contoh, kekeliruan masyarakat Cina yang sering menilai pengamalan dan akhlak masyarakat
Melayu sebagai cerminan agama Islam sehingga mereka yang memeluk Islam dikatakan sebagai
‘masuk Melayu’ (Osman, 2002). Begitu juga bagi masyarakat Melayu yang ada kalanya terkeliru
dengan agama Buddha yang dianuti oleh majoriti kaum Cina di negara ini yang sebenarnya
mengandungi dua aliran di mana aliran yang dipilih oleh mereka adalah Mahayana yang lebih
mementingkan elemen falsafah dan kebudayaan tradisi berbanding pengamalan ajaran agama.
Maka, proses perkenalan ini akan merungkaikan segala propaganda tersebut kerana manusia
secara asasnya hanya berpotensi memusuhi dan berprasangka pada perkara yang berada di luar
batasan pengetahuan dan pemahamannya. Sekatan yang dikenakan ke atas setiap pihak dalam
membincangkan perkara yang dianggap menyentuh sensitiviti dan kesucian sesebuah agama mungkin
dilihat sebagai satu langkah selamat yang bersifat sementara, namun langkah tersebut dilihat hanya
menyuburkan perasaan prejudis dan prasangka buruk terhadap agama lain secara terpendam
diibaratkan seperti bom jangka yang hanya menunggu masa untuk diletuskan. Maka, pendekatan
pengawalan dan pengawasan sebenarnya dilihat lebih relevan untuk dilaksanakan berbanding
penyekatan secara menyeluruh berdasarkan kepada perkembangan pengaruh teknologi masa kini
yang telah meluaskan lagi jaringan komunikasi sesama masyarakat.
c) Penyuburan Toleransi
Secara realitinya, manusia itu memang diciptakan bagi menempuhi persekitaran yang berbeza.
Perbezaan dari sudut politik, geografi, ekonomi, kebudayaan mahupun keagamaan memerlukan
kepada nilai tolak ansur dan toleransi yang tinggi (Abdur Rahman, 2001). Justeru, kewujudan
kepelbagaian agama dan kaum itu bukanlah sebagai satu bentuk pendominasian dan penguasaan,
sebaliknya sebagai satu proses membina toleransi dan pergaulan yang baik. Islam tidak menerima
konsep kebebasan agama kerana setiap agama mempunyai doktrinnya tersendiri yang perlu diikuti dan
ditaati oleh setiap penganutnya (Ramli, 2003). Sebaliknya, Islam mengakui konsep kebebasan
beragama di mana pengamalan mana-mana agama diharuskan atas dasar saling menghormati dan
meraikan perbezaan yang wujud, dengan syarat tiadanya unsur campur tangan dan peremehan
terhadap doktrin mana-mana agama lain dilakukan secara terbuka tanpa sebarang pengawasan
(Khadijah & Mohd Herzali, 2008).
Hal ini juga selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam Perkara 11 (1) Perlembagaan
Persekutuan di mana walaupun Islam diiktiraf sebagai agama rasmi persekutuan, namun agama-
agama lain boleh terus diamalkan tanpa sebarang gangguan. Kefahaman yang jelas tentang konsep
ini akan melahirkan semangat toleransi yang jitu antara penganut pelbagai agama seterusnya
membawa kepada proses perpaduan yang baik. Al-Qaraḍāwī (2001) telah mencadangkan empat
prinsip yang boleh dijadikan sebagai dasar utama oleh umat Islam dalam mewujudkan toleransi yang
bersifat praktikal iaitu:
a) Setiap Muslim perlu mengakui dan mengiktiraf asas kemuliaan manusia tanpa mengira agama,
bangsa dan warna kulit.
b) Setiap Muslim perlu menerima bahawa perbezaan agama yang berlaku merupakan
sebahagian daripada aturan yang telah ditetapkan oleh Allah bagi membolehkan manusia
membuat pilihan untuk menerima atau meninggalkan sesuatu kepercayaan berdasarkan
kefahaman dan keyakinannya.
c) Setiap Muslim tidak dituntut untuk bermusuhan dengan golongan non-Muslim disebabkan
kekufuran mereka serta berpegang teguh pada prinsip kebebasan beragama.
d) Setiap Muslim perlu meyakini bahawa berlaku adil dan menunaikan hak sesama manusia
walaupun berbeza kaum dan agama merupakan sebahagian daripada perintah Allah yang
wajib dilaksanakan.
Prinsip-prinsip ini jika difahami dan diaplikasikan dengan baik nescaya mampu mewujudkan
sekumpulan masyarakat yang mampu menerima dan meraikan kepelbagaian yang wujud sesama
mereka tanpa menjejaskan kerukunan dan keharmonian yang dimiliki. Sewaktu pemerintahan Islam di
Madinah, Rasulullah SAW tidak mengganggu golongan Yahudi yang memiliki institusi keagamaan dan
akademik mereka sendiri yang dikenali sebagai Bayt al-Midrās (Ibn Hisyam, t.t). Mereka bebas
mengurus dan menjalankan kegiatan mereka tanpa sebarang sekatan selagi mana tidak
mendatangkan gangguan dan ancaman terhadap umat Islam. Hal ini telah memperlihatkan kepada kita
keunggulan Islam sebagai agama yang meraikan hak asasi manusia. Hal yang sama juga berlaku
pasca peperangan Khaybar di mana para sahabat telah merampas lembaran-lembaran Taurat
disebabkan kewujudan banyak penyelewengan dan pendustaan terhadap Allah dan Rasul-Nya yang
terkandung dalam kitab tersebut. Golongan Yahudi telah mengadukan perkara tersebut kepada
Rasulullah SAW dan Baginda akhirnya memerintahkan para sahabat untuk memulangkan semula kitab
tersebut kepada mereka sebagai satu bentuk penghormatan terhadap hak dan kebebasan beragama
(al-Wāqidī, 1989).
Islam telah memaparkan tahap toleransi tertinggi terhadap golongan yang berbeza agama.
Pelunasan hak-hak kemanusiaan yang selayaknya kepada golongan non-Muslim membuktikan betapa
tingginya tahap kebebasan beragama yang telah dipraktikkan dalam sesebuah negara Islam. Hal ini
juga selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan di
mana walaupun Islam diiktiraf sebagai agama Persekutuan, agama-agama lain boleh terus diamalkan
tanpa sebarang gangguan dengan syarat tidak menimbulkan provokasi serta menjejaskan
ketenteraman awam. Perkara 11 (3) pula memperuntukkan autonomi kepada setiap penganut agama
untuk menguruskan segala hal ehwal agama masing-masing termasuk pembinaan rumah ibadat.
Namun begitu, mereka tetap terikat dengan Perkara 12 (3) yang melarang sebarang bentuk elemen
pemaksaan dalam menarik dan mempengaruhi pihak berbeza agama bagi mewujudkan kestabilan
dalam masyarakat. Kefahaman yang jelas tentang konsep ini akan melahirkan semangat toleransi yang
jitu antara penganut pelbagai agama dan seterusnya membawa kepada proses perpaduan yang baik.
d) Pelunasan Keadilan
Konsep keadilan perlu dilunaskan merentasi batasan dan sempadan perbezaan kaum dan agama.
Islam sangat menekankan keperluan melaksanakan keadilan dalam setiap urusan tanpa dipengaruhi
oleh sentimen mahupun latar tertentu. Hal ini kerana keadilan merupakan elemen yang menjadi teras
dalam kehidupan bermasyarakat. Islam sangat menegah sebarang bentuk kezaliman kepada sesama
manusia terutamanya berasaskan sentimen yang tertentu (Ibn Kathir, 1999). Pelaksanaan keadilan ini
bukanlah sesuatu yang hanya bersifat teori semata-mata namun telah diperlihatkan sendiri kaedah
pelaksanaannya oleh salah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama ´Abdullāh bin Rawāhah
sewaktu beliau diutuskan ke Khaibar menguruskan perjanjian berkaitan pembahagian hasil
pengeluaran buah-buahan di sana. Kata ´Abdullāh:
“Wahai orang Yahudi, kamulah orang yang paling aku benci. Kamu telah membunuh para nabi
serta melakukan pendustaan kepada Allah. Namun begitu, kebencianku kepada kamu tidak
sedikit pun mendorong aku untuk berlaku zalim kepada kamu. Aku menaksirkan
pembahagiannya untuk kamu sebanyak 20, 000 wasaq kurma. Jika kamu bersetuju, ia menjadi
hak kamu dan jika kamu membantah, maka ia menjadi hak aku. Lalu kaum Yahudi tersebut
berkata, “Dengan keadilan seperti inilah tertegaknya langit dan bumi. Kami menerimanya, maka
beredarlah engkau dari tempat kami” (al-Tahawi, 1994).
Sejarah mencatatkan bagaimana kejahatan dan penganiayaan yang direncanakan oleh
bangsa Yahudi terhadap Islam. Namun, dalam berhadapan dengan perkara tersebut, Rasulullah SAW
telah mendidik para sahabatnya untuk berlaku adil dalam apa urusan sekalipun. Hal ini demikian kerana
sebarang bentuk kezaliman dan pengurangan hak hanya akan membawa kepada pemberontakan
perasaan yang akhirnya boleh mencetuskan perpecahan dan permusuhan yang berterusan. Elemen
keadilan ini telah meresapi pemikiran dan perlakuan Sahabat sehingga mendorong mereka untuk
mengaplikasikan elemen tersebut walaupun selepas ketiadaan Rasulullah SAW. Hal ini dapat dilihat
sewaktu peristiwa Khalifah ´Ali bin Abī Ṭālib yang kehilangan baju besi yang kemudiannya didapati
berada di tangan seorang lelaki Yahudi. Kedua-dua mereka mengadukan hal tersebut kepada hakim
negara ketika itu iaitu Syuraih. Berdasarkan keterangan dan pembuktian, maka baju besi itu diputuskan
menjadi milik lelaki Yahudi tersebut. Melihatkan kepada keadilan yang dipamerkan oleh Islam walaupun
lawannya ketika itu adalah pemerintah utama negara Islam, maka lelaki Yahudi itu terus memeluk Islam
atas dasar kekagumannya lalu terus memulangkan semula baju besi tersebut kepada Khalifah Ali (Abd
al-Mun’im, 1988).
Peristiwa tersebut jelas membuktikan bahawa konsep keadilan dalam Islam memaparkan
suatu pendekatan yang sangat pragmatik di mana tiada perbezaan dalam pelaksanaannya walaupun
kepada musuh mahupun mereka yang berbeza agama. Dalam konteks Malaysia, asas ini telah
diterjemahkan menerusi peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan layanan dan
perlindungan undang-undang yang sama kepada semua pihak tanpa sebarang diskriminasi atas nama
agama, kaum mahupun jantina. Hal ini bagi menjamin penyaluran hak yang saksama tanpa sebarang
pertikaian yang timbul hasil daripada pengagihan hak yang dilakukan secara menyeleweng dan tidak
adil. Namun begitu, satu konsep yang penting untuk dihadamkan adalah pelaksanaan keadilan tidak
bermakna penyaluran hak yang sama rata, sebaliknya pemberian hak mengikut kesesuaian golongan
sasaran meskipun secara tidak saksama. Pemahaman yang salah berhubung konsep ini telah
membawa kepada tuntutan, bantahan dan cabaran yang dilakukan oleh pihak tertentu dalam
memastikan peruntukan yang adil diberikan mengikut kehendak mereka. Punca utama yang dilihat
menjadi asas pertikaian kedua-dua golongan ini bukannya berkaitan peruntukan hak, sebaliknya
penyalahgunaan peruntukan yang telah diberikan (Khairul & Rushdi, 2016). Maka, setiap pihak di
peringkat bawahan perlu menghargai peruntukan sedia ada yang diberikan tanpa mewujudkan
sebarang usaha untuk mempertikaikan hak-hak tertentu yang telah disepakati sejak sekian lama
kerana peruntukan tersebut telah dibina atas permuafakatan pelbagai pihak bagi menjamin kestabilan
dan keharmonian dalam kalangan masyarakat. Di peringkat atasan pula, pihak yang bertanggungjawab
dalam merangka dan menjalankan dasar yang berkaitan seharusnya memastikan setiap hak dan
peruntukan disalurkan serta diuruskan secara betul bagi mengelakkan wujudnya sebarang persepsi
negatif yang akhirnya hanya akan mengundang bantahan-bantahan yang lebih agresif.
e) Penyaluran Kebajikan Sosial
Secara fitrahnya, naluri manusia itu akan sentiasa terdorong untuk melakukan kebaikan dan kebajikan
sesama mereka. Konsep ini dilaksanakan tanpa mengira perbezaan agama yang wujud bagi
mengukuhkan hubungan yang terbina berdasarkan nilai yang mulia dan terpuji. Islam tidak melarang
sebarang bentuk kebajikan diberikan kepada penganut berlainan agama sama ada dalam bentuk
ekonomi mahupun sosial. Hubungan umat Islam dengan penganut agama yang lain bukan hanya dibina
berdasarkan penjaminan keharmonian dan keamanan semata-mata, bahkan dirangkumkan dalam
konsep yang lebih luas melibatkan penjagaan kebajikan terhadap mereka (Mohd Hafiz, 2013).
Rasulullah SAW pernah menziarahi seorang remaja Yahudi yang merupakan salah seorang pembantu
yang berkhidmat kepadanya. Sifat prihatin dan bertanggungjawab yang dipamerkan oleh Baginda ini
akhirnya menarik minat remaja tersebut untuk memeluk agama Islam (al-Bukhārī, 2002).
Selain itu, perintah Rasulullah SAW kepada Asmā’ binti Abū Bakr untuk meneruskan kebajikan
dan layanan baik terhadap ibunya yang belum memeluk Islam memperlihatkan kepada kita dengan
jelas bahawa perbezaan agama bukanlah penghalang untuk menyuburkan kebajikan sosial dalam
masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Islam juga sangat memberi penekanan terhadap
penghuluran kebajikan kepada jiran di mana telah diriwayatkan bahawa ´Abdullāh bin ´Amru salah
seorang daripada sahabat Rasulullah SAW pernah menyembelih seekor kambing lalu bertanyakan
kepada pembantunya sama ada daging kambing tersebut telah dihadiahkan kepada jiran mereka yang
berbangsa Yahudi. Pertanyaan tersebut telah diulang sebanyak dua kali lalu beliau menyatakan
pesanan Rasulullah SAW mengenai pesanan Jibril berkaitan kebajikan terhadap jiran sehingga
Baginda menyangka bahawa mereka (jiran) merupakan sebahagian daripada kerabat yang boleh
mewarisi (al-Bukhārī, 1989).
Yūsuf al-Qaradāwī dalam menyatakan konsep kebajikan yang dianjurkan oleh Islam adalah
dengan mempamerkan kelembutan terhadap orang yang lemah dalam kalangan non-Muslim,
menghulurkan bantuan kepada orang-orang fakir dan miskin, memberi keperluan makanan dan
pakaian terhadap orang-orang yang kesempitan, bergaul secara baik dan sopan, mendoakan supaya
mereka diberikan petunjuk kepada agama Islam, menasihati mereka dalam urusan keduniaan,
memelihara maruah dan harta mereka daripada sebarang ancaman serta membantu mereka daripada
sebarang unsur kezaliman (al-Qaradawi, 1992). Budaya rumah terbuka yang sering dianjurkan saban
tahun di Malaysia memperlihatkan kepada kita hubungan baik yang terjalin antara penganut pelbagai
agama apabila mereka saling bertukar-tukar makanana menjelang perayaan masing-masing.
Sambutan ini jelas telah bertukar menjadi suatu aktiviti sosial dan kemasyarakatan dalam mewujudkan
kemesraan sesama rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Dalam konteks yang lebih
kecil, kewujudan penduduk pelbagai agama dalam sesebuah kediaman juga perlu dijadikan platform
untuk menghulurkan kebajikan lebih-lebih lagi atas dasar kejiranan. Hal ini mampu menyumbang
kepada perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat.
f) Penghindaran Provokasi
Islam melarang sebarang bentuk penghinaan dan pencercaan terhadap amalan dan doktrin mana-
mana agama tanpa melalui proses penghujahan yang betul. Hal ini demikian kerana setiap provokasi
yang dilakukan hanya akan mengundang tindak balas yang lebih ekstrem yang akhirnya boleh
membawa kepada pertelingkahan dan permusuhan yang lebih serius. Hal ini sebagaimana yang telah
dinyatakan dalam ayat berikut:
“Dan janganlah kamu mencerca sembahan-sembahan mereka selain Allah kerana kelak mereka
akan mencerca Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan” (Surah al-An´ām, 6: 108).
Kalimah tasubbū dalam ayat berikut berasal daripada perkataan sabba iaitu sebarang ucapan yang
mempunyai unsur penghinaan dan pemakaian sesuatu keburukan kepada pelakunya secara terbuka
sama ada hal tersebut benar mahupun palsu (al-Fayyūmī, 1987). Ibn Kathīr (1999) menyatakan
bahawa ayat ini diturunkan berkaitan tindakan sebahagian umat Islam yang menghina dan
memperlekehkan sembahan kaum musyrikin Makkah. Hal ini telah mengundang serangan balas
daripada mereka dengan melancarkan ugutan terhadap Rasulullah SAW untuk mencerca Allah sebagai
sembahan umat Islam. Lalu Allah menurunkan larangan cercaan tersebut bukan sebagai satu bentuk
ketakutan terhadap ancaman mereka, sebaliknya pembinaan etika buat umat Islam dalam berhadapan
dengan manusia pelbagai agama. Umat Islam dilarang memulakan sebarang bentuk provokasi atas
apa alasan sekalipun bagi menghindari mudarat besar yang boleh berlaku tanpa diduga.
Rasulullah SAW sendiri pernah diprovokasi oleh sekumpulan Yahudi yang mempermainkan
ucapan salam dengan mengubah lafaz salam tersebut daripada assalāmu ‘alaikum (sejahtera ke atas
kamu) kepada assāmu ´alaikum (kematian/kecelakaan kepada kamu). ´A’isyah r.a. yang mendengar
ucapan tersebut telah membalas provokasi tersebut dengan mendoakan kecelakan dan laknat
keburukan ke atas mereka namun telah ditegur oleh Baginda SAW. Walaupun ´A’isyah pada mulanya
mempersoalkan teguran Rasulullah SAW yang dirasakan bersifat defensif, tetapi beliau akur atas
penjelasan Baginda bahawa provokasi tersebut telah pun dibalas dengan kadar yang sewajarnya. Hal
ini memperlihatkan ketinggian tahap kesabaran yang dimiliki oleh Rasulullah SAW walaupun
berhadapan dengan provokasi yang melampau dan biadab daripada pihak lawan. Maka, menjadi
tanggungjawab setiap penganut agama untuk mempamerkan rasa hormat sesama mereka yang
berlainan agama berdasarkan konsep “agree to disagreement” (Ramli, 2003).
Sebarang unsur perosak keharmonian seperti ekstremisme, chauvinisme dan fanatisme perlu
segera dihindari dan dibendung dalam usaha memastikan keharmonian dan kerukunan masyarakat
pelbagai agama ini mampu direalisasikan (Mohd Anuar, 2003). Setiap pihak juga wajar menahan diri
daripada menimbulkan tuntutan atau bantahan tertentu, terutamanya yang berkaitan dengan doktrin
dan syiar utama agama-agama lain kerana dibimbangi tindakan tersebut hanya akan mengundang
serangan balas yang di luar jangkaan. Hal ini demikian kerana isu keagamaan di Malaysia
sememangnya dikategorikan sebagai isu yang sensitif kerana berpotensi untuk dieksploitasi oleh
mana-mana pihak sehingga mencetuskan kekacauan dalam masyarakat. Tahap sensitiviti keagamaan
yang semakin meningkat di Malaysia akhir-akhir ini memerlukan muhasabah daripada semua pihak
agar lebih bertenang dan tidak terburu-buru dalam melakukan sesuatu tindakan yang akhirnya akan
merugikan hubungan sesama mereka sahaja.
Maka, tindakan pihak pemerintah menguatkuasakan beberapa undang-undang awam seperti
Akta Hasutan 1948 (bertujuan membendung sebarang ucapan yang boleh mencetuskan kekacauan
dalam masyarakat), Akta Pertubuhan 1966 (bertujuan memastikan setiap kumpulan agama tidak
menyalahi objektif dan fungsi penubuhannya), Akta Polis 1967 (bertujuan memastikan aktiviti
keagamaan yang dijalankan di kawasan awam tidak mengganggu ketenteraman), Akta Mesin Cetak
dan Penerbitan 1984 (bertujuan menyekat sebarang penerbitan berbentuk provokasi dan subversif
yang boleh menjejaskan keharmonian) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (bertujuan
membendung sebarang penyalahgunaan medium siber bagi menimbulkan ketegangan dalam
masyarakat) dilihat penting sebagai suatu amaran kepada mana-mana pihak supaya lebih
menghormati satu sama lain serta mempunyai rasa tanggungjawab atas setiap perkataan dan tindakan
yang dilakukan (Mohd Azam, 2016). Tindakan sebegini penting dalam membendung mana-mana pihak
daripada memperlekeh pengamalan agama mana-mana pihak, sama ada secara serius mahupun
sekadar gurauan semata-mata. Hal ini demikian kerana setiap penganut agama memiliki tahap
sensitiviti keagamaan yang tinggi dalam mempertahankan kesucian agama masing-masing. Maka,
penghormatan yang diberikan ini mampu mengelakkan kekacauan dan konflik yang di luar jangkaan
tercetus dalam kalangan masyarakat.
KESIMPULAN
Hubungan baik yang terbina antara penganut pelbagai agama di Malaysia ini perlu sentiasa dikekalkan
bagi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat. Situasi ini memerlukan kepada kerjasama semua
pihak secara menyeluruh bagi menghasilkan suatu proses integrasi yang bersifat nasional.
Perkongsian dan pematuhan terhadap nilai dan norma yang terpuji merupakan aspek yang disepakati
oleh semua manusia merentasi sempadan kaum dan agama. Negeri Sembilan, menerusi dasar ‘Bersih,
Muafakat dan Sejahtera’ dilihat telah memberikan perhatian serius terhadap agenda keharmonian dan
perpaduan masyarakat majmuk. Justeru, pendekatan teoritikal berpandukan nilai-nilai Islam ini,
berperanan sebagai nilai tambah dalam memandu dan memacu interaksi sosial masyarakat majmuk di
negeri ini supaya tidak bersifat retorik semata-mata, bahkan mampu menterjemahkan kemajmukan dan
kepelbagaian dalam bentuk yang lebih jitu dan bersepadu. Sebarang ancaman yang dilihat berpotensi
merencatkan pembinaan asas keharmonian ini perlu segera dicantas sama ada menerusi kempen dan
dialog mahupun penguatkuasaan undang-undang bagi menjamin kestabilan dan keharmonian yang
wujud dalam kalangan masyarakat majmuk di Negeri Sembilan, dan di Malaysia amnya mampu
dikekalkan.
RUJUKAN
Abd Aziz A’zmi, Farrah Wahida Mustafar, Aimi Khairunnisa Abdul Karim & Nurliana Suhaini (2017).
“Realiti Kepelbagaian Kaum Ke Arah Perpaduan Nasional Pascamerdeka”. Malaysian Journal of
Social Science, 2 (1): 1-24.
´Abd al-Mālik bin Hisyām. (t.t.). al-Sīrah al-Nabawiyyah. Beirut: Dār Ihyā’ al-Turath al-‘Arabī.
´Abd al-Mun´im al-Hasyīmī. (1988). Masyāhīr al-Qudāh. Beirut: Dār Ibn Kathīr.
Abdur Rahman Momin. (2001). Pluralism and Multiculturalism: An Islamic Perspective. American
Journal of Islamic Social Science, 18 (2): 115-146.
Aḥmad bin Ḥanbal. (1998). Musnad Aḥmad. Riyāḍ: Bait al-Afkār al-Dawliah.
Ahmad bin Muhammad al-Tahawi. (1994). Syarh Ma'ani al-Athar. Riyad: Dar 'Alim al-Kutub.
Aḥmad bin Muḥammad bin ´Ali al-Fayyūmi. (1987). al-Miṣbāh al-Munīr. Beirut: Maktabah Lubnan.
Azyati Azhani Mohd Mazuki, Wan Kamal Mujani, Azmi Aziz & Ermy Azziaty Rozali. (2013). Pelaksanaan
Konsep Wasatiyyah di Malaysia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Chamil Wariya. (2007). Malaysia: 50 Fakta Asas Kenegaraan. Kuala Lumpur: Media Global Matrix Sdn.
Bhd.
Fakhr al-Dīn al-Rāzi. (1981). Mafātih al-Ghayb. Beirut: Dār al-Fikr.
Faridah Jalil & Rohizan Halim. (2014). Kebebasan Beragama: Gambaran Malaysia. KANUN 26 (2):
220-235.
Ismā´īl bin ´Umar bin Kathīr. (1997). Tafsīr al-Qurʼan al-‘Aẓīm. Riyāḍ: Dār al-Ṭayyibah.
Ibn Hisyam, Muhammad bin Abd al-Malik (t.t). al-Sirah al-Nabawiyyah. Beirut: Dar al-Qalam.
Khadijah Mohd Hambali & Mohd Herzali Mohd Haled. (2008). Toleransi Beragama dan Amalannya di
Malaysia: Rujukan kepada Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Jurnal Usuluddin, 27:
81-92.
Khairul Azhar Meerangani. (2016). Isu Semasa terhadap Hubungan Sosial dengan Non-Muslim di
Malaysia daripada Perspektif Hukum Islam. Tesis Kedoktoran, Akademi Pengajian Islam, Universiti
Malaya.
Khairul Azhar Meerangani & Rushdi Ramli. (2016). Hak Asasi Non Muslim di Malaysia menurut
Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip Islam. Jurnal Kemanusiaan, 14 (3): 18-29.
Khairul Azhar Meerangani & Rushdi Ramli. (2017). Pemakaian Elemen Realiti Semasa (Waq’i) dalam
Fatwa Berkaitan Non Muslim di Malaysia: Analisis Isu Terpilih. Jurnal Ulwan, 2 (1): 85-96.
Mansor Mohd Noor. (2006). Transformasi Perhubungan Etnik di Malaysia. Dlm. Zaharah Hassan, Abdul
Latif Samian & Abu Daud Silong. Readings on Ethnic Relations in a Multicultural Society. Serdang:
Penerbit UPM.
Mansor Mohd. Noor. (2010). Hubungan Melayu dan Cina di Malaysia Masa Kini: Buta dengan
Perubahan Realiti Sosial Negara. DEMOKRASI, 9 (2): 185-207.
Mohamad Kamil Ab. Majid. (2013). Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah. Kuala Lumpur: Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia.
Mohamed Azam Mohamed Adil. (2016). Enakmen Kawalan Pengembangan Agama bukan Islam di
Malaysia: Penguatkuasaannya bagi Kes Pengembangan Agama Bukan Islam di Alam Siber.
Prosiding, Seminar Undang-undang Jenayah Syariah di Alam Siber, Institut Latihan Islam Malaysia.
Mohd Anuar Ramli. (2003). Asas Hukum dalam Budaya: Kajian terhadap Beberapa Aspek Hubungan
Sosial dalam Kebudayaan Malaysia. Disertasi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala
Lumpur.
Mohd Anuar Ramli & Mohammad Aizat Jamaludin. (2011). Uruf Majmuk: Konsep dan Amalannya dalam
Masyarakat Majmuk di Malaysia. Jurnal Fiqh, 8: 45–64.
Mohd Anuar Ramli & Mohammad Aizat Jamaludin. (2012). Prinsip Hubungan Sosial bagi Menangani
Konflik dalam Masyarakat Malaysia Berteraskan Islam. Jurnal Peradaban, 5: 49–71.
Mohd Anuar Ramli, Muhammad Izzul Syahmi Zulkepli, Rahimin Affandi Abdul Rahim, Muhd Imran Abd
Razak, Mohamad Naqib Hamdan dan Syamsul Azizul Marinsah. (2018). “Isu-Isu Sensitif Dalam
Masyarakat Majmuk Di Malaysia Pasca Pilihanraya Umum (PRU14): Aplikasi Pendekatan
Kesederhanaan”. Dlm. Mohd Roslan Mohd Noor (ed.). Penyelidikan Serantau Islam Dan Alam
Melayu: Pendidikan, Kewangan, Kehartaan dan Isu Kontemporari. Kuala Lumpur: Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Mohd Hafiz Daud. (2013). Non Muslim Menurut Kaca Mata Rasulullah. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn.
Bhd.
Mohd Roslan Mohd Nor. (2011). Religious Tolerance in Malaysia: An Overview. Middle-East Journal of
Scientific Research, 9 (1): 23–27.
Muhammad Abi Hamid al-Ghazali. (2003). Al-Iqtisad fi al-I'tiqad. Beirut: Dar Qutaybah.
Muḥammad bin Ismā´īl al-Bukhārī. (1989). Al-Adab al-Mufrad. Beirut: Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah.
Muhammad bin Ismā´īl al-Bukhārī. (2002). Ṣaḥīḥ al-Bukhārī. Beirut: Dar Ibnu Kathir.
Muḥammad bin ´Umar bin Wāqidī. (1989). al-Maghāzi. Beirut: Dar al-A´lami.
Muslim bin Ḥajjāj. (1991). Ṣaḥīḥ Muslim. Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah.
Nazri Muslim. (2012). Implikasi Peruntukan Islam dan Orang Melayu dalam Perlembagaan
Persekutuan terhadap Hubungan Etnik di Malaysia. Jurnal Kemanusiaan, 19 (2): 19–62.
Nazri Muslim, Nik Yusri Musa & Ahmad Hidayat Buang. (2011). Hubungan Etnik di Malaysia dari
Perspektif Islam. Kajian Malaysia, 29 (1): 1–28.
Novri Susan. (2014). Pengantar Sosiologi Konflik. Jakarta: Prenada Media.
Osman Chuah. (2002). Non-Muslim Chinese Fear of Islam in Malaysia: An Analysis. Jurnal Usuluddin,
15: 97–108.
Ramli Awang. (2003). Islam Alternatif Perpaduan Sejagat. Skudai: Penerbit UTM.
Sayyid Quṭb. (1996). Fī Ẓilāl al-Qur’an. Beirut: Dār al-Syuruq.
Syarifuddin Jurdi. (2014). Sosiologi Islam dan Masyarakat Moden. Jakarta: Kencana.
Yusuf al-Qaradawi. (1992). Ghayr al-Muslimin fi al-Mujtama´ al-Islami. Qahirah: Maktabah Wahbah.
Yūsuf al-Qaraḍāwī. (2001). Madkhal li Ma´rifah al-Islām. Beirut: Mu’assasah al-Risalah.
Yūsuf al-Qaraḍāwī. (2006). Dirasah fi Fiqh al- Maqasid al-Syari’ah. Kaherah: Dar al-Syuruq.
Yusuf al-Qaradawi. (2010). Fiqh al-Wasatiyyah al-Islamiyyah wa al-Tajdid. Beirut: Dar al- Syuruq.
Yusuf al-Qaradawi. (2011). Kalimat fi al-Wasatiyyah al-Islamiyyah wa Ma’alimiha. Qahirah: Dar al-
Shuruq.
PELAKSANAAN PRAKARSA PROGRAM KESEJAHTERAAN INSAN DI
BAHAGIAN KAUNSELING MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN (MAINS)
HAJI MUHAMMAD HAJI NORDIN (PHD),
IPG KAMPUS PENDIDIKAN TEKNIK
ABSTRAK
PENGENALAN
Bahagian Kaunseling mula ditubuhkan pada 1998 untuk menyahut seruan kerajaan agar
institusi agama berperanan meningkatkan mutu kesihatan dan kesejahteraan masyarakat melalui
perkhidmatan kesihatan mental. Keperluan masyarakat terhadap perkhidmatan kaunseling sesuai
dengan persekitaran sosial yang semakin kritikal. Dijalankan di lokasi strategik –pusat membeli belah
(shopping complex) untuk memudahkan orang awam. membantu semua lapisan masyarakat dengan
mengendalikan pelbagai masalah sosial yang mereka hadapi secara sistematik.
Bahagian ini diterajui oleh seorang Ketua Kaunselor, Sembilan orang Kaunselor, seorang
Pegawai Latihan, lima orang penolong kaunselor, enam orang pembantu tadbir dan seorang pemandu
OBJEKTIF DAN FUNGSI BAHAGIAN KAUNSELING MAINS
Penubuhan bahagian yang berobjektifkan untuk menyediakan beberapa pilihan untuk
masyarakat menangani dan menyelesaikan masalah yang dihadapi secara yang lebih praktikal,
menawarkan perkhidmatan kaunseling secara profesional oleh individu yang pakar dan terlatih dalam
bidang kaunseling dan persediaan secara preventif dalam mengendalikan masalah yang mungkin
berlaku pada masa hadapan
Di samping itu, bahagian memberikan perkhidmatan dengan berteraskan tiga konsep utama
iaitu Profesional, percuma dan terbuka. Klien datang secara sukarela atau rujukan. Klien yang datang
ke bahagian ini sama ada Rjukan daripada pihak kerajaan, swasta, NGO atau individu. Para klien
datang secara bersemuka di premis melalui janji temu, panggilan telefon, surat, emel, facebook atau
pihak kaunselor sendiri yang turun padang.
PELAKSANAAN PROGRAM KESEJAHTERAAN INSAN
Pelbagai program, aktiviti, sesi kaunseling individu dan kelompok telah dilaksanakan oleh
bahagian ini dalam mensejahterakan insan di Negeri Sembilan. Bermotokan perkhidmatan “KAMI
SEDIA HULUR BANTUAN, ANDA PULANG DENGAN SENYUMAN”. Seorang kaunselor perlu
menyuburkan sifat-sifat mahmudah dan tanggungjawab kaunselor Muslim dalam sepanjang proses
terapi yang dilalui oleh klien, menyemaikan dan menggalakkan bibit-bibit penyuburan sifat-sifat
mahmudah ke dalam diri klien. Sesuatu yang jelas diketahuai punca utama masalah-masalah yang
dihadapi oleh klien ialah disebabkan klien dikuasai oleh sifat-sifat mazmumah (sifat-sifat keji). Dalam
hadis baginda, Rasulullah pernah bersabda yang mafhumnya; “aku telah diutuskan semata-mata untuk
menyempurnakan budi pekerti manusia”. Untuk memastikan proses terapi berjalan lancar kaunselor
hendaklah terlebih dahulu merupakan role model kepada masyarakat sebagaimana Rasulullah
merupakan contoh kepada umat
Dalam menyantuni para klien, seseorang kaunselor perlu mempunyai hati yang bersih ( ).
Hati menurut al-Ghazali merupakan salah satu elemen yang memberikan kelebihan kepada seseorang.
Penggunaan hati yang betul akan menguntungkan seseorang. Walau bagaimana pun, sekiranya
digunakan dengan cara yang bercanggah dengan ajaran Islam, manusia akan menyimpang jauh
daripada jalan Islam. Hati memainkan peranan yang sangat besar kerana dengan hati bersih manusia
dapat memahami ilmu, dapat mengenal Allah SWT seterusnya menanam kepercayaan dan keimanan
yang utuh dalam diri manusia (Muhammad Hilmi et. al 2016). Hati yang bersih akan membantu
kaunselor menjadi sabar. Ini adalah kerana kunci kepada kaunselor yang baik adalah kesabaran dan
ketekunan apabila berhadapan dengan pelanggan. Orang yang memerlukan khidmat nasihat harus
dibenarkan berasa selesa dan dipujuk secara perlahan-lahan untuk menambat hati mereka, supaya
mereka meluahkan masalah yang mereka hadapi (Norazman 2022)
Kaunselor akan berjaya hanya apabila diterima orang yang memerlukan khidmat nasihat dan
sanggup meluahkan isi hati mereka.
Dalam menerajui perkhidmatan kaunseling di Negeri Sembilan, Bahagian Kaunseling telah
menjalankan pemuafakatan bersama-sama agensi luar untuk menyebarluaskan lagi perkhidmatan
kaunseling di Negeri Sembilan. Membina jaringan dan jalinan dengan agensi luar antaranya ialah Klinik
Kesihatan Bahau Felda Pasoh 2, Klinik Desa Astana Raja Kota Rembau, Klinik Kesihatan Rembau,
Dewan Orang Ramai Serting Tengah, Klinik Kesihatan Pedas, Pejabat Daerah Kuala Pilah, Terminal
One Shopping Complex, SMA Dato Hj Mustafa, AADK Rembau, Masjid Kariah Kampong Londah, Klinik
Kaunseling Klinik Kesihatan Gemas, Klinik Kesihatan Gemencheh, Klinik Kaunseling di Giant Kuala
Pilah, Klinik Kaunseling Pejabat Daerah Kuala Pilah, AADK Jempol serta Pasar Tani Kuala Pilah.
Sementara itu peringkat penganjuran pemuafakatan tersebut adalah seperti dalam Rajah1
Antarabangsa Kebangsaan
1% 6%
Negeri
16%
Daerah
77%
Rajah 1-Program Pemuafakatan Bahagian Kaunseling MAINS dengan agensi luar
Berdasarkan rajah 1 di atas, sebanyak 93% program pemuafakatan di jalankan di Negeri
Sembilan iaitu merangkumi 77% peringkat daerah dan 16% peringkat negeri. Fokus Bahagian
Kaunseling memberikan perkhidmatan di Negeri Sembilan menunjukkan bahawa pemilihan rakan
strategik pemuafakatan untuk masyarakat setempat merupakan suatu usaha yang murni dalam
memastikan kelestarian perkhidmatan kaunseling diperoleh oleh warga Negeri Sembilan. Selaras
dengan metode dakwah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad S.A.W bahawa tadarruj dalam
berdakwah perlulah dimulakan dahulu dengan mereka yang paling hampir dengan pendakwah.
Sesungguhnya Allah Ta’ala ketika pertama kali mengutus Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, Allah
Ta’ala mengatakan,
ا ْْلَ ْق َربِي َن َع ِشي َرتَ َك َوأَ ْن ِذ ْر
“Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat.” (Asy-Syu’araa’ 26: 214)
Berdasarkan ayat di atas, menjelaskan bahawa sekiranya di sesebuah negerinya sendiri
terdapat ruang dan kesempatan untuk berdakwah dan memperbaiki keadaan masyarakat, maka tidak
selayaknya baginya untuk keluar ke negeri yang lain. Walau bagaimana pun, jika tiada ada ruang untuk
dakwah disebabkan di negerinya sudah berada dalam keadaan yang diinginkan oleh syariat, maka
boleh baginya untuk keluar ke negeri atau kawasan lain yang dihasratkan
Sementara itu, Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Insan MAINS sangat aktif dalam
melaksanakan program mensejahterakan insan di Negeri Sembilan khususnya dalam membantu
warga Negeri Sembilan menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam isu rumahtangga, keluarga,
kerjaya, sosial, peribadi dan pelajaran seperti yang terdapat dalam Jadual 1
Analisis Sesi Kaunseling Individu Januari hingga Disember tahun 2020 dan 2021
BIL KATEGORI KES PEJABAT JAN – DIS JAN - DIS JUMLAH PERATUSAN (%)
HQ 2020 2021 673 61
RUMAHTANGGA 279 394 109 10
1. SENAWANG 48 61 28 3
REMBAU 7 21 54 5
KELUARGA TAMPIN 25 29 46 4
2. 3 43 112 10
KUALA PILAH 55 57 79 7
KERJAYA JEMPOL 40 39 1101 100
3. 457 644 104 42
PORT DICKSON 60 44 20 8
4. JUMLAH 0 20 16 6
SOSIAL HQ 13 3 27 11
14 13 41 16
SENAWANG 7 34 26 10
REMBAU 13 13 18 7
TAMPIN 7 11 252 100
114 138 12 41
KUALA PILAH 5 7 2 7
JEMPOL 1 1 11 38
1 10 1 4
PORT DICKSON 0 1 3 10
JUMLAH 3 0 0 0
HQ 0 0 0 0
0 0 29 100
SENAWANG 10 19 21 23
REMBAU 20 1 5 5
TAMPIN 0 5 50 53
20 30 2 2
KUALA PILAH 2 0 6 6
JEMPOL 1 5 10 11
1 10 0 0
PORT DICKSON 0 0
JUMLAH
HQ
SENAWANG
REMBAU
TAMPIN
KUALA PILAH
JEMPOL
PORT DICKSON
Jadual 1
Sumber: Bahagian kaunseling dan Pembangunan Insan MAINS (2022)
Berdasarkan analisis kaunseling individu pada tahun 2020 dan 2021 (Jadual 2) di tujuh buah
pusat kaunseling yang terdapat di setiap daerah mendapati bahawa kes rumahtangga merupakan kes
yang paling tinggi iaitu sebanyak 53.30%, peribadi 26.32%, keluarga 12.20%, sosial 4.50%, pelajaran
2.28% dan kerjaya 1.40%.
Analisis Kategori Kes Kaunseling Tahun 2020 dan 2021
Kategori Kes Jumlah Peratus
Rumahtangga 1101 53.30
252 12.20
Keluarga 1.40
Kerjaya 29 4.50
Sosial 94 26.32
Peribadi 544 2.28
Pelajaran 47
Jumlah 2067 100
Jadual 2
Sungguhpun kes rumah tangga mencatat kes yang tertinggi dalam kes kaunseling di Negeri
Sembilan, jika dilihat pada statistik keganasan rumah tangga pada tahun 2020 di Malaysia
menunjukkan bahawa Negeri Sembilan hanya mencatatkan lapan kes iaitu sekitar 3% daripada jumlah
keseluruhan kes keganasan rumah tangga seperti yang terdapat dalam jadual 3. Ini menunjukkan kes
rumah tangga yang dikendalikan oleh Bahagian Kaunseling MAINS adalah kes yang dikategorikan
sebagai kes yang kurang melibatkan kes keganasan rumah tangga. Berdasarkan temu bual dengan
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Insan menyatakan bahawa kes
rumah tangga merupakan kes paling tinggi pada tahun 2020 dan 2021. Isu rumah tangga yang
dikendalikan oleh bahagian tersebut adalah merangkumi isu-isu seperti berikut:
i) tanggungjawab: iaitu berkaitan nafkah zahir dan batin
ii) kerjaya: suami yang tidak bekerja
iii) kewangan: keberhutangan yang serius, terlibat dengan Ah Long serta menanggung hutang
pasangan tanpa pengetahuan
iv) social: gejala sosial, hubungan dalam perkahwinan dana masalah kejiranan
v) seksual: tidak menunaikan tanggungjawab, keinginan seksual yang tinggi, mengelak
melakukan hubungan intim dan terlibat dalam hubungan songsang
vi) kekeluargaan: hubungan suami, ibu bapa dengan anak, menantu dengan mentua, dan
hubungan sesame ipar duai
(Norazman 2022)
Jadual 3: Bilangan kes KRT di Malaysia semasa PKP (18 Mac-12 Mei 2020)
Negeri Bilangan kes
Pulau Pinang 80
Selangor 70
Johor 21
Kuala Lumpur 20
Pahang 13
Perak 12
Kedah 11
Negeri Sembilan 8
Sabah 8
Kelantan 5
Melaka 3
Terengganu 3
Sarawak 1
Perlis
Tiada kes
Labuan Tiada kes
Jumlah 255
Sumber: WCC (2020) & KPWKM (2020)
Antara faktor -faktor menyumbang kepada kes keganasan rumah tangga era pandemik ialah
kekangan ruang persekitaran, pengaruh dadah dan alkohol, kebergantungan pada pasangan,
ketiadaan sistem sokongan yang kukuh, konflik dalaman individu dan tiada ilmu tentang keganasan
rumah tangga (Muhammad Wafi et. al 2021). Sementara itu, faktor-faktor yang menyumbang kepada
isu rumah tangga menurut Norazman (2022) ialah kurang ilmu agama, tidak mengamalkan ajaran
agama, sikap diri yang ego, campur tangan pihak luar, tidak berminat untuk perbaiki diri serta
meremehkan urusan kehidupan
Berdasarkan faktor-faktor di atas, tadbir urus insan atau human governance bertindak sebagai
mekanisme untuk meningkatkan nilai teras, etika dan tingkah laku seseorang individu yang
membimbing dalaman individu itu sendiri (Siti Fatimah & Nasri 2020). Tadbir urus insan mendorong
seseorang memahami sepenuhnya tentang tanggungjawab dirinya kepada Tuhan, memberi keadilan
kepada diri dan masyarakat di sekelilingnya dan sentiasa berusaha meningkatkan potensi diri ke arah
yang lebih baik (Wan Mohd Noor Wan Daud, 2005).
Justeru, tadbir urus insan merupakan satu proses untuk membentuk jati diri insan yang
mempunyai nilai-nilai murni dalam diri berorientasikan matlamat hidup sebagai pemimpin kepada diri
sendiri mahupun pemimpin kepada orang lain. Memahami tanggungjawab sebagai seorang khalifah
Allah di muka bumi merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian. Namun, pada era teknologi
yang penuh dengan kecanggihan dan kemudahan, didapati naluri insan yang sepatutnya membantu
pembentukan akhlak dan peribadi seseorang insan untuk menjadi lebih baik dari hari ke hari semakin
hilang atau lenyap (Arfah & Aziuddin 2009). Oleh sebab yang demikian, seseorang manusia
berkemungkinan hilang sifat sikap hormat-menghormati, bertoleransi dan mementingkan diri sendiri
akan menguasai diri dan hilang pertimbangan ihsan dalam diri (Siti Fatimah & Nasri 2020)
Justeru, peranan Bahagian Kaunseling MAINS amatlah bermakna buat warga Negeri
Sembilan kerana sangat aktif dalam mensejahterakan insan seluruh Negeri Sembilan dengan
pelbagai program di peringkat organisasi, daerah mahu pun negeri
RUMUSAN PELAKSANAAN PROGRAM
Justeru, peranan Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Insan MAINS amatlah bermakna buat
warga Negeri Sembilan kerana sangat aktif dalam mensejahterakan insan seluruh Negeri Sembilan
dengan pelbagai program di peringkat organisasi, daerah mahu pun negeri. Antara prakarsa program
susulan yang di rancang ialah
i. program pembangunan insan
ii. intervensi / rawatan awal melalui seminar, bengkel dan kursus
iii. program pembangunan keluarga: family therapeutic programme
v. program ziarah dan mahabbah
(Norazman 2022)
Program yang dirancangkan mengambil kira keperluan masyarakat di Negeri Sembilan selaras
dengan visi dan misi MAINS iaitu pemangkin kesyumulan Islam dan ummah berkualiti serta
membangun dan memajukan umat Islam serta memelihara kesucian Islam. Kes
PENUTUP
Kesimpulannya, tanggungjawab memberikan perhidmatan kepada sesebuah masyarakat perlu
didasari dengan harta yang bersih, pemuafakatan yang jitu antara agensi serta bermatlamatkan
kesejahteraan insan. Kerjasama daripada masyarakat dalam menjayakan sesebuah program pula
akan menatijahkan hasil yang dihasratkan. Sesungguhnya amanah Allah SWT yang
dipertanggungjawabkan kepada insan ialah sebagai khalifah Allah yang bertujuan untuk
memakmurkan bumi Allah berpandukan syariat Islamiyyah.
Rujukan
Arfah Salleh, & Aziuddin Ahmad. (2009). Molding Human Business Leaders - What Business School
Instructors Can Learn from Quantum Physics. Journal of Islamic Economics, Banking and Finance.
Volume 5(2), 23-43.
Muhammad Hilmi Jalil, Zakaria Stapa & Raudhah Abu Samah. 2016. Konsep Hati Menurut Al-
Ghazali. Jurnal Reflektika, Vol 11: 11 UKM
Muhammad Wafi Ramli, Sharifah Rohayah Sheikh Dawood & Sofia Haminah Mohd Som. Pandemik
COVID-19 dan keganasan rumah tangga: Suatu tinjauan semasaPerintah Kawalan Pergerakan di
MalaysiaGEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 17 issue 3 (137-152)©
2021, e-ISSN 2682-7727 https://doi.org/10.17576/geo-2021-1703-10
Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). (2020, Julai 27).
Pemberitahuan pertanyaan jawab lisan Dewan Rakyat mesyuarat kedua, penggal ketiga parlimen
keempat belas.
https://www.kpwkm.gov.my/kpwkm/uploads/files/Dokumen/Jawapan%20Dewan%20Rakyat/Gabung%
2027%20Julai%202020.pdf
Mok, O. (2020, Mac 26). Women’s Centre for Change’s online counselling for women, children in
crisis continues. MalayMail. https://www.malaymail.com/news/malaysia/2020/03/26/ womens-centre-
for-changes-online-counselling-for-women-children-in-crisis-c/1850452
Siti Fatimah Muhamad Nor & Nasri Naiimi. Kepentingan Tadbir Urus Insan Dalam Pengurusan
Syarikat Keluarga: Satu Tinjauan. Journal of Global Business and Social Entrepreneurship
(GBSE)Vol. 6: No. 19 (September 2020) mukasurat 1-8
Norazman Amat. 2022. Program Kaunseling Di Negeri Sembilan. Seremban. Temu bual, 25 Julai.
Wan Mohd Noor Wan Daud. 2000. Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam, Syed M. Naquib Al-Attas:
Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.