The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by syahmiazlan7, 2022-03-20 14:50:23

KESUSASTERAAN MELAYU

KESUSASTERAAN MELAYU

TUGASAN 1 : Penghasilan produk (30%):

Karya-karya sastera memaparkan perutusan, amanat serta lontaran idea dan fikiran pengarangnya. Hasil
karya itu mencerminkan gagasan dan daya fikir pengarangnya yang ingin dikongsi bersama pembaca.
Sebuah karya itu terhasil daripada cetusan gabungan daya rasa, kepekaan dan keprihatinannya terhadap
apa yang diamati dan dialami oleh masyarakat.

Berdasarkan kenyataan di atas, anda dikehendaki menghasilkan produk iaitu e-book dengan
menerangkan konsep dan fungsi kesusasteraan Mela
yu serta memanifestasikan akal budi dalam sebuah
pantun, sebuah syair, sebuah seloka dan sebuah gurindam.

Anda dikehendaki menyiapkan e-book tersebut mengikut kreativiti masing-masing yang merangkumi
tajuk-tajuk berikut:

• takrif, jenis, bentuk dan ciri-ciri kesusasteraan Melayu.
• fungsi kesusasteraan Melayu dalam aspek hiburan, pendidikan, dakwah dan kritikan

sosial.
• manifestasi akal budi dalam sebuah pantun, syair, seloka dan gurindam.

KESUSASTERAAN
MELAYU

SYAHMI AZLAN

Penulis

NAMA: MUHAMMAD SYAHMI BIN AZLAN JASAH
KELAS: X4
NOMBOR MATRIK: P21241401
ANGKA GILIRAN: 2021242310111
SUBJEK: BMMB 1104 ( KESUSASTERAAN DAN

KEBUDAYAAN MELAYU )
PENSYARAH: DR MOHD NAZRI BIN ZAINUDDIN

PENGENALAN

Keindahan bahasa yang digunakan dalam sesebuah karya sastera yang dihasilkan bukan hanya dapat
menggambarkan kehalusan bahasa masyarakat Melayu pada zaman dahulu, malahan ia juga
menunjukkan bahawa masyarakat Melayu pada zaman dahulu memiliki daya pemikiran yang tinggi.
Perkara ini dikuatkan lagi dengan pandangan daripada Ismail Hussein (1998), sastera juga merangkumi
semua aspek yang menggunakan bahasa yang bersifat kreatif. Dalam penghasilan karya sastera,
terdapat pelbagai elemen-elemen keindahan yang digunakan untuk menjadikan karya tersebut sebagai
sebuah karya yang mempunyai penjiwaan yang baik untuk dibaca oleh khalayak.

Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, sastera merujuk kepada hasil seni yang diwujudkan dalam bentuk
karangan bebas atau dalam bentuk puisi. Dalam penghasilan sesebuah karya sastera, pengarang bukan
hanya sekadar menghimpunkan seni bahasa dan juga seni kreatif dalam karyanya, tetapi pengarang juga
turut memaparkan tentang perutusan, amanat, serta lontaran ideanya sendiri untuk dikongsi bersama
pembacanya. Sesebuah karya sastera tidak hanya dihasilkan secara kosong atau sia-sia. Setiap karya
sastera yang dihasilkan mengandungi pengajaran dan juga nilai kemanusiaan yang disampaikan secara
tersurat dan tersirat

TAKRIF KESUSASTERAAN MELAYU

Kesusasteraan ialah satu bentuk ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Siti Hajar Abdul Aziz
(2011) dalam buku Bahasa Melayu I edisi kedua, perkataan kesusasteraan terbentuk daripada perkataan
Sanskrit, iaitu susastera yang bermaksud huruf atau buku indah. Sastera dari segi makna umum
bermaksud bahasa yang digunakan dalam kitab-kitab. Menurut kamus, kesusasteraan bermaksud hasil
seni atau karya tulisan dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang
tertentu. Seni kesusasteraan pula ialah seni karang-mengarang bahan-bahan sastera yang berbentuk
prosa dan puisi.

Istilah kesusasteraan yang digunakan dalam Bahasa Melayu berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu
sastra. Kata dasar sas- bermaksud mengarahkan, mengajar atau memberi petunjuk manakala -tra
merujuk kepada alat. Jadi, sastra bererti alat untuk mengajar. Awalan su- pula bermaksud baik atau
indah. Imbuhan ke- dan -an membawa maksud yang menyeluruh iaitu, segala yang tertulis, yang bernilai
seni dan estetika serta dengan maksud memberikan panduan, petunjuk dan pengajaran (Prof Dr Hashim
Awang, Artikel akademik, hal 2).

Dalam konteks pendidikan pula, kesusasteraan Melayu ialah karya asal yang tertulis dalam Bahasa
Melayu berunsurkan keindahan dan kehalusan sama ada berbentuk novel, cerpen drama, sajak, prosa
tradisioanal atau puisi tradisional bagi mengimbangi intelek, rohani, emosi dan jasmani di samping
memaparkan nilai kemanusiaan dan citra masyarakat.

Daripada definisi di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kesusasteraan Melayu merupakan hasil karya
masyarakat Melayu yang mempunyai kata-kata yang indah, memberi mesej dan menggambarkan sesuatu
perasaan dan keadaan yang tertentu sama ada mengenai diri sendiri ataupun sekelompok masyarakat..

Sastera juga dianggap sebagai gambaran peribadi berupa pengalaman, pemikiran, perasaan, idea,
semangat ataupun keyakinan dalam bentuk gambaran konkrit yang membangkitkan keperibadian melalui
pengantara bahasa tidak kira sama ada bermutu atau tidak bermutu.

Hashim Awang (1987) mengatakan kesusasteraan itu adalah "Ciptan seni yang disampaikan melalui
bahasa. Ia mungkin dituturkan iaitu disebut sastera lisan dan yang ditulis disebut sastera tulisan. Di
samping itu, sastera pula memiliki keindahan dalam aspek-aspek isi atau daya pengucapannya.

Seterusnya Hashim Awang et. al menghuraikan lagi maksud kata kesusasteraan dan menemui puncanya
adalah daripada kata susastera. Kata susastera itu dipecahkan kepada dua bahagian iaitu su dan
sastera.

Ali Ahmad (1994) telah membuka ruang yang luas dan segar dalam mencari maksud kesusasteraan
melalui tulisannya. Definisi Kesusasteraan di dalam buku Pengantar Pengajian Kesusasteraan (DBP).
Perkara utama yang dikaitkan dengan kesusasteraan ialah kehalusan atau estetika dan bahasa.
Sesungguhnya kesusasteraan itu adalah kehalusan penciptanya dan keinginan pembacanya mencari
kehalusan itu. Kesusasteraan juga adalah keindahan bahasa yang muncul dari proses penciptaannya.
Menurut Ali Ahmad keindahan penggunaan bahasalah yang menjadi asas bagi wujudnya hasil
kesusasteraan.

JENIS KESUSASTERAAN MELAYU

PROSA T
RADISIONAL

Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2011), tradisional bermaksud serius dan abadi nilainya, tertinggi mutunya
dan menjadi standard kepada yang lain, mempunyai gaya yang sederhana, mempunyal ciri-ciri yang
lazim dan tidak berubah mengikut masa. Dalam had ini, prosa tradisional merupakan bentuk
kesusasteraan yang masih kekal hingga ke hari ini dan masih menjadi sumber pengetahuan, amalan,
pengajaran, sempadan tingkah laku atau sumber atau pengenalan masyarakat Melayu kepada
masyarakat luar.

Prosa tradisional berbeza dengan sastera lama kerana sastera lama bersifat sementara. Hal ini demikian
kerana apabila datang yang baharu, maka hilanglah yang lama. Namun, prosa tradisional merupakan
sastera yang mempunyai sifat yang diwarisi secara turun-temurun walaupun dari segi jangka masa
sastera itu telah lama dihasilkan.

Prosa tradisional merupakan hasil karya seni yang disampaikan melalui bahasa. Tujuannya adalah untuk
menyatukan falsafah pencipta dan penerimanya pada masa iu. Prosa tradisional terbahagi kepada dua
genre, iaitu sastera rakyat (lisan) dan sastera istana (tulisan).

Berdasarkan konsep sastera rakyat, sastera ditakrifkan sebagai hasil-hasil kreatif yang termasuk
dalamnya daya ciptaan imginasi pencipta yang mengandungi atau menggambarkan nilai-nilai world view
itu sendiri. Masyarakat pula bermaksud kumpulan manusia yang hidup secara berkelompok dan bersifat
primitif. Rakyat pula ialah orang biasa yang hidup kolektif bagi membentuk satu sistem kekeluargaan yang
besar. Mereka hidup dalam kumpulan dan mengamalkan nilai kemasyarakatan yang tebal dan berpegang
teguh pada corak budaya tradisional. Sastera rakyat merupakan hasil karya yang diinspirasikan dan
disampaikan secara lisan.

Antara ciri sastera rakyat termasuklah sastera rakyat disebar dan diwariskan secara lisan. Selain itu,
sastera rakyat juga bersifat dan lama, iaitu berada dalam sesuatu kebudayaan dalam tempoh yang lebih
lama daripada dua generasi. Sastera rakyat juga wujud dalam variasi yang berbeza-beza serta bersifat
anonimi, iaitu menggunakan nama samaran atau langsung tiada nama pencipta. Seterusnya, sastera
rakyat menjadi hak milik semua masyarakat yang menghasilkannya. Sastera rakyat turut mempunyai
bentuk berpola dengan plot yang hampir sama, mempunyai fungsi tertentu seperti memberi pengajaran
serta penulisannya bersifat sederhana, spontan dan kadangkala agak kasar.

Sastera rakyat terbahagi kepada dua kategori, iaitu naratif dan bukan naratif. Sastera naratif terbahagi
kepada mitos, legenda dan cerita rakyat manakala sastera bukan naratif terdiri daripada puisi rakyat.

Sastera tulisan mula diperkenalkan setelah penerimaan Islam sekitar abad ke-15 dan berkembang dalam
istana. Sastera hikayat terbahagi kepada tiga jenis berdasarkan unsur-unsur yang terdapat di dalamnya,
iaitu unsur Hindu, Islam dan Hindu-Islam. Contoh sastera hikayat ialah Hikayat Gul Bakawali, Hikayat Seri
Rama dan Hikayat Raja Pasai.

PROSA MODEN

Menurut Annas Hj Ahmad (1988:152), hasil karya sastera selepas tahun 1800 Masihi digolongkan dalam
sastera moden. Pembahagian dari segi masa ini semata-mata bertujuan untuk memudahkan kita untuk
memahami bentuk dan unsur perbezaan dalam sastera Melayu. Sebagai contoh, sajak bebas pada hari
ini merupakan suatu penyimpangan daripada bentuk puisi lama seperti pantun dan syair Abdullah bin
Abdul Kadir Munsyi merupakan pengkarya sastera Melayu Moden. Hasil karya beliau yang terkenal
adalah Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah.

Cerpen ialah gabungan dua perkataan, iaitu cerita dan pendek Cerpen berkembang apabila kegiatan
persuratkhabaran Melayu mencapai zaman kegemilangannya sekitar tahun 1930-an: Cerpen bukan
sahaja menjadi alat yang menggambarkan sikap, perasaan, pandangan dan fikiran pengarang malahan
juga memberi gambaran tentang suatu zaman, sama ada berhubung masalah sosial, politik atau
ekonomi. Cerpen biasanya berkisar mengenai sesuatu kejadian atau peristiwa yang menjadi fokus utama.
Cerpen membawa satu tema sahaja dan beberapa persoalan bagi menghasilkan kesan tertentu dan
mendalam kepada pembaca. Dari segi perwatakan, cerpen memusatkan perkembangan watak kepada
beberapa orang tertentu sahaja watak-watak lain hanyalah bertujuan untuk memperkukuhkan
kewibawaan watak utama. Pertentangan antara watak protagonis dan antagonis akan mencetuskan
konflik yang dianggap penting sebagai unsur dramatik. Dalam penulisan cerpen, hanya terdapa satu plot
sahaja dan plot inilah yang dikembangkan dengan rap teliti dan tidak rumit. Pencetusan perasaan dan
penyemaraka emosi dalam cerpen menerbitkan ketegangan dan menar pembaca untuk merasai
pengalaman yang digambarkan dalam cerpen.

Novel pula ialah prosa rekaan yang panjang yang di dalamm termuat sebahagian daripada sebuah
kehidupan. Istilah novel berasal daripada bahasa Itali, iaitu novella yang bermaksud satu benda kecil
yang baharu. Novel mengisahkan kejadian yang dipusatkan kepada sebahagian daripada kehidupan
manusia pada suatu tempat dan masa tertentu. Menurut Shahnon Ahmad (1972:4), novel merupakan
satu bentuk pentafsiran rencam hidup manusia yang terbina dalam bentuk sastera cereka. Novel
merangkumi tiga faktor utama yang saling berkait, iaitu pengalaman peribadi, realiti rencam hidup dan
imaginasi. Idea yang tercetus daripada ketiga-tiga rangkuman ini bukan sahaja berkisar mengenai tahap
kehidupan manusia bahkan boleh berlegar di sekitar kehidupan selain daripada manusia itu sendiri.

PUISI TRADISIONAL

Puisi merupakan genre sastera paling awal bagi semua bangsa di dunia. Masyarakat Eropah
menggunakan puisi untuk menghasilkan dua buah epik yang berjudul Iliad dan Odyssey Masyarakat
Hindu juga menggunakan puisi untuk melahirkan Mahabharata dan Ramayana. Kesusasteraan awal
bangsa Arab tertulis di dalam bentuk puisi. Puisi-puisi yang terbaik digantung di Ka'abah pada zaman
jahiliah. Orang Melayu berbangga dengan puisi milik mereka yang dinamakan pantun.

Menurut Harun Mat Piah (1989) antara genre dalam puisi tradisional itu ialah pantun, syair, gurindam,
seloka, talibuni, mantera, adat perbilangan, teka-teki, peribahasa, rubai, masnawi dan sebagainya. Dalam
perbincangan ini akan difokuskan kepada dua jenis puisi tradisional iaitu pantun dan seloka.

Pantun ialah kaedah rangkapan yang tertua dan memang asal kepunyaan masyarakat Melayu. Semenjak
orang Melayu belum tahu surat menyurat pun mereka telah pandai berpantun dan biasa berbalas-balas
pantun antara mereka (Za'aba, 1965). Pencipataannya terkandung dalam dua rangkap, empat rangkap.
enam rangkap, lapan rangkap, dua belas rangkap dan pantun berkait. Dalam apa juga bentuk fizikalnya
pantun merupakan pengungkapan yang mengandungi unsur pembayang maksud dan maksud.

Bentuk pantun berdasarkan bilangan baris dalam rangkap iaitu pantun dua kerat, empat kerat, enam
kerat, lapan kerat, dua belas kerat dan pantun berkait. Pantun yang agak popular ialah empat kerat dan
dua kerat. Ciri-ciri pantun ialah berdasarkan bilangan baris dalam rangkap. Bagi pantun empat kerat baris
satu dan dua ialah pembayang manakala baris tiga dan empat ialah maksud. Bilangan perkatan bagi
setiap baris ialah 4 hingga 6 patah perkataan dan bilangan suku kata ialah antara 8 hingga 12. Rima atau
bunyi akhir adalah sejajar iaitu bagi pantun dua kerat 'a', 'a', manakala bagi pantun empat kerat pula rima
akh berbentuk 'a', 'b', 'a', 'b'. Jenis-jenis pantun dibahagikan bergantung pada fungsi dan kandungan
pantun itu sendiri.

Menurut Harun Mat Piah (1989), istilah 'seloka' berasal daripada perkataan Sanskrit 'shloka' yang
bermaksud berseloroh, berjenaka atau menyindir. Seloka dipercayai mula dikenali di alam Melayu
semasa perkembangan agama Hindu di Asia Tenggara. Dipercayai bahawa teks Mahabharata (100,000
rangkap) dan Ramayana (24,000 rangkap) merupakan naskhah terawal yang tertulis dalam bentuk
seloka.

Sebagai satu bentuk puisi tradisional yang bercorak karangan berangkap atau bahasa berirama, seloka
lebih merupakan pepatah, bidalan atau perumpamaan yang mengandungi unsur jenaka, gurau senda,
olokan, ejekan dan sindiran. Sungguhpun begitu, isi dan mesejnya sarat dengan sindiran yang berguna
untuk menjadi pengajaran dan teladan oleh pendengar atau pembaca. Sebahagian besar seloka Melayu
ditulis dalam bentuk terikat iaitu empat baris serangkap seperti pantun seloka namun binaannya lebih
mirip kepada bentuk pantun atau syair. Ditemui juga seloka yang ditulis dalam bentuk bebas iaitu setiap
barisnya menjadi isi puisi berkenaan seperti Seloka Pak Kaduk, Seloka Pandai Pak Pandir dan Seloka
Emak Si Randang.

PUISI MODEN

Sajak satu-satunya genre puisi dalam puisi moden. Sajak ialah puisi moden yang lebih bebas yang terikat
pada sesuatu pola khusus walaupun ada ketikanya memerikan ciri matra, rima dan rentak. Sajak lebih
mementingkan keberkesanan pengucapan perasaan melalui pemilihan dan pemakaian kata-katanya yang
saling menumpang dan terjalin menurut erti serta irama. Menurut Hashim Awang (1984), sajak ialah puisi
baharu yang popular lahir sebagai pilihan kepada puisi tradisional.

Bagi H. B. Jassin (1983), sajak adalah pengucapan perasaan dengan perasaan yang di dalamnya
mengandungi fikiran dan tanggapan. Maksudnya, sajak adalah suara hati atau luahan perasaan
penyairnya. Sajak lahir daripada jiwa dan perasaan tetapi sajak yang baik bukan mainan kata semata-
mata. Sajak yang baik membawa gagasan serta pemikiran yang dapat menjadi renungan masyarakat.
Sajak terbentuk daripada kata-kata yang terbaik dalam susunan terbaik. Kata-kata terbaik bermaksud
wujudnya nilai rasa dan nilai erti yang seimbang serta bersifar harmonis antara kata dan maksud.

Sebagai puisi moden, sajak tidak terikat pada peraturan seperti pemilihan kata atau diksi, pembentukan
rangkap, baris serta pematuhian skima rima akhir seperti dalam puisi tradisional. Satu lagi ciri puisi
Melayu moden adanya nama penulis sebagai pengakuan hak ke atas sesebuah karya walaupun
menggunakan nama samara atau nama pena. Hal ini berbeza dengan puisi Melayu tradisional yang
bersifat kolektif iaitu milik bersama. Rumusannya, puisi Melayu moden adalah hal karya kreatif yang
mempunyai bentuk yang bebas dan tersendiri mengikut selera penulisnya ataupun penyair. Sajak tidak
terikat pada norma-norma tertentu seperti yang terdapat dalam puisi tradisional. Mengikut Muhammad Hj
Salleh (2009), rentak dan perjalanan baris serta bait (rangkap) puisi Melayu moden lebih mengikut nafas,
fikiran dan cara bertutur tidak disekat dan ditentukan panjangnya oleh peraturan lama seperti dalam
pantun dan syair. Menurut beliau lagi, puisi Melayu moden membawa suasana serta pandangan terhadap
yang lebih moden.

BENTUK KESUSASTERAAN MELAYU

Kesusasteraan dapat dilahirkan dalam pelbagai bentuk bahasa. Dan secara kasarnya ia boleh
dikategorikan kepada 2 kategori yang besar menurut bentuk bahasa yang digunakan, yakni prosa dan
puisi.

Prosa merujuk kepada hasil kesusteraan yang ditulis dalam ayat-ayat biasa, yakni dengan menggunakan
tatabahasa mudah. Biasanya ayat-ayat dalam kesusasteraan akan disusun dalam bentuk karangan.
Prosa adalah satu bentuk kesusasteraan yang lebih mudah difahami berbanding dengan puisi. Contoh
bagi kesusasteraan prosa ialah: cerpen, novel, skrip drama, esei dan sebagainya.

Puisi merujuk kepada hasil kesusasteraan yang ditulis dengan "tidak menuruti tatabahasa". Ia sebenarnya
tidak terdiri daripada ayat-ayat yang lengkap, melainkan terdiri daripada frasa-frasa yang disusun dalam
bentuk baris-barisan. Pada lazimnya, puisi merupakan bahasa yang berirama dan apabila dibaca
pembaca akan berasa rentaknya. Contoh bagi kesusasteraan puisi termasuklah sajak, syair, pantun,
gurindam, lirik, seloka, mantera dan sebagainya.

CIRI-CIRI KESUSASTERAAN MELAYU

a) Keindahan
Melalui gaya dan lenggok bahasa yang digunakan dalam karya sastera.
Hasil karya dikatakan indah jika memenuhi empat syarat iaitu keutuhan, keselarasan, keseimbangan
dan fokus kepada sesuatu unsur.

b) Mencerminkan pengalaman
Pengalaman di sini merujuk kepada tindak balas yang utuh dari jiwa manusia yang digambarkan
secara realiti.
Dalam karya sastera, pengalaman diungkapkan melalui bahasa.

c) Pengalaman seni
Melalui peristiwa sastera, pembaca dapat memahami dan merasai fikiran dan perasaan pengkarya.
Pengkarya juga mendapat kepuasan sekiranya dia tahu hasil karyanya dapat diterima dengan baik
oleh pembaca.
Nilai karya sastera terletak pada perkara yang disampaikan, cara dan bentuk penyampaian.
Hasil karya sastera dapat memberikan pengalaman dan nilai-nilai seni kepada pembacanya.

d) Karya seni
Terdapat tiga pekara yang mermbezakan karya sastera dengan karya bukan sastera iaitu sifat
fiksyen, nilai-nilai estetik dan gaya bahasa yang khusus.
Fiksyen bermaksud karya sastera itu dihasilkan melalui imaginasi pengkarya berdasarkan
pengalaman atau tindakbalasnya terhadap alam realiti.
Nilai-nilai estetik membolehkan pengkarya mengungkapkan isi hati dengan jelas dan mendalam.

Sastera sebagai karya seni mempunyai empat ciri iaitu :

Keutuhan - setiap bahagian dalamkarya sastera menunjang kepada usaha mengungkapkan isi hati
pengkarya.

Keseimbangan - unsur-unsur karyasastera, baik dari segi ukuran ataupemberatannya harus
seimbangdengan fungsinya.

Keselarasan - unsur dalam karya menjadi asas bagi mengukuhkan unsur yang lain dan bukan
mengganggu atau mengaburkannya.

Penekanan - unsur yang penting harus mendapat penekanan yang lebih berbanding unsur yang
kurang penting.

Terdapat beberapa ciri sastera sebagai satu kegiatan seni yang berhubung ekspresi dan penciptaan iaitu
:

Sastera ialah seni dan bukan ilmu semata-mata.
Sastera ialah satu komunikasi.
Sastera mempunyai keteraturan.
Sastera ialah alat hiburan.
Sastera ialah karya yang berintegrasi.
Sastera ialah ekspresi pengkarya.

FUNGSI KESUSASTERAAN MELAYU DALAM ASPEK
HIBURAN, PENDIDIKAN, DAKWAH DAN KRITIKAN SOSIAL

HIBURAN

Keperluan menghiburkan akan melahirkan karya sastera yang membawa kesenonokan yang indah.
Hiburan terhasil daripada keindahan kata-kata yang diungkapkan, irama atau rentak yang indah. Hiburan
terhasil daripada keindahan kata-kata yang diungkapkan, irama atau rentak yang tersusun, kemampuan
karya sastera untuk membelai emosi pembaca atau pendengar, unsur kelucuan dan sebagainya.
Kepentingan fungsi hiburan menjadikan karya sastera seperti cerita penglipurlara diterima oleh
masyarakat sebagai karya yang diminati dan digilai pada suatu ketika dahulu.

Pantun misalnya merupakan karya sastera yang cukup popular kerana keupayaannya membawa
keindahan yang menghiburkan. Hal ini dilihat dalam sebuah pantun lama yang berbunyi seperti berikut:

Berburu ke padang datar,
Dapar rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Kualiti menghiburkan dalam pantun tersebut cukup banyak. Rentak dan rima yang bersukat membentuk
irama dalam pantun. Malah pantun tersebut mempunyai struktur bacaan yang tersendiri yang
menghasilkan keindahan dalam pembacaan. Selain itu, pantun disampaikan pula dalam pelbagai variasi
yang semakin menambahkan fungsi menghiburkan seperti dijadikan lirik dikir barat di Kelantan, lirik lagu
popular, dan pelbagai bentuk lagi. Kemampuan pantun untuk bertahan sebagai karya sastera yang
popular menunjukkan bahawa unsur hiburan ini amat banyak dalam pantun.

Contoh lagi unsur hiburan ini boleh dilihat dalam karya sastera rakyat iaitu cerita jenaka, Pak Kaduk
antara cerita jenaka untuk menonjolkan unsur hiburan ini. Sebagaimana yang dimaklum cerita ini
mengisahkan watak utama Pak Kaduk yang gila berlaga ayam. Pada suatu hari Pak Kaduk dicabar oleh
raja untuk berlaga dengan ayamnya. Namun sebelum pertandingan ayam Pak Kaduk telah diminta oleh
raja ditukar dengan ayam Pak Kaduk yang tidak berfikir panjang telah membuat penukaran tanpa menilai
dan meneliti terlebih dahulu. Malangnya dalam perlagaan itu ayam Pak Kaduk yang dimiliki raja telah
memenangi pertandingan tersebut. Pak Kaduk yang ingin membuat kelainan ketika pertandingan tersebut
telah membuat pakaian daripada kertas. Selesai pertandingan, Pak Kaduk yang menyangka ayamnya
telah memenangi pertandingan itu telah bersorak girang sehingga seluruh pakaiannya koyak-rabak. Pak
Kaduk yang telanjang bulat malu dan menyesal dengan kesilapannya.

Cerita ini bukan sahaja menghibur tetapi sarat dengan mesej dan pengajaran yang ingin disampaikan.
Sistem tradisional yang meletakkan pemerintahan beraja sebagai suatu pemerintahan yang bercorak
feudalisme. Raja suatu institusi yang tidak boleh dikritik walaupun raja tidak melaksanakan amanahnya
yang diberikan sebaik-baik mungkin. Berjudi bukan sahaja bertentangan dengan syariat Islam tetapi suatu
perbuatan yang boleh memusnahkan sesebuah negara. Secara halus cerita ini cuba menyedarkan agar
raja tidak terjebak dengan perbuatan yang sia-sia seperti berjudi

Dalam sastera moden seperti novel contoh terbaik ialah dalam novel Anak Mat Lela Gila karya Ishak Haji
Muhammad. Anak Mat Lela Gila merupakan sebuah novel hasil nukilan Ishak Haji Muhammad (lebih
dikenali sebagai Pak Sako pada tahun 1966. Buku ini diterbitkan semula oleh Institut Terjemahan dan
Buku Malaysia (ITBM) pada tahun 2012. Beliau menyampaikan kritikannya terhadap masyarakat secara
tersirat dengan gaya bahasa lama tetapi mudah untuk difahami. Novel ini mengisahkan seorang pemuda
yang dianggap gila oleh penduduk kampung iaitu suka membersihkan laman masjid namun tidak pernah
menjengah ke dalamnya. Novel yang dibelai dengan penuh perhatian ini terkandung banyak maksud
tersirat. Ishak Haji Muhammad secara halus menyampaikan kritik sosial melalui karya ini dengan gaya
bahasa lama yang mudah untuk difahami.

PENDIDIKAN

Pengalaman-pengalaman para pengarang ini diterjemahkan melalui kisah-kisah yang ditulis oleh mereka
yang terangkum di dalamnya pelbagai bidang ilmu seperti ekonomi, politik, sosiologi dan agama.
Pengalaman mereka ini dijadikan prosa atau puisi dan diadun dengan unsur-unsur pengajaran moral atau
ilmu pengetahuan yang tinggi nilainya yang mana akan dapat dikutip oleh para pembaca maka berlakulah
pendidikan secara tidak langsung. Jadi dapat dilihat dengan jelas bahawa kesusasteraan mampu menjadi
bahan untuk pendidikan buat masyarakat. Di negara kita Malaysia mata pelajaran Kesusasteraan Melayu
telah diperkenalkan sejak tahun 1957. Matlamatnya untuk membolehkan pelajar atau rakyat Malaysia
khususnya menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan,
kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta akan tanah air dalam satu
wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai. Dengan adanya pendidikan Kesusasteraan
Melayu dapat mencerminkan masyarakat kesenian yang kreatif, mampu mengkaji keindahan karya
sastera dan menguasai kemahiran berbahasa bahasa Melayu.

Peranan sastera terutamanya sastera Melayu dapat membina insaniah dalam kehidupan manusia. Hal ini
amat bertepatan dengan membina 'modal insan' yang diharap-harapkan oleh pemimpin negara. Kita tidak
mahu melahirkan satu bangsa seperti robot yang mempunyai nilai-nilai kemanusiaan ketika bertindak
mengambil keputusan. Senario yang kita boleh lihat sekarang, ramai bijak pandai dalam bidang sains dan
teknologi tetapi sayang mereka gagal dalam usaha melahirkan pemimpin yang bermoral, berjati diri dan
mempunyai nilai-nilai kemanusiaan. Pemimpin yang tidak berjiwa seperti di atas, merupakan manusia
yang hilang pertimbangan ketika bertindak.

Akibat daripada itu, masalah rasuah, keruntuhan moral sehingga membawa kepada kemusnahan alam
dan menyusahkan masyarakat. Justeru mengembalikan nilai sejagat yang bersifat kemanusiaan
sebenarnya terkandung dalam sastera. Di peringkat sekolah Kesusasteran Melayu memainkan peranan
sebagi satu cabang ilmu dan senjata yang dapat meresapi dan berkembang dalam pelbagai disiplin ilmu
sejajar dengan konsep bahasa merentas kurikulum. Sementara itu di peringkat pengajian tinggi pelajar
didedahkan dengan teknik penulisan ilmiah, rencana dan penulisan kreatif dan pelajar juga diberikan
pengetahuan tentang dunia penerbitan dan penyiaran selaras dengan matlamat pembudayaan bahasa
Melayu melalui sistem pendidikan. Oleh sebab iru, adalah amat wajar sekiranya teks-teks sastera Melayu
dijadikan bahan bacaan wajib kepada para pelajar sekolah atas alasan-alasan tadi. Mendidik secara tidak
langsung akan meninggalkan kesan yang jauh lebih baik daripada pendidikan secara langsung yang
mungkin dibuat dan diterima secara terpaksa.

DAKWAH

Antara ciri-ciri penting yang membentuk pandangan sastera adalah nilai ijabiyah (positif) dan waqi'iyyah
(realistik). yang mendalami dan menilik sesuatu sebagaimana adanya. Sastera dalam Islam itu perlu jelas
berciri waqi'iy, realistik, "dalam erti melihat apa adanya" (Siddiq Fadzil, 2012). la meraikan pandangan
yang haq dalam menilai dan melukiskan sesuatu hakikat, dengan menekankan peranan al-tawjih
(membimbing) dan al-tadb (mendidik), dan pengisbatan ciri-ciri estetik dan prinsip fakamul dan
takmilahnya. Kekuatan prinsip inilah yang melahirkan pandangan kosmologinya yang ampuh yang
berakar dari kefahaman nilai yang jelas dalam menggerakkan transformasi kemanusiaan dan revolusi
kebudayaan dan kesannya dalam membentuk citra dan perubahan yang dinamik. Ciri-ciri positif dan
dinamik ini yang memungkinkannya menggerakkan dan menjalankan fungsi transformatifnya kerana ia
berciri positif-dinamik. Dengan kata lain, "ia adalah al-adab al-muwajjih atau sastera yang membimbing ke
arah yang lebih sempurna dan mulia." (Siddiq, 2012:141)

Pembangunan sastera Islam di Alam Melayu telah digerakkan dari pengaruh dakwah dan harakat
pengislaman yang meluas antara abad 13-16 M. Gerakan Islamisasi yang bermula pada abad ke-13 M itu
telah membawa perubahan yang penting dalam sejarah kebudayaan Melayu, dengan penyerbuan
pengaruh sufi yang berkembang di abad ke-17, dan "menghasilkan pencerahan umat secara meluas dan
merata sehingga memecahkan monopoli kepujanggaan istana." (Siddiq Fadzil, 2012:128). Ledakan dari
gejala Islamisasi ini telah memulakan babak baru dalam sejarah persuratan Melayu-Islam, yang
melahirkan umat baharu dengan pandangan agama dan kebudayaannya, umat yang melihat segala
sesuatu dengan worldview tawhidik, menyikapi segala sesuatu berasaskan etos dan tatanan nilai Islami
(Siddiq Fadzil, 2012: 3). Hal ini dibuktikan dari pemetaan tamadun dunia Islam yang dilakarkan Malik
Bennabi, di mana kedudukan dunia Melayu diiktiraf sebagai sebuah zon tamadun Islam yang
berkeperibadian Melayu-Islam (Siddiq Fadzil, 2012)

Ismail Hamid dalam kertas kerja yang bertajuk "Ciri-Ciri Cereka telah memberikan beberapa ciri yang
dapat digunakan untuk menentukan sesebuah karya itu boleh digolongkan sebagai sastera Islam dan
bersifat memberi dakwah atau bukan. Menurut beliau,

Sebagai satu kesimpulan, Ismail menegaskan bahawa ciri ciri cereka Islam mestilah menekan tentang
kepentingan fungsi dan amanat cereka tersebut. Cereka Islam yang menjadi cabang sastera Islam harus
membawa amanah, keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT atau nilai-nilai keislaman yang murni.
Walaupun pengarang sastera Islam mempunyai daya kreativiti yang penuh estetik tetapi imaginasinya
harus dibatasi di dalam ruang yang tidak bertentangan dengan Islam. Imaginasi pengarang sastera Islam
tidaklah bebas sehingga bertembung dengan gambaran yang merosakkan prinsip-prinsip pokok dalam
Islam. Begitu juga dengan gambaran watak dalam sastera tidaklah semestinya manusia yang ideal yang
penuh dengan sifat-sifat kesempurnaan Gambaran manusia dalam al-Qur'an mempunyai sifat-sifat yang
tidak sempurna. Dengan yang demikian gambaran manusia secara realiti memperlihatkan sifat-sifat
ketidaksempurnaannya tersebut, namun mereka tetap sebagai manusia yang beriman kepada Allah,
berusaha memperbaiki segala kelemahannya dan menegakkan kebenaran dan kebaikan seperti yang
dianjurkan oleh Islam (Ismail Hamid, 1995:220).

Sumbangan sastera Islam dalam pembentukan akhlak manusia Melayu telah dilakukan oleh sarjana
untuk melihat atau mengukur sejauh mana sumbangan sastera Islam ke arah pembentukan akhlak
manusia di alam Melayu ini. Bagaimanapun dengan berpegang kepada konsep sastera Islam seperti
mana yang digariskan oleh Ismail Hamid, teks-teks sastera Islam tidak lagi terbatas kepada cerita para
nabi dan lain-lainnya yang dikarang (diolah kembali) oleh pengarang tempatan berdasarkan sumber dari
Arab dan juga Parsi, tetapi ianya telah terbuka kepada cereka yang lain seperti puisi (syair, pantun,
gurindam, sajak, dan sebagainya), hikayat, cerita lisan, novel, dan cerpen. Contohnya pengarang seperti
Hamzah Fansuri mengambil bentuk syair sebagai alat untuk menyampai ajaran Islam. Hal ini jelas terlihat
dalam karyanya seperti Syair Perahu, Syair Dagang, Syair Burung Pingai, dan Syair Fakir. Ini adalah
tajuk-tajuk syair karangan Hamzah berbentuk puisi kerohanian. Syair-syair ini ditulis yang antara lainnya
menekankan tentang kematian dan seksaan Allah SWT di hari akhirat. Begitu juga dengan sajak-sajak
yang ditulis oleh Suhaimi Haji Muhammad (penerima S. E. A Write Award 1995), yang rata-ratanya
berunsur keagamaan misalnya seperti sajak "Peringatan Kepada Manusia".

KRITIKAN SOSIAL

Sastera adalah rakaman kehidupan yang mengali dan menyelongkar kehidupan manusia daripada
pelbagai dimensi dan sudut pandang yang berbeza-beza. Sesuatu yang dipaparkan dalam sastera adalah
sesuatu yang berlaku dan terjadi dalam realiti kehidupan manusia. Hal ini kerana sastera adalah
gambaran kehidupan manusia sebagaimana ditegaskan oleh Usman Awang, A. Samad Said dan
Dharmawijaya. Lantaran itu, karya sastera bukan sahaja merakamkan sesuatu yang luar biasa tetapi
pekara yang biasa tetapi diolah dalam bentuk karya kreatif yang indah sifatnya.

Berasaskan pertimbangan bahawa karya sastera berfokuskan masyarakat, kehidupan dan manusia,
tentunya hubungan dan pertalian antara ketiga-tiga entiti ini saling berkaitan. Dalam konteks masyarakat
yang pelbagai susun lapis dan kehidupan yang melatari menjadikan wujudnya jurang dalam kalangan
mereka. Hal ini akan mempengaruhi tindakan dan susila adab sama ada untuk tujuan menegur,
mengkritik mahupun menyampaikan mesej Dalam masyarakat terdapat pelbagai watak yang mempunyai
peranan tertentu dalam masyarakatnya. Namun dalam keadaan tertentu mereka tidak dapat
melaksanakan tugas sebagaimana diamanahkan. Misalnya berhubung konsep perjuangan terdapa
pelbagai tafsiran yang diketengahkan dengan merujuk dua buah karya novel iaitu Harga Sebuah Maruah
oleh Azizi Abdullah dan Titis Darah Terakhir oleh Adhyat Helmy. Dalam hal in pengarang kedua-dua novel
menggunakan landasan yang sama iaitu menggunakan watak dapat di kesan walaupun terdapa
perbezaan dari aspek cara perjuangan tersebut dipaparkan dalam karya. Hal ini dikesan dalam contoh
petikan di bawah:

...Dalam hidup ini kita tidak harus terus di belenggu dengan tekanan yang melulu. Kita harus berani untuk
membebaskan diri tanpa rasa ragu kerana itu hak kita tetapi jangan sampai membelakangi undang
undang,

( Harga Sebuah Maruah )

Dalam petikan di atas, jelas memperlihatkan bahawa konsep perjuangan yang berasaskan pertimbangan
akal. Hal ini dapat dikesan melalui frasa "tetapi jangan sampai membelakang undang-undang,"

Namun dalam novel Titis Darah Terakhir karya Adhyat Helmy memperlihatkan perbezaan konsep
perjuangan. Hal ini dapat dikesan melalui petikan berikut;

Jangan ada seinci tanah kita tergadai, biar darah kita kering di badan, namun sesekali menyerah tidak
sama sekali. Ini hak kita dan hak kita perlu dipertahankan

Berdasarkan petikan tersebut jelas memperlihatkan bahawa perjuangan untuk menegakkan hak
memerlukan pengorbanan memerlukan pertumpahan darah. Hal ini dapat dikesan melalui frasa “ biar
darah kita kering di badan, namun sesekali menyerah tidak sama sekali.”

MANIFESTASI AKAL BUDI DALAM SEBUAH
PANTUN, SYAIR, SELOKA DAN GURINDAM

PANTUN

Menurut Ungku Aziz (2011), pantun tidak wujud dalam kekosongan atau vakum. Pantun merupakan
manifestasi terbaik seni sastera orang Melayu. Oleh itu, menerusi pantun dapat dikaji struktur sosial
bangsa Melayu lama, akal budi, sikap, pemikiran, aktiviti kehidupan dan falsafah hidup yang mereka
anuti.

Pantun digunakan untuk menyampaikan pemikiran dan perasaan. Pantun ialah kaedah rangkapan yang
tertua dan memang asal kepunyaan masyarakat Melayu. Semenjak orang Melayu belum tahu surat-
menyurat pun mereka telah panda berpantun dan biasa berbalas-balas pantun sesama mereka
Pencipataannya terkandung dalam dua rangkap, empat rangkap enam rangkap, lapan rangkap, sepuluh
rangkap, dua belas rangkap, dan pantun berkait. Dalam apa juga bentuk fizikalnya pantun merupakan
pengungkapan yang mengandungi pembayang maksud dan maksud. Contohnya ;

Puas sudah menanam ubi,
Nanas juga dipandang orang:
Puas sudah menanam budi,
Emas juga dipandang orang.

Aspek pemikiran pantun ini dapat dilihat melalui aspek tersirat iaitu pemilihan diksi bagi pembayang yang
berkaitan dengan alam iaitu buah nanas dan ubi. Nanas berbau harum dan berwarna kuning apabila
masak. Nanas cuba dibandingkan dengan emas yang akan menyebabkan masyarakat amat tertarik dan
ingin memilikinya. Hal ini berbeza daripada ubi. yang dikaitkan dengan sifat orang berbudi dan tidak suka
menonjolkan kehebatan dir sama seperti ubi yang berisi tetapi tetap berada di dalam tanah
Kesimpulannya, akal budi dalam pantun ini mendidik masyarakat supaya jangan mengejar sesuatu yang
nampak istimewa dari segi luaran semata-mata seperti harta benda tetapi lebih mementingkan sifat orang
yang berbudi dan merendah diri.

Ketinggian akal budi dalam pantun ini jelas cara nasihat disampaikan agar masyarakat memandang tinggi
akan nilai budi kerana kalau diperbandingan nilai budi itu lebih tinggi berbanding emas tetapi pemahaman
konsep itu dijelmakan dalam pembayang yang membuat bandingan antara nanas dan ubi. Kedua-dua
jenis tumbuhan ini ialah sejenis makanan, Nanas makanan ringan bersifat pencuci mulut dan bukan
makanan ruji yang mengenyangkan seperti ubi. Tetapi nanas mempunyai tarikan dalam aspek warna dan
rasanya yang manis. Namun dalam konteks keperluan hidup tentulah ubi lebih bermanfaat berbanding
nanas Begitulah diumpamakan antara emas dan budi.

Menurut T. Effendy (2005), kekayaan pantun terletak pada pembayang yang mengangkat alam sebagai
manifestasi masyarakat Melayu.

Sebagai karya sastera yang mempunyai tugas besar dalam menjelmakan manifestasi akal budi
masyarakat Melayu, pantus juga dicipta untuk menghibur. Hiburan di sini boleh berupa nyanyian, ujaran,
pemerian, dialog dalam hikayat, dan juga bole menjadi penawar untuk mereka yang harus menanggung
tak buruk. Malahan pantun juga digunakan dalam 'Dondang Sayang sebagai dasar lagu, begitu juga
dalam 'Gendang Sarawak, lagu lagu asli, "Boria, dan juga 'Dikir Barat. Pantun juga sesekal dimasukkan
ke dalam wayang kulit, syair, dan hikayat untuk membawa ghairah muda dan kasih sayang terutama
sewaktu bercumbu, mengejek, memikat, perpisahan dan kesedihan.

SYAIR

Syair merupakan bentuk puisi tradisional ciptaan dan kepunyaan orang Melayu yang mendapat pengaruh
Arab dan Parsi. Menurut Mohd Yusuf Md. Nor (1985) syair dikatakan berasal daripada puisi Arab iaitu sy'ir
tetapi bentuk syair Melayu amat berbeza dengan bentuk syair dalam kesusasteraan Arab. Dalam bahasa
Melayu istilah syair sudah menjadi satu istilah yang khusus. Syair Melayu tidak beracuankan syair
daripada tradisi Arab atau mana-mana puisi Arab-Parsi tetapi dalam bentuk dan acuan asli masyarakat
Melayu (Harun Mat Piah,1989). Dalam puisi Melayu tradisional bentuk syair dipercayai diperkenalkan dan
dikembangkan oleh Hamzah Fansuri sekitar abad ke-16 dengan tujuan mengajarkan agama Islam.

Seperti juga pantun, syair ialah karya kreatif lisan genre puisi tradisional. Pada awalnya digunakan secara
meluas di Nusantara untuk menyebarkan ajaran tasawuf (sufi) selain bertujuan untuk bercerita. Hamzah
Fansuri salah seorang penyair yang dipercayai dilahirkan pada akhir abad ke-16 di Barus atau Panchor,
Sumatera Utara. Hasil karya beliau yang paling popular ialah Syair Perahu yang banyak membawa
pemikiran agama iaitu lebih kepada ajaran tasawuf. Contoh Syair Perahu:

Inilah gerangan suatu madah,
Mengarangkan syair terlalu indah,
Membetulkan jalan tempat berpindah,
Di sanalah I'tikal di perbetul sesudah.

(Rangkap 1)

Dalam aspek akal budi, penulis iaitu Hamzah Fansuri mencipta syair bertujuan untuk membetulkan
perjalanan hidup manusia di dunia ini demi kesejahteraan hidup di akhirat. Selain itu, penyair
menganjurkan agar kita sentiasa berfikir demi membetulkan iman Hanya melalui iman yang mantap dan
jalan tauhid yang betul sahaja menyebabkan kita berjaya di dunia dan di akhirat.

Wahai muda, kenali dirimu,
lalah perahu tamsil tubuhmu,
Tiadalah berapa lama hidupmu,
Ke ahirat jua kekal diammu.

(Rangkap 2)

Dalam rangkap kedua ini, penyair meminta kita mengenal diri sendiri. Apabila sudah mengenal hakikat
diri, barulah kita dapat mengenali Allah yang mencipta kita. Selain itu penyair mengibaratkan kehidupan
manusia sama seperti sebuah perah Kita terpaksa melayari kehidupan dunia yang ini penuh dengan
pelbagai ujian seperti perahu yang dipukul gelombang.

Begitulah tingginya pemikiran masyarakat Melayu yang dijelmakan dalam puisi tradisional, syair dalam
meletakkan sesuatu yang begitu tinggi nilainya iaitu ilmu. Sehingga dibandingkan ilmu itu tidak mampu
dibeli ataupun digadai dengan nilai sebuah dunia dengan segala kekayaannya. Meletakkan sesuatu
ditempat yang betul menunjukkan masyarakat sudah mempunyai suatu pemikiran yang tinggi dalam
membandingkan keperluan dan keutamaan dalam menjalani kehidupan seharian. Puisi seperti syair
menjadi pegangan dan pedoman kepada masyarakat Melayu sebagai suatu hala tuju hidup yang
sempurna.

SELOKA

Istilah seloka berasal daripada perkataan Sanskrit shloka bermaksud berseloroh, berjenaka atau
menyindir. Seloka dipercayai berkembang di alam Melayu semasa kedatangan agama Hindu di Asia
Tenggara. Seloka dipercayai mula dikenall di alam Melayu semasa perkembangan agama Hindu di Asia
Tenggara. Dipercayai bahawa teks Mahabharata (100,000 rangkap) dan Ramayana (24,000 rangkap)
merupakan naskhah terawal yang tertulis dalam bentuk seloka (Harun Mat Piah,1989)

Sebagai satu bentuk puisi tradisional yang bercorak karangan berangkap atau bahasa berirama, seloka
lebih merupakan pepatah, bidalan atau perumpamaan yang mengandungi unsur jenaka, gurau senda,
olokan, ejekan dan sindiran. Sebahagian besar seloka Melayu ditulis dalam bentuk terikat iaitu empat
baris serangkap dan binaannya mirip kepada bentuk pantun atau syair. Bagaimanapun terdapat juga
seloka dalam bentuk bebas dan setiap barisnya mengandungi maksud. Menurut Harun Mat Piah (1989),
seloka merujuk kepada puisi Melayu bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap,
jumlah baris, sama ada mempunyai irama ataupun tidak.

Secara amnya, seloka terdiri, daripada ungkapan berjajar yang melebihi daripada dua baris, mempunyai
kadensa yang sama seperti talibun dan prosa berirama. Satu ciri penting bagi seloka adalah seloka itu
mempunyai maksud mengejek, menyindir secara serius atau jenaka, mengkritik tingkah-laku dan sifat
negatif. Sungguhpun begitu, isi dan mesejnya sarat dengan sindiran yang berguna untuk menjadi
pengajaran dan teladan untuk pendengar dan pembaca.

Antara seloka yang terkenal dalam masyarakat Melayu ialah Seloka Pandai Pak Pandir yang diambil
daripada Cerita Jenaka Rakyat. Cerita Pak Pandir merupakan salah satu bentuk Sastera Rakyat dan
merujuk kepada seorang lelaki yang Bernama Pak Pandir yang mempunyai sifat lurus bendul. Dia
mempunyai seorang isteri yang terpaksa menahan segala perbuatannya yang bendul. Kisah cerita ini
berkaitan dengan segala peristiwa dan kejadian yang menimpa watak Pak Pandir dan keluarganya.

Akal budi manifestasi masyarakat Melayu yang terdapat dalam seloka ini ialah menyindir individu yang
bersikap mengutamakan orang lain. Sikap negatif ini perlu ditinggalkan kerana merugikan diri dan
keluarga terdekat. Sikap yang sepatutnya ialah mendahului keluarga terdekat bukannya orang luar yang
hanya mementingkan diri sendiri disebabkan tiada talian darah. Buktinya Pak Pandir bukan sahaja
sanggup mengabaikan anaknya sendiri malahan menyakitinya sebagaimana dalam frasa 'anak dipijak'.
Manakala pihak yang tiada kaitan dengan keluarganya pula diberi layanan baik sebagaimana dalam frasa
'dagang dijinjing'.

GURINDAM

Gurindam sebagai suatu bentuk puisi Melayu tradisional seperti mana dikenali sekarang diperkenalkan
oleh Raja Ali Haji melalui "Gurindam Dua Belas" yang dikarang pada tahun 1846. Bentuk gurindam
adalah terikat, iaitu terdiri daripada dua baris serangkap mengandungi tiga hingga enam patah perkataan
dengan skima rima akhir, 'a','a'. Seuntai gurindam memerlukan beberapa rangkap untuk melengkapkan
keseluruhan idea. Isinya mengadungi nasihat, pengajaran, kebenaran serta pernyataan perasaan cinta.
Menurut kamus Dewan (1984), gurindam ialah puisi yang terdiri daripada dua baris dan berisi dengan
berbagai-bagai pengajaran Manakala, Za'aba (1965) menjelaskan gurindam sebagai sejenis syair melarat
yang tetap sukatannya atau rangkapnya. Isinya mengandung fikiran yang bernas dengan bahasa yang
riang dan dinyanyikan. Gurindam berasal dari bahasa Tamil 'iradam', 'kirandam' yang dimaksudkan
sebagai puisi secara terbuka dan mengutarakan idea yang saling lengkap melengkapi serta merupakan
petua, nasihat atau pengajaran. Gurindam terdiri dua baris serangkap dan rima akhirnya ialah a,a. Jika
disebut kedua baris jadi ayat majmuk; jika dipisah ayat pertama jadi sebab dan ayat kedua jadi akibat.

Perbincangan akal budi masyarakat Melayu boleh dilihat dalam konteks falsafah dan pemikiran dalam
puisi tersebut. Falsafah yang terkandung dalam karya Gurindam Dua Belas membincangkan pelbagai
persoalan kehidupan manusia, sama ada kehidupan di dunia, mahupun kehidupan di akhirat. Antara
persoalan yang terkandung dalam puisi tersebut termasuklah perkara yang berkaitan mengenai aqidah
dan tasawuf, syariatrukun Islam, kepentingan menjaga akhlak, serta konsep pemerintahan. Setiap fasal
yang ditulis oleh Raja Ali Haji berupaya menyentuh kesedaran dalam jiwa masyarakat, serta dapat
memainkan peranan penting bagi membentuk nilai keperibadian insan yang mulia berlandaskan syariat
Islam, Nilai-nilai Islam yang disusun dan digarap dalam Gurindam Dua Belas secara tidak langsung
mencerminkan diri setiap insan sebagai contoh insan memiliki kualiti serta jati diri yang indah dan
sempurna.

RUJUKAN

Ali Ahmad (1994). Pengantar Pengajian Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Annas Haji Ahmad (1988). SASTERA Melayu Lama Dan Baru (Edisi Baru.). Petaling
Jaya: Masa Enterprise.

Effendy T. (2005). Ungkapan Tradisional Melayu Riau. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Awang (1987). Glosari Mini Kesusasteraan. Petaling Jaya: FajarBaktiSdn. Bhd.

Harun Mat Piah (1989). Puisi Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Ismail Hamid (1987). Perkembangan Kesusasteraan Melayu Lama. Kuala Lumpur:
Longman Malaysia.

Ismail Hussein (1998). Sastera dan Agama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Ketiga (1984). Kamus Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Kamus Pelajar Edisi Kedua (2015). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Salleh M. H. (2009). An introduction to modern Malaysian literature. ITBM.

Siddiq F. (2012). Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat. c. 3. Kajang:
Akademi Kajian Ketamadunan, Kolej Dar al-Hikmah.

Siti Hajar Abd. Aziz (2011). Bahasa Melayu 1. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Ungku Aziz (2011). Pantun dan kebijaksanaan akal budi Melayu. Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Za’ba (1965). Ilmu Mengarang Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Click to View FlipBook Version