UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
SEMESTER KEDUA SESI 2020/2021 (A211)
SBLM1023 PENGANTAR PENULISAN
KUMPULAN C
PENULISAN BUKU KANAK-KANAK: SI BUDAK NAKAL
DISEDIAKAN UNTUK:
DR. MELOR FAUZITA BINTI MD YUSOFF
DISEDIAKAN OLEH:
NURIN SHOFEA BINTI ZAHARI (261590)
SI BUDAK
NAKAL
Di sebuah kampung yang terletak jauh dari Kota, terdapat
seorang kanak-kanak lelaki yang bernama Amir. Amir berumur 7
tahun dan menetap bersama ibu dan bapanya. Amir merupakan anak
tunggal kepada ibu bapanya.
Amir merupakan seorang anak yang tidak mendengar kata ibu
dan bapanya. Bapa Amir bekerja seorang guru dan bernama Encik
Nasir, manakala ibunya pula hanya suri rumah dan bernama Puan
Siti. Ibu bapa Amir sangat menyayanginya kerana dia merupakan
satu-satunya anak lelaki tunggal mereka.
Pada setiap hari Amir dan bapanya akan pergi ke sekolah
bersama-sama kerana bapanya mengajar di sekolah yang sama. Di
sekolah, Amir terkenal dengan perangainya yang suka membuli
pelajar yang lain. Cikgu-cikgu di sekolah itu sudah penat menegur
sikapnya itu tetapi Amir masih bersikap sedemikian.
Pada suatu hari, Amir telah membuli rakan sekelasnya yang
bernama Alif. Amir berjalan kearah Alif dan berkata ‘Woi! Bagi aku
duit belanja sekolah kau. Aku nak beli makanan’. Alif kelihatan
enggan memberikan wang sakunya kepada Amir. Lalu Amir dengan
lantasnya merampas wang di tangan Alif sambil berkata ‘Jangan kau
berani nak lari ya!’ dan berlalu pergi.
Alif berasa sangat sedih kerana dia tidak dapat membeli
makanan di kantin. Lalu Alif nekad untuk mengadu kepada guru
kelasnya. Alif berjalan menuju ke bilik guru kelasnya yang bernama
cikgu Suhaimi. Alif mengadu semuanya kepada cikgu Suhaimi.
‘Saya tidak dapat membeli makanan di kantin hari ini cikgu
kerana Amir sudah mengambil kesemua wang saku saya’ kata Alif
kepada cikgu Suhaimi. Lalu cikgu Suhaimi berkata ‘lagi sekali Amir
membuli kamu? Haih apa nak jadi la si budak Amir itu. Tidak apa la
kamu ambil duit ini dan pergi membeli makanan ya’ sambil
menghulurkan wang berjumlah RM3 kepada Alif.
Sesudah tamat sesi persekolahan, cikgu Suhaimi telah
mengambil keputusan untuk memberitahu pihak atasan sekolah atas
sikap Amir yang suka membuli rakan-rakannya.
Ibu bapa Amir telah dipanggil oleh pihak atasan sekolah.
Bapanya yang juga merupakan cikgu di sekolah tersebut tidak dapat
menahan rasa malu akibat daripada perbuatan anaknya. Oleh itu,
Amir telah dikenakan hukuman gantung oleh pihak sekolah. Hal ini
menyebabkan Amir tidak dapat pergi ke sekolah selama satu minggu.
Tibanya di rumah, Encik Nasir dengan tenangnya bertanyakan
kepada Amir ‘Kenapa dengan kamu? Tidak cukupkah duit yang abah
kasi sehingga kamu membuli meminta wang dari rakan sekelas
kamu?’ Lantas Amir menjawab ‘Ah sudah la abah, jangan pedulikan
apa yang Amir lakukan di sekolah!’ Dengan perasaan yang sangat
marah, Amir telah masuk ke dalam biliknya dengan menghempaskan
pintu dengan kuat. Puan Siti hanya mampu menggelengkan kepala
melihat perangai anak lelaki tunggalnya itu.
Pada suatu hari, Amir telah jatuh sakit. Dia tidak mampu
melakukan aktiviti harian seperti biasa kerana keadaan badannya
yang lemah. Puan Siti masuk ke dalam bilik anaknya ‘kamu kenapa
Amir? Seharian kamu tidak keluar bilik hari ini. Kamu sakitkah?’
sambil memegang badan anaknya.
Lalu Amir berkata ‘Amir berasa tidak sedap badan ibu. Tubuh
Amir berasa panas sejuk dan kebas-kebas’. ‘Kalau macam itu, ibu
bawa kamu ke klinik ya. Ibu rasa kamu demam panas ini’, kata Puan
Siti.
Dengan pantasnya Puan Siti menelefon Encik Nasir untuk
pulang ke rumah segera untuk membawa Amir ke klinik berdekatan.
Sampai sahaja di klinik, Doktor mengesahkan Amir terkena
demam denggi dan terpaksa diberikan cuti untuk Amir berehat di
rumah.
‘Kamu berehat ya Amir, nanti ibu bawakan makanan untuk
kamu’, kata Puan Siti kepada Amir yang terlantar di atas katilnya.
Selang beberapa minit kemudian Puan Siti membawa masuk
semangkuk bubur dan secawan air kosong. Lalu Puan Siti
menyuapkan bubur ke mulut Amir sedikit demi sedikit.
Amir berasa sangat sedih dan bersalah terhadap ibu bapanya.
‘Ibu, maafkan Amir ibu sebab tidak mendengar cakap ibu dan abah
selama ini. Amir minta maaf sebab selalu membuat masalah di
sekolah’, kata Amir dengan penuh kesal.
Puan Siti menjawab ‘tidak apa Amir, ibu dan abah sudah lama
memaafkan kamu. Selepas ini jangan buat masalah lagi di sekolah
ya? Ibu dan abah sangat menyayangi kamu, nak’.
Air mata Amir mula mengalir dengan laju dan Puan Siti lekas
mengelap dengan kain bajunya. Amir dengan lantas memeluk ibunya
itu sambil berulang kali meminta maaf. Puan Siti hanya mampu
tersenyum dan memeluk anaknya kembali. Di dalam hati seorang ibu
itu hanya berasa sangat gembira dengan kesedaran sikap anaknya.
Seminggu kemudian, Amir telah kembali ke sekolahnya. Kali ini
sikap Amir seratus peratus berubah. Amir tidak lagi membuli rakan-
rakan sekelasnya. Amir juga sudah mendengar kata guru-gurunya
dengan sentiasa menyiapkan kerja sekolah. Cikgu Suhaimi, guru kelas
Amir berasa sangat senang hati melihat perubahan Amir.
Amir juga telah mula meminta maaf dengan semua rakan
sekelasnya akan perbuatannya yang lalu. ‘Aku minta maaf ya atas
segala silap aku membuli kamu semua’, kata Amir yang merendah
diri. Lalu rakan-rakannya semua memaafkan Amir dan mereka mula
berkawan antara satu sama lain.
‘Saya sangat gembira melihat perangai Amir yang sudah
berubah sejak daripada kejadian lalu’, kata cikgu Suhaimi kepada
bapa Amir, Encik Nasir. ‘Saya pun sudah lega kerana dia sudah kesal
akan perbuatannya yang lalu’, jawab Encik Nasir sambil mengukir
senyuman.
Peperiksaan akhir sudah menjelang tiba, Puan Siti dan Encik
Nasir dapat melihat kesungguhan Amir dalam mengulang kaji semua
mata pelajarannya.
‘Ibu, doakan Amir ya supaya Amir dapat menjawab semua
peperiksaan dengan baik’. Puan Siti menjawab ‘Ibu sentiasa
mendoakan kamu, Amir. Jawab elok-elok ya peperiksaan kamu
sebentar lagi’. Amir menjawab kertas peperiksaannya dengan begitu
bersungguh-sungguh. Amir sangat gembira kerana dia dapat
menjawab peperiksaannya dengan baik.
Seminggu selepas habis peperiksaan, keputusan peperiksaan
akhir sudah dikeluarkan. Amir begitu gementar menunggu keputusan
peperiksaannya yang akan diberikan oleh cikgu Suhaimi. Cikgu
Suhaimi mula mengumumkan pelajar yang mendapat tempat
pertama di dalam kelasnya itu.
‘Pelajar yang mendapat tempat pertama di dalam kelas ini ialah
Muhammad Amir bin Nasir. Tahniah Amir, cikgu bangga dengan
kamu’, ucap cikgu Suhaimi kepada anak muridnya itu. Amir berasa
sangat gembira dan dia tidak berhenti mengucapkan terima kasih
kepada guru kelasnya.
Amir lantas pulang ke rumah untuk berkongsikan berita baik itu
dengan ibu dan bapanya. ‘Ibu! Ibu!’, laung Amir di dalam rumah. Lalu
ibunya pantas keluar dan bertanya ‘kenapa Amir?’.
Amir berkata ‘Ibu! Amir mendapat tempat pertama di dalam
kelas. Amir gembira ibu’. Puan Siti bergegas memeluk erat anak
lelakinya itu sambil tersenyum lebar. ‘Ibu bangga dengan kamu,
Amir’, ucap Puan Siti.
Ibu bapa Amir berasa sangat bangga dengan perubahan dan
pencapaian anak lelaki tunggalnya itu. Walaupun Amir sering
membuat masalah di sekolah, mereka tidak pernah meninggikan
suara terhadap Amir, malah mereka tegur dengan nada yang sangat
lembut. Hal ini kerana, Puan Siti dan Encik Nasir sangat menyayangi
anaknya itu sehinggakan mereka sanggup memaafkan Amir
walaupun Amir telah memalukan mereka di sekolah.
Akhirnya, keluarga Amir hidup dengan penuh bahagia atas
perubahan sikap Amir yang berubah menjadi anak yang baik dan
mendengar kata.
SI BUDAK
NAKAL