JELAJAH 3 sekawan Penulis: Nisa Qistina
Di sebuah desa terpencil, dikelilingi sawah yang terbentang luas, Desa Makmur diberi nama.Tiga sekawan Melayu, Cina dan India tinggal di situ. Jalinan persahabatan terjalin dengan akrab walaupun berlainan bangsa dan latar belakang. Dua antaranya ialah lelaki dan seorang perempuan. Zafran merupakan lelaki berbangsa Melayu, Mei Ling pula ialah gadis berbangsa Cina, manakala Raju lelaki berbangsa India.Berbeza jantina tidak menghalang mereka untuk berkawan dan bersama-sama ke mana sahaja pergi, tidak kiralah beriringan ke sekolah mahupun bermain pada waktu petang. Mei Ling Raju Zafran
Cuti sekolah pun menjelang tiba, Zafran, Mei Ling dan Raju sangat gembira dan bersemangat untuk menyambut musim cuti sekolah selama sebulan. Pada suatu hari, mereka meluangkan waktu petang bersama di sebuah pondok yang berdekatan dengan rumah mereka. Langit kuning dengan sinaran matahari yang hampir terbenam telah menciptakan suasana yang tenang untuk bersantai di pondok. Mereka membawa bekalan ringan dan minuman kesukaan masingmasing untuk minum petang sambil menikmati angin sepoi-sepoi bahasa.
Tibanya mereka di pondok tersebut, Mei Ling segera menyusun bekalan mereka. Mereka membawa makanan mengikut kaum masing-masing, ada yang membawa kuih talam, kuih lopes, kuih kapit, kuih bulan dan juga muruku. “Wah, banyak sungguh makanan kita pada petang ini, mesti kenyang ” ujar Zafran sambil ketawa kecil. “Ya, betul tu Zafran. Semuanya makanan tradisional kita semua. Tak sabarnya nak makan !” kata Mei Ling dengan lirikan mata ke arah makanan yang disusunnya sebentar tadi.
“Makanan tradisional ni belum dimakan pun boleh menggoda selera tau, hahaha!” Mereka ketawa mendengar kata-kata Raju. Kemudian, mereka terus menjamu selera sebelum melakukan aktiviti seterusnya. Zafran yang gemar membaca buku mula menceritakan kisah “Pak Pandir dan Mak Andih” kepada rakan-rakannya. Ceritanya memukau Mei Ling dan Raju yang terhibur dan tak henti-henti ketawa sehingga pecah perut.
Tiba-tiba, kedengaran bunyi semak samun menyebabkan Mei Ling tiba-tiba menoleh ke arahnya. Mei Ling bertanya, “Bunyi apa itu ?” Raju menjawab “ha bunyi apa Mei Ling?”. “Saya terdengar bunyi sesuatu berhampiran semak tersebut. Mari teman saya pergi ke sana ” ujar Mei Ling.
Oleh sebab, Mei Ling ingin mengetahui bunyi tersebut maka mereka bersama-sama mencari punca kedengaran suara tersebut. Mereka bergerak perlahanlahan menuju ke arah semak tersebut. Suara tersebut semakin menghampiri, mereka menyelak semak dan melihat sesuatu yang tidak diduga iaitu seekor kucing yang sedang bermain di semak tersebut. Kucing tersebut melarikan dirinya dan mereka memutuskan untuk mengikuti kucing tersebut.
Setelah mengikuti jejak kucing tersebut, mereka tiba di hadapan sebuah rumah usang yang tersembunyi di sebalik hutan. Rumah ini dilihat misteri oleh mereka bertiga kerana pintu dan jendela tertutup rapat. Kucing itu merunduk di depan pintu seakan-akan menunggu sambutan daripada tuannya.
Zafran, Mei Ling, dan Raju saling bertukar pandangan, kehairanan,timbul rasa ingin tahu dan terus memegang tombol pintu rumah usang tersebut lalu membukanya dengan penuh perlahan dengan satu debaran. Saat pintu terbuka, mereka sangat terkejut kerana rumah tersebut dipenuhi dengan barang-barang antik, buku-buku kuno, dan aroma kenangan masa lalu yang menyambut mereka. Mereka melangkah masuk ke rumah tersebut untuk mengetahui dengan lebih jelas. Apakah rahsia di dalam rumah tersebut.
Zafran meneroka setiap sudut rumah tersebut. Dia menjumpai sebuah almari kaca yang berwarna putih. Di dalam almari itu tersimpan satu botol misteri. Dia membuka botol tersebut, mengambil gulungan kertas sebuah peta yang menunjukkan sebuah pulau yang tidak pernah didengari olehnya sebelum ini. "Wah, ini sungguh menarik ! Lihatlah peta ini, Mei Ling! Raju!" seru Zafran.
Mei Ling dan Raju berlari ke arah Zafran. Mereka mula merancang untuk menjelajah pulau tersebut. Mereka membayangkan pengembaraan yang menarik dengan melakukan misi mencari harta karun di pulau tersebut. Namun begitu, Mei Ling kelihatan enggan untuk mengikuti rancangan mereka berdua. Muka Mei Ling seolah-olah dalam ketakutan.
Mei Ling mengetap bibirnya, dan wajahnya berkerut kebimbangan. "Saya risau, kawankawan. Ini terlalu berisiko dan berbahaya. Bagaimana jika kita tersesat di sana? Saya lebih suka tinggal di sini, lebih selamat.” Mei Ling memberi pandangan. Zafran dan Raju cuba meyakinkannya "Mei Ling, kita akan berhati-hati. Ini peluang kita untuk memperoleh pengalaman baru dan menarik sementara kita bercuti panjang ini.” Mei Ling memandang wajah kedua-dua sahabatnya itu. Mereka nampak sangat teruja. Akhirnya, dia tersenyum. "Baiklah, saya akan ikut kalian, tapi ada satu syarat. Kita perlu menjaga antara satu sama lain dan bekerjasama,ya? Jangan lupa, keselamatan kita bersama merupakan perkara utama yang perlu dilindungi." kata Mei Ling.
Tiba sahaja di rumah, mereka bercadang untuk mencari sampan di rumah masing-masing. Puas mencarinya, ternyata tidak ada satupun sampan yang mereka temukan. Meskipun sedikit kecewa, Raju mencadangkan idea yang bernas dengan berkata, “Apa kata kita membuat sampan sendiri ? Kayu-kayan di sekitar kita sudah pasti dapat kita manfaatkan dengan sebaiknya ”. Idea yang baik itu Raju! aspek kedalaman, panjang dan lebar perlu diutamakan untuk memastikan sampan kita terapung di permukaan air ” ujar Zafran. Zafran dan Raju bersorak kegembiraan kerana Mei Ling akhirnya menyertai rancangan mereka untuk mengembara ke pulau misteri yang dipanggil Pulau Harmoni.
Maka Zafran, Mei Ling, dan Raju bekerjasama membina sampan dengan mengutip kayu di sekeliling rumah mereka. Mereka berkongsi idea dan kemahiran untuk mencipta sampan yang dapat merealisasikan hajat mereka untuk ke Pulau Harmoni.
Selepas beberapa jam bekerja keras, sampan mereka akhirnya sudah siap dibentuk. Mereka membawa makanan dan barang keperluan lain serta memakai jaket keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan.
Perjalanan mereka ke Pulau Harmoni itu bermula dengan semangat yang membara. Setelah 20 minit, berada di tengah-tengah lautan, tiba-tiba sampan mereka bocor. Air pula mula masuk dengan cepat dan membuatkan mereka panik. Mereka terpaksa meninggalkan sampan itu kerana sukar untuk dibaiki. Mereka terus melompat ke dalam air dan memastikan jaket keselamatan mereka kekal diikat dengan selamat agar tidak tenggelam.
Bagaimanapun, beg mereka yang berisi makanan dan barangan penting tidak dapat diselamatkan. “Eh, tengok tu ! Pulau itu sudah hampir dengan kita ” kata Raju. “Mari, kita ke sana cepat, sebelum matahari mula untuk terbenam !” kata Mei Ling.
Setibanya di Pulau Harmoni, mereka melepaskan nafas lega dan ingin mencari tempat untuk beristirahat. Namun, perut mereka bergeroncong, menandakan kelaparan yang menghantui mereka. Mereka memutuskan untuk mencari makanan walaupun dalam kegelapan pulau yang masih asing.
Semasa mereka mencari makanan, mereka ternampak sebatang pohon yang mempunyai banyak buah. Namun, saat mendekati pohon tersebut, hanya satu buah sahaja yang terlihat segar dan masih elok. Ketika mereka hendak mengambil buah tersebut, terdapat perdebatan kecil yang berlaku di antara Zafran dan Raju. Kelaparan ini membuatkan mereka berdua melupakan persahabatan sejenak, dan tercetusnya pergaduhan kecil walaupun hanya isu kecil iaitu berebut akan buah tersebut.
Mei Ling, yang bijaksana memberikan cadangan, "Mengapa kita tidak mengambil pendekatan yang lebih adil? Kita boleh membahagikan buah ini sama rata, agar semua dapat merasanya tanpa seorang pun berasa lapar ”. Cadangan Mei Ling membuatkan mereka merenung. Akhirnya, mereka bersetuju untuk mengikutinya. Dengan berhati-hati, mereka memotong buah itu menjadi tiga bahagian yang hampir sama besar. Apabila perut sudah kenyang, mereka bercadang untuk tidur di bawah pohon yang rendang tersebut.
Pada keesokan harinya, mereka meneruskan misi mencari harta karun seperti yang terdapat dalam peta tersebut. Namun, semakin mereka berjalan masuk ke dalam hutan, keadaan hutan semakin sunyi, gelap dan semakin suram.Tidak ada sebarang cahaya pun yang dapat menyuluh perjalanan mereka. Atmosfera hutan menjadi semakin tegang, dan bunyi-bunyi yang ganjil menghantui setiap langkah mereka.
Tiba-tiba, mereka terjatuh ke dalam satu lubang yang dalam. Mereka menjerit sekuat hati meminta tolong tetapi tiada siapa yang datang menolong mereka. Zafran dan Raju mula menuding jari dan bertikam lidah menyalahkan satu sama lain. "Kau tengoklah apa jadi dengan kita ini, Zafran. Kau nak sangat datang ke sini. Ini semua salah kau! " ujar Raju dengan nada yang marah. “Kau juga yang nak datang ke sini, jangan salahkan aku sahaja !” balas Zafran sambil menjeling ke arah Raju.
Mei Ling menyedari bahawa konflik tersebut tidak akan membawa kebaikan. Dia berkata “Pergaduhan ini tidak akan dapat membantu kita untuk mencari harta karun ini bersama-sama. Pergaduhan ini hanya boleh meruntuhkan semangat kekitaan kerana mencetuskan api kemarahan sahaja. Sudah, mari kita fokus kepada tujuan utama kita dan mencari jalan keluar dari sini ”. Zafran dan Raju pun bersalaman antara satu sama lain. Akhirnya, mereka dapat melepaskan diri dari lubang tersebut setelah bekerjasama memberikan idea, dan meneruskan perjalanan mereka.
Tiba-tiba sahaja hujan lebat membasahi seluruh pulau. Zafran ternampak sebuah gua di hadapan mereka lalu bergegas mengajak rakan-rakannya untuk berteduh di dalamnya sementara menunggu hujan reda.
Terlintas di fikiran Zafran “Mungkin gua ini merupakan tempat terdapatnya harta karun yang kita cari”. Raju pun terus memeriksa peta dan memang benar, harta karun itu ada di dalam gua tersebut. Mereka terus meneroka gua. Kemudian, Raju menemui tulisan yang menyatakan cara untuk mengatasi kemarahan penunggu gua. “Penunggu gua ?” bisik Raju di dalam hatinya.
Tiba-tiba suara marah bergema di dalam gua. Mereka ternampak penunggu gua yang sedang marah dan mengamuk. Tanpa berfikir panjang, mereka berlari dan bersembunyi disebalik batu besar. Raju yang melihat tulisan itu memberitahu rakanrakannya bahawa mereka boleh menenangkan penunggu gua dengan sebuah lagu. Mereka segera mencari bahan yang boleh dijadikan sebagai alat muzik seperti batu dan ranting.
Dengan memberanikan diri, mereka menyanyikan sebuah lagu kepada penunggu tersebut. Penunggu gua tersebut terleka dengan lagu yang dibawa sehingga emosinya beransur tenang apabila mendengar melodi yang indah itu. Apabila hati penunggu gua sudah tenang, mereka duduk bersama dan berbincang untuk mengeratkan hubungan antara mereka. Zafran mula bertanya tentang harta karun yang terdapat dalam peta tersebut. Penunggu gua terus memberikan petunjuk tentang keberadaannya kerana mereka mula berbaik. Zafran. Mei Ling dan Raju mengucapkan terima kasih dan merancang untuk pulang ke rumah.
Penunggu gua berasa sedih kerana kehilangan tiga sekawan tersebut. Oleh itu, Zafran, Mei Ling, dan Raju menyediakan sebuah sajak untuk menghiburkannya. Melalui sajak tersebut, mereka menyampaikan mesej persahabatan, semangat kekitaan dan kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang mereka berada di pulau tersebut.
SAJAK INDAHNYA PERSAHABATAN Dunia yang luas penuh kepelbagaian Bersatu hati membina persahabatan Berbeza warna kulit, bahasa dan agama Timbul rasa sayang tidak kira bezanya. Berada di bawah langit yang sama Mencorak perjalanan hidup penuh warna Mengatasi liku-liku cabaran bersama Kerana hubungan persahabatan diutama. Kita saling menghormati dan memahami Berpegang kepada nilai-nilai kehidupan Demi mewarnakan jiwa penuh cinta Bukti persahabatan kekal abadi dan harmoni. Kita menuliskan babak demi babak bersama Mengisahkan saat suka dan lara Kita diibaratkan keluarga meskipun berbeza Melambangkan kekuatan satu ikatan perpaduan.
Penunggu gua berasa sayu hati apabila mendengar tiga sekawan itu mendeklamasikan sajak mereka. Dengan hati yang berat, mereka meninggalkan gua untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. TAMAT
Rujukan Farra Humairah Mohd, Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi & Anida Sarudin.(2023). Adab Berkomunikasi Secara Berkesan dalam Cerpen Kanak-Kanak Pilihan. Jurnal Komunikasi,39(1),514- 533.https://journalarticle.ukm.my/22233/1/jk29.pdf Farra Humairah Mohd, Nordiana Hamzah & Hasrina Baharum.(2020). Pemikiran Budaya dalam Cerpen Kanak-Kanak dari Tahun 2012 hingga Tahun 2015 Dan Kesan Positif Kepada Kanak-Kanak. Jurnal Komunikasi, 39 (1), 103-108. https://www.researchgate.net/publication/346003556_PEMIKIRAN_BUDAYA_DALAM_CERPEN_KANAK- KANAK_DARI_TAHUN_2012_HINGGA_2015_DAN_KE SAN_POSITIF_KEPADA_KANAK-KANAK Haron, N. H., & Safei, M. (2011). Bagaimana saya menulis: Proses Penciptaan Cerpen. Dewan Bahasadan Pustaka.
Kaithiri Arumugam & Rohaya Md Ali. (2019). Buku kanak-kanak: Analisis unsur estetika. PENDETA Journal of Malay Language, Education and Literature,10,151-165. https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/PENDETA/article/download/2901/2147/7835 Misran Rokimin. (2005).Pendidikan Moral Menerusi Bacaan Sastera Kanak-kanak. Dewan Sastera, Othman Puteh. (2001). Persediaan menulis cerpen. Dewan Bahasa dan Pustaka Wan Zaliha Wan Othman & Ratna Laila Shahidin. (2017). Penulisan Sastera Kreatif Kanak-Kanak. Sasbadi Sdn.Bhd. Rujukan
2024