The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Inaugaral Showcase Series Test The Tessellation is a collection of artwork working around with the concept and knowledge of geometry

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Dr. Chiam Sun May, 2022-02-11 22:56:28

Inaugaral Showcase Series Test The Tessellation

Inaugaral Showcase Series Test The Tessellation is a collection of artwork working around with the concept and knowledge of geometry

Keywords: Tessellation

INAUGARAL SHOWCASE SERIES



TEST THE TESSELLATION







PISMP OPSYEN MATEMATIK AMBILAN JUN 2018

IPG KAMPUS KENT

CHIAM SUN MAY, PhD

CHIAM SUN MAY, PHD.
INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS KENT,
PETI SURAT 2,
89207 TUARAN,
SABAH.

Hak Cipta © Institut Pendidikan Guru Kampus Kent 2019
Cetakan Pertama 2019



Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluarkan ulang mana-mana
bahagian kandungan, illustrasi dan jadual dalam kandungan buku ini dalam apa
juga bentuk dan dengan apa juga sama ada secara elektronik, fotokopi mekanik,
rakaman atau cara lain sebelum mendapat izin bertulis daripada Institut
Pendidikan Guru Kampus Kent.





Pelajar PISMP Opsyen Sains Ambilan Jun 2018 IPG Kampus Kent dan Chiam Sun
May, PhD


INAUGARAL SHOWCASE SERIES TEST THE TESSELLATION


eISBN: 978-967-0008-00-4


Kulit Buku: Percetakan Ekspress Enterprise


Diterbit oleh,
Institut Pendidikan Guru Kampus Kent,
Peti Surat 2, 89207,
Tuaran, Sabah.
Tel: 088-797500
Fax: 088-788007

Kandungan



Tradisional Vs Modenisasi ......................................................................................................1

Harimau Malaya Mengaum Lagi ............................................................................................3

Keindahan Bunga Kebangsaan Malaysia .............................................................................5

Eksotik Sarawak- Bagaimana Menghasilkannya? .............................................................7

Masyarakat Dayak Sarawak ...................................................................................................9

Keunikan Negeri Sembilan ....................................................................................................11

Yang Mana Idaman Kalbu: Tulip Atau Enggang? ..............................................................13

Salam Lebaran Aidilfitri ...........................................................................................................15

Si Burung Berkuasa Sihir Hitam? ..........................................................................................17

Tradisi Zaman Berzaman ........................................................................................................19

Kebudayaan Masyarakat Melayu ..........................................................................................21

Tanglung Cina Dan Pelita Melayu .........................................................................................23

Seorang Nelayan Dan Ikan Ajaib ...........................................................................................25

Khazanah Malaysia ...................................................................................................................27

Warisan Kemelayuan ................................................................................................................29

Hidupan Akuatik Yang Popular Di Malaysia ........................................................................31

Masyarakat Majmuk Di Malaysia ..........................................................................................33



Minangkawau ........................................................................................................................36

Sidang Editor

Abdul Rahman Bin Mohamad Hanapi
Ahmad Afiq Bin Ahmad Nazri
Muhammad Amir Faruq Bin Mat Kamil
Joan Ng
Erika Steffi Anak Rogie
Fatin Nurul Athira Bintu Ismail
Haziq Abdul Latif
Zulaikha Binti Mamat
Kimberly Chia Dee Na
Mohamad Azzrul Hafizs Bin Mokti
Muhammad Takbir Idham Bin Jepre @Kipli
Najmuddin Rifaie Bin Ahmad Shubki
Norasyikin Binti Mohd Zamuri
Nur Izzah Zakiah Binti Majdi
Nur Izzati Binti Roslah
Ronald Chin Chun Hwa
Ronna Karen Haliam
Vergeer Vol Anak Paul

Ketua Editor

Dr. Chiam Sun May

Pereka Kulit Buku

Ahmad Afiq Bin Ahmad Nazri

Sinopsis
Buku ini merupakan satu koleksi hasil-hasil karya pelajar-pelajar Opsyen Matematik
Ambilan Jun 2018 yang mengambil kursus Geometri MTES3033. Tajuk-tajuk penulisan
dalam buku ini adalah sebahagian daripada Ringkasan Maklumat Kursus (RMK) dalam
kursus ini, iaitu Teselasi. Hasil-hasil karya dihasilkan melalui pelbagai strategi seperti
yang disarankan dalam pembelajaran abad 21 semasa interaksi bersemuka dan
interaksi tidak bersemuka.

Sekarung Budi
Salam damai dari kami pelajar-pelajar PISMP Opsyen Matematik Ambilan Jun 2018
IPGK Kent. Syukur kepada Tuhan dan sekalung budi kami rakamkan kepada Pengarah
IPGK Kent, Dr. ajah Rosmawati binti Hamzah B.S.K., timbalan pengarah Datin Dr.
Rosinah bte Edinin dan Ketua Jabatan, Jabatan STEM, kerana memberi kepercayaan
dan sokongan yang sepenuhnya kepada kami untuk menghasilkan buku ini.

Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada pensyarah kursus Geometri
kami iaitu Dr. Chiam Sun May dan rakan-rakan yang saling bantu membantu dalam
menyempurnakan tugasan ini. Teselasi kami adalah aplikasi kefahaman kami
terhadap teori-teori transformasi Geometri dan kemahiran Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (TMK) iaitu Geometri Sketchpad (GSP). Ia memusatkan kepada satu tema
dan merupakan satu reka bentuk yang berunsurkan Malaysiana.

Teselasi merupakan suatu bentuk atau pola sekata yang terbentuk di atas satah oleh
bentuk-bentuk yang berulang serta digabungkan tanpa jurang atau pertindihan.
Bentuk-bentuk yang dihasilkan tidak semestinya sama kesemuanya, tetapi pola perlu
berulang secara pantulan, translasi dan putaran. Melalui tugasan ini, kami dapat

ilmu dan pengalaman baharu berkaitan dengan teselasi. Kami dicabar dengan
mengamalkan kemahiran berfikir yang lebih kritis dan kreatif kerana perlu mencipta
teselasi autentik yang berunsurkan Malaysiana.

Sebelum kami bermula, kami perlu mencari tema Malaysiana. Kami perlu merungkai
dan merangkai idea-idea yang kami dapat daripada bacaan mengenai Malaysia. Ini
memerlukan banyak kajian literatur dan kefahaman kami terhadap perkara-perkara
seperti budaya, sejarah dan sains. kami perlu memastikan kesahihan maklumat
sebelum penulisan sinopsis dan mereka teselasi kami.

Pada awalnya, kami dicabar dalam menyusun bentuk-bentuk teselasi secara
berulang. Sebelum menyusun bentuk-bentuk teselasi, kami perlu membuat lakaran
kasar bagi mendapat gambaran keseluruhan bentuk teselasi yang ingin dibuat. Ini
adalah penting kerana jika bentuk teselasi tersebut tidak dibuat secara teratur dan
sistematik dari segi bentuk, corak, warna dan ruang antara bentuknya, teselasi yang
dihasilkan akan bertindih antara satu sama lain. Kami perlu merancang kerja dengan
cara yang sistematik dan berfikir secara mendalam, sambil-sambil mencari rujukan
yang releven dari laman web. Kami dapat mempelajari pelbagai ilmu baharu melalui
penerokaan sendiri, secara kolaborasi dan dibimbing oleh pensyarah. Ia merupakan
satu pembelajaran yang sangat bermakna bagi kami.

TRADISIONAL VS MODENISASI

OLEH
ABDUL RAHMAN BIN MOHAMAD HANAPI

Corak teselasi yang bertemakan “Tradisional Vs Modenisasi” menggunakan dua bentuk
asas iaitu bentuk terabai dan Menara Kuala Lumpur. Secara umum, terabai(perisai)
merupakan peralatan yang lazim digunakan oleh kaum Iban pada zaman dahulu,
semasa mengayau(memenggal kepala). Biasaannya ia diperbuat daripada kayu, dibentuk
dan diukir mengikut corak tertentu. Pada zaman dahulu, kaum Iban sangat dikenali
sebgai “Headhunter” kerana mereka memenggal kepala musuh yang kalah dalam
peperangan. Ia juga digunakan sebagai perisai melindungi diri daripada senjata musuh,
merupakan lambang kepahlawanan dan kehebatan kaum Iban suatu ketika dahulu. Kini,
ia digunakan sebagai perhiasan, prop menari dan masih dikekalkan serta
dikomersialkan.

Menara Kuala Lumpur pula merupakan menara telekomunikasi ke tujuh tertinggi di
dunia, dan pertama di Asia Tenggara dengan ketinggian 421m. Menara ini terletak di
pusat Kuala Lumpur dan beroperasi semenjak tahun 1999. Ia terletak di Hutan Simpan
Bukit Nenas yang menjaminkan keindahan alam semula jadinya. Sehingga kini, menara
ini menjadi simbolik Malaysia dan tempat yang sangat signifikan.

Kedua-duanya mempunyai unsur dan nilai estetika tersendiri di mana terabai membawa
unsur tradisional dan menceritakan adat kaum Iban, manakala Menara Kuala Lumpur
melambangkan unsur kemajuan yang Malaysia kecapi dalam penaiktarafan bidang
telekomunikasi dan penyiaran. Malahan, teselasi ini menggambarkan bahawa walaupun
Malaysia menuju ke arah negara membangun di tangga teratas negara membangun, kita
masih mengekalkan nilai-nilai tradisi kita. Malaysia sentiasa berusaha dan komited
dalam pemodenan Malaysia tanpa menganaktirikan unsur-unsur tradisi kaum di
Malaysia.

Kesimpulannya, corak teselasi ini melambangkan kepelbagaian unsur yang terdapat di
negara kita. Kita mampu mengimbangkan keunggulan tradisi pada masa yang sama,
memaju ke hadapan.

RUJUKAN
Roselind, ?. 7 Ogos 2018. TERABAI MASYARAKAT IBAN. Diperoleh pada 15 Februari 2019
daripada http://www.beloya2u.com/2018/08/terabai-masyarakat-iban.html

n.a. n.d. K.L. TOWER. Diperoleh pada 15 Februari 2019 daripada
https://www.menarakl.com.my



HARIMAU MALAYA MENGAUM LAGI

OLEH
AHMAD AFIQ BIN AHMAD NAZRI

Sehubungan dengan popularnya sukan bola sepak di seluruh dunia, Andrew Caldecott telah
menubuhkan Persatuan Bola Sepak Malaysia pada tahun 1920 di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,
dan persatuan ini telah melepaskan Malaya daripada kolonialisma Inggeris dan Jepun. Penubuhan
Persatuan Bola Sepak Malaysia telah menyebabkan bola sepak menjadi sukan awam dan sukan
kebangsaan di Malaysia. Sejarah bola sepak di Malaysia bermula dengan Persatuan Bola Sepak
Malaysia atau Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Malaysia di Kuala Lumpur pada tahun 1920, di bawah
pimpinan Andrew Caldecott, gabenor Hong Kong 1935 – 1937. Sejak ketika itu, aktiviti bola sepak
kerap digerakkan oleh FAM. Sebagai bentuk sokongan terhadap kebangkitan “Bola Sepak
Kebangsaan”, Stadium Nasional Bukit Jalil telah dibangun pada tahun 1993 dan dibuka pada tahun
1998 sempena Sukan Komanwel 1998.

Logo harimau dalam teselasi merujuk kepada logo pasukan Kebangsaan Malaysia. Sebelum ini, ia
dikenali sebagai ‘Harimau Malaya’. Merujuk kepada nama tersebut, Harimau dan Malaya membawa
makna yang saling berkait rapat. Harimau Malaya merujuk kepada spesis harimau (Panthera tigris
jacksoni) yang hanya terdapat di semenanjung Malaysia. Ia diancam kepupusan dan diklasifikasikan
oleh Tabung Alam Sedunia (WWF) sebagai haiwan yang “sangat terancam” (critically endangered).

Corak yang memperlihatkan iras-iras jersi bola sepak adalah merujuk kepada jersi “away” Malaysia, ia
juga mengembalikan rekaan berwarna biru pada bahagian badan dan merah pada lengan. Jersi ini
dipakai bersama seluar pendek putih dan stokin biru. Menurut Nike, kombinasi warna ini
diinspirasikan dari Jalur Gemilang. Jersi bagi edisi 2017-2018 ini merupakan tahun ke-11 Nike
bersama skuad kebangsaan Malaysia, mewakili Skuad Kebangsaan Malaysia dalam kejohanan
berprestij di Asia Tenggara iaitu Piala AFF Suzuki 2018.

Obor api pada corak teselasi tersebut merujuk kepada semangat dan keazaman Skuad Kebangsaan
Malaysia untuk mara ke hadapan, menggarap dan melangkah jauh ke kejohanan yang lebih
berprestij, seperti mara ke Olimpik, atau menyertai 24 pasukan terbaik dunia di Piala Dunia. Adalah
diharapkan hasrat ini dapat direalisasikan.

RUJUKAN

Adam, F. (26 April, 2017). Ada Apa pada Nama? Malaysia atau malaya.
Persatuan Bola Sepak Malaysia. 2016. dipetik daripada https://www.fam.org.my. 20 Feb 2019.

Kluge, V. 1997-2004. Olympische Sommerspiele – Die Chronik. Five volumes. Sportverlag except
Vol. 5 Südwest-Verlag.



KEINDAHAN BUNGA KEBANGSAAN MALAYSIA

OLEH
MUHAMMAD AMIR FARUQ BIN MAT KAMIL

Bunga raya Hibiscus rosa-sinensis merupakan tumbuhan renek berbunga yang terdiri daripada
pelbagai warna seperti merah, merah jambu, putih, kuning atau jingga. Ia berasal dari negeri China
dan kepulauan pasifik. Pokok bunga raya berbentuk rimbun menegak dan mempunyai tekstrur
kelopak bunga yang sederhana kasar serta daun yang berbentuk ovate, bergerigi di bahagian tepi
seperti yang dinyatakan dalam laporan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (2016).
Berukuran antara dua hingga tiga meter, bunga raya terkenal dengan kecantikan dan keunikan yang
tersendiri. Penjagaannya adalah mudah dan sifatnya sangat tahan lasak.

Menurut laporan 1 Klik (2013), bunga raya dinobatkan sebagai Bunga Kebangsaan Malaysia pada
28 Julai 1960 oleh YAB Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra. Lima kelopak
bunga raya adalah lambang kepada Rukun Islam dan Rukun Negara. Di samping itu, warna merah
bunga raya adalah lambang kepada kekukuhan politik dan ekonomi, sifat berani pemimpin dan
rakyat Malaysia dalam menempuhi cabaran. Variasi bunga raya dari segi warna, bentuk dan ukuran
adalah simbol terhadap rakyat-rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya, hidup
bersama dalam keadaan aman dan harmoni.

Bunga raya mempunyai kelebihan dari pelbagai aspek. Sebagai contoh, dalam aspek gubahan,
bunga raya sering digunakan sebagai bunga hiasan dalam rumah dan hiasan kostum. Dalam aspek
kosmetik pula, khasiat yang terkandung pada bunga raya mampu untuk melembabkan kulit dan
menyuburkan rambut. Di samping itu, penggunaan bunga raya dalam perubatan tradisional juga
tidak kurang hebatnya. Menurut laporan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (2016),
khasiat yang ada pada tumbuhan bunga raya dapat menjadi penawar kepada pelbagai jenis
penyakit. Sebagai contoh daun dan tunas bunga muda dapat merawat bisul dan bengkak, manakala
bahagian bunga tumbuhan tersebut digunakan untuk merawat penyakit bronchitis. Ia juga dapat
berfungsi sebagai bahan makanan seperti pewarna organik.

RUJUKAN
Shivanada Nayak, Adam, F. (2017, April 26). Ada Apa pada Nama? Malaysia atau malaya.
B. Sivachandra Raju, Orette,S. F.A. 2007. Effects of Hibiscus rosa sinensis L(Malvacae) on wound
healing activity: A Preclinical Study in a Sprague Dawley Rat. International Journal of Lower
Extrimity. doi: 10.1177/1534734607302840
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. 2016. Hibiscus rosa-sinensis L. Dicapai daripada
https://www.forestry.gov.my/index.php/my/9-explore/980-hibiscus-rosa-sinensis-l
Portal 1 Klik. 2013. Bunga Kebangsaan. Dicapai daripada pmr.penerangan.gov.my



EKSOTIK SARAWAK- BAGAIMANA MENGHASILKANNYA?

OLEH
JOAN NG

Teselasi ini dihasilkan berdasarkan tema ‘Eksotik Sarawak’. Tema ini dipilih kerana saya ingin
menghasilkan satu teselasi yang melambangkan negeri asal saya. Menurut surat khabar The
Borneo Post (2015), negeri Sarawak juga dikenali sebagai ‘Bumi Kenyalang’. Oleh itu, saya telah
melukis seekor burung kenyalang dengan menggunakan straightedge tool yang terdapat dalam
program GSP. Burung-burung kenyalang merupakan simbol-simbol budaya yang penting bagi
masyarakat Dayak yang mewakili semangat Tuhan.

Selain daripada burung kenyalang, marek empang yang berwarna-warni telah dilukis mengelilingi
burung kenyalang tersebut. Burung kenyalang dan marek empang tersebut telah melalui satu
proses transformasi iaitu pantulan sebanyak dua kali. Ini menghasilkan satu bentuk yang baharu.
Ruang kosong yang terdapat dalam bentuk tersebut diisi dengan kek lapis Sarawak yang
berwarna-warni. Bentuk keseluruhan tersebut dipantulkan banyak kali untuk menghasilkan satu
corak.

Ruang kosong yang terdapat di antara bentuk tersebut kemudian ditambah dengan tanglung.
Tanglung yang ditambah melambangkan saya berasal dari negeri Sarawak. Walau bagaimanapun,
saya telah mengalami masalah semasa melukis motif naga yang terdapat pada tanglung tersebut.
Saya mendapati bahawa saya tidak boleh melukis naga tersebut secara tidak simetri. Ini adalah
kerana naga tersebut tidak muncul apabila bentuk keseluruhannya menjalani proses transformasi,
cut and paste dan copy and paste.

Setelah dibimbing dan melalui proses cuba jaya, saya mendapati bahawa program GSP kurang
sesuai untuk membuat proses copy atau cut and paste dengan fail yang besar. Saya seharusnya
menggunakan teori transformasi dengan sepenuhnya untuk menghasilkan teselasi saya. Oleh itu,
saya hanya melukis empat kepala naga dalam tanglung tersebut, dan memantulkannya sebanyak
dua kali.

Konklusinya, teselasi yang saya hasilkan membawa pelbagai maksud yang berkaitan dengan
negeri Sarawak. Saya berharap bahawa teselasi ini dapat memberikan gambaran negeri Sarawak
dengan cara yang lebih kreatif dan menarik.

RUJUKAN

The Borneo Post. 2015. The Magnificent Hornbills of Sarawak. Dicapai pada 5 Febuari 2019
daripada http ://www.theborneopost.com/2015/07/12/the-magnificent-hornbills-of-sarawak/



MASYARAKAT DAYAK SARAWAK

OLEH
ERIKA STEFFI ANAK ROGIE

Teselasi ini mendapat inspirasi daripada dua masyarakat Dayak Sarawak, iaitu suku kaum Iban
dan Bidayuh. Saya menggunakan burung Enggang, baju tradisional kaum Bidayuh dan perisai
orang Iban (Terabai) sebagai sumber inspirasi. Burung Enggang Kenyalang (Rhinoceros Hornbill)
merupakan burung yang melambangkan negeri Sarawak, di mana benderanya terdiri daripada 3
warna utama, hitam, kuning dan merah. Mata burung Enggang merupakan bintang 9 bucu,
mewakili 9 bahagian dalam negeri tersebut. Burung Enggang dalam teselasi memakai baju
tradisional kaum Bidayuh. Warna hitam adalah warna utama dalam pemakaian masyarakat
Bidayuh. Kain untuk baju dan seluar adalah kain satin dan dihiasi dengan pita merah dan putih.
Burung Enggang yang memegang perisai dikenali sebagai Terabai. Terabai sering digunakan oleh
masyarakat kaum Iban dan ia berbentuk lebih kurang seperti heksagon, diperbuat daripada kayu
lembut dan dihiasi dengan corak flora. Pada masa dahulu, masyarakat Iban menggunakannya
untuk pelindungan diri. Corak pada Terabai dalam teselasi diinspirasikan daripada Terabai
masyarakat Iban. Bentuk corak seperti bulatan dan putaran digunakan, di samping corak seperti
“mulut dan taring”.

Dari sudut Matematik, transformasi seperti pantulan dan putaran digunakan untuk menghasilkan
teselasi. Pantulan digunakan pada Terabai dipegang oleh burung Enggang supaya corak yang
dihasilkan lebih simetri dan kemas. Putaran digunakan pada bintang 9 bucu supaya jarak antara
semua bucu bintang adalah sama. Untuk menghasilkan teselasi ini, ia melibatkan unsur seni
aplikasi pengetahuan dan kefahaman Matematik.

RUJUKAN
N.A. N.D.. Tessellation. Diakses pada 28 Januari 2019 daripada
https://www.mathsisfun.com/definitions/tessellation.html
N.A. 2017. Burung Enggang Badak. Diakses pada 28 Januari 2019 daripada
https://ms.wikipedia.org/wiki/Burung_Enggang_Badak
N.A. N.D. Bidayuh. Diakses pada 28 Januari 2019 daripada
https://en.wikipedia.org/wiki/Bidayuh
N.A. N.D. Flag of Sarawak. Diakses pada 28 Januari 2019
https://en.wikipedia.org/wiki/Flag_of_Sarawak
N.A. N.D. Rhinoceros hornbill. Diakses pada 28 Januari 2019 daripada
https://en.wikipedia.org/wiki/Rhinoceros_hornbill
N.A. N.D. Suku Bidayuh. Diakses pada 28 Januari 2019 daripada
https://ms.wikipedia.org/wiki/Suku_Bidayuh
N.A. N.D. Terabai. Diakses pada 28 Januari 2019 daripada
http://www.muziumnegara.gov.my/gallery/items/Terabai_64
N.A. N.D. Tessellation. Diakses pada 28 Januari 2019 daripada
https://en.wikipedia.org/wiki/Tessellation
Utusan online. 2010. Warisan bumi kenyalang. Diakses pada 28 Januari 2019 daripada
http://ww1.utusan.com.my



KEUNIKAN NEGERI SEMBILAN

OLEH
FATIN NURUL ATHIRA BINTI ISMAIL

Teselasi ini mempunyai kisah tersirat yang mencerita keunikan Negeri Sembilan. Ia mengisahkan
Kerajaan Pagaruyung yang agung dan termahsyur pada awal abad ke-14. Permaisuri kerajaan
tersebut selamat melahirkan bayi perempuan kembar seiras tetapi bayi-bayi ini memiliki warna
kulit yang berbeza. Bayi yang berkulit cerah dinamakan Puteri Wayit manakala bayi yang berkulit
gelap dinamakan Puteri Blek.

Permaisuri mempunyai 19 orang anak lelaki tetapi mereka tidak layak untuk memegang takhta
kerajaan kerana masyarakat Kerajaan Pagaruyung berpegang kepada adat Perpatih. Adat Perpatih
merupakan satu struktur sosial yang berasaskan nasab ibu sebagai dasar utama. Dalam
pembahagian harta pusaka, gelaran dan suku adalah lebih memihak kepada kaum wanita
berbanding kaum lelaki.

Masalah timbul apabila permaisuri perlu memilih salah seorang daripada puterinya untuk
mengetuai rumah Gadang, istana Kerajaan Pagaruyung dan sekaligus menjadi permaisuri kerajaan.
Permaisuri mengadakan pertandingan beradu kerbau bagi memilih penggantinya. Puteri Wayit
berkulit cerah tetapi hatinya tidak secerah dan sesuci kulitnya, membunuh kerbau jantan
kesayangan Puteri Blek. Ini menyebabkan Puteri Blek terpaksa menggunakan anak kerbau untuk
beradu dengan kerbau jantan dewasa milik Puteri Wayit. Walaupun berkulit gelap, Puteri Blek

berhati baik dan bijaksana dengan menajamkan tanduk anak kerbaunya sebagai strategi
memenangi takhta kerajaan.

Apabila pertandingan beradu kerbau bermula, anak kerbau Puteri Blek terus meluru ke arah pundi
susu kerbau jantan Puteri Wayit. Anak kerbau Puteri Blek menyangka kerbau jantan milik Puteri
Wayit adalah ibu yang amat dirinduinya. Anak kerbau yang kehausan kasih sayang dan susu ibunya
terus mendekati kerbau jantan tersebut. Tanduk anak kerbau yang tajam telah membunuh kerbau
jantan milik Puteri Wayit. Tiada siapa menyangka anak kerbau yang kecil mampu melawan kerbau
jantan dewasa yang gagah. Kemenangan tersebut memberi inspirasi kepada masyarakat
menggunakan nama Minangkabau, yang berasal dari ujaran “manangkabau”, bermaksud kerbau
yang menang. Rumah Gadang akhirnya menjadi milik Puteri Blek dan dinamakan Rumah
Minangkabau.

Rujukan
Gullick, J.M. 2003. A History of Negeri Sembilan. Kuala Lumpur : MBRAS. Haji Mohd Din Ali,

1963. Malay Customary Law/Family, dalam Instisari Malaysia Sosiologi Research Institute,
Singapura, Jilid II, No 4.

Mohd Rosli Saludin. 2015. Kepelbagaian dan Keunikan Adat Negeri Sembilan Memperkuat Bangsa.
Jurnal Peradaban Melayu, Jilid 10, (1-15).

Noor Hayati Ismail. 2016. Reka Bentuk Rumah Tradisional Negeri Sembilan Dipengaruhi oleh Adat
dan Kedaerahan. Wacana Seni Journal of Arts Discourse, Jilid 15, (114-136).



YANG MANA IDAMAN KALBU: TULIP ATAU ENGGANG?

OLEH
HAZIQ BIN ABDUL LATIF

Sekumpulan pengkaji daripada kelab pencinta alam telah menjalankan suatu ekspidisi ke suatu
hutan tropika di Bukit Larut di Malaysia. Keberadaan mereka di hutan tersebut bertujuan untuk
mengkaji burung yang diancam kepupusan di kawasan tersebut. Pada masa yang sama, mereka
juga ingin mengkaji spesies tumbuhan berbunga yang unik dalam kalangan pokok bunga di situ.
Kumpulan pengkaji tersebut telah mendapati bahawa terdapat burung yang diancam kepupusan
dalam kawasan di sekitar Bukit Larut. Burung yang dimaksudkan itu ialah Burung Enggang
Belantara.

Burung Enggang Belantara (Aceros subruficollis) merupakan salah satu daripada haiwan
terlindung, dan diancam kepupusan di Malaysia. Pemburuan burung spesies ini memerlukan lesen
pemburuan yang disahkan oleh Jabatan Perhutanan Malaysia. Burung Enggang Belantara ialah
haiwan berdarah panas, mempunyai sayap dan tubuh yang diselubungi bulu pelepah. Nama
keluarganya adalah Bucerotidae. Ia didapati di hutan Semenanjung Malaysia terutamanya di
kawasan hutan simpan seperti di Bukit Fraser dan Taman Negara Pahang. Ia juga didapati di Asia
Tenggara seperti Thailand dan Myanmar kerana iklim di Asia Tenggara sesuai dengannya.

Para pengkaji juga menemui Bunga Tulip yang berasal dari Asia Tengah. Negara Belanda adalah
terkenal sebagai negeri bunga tulip. Di Malaysia, tumbuhan ini tidak sesuai hidup di sini kerana
cuaca dan iklim persekitaran yang tidak sesuai. Walaubagaimanapun, terdapat inkubator
pembiakan bunga tulip di Bukit Larut. Kini, bunga tulip menjadi tarikan di Bukit Larut. Benih
bunga tulip di Bukit Larut diimport dari Belanda. Kini, rakyat di negara ini berpeluang mengenali
bunga tulip dengan lebih mendalam tanpa menjelajah ke negara Belanda.

Jadi, apakah pilihan dan idaman hati pembaca? Burung Enggang yang garang atau Tulip yang
cantik. Sama-sama kita saksikan!

RUJUKAN

Lokasi pemerhati burung. 2015. MyMetro. Diterima dari MyMetro pada 20 Februari
2019: https:/ /www.hmetro.com. my/

N.A. 2017. Burung Enggang Belantara. Diterima dari Wikipedia pada 20 Februari
2019 : https://ms.wikipedia.org/wiki/



SALAM LEBARAN AIDILFITRI

OLEH
ZULAIKHA BINTI MAMAT

1 Syawal merupakan hari yang paling dinanti-nantikan oleh Zahra. Ia adalah
sambutan perayaan terbesar bagi orang Melayu iaitu Hari Raya Aidilfitiri.
menjelang Syawal, Zahra pulang ke kampung halamannya, Kampung Basung di
Terengganu. Sebaik sahaja tiba di kampung, neneknya menyambut Zahra
sekeluarga dengan tangan terbuka.

Pada malam raya, ibu dan ibu-ibu saudara Zahra sibuk menyiapkan persediaan
Hari Raya Aidilfitri untuk keesokan harinya. Ada yang menghias rumah,
membersihkan halaman rumah, memasak dan sebagainya. Lazimnya, makanan
wajib yang perlu ada di pagi Hari Raya adalah ketupat. Anak-anak perempuan
menganyam daun-daun palas untuk membuat ketupat di dapur sambil berbual-
bual. Sementara itu, nenek memasak rendang ayam untuk dihidangkan pada
keesokan hari. Suasana di kampung sangat terang-benderang dengan cahaya
pelita pada waktu malam. Zahra dan sepupu-sepupunya sibuk memasang pelita
di sekeliling rumah nenek. Kemudian, mereka bersama kawan-kawan sekampung
bermain bunga api di halaman rumah. Kemeriahan suasana malam raya memang
menjadi suatu pengalaman berharga kepada diri Zahra.

Pada pagi Hari Raya, memang menjadi amalan keluarga untuk makan terlebih
dahulu sebelum ke masjid. Mereka menjamu selera dengan makanan hidangan
ketupat dan rendang yang telah dimasak pada sebelah malam. Selesai makan,
kesemua ahli keluarga bersiap-siap untuk menunaikan solat sunat Hari Raya
Aidilfitiri di masjid. Nenek tidak melepaskan peluang untuk membawa ketupat
dan kuih-muih ke masjid untuk dihidangkan kepada semua penduduk kampung
yang menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Ketupat milik nenek memang
sangat terkenal dalam kalangan penduduk Kampung Basung.

Setelah selesai menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri, mereka sekeluarga
pulang ke rumah dan bersalam-salaman, memohon maaf antara satu sama lain.
Nenek Zahra sentiasa mengekalkan tradisi perayaan sebegini pada setiap tahun.
Oleh sebab itu, Zahra begitu sayang akan neneknya dan sangat seronok apabila
pulang ke kampung menjelang Hari Raya. Inilah kisah salam lebaran aidilfiti
Zahra dan keluarganya.



SI BURUNG BERKUASA SIHIR HITAM?

OLEH
KIMBERLY CHIA DEE NA

Adakah anda percaya Burung Kenyalang ada kuasa sihir hitam? Masyarakat pelbagai
etnik mengangkat keistimewaan kepala burung kenyalang sebagai hiasan kerana ia
memiliki elemen magis tersendiri. Dalam teselasi ini, terdapat sekumpulan Burung
Enggang Badak berterbangan bersama-sama ke arah kanan bahagian atas manakala
Burung Kelingking berterbangan bersama-sama ke arah kiri bahagian bawah. Apabila
kedua-dua kumpulan Burung Kenyalang ini bertebangan secara berselang-seli,
terhasil satu teselasi yang mesra alam sekitar.

Burung Enggang Badak (Rhinoceros Hornbill) dan Burung Kelingking (Oriental Pied
Hornbill) mempunyai persamaan dan perbezaan. Burung Enggang Badak secara
umumnya mempunyai paruh atau pelindung kepala yang melengkung ke atas,
berwarna merah terang dan kuning manakala Burung Kelingking mempunyai paruh
yang berwarna kuning pucat dan warna kehitaman. Kedua-duanya mempunyai
bahagian bawah perut yang berwarna hitam.

Keindahan teselasi yang bertemakan “Burung Kenyalang” menonjolkan
keistimewaan dan keunikan spesies burung yang terbesar di dunia, dan hanya boleh
didapati di Sarawak (Berita Harian Online, 2017). Misalnya, Burung Enggang Badak
banyak dijumpai di Kepulauan Borneo. Spesies burung kenyalang ini bukan sahaja
menjadi ikon utama Sarawak Bumi Kenyalang dan burung rasmi Negeri Sarawak,
bahkan penggunaan corak dan motif berunsurkan burung kenyalang banyak
digunakan dalam seni bina dalam kalangan masyarakat (Pateh, 2011). Contohnya,
etnik Kenyah menjadikan hiasan kepala burung ini sebagai simbol status keberanian
dan semangat kepahlawanan yang tinggi. Ikon burung kenyalang juga melambangkan
burung suci dalam masyarakat Dayak di bumi Sarawak. Ikon burung kenyalang secara
umumnya mewakili Sarawak Bumi Kenyalang.

RUJUKAN
Siti Haliza Yusop. 2017. Utusan Borneo. Magis Hiasan Kepala Burung Kenyalang.
Diakses pada 11 Januari 2019, daripada https://www.bharian.com.my/

Pateh, S. A. A., & Seni, S. 2011. Patung Burung Kenyalang Dalam Budaya
Masyarakat Iban (Doctoral dissertation, Jabatan Seni Liberal, Fakulti Seni Gunaan dan
Kraetif, Universiti Malaysia Sarawak). Diakses pada 28 Januari 2019 daripada
https://ir.unimas.my/

N.A. N.D. Jenis-jenis Burung Kenyalang. Diakses daripada
http://adelalin.weebly.com/



TRADISI ZAMAN BERZAMAN

OLEH
MOHAMAD AZZRUL HAFIZS BIN MOKTI

Sepak takraw merupakan sejenis permainan antara dua regu yang dianggotai oleh tiga
orang pemain bagi setiap regu. Terdapat jaring yang memisahkan kedua-dua regu dan
permainan ini memerlukan gelanggang yang berukuran seperti gelanggang badminton.
Bola takraw pada asalnya diperbuat daripada rotan tetapi kini telah digantikan dengan
bola buatan.
Ahmad seorang kanak-kanak yang amat meminati permainan sepak takraw. Dia
meminati seorang pemain sepak takraw bernama Adnan Sainin, sinonim dengan gelaran
‘Raja Libas’ dan ‘Raja Sepak Takraw’. Beliau mempunyai kedudukan yang tersendiri
dalam jiwa para peminat sukan tanah air. Libasan mautnya sekitar 1960-an amat
digeruni pasukan lawan kekal segar dalam ingatan sejarah negara. Kehebatan anak
kelahiran Alor Setar, Kedah ini turut mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan selaku
‘Pemain Terbaik Asia 1984’ dan digelar ‘Raja Sepak Takraw Asia 1986’.
Sejak berusia 9 tahun, Ahmad menunjukkan bakat dalam permainan sepak takraw. Dia
kerap mewakili sekolah untuk mengikuti pertandingan sepak takraw. Kehebatannya
dalam sepak takraw sering kali menjadi buah mulut warga sekolahnya. Aminah, ibu
tunggal kepada Ahmad menjual ketupat secara kecil-kecilan di sekitar kawasan
kampung untuk memyara hidup keluarganya. Modalnya yang sedikit hanya dapat
meraih keuntungan yang turut sedikit. "Sabar lah nak. Ini sahaja yang mampu kita
makan. Kelak ibu belikan ayam goreng ya jika ibu ada duit" kata si ibu kepadanya
anaknya.
Walaupun pelbagai dugaan dihadapi oleh ibu dan Ahmad, mereka tabah dengan hinaan
yang dilemparkan oleh saudara-maranya. Hari demi hari, perniagaan ibu Ahmad semakin
maju. Ibunya berjaya mengeluarkan ketupat jenama sendiri iaitu Ketupat Mak Minah.
Ahmad pula telah menjadi seorang pemain sepak takraw yang terkenal. Namun begitu,
Ahmad tidak lupa akan jasa dan pengorbanan ibunya yang telah membesarkannya.
Ahmad yakin apa yang dimilikinya ketika ini disebabkan oleh berkat dan doa ibunya
yang tidak henti-henti mendoakan kejayaan dalam kehidupannya.

RUJUKAN
Amran Yahya. 2018. Libasan Gunting Gigeruni Lawan. Dimuat turun pada 28 Jan 2019
daripada https://www.hmetro.com.my/

Sazrol, ?. 2013. Lagenda Emas – Adnan Saidin. Dimuat turun pada 28 Jan 2019
daripada http:// infotakraw.com/

Wikipedia. 2018. Sepak Takraw. Dimuat turun pada 28 Jan 2019 dari https://
en.wikipedia.org/wiki /Sepak_takraw

Wikipedia. 2018. Ketupat, Dimuat turun dari pada 28 Jan 2019 https ://ms. wikipedia.
org/wiki/Ketupat



KEBUDAYAAN MASYARAKAT MELAYU

OLEH
MUHAMMAD TAKBIR IDHAM BIN JEPRE @KIPLI

Setiap tamadun dan bangsa mempunyai perkara yang diwariskan kepada generasi mereka
sejak turun temurun, sebagai contoh permainan tradisional dan makanan tradisional. Pada
zaman dahulu, masyarakat Melayu berhibur dengan permainan tradisional Melayu seperti batu
seremban, congkak , sepak raga dan lain-lain . Mereka juga bermain layang-layang yang dikenali
sebagai Wau. Permainan wau amat digemari oleh penduduk-penduduk kampung dan
dimainkan sejak kurun ke 15. Wau masih digemari dan dimainkan di kawasan-kawasan seperti
Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Ia dicipta dalam pelbagai bentuk dan mempunyai
nama tersendiri seperti wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing,
wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah dan wau barat. Antaranya, wau bulan sangat
digemari oleh orang Melayu. Reka corak biasanya bermotifkan awan larat yang menghiasi
kebanyakan wau, dihasilkan dan diwarnakan dengan pelbagai warna. Wau juga menjadi hasil
kraftangan dan hiasan dinding.

Gasing juga merupakan salah satu permaian tradisional yang digemari oleh masyarakat
Melayu. Ia merupakan sejenis permainan yang boleh berputar pada paksinya, sambil
mengimbang pada satu titik. Ia biasanya dimainkan selepas musim menuai, sebagai
pertandingan antara kampung. Pemenang ditentu berdasarkan masa gasing mampu berputar.
Gasing dibuat daripada kayu bebaru, kemuning, merbau, rambai, durian atau kundang, ditakik-
takik dan dikikis sehingga menjadi bentuk gasing.

Dari segi makanan, ikan Parang merupakan ramuan utama dalam menghasilkan makanan
tradisional masyarakat Melayu Pantai Timur seperti negeri Terengganu, contohnya keropok
lekor. Perkataan "Lekor" bermaksud "Lingkar" dalam bahasa Melayu Terengganu, yang
menggantikan ejaan "ar" kepada "or" di akhir suku kata. Oleh itu maksud Keropok Lekor ialah
Keropok yang berlingkar, diperbuat daripada isi ikan Parang atau ikan kembung berserta
campuran sagu atau tepung kanji dan sedikit garam.

RUJUKAN
Kamarulhelmy. 2018. Permainan Tradisional Gasing. Muat turun 19 Ogos 2019 daripada
http://www.upm.edu.my

n.a. 2019. Gasing. Muat turun 10 Februari 2019 daripada https://ms.wikipedia.org/wiki/Gasing

n.a. 2017. Keropok lekor. Muat turun 10 Februari 2019 daripada
https://ms.wikipedia.org/wiki/Keropok Lekor

n.a. 2019. Wau Bulan. Muat turun 11 Februari 2019 daripada https://ms.wikipedia.org/wiki/Wau
Bulan



TANGLUNG CINA DAN PELITA MELAYU

OLEH
NAJMUDDIN RIFAIE BIN AHMAD SHUBKI

Malaysia mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama, terdiri daripada kaum Melayu,
Cina, India dan Iban. Islam, Hindu, Buddha dan Kristian merupakan agama yang dianuti oleh
majoriti penduduk di Malaysia. Kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia membawa variasi
budaya di Malaysia, seterusnya menjadi faktor penyumbang kepada keunikan negara
Malaysia. Sebagai contoh, Malaysia merupakan negara yang mempunyai banyak hari
perayaan dan cuti sekolah. Antara perayaan yang disambut di Malaysia ialah Hari Raya
Puasa, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Kaum Cina mempunyai banyak pesta dan perayaan yang disambut setiap tahun. Antara
pesta yang mereka sambut ialah Pesta Tanglung. Pesta Tanglung ialah suatu pesta yang
dirayakan pada hari kelima belas dalam bulan lunar mengikut kalendar Cina. Terdapat
pelbagai mitos mengenai asal usul pesta yang dipercayai sudah berusia lebih 2000 tahun.
Bagi masyarakat Cina, tanglung bagaikan lampu yang menerangi kegelapan. Mereka juga
percaya bahawa mereka akan mendapat tuah dan kehidupan yang lebih baik jika mereka
menggantung tanglung di kawasan rumah. Sehingga kini, taglung adalah hiasan utama
ketika menyambut perayaan-perayaan seperti Tahun Baru Cina.

Manakala kaum Melayu, menyambut Hari Raya Aidilfitri sempena meraikan orang Islam
berjaya menunaikan ibadah berpuasa semasa bulan Ramadan. Hari Raya Aidilfitri disambut
oleh orang Islam pada malam yang ketiga puluh bulan Ramadan. Sambutan hari raya amat
meriah, disambut bermula pada malam sebelum hari raya yang sebenar. Ini adalah kerana
pada waktu malam, orang Melayu akan memasang pelita bagi menerangi kawasan rumah,
memeriahkan lagi suasana Hari Raya Aidlifitri. Terdapat pelbagai jenis pelita yang digunakan
mengikut tempat, daerah dan negeri. Antaranya adalah pelita buluh, yang juga dikenali
sebagai pelita panjut. Pelita bukan sekadar menerangi kawasan rumah sahaja, masyarakat
Melayu juga mengadakan pertandingan pelita panjut pada bulan Ramadan demi
mengeratkan lagi hubungan dalam masyarakat.

Tuntasnya, kita boleh simpulkan bahawa tanglung dan pelita merupakan lambang
kebudayaan kaum Cina dan Melayu yang digunakan dalam sambutan hari-hari perayaan.
Budaya tidak harus lenyap mengikuti arus kemodenan dunia. Anak bangsa generasi akan
datang perlu merasai budaya yang diamalkan oleh nenek moyang mereka.

RUJUKAN

2019 Chinese New Year. 2019. Chinese Lantern Festival. (n.d.). Retrieved from Chinese Fortune
Calendar: http://www.chinesefortunecalendar.com/
Sidek Baba. 2007. Melayu itu bangsa, Islam itu agama. Retrieved from Utusan Online:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/

Nursuraya Zulkifli. 2015. Pesta Tanglung Meriah. Retrieved from Utusan Online:
http://www.utusan.com.my/
Fairuz Zaidan. 2016. Pelita Buluh Laris Menerusi FB. Retrieved from Berita Harian Online:
https://www.bharian.com.my/



SEORANG NELAYAN DAN IKAN AJAIB

OLEH
NORASYIKIN BINTI MOHD ZAMURI

Teselasi ini mengisahkan sebuah cerita dongeng nusantara yang popular berjudul
‘Nelayan Baik Hati dan Ikan Ajaib’. Pada zaman dahulu, ada seorang nelayan miskin
bernama Pak Kudin yang hidup sebatang kara. Setiap hari, Pak Kudin turun ke laut
untuk menjala ikan dan menjual hasil tangkapannya di pasar sebagai sumber
pendapatannya. Dia turun ke laut dengan menaiki perahu nelayan yang diwarisi
turun-temurun daripada datuknya.

Pada suatu hari, semasa Pak Kudin ingin berhenti menjala ikan, tiba-tiba ada ikan
tersangut dalam jala Pak Kudin. Dia segera mengangkat jalanya dan mendapati seekor
ikan yang sangat besar dan luar biasa. Sisik ikan berkilauan seperti permata, matanya
kelihatan seperti mutiara yang bergemerlapan. Pak Kudin belum pernah melihat ikan
secantik dan seganjil itu. Pak Kudin bertanya diri, “Pasti tidak ada sesiapa mahu
membeli ikan ini dengan harga yang tinggi”. Semasa Pak Kudin berfikir, terdengar
suara halus aneh yang meminta tolong. “Wahai nelayan tua, lepaskanlah aku semula
ke laut. Aku ini ikan ajaib dan raja ikan di lautan. Aku tidak boleh dimakan kerana aku
beracun. Jika aku mati, musnahlah kerajaan ikan yang ku bina,” kata ikan ajaib. Pak
Kudin sangat terkejut tetapi setelah berfikir sejenak, dia mengambil keputusan untuk
melepaskan ikan tersebut.

Selepas beberapa hari, Pak Kudin turun ke laut seperti biasa. Pada hari itu, gelombang
ombak besar dan ribut petir telah melanda. Perahu yang dinaiki Pak Kudin dibadai
ombak besar sehingga dia hanyut di tengah lautan. Dalam ketakutan, dia menadah
tangan dan berdoa kepada Tuhan agar diberi pertolongan. Dalam sekelip mata, datang
seekor ikan yang menuju ke arah Pak Kudin. Rupa-rupanya, ikan ajaib yang telah
dilepaskan olehnya tempoh hari datang untuk menyelamatkannya. “Wahai nelayan
tua, ikutlah aku dan aku akan menghantarmu pulang,” kata ikan ajaib. Pak Kudin
segera mengikut ikan ajaib untuk pulang ke tepi pantai. Dia sangat bersyukur kerana
terselamat dan mengucapkan terima kasih kepada ikan ajaib itu. Dari kisah ini,
benarlah ada pepatah Melayu yang berkata ‘buat baik dibalas baik’.

RUJUKAN
Ikan Ekor Kuning. 2017. Dicapai pada 26 Januari 2019 daripada
https://id.wikipedia.org/wiki/Ikan_ekor_kuning

Perahu Nelayan Tradisional. 2018. Dicapai pada 25 Januari 2019 daripada
https://id.wikipedia.org/wiki/Perahu_nelayan_tradisional

Teselasi Dalam Geometri. 2015. Dicapai pada 24 Januari 2019 daripada
https://dokumen.tips/documents/teselasi-dalam-geometri-5616998b1baf9.html

Vince H. 2014. Teselasi Matematik. Dicapai pada 23 Januari 2019 daripada
https://www.slideshare.net/vhere1/teselasi-matematik



KHAZANAH MALAYSIA

OLEH
NUR IZZAH ZAKIAH BINTI MAJDI

Teselasi merupakan suatu corak yang terhasil daripada proses penyusunan poligon
sekata pada satah permukaan tanpa berlakunya pertindihan secara berulang-ulang.
Tema yang saya berikan adalah Khazanah Malaysia, di mana corak-corak yang
dilukis adalah gasing, terabai Iban Sarawak dan seni anyaman. Gasing merupakan
permainan tradisional kaum Melayu yang juga dikenali sebagai permainan rakyat.
Ia adalah popular di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terutama di Kelantan.
Selalunya permainan gasing dipertandingkan antara kampung. Pemenang
ditentukan berdasarkan tempoh masa gasing berputar.

Selain itu, terabai Iban Sarawak(perisai) merupakan alatan yang digunakan oleh
kaum Iban pada zaman dahulu. Terabai diperbuat daripada kayu yang diukir. Ia
digunakan sebagai perisai untuk melindungi diri ketika berperang. Terabai juga
merupakan lambang kepahlawanan kaum Iban dan orang ulu di Sarawak.

Seni anyaman yang bermula pada zaman dahulu merupakan milik masyarakat
Melayu yang masih dikagumi dan digemari sehingga hari ini. Penggunaan tali, akar
dan rotan merupakan asas pertama dalam penciptaan kraftangan anyaman telah
menjadi usaha tradisi sejak berabad-abad lagi. Bentuk-bentuk anyaman adalah
berdasarkan kepada fungsinya. Misalnya, bagi masyarakat petani atau nelayan,
kerja-kerja anyaman adalah bakul, topi, tudung saji, dan tikar yang digunakan
dalam kehidupan harian.

Saya mengaplikasi transformasi matematik iaitu pantulan dan translasi untuk
menghasilkan teselasi. Pantulan merupakan transformasi yang membolehkan
sesebuah objek dipantulkan merujuk kepada satu paksi. Paksi yang selalu diambil
adalah paksi-x dan paksi-y. Manakala bagi translasi, ia menggerakkan lokasi objek
dengan manipulasi jarak dan sudut yang tepat.

RUJUKAN

N.A. N.D. Terabai. Muat.turun pada 12 Februari 2019 daripada
http://www.muziumnegara.gov.my/gallery/items/

Saaban Abd Rahman. 2011. Gasing Melayu. Muat turun pada 10 Februari 2019
daripada http://gasingmelayu.blogspot.com/p/sejarah-gasing.html

Utusan Online. 2007. Kepentingan Menjaga Khazanah Alam. Muat turun pada 10
Februari 2019 daripada http://ww1.utusan.com.my



WARISAN KEMELAYUAN

OLEH
NUR IZZATI BINTI ROSLAH

Teselasi dihasil daripada proses penyusunan pola atau bentuk yang berulang untuk
menutupi seluruh permukaan datar sehingga tiada bahagian yang kosong. Ia membawa
maksud suatu corak yang terhasil daripada proses penyusunan poligon sekata pada
sesebuah satah permukaan tanpa berlakunya pertindihan secara berulang-ulang.
Dengan bantuan Geometer’s Sketchpad (GSP), saya telah menghasilkan suatu teselasi
yang melibatkan penghasilan poligon yang tidak sekata. “Warisan Kemelayuan” adalah
tema utama bagi teselasi saya, yang melambangkan tradisi orang Melayu.

Tengkolok/tanjak/destar adalah objek utama dalam pilihan saya. Ia merujuk kepada
kain ikat kepala tradisional Melayu yang dipakai oleh golongan lelaki. Ia merupakan
pakaian kebesaran Raja-Raja Melayu sejak berkurun lamanya, dan merupakan warisan
yang mencerminkan simbol kemuliaan sehingga kini. Ia juga dipakai sebagai perhiasan
dalam busana pengantin, dan dipakai pada kepala pengantin lelaki ketika majlis
persandingan dilangsungkan.

Disebabkan tengkolok merupakan suatu bentuk geometri yang tidak sekata, beberapa
pantulan, putaran serta translasi telah dilakukan untuk menghasilkan teselasi
tersebut. Bentuk-bentuk baharu yang direka mempunyai kaitan dengan tema asal
“Warisan Kemelayuan”. Ia mencerminkan kehidupan masyarakat Melayu tradisional
selain dipakai dalam majlis-majlis rasmi atau majlis-majlis kebesaran.

Secara keseluruhannya, orang Melayu adalah terkenal dengan pelbagai adat dan tradisi
yang masih dikekalkan sehingga kini seperti peribahasa “tak lapuk dek hujan, tak
lekang dek panas.” Semoga makna sebenar yang wujud di sebalik teselasi dapat
disampaikan.

Rujukan

Salina Abdul Manan, Hamdzun Haron, Zuliskandar Ramli, Noor Hafiza Ismail & Norasid
Majid. (t.t). Seni Mengikat Tengkolok Warisan Perak Darul Ridzuan. Dicapai pada 3 Feb
2019 daripada http://www.reka.usm.my/images/FULL_PAPER_044_.pdf

Tengkolok. 2016. Dicapai pada 3 Feb 2019 daripada
https://ms.wikipedia.org/wiki/Tengkolok



HIDUPAN AKUATIK YANG POPULAR DI MALAYSIA

OLEH
RONALD CHIN CHUN HWA

Razak merupakan seorang pencinta alam yang meminati bidang akuakultur dan
selalu cari maklumat berkenaan alam sekitar. Hasil pencariannya, sebanyak tiga
perempat daripada permukaan bumi adalah lautan, yang memainkan peranan
penting sebagai habitat kepada berjuta-juta hidupan air. Hidupan laut yang tinggal
di dasar laut adalah sangat menakjubkan dengan kepelbagaian spesies seperti ikan,
reptilia, mamalia, krustasia dan sebagainya. Terdapat lebih kurang 15,000 spesies
hidupan akuatik yang terdapat di dalam lautan. Haiwan krutasia seperti udang dan
ketam mempunyai kulit keras dan badan bersegmen. Hidupan laut yang lain adalah
seperti sotong, tiram, obor-obor, tapak sulaiman, singa laut dan kuda laut.
Terdapat 220 jenis pari di dalam dunia dan perairan Malaysia kaya dengan pelbagai
jenis ikan pari. Sekali imbas, perbezaan pari tanjung, pari beting dan pari daun
adalah agak mengelirukan. Walau bagaimanapun, ia boleh dikenali dengan
meneliti bahagian kepalanya. Pari tanjung memiliki bahagian kepala yang agak
meruncing seperti sesebuah tanjung. Habitat pari tanjung biasanya di beting-beting
pasir dan kawasan yang berlumpur. Manakala bagi sotong, ia banyak ditemui di
kawasan Pantai Timur, yang menjadi buruan utama kaki pancing tatkala tiba
musim mencandat sotong. Sotong torak mempunyai badan dan sesungut yang
panjang dan boleh membesar sehingga saiz melebihi panjang satu hasta orang
dewasa. Sotong ini mudah tertarik pada cahaya lampu yang terang, dan boleh
dicandat dengan udang dan candat umpan. Bagi kuda laut, ia adalah hidup di
kawasan rumpai, terumbu karang, dan paya bakau. Ia dianggap unik kerana
memiliki ciri-ciri kepala seperti kuda, tegak lurus dengan badan di atasnya
mempunyai mahkota. Kuda laut memiliki mata yang dapat berputar bebas dan ekor
yang boleh berpaut bagi mengelakkannya daripada dihanyut arus laut. Panjang
sekor kuda laut adalah sekitar empat hingga 30 cm bergantung kepada spesiesnya.

RUJUKAN

Amang. 2017. 5 Spesies Sotong Popular. Shah Alam. Berita Umpan. Diterima pada 10
Februari 2019 daripada https://www.umpan.com.my
Ashriq Fahmy Ahmad. 2015. Ternak Kuda Laut Elak Kepupusan. Masalah pencemarn
antara punca kuda laut makin pupus. Kuala Lumpur: Utusan Borneo, 11.
Sylvy M.K dan Gema W. 2017. Kajian Jenis Ikan Pari (Dasyatidaea) di Indonesia.
Fakulti Perikanan dan Ilmu Kelautan. Universiti Diponegoro



MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA



OLEH
RONNA KAREN HALIAM



Mei, Karen, Paula dan Alviana sedang belajar bersama di perpustakaan dan jumpa
sebuah buku.

RUJUKAN
Rich, B., & Thomas, C. 2009. Geometry (4th. Ed.). United States: The McGraw-Hill
Companies.
Chiam, S.M. 2019. Teselasi Pada Satah. Kumpulan nota kuliah Matematik yang
disampaikan pada 8 Januari 2019 di IPG Kampus Kent, Tuaran.
Chiam, S.M. 2019. Escher Tesilation. Kumpulan nota kuliah Matematik yang disampaikan
pada 14 Januari 2019 di IPG Kampus Kent, Tuaran.
Chiam, S.M. 2019. Simetri dan Transformasi pada Satah. Kumpulan nota kuliah
Matematik yang disampaikan pada 5 Febuari 2019 di IPG Kampus Kent, Tuaran.
Mohamad Faiza Ibrahim. 2011. Konsep Masyarakat Majmuk (Plural Society) oleh J.S
Furnivall. Latihan Ilmiah. Universiti Kebangsaan Malaysia. Dicapai pada 25 Januari 2019
daripada https://www.slideshare.net/wakanuk/konsep-masyarakat-majmuk



MINANGKAWAU

OLEH
VERGEER VOI ANAK PAUL

Rohana merupakan seorang wanita keturunan Minangkabau yang menetap di Negeri Sembilan,
wilayah penganut Minangkabau. Dia tinggal di Rumah Gadang yang memiliki rupa bentuk unik,
dengan bumbung yang menyerupai tanduk kerbau. Mail pula merupakan seorang pemuda
Melayu berasal dari Kelantan yang gemar dengan permainan tradisional, iaitu wau. Pada suatu
hari, takdir telah mempertemukan Rohana dengan Mail bertemu dan berkongsi budaya masing-
masing.

Rohana menceritakan asal usul nama Minangkabau dan mengapa mereka sinonim dengan
tanduk kerbau. Menurut Rohana, perkataan Minangkabau merupakan gabungan dua
perkataan, iaitu minang yang bermaksud “menang” dan kabau untuk “kerbau”. Nama tersebut
diperolehi daripada peristiwa perselisihan di antara kerajaan Minangkabau dengan seorang
putera dari Jawa yang meminta pengakuan kekuasaan di Melayu. Untuk mengelakkan diri
mereka daripada berperang, rakyat Minangkabau mencadangkan pertandingan adu kerbau di
antara kedua-dua pihak. Putera tersebut bersetuju dan menampilkan seekor kerbau yang besar
dan ganas. Rakyat setempat pula hanya menampilkan seekor anak kerbau yang lapar tetapi
dengan tanduk yang telah ditajamkan. Semasa peraduan, si anak kerbau yang kelaparan
dengan tidak sengaja merodok tanduknya di perut kerbau kerana ingin mencari puting susu
untuk menghilangkan kelaparannya. Kerbau yang ganas mati dan rakyat tempatan berjaya
menyelesaikan pergelutan tanah dengan aman.

Mail teruja mendengar cerita tersebut turut berkongsi sejarah wau. Wau dikatakan berasal dari
empayar Srivijaya semasa pemerintahan Dewa Muda dan reka bentuknya mempunyai falsafah
tersendiri. Bahagian dada wau melambangkan “Nusaratang” iaitu, merangkumi Semenanjung
Indonesia, Thailand dan Burma. Bahagian pinggang pula melambangkan “Nusakancana” iaitu
Tanah Melayu dan bahagian bawah wau melambangkan “Nusantara”, iaitu seluruh kawasan
Indonesia, Sabah, Sarawak dan Filipina. Motif bunga dan awan larat yang disobek menghiasi
wau bulan, membawa erti penyebaran syiar Islam oleh Dewa Muda. Apabila baginda menang
dalam peperangan, baginda memainkan wau bulan untuk tontonan rakyat. Bunga baharu yang
terdapat pada badan wau menandakan jajahan baharu baginda. Ruang kosong di kiri dan kanan
wau bulan digelar kijang emas dan kijang kencana, melambangkan daerah yang sangat dihajati
tetapi tidak dapat ditakluki, iaitu Burma dan Champa.

RUJUKAN
Rosnazatulizlin Abdul Aziz. Wau-wau di Malaysia. Klik Web DBP. Diperoleh pada 12 Februari 2019
daripada http://klikweb.dbp.my

Salina Abdul Manan, Zuliskandar Ramli & Azni Hanin Hamzah. 2015. Wau bulan Kelantan:
Keindahan permainan tradisi rakyat. Dalam Adi Baharudin. (Eds.), Warisan Kelantan XXXIV (pp.
124-135). Kota Bharu, Kelantan: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

Syamsul Asri. 2004. Prinsip-prinsip asas pembinaan rumah adat Minangkabau. Skudai, Johor:
Universiti Teknologi Malaysia.




Click to View FlipBook Version